Cetera Yang Pertama 6 - HANYUT DIBAWA ARUS

Adventure Series 1713

MERAH rembang senja sudah pun hilang dari kaki langit. Perlahan-lahan alam di sekitar menjadi semakin kelam. Bayangan malam makin meluas ke perairan samudera. Perahu itu meluncur terus mengharung gelombang dengan menghadap ke arah matahari terbit dan Pulau Seludang kini jauh ke belakang. Angin bertiup kencang.
Kesejukan menusuk tulang belulang Belitung yang duduk di buritan perahu itu. Petak-petak perahunya yang dipenuhi air ditimbanya dengan tempurung.
Deramang duduk di bahagian belakang perahu. Terus mengemudikan perahu menuju ke laut luas. Dia mendongak ke atas. Di langit tidak kelihatan sebutir bintang pun.
Mereka duduk sambil berdiam diri. Antara mereka berdua hanya ada kesepian. Cukup membosankan.
"Deramang. Kita duduk diam-diam di sini pun tak guna. Macam orang mati jiwa saja," Belitung membuka tirai perbualan. Air di petak-petak habis dibuangnya. "Ini aku ada satu jalan. Kalau kau boleh jawab teka-teki aku, kau betul-betul pandai."
"Hei, Belitung! Ini Deramanglah. Kalau tak boleh jawab, lebih baik aku masuk dalam perigi butalah!" dengus Deramang. Separuh melaung mengucapkan kata-kata itu.
Belitung melihat wajah Deramang yang bertubuh kerdil itu agak berkerut. Sesuatu jelas di wajah itu membayangkan pantang dicabar.
"Baik. Aku mahu tengok banyak mana kau punya pandai."
Deramang tidak menjawab. Tapi mengangguk saja.
Belitung meruncing mata, merenung Deramang. Setelah berdiam diri sebentar dia bertanya. "Ini soalannya. Wahai Deramang yang bistari. Banyak kerja setiap hari. Apa dia yang berat sekali?"
"Oh, begitu teka-tekinya." Deramang memikirkan kata-kata Belitung. Sejurus kemudian dia berkata, "Mudah. Tersangat mudah. Wahai Belitung yang tinggi panjang. Banyak kerja yang boleh ditatang. Berat sekali membayar hutang."
"Betul!" ujar Belitung. " Kau pandai!"
Ternyata dugaan Deramang tepat.
"Ini Deramang! Hah!" tegas Deramang, angkuh. Seronok benar dia.
Belitung berfikir beberapa waktu lamanya. Kemudian dia berkata, "Ada binatang panjang sejengkal. Makin dipukul makin tebal. Kalau menggigit terlampau sengal."
"Oi, Belitung. Dengarlah jawapan aku yang bistari. Bukan aku orang yang bangal. Aku tahu haram dan halal. Itu bernama si ikan buntal."
"Jawapannya betul Deramang. Kau betul pandai dan bijak!" Belitung berasa puas dengan jawapannya. "Itu pasallah aku pilih kau sebagai sahabat aku."
"Aku memang pandailah," sahut Deramang sambil menyeringai, bangga.
"Dengar pula aku bermadah. Ada bergigi tidak berlidah. Kalau makan tidak mengunyah."
Setelah diam sejenak, Deramang menjawab. "Inilah jawapannya. Darat dan laut hiduplah dia. Makan bangkai tidak bernyawa. Itu engkau bapa buaya."
"Itu jawapan yang betul!" Belitung mahu tidak mahu menyeringai.
Deramang mengangguk. "Aku memang betul."
"Sekarang selesaikan ini. Ini adalah teka-teki yang sudah lama. Dipakai berulang-ulang. Dinanti bertambah hilang. Bila terlepas tak kunjung pulang."
Deramang mengerutkan kening. Sangat susah hendak diteka. Fikirannya bercabang sebentar. Makin difikirkannya semakin berserabut dalam kepalanya. Memikirkan itu adalah teka-teki yang sukar untuk mencari jawapannya.
"Mengapa kau diam?" jerkah Belitung seperti mencabar. "Jawablah!"
Deramang mendengus kasar, "Nantilah! Biar aku fikir!"
"Jawablah!" ulang Belitung. Sikap dan suaranya menunjukkan bahawa dia tidak sabar.
"Nantilah dulu aku fikir," kata Deramang sambil mengerut kening seperti orang yang sedang mati modal dalam perlawanan berbalas pantun. "Cuba kau ulang lagi sekali?"
"Ah, sudahlah Deramang!" desis Belitung. "Aku tahu kau tak boleh jawap. Cakaplah tak tahu aje."
Deramang menunduk muka, kemalu-maluan. Tetapi sejurus kemudian kepalanya kembali diangkat memandang Belitung.
"Baiklah, bagaimana dengan jawapan teka-teki itu?" tanyanya.
"Entahlah. Aku sendiri tidak tahu," kata Belitung sambil tersenyum. "Ah, sudahlah. Lupakan itu semua. Kau lapar ke tidak? Perut aku ni dah lapar."
"Aku lapar."
Belitung lalu bangun dan menghidupkan api lampu lentera yang tergantung di tiang perahu itu. Ruang dalam perahu menjadi terang.
"Mari kita menyekek," katanya dengan gembira seraya membelakangi Deramang. "Satu hidangan istimewa telah disediakan."
Tanpa berbicara panjang, Deramang terus duduk bersila di samping Belitung di tengah buritan.
Belitung mengeluarkan sebuah keranjang besar. Dia membuka tutup keranjang. Satu bungkusan bekalan dikeluarkan dan membuka hamparannya. Di dalam bungkusan itu ada nasi, sambal bilis dan ayam panggang. Dialah yang menyediakannya siang tadi.
Dicapainya piring dan senduk. Kemudian mengambil nasi, memotong sepotong ayam dengan pisau dan diberikan kepada Deramang. "Ini nasinya. Nah ambil, makan."
Deramang dengan hati-hati menyobek sayap daging ayam yang diberikan Belitung. Menelannya lambat-lambat.
"Siapa yang masak?" dia bertanya.
"Akulah, siapa lagi?" sahut Belitung dengan angkuh.
"Itu pasal lah tak sedap," Deramang mengeluarkan pendapat.
Belitung rasa telinganya panas. Tersinggung amat. Sedetik kemarahan yang lemah membersih darinya, lalu padam. Walaupun sindiran itu tidak membekas di hatinya, dia berasa tercabar juga. Tapi dia menahan diri untuk duduk tenang. Mujurlah dia dapat bersabar.
"Apa kau ni Deramang! Janganlah berkira sangat. Makan aku dah kasi tapi aku ni kau buat macam madu kau, ya?" seru Belitung agak membentak.
Sungguh pun lauk tidak begitu menyelerakan, tetapi Deramang kelihatan begitu khusyuk menyuap. Dia makan dengan lahap. Tiba-tiba dia terbatuk dan tersedak-sedak. Dia terbongkok-bongkok menahan deraan batuknya itu.
"Tengok, air minum pun tak ada. Kalau tercekik, mampus!" herdik Deramang, kedudukan. Setelah menelan air liur dia menyambung. "Ambilkan aku air!"
"Kau ni memang banyak perentahlah," sahut Belitung. Dia menuangkan kopi untuk Deramang.
"Manusia perlu diperentah," jawab Deramang, sengaja mengusik Belitung.
Belitung menghulurkan tangannya. "Ini air minumnya."
Deramang menengok kopinya. Dia tersentak, diterjahi oleh suatu kejutan yang maha dahsyat. Terbelalak biji matanya, dihala ke muka Belitung.
Belitung merenung muka Deramang.
"Eh, kenapa mata kau terbeliak, Deramang?" tanyanya dalam keheranan yang tidak terperikan. "Nak mampus agaknya?"
"Masin kopinya!" Deramang menekankan.
Belitung hulur cangkir kopi Deramang itu ke mulutnya. Terjuih sedikit bibir mulutnya.
"Ala, Deramang. Rupanya kicap!" katanya seperti menyesali keterlanjurannya.
Deramang bergetar mendengar kata-kata itu. Darah menyirap ke mukanya. Dengan getir dia meledak, "Kicap? Lekas, pergi ambil kopi!"
Belitung menurut saja. Tuang kopi dalam cangkir, lalu dihulur pada Deramang.
Dengan mata terkelip-kelip, Deramang terdiam beberapa ketika.
"Ini kopi pahit! Mana gulanya?" rungut Deramang separuh melaung. "Pergi ambil yang lain."
Belitung tidak membantah. Dia menuangkan secangkir kopi lagi dan menyuguhnya kepada Deramang.
"Nah, ini kopinya. Sudah ditambah gula banyak-banyak," ujarnya macam menyindir.
"Hah, ini macamlah," balas Deramang bersahaja. Lalu diambilnya cangkir kopi dari Belitung. Ditunggangnya air itu masuk ke mulut.
Belitung diam, dan mulai menyuap.
Mereka membisu sebentar. Masing-masing melahap seperti orang yang kelaparan.
Tiba-tiba Belitung teringat nasib Lela Sari. Dia termenung, suapannya terhenti, kunyahnya diam. Fikirannya jauh menerawang. Air mukanya memperlihatkan kebimbangan.
"Eh, kenapa kau Belitung?" Deramang memancung lamunan ya setelah melihat Belitung membungkam saja. Sebuah keraguan terbangun dalam dada Deramang.
"Aku sedang memikirkan satu perkaralah, Deramang," jawab Belitung dengan murung.
"Apa yang kau fikir? Aku harap bukan perkara hantu."
"Oh, tidak, tidak," sahut Belitung. Dia diam dan lama kemudian berkata, "Agaknya sekarang tentu Tengku Puteri sudah ditangkap. Sebab Laksamana Megat Komeng gagah dan berani orangnya."
Deramang mengangguk dan menjeling Belitung. Dia direnangi kerusuhan kawannya itu. "Boleh jadi juga. Tapi aku fikir ada yang lebih gagah lagi."
Belitung benar-benar terkejut mendengar pengakuan itu.
"Kau tidak sepatutnya berkata begitu," katanya perlahan, dan mulai mengunyah semula. "Tidakkah kau dengar berapa banyak negeri yang sudah ditaklukinya? Tahukah kau berapa banyak manusia telah menjadi korban kerisnya?"
Deramang diam sahaja bagaikan kata-kata Belitung tidak memberi erti.
"Dulu pernah terjadi, dia dibunuh oleh lanun-lanun di tepi pantai. Setelah dia dibawa balik oleh isterinya, pagi esoknya, dia datang menghadap raja. Kemudian lanun-lanun itu semuanya ditawan dan ada yang dibunuh," Belitung meneruskan ceritanya setelah senyap beberapa ketika. "Ini adalah satu keganjilan dan keistimewaan Datuk Laksamana. Ia adalah satu kelebihan."
"Kalau Datuk Laksamana segagah itu, apa kurangnya Tengku Puteri?" jawab Deramang sungguh-sungguh. Dia fikir sejenak sebelum menambahkan, "Peristiwa pembunuhan Panglima Harimau Berantai umpamanya. Aku tengok kehandalan Tengku Puteri waktu dia membunuh panglima yang takbur itu. Kebolehannya itu luar biasa."
Belitung seperti menelan seluruh wajah Deramang. Dirasainya kebenaran hujah Deramang. "Ya, memang betul kata mu. Aku pun ada di sana dan aku sendiri menyaksikan dengan mata kepala ku Tengku Puteri bertikam keris dengan Panglima Harimau Berantai. Hairan aku melihat kegagahannya hingga dapat menewaskan musuh yang bukan kepalang."
"Eh, segagah-gagah harimau pahlawan di rimba, ada kalanya terperangkap juga." Deramang menegaskan sungguh-sungguh, meneruskan teorinya.
"Ya, sedangkan gajah berkaki empat, kadang kala tersadung jatuh terlipat," ujar Belitung dengan yakin.
"Ingat, Tengku Puteri menuntut ilmu hulubalang dengan Pendekar Adi Putera yang termasyhur itu," Deramang menjelaskan. "Adi Putera dan Megat Komeng pula sama guru. Sama handal. Pada Pendita Gempita Alam mereka berguru."
"Benar juga. Tapi sebelum panglima Sultan itu rebah ditikam mati, dia telah memberi luka di badan Tengku Puteri."
"Belitung, masa pun telah bertukar. Dulu lain, sekarang lain. Tengku Puteri sudah menjadi ayam sabung," kata Deramang dengan tegas. "Mungkin dia ada kelebihan sekarang."
Belitung mengangguk-anggukkan kepala.
Beberapa waktu lamanya mereka mendiamkan diri. Kemudian Deramang berkata, "Kalau menurutkan rasa, aku rela berputih tulang daripada berputih mata. Aku tidak gentar pada Laksamana Megat Komeng. Kalau boleh aku sendiri ingin menentangnya. Kekuatannya di hari ini tak sama dengan kekuatannya dulu."
Belitung tiba-tiba tergelak besar. Lantang. Menampakkan gigi.
Deramang kelihatan seperti orang tersinggung. "Kenapa kau ketawa macam orang gila ni? Apa yang menggelikan hati?"
"Aku bukan gila tapi aku tak tahan nak menahan geli hati aku. Kau, ular lidi nak telan naga? Duduk tak sama rendah, berdiri tak sama tinggi. Masakan kau boleh menentang Datuk Laksamana? Tak ada gunanya Deramang. Tak ubah seperti mencurahkan air di daun keladi. Apalah kepandaian kau, Deramang?" tanya Belitung, geli hati. "Jangan angin nak dijala. Megat Komeng tak hairan dengan engkaulah. Dia di luar keupayaan kau dan ilmu kelautan dia sukar ditandingi. Kau tak patut memperkecil-kecilkan Laksamana yang sudah berusia itu."
"Belum tahu, Belitung. Ini pendek bukan sebarangan. Walaupun badan kecil tetapi berjiwa besar. Sekarang kau dengarkan, ya? Aku nak berpantun," Deramang menghabiskan nasinya. Kemudian tiba-tiba melonjak bangun.
Dia memanjangkan leher, mahu melepaskan sendawa yang terdekat di anak tengkuknya. Penumbuk kanannya yang erat diusap-usapnya dengan tangan kirinya.
"Keledek bukan sebarang keledek. Keledek dibeli di Inderagiri. Pendek bukan sebarang pendek. Ini pendek penumbuk besi!" jelas Deramang dengan suara yang lantang. Sambil berkata demikian penumbuk kanannya diagungkan ke atas.
Dia membuka beberapa langkah silat seorang panglima menentang musuh. Entah macam mana, tiba-tiba dia terjatuh.
Belitung tersenyum dengan disertai gelak sinis. Telatah Deramang sangat lucu pada matanya.
"Kau terlonjak-lonjak, kau jatuh macam badak! Oh, kau ingat kau tahu berpencak, ya? Simpanlah silat kau itu Pendekar Pendek. Kau belajar, tahunya sudah tapi mahirnya belum," ejek Belitung. "Biru-biru burung serindit. Diberi makan si jambu mawar. Berapa tahun hujan di langit. Air di laut masakan tawar?"
"Serindit dadanya biru. Diberi makan buah yang ranum. Jika putus petua Tok Guru. Air yang masin dapat diminum," lurus lancar sahaja jawapan Deramang.
"Kalau begitu, aku pun orang yang gagah. Sekali aku makan nasi, habis lima pinggan," kata Belitung bangga.
"Itu bukan gagah, itu gelojoh!" Deramang menjawab selamba. Dia menjeling wajah Belitung. "Tak baik!"
Belitung kematian kata-kata. Dia mengakui kata-kata Deramang. Dia mengerti dan mengiyakan dalam hati biarpun tersinggung amat. Selesai makan, dia sendawa puas.
"Hairan, dulu Laksamana Megat Komeng seorang hamba rakyat yang taat setia pada kerajaan lama Perlak. Tapi sejak pemerintahan Ahmad Maulana, berubah sungguh perangainya. Aku tak mengerti mengapa tak semena-mena dia telah berubah corak. Apakah punca angkara ini?" Belitung bertanya dan matanya terus ke muka Deramang.
Deramang menggulung rokok daun nipah. Mencucuhnya ke api lentera yang terkelip terang dalam kepungan gelita yang menguasai sekitar. Kemudian menyepitkan di celah dua bibirnya. Dia merokok, cuba menenangkan fikirannya di kedinginan malam sepi.
Otot-otot rahang Deramang bergerak-gerak sebelum dia menjawab. "Mengapa Laksamana berkelakuan sedemikian? Begini, isterinya Tun Mandan pun handal bersilat. Kepandaiannya memang tidak ada tolok bandingnya. Isterinya itu telah banyak berjasa dan membantunya. Tetapi telah menjadi korban oleh Panglima Perang Tun Bija Ali, si penderhaka itu. Jadi, dia telah hilang pedoman. Maka itu semangat jahat meresap ke dalam tubuhnya dan menguasai dari segenap jiwa raganya. Ahmad Maulana berjaya mempengaruhinya."
"Oh, begitu," ujar Belitung dengan tenang.
"Ya, lebih kurang begitulah." Deramang berkata sambil berpaling ke Belitung. Dia meneruskan, "Negeri Perlak telah diserang oleh anak Putera Raja Siam. Ahmad Maulana meminta pertolongan dari Megat Komeng yang disimpan dalam penjara. Sebagai gantinya Megat Komeng dilepaskan selepas bersumpah akan setia di bawah panji-panji Perlak. Dia dititah untuk menghalau orang-orang Siam itu. Datuk Laksamana telah berjaya menjahanamkan dan membinasakan kapal-kapal mereka. Kemudian Datuk Laksamana mengetuai satu angkatan melanggar kubu orang-orang Siam di kota Kuala Kedah."
Belitung merenung dengan tajam ke muka Deramang. Dalam hatinya tertanya-tanya apakah kisah di sebalik wajah orang yang mendapat tempat di rumah Bendahara Mutalib itu. Di mana tempat lahirnya? Siapakah ibu bapanya?
"Deramang?" Belitung mengajukan pertanyaan.
"H-mmm?" Deramang menyoal kembali.
"Terangkanlah dari mana kau datang kerana aku hajat benar hendak mengetahuinya dan aku mahu tahu bagaimana kau boleh bekerja sebagai budak pesuruh di rumah Bendahara Mutalib." Belitung meminta penjelasan.
Deramang ragu-ragu, seakan-akan persoalan yang akan dikatakannya sulit dikeluarkan. Dia merenung kegelapan malam yang menangkup semua penglihatan dan mematikan rokoknya.
"Begini," akhirnya Deramang berkata. Dia membetulkan duduk sebelum mula bercerita. "Aku tak tahu aku anak siapa sebenarnya. Apa yang aku tahu, bapa aku telah mempersia-siakan aku dan dia juga yang menyebabkan ibu aku melarat dan menemui ajalnya di dalam sebuah gua di tengah rimba lalang. Bendahara yang tersesat jalan ketika pergi berburu, datang menyelamatkan aku dan membela aku dari semenjak masa itu.'
Terlalu sukar bagi Deramang untuk menguburkan kenangan pahit itu.
"Kemudian apa yang terjadi?" Yang bertanya menghabiskan sisa-sisa kopinya.
"Sebagai membalas jasa Bendahara yang amat besar kepada ku, dan asalkan aku ada tempat perlindungan, aku jaga semua ternak Bendahara, belah kayu dan ambil air di sungai."
Belitung terpegun dengan keterangan itu. Dia melihat muka kawannya itu dalam sinar lentera. Dia tidak dapat mengatakan apa yang sedang difikirkan Deramang.
"Aku tahu yang engkau berjiwa halus. Tapi siapakah kau yang sebenarnya?" Soalan itu dikemukakan oleh Deramang. Matanya berlabuh pada muka Belitung. Ingin mendapat sesuatu penjelasan.
"Entahlah. Aku sendiri tidak tahu," Belitung cepat menjawab. "Yang aku tahu aku hanya anak pungut tukang masak yang berkhidmat kepada Sultan Ahmad Maulana di istana Perlak. Tetapi sungguh pun begitu, dia telah dihukum bunuh secara keji oleh Sultan kerana masakannya kurang sempurna beberapa tahun lalu."
"Aku sungguh tertarik dengan cerita kau. Rupanya kita senasib. Kita tak banyak berbeza. Kita berdua sama sehaluan," kata Deramang sungguh-sungguh.
Belitung mengangguk-anggukkan kepalanya. Mengiakan. Dia meneruskan, "Aku cuba menghalangnya tapi ditewaskan. Aku diikat dan ditaruh di perahu. Dibiarkan hanyut. Garak jumpa aku pengsan di perahu. Mulai hari itu, aku ikut Garak ke Tanjung Penaga."
Deramang mengajukan soalan. "Jadi, kau ingin menuntut bela?"
"Ya, aku harus menyempurnakan sumpah aku dulu. Kematian ayah ku tetap ku bela. Sultan Ahmad Maulana telah berhutang satu nyawa kepada ku," Belitung menyatakan dengan terus-terang. "Aku mahu merasa manis dendam."
"Apa perhubungan Panglima Garak dalam perkara ini? Bagaimana pula dia boleh masuk campur?" Deramang bertanya dengan heran.
"Garak bukannya orang sebarang. Dia anak Orang Kaya Nandita yang telah dibunuh kawannya yang kitab, Tun Bija Sura, bapa Panglima Perang Tun Bija Ali," Belitung menerangkan.
"Mengapa Tun Bija Sura membunuh dia?" Kebingungan memancar di mata Deramang.
"Tun Bija Sura berbuat demikian semata-mata untuk menjaga satu rahsia," Belitung menambah keterangan lagi.
"Rahsia? Rahsia apa?" Deramang memohon.
"Isteri Orang Kaya Mandira curang padanya. Dia berzina dengan Bija Sura bila Mandira tiada," Belitung menjawab.
Sinar mengerti memancar di muka Deramang. "Kerana perempuan, kadang-kadang kawan pun boleh jadi musuh. Licik betul Bija Sura. Ibu Garak tu, ibu betul ke?"
"Bukan ibu tiri dan Garak pula masih budak lagi Selicik-licik belut, akhirnya ke ranjau juga. Si budak Garak ni melihat dengan matanya sendiri pembunuhan yang telah dilakukan oleh Bija Sura dan ibu tirinya itu. Dia dapat melarikan dirinya."
"Kemudian?"
"Garak terpaksa melarikan diri ke dalam hutan. Sejauh yang mungkin. Sultan Bachtiar Alam Shah yang sedang berburu telah dimaklumkan. Sebagai seorang Sultan yang adil, baginda menggunakan keadilannya untuk menyiasat dan mencari kebenaran perkara ini sedalam-dalamnya. Pengakuan Garak adalah bukti yang kuat dan bererti hukuman mati bagi Bija Sura."
Deramang menggeleng-gelengkan kepalanya. "Mati semut kerana gula, mati kehandalan lelaki kerana perempuan. Itulah cara orang yang gagah tewas."
"Walau bagaimanapun, anaknya Bija Ali bagaikan api di dalam sekam. Dia dendam kepada Sultan, terus dia menderhaka. Rupanya selama itu Bijak Ali sudah bersiap sedia dan mempunyai pengikut-pengikut yang cukup lengkap dengan segala alat senjata. Dia bersama orang-orangnya telah membuat rusuhan, menyerang istana dan mengambil alih kerajaan Perlak. Sultan anak beranak ditangkap dan dihukum mati. Dengan izin Tuhan, Tengku Puteri selamat. Bendahara Mutalib mengambil Tengku Puteri sebagai anak angkat kerana dia pun tak mempunyai anak dan memeliharanya dengan segala kasih sayang sejak kecil hingga dewasa."
"Takdir telah meletakkan Tengku Puteri di bawah jagaan Bendahara Mutalib," ujar Deramang perlahan.
Belitung memandangnya. "Satu lagi perkara diperlukan untuk memenuhi takdir Tengku Puteri. Kalau mengikut adat berzaman, Tengku Puteri sepatutnya berhak digelar Raja Ampuan Perlak, menggantikan Sultan yang mangkat. Dia waris sejatinya. Tapi haknya itu masih di dalam pegangan orang lain."
Deramang memberengut oleh berfikir.
"Nyatalah sekarang Tengku Puterilah yang berhak bersemayam di atas takhta itu," katanya kemudian
Belitung mengangguk. "Itu pasallah Tengku Puteri nak cari Pendekar Adi Putera, minta pertolongan. Kalau dengan dia, 10 macam Laksamana Megat Komeng pun tak gentar mereka menentangnya."
Belitung berdiam diri. Kemudian dia merubah arah percakapannya. "Aku cuma mendengar Pulau Puaka itu berpuaka. Asal usulnya aku tak tahu. Berapa banyak kau tahu tentang Pulau Puaka?"
Deramang mengingat-ingat. "Dari kisah yang ku dengar, mereka gelar ia Pulau Puaka kerana satu sumpah seorang panglima kerajaan Ganggayu yang telah dikalahkan oleh musuh sebelum dia menghembuskan nafasnya yang akhir." Deramang berfikir-fikir terus. Nafasnya dihela panjang. "Mengikut kepercayaan daripada orang dulu-dulu kala, di situlah tempatnya dua kerajaan dulu dari negeri Gangga Negara dan Ganggayu bertempur. Pendekar Ganggayu itu handal-handal berlaka." Dia diam lagi oleh berfikir.
"Kemudian apa? Teruskanlah," kata Belitung tertarik. Matanya bersinar-sinar oleh pengharapan besar.
Deramang menggeliat. Kemudian menyusul sambungannya:
"Nasib tidak menyebelahi Ganggayu. Ada pengkhianat yang memperdayakan mereka semua. Namanya Kasmiran. Dia disumpah menjadi gergasi. Gergasi itu berjalan dengan tidak tentu arah di dalam hutan Pulau Puaka dan tidak boleh dibunuh dengan kekuatan manusia sebab dia ada kuasa yang ghaib. Pendek kata kalau dia jalan, apa yang di depan, pokok-pokok dicabut, ranap habis sama sekali."
"Dengar cerita, gergasi itu berkeliaran sehingga kini. Tapi kata orang tua-tua dulu, ada seorang pendekar akan sampai ke sana dan akan membebaskan pulau itu dari kegelapan dan pulih seperti sedia kala. Itulah ceritanya dan begitulah di akhir ceritanya."
"Oh, begitu," Belitung berfikir sebentar. "Kau tak boleh percaya akan cakap-cakap begitu. Aku rasa itu semua mengarut. Itu semua bohonglah Deramang. Itu hanya rekaan orang untuk menakutkan orang-orang lain "
"Aku tidak bersetuju dengan kata-kata kau itu. Gergasi memang ada, jikalau tidak masakan manusia mempercayakannya turun-temurun?" Deramang mengingatkannya.
Belitung menggelengkan kepalanya. "Bagaimanapun, aku yakin itu adalah rekaan orang yang ingin memperdayakan kita semua. Cerita-cerita mengenai gergasi itu dongeng semata-mata. Hanya kepercayaan karut dan ia mungkin dah ditokok tambah."
"Kalau itu yang kau percaya, baiklah," kata Deramang menantang. "Kalau sekiranya gergasi itu datang bagaimana?"
Belitung mengeluh dalam.
"Kalau gergasi itu datang?" katanya mengulangi. "Aku silakan duduk wahai gergasi. Belakang aku kasi kiri, aku kasi kanan, sampai dia lembik." Dia memencak membuat langkah memarang angin dengan kedua tangannya, dengan sewenang-wenangnya saja seperti tidak membilang lawannya itu.
Deramang mendengarkan dengan penuh perhatian.
Belitung memandang Deramang dan bertanya, "Dia tak boleh pandang aku punya muka, kau tahu?"
Kali ini Deramang pula berpaling kepada Belitung demi mendengar kata-kata itu. "H-mmm... agaknya muka kau sial kot?"
"Bukan sial," Belitung membetulkan. "Aku punya muka ni, kau tahu?"
Tak ada terdengar Deramang menjawab.
Belitung meneruskan, "Bila aku tenung... lembik. Itu belum aku menderam lagi."
"Kalau menderam macam mana?" Deramang bertanya dengan tidak sabar.
"Kalau menderam, h-mmm! Hancur!" Belitung menjawab langsung. "Itu belum aku bertempik lagi."
"Kalau bertempik macam mana bunyinya?" tanya Deramang lagi, gagal mengawal perasaan ingin tahu di dalam hatinya.
"Kalau aku bertempik? Berdebakkkk! Dengan dia, dengan aku, sekali ghaib!"
Deramang tertawa pendek. "Macam-macam kau ni, Belitung!"
Belitung menyeringai.
Kemudian keduanya berdiam diri, tenggelam ke dasar sepi. Terbenam dalam angan-angan.
Sepi berlarutan menyongsong malam.
Desir angin kasar berlalu, melanggar perahu itu dan sepi dirobek oleh bunyi alun memukul perahu.
Belitung mengangkat kepala memandang Deramang. Tapi Deramang tak tahu akan pandang yang terarah padanya itu.
"Deramang?" tanyanya pelan.
Pertanyaan itu membuat Deramang terjaga dari ingatannya pada hari-hari yang berlalu.
"Apa dia, Belitung?" sahutnya tak mengerti.
"Macam mana kita nak cam Pendekar Adi Putera itu? Adakah kau pernah bertemu dengannya?" Belitung berkata, mempercakapkan masalah yang kini sedang memenuhi fikirannya.
Deramang mengangkat bahu. "Aku sendiri tidak tahu bagaimana rupanya."
"Kalau begitu, sama-sama tidak tahu," kata Belitung kecewa.
"Mungkin dia cam kita," kata Deramang tak bertujuan.
"Kau tu mengarut saja," ujar Belitung membantah. "Sudahlah, jangan merepek."
Deramang tersenyum mengerti. Untuk satu dua minit tampak Deramang terdiam kerana sedang berfikir keras. Tiba-tiba meluncurkan suaranya:
"Menurut kata Tengku Puteri, Pendekar Adi Putera ini rupanya Tun Nila Utama dari kerajaan lama Perlak. Telah Tengku Puteri terangkan, Tun Nila itu pernah menjadi sahabat Laksamana Megat Komeng dan sama guru. Kalau begitu, Tun Nila sebaya dengan Megat Komeng. Dia adalah seorang tua."
"Nah, itu sudah bagus sekarang," ujar Belitung dengan suara riang.
Sepasang mata yang lain ikut bersinar.
Kini angin yang dingin disertakan pula oleh hujan yang mulai turun renyai-renyai. Kemudian kilat yang berentetan menyapa.
"Eh, hari dah hujan!" Deramang menutupi wajahnya dengan terendak di kepalanya. "Apa yang kita duduk di sini? Mari kita berteduh!"
Deramang memberi isyarat pada Belitung supaya segera ke khemah kecil dari tikar mengkuang yang merentang perut perahu itu. Khemah kecil yang hanya memuatkan dua tubuh manusia.
Mata Belitung terpusat pada kain layar perahu itu yang terliuk-liuk menurut hala angin.
"Tunggu sekejap!" katanya cepat-cepat.
Deramang buru-buru menegahi, sedikit bingung. "Apa lagi yang kau nak buat ni?"
Belitung mengangkat tangannya, memberi isyarat, berusaha menenangkan Deramang yang nampaknya tegang dan seolah-olah meminta kawannya untuk bersabar sebentar.
Deramang yang dalam mata berpinar, merenung langkah Belitung dengan cepat bingkas dari duduknya. Petak-petak perahu yang licin dilangkahnya dengan mudah. Sebentar kemudian nampak tangannya berhawang-gawang, menurunkan tiang layar dan menggulung-gulung kain layar itu.
Deramang melihat Belitung harus bekerja keras seperti budak di bawah majikan yang kejam, kemudian berbalik dan segera mendapatkan beg galasnya. Beg kulit kambing itu digalas kemas di bahu kanannya.
Dengan lentera yang menyala malap di tangannya, Deramang melangkah menuju ke khemah dengan langkah yang cukup berhati-hati.
Belitung yang menyusulnya di belakang menggunakan segala daya tenaganya untuk mendapatkannya, mengikuti Deramang ke dalam khemah.
Deru hujan, suara angin dan tempikan guruh bercampur menjadi satu, menerbitkan bunyi yang kuat dan mengerikan. Perahu itu terhoyong-goyang menahan arus. Suasana yang tadinya tenang serta-merta bertukar cemas.
Kecemasan merentap tangkai hati Belitung. Dia semakin disiksa oleh kebimbangan. Dia berkata kepada Deramang, "Aku bimbangkah, Deramang. Angin ribut yang semacam ini, alamat yang tak baik." Tangannya dihayun untuk menceduk air dalam perahu. Perasaannya tidak tenteram sekali.
"Aku pun begitu juga," ujar Deramang sambil mengikat kemas-kemas tali beg galasnya. Tali itu melingkar tubuhnya. Kemudian dia membetulkan letak duduknya.
Hujan yang bertali arus dibantu oleh ribut deras terus menggila. Perahu itu terasa bergolek ke kiri dan ke kanan, ditolak riak dan alun.
Jauh ke dalam diri, rasa sejuk yang amat sangat sedang menjerat Belitung dan Deramang. Bulu-bulu roma mereka tegang dan kejang.
Tidak berlengah lagi, Belitung menjangkau bungkusan yang terletak di atas keranjang besar di hadapannya. Dia membuka bungkusan yang berisi beberapa helai gebar tebal.
Belitung berpaling kepada Deramang yang duduk di hadapan kawannya itu dengan wajah termangu lalu menyondorkan gebar sehelai ke tangannya.
Si kerdil bertubuh kecil itu mengambilnya.
Mereka membungkus badan dengan gebar masing-masing.
Yang satunya bertanya dengan penuh harap, "Macam mana kita nak cari Pulau Puaka dalam ribut tebal begini, Deramang?"
"Jangan bimbang Belitung, kerana Yang Maha Adil ada," ujar Deramang membujuk. "Tabahkanlah hati mu dan taatlah pada perentah Tengku Puteri."
Belitung terdiam sejenak. Akhirnya dia berkata, "Tapi perasaan hati aku tak tenang, Deramang."
Deramang mengerutkan alis. "Kenapa?"
"Entahlah. Mungkin sesuatu akan berlaku," sahut Belitung datar.
Sejenak sunyi, sementara Deramang memandangi Belitung yang gelisah dengan sikap tidak peduli. Kemudian dia berkata, "Dengar baik-baik pesanan aku ini. Walau apa pun yang menimpa kita, sempurnakanlah sebagaimana yang diamanahkan oleh Tengku Puteri."
Belitung menyetujui hal itu. "Pulau Puaka. Ya, kita mesti sampai ke sana," katanya seraya memandang ke luar khemah.
Di luar, cuaca redup dan hujan terus turun. Tiba-tiba pada matanya tergambar kehebatan ketakutan.
"Tengok tu! Air tu berpusing!" Belitung menunjuk ke permukaan air yang berputar. Dia masih meragui pandangannya.
Deramang mengikuti arah pandangnya. Hatinya cemas berdebar-debar. "Ah, ah lah. Nampaknya lubuk pusar!"
Bunyi perahu terlanggar sesuatu masuk ke telinga mereka. Serentak dengan bunyi itu, perahu bergegar sehingga mereka tersentak. Hati mereka dijaring gelisah dan risau.
"Eh, kau dengar tak, Belitung?" Deramang bertanya dengan cemas.
Belitung bangkit.
"Deramang! Deramang! Lekas selamatkan diri! Perahu pecah!" Dia berteriak dalam keadaan cemas dan terperanjat. Jari telunjuknya mengarah ke lantai, dinding dan kerangka perahu yang punah. Air laut berlumba-lumba masuk seperti air keluar dari empangan bocor.
Suara Belitung tenggelam dalam suara arus yang menggila dan ketika itu juga badannya terhumban ke air. Antara sedar dengan tidak, tubuhnya yang kurus melidi itu bagaikan terapung-apung di tengah samudera yang luas.
Deramang tenggelam punca. Dia benar-benar berada di dalam keadaan serba salah. Gelombang yang tinggi seperti gunung perlahan-lahan membawa Belitung hilang dari pandangannya.
Lalu dia bergumam pada diri sendiri, "Selamatlah hendaknya engkau, Belitung."
Deramang tergelincir dan terus jatuh ke dalam laut dan hilang didakap malam.
Perlahan-lahan perahu tenggelam di dalam air.
Lubuk pusar tetap ligat berpusing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience