Cetera Yang Pertama 7 - TAKDIR PENENTU SEGALA

Adventure Series 1713

KETIKA itu sudah tengah malam. Ada sekumpulan hulubalang Perlak berbual sesama sendiri di Balai Penjara. Tiga orang semuanya. Duduk mengelilingi meja dekat pintu penjara sambil makan sesikat pisang.
"Apa sudah jadi kita ni, asyik duduk di sini saja," kata Daik, salah seorang daripada mereka. Dia seorang lelaki kurus jangkung. Umurnya dua puluh enam tahun.
"Nampaknya, begini lama kerja kita menjaga penjara sajalah," keluh Ujang, kebosanan. Hulubalang itu seorang lelaki berusia tiga puluhan dan di wajahnya terdapat bekas luka.
"Bukan nampak lagi, sudah jadi kewajipan kita sekarang," Daik memintas.
"Inikan pekerjaan kita," Nibong menerangkan.
"Agaknya meja ini telah jelak menyaksikan kita tiap-tiap hari," dengus Ujang, mengerut kening.
"Boleh jadi orang di tepinya merasa jelak," kata Daik. "Bukan meja ini kerana meja ini bisu. Tak boleh bercakap."
"Benar kata-kata mu itu," Nibong mengiyakan cakap Daik.
Hening. Kebisuan mengisi ruang Balai Penjara.
"Kalaulah di bawah meja ini ada harta yang tersimpan, kita akan menjadi orang yang paling kaya untuk selama-lamanya." Tiba-tiba Ujang bersuara sambil memamah pisang dalam mulutnya.
"Itu sudah tentu," kata Daik dan mengambil sebiji pisang lalu membuka kulitnya. "Aku akan jadi seorang yang paling kaya sekali dalam negeri ini dan lebih dari Sultan."
"Ewah, jika kau kaya lebih dari Sultan, tentu kau kawin dengan tuan puteri, bukan?" cadang Ujang.
Daik menyuap pisang di tangannya. Dengan mulut penuh makanan, dia menyahut, "Ya, boleh jadi aku akan kawin dengan tuan puteri." Dia menelan dan diurut ya dadanya dengan tangan. Dia memandang Ujang. "Kalau aku kawin dengan Yang Mulia Tuan Puteri Lela Sari, apa kata kau?"
"Ah, gunalah akal mu sedikit, Daik. Tengku Puteri berdarah Raja. Sedangkan kau pula orang kebanyakan," Ujang menghujah. "Huh, adakah pipit hendak terbang bersama helang? Baik kau lupakan saja tuan puteri itu daripada kau menyiksakan diri kau."
Daik menyuap baki pisang dan membuang kulitnya ke meja.
"Itu tak menjadi soal, Ujang. Kan kita sebangsa dan seagama?" katanya kemudian dan matanya tajam ke arah Nibong. "Tak gitu, Nibong?"
"Apa kau pikir Lela Sari akan menerima kau?" Nibong mencemik. "Tak kan tercapai hajat mu."
Kata-kata yang terpacul keluar dari mulut Nibong benar-benar mengecewakan Daik. "Jadi tak jadi, itu aku punya pasal. Selagi hayat dikandung badan, ada harapan!"
'Kalau begitu, apa yang kau kuatirkan?" tanya Ujang.
"Eh, ada tak kuatir?" tegas Daik. Dia merenung Ujang. "Manalah tahu kalau-kalau si Nibong ini nak memotong haluan pula!"
"Daik! Kenapa ke situ pula tuduhan mu?" suara Nibong meradang. "Kalau aku mengatakan tidak? Ha, bagaimana?"
"Yang kau marahkan aku ni, apa pasal pula?" Daik menyoal.
"Kerana mulut kau tu biadap!" jawab Nibong dengan suara lantang.
"Apa biadap? Mulut kau yang biadap!" ujar Daik tanpa gentar sedikit pun. Kemudian menunjuk kepada Nibong. "Barang kali kau yang ada apa-apa. Datuk Bagok ada mengatakan kau sukakan Lela Sari!"
Kata-kata Daik itu menimbulkan kemarahan Nibong. Dia menghantam tinjunya ke meja.
Ujang menoleh kepada Nibong dan berkata sungguh-sungguh, "Eh, sudahlah. Sabar. Bertenang, bertenang."
Nibong menahan amarah. Kemarahannya terbentuk oleh nada suara Ujang yang merayu.
Daik menentang Nibong dengan pandang memusuhi, tapi dia tak berkata apa-apa. Kedua sikunya bertekun di meja.
Ujang mencapai sebiji pisang di sudut meja. Setelah mengupas kulit, menyuap dan mengunyahnya. Kunyahannya rancak dan berdecap.
"Tetapi perkara ini kita tidak boleh tinggal diam saja. Aku ada lain jalan," katanya kemudian. Lalu menoleh kepada Nibong.
Nibong mengangguk, penuh minat.
"Sekarang ni, begini." Pelan-pelan Ujang mengangkat dirinya dari kerusi dan maju selangkah ke arah Nibong. Jarinya menunjuk ke satu sudut. "Nibong, kau ke situ."
Nibong berdiri tegak dan mengikut apa saja yang diperintahkan oleh Ujang.
Ujang memandang Daik.
"Daik, di sebelah sini," katanya, menunjuk ke arah satu penjuru.
Daik segera melakukan perintah Ujang.
Ujang mengambil dua biji pisang dari atas meja. Kemudian dia menoleh kepada Nibong. Dia menunjuk sebiji pisang dan berkata, "Hah, ini kepala bapak kau."
Pisang itu dilemparkan kepada Daik, ke hujung kakinya.
Ujang melarikan matanya dari Nibong, lalu memandang tajam kepada Daik. Tangannya menunjuk sebiji pisang lagi.
"Ini pula kepala bapak kau," katanya kemudian.
Dia segera mencampakkan pisang itu ke sisi kaki Nibong.
Ujang berfikir. Kemudian berkata, "Kalau betul-betul anak jantan... "
Belum habis Ujang berkata-kata, Nibong meluru ke hadapan dan menghentak-hentak pisang itu dengan kakinya beberapa kali. Kemudian bunyi tapak kakinya mati. Dia seolah-olah puas hati.
Daik mengetapkan bibirnya menahan kemarahan yang memuncak. "Kau berani sungguh, ya?"
"Sekarang giliran kau, Daik," kata Nibong mendatar lalu beberapa langkah hulubalang masuk medan digayakan. Dia mematikan gerakan silatnya. Keris di pinggang dipegangnya erat-erat. Pemuda itu siap siaga.
Daik cemas dan gementar melihat kelakuan Nibong. Dia takut Nibong bertindak sebarangan. Terkelip-kelip mata Daik dibuatnya.
"Daik, apa ditunggu?" Ujang mencabar.
Daik terbungkam kaku. Tiada sebarang jawapan terlintas di pentas akal untuk dipersembahkan kepada Ujang.
"Sekarang kepala bapak kau di bawah telapak kaki Nibong. Engkau bila pula?" Ujang menyerang dengan tajam.
Daik membungkam juga.
"Ala, kau mana berani," Ujang mencampakkan kata itu dengan nada meremehkan.
Daik tidak mampu berdiam diri lagi, dia sudah tidak mampu. Ujang mengejeknya. Seolah-olah mencemuh kelemahannya untuk bertindak.
Nibong terus mengancam. Dia melaung sambil mengait kembali buah persilatan.
Ujang bercekak pinggang macam patong batu.
Daik merasa dirinya kena ejek. Ujang yang berdiri tegak menghadap kepadanya itu diperhatikannya dengan tajam.
"Wah, cekak pinggang kau, ya?" tanya Daik, dan berhenti seketika. "Itu kepala bapak aku," tangannya menunjuk pisang yang sudah lunyai di tapak kaki Nibong.
Ujang memerhatikan Daik. Dia memerhatikan Daik dengan sedikit keraguan.
"Ini kepala bapak Nibong," tangan Daik menunjuk ke arah pisang yang tak jauh dari kakinya. "Kepala bapak kau di mana?" tanyanya kepada Ujang.
"Kepala bapak aku tak ada," jawab Ujang dengan tenang.
"Tak ada?" tanya Daik kembali, geram.
"Tak adalah," sahut Ujang.
"Mengapa pula begitu?" Suara Daik masih geram. Kemudian muka Nibong ditenungnya. "Adakah patut?"
Nibong berpaling kepadanya. Dia sedar sepenuhnya sekarang, dirinya dipermain-mainkan dan menjawab, "Tak patut!"
Dengan tidak semena-mena, Daik menerkam ke arah Ujang.
Ujang terpinga-pinga. Dia rebah tertiarap ke lantai.
Dengan tangkas Daik duduk di atas belakangnya, menangkap dua pergelangan tangannya dan disengkelingkan ke belakang. Daik terus memegangnya dengan erat. Ujang dapat merasakan betapa dua-duanya untuk melawan.
"Daik, pegang dia kuat-kuat!" perintah Nibong.
"Baik!" Daik menuruti.
Nibong mencangkung menghadap Ujang sambil mengepal tinjunya. Dia mengetuk kepala Ujang. Ketukan itu bertubi-tubi.
"Oooo... kau cuba memperbodohkan kami, ya!" herdik Nibong. Matanya merenung Ujang tajam-tajam.
"Hoi! Kau orang buat apa?" Suara Datuk Pengawal Bagok lantang menegur.
Nibong terperanjat tiba-tiba. Dia menoleh ke arah suara itu.
Daik juga.
Ujang mendongak. Sekali lihat saja dia dapat melihat Bagok sedang bergerak ke arah mereka. Nampak sesuatu yang dibawanya. Talam berisikan hidangan yang menimbulkan selera.
Datuk Laksamana Megat Komeng dan Panglima Jelutong berjalan di belakangnya.
Semua yang ada di Balai Penjara berasa terkejut bukan kepalang.
Daik merenggangkan diri dari Ujang, dan bersama Nibong mengangkat Ujang dari lantai.
"Apa mulanya jadi begini, Nibong? Aku nak tahu perkara ini yang sebenarnya," suara Bagok kasar.
Nibong segera menjelaskan perkara sebenarnya. "Daik gila bayang dengan Lela Sari. Tiba-tiba dia menuduh hamba nak rampas Lela Sari."
"Bila dengar kami bising-bising, Ujang merangsang kami." Kali ini terdengar suara Daik dengan nada menarik perhatian Bagok.
"Merangsang yang macam mana?" Bagok mendesak, penuh minat.
Nibong berkata, "Dia ajarkan kami bagaimana cara-cara berkelahi."
"Benar, Datuk. Inilah mulanya kami bergasak, Datuk," kata Daik pula.
"Itu tidak benar, Datuk!" sela Ujang dengan gelisah. "Bukan salah hamba, Datuk!"
"Sudah, diam!" bentak Megat Komeng tiba-tiba. "Aku tak mahu mendengar percakapan ini lagi!"
Mata Datuk Laksamana itu berkisar dengan bengis ke arah Daik, Nibong dan Ujang. Tersirap darahnya melihat kelakuan mereka tadi. Darahnya naik. Kemarahannya memuncak. Dia lantas mengherdik, "Kamu semua ingat baik-baik. Jangan main gila kat sini. Barang siapa yang ingkar, buruk padahnya! Mengerti!"
"Mengerti, Datuk," Ujang gementar.
"Harap maafkan kami, Datuk," sahut Nibong dengan kesal.
"Mana Lela Sari?" Megat Komeng segera bertanya.
Ketiga-tiga mereka berkata serta-merta bagai diatur, "Dia di dalam."
"Bagaimana dengan keadaannya, Nibong?" tanya Megat Komeng lagi.
"Usahlah Datuk gusarkan sangat terhadap Lela Sari. Lukanya tak seberapa. Segala-galanya telah diuruskan oleh Tok Dukun Gadik. Dia dalam selamat, Datuk," jelas Nibong.
Megat Komeng melepaskan pandangan dari mereka. Kemudian dia merenung Bagok dan Jelutong.
"Kamu berdua tunggu di sini," dia berkata tegas.
"Baik, Datuk," balas Bagok. Dia menghulurkan talam kepada Datuk Laksamana.
Megat Komeng mengambil talam itu dari Bagok.
"Ujang, iringan Datuk Laksamana dan tunjukkan bilik Lela Sari," perentah Nibong kepada Ujang.
Ujang menganggukkan kepalanya dan berjalan ke pintu ruang penjara. Kemudian palang pintu itu diselak dan kedengaran anak kunci berbunyi dan akhirnya pintu itu terbuka dengan luasnya.

DI dalam ruang penjara terdapat lapan sel tahanan. Sel itu dipisahkan oleh pagar batang-batang besi sebesar ibu jari. Pintunya bertentangan di antara satu sama lain. Jarak di antara pintu-pintu yang bertentangan itu dipisahkan oleh sebuah lorong yang hanya cukup untuk dua orang pengawal penjara berulang-alik.
Sel tahanan nombor tiga amat sederhana. Satu tempat tidur yang rendah disediakan pada satu penjuru di tepi dinding berhampiran dengan jendela yang berbaring, sepasang bangku kecil tanpa sandaran dan satu meja kayu yang kasar, itulah isinya. Lela Sari yang ditempatkan di dalamnya terkapar di pembaringan.
Dia kelihatan kuyu, seakan-akan kerana kelemahan dan memerlukan kerehatan. Meskipun ada kerehatan, tapi mengantuknya tak kunjung tiba. Matanya pejam celik. Payah hendak lelap. Fikiran dan perasaannya berjalan dan menjalar. Perasaannya berkata dengan lantang. Tewas tidak selamanya bererti kalah, dan menang pula tidak selamanya bererti jaya. Demikian Lela Sari memutuskan.
Lela Sari cuba melelapkan mata. Namun rasa mengantuknya tetap tak kunjung tiba. Dipejam matanya kuat-kuat. Gagal kerana ada orang cuba membuka pintu selnya dari luar.
Dia bangun dan duduk di birai katil. Matanya melirik untuk melihat siapa sebenarnya yang membuat gerakan yang membangkitkan kecurigaannya.
Laksamana Megat Komeng dan Ujang tersembul di muka pintu.
Bunyi pintu berkerut. Pintu dibuka Ujang.
Megat Komeng pun masuk.
"Tengok siapa di sini. Datuk Laksamana Megat Komeng. Sebab itulah beta tutup mata tak lelap. Rupanya Laksamana Perlak nak datang," kata Lela Sari. Suaranya lembut.
"Bak kata orang, rapat dengan kawan dan lebih rapat dengan musuh," sahut Datuk Laksamana dengan ramah sambil matanya memerhatikan gadis yang sedang duduk di birai katil.
Dia menoleh ke belakang dan berkata, "Tinggalkan aku dengan Lela Sari. Aku akan panggil kamu bila aku sudah selesai."
Terdengar suara pintu sel ditutup dan Ujang melangkah pergi.
Megat Komeng berjalan menuju meja. "Patik gembira melihat Tengku Puteri beransur sembuh."
Lela Sari diam dan memandang Datuk Laksamana dengan pandang curiga.
"Apa maksudnya hingga membawa Datuk ke mari?" tanyanya kemudian.
"Patik bawakan santapan malam untuk Tengku Puteri," jawab Megat Komeng lalu duduk di bangku. Dengan hati-hati dia meletakkan talam berisikan makanan dan minuman di atas meja lalu membuka tudung sajian.
Gadis itu mengerutkan kening.
Ada ayam goreng, udang berkuah lemak, sepinggan nasi dan semangkok air basuh. Juga sebuah takat, cangkir dan sehelai tuala kecil.
Megat Komeng menuangkan teh ke dalam cangkir dan berkata, "Jemput duduk Tengku Puteri dan sudilah kiranya Tengku Puteri menjamah hidangan yang tidak sepertinya ini."
Gadis ramping yang duduk di birai itu bangun, berjalan ke arah meja. Namun kalinya yang dirantai di pergelangan kaki membuat jalannya susah. Rantai di kakinya berbunyi gemerincing. Perlahan-lahan dia mendekati meja dan duduk berhadapan dengan Megat Komeng. Dia memandangi hidangan yang masih mengepul asap itu. Terbit seleranya.
Setelah Lela Sari duduk, Megat Komeng berkata, "Silakan santap Tengku Puteri."
Lela Sari menancapkan pandangan yang tajam pada Datuk Laksamana.
"Marilah santap bersama beta," pelawanya.
"Tengku Puteri yang lebih utama. Silakan," balas Megat Komeng memberi alasan.
Lela Sari mengangguk-angguk kepala tanda setuju dengan alasan itu. Kemudian membasuh tangannya. Setelah itu dia menyuap satu-satu nasi ke dalam mulutnya. Sungguh dia lapar, tapi gadis itu tidak seperti orang kebuluran.
Sementara di seberang meja, Megat Komeng mengamatinya. Buat seketika, renungan Lela Sari bertemu dengan pandangan Laksamana itu.
Bening sejurus. Beberapa saat mereka berdiam diri dalam suasana canggung.
Akhirnya, Megat Komeng berkata dengan sececah kemesraan, "Tengku Puteri sudah semakin dewasa. Lebih dewasa dari yang patik sangkakan. Apa khabarnya Bendahara Mutalib, ayah angkat Tengku Puteri? Sudah lama patik tidak mendengar berita daripadanya."
"Kabar baik, Datuk," sahut gadis itu sambil terus menyuap nasi.
Megat Komeng memilih ayat penuh cermat. "Sudah sekian lama Datuk Bendahara menghilangkan diri dari istana. Ayah angkat Tengku Puteri telah mengumpulkan orang-orang untuk berpakat, memberontak menentang kekuasaan Sultan. Orang-orang yang dia kumpulkan itu tidak seberapa berbahaya, tetapi hasut dan tujuan Bendahara menentang Sultan adalah satu kesalahan yang besar."
Sejenak Lela Sari mengunyah-nguyah perkataan itu dalam fikirannya kemudian berkata dengan hati-hati, "Dulu beta selalu mendengar kisah Datuk dari ayah angkat beta. Dikatakannya Datuk berani, Datuk gagah. Dikatakan sangat bijak dan tajam pemikirannya. Diutus ke sana ke mari. Datuk telah berkorban kepada Raja lebih daripada panglima-panglima lain. Kadang-kadang beta cuba membayangkan macam mana rupa Datuk. Begini lama barulah sekarang beta dapat melihat muka."
"Itu dulu. Tak usahlah dikenang perkara itu semua, Tengku Puteri. Barang yang sudah lepas, tak usah dikenang lagi. Peristiwa hayat yang lalu usah diambil tahu. Apa yang sudah jadi, sudah terjadi. Jangan mengingatkan patik. Masa depan yang penting."
Setelah sesuap demi sesuap, Lela Sari merasa perutnya menyenangkan, rasa panas di dalam. Dia menghirup tehnya dan kemudian berkata, "Kalau dah begitu, kita cakap soal lain pula."
Beberapa saat lamanya mereka duduk diam.
Akhirnya Megat Komeng berkata, "Tengku Puteri tak mengecewakan dan bertarung hebat hari ini. Nampaknya sungguh-sungguh benar Tengku Puteri hendak membunuh patik. Semangat yang berkobar-kobar dan keinginan... "
"Jangan Datuk fikir perempuan hanya pandai memegang pisau di dapur," celah Lela Sari.
"Dah lama patik tak jumpa orang yang berani mencabar patik. Bertikam secara bertentang mata. Banyak yang teragak-agak. Mereka yang takut ditakluki, sudah pastinya tewas," terang Megat Komeng.
"Terima kasih atas pujian itu. Seorang satria perlu berani," Lela Sari cepat memberi reaksinya. "Tetapi takdir telah diatur, kekalahan beta tak dapat dielakkan, Datuk. Segala yang terjadi adalah takdir. Beta tak bertuah hari ini. Itulah adat berperang."
Dara sunti yang naik ranum itu menerima segala yang berlaku dengan tenang saja. Kulit mukanya tidak sedikit pun berkerut.
Selang beberapa saat, Megat Komeng bertanya kepadanya, "Apa sudah ubah pendirian, Tengku Puteri?"
"Menyerah kalah? Itulah yang Datuk maksudkan, bukan?" Lela Sari mencibir. "Tidak ada perubahan. Sedia menentang apa saja sehingga titis darah penghabisan. Orang seperti Sultan Ahmad Maulana tidak layak menduduki takhta itu. Sumbang di mata ramai. Sultan adil, Sultan ku sembah. Sultan zalim, Sultan ku sanggah."
"Itu kuasa namanya dan itulah gunanya kuasa," Megat Komeng cuba menerangkan sesuatu. "Dapat menakluki segalanya."
"Kuasa untuk membawa kemudaratan," suara Lela Sari tajam kerana jengkel. Ada nada memperolok- olokkan pada suaranya. Kemudian dia meneguk lagi tehnya.
Si Laksamana senyum dingin, seakan baru saja mendapat penghinaan yang tak tertahankan. Dia merasakan kemarahannya bangkit tapi dia tidak ingin bertengkar. "Kejahatan dan kebaikan tak wujud. Hanya ada kuasa. Yang berkuasa ditakuti kerana begitu resamnya dunia. Tengku Puteri mesti ingat. Sultan Ahmad Maulana berkuasa penuh. Barang siapa berani menentang, binasa padahnya."
Lela Sari mengangkat kening. "Ikatan Datuk dengan Sultan sangat kuat."
"Siapa yang memerintah, dialah yang patik sembah. Sultan mesti dipatuhi. Apa yang diperentahkan, itulah patik lakukan. Di dalam tubuh patik hanya mengalir satu perasaan saja iaitu taat setia pada baginda. Ketaatan tanpa ragu-ragu lagi biarpun mengorbankan nyawa. Dilayang, patik melayang. Digolek, patik bergolek. Segala perentah patik setujui. Namun membantah, tidak sekali. Sebab inilah diri patik."
Lela Sari menggelengkan kepala. "Sifat merendah diri yang tidak kena pada tempatnya. Kalau perentahnya adil dan benar, memang kita mesti taat, tapi Sultan Ahmad Maulana sudah melampaui batas, Datuk. Tak harus jadi pemerintah. Beta tidak rela menjadi kerbau dicucuk hidung. Mengikut saja apa kata Sultan itu."
"Sultan umpama durian. Tengku Puteri umpama mentimun. Kalau sudah mentimun, jangan bercakar dengan durian. Menggolek luka, digolek pun luka. Ah, mengapalah Tengku Puteri nak berkeras sangat? Jangan jadikannya sukar. Penentangan adalah sia-sia. Mengaku kalah sekarang atau kecundang selama-lamanya."
"Tidak sekali-kali!" Lela Sari menukas.
Tiba-tiba dendamnya kembali membakar, marak hingga jauh menjalar ke sudut hati. Bagaikan tidak dapat dibendung, tidak dapat dipadamkan lagi. Perasaan dendam itu hidup dengan subur.
"Jadi, Tengku Puteri menolak?" Pertanyaan itu mendadak meluntur dalam otak Megat Komeng.
"Bukankah sudah beta katakan? Biar hancur tulang berderai, namun menyerah tidak sekali. Kalau sudah kaki melangkah, namun undur setapak tidak!" Lela Sari bersikap tegas. "Beta ikut nasib beta. Menebus kembali hak yang tergadai. Merampas kembali hak yang dirampas. Betalah zuriat yang sah di kerajaan Perlak. Kematian ayah dan bonda beta lima belas tahun yang lalu, mesti beta tuntut bela. Bukan Datuk tak ingat kisah itu?"
Fikiran Megat Komeng segera teringat. "Ya, patik ingat. Semasa itu Tengku Puteri berumur tiga tahun," katanya dengan suara rendah.
"Jika berhutang darah, darahlah sukatannya. Jika berhutang nyawa, nyawalah balasannya, Datuk. Kalau berpesan diturut. Kalau berhutang dituntut. Beta mahu Datuk faham yang itu."
Sang Laksamana menelinga.
"Apa salahnya mak bapak beta, maka kedua-duanya dibunuh?" sambung si perawan lagi. "Harta benda dan kerajaannya dirampas? Di manakah letaknya keadilan, Datuk? Beta akan tetap membalas dendam kerana beta mahu keadilan. Keadilan! Sayang, beta dirantai. Kalau tidak, sekarang juga akan beta cincang Sultan. Setidaknya masih ada harapan. Beta tunggu masanya nanti."
"Oh, tunggu detik peluang itu? Bila hari itu akan tiba? Sedangkan masa terus beredar. Lain pekan? Lain purnama? Mungkin lain zaman? Entah bila hari itu akan tiba."
"Adat hutang mesti dibayar. Hutang darah mesti diselesaikan. Di kehidupan ini atau seterusnya. Ini memerlukan ketetapan. Ini memerlukan kesabaran. Kadangkala ia mengambil masa sedikit. Datuk pun boleh faham keadaannya, bukan?"
Untuk sesaat Megat Komeng memikir-mikirkannya dan kemudian berkata dengan bersahaja, "Patik faham bagaimana perasaan Tengku Puteri. Tapi walau bagaimanapun, perbuatan Tengku Puteri itu adalah perbuatan yang sia-sia. Niat hendak membalas dendam, bukannya permainan bagi kaum perempuan. Tak usahlah Tengku Puteri tunaikan dendam Tengku Puteri itu. Tak guna, tak guna bertindak dan membuat pembalasan. Kerana tak patut Sultan disalahkan."
Sedikit tercengang, Lela Sari berkata, "Mengapa pula Datuk berkata begitu?"
"Sekarang semuanya sudah berubah Tengku Puteri. Cuba ingat. Sultan Ahmad Maulana lah yang bersemayam di atas takhta sekarang. Bukan Panglima Perang Tun Bija Ali yang telah membunuh ayah dan ibu Tengku Puteri. Dosa yang Bija Ali lakukan, mengapakah Sultan yang menerima akibat? Lain orang yang makan nangka, lain orang yang kena getah."
"Semenjak beta tahu bapaknya telah membunuh mak dan bapak beta, beta benci kepadanya, bahkan kepada keturunannya. Kalau bapak borek, anak mesti rintik. Sultan tak bersalah? Huh, perangainya tak ubah macam Tun Bija Ali masa dia muda-muda dulu. Bija Ali khabarnya sangat ganas orangnya. Penzalim dan pembunuh dan dia menurunkan sifat itu kepada Ahmad Maulana. Kalau dasar keris itu bengkok, takkan bayangnya boleh lurus?"
"Tengku Puteri janganlah menuduh seburuk itu terhadap Sultan. Sultan tidak pernah buruk kelakuan," Megat Komeng membantah, mengasak kata-kata tuduhan Lela Sari.
"Datuk, beta belum pernah menuduh jahat sebelum beta sendiri yang melihat. Sudah menjadi buah mulut rakyat negeri Perlak, terutama sekali bagi pihak perempuan. Bukan beta seorang saja hampir menjadi korbannya. Bahkan puluh! Ratus! Yang telah menjadi mangsa nafsu buas Sultan. Kesengsaraan seperti itu tidak boleh dibiarkan tersebar. Manusia seperti Ahmad Maulana memang tidak layak menjadi Sultan kerana kejam, memberikan diri kuasa tanpa had dan zalim. Dia telah menunjukkan dirinya tidak sesuai mentadbir negeri Perlak. Apabila benci berkuasa, datanglah pertentangan yang memusnahkan."
Megat Komeng mengangguk setuju. "Betul kata-kata Tengku Puteri. Tiap-tiap kita manusia mesti ada membuat kesilapan, tetapi ia tak akan kekal selama-lamanya. Manusia boleh berubah, Tengku Puteri. Selagi orang boleh berubah, dunia boleh berubah."
"Tetapi itu kemungkinan yang tipis. Lemah liat kayu akar, Datuk. Dilentur boleh, dipatah tak dapat. Rasanya ia takkan berlaku. Ahmad Maulana tak akan berubah. Dia akan sentiasa jahat. Tak ubah macam bapanya."
Selang beberapa saat kemudian, suatu gagasan seperti menyentuh fikiran Megat Komeng. Difikirkannya cara yang lebih baik dan dia.pun berkata, "Untuk perdamaian, patik ada tiga usul untuk Tengku Puteri. Yang pertama, janganlah menentang Sultan. Yang kedua, katakan di mana Bendahara Mutalib bersembunyi. Yang ketiga, nyatakan Tengku Puteri bersalah dan minta ampun kepada Sultan. Kalau Tengku Puteri setuju dengan syarat-syarat ini, maka Tengku Puteri akan dibebaskan. Oh, ya. Ada seperkara lagi. Tengku Puteri mesti meninggalkan Perlak untuk selama-lamanya."
Lela Sari menunduk memandangi pinggannya yang sudah kosong. Kemudian dia berkata seperti tak bertujuan, "Dunia Perlak di mana beta tiada tempat di dalamnya."
"Boleh dikatakan," sahut Datuk Laksamana.
"Itu tawaran yang agak menarik dan kata-kata yang baik, Datuk. Amat menggoda. Ucapan yang indah daripada seorang penakluk. Jadi, kata-kata Datuk boleh dipercayai?"
Dimaniskan Megat Komeng mukanya lantas berkata dengan pujuk, "Selagi patik berpijak di muka bumi, patik takkan memungkiri janji. Sekarang jika Tengku Puteri bersetuju, patik boleh tentukan segala urusannya. Patik sendiri akan menguruskan hal ini."
Lela Sari menggelengkan kepala.
"Beta ucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas percakapan Datuk tadi. Tawaran Datuk, beta hargai. Tetapi beta tetap dengan keputusan beta. Keputusan yang tetap dan tidak berganjak. Sekali beta kata tidak, seumur hidup beta tetap tidak. Beta tetap menentang Sultan. Beta akan menentangnya terus-menerus kerana beta di pihak kebenaran dan keadilan. Tak lama lagi Perlak akan menjadi tanggungjawab beta dan ia akan ditabur dengan adil. Rakyat tak sepatutnya diperentah dengan menakut-nakutkan mereka."
"Patik rasa patik dah mula memahami Tengku Puteri. Rupa-rupanya Tengku Puteri ini sukar nak diramalkan."
"Beta menang seorang gadis yang sukar difahami."
Lela Sari membasuh tangannya. Lalu lap tangannya dengan tuala kecil. Dia sudah tidak kelaparan lagi.
"Tengku Puteri sekarang dalam takluk patik. Patik boleh buat apa yang patik suka." Tangan kanan Megat Komeng menggenggam hulu kerisnya. Keris itu dibunuh. Sangat indah buatannya, berlok tujuh dan berhulu emas bertatah manikam hijau. Kerisnya selalu mengundurkan musuh. Dia mengangkat keris itu supaya bisa dilihat oleh Lela Sari. Lantas dia berpaling ke arah Lela Sari.
"Cantik mata keris ini. Inilah keris yang menikam perut Panglima Garak dan keris ini telah menyelamatkan patik dalam semua pertarungan patik "
"Segala apa yang dilakukan oleh Garak semata-mata untuk beta. Nasib yang menimpa Garak, kalau sudah suratan takdir, siapa yang dapat menghalangnya, Datuk? Tiap-tiap yang bernafas mestilah mati. Semoga Tuhan mencucurkan rahmat ke atas rohnya " Air mata Lela Sari tiba-tiba sahaja tergelongsor dari celah kelopak matanya. Dia tidak mengesat air mata itu. "Mati mu tidak sia-sia, Garak. Perjuangan mu tetap menjadi kenang-kenangan untuk selamanya."
"Kepada patik, Bendahara Mutalib memberi keris ini kerana persahabatan. Sebelum kejadian yang tak diingini berlaku, patik nak memberi Tengku Puteri peluang kali terakhir. Fikir baik-baik. Belum terlambat untuk mengubah fikiran. Sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Senjata hadiah daripada ayah angkat Tengku Puteri ini bukan untuk membunuh Tengku Puteri."
Lela Sari menatap Megat Komeng dengan mata yang dingin. "Itu satu ugutan? Kesepian di dalam kubur lebih baik dari kemuliaan hidup di bawah cengkaman kejam."
"Bukan, itu satu rayuan. Cuba fikirkan ini," Megat Komeng bersuara dengan teliti dan penuh hemah berhati-hati.
Keris di genggaman menyelinap semula ke dalam sarungnya.
"Masa belum singkat lagi. Patik beri Tengku Puteri tempoh sehari untuk berfikir. Kalau Tengku Puteri masih berdegil juga, terpaksa patik mengambil tindakan yang lain," kata Datuk Laksamana dengan suara datar, dalam matanya tersembunyi satu rahsia yang sukar ditafsirkan. Lalu dia pun berdiri dan berjalan ke arah pintu, memanggil Ujang agar membukanya.
Pintu sel penjara itu dibuka.
Di pintu, Megat Komeng menoleh. Lela Sari diperhatikannya dengan dahi yang berkerut.
"Khabarnya Tengku Puteri nak jumpa Pendekar Adi Putera," katanya kemudian, menarik perhatian Lela Sari.
"Datuk kenal dia?" Lela Sari bertanya tanpa menoleh.
Megat Komeng melihatkan daya fikir pada kadar maksimum. "Kenal dari jauh saja. Sebab beliau itu guru silat. Dengar kata, dia sekarang sedang bertafakur atas Bukit Saga di Pulau Puaka."
Lela Sari sengih, lalu berpaling menghadap Megat Komeng, dan berkata keras, "Benar tu, Datuk dan beta adalah anak murid Pendekar Adi Putera."
Namun Datuk Laksamana tampak tenang-tenang saja.
"Patik belum pernah berjumpa dengan Pendekar Adi Putera. Bagaimana rupanya?" tanyanya kepada Lela Sari.
Gadis itu merenung mukanya dengan tajam. Renungan itu terasa mempunyai erti yang dalam. Ia seakan-akan memaksanya supaya berterus-terang untuk memberi penjelasan.
"Sebagai seorang Laksamana yang tak sudi dilanda duka, wajiblah mengambil tahu," jelas Megat Komeng.
"Orangnya bengis. Mukanya garang. Tangannya berurat-urat. Jangan cari nahas dengan dia. Sesiapa yang menentangnya, pasti dibunuh!"
Megat Komeng diam saja, kemudian Lela Sari melanjutkan kata-katanya, "Datuk tentu kenal dia. Dia sebahagian dari masa silam Datuk."
Wajah Datuk Laksamana tampak berubah mendengar kata-kata Lela Sari. Dia berusaha menguasai dirinya. Maka dia pun bertanya, "Terangkan siapa dia sebenarnya?"
Lela Sari tidak menjawab. Dia hanya merapatkan kedua-dua bibirnya, seakan menyimpulkan senyuman. Untuk menerangkan segala itu kepada Megat Komeng tidak boleh dilakukan dengan cara bergopoh-gapah.
Sang Laksamana lantas menarik nafas panjang. Tahu Lela Sari akan mengatakannya bila saatnya tiba. Tanpa kata, dia melangkah pergi.
Pintu penjara itu ditutup berdebam dan dikunci dari luar.
Lela Sari bangun dan berjalan dengan perlahan-lahan ke jendela setelah pengawal penjara hilang dari pemandangan. Berdiri di samping jendela dengan wajah menghadap ke luar.
Di luar, keadaan malam sungguh sayu. Bulan yang seketika tadi bercahaya malap sudah tidak kelihatan lagi. Ia sudah dilindungi awan yang agak menebal. Angin dari laut bertiup sedikit galak. Rambut Lela Sari menggerbang.

MALAM kian larut. Datuk Laksamana Megat Komeng, Jelatang dan Jelutong berada di dek Gelora Sakti. Mereka sedang berjalan mundar-mandir.
Megat Komeng memikirkan Lela Sari. Ketegasan kata-kata gadis itu masih tertanam dengan kukuh di dasar hatinya. Ia menjelma dengan jelas dan terang.
Dengan muka murung dipandangnya Jelatang yang berjalan di sampingnya.
"Apa pikiran mu, Jelatang? Tindakan aku kepada Lela Sari?" tanya Megat Komeng kemudian. "Katanya, dia sanggup menerima walau apa saja yang terjadi pada dirinya. Dengan apa cara sekali pun."
"Walau apa pun akibatnya?" tanya Jelatang kembali.
"Ya," sahut Megat Komeng, hampa.
"Pada pikiran hamba, perkara ini tidak dapat diselesaikan lagi dengan berunding, Datuk.'
"Benar kata mu itu, Jelatang."
"Hamba ingin usulkan satu cadangan, Datuk."
Megat Komeng mengangguk. Tapi tak menjawab.
"Datuk, bagaimana kalau kita seksa Lela Sari saja? Sudah tentu maksud kita berjaya."
"Benar kata-kata Jelatang itu, Datuk," sela Jelutong. "Dengan cara ini, hamba fikir kita tak kan gagal. Bagaimana, Datuk?"
"Ya, benar Jelutong," Megat Komeng berhenti seketika sambil menarik nafas, "tapi jangan meragui semangatnya." Dia kagum atas keberanian Lela Sari menghadapi kenyataan hidup yang pahit itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience