PONDOK kecil di ceruk hutan. Dengan gaya seorang penjahat, Awang Sulong membilang langkahnya di sekeliling ruang pondok itu sambil mencekak pinggang. Hatinya dirasuk gelisah.
"Bagaimana? Sudahkah kau orang jalankan perentah aku?" tanyanya kepada kawan-kawannya.
"Ya, segala perentah engkau telah kami kerjakan," kata Bayan dengan nada datar.
Awang Sulong menatap Bayan. "Jadi, semuanya berjalan lancar?"
"Kita kecewa Awang. Yatim Mustapha tidak binasa. Kami ditewaskan," jelas Bayan dengan suara yang bergetar.
Awang Sulong menggelengkan kepala. Air mukanya masam mencuka.
"Hai, kau orang begini ramai tak boleh melawan Yatim Mustapha? Bodoh! Bodoh! Kau berlima ni tak boleh diharap!" maki Awang Sulong dengan amat geram. Dia menghela nafas panjang untuk menenangkan dirinya. "Apalah guna badan besar kalau musuh seorang tak dapat ditewaskan?"
"Pak Sagu dan Denak datang menolong, Awang," demikian Chulan menjawab selamba. "Tetapi pondoknya telah dapat kami bakar."
"Benar, Awang," kata Guntor sambil mencuba tersenyum.
"Bagus! Bagus!"
"Tapi segala-galanya telah Yatim Mustapha ketahui. Barangkali juga dia sedang mencari kau sekarang," Anjal berterus terang.
"Binatang! Kenapa engkau beritahu dia?!" bentak Awang Sulong, keberangan.
"Tidak. Aku tak ada niat begitu," tukas Anjal, bersuara risau. Kelihatan seperti orang yang telah melakukan jenayah besar. "Tapi aku terpaksa."
"Bodoh! Bukankah aku sudah bilang sama kau supaya berhati-hati dan berjaga-jaga?" dengus Awang Sulong sambil memasamkan mukanya. Marahnya menjadi-jadi.
Tanpa berfikir panjang, dia terus menikam Anjal dengan kerisnya.
"Mengapa engkau tikam aku, Awang?" Pening kepala Anjal memikirkannya. Dia langsung tidak menduga apa-apa.
"Kerana engkau perosak segala rancangan aku dan kau berani membuka rahsia!" jerkah Awang Sulong. Dia menyarungkan kerisnya. "Dari itu, kau mesti menjadi mangsa sebagai penebus dosa."
"Sungguh kejam perbuatan kau, Awang," rungut Anjal dengan wajah resah. Suaranya terketar-ketar. "Kau lekas panas darah."
"Kau yang membuat susah diri kau sendiri."
Serta-merta nafas Anjal sesak dan dadanya menjadi sebak. Tiba-tiba kakinya kehilangan kekuatan, tidak kuasa lagi menyanggah tubuhnya. Dia roboh ke lantai. Tersungkur rebah.
Dia cuba membangunkan tubuhnya yang lemah, tetapi gagal. Dia terbaring semula di atas lantai dan mati.
Satu tunjalan dari tapak kaki Awang Sulong menunjukkan Anjal tidak bergerak.
Mayat Anjal terbujur kaku di hadapan mereka.
"Lihatlah semua yang ada. Inilah balasan dosa seorang pengkhianat. Ketidaksetiaan akan menerima hukuman mati. Anggap ini satu pengajaran untuk kau semua."
Bayan, Chulan, Guntor dan Kadok bungkam.
"Fikiran ku sangat terganggu hari ini," Awang Sulong berjalan mundar-mandir sambil memandang sekelilingnya, ke atas dan ke bawah, seperti dia mengharapkan sesuatu inspirasi.
"Apa jalan lagi aku nak dapatkan Si Dalia tu?" tanyanya kemudian.
"Jangan putus asa, Awang. Kita mesti jalankan satu muslihat yang lain," kata Chulan. Dia berfikir sebentar, lalu katanya, "Awang, aku dapat satu akal, Awang."
"Apa dia?"
"Errr... " Chulan terus berfikir-fikir. Diketapnya bibir. Dia buntu. Tak tahu apa yang harus dikatakan.
"Inilah kalau otak tu dah banyak sangat berfikir, naik bengap!" sindir Guntor.
Berpinar-pinar mata Chulan menerima sindiran itu.
"Awang, aku ada satu jalan, Awang," kata Bayan pula.
"Jalan?"
"Ya," jawab Bayan singkat.
"Macam mana? tanya Awang Sulong.
"Errr... " Bayan berasa fikirannya amat kacau. Fikirannya seolah-olah mati. Dia tenggelam punca.
"Kenapa?" tanya Awang Sulong apabila melihat Bayan terdiam agak lama.
"Hilang balik," balas Bayan selamba.
"Bodoh!" bentak Awang Sulong.
"Awang! Awang!" laung Chulan.
"Aarrrghhh!" dengus Awang Sulong, hilang sabar sambil mengangkat tangan kanannya. Akan diberinya penampar.
"Memang aku ada akal Awang!" pintas Chulan sungguh-sungguh. Cepat-cepat juga tangannya menghadang mukanya. "Dengar dulu! Dengar cakap aku dulu!"
Awang Sulong mengangguk kepala.
Chulan menggaru kepalanya bagai mengingat sesuatu.
"Kalau Yatim Mustapha tidak ada salah, kita ada-adakan kesalahannya. Tapi biarlah munasabah," katanya kemudian.
"Itu pun betul, Awang," ujar Kadok membenarkan.
"Awang, kita mesti membuat aniaya supaya Yatim Mustapha tersingkir dari kampung ini. Kalau jadi perkara ini, dengan serta-merta kau dapat mematahkan maksud Yatim Mustapha menjadi menantu Pak Malau dan kau menikah dengan Dalia. Dengan cara membuat kerja serupa ini, aku fikir kita tak akan gagal," Chulan memandang wajah Awang Sulong.
Awang Sulong tercenung seketika.
"Ya, betul kata kau, Chulan. Bagus juga cadangan kau itu. Rupanya kau ada otak juga. Kau punya otak bergeliga. Macam boleh bikin batu cincin." Awang Sulong memanjatkan matanya ke atas muka Chulan.
"Sungguh pandai otak mu berfikir. Sesekali otak mu bersinar lebih daripada intan. Tetapi selalu muram macam lumpur," kata Guntor. Dia seolah-olah menyindir Chulan.
"Kalau begitu jalan yang sebaik-baiknya tak lain menyingkirkannya dari sini buat selamanya. Aku mesti mencari jalan supaya Yatim Mustapha boleh terhindar dari kampung ini," kata Awang Sulong sambil berjalan.
"Bagaimana aniaya kita nak buat?" tanya Kadok dengan agak ragu-ragu.
"Ha, tentang soal ini, nanti aku fikirkan," jawab Awang Sulong.
"Bagaimana pula tentang mayat ini? Apa yang harus kita buat padanya Awang?" Pertanyaan yang segera dari Bayan.
"Chulan, Guntor dan Kadok. Angkat mayat ini. Buang di tengah-tengah laut dan buat tanda-tanda supaya orang percaya dia mati diserang ikan jerung," kerah Awang Sulong.
"Baik Awang!" sahut Chulan dan Guntor hampir serentak.
"Perkara ini mesti dirahsiakan kalau kau orang sayangkan nyawa kau orang," Awang Sulong mengancam.
"Tak seorang pun yang akan mengetahui rahsia ini, Awang," Kadok memandang terus ke mukanya.
Awang Sulong mengeluarkan satu uncang dari saku bajunya, kemudian menghulurkan kepada Bayan.
"Nah, ambil upah kau orang!"
Mereka mengorak senyum.
"Sekarang, buatlah apa yang aku suruh tadi."
"Mari kita angkat dia!" Menderu saja suara itu keluar dari mulut Chulan.
Mereka segera mengalihkan tubuh Anjal yang terbaring di lantai.
DAMAQ memulakan kerja menjemur ikan-ikan masin di tempat penjemuran di tepi rumahnya. Ia diatur di atas lantai jemuran. Badannya berpeluh-peluh. Matahari memancar memeritkan belakang tengkuknya.
Damaq seboleh-boleh tidak mahu melengah-lengahkan kerjanya. Lagi cepat dijemur lagi baik. Senanglah dia memikirkan hal lain pula dikerjakan.
Di muka pintu rumah, Pak Malau sedang duduk menganyam pukat.
Dalia pula sedang menganyam tikar. Jarinya rancak menyelitkan mengkuang ke sana dan ke mari.
"Bapak! Dia sudah bergerak!" kata Dalia dengan kuat sambil menunjuk ke ambin tempat Deramang terbaring.
Pak Malau menoleh. Pukat di tangannya diletak di atas lantai.
Muka Mak Tanjong tersembul di celah anak tangga serambi.
KETIKA Deramang membuka matanya, dia melihat Pak Malau, Mak Tanjong dan Dalia di sisinya.
"Baguslah kau telah sedar dari pengsan," Pak Malau berkata.
"Di mana saya? Siapa yang bawa saya ke mari?" Perlahan tutur Deramang.
"Tenangkan fikiran mu, nak. Kau ada baik tapi jangan cuba bangun," ujar Pak Malau.
Deramang mengangguk tanda faham.
"Dalia, cuba ambil sedikit air minuman," perentah Pak Malau tiba-tiba.
Dalia segera ke dapur untuk mengambil air.
Sejurus kemudian dia menyogokkan minuman dalam bekas buluh sepanjang sejengkal.
Deramang menghulurkan tangannya sambil berkata, "Biarlah saja saya minum sendiri."
Deramang mencapai bekas yang berisi air itu dari tangan Dalia. Kemudian meneguknya rakus. Dia berasa segar sedikit.
"Apa rasa sekarang, nak?"
Deramang memandang Pak Malau.
"Masih tak sedap badan lagi, pakcik," keluhnya lemah.
"Nampaknya anak ini bukan orang kampung ini. Kalau tak salah, anak ni orang asing dan anak ni bukan orang kebanyakan agaknya. Yang sebenarnya anak ni siapa? Datang dari mana?"
"Nama saya Deramang, pakcik. Saya sedang berlayar dengan sebuah perahu dari Pulau Seludang dengan tujuan yang besar iaitu memikul kewajipan yang diletakkan kepada saya," Deramang mula menerangkan. "Tapi dengan tidak disangka-sangka, perahu saya dipukul ribut. Perahu saya pecah dan saya pun tercampak ke dalam laut. Saya berpaut pada sebatang kayu besar."
"Kau bernasib baik betul. Anak-anak pakcik jumpa kau pengsan di tepi pantai. Dengan lekas dibawa ke mari."
"Terima kasih banyak atas pertolongan ini. Budi baik pakcik sekeluarga akan saya kenang untuk selama-lamanya."
"Lupakan itu semua. Kita harus berbuat baik sesama manusia."
"Adakah berjumpa dengan kawan saya, Belitung? Kami bersama satu perahu. Angin dan ribut memisahkan kami."
"Maafkan pakcik, nak. Tidak seorang pun yang melihat Belitung. Pakcik sangat menyesal."
Deramang kekagetan seketika. Dia dihambat perasaan sedih menyambut berita itu.
"Jadi, Belitung telah mati? Mati tak tentu kuburnya," Deramang melucutkan gugus keluhan. Dia mesti menerima kenyataan ini sekarang. Mengingatkan demikian, hatinya pilu dan hiba. Dadanya menjadi sebak. Mukanya muram.
"Boleh jadi ya, boleh jadi tidak, Deramang. Kita bertawakal kepada Tuhan," pujuk Pak Malau.
"Kalau hidup pun, saya tak tahu di mana dia sekarang," suara Deramang benar-benar hiba.
"Anggaplah ini dugaan hidup yang mesti ditempuh oleh semua manusia."
Deramang merenungi Pak Malau. "Di manakah saya sekarang?"
"Di rumah pakcik, nak."
"Siapakah pakcik?"
"Pakcik ni Pak Malau."
Dia menoleh pada Mak Tanjong dan Dalia. "Ini isteri pakcik, namanya Mak Tanjong. Ini anak pakcik, Dalia."
Deramang mengangguk. Dia faham sekarang.
"Nanti sekejap lagi pakcik suruh makcik masak, kita makan ramai-ramai."
"Biarlah saya ke dapur, bang," Mak Tanjong segera bangun dan berlalu ke dapur untuk menyiapkan makanan tengahari.
"Dalia, pergi tolong mak kau di dapur."
"Baik, Pak." Dalia mengatur langkah. Dia pergi menuruti ibunya di dapur.
"Berehatlah sebentar hingga badan kau segar dan anggaplah kami macam keluarga sendiri."
"Baiklah pakcik. Saya ambil nasihat pakcik," Deramang merebahkan badannya semula.
"Pakcik pergi dulu. Pakcik nak pergi ke belakang kerana ada urusan. Potong-potong kayu."
Deramang memejamkan matanya. Dia mencuba tidur untuk memulihkan tenaganya. Fikirannya ditakluk oleh keadaan dan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi ke atasnya. Setelah itu Deramang terlelap.
PAK Malau menghayun kapak dengan sekuat tenaga yang boleh dikumpulnya. Dia sedang membelah kayu api sebagai mana kebiasaannya di belakang rumah. Hayunan kapalnya yang terakhir menyebabkan serpihan kulit kayu melayang ke mana-mana.
"Kapak pun tak tajam, kapak apa?" Pertanyaannya tidak ditentukan kepada siapakah yang ditujukannya dan rungutannya tiada siapa yang menjawab.
Dia mengusap peluh yang ada di keningnya. Pada saat-saat serupa itu, setidak-tidaknya dia memerlukan secangkir kopi sejuk.
Dia lantas mengambil cangkir kopi yang terletak di atas sebuah pangkin.
Pak Malau mengetap bibirnya. "Ala, kopi pun tak manis. Si Dalia tak taruh gula. Pelupa benar kau sekarang ni."
Antara mahu dengan tidak, dia menghirup lagi kopi.
Kemudian Pak Malau mengasah kapaknya. Beberapa ketika saja, selesailah kerjanya. Dia kembali meneruskan kerjanya buat hari itu.
Pak Malau menoleh ketika didengarnya ada kertikan kaki di belakangnya apabila ranting-ranting dan daun-daun kering berdetap dipijak.
Damaq datang merapati bapanya.
"Segala pekerjaan saya sudah siap, Pak," tegur Damaq. Mukanya berlengah oleh peluh.
"Kalau begitu, baguslah."
"Kalau ada lagi pekerjaan, Damaq suka menolong."
"Ha, engkau pungut kayu-kayu ini dan simpan di belakang dapur."
Sambil menyeka peluh yang mercik di dahinya, Damaq berkata, "Damaq ada perkara sikit nak cakap pada Bapak. Tiga hari lalu, Damaq jumpa kawan di pengkalan. Katanya pasukan pengawal Sultan Bentan berkehendakkan orang-orang baru. Bapak, bolehkah Damaq menjadi pengawal, Pak?"
Pak Malau mengambil keputusan dengan cepat.
"Bapak sudah tua, Damaq. Bapak lebih suka kau tinggal di sini untuk menolong Bapak mengerjakan ladang dan pergi ke laut, tangkap ikan. Inilah yang dapat menjamin kehidupan kita," jawab Pak Malau tanpa berfikir panjang. "Lagi pun jiwa seorang pengawal selalu di dalam bahaya. Bapak harap kau mengerti."
Alasan Pak Malau itu bagai batu besar yang menghempap kepala Damaq.
"Damaq faham, Pak. Tapi, Pak, tujuan Damaq hendak mengembara. Hendak melihat sekitar alam buana. Damaq dah lama niat hendak mengembara ke dunia baru," Damaq mendesak.
"Sudah! Ini adalah keputusan ku. Jangan ingat perkara itu dan jangan engkau sebut perkara itu lagi. Lupakanlah!" kata Pak Malau dengan tegas. Suaranya ditinggikan seperti radang. Sebenarnya dia tidak meradang. Cuma penekanan perkataan itu disengajakan.
"Kalau begitu, Damaq ingin belajar silat dengan Pak Adi," cetus Damaq tiba-tiba.
Pak Malau tersentak. Air mukanya berubah. Cahaya matanya menunjukkan dia terkejut besar.
"Damaq dah tahu semuanya," Damaq meneruskan percakapannya lagi.
"Dari mana kau tahu?"
"Pak Mahad ceritakan. Katanya Pak Adi berasal dari istana Perlak. Setelah istana di dalam pegangan orang lain, dia terus merantau menjadi guru silat, kahwin dengan Mak Melor."
"Memang betul, Damaq," Pak Malau membenarkan. Dengan mata terkelip-kelip, dia terdiam beberapa ketika. "Namanya yang sebenar Adi Japri. Dia menukar namanya menjadi Adi Putera bila datang ke mari supaya jangan dikenal orang."
"Bagaimana, Pak? Bolehkah Damaq belajar silat dengan Pak Adi?"
"H-mm. Kehendak kau itu, Bapak tak dapat memberi keputusan sekarang. Tunggulah masanya."
"Bapak! Bang Damaq! Nasi sudah siap! Mak menunggu kita makan!" panggil Dalia dari jendela dapur dengan kuat. "Marilah kita makan bersama!"
"Dahlah, Damaq. Mari kita makan "
"Bapak makanlah dulu. Biar Damaq angkat kayu. Nanti sekejap lagi Damaq akan datang."
Pak Malau menghabiskan kopinya. Kemudian dia segera beredar menuju ke dapur.
DERAMANG merasakan seperti ada orang yang menyentuh tubuhnya. Dia lalu terjaga dari pembaringannya dan menoleh.
Mak Tanjong yang telah tua itu berdiri di sisinya.
Dia terkaku dan merenung ke dalam wajah orang tua itu.
"Bangun, nak. Makcik dah sajikan nasi. Marilah kita makan," Mak Tanjong bersuara lembut.
Deramang mengangkat badannya lalu duduk berlunjur
"Pergilah mandi dulu," Mak Tanjong mengesyorkan.
"Baik, makcik. Biar saya ke perigi dulu, makcik."
"Pergilah. Kau cari di sebelah sana," Mak Tanjong mengangkat tangannya. Telunjuknya menuding ke satu arah.
Sejurus kemudian Mak Tanjong berlalu ke dapur.
Deramang berdiri. Dia mula melangkah menuju ke perigi.
DI dapur, mereka duduk menghadapi hidangan makan tengah hari dan di atas meja terhidang makanan yang enak-enak.
Mata Pak Malau memerhatikan lauk-pauk yang disediakan oleh isteri dan anak perempuannya itu. Empat jenis lauk terhidang di depannya.
Kari ikan masin, kacang panjang masak lemak, tempe goreng berlada dan telur goreng. Segala-galanya amat menyelerakan.
Pinggan nasi berkuap wap panas disuakan kepada Deramang.
Mak Tanjong memutar pandangannya ke arah Deramang.
"Deramang, jemputlah makan jamuan kami yang tidak sepertinya," pelawa Mak Tanjong.
"Bagaimana kesihatan anak?" tanya Pak Malau.
"Masih lemah seluruh anggota," kata Deramang dengan berat. "Lagi sekali saya mengucapkan terima kasih kepada pakcik yang mulia dan saya pun tidak tahu bagaimana akan membalas budi pakcik yang besar terhadap saya."
"Itu kewajipan. Segala bakti pakcik tidak mengharapkan balasan. Hanya dengan suci hati saja."
"Pakcik, apa nama tempat ini?" tanya Deramang sambil mendongakkan mukanya sedikit.
"Anak sekarang berada di Pulau Sentosa," Pak Malau menjelaskan.
Deramang mengangguk-angguk.
Kedengaran bunyi pintu dapur dibuka orang.
Pak Malau menoleh. Kelihatan Damaq berdiri tercegat di muka pintu.
"Hah, Damaq. Marilah kita makan bersama-sama," ajak Pak Malau apabila melihat Damaq tertegun agak lama.
Damaq terus mendepangkan langkahnya. Lalu duduk di sisi Pak Malau dengan tertib.
"Ini anak pakcik, namanya Damaq. Dia ni nelayan, membuat ikan kering, menghantar ke Temasek."
MASA terus bergerak begitu pantas. Pak Malau membasuh tangan, bersendawa sekali dan mengucapkan segala pujian untuk Allah.
Dalia bingkas bangun.
"Dalia."
"Ya, mak?"
"Kemaskan pinggan mangkok ini. Lepas itu kau pergi ke belakang. Beri ayam makan."
"Baik, mak."
Dia mula mengemaskan hidangan. Kari ikan masin yang tidak habis disimpan dalam almari. Demikian juga dengan kacang panjang masak lemak.
"Marilah kita ke serambi. Nanti anak boleh ceritakan apa nasib malang anak," Pak Malau mencadangkan.
"Oh, tentu sekali boleh. Nanti saya boleh ceritakan."
PAK Malau duduk bersila di depan Deramang yang duduk bersandar ke sebatang tiang.
Sejurus kemudian Damaq melangkah lalu duduk di sebelah Pak Malau.
"Kalau tak ada apa-apa rahsia, terangkanlah," kata Pak Malau.
"Sebenarnya tak ada apa-apa rahsia," kata Deramang setelah seketika memperhatikan wajah orang tua itu. "Biar saya cerita dari mula supaya faham."
Deramang menyelam sejarah silam dengan fikiran yang meloncat-loncat ke masa lampau. Kemudian tercantum-cantum semuanya. Dia masih dapat mengingati dengan jelas.
Share this novel