Cetera Yang Kedua 1 - MENUNJUK DERHAKA

Adventure Series 1713

SUASANA alam sekeliling sunyi sepi melainkan yang kedengaran bunyi titisan air hujan yang baru saja teduh sebentar tadi menimpa bumi dari cucuran atap sebuah rumah yang terletak di pinggir kota Perlak. Pagar kayu dibina mengepung kediaman itu yang terpinggir dari rumah-rumah penduduk yang lain.
Di serambi rumah itu duduk seorang lelaki dan seorang perempuan sedang mengorak bual. Selesai satu perkara yang dibualkan mereka, bertukar ke satu perkara yang lain.
Tiada berapa jaraknya dari kedua itu, seorang kanak-kanak berumur lebih sedikit sepuluh tahun sedang duduk bersila rapat, di tangan kanannya memegang sebilah pisau raut dan di tangan kirinya memegang sekeping seludang mayang kelapa yang telah kering. Dirautnya menjadi sebagai bentuk keris. Tetapi walaupun demikian sentiasalah dia memasang telinga mendengarkan apa yang dibualkan oleh bapanya dengan ibu tirinya.
"Awak jaga Garak ni macam anak sendiri. Bertuah abang kahwin awak, Mulia," puji lelaki bernama Orang Kaya Mandira. Dia berlapang dada dan benak.
"Kalau bukan saya yang sayang, siapa lagi? Tidakkah abang terfikir yang dia sudah menjadi anak saya juga?" ujar Seri Mulia yang usianya belum lebih dua puluh lima tahun.
"Jangan dimanja-manjakan sangat. Kalau jahat, pukul."
Garak terlopong mendengarkan cakap bapanya.
Tiba-tiba, dia melihat kelibat dua orang menuju ke arahnya.
Orang Kaya Mandira terbatuk-batuk dengan tiba-tiba.
"Kenapa batuk ku ini menjadi-jadi pula?"
Agak lama Mandira mendiamkan diri. Kemudian dia berkata lagi, "Abang hendak terangkan pada mu apa sebab abang menikah engkau setelah ibunya meninggal dunia."
Seri Mulia mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Pabila ibu Garak meninggal dunia, abang bimbang untuk membesarkannya..."
"Ayah! Ada utusan dari istana ayah!" seru Garak. Dengan telunjuk kanan dia menunjuk ke arah dua susuk lelaki tegap.
Mendengarkan perkataan Garak itu, pemandangan Orang Kaya Mandira dan Seri Mulia mengarah kepada dua lelaki yang sudah jelas pada pemandangan mereka menepati seperti sangkaan Garak, iaitu utusan dari istana dan telah pun berbelok menghala ke rumah itu.
Ternyata dua orang itu adalah Daik dan Bija Ali.
Daik masih muda dan berwajah bersih dengan sejempul janggut yang dijaga rapi di dagunya. Rambutnya terlihat lurus dan memanjang hingga ke bahu. Tubuhnya tegap, langsing dan tinggi.
Pemuda yang mengiringinya namanya Bija Ali. Tubuhnya besar tinggi. Di dagu dan di pipinya ditumbuhi oleh bulu-bulu yang kasar menghitam. Dadanya bidang. Bahunya lebar. Lengannya besar dan pejal berisi. Sebilah landing sentiasa tersisip di penjuru pinggang kirinya.
"Ada apa Daik?" soal Orang Kaya Mandira dengan sedikit hairan.
"Sultan memerintahkan Orang Kaya hadir di istana," Daik memulakan bicaranya, melangkah dengan tetap ke arah tangga kediaman Orang Kaya Mandira.
"Mengapa? Apa yang telah terjadi?" Mandira bertanya lagi.
"Tuanku nak pergi ke Hutan Sungai Batu, memburu rusa," Bija Ali menerangkan. "Dan Tuanku perlu Orang Kaya ikut bersama."
Mandira memanjatkan matanya ke atas muka isterinya. "Panggilan tugas. Abang mesti pergi, Mulia. Kewajipan memaksa dan kewajipan mesti dipenuhi."
Dalam bekerja, dia ingin berbuat sebaik mungkin. Bahkan dia bagaikan mengabdi. Apa saja akan dilakukannya demi kepentingan tugasnya sebagai Bentara Kanan.
"Ya, saya mengerti. Kerja raja dijunjung," Mulia menyalurkan keyakinan kepada suaminya.
"Bertuah abang mendapat seorang isteri yang tahu menghargai kewajipan abang," Mandira memuji. "Sepeninggalan abang, abang wakilkan Tun Bija Sura untuk menjaga Mulia dan dia akan mengawas Mulia dan Garak dari segala bahaya."
Seri Mulia mengangguk tanda faham.
Ketika sedang menuruni tangga, Mandira berpaling dan melihat anaknya. "Garak, jangan jahat-jahat, tau?"
"Baik, ayah. Tapi mahukah ayah bawakan saya ole-ole dari hutan buat saya?" Garak membuat permintaan.
"Nanti bila ayah balik, ayah akan kembali dengan membawa ole-ole yang baik."
Kemudian segera menikamkan matanya ke dalam mata isterinya. "Mulia, doakanlah pemergian abang."
"Mudah-mudahan abang selamat pergi dan selamat balik."
Orang Kaya Mandira terus menuruni tangga untuk menyertai Daik dan Bija Ali yang siap sedia menunggu.
Mereka lalu berjalan.

KETIKA Orang Kaya Mandira, Daik dan Bija Ali sudah pergi, Garak merasa satu tolakan yang kuat. Dia hampir tersungkur.
"Sekarang ayah mu sudah tak ada. Pergi tukar baju dan pergi cari kayu api, lekas!"
Seri Mulia memberi arahan kepada Garak.
Sebuah keraguan terbangun dalam dada Garak.
"Tapi kayu dah banyak, makcik," suara Garak penuh keheranan.
"Jangan banyak cerewet! Anak tak masuk ajar!" mendesis saja suara itu keluar dari mulut Seri Mulia yang membulatkan biji matanya kepada Garak.
Garak seperti putus harap.

TUN Bija Sura berjalan beberapa langkah. Daun jendela dijualnya perlahan. Angin menerobos masuk.
Jari-jarinya lunak mengetuk burung dalam sangkar. Burung itu pun mengembang bulu tengkuk dan mengangkat kepaknya. Terangguk-angguk. Ter... ku... ku... Suara yang menggembirakan.
Bija Sura terpikat pada suara burung itu. Bibirnya pun mengukur senyum.
"Kau tak tahu, burung. Macam mana rasanya hati kalau sudah kasihkan seorang perempuan." Jari-jarinya terus memetik-metik pada burung dalam sangkar.
"Bapak! Bapak!" seru Bija Ali dengan lantang.
Sapaan itu mengejutkannya. Dia segera menoleh ke arah datangnya suara itu.
"Oh, engkau Ali? Ada apa Ali?" Bija Sura bertanya kepada anaknya yang masuk dengan tiba-tiba bersama Daik dan Orang Kaya Mandira.
Bija Ali datang kepadanya dan berkata, "Tuanku nak pergi memburu di Hutan Sungai Batu bersama-sama Datuk Laksamana, Tun Nila dan Orang Kaya Mandira. Ali pun dibawa bersama, Pak."
Bija Sura menghela nafas panjang.
"Kalau begitu, tak dapatlah kau ikut bapak ke hulu, hendak memikat burung?" Bija Sura menyoal lagi.
"Memang betul kata bapak itu," kata Bijak Ali, menyesali dirinya.
"Aku harap kau tolong tengok-tengokkan isteri ku nanti, ya? Kalau dia perlukan pertolongan, tolonglah," getus Mandira yang di sebelahnya.
"Boleh, apa salahnya," ujar Bija Sura sambil menepuk-nepuk bahu Mandira. "Aku kawan kau. Bila-bila kau berkehendakkan pertolongan, aku bersedia." Begitulah azamnya yang terhujam kemas dalam dadanya. "Kau sungguh beruntung Mandira. Dapat isteri yang begitu cantik."
"Kau bila pula nak kahwin lagi?" Mandira bertanya.
"Soal lama yang kau ulang. Makan dan pakai boleh sebarang. Tapi pilihan hati ialah satu, Mandira," Bija Sura menegaskan. "Aku tak boleh lupakan isteri ku. Biarpun dia sudah mati lama, tetapi muka dia selalu terbayang di depan mata ku. Hati dan jiwa ku tak akan mengizinkan orang lain menggantikannya. Sebab itulah aku tak mahu lagi perempuan-perempuan lain. Biarlah aku menghabiskan masa beribadat saja kepada Tuhan dan membuat baik kepada orang ramai."
Mandira tersenyum. Dia faham sekarang. "Aku mengerti, Sura."
"Adakah apa-apa Orang Kaya berkehendakkan lagi pertolongan?"
"Tiada. Sudah habis segala maksud ku."
"Kalau begitu, sekarang biarlah kami pergi dulu," Daik memutuskan.
Mendengar keputusan itu, Bija Ali lantas berkata, "Ali pergi ya, Pak?"
Sejurus kemudian Bija Ali mula melangkah. Sekilas fikirannya memikirkan cara dan bentuk perburuan yang akan dilakukannya nanti.

DI khemah Sultan Perlak pada waktu itu ramai orang berhimpun. Baginda mengamati wajah-wajah mereka. Ada dua belas orang lelaki yang mengelilingi dari semua jurusan dan tidak ada yang membengut, semuanya penuh sikap hormat.
Sultan Bachtiar Alam Shah berpewatakan gempal, berusia empat puluh tahun.
Tidak lama kemudian maka Orang Kaya Mandira pun masuk menghadap dan menyembah baginda, "Ampun Tuanku. Angkatan perburuan sudah sedia. Ampun Tuanku."
"Segala persediaan Orang Kaya sudah aturkan?"
"Sudah, Tuanku. Angkatan perburuan sudah sedia."
Berjurus-jurus baginda memandang Orang Kaya Mandira. Dilihatnya wajah Mandira pucat lesi.
"Orang Kaya ni sakit, ya?" Perkara inilah yang meniti fikiran Sultan Bachtiar Alam Shah sekarang ini.
"Benar, Tuanku. Patik ni kurang sihat. Mulanya dapat selsema sedikit," balas Mandira. "Er, maklumlah sudah lanjut usia."
"Beta kesian pada Orang Kaya. Beginilah, Orang Kaya. Kesihatan Orang Kaya yang lebih perlu. Lebih baik Orang Kaya berehat. Pergilah balik dan rajin-rajinlah Orang Kaya makan ubat supaya Orang Kaya lekas sembuh."
Mandira mengangguk-anggukkan kepalanya mengiyakan.
"Mohon patik beredar, Tuanku." Mandira meminta diri.
"Baiklah, Orang Kaya."
Dia menapak terus ke rumahnya.

"KANDA, selama ini kandalah pujaan adinda."
Rupanya ada sesuatu antara perempuan itu dengan Tun Bija Sura.
"Yakah? Kanda pun begitu." Bibirnya menguntum senyuman.
"Mari kita bersampan perahu. Hendak pergi ke Inderagiri. Hati ingin hendak tahu. Benarkah dinda, kanda kasihi?" Seri Mulia cuba menduga.
Bija Sura menghulurkan kedua-dua belah tangannya untuk merangkul bahu Seri Mulia. "Masihkah adinda sangsi pada kesetiaan kanda?" Dia berhenti bicara dan melihat kepada Seri Mulia penuh tanda tanya. "Terang bulan, terang ke mari. Anak gagak makan padi. Kalau adinda kurang percaya, belah dada. Lihatlah hati."
Seri Mulia mengalihkan tangan Bija Sura yang melekat di bahunya.
"Itu cuma cakap kanda saja. Lain di mulut, lain di hati. Rumput rumpai di dalam paya. Cendawan tumbuh di atas batu. Mulut manis pada adinda. Hati kanda siapakah tahu?" Seri Mulia masih menguji keteguhan hati Bija Sura.
"Percayalah cakap kanda, Mulia. Selagi ada hayat dikandung badan, kasih kanda tidak berbelah bagi melainkan pada Mulia sajalah di Perlak ini."
Sambil menggeleng-gelengkan kepalanya Seri Mulia lantas menjawab, "Mulia tidak percaya, kanda kerana lidah tidak bertulang."
"Langit dan bumi menjadi saksi. Dugalah kanda kalau mahu bukti. Akan kanda turut kehendak hati," jelas Bija Sura tegas. Dia memperlekeh kesangsian Seri Mulia. "Baiklah, kalau dinda masih sangsi, jaminan sanggup kanda beri."
Sambil berkata begitu, tangan Bija Sura telah berada di kedua belah bahu Seri Mulia.
"Jaminan apakah yang bererti?"
"Begini," Bija Sura berkata dengan penuh semangat.
Dan kemudian, dengan perlahan-lahan bibirnya menyentuh bibir Seri Mulia dan mengecupnya lembut sebagai pembuktian kesungguhannya pada sebuah pengharapan yang tidak bertepian. Akan tetapi penyatuan itu tidak abadi.
"Hanya beginilah saja jaminannya."

ORANG Kaya Mandira berjalan masuk ke dalam pagar dan berdiri di halaman rumahnya. Hatinya dipasung ragu. Pintu depan terkunci. Mandira hairan, ke mana isterinya pergi?
Mandira melangkah perlahan ke serambi. Telinganya menangkap sesuatu. Cuba ditangkapnya biji butir percakapan.
Suara merayu wanita, "Jangan sekasar itu, kanda. Perintah kanda akan dinda turut dengan gembira."
Dan seorang laki-laki berkata sesuatu yang Mandira tidak jelas mendengarnya.
Terdengar suara wanita lagi, "Janganlah, takkan lari gunung dikejar!"
"Itu suara, kalau tak salah suara isteri aku, Mulia," pikir Mandira dalam hatinya. Sesuatu yang dahsyat terdetik dalam benaknya ketika menjejak tangga rumah.
Dalam berdiri di depan pintu itu, darah Mandira tersirat bila mendengar Seri Mulia mengekek jalang. Di ruang kepalanya terkumpul pelbagai pertanyaan. Bunga-bunga kegusaran mula bermain di hatinya.
Hatinya yang sebak oleh amarah penuh dengan persoalan bergetar. Tiada syak lagi dalam hati Mandira bahawa ada lelaki yang telah datang dan bersuka-suka dengan isterinya pada masa dia tiada di rumah.
"Buka pintu ini lekas! Kalau tidak aku pecahkan pintu ini!" teriak Mandira sambil mengetuk pintu beberapa kali. Wajahnya tiba-tiba sahaja terbakar dengan api amarah yang menggila. Bertalu-talu pintu itu diketuknya.
Dia mahu mencekik leher Seri Mulia. Sakit hati dengan tingkahnya.
Teriakan yang merejam gegendang telinga itu mengejutkan Seri Mulia dan laki-laki yang hendak meneruskan niatnya. Lama juga mereka tenggelam di dalam pemikiran masing-masing.

TANPA sedikit curiga atau takut, Seri Mulia membuka kedua-dua belah pintu. Pintu terbuka luas tanpa berhalang lagi.
Orang Kaya Mandira merenung lama-lama wajah Seri Mulia yang kelihatan begitu tenang di hadapannya.
"Seharusnya kanda di Hutan Sungai Batu, bukan?" tanya Seri Mulia, acuh tak acuh.
"Dengan siapa engkau bercakap tadi?" tempelak Mandira meninggi.
"Tak ada sesiapa." Seri Mulia membidas dengan manis suara yang dipaksa-paksa. Cuba mematahkan cakap Mandira. "Mulia bercakap seorang."
"Jangan cuba berdusta. Tak ada manusia yang bercakap dengan dirinya sendiri. Siapakah lelaki yang bercakap-cakap dengan mu semasa aku di luar tadi?" Mandira yang merasakan Mulia milik mutlaknya sudah menghamburkan marah membara. Dia segera membeliakkan mata.
Bagaikan harimau menerkam mangsa, Bija Sura menikam Mandira dari belakang. Darah mengalir keluar dengan banyaknya.
Mata Orang Kaya Mandira terjegil. Dia berpaling ke belakang.
Berkerut dahi Mandira sewaktu dia berbalik. Kemudian matanya membelalak, terkejut. Cahaya matanya menunjukkan dia terkejut besar.
"Rupa-rupanya kau?"
"Ya, aku," Bija Sura tersenyum lebar sambil menghunus keris yang berlumuran darah. "Kau sangka Mulia kasihkan engkau? Kita rambut sama hitam, tapi hati berlainan. Dulu hati ku kosong. Sekarang berisi. Mengapa aku perlu sia-siakan? Padanyalah tempat hati ku mengharapkan libur dan menghilangkan lara. Selama ini aku seperti seorang yang kehausan di padang pasir."
"Cis! Kau curang Sura. Pagar yang diharapkan. Rupanya pagar yang makan tanaman. Kenapa engkau khianat dengan aku? Aku tak pernah berbuat apa-apa dengan engkau. Kau adalah sebagai saudara ku, Sura," kata Mandira. Suaranya bergetar.
Kemudian ditenungnya Seri Mulia nan durjana.
"Cis! Perempuan jahanam. Menduakan laki." Hati Mandira remuk-redam kerana Seri Mulia. "Sungguh aku tak sangka kau tergamak buat aku begini. Rupa-rupanya engkau manis di luar, berulat di dalam!"
Seri Mulia tidak sanggup mendengar tuduhan itu. Dia menjadi berang apabila dihina sedemikian rupa.
Sepantas kilat dia mencabut keris yang tersisip di pinggang Mandira. Bersegera pula dia menikam rusuk kanan Mandira, menyebabkan di situ juga dia tersungkur menemui ajalnya.
Bibirnya diketap tanda geram dan puas.
Ketika itulah Seri Mulia melihat Garak terpaku berdiri di halaman rumah, sedang mengajar seikat ranting-ranting kayu.
Dia tersentak.
Garak tertegun dan tidak bisa mengatakan apa pun kerana kena shock yang hebat ini. Sebiji buah pisang dalam mulutnya terjatuh.
Dengan tiba-tiba Gatal bingkas berlari menyelamatkan diri bersama seberkas kuatir. Dia berlari sekencang-kencangnya, meninggalkan rumah itu cepat-cepat. Terus berlari mengikut ke mana saja yang dibawa kalinya.
"Biarkan dia pergi, kalau kita kejar dia, nanti bertambah kecuh." Begitu yang terlintas dalam dalam fikiran Bija Sura ketika itu. Dia terasa malas mahu memikirkan soal itu.
"Itu sangat merbahaya, kanda. Budak itu masa kecil menjadi kawan. Sudah besar menjadi lawan. Pabila dia sudah besar nanti, sudah tentu membalas dendam kepada kita," tingkah Seri Mulia berkias ibarat. Wajah cemas jelas di mukanya.
"Benar kata dinda itu," Bija Sura membenarkan dengan suara yang jelas menunjukkan kekesalan.
"Kesal yang tak memberikan kesan, kanda. Sebelum Garak datang melakukan pembalasan, lebih baik dia kita musnah. Sekarang kita mesti mencari dan menangkap Garak sampai dapat."

SELEPAS penat berlari, Garak berjalan cepat-cepat. Kemudian berlari dan berlari lagi. Denai yang ditempuh semakin lama semakin sempit dan semak. Anak-anak kayu dan kenalan yang berselirat di gigi denai bergoyang-goyang dirempuh kakinya. Pantas meredah dahan-dahan meliar, onak dan duri. Jauh di depannya belukar-belukar tebal dan belantara Hutan Sungai Batu menantinya.
Tidak berapa jauh di depannya ada terdengar denai air sungai meredah batu-batu. Sungai ini cuma selebar tiga depa. Tapi airnya deras, dingin dan jernih. Jika terus menyeberang sungai tersebut akan bertemu hutan dara.
Garak kehabisan tenaga lalu berhenti di pinggir sungai itu. Paru-parunya bagaikan tidak berkemampuan untuk mengepam tenaga kehidupan lagi. Nafasnya tercungap-cungap keletihan.
"Aku rasa di sini sudah cukup jauh," fikir Garak. Bintik-bintik peluh kelihatan memercik di dahinya.
Untuk sesaat hilang sekejap resah di hati. Lapang sedikit rasa dadanya. Dia berusaha memikirkan ke mana harus pergi.

SULTAN Bachtiar Alam Shah memandang lurus ke depan. Bekas-bekas tapak rusa yang dijejakinya kelihatan mengarah ke pohon-pohon kayu dari berbagai-bagai jenis dan bentuknya, tinggi menganjak angkasa di depannya.
Dia mengamati-amati sekitar dengan hati-hati sambil memegang busur dengan sekemas-kemasnya. Tempat anak panah di belakangnya hanya berisi sepuluh panah.
Keadaan terasa cukup sepi dan kerana terlalu sepi dia dapat mendengar bunyi daun-daun jatuh. Dia mencuba menyoroti setiap ruang kalau-kalau tertangkap sebarang gerak. Matanya mencuba ditajamkan meneliti pucuk-pucuk anak kayu, terutama pucuk-pucuk mamah rusa.
Tiba-tiba dia ternampak dahan dan ranting pokok di depannya bergerak-gerak. Di dalam kabur-kabur itu dia ternampak suatu lembaga bergerak-gerak. Matanya segera menangkap sejarah tanduk. Seekor rusa sedang merenggut-renggut pucuk-pucuk muda. iniRusa itu tidak mendengar alamat bahaya.
Sultan Bachtiar Alam Shah mengambil posisi tepat untuk memanah. Dia menarik dengan cepat sebuah anak panah dari tempatnya, dan memasang, kemudian mengangkat panahnya. Dia menajamkan pandangannya membidik dan mengarahkan anak panahnya tepat ke arah rusa itu. Dia melepaskan anak panah yang pantas.
Anak panah melesat demikian cepat sehingga orang yang menyaksikan tersentak membisu seribu bahasa dan tertegun tidak bergerak.
Tiba-tiba terdengar suara melaung. "Arghhh!"
Teriakan daripada Garak itu menggerunkan perasaan Sultan Bachtiar Alam Shah. Baginda berlari-lari anak menuju ke arah suara itu.
"Eh, budak rupanya. Mujur tak kena " Nada suara Sultan Bachtiar Alam Shah mengandung kehairanan. Panahannya itu cuma menembusi dan merobek baju Garak.
"Tolong! Tolong! Jangan bunuh saya!" teriak Garak seperti orang ketakutan. Dia hampir kehilangan kontrol dirinya. Sampai ke saat ini dia masih diburu cemas.
Garak menoleh ke arah Sultan Bachtiar Alam Shah yang sudah berdiri di dekatnya. Dia semakin cemas. Seluruh tubuhnya mula menggeletar.
Orang sudah mengerumuni dan membuat setengah lingkaran di sekitar Garak. Semua mata tertumpu kepada Garak.
Baginda segera berkata, "Jangan takut. Kami tak berniat jahat. Beta raja dalam negeri ini dan ini pengikut-pengikut beta. Kau ni anak siapa? Dari mana kau datang?"
"Tolong! Saya bersumpah tak pecahkan rahsia bapa saya kena bunuh!" Garak bercakap dengan kuat seperti ditujukan kepada seseorang. Dia sebenarnya menjadi mangsa ketidak pastiannya sendiri. Pada kelopak matanya air mata mulai bergenang-genang.
"Bila kejadian ini berlaku?" tanya Sultan Bachtiar Alam Shah kepada Garak.

GARAK menerangkan peristiwa yang telah berlaku ke atas dirinya.
Sultan Bachtiar Alam Shah memandangi Laksamana Megat Komeng.
"Datuk Laksamana?"
Sahut Megat Komeng, "Tuanku?"
"Kenal tak anak siapa ini?" tanya baginda.
Laksamana Megat Komeng mengerutkan dahi. "Patik tak tahu, Tuanku. Tak pernah tengok pun."
Setelah mengangkat sembah, Daik pun berkata, "Tuanku, budak ini anak Orang Kaya Mandira, Tuanku."
"Apa benarkah ini?"
"Benar, Tuanku."
"Kau anak Orang Kaya Mandira, ya?" tanya Sultan Bachtiar Alam Shah menduga Garak. Dia meneliti wajah budak itu.
"Memang benar, Tuanku," Garak menerangkan.
"Siapa nama kau?"
"Nama saya Garak."
Keadaan menyepi.
"Orang Kaya Mandira kena bunuh? Ini tak boleh lengah lagi," kata Sultan Bachtiar Alam Shah kemudian. "Datuk Laksamana dan Tun Nila. Boleh jadi pembunuhnya masih ada di rumah Orang Kaya Mandira. Siasat perkara ini. Jika benar, tangkap dan bawa ke Balai Rong!" titah baginda.
"Menjunjung titah, Tuanku."
"Kerana kejadian yang tak disangka-sangka ini maka perburuan ini kita habiskan setakat ini saja. Marilah kita semua pulang ke istana."

SERI Mulia terpinga-pinga di tengah serambi rumah Orang Kaya Mandira. "Hah? Di mana dia?"
"Entah. Bukit dan dusun telah dilalui tapi yang dikesan tidak berjumpa. Dia hilang entah ke mana. Puas sudah kanda mencarinya tetapi tidak juga berjumpa," Tun Bija Sura mengeluh lesu sambil menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Beberapa titik peluhnya mula mengalir membasahi dahinya.
Seri Mulia datang menghampirinya.
"Apa kita nak buat sekarang?" tanyanya kekuatiran.
Fikiran Seri Mulia bersimpang-siur dan ditetpa dengan pelbagai persoalan yang tidak diundang. Kegelisahan memanjat tangkai hatinya.
"Dinda, mari kita lari membawa nasib malam ini juga mengikut kehendak dan takdir. Ke mana saja asal kita dapat bersama-sama," cetus Bija Sura tiba-tiba. "Di sana nanti kita akan habiskan cerita hidup."
"Dinda rela seribu harapan dan sanggup mengikut kanda walau ke mana sekali pun," sahut Seru Mulia. "Di mana saja kanda. Asal sesuai dengan kanda."
"Sudah terlambat! Kami dah dengar semuanya!" tempelak satu suara.
Tun Bija Sura dan Seri Mulia mengalihkan pandangan ke arah suara itu. Mereka menatap Laksamana Megat Komeng dan Tun Nila yang berada di tepi serambi yang terbuka luas itu.
Tanpa ditanya, Megat Komeng berkata lagi, "Kami datang ni membawa titah."
"Ya, titah dari Yang Maha Mulia Sultan. Kami telah dititahkan oleh Sultan untuk menangkap kamu berdua," Tun Nila menjelaskan. "Kamu tahu sebabnya, bukan?"
"Pembunuhan yang telah dilakukan oleh kamu berdua telah sampai beritanya kepada Tuanku semasa kami pergi memburu tadi!" Nada suara Megat Komeng tinggi. "Sekarang, atas nama kerajaan, kami perintah kamu berdua menyerah diri!"
"Jangan cuba nak lari. Kamu berdua takkan dapat lari daripada kami." Mata Tun Nila menyelinap wajah Tun Bija Sura dan Seri Mulia.
"Lebih baik kamu berdua menyerah! Jangan sampai perkara yang tidak diingini berlaku!" Megat Komeng mendesak.

"APAKAH punca angkara ini, Datuk Laksamana?"
"Dari apa yang diceritakan oleh mereka, nyatalah Tun Bija Sura rupanya dah lama membuat perhubungan dengan Seri Mulia, isteri Orang Kaya Mandira."
"Oh, begitu. Ganjil. Sahabat dengan sahabat berlaku curang. Isteri sanggup menduakan laki."
"Kau! Kau! Bawa mayat Orang Kaya Mandira ke mari!" Megat Komeng mengisyaratkan pengawal-pengawal yang menunggu di luar Balai Rong itu membawa masuk mayat Orang Kaya Mandira ke Balai Rong.
Tubuh Mandira bungkam di lantai.
"Tuanku, inilah hasil kekejaman mereka, Tuanku!" Laksamana Megat Komeng menerangkan.
Sultan Bachtiar Alam Shah sedih melihat kematian Orang Kaya Mandira secara tragik.
"Baiklah. Sekarang beta sendiri hendak bertanya dengan perempuan ini." Baginda memandang ke arah perempuan di hadapannya itu. Dia hendak memastikan peranan perempuan itu yang sebenarnya. "Benarkah suami mu mati ditikam oleh mu dan Tun Bija Sura?"
"Patik mengaku memang patik ada lakukan. Ampunkanlah patik, Tuanku." Seri Mulia mengakui. Bola matanya terasa hendak menitiskan air mata.
Baginda melihat Tun Bija Sura. "Kamu, Bija Sura, apa jawapan mu?"
Tun Bija Sura yang tunduk dengan pandangan menikam lantai itu mematikan diri. Bagaikan ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya untuk berkata-kata.
"Kenapa kamu membisu? Jawaplah pertanyaan beta."
"Mohon diampun kesalahan patik, Tuanku," tiba-tiba Bija Sura berkata.
"Tak guna kau minta ampun. Kamu berdua didapati bersalah. Dari itu, kamu dan Seri Mulia akan menerima hukuman dari segala dosa yang kamu berdua lakukan."
Baginda menikamkan pandangan dengan tajam ke dalam wajah Megat Komeng.
"Datuk Laksamana!"
"Tuanku?"
"Sumbatkan kedua pembunuh ini ke dalam penjara. Besok akan dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang yang telah temetri di kerajaan ini!"
"Taat menjunjung perintah, Tuanku."
Baginda memancangkan matanya ke dalam wajah Bendahara Mutalib. "Datuk Bendahara."
"Ya, Tuanku?"
"Sempurnakan mayat Orang Kaya Mandira."
"Baik, Tuanku. Bermohon patik."
"Silakan "

BENDAHARA Mutalib menikamkan pandangannya ke dalam muka Sultan Bachtiar Alam Shah.
"Ampun Tuanku. Segala-galanya telah sedia. Izinkan patik jalankan hukuman sula, Tuanku."
Bija Ali melangkah, menapak perlahan-lahan. Wajahnya bagaikan dibelit kegelisahan.
"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Mohon patik datang bersembah bagi pihak bapak patik. Patik mohon, kalau ada limpah kurnia Tuanku. Patik pohonkan belas kesian Tuanku supaya ringankanlah hukumannya. Hukuman Tuanku terlampau berat."
Sultan Bachtiar Alam Shah menenggelamkan seluruh matanya ke dalam muka Bija Ali. "Hukuman ini telah diisytiharkan dan tidak boleh dibantah lagi. Sebagai contoh beta jadikan kepada yang lain di hari kemudian. Kalau bersifat curang, itulah balasannya. Jadi, mudah-mudahan jangan sampai terjadi semacam ini lagi."
Baginda melihat Bendahara Mutalib.
"Bendahara, apa yang beta titah, jalankan "
"Mohon patik, Tuanku."

BIJA Ali berjongkok atas batu di tepi laut, sedang bertafakur. Dia merasa terpukul. Dia merasa sebagai sebuah bangunan yang kukuh mendadak ambruk digoncang gempa bumi dan menimpa para penghuninya.
"Huh, aku tidak akan lupakan peristiwa ini. Bapak, Ali bersumpah di suatu masa nanti Ali tetap menuntut bela di atas kematian bapak," gumam Bija Ali dengan suara dendam. "Akan ku basahkan bumi Perlak ini dengan darah mereka yang bertanggungjawab dan semua ini akan berakhir dengan tangisan."
"Ali! Hei, Ali! Apa kau buat di sini, Ali?" serah Daik, memancung ketenangan Bija Ali.
Dia datang bersama tiga sahabatnya yang karib, Jenang, Nirang dan Obeng.
Bija Ali tidak menjawab.
"Puas sudah kita mencari kau merata-rata," kata Jenang.
Bija Ali mengunci mulutnya rapat-rapat.
"Apa kau buat duduk di sini? Kau tak pergi ke istana untuk meraikan hari keputeraan Sultan?" tanya Nirang. Bahu Bija Ali ditepuknya. Tetapi Bija Ali tidak menoleh ke belakang. Diam bagai tidak mengendah.
"Nampaknya kau ni bermuram, Ali " Sesuatu yang membimbangkan terhanyut terang di wajah Obeng.
Kedudukannya masih seperti tadi. Dia tetap membelakangi mereka.
"Eh, Ali. Kenapa kau ni asyik termenung saja?" Jenang memancangkan matanya ke dalam muka Daik, Nirang dan Obeng. "Sepatah dia tak menjawab."
Daik memandang wajah sahabatnya itu penuh simpati. "Aku faham apa yang kau menungkan. Bahkan aku juga turut sedih di atas kematian ayah kau. Bersabarlah Ali. Pasti kau berasa dukacita di atas kejadian yang tak disangka-sangka ini. Aku tumpang berdukacita, Ali."
"Takdir telah diatur, ajal tak dapat dielakkan, Ali," Nirang mencelah. Menyambung, "Ini semua sudah takdir. Janganlah kau banyak berfikir."
Bija Ali akhirnya menoleh dan menghadap Jenang. "Kau tahu apa yang dalam pemikiran aku? Aku nak menuntut bela."
"Menuntut bela? Dengan siapa?" Jenang bertanya.
"Dengan Sultan," balas Bija Ali penuh semangat, menahan api kemarahan yang sedikit membakar dadanya.
"Dengan Sultan? Apa maksud perkataan mu?" Suara Obeng penuh kehairanan.
Nirang terperanjat sedikit. "Aku, cakap kau ni cakap derhaka. Apa kau ni berolok-olok, Ali?"
"Ya, mengapa kau mengeluarkan perkataan sebegini, Ali?" Obeng menyampuk cepat. "Pantang orang Melayu menderhaka kepada raja."
Bija Ali membuang muka, kemudian menatap Obeng. "Tidak. Tidak, Obeng. Tidak semudah itu," tukas Bija Ali, mengeluarkan bara kejengkelannya. "Luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati badan kerana. Kecundang kalau aku hanya berpeluk tubuh."
"Apa yang engkau hendak lakukan, Ali?"
"Aku belum puas selagi dendam tidak berbalas. Aku takkan senang hati selagi kewajipan belum ku penuhi. Peperangan akan melanda Tuanku, sama ada Tuanku mahu atau tidak. Ia dimulakan dengan darah dan ia akan diselesaikan dengan darah."
"Ali, kalau begitu keras kemahuan mu, aku sedia menolong mu," tiba-tiba kata Daik, menyokong Ali.
"Ya, kami berkongsi pendapat kau, Ali," Jenang menegaskan.
"Berikhtiarlah kau. Percayalah, kami sentiasa di sebelah kau, Ali," Nirang menyampuk bersahaja.
"Boleh jadi kau akan mendapat kejayaan dan kemuliaan kelak," kata Obeng kepada Ali.
"Tuah nasib, siapa tahu?" Daik menonjolkan sebuah harapan ke dalam dada Ali. "Nasib kau baik, kau boleh jadi Sultan dan kami boleh jadi pembesar negeri."
"Walaupun aku bergadai nyawa sekali pun, namun kematian ayah ku, akan tetap ku bela. Walaupun begitu, sekarang bukan masanya. Kita perlukan lebih banyak orang, lebih banyak senjata. Sabarlah dalam beberapa tahun lagi."
"Dari itu eloklah kita bersedia, Ali," segera Daik berkata.
"Ya, molek juga cadangan kau itu."
"Serahkan perkara ini kepada aku. Aku tahu apa yang perlu dibuat," cetus Daik.
"Daik, ku serahkan kepercayaan ku kepada kau," kata Bija Ali mendesis saja. "Nanti pembakarannya akan tiba. H-mmm. Tunggulah masanya."
Mata Bija Ali berputar ke muka Daik, Jenang, Nirang dan Obeng. "Ingat! Apa yang kita cakapkan tadi adalah rahsia di antara kita. Biar terburai di perut, jangan bibir di mulut."
Daik merenung muka Bija Ali. "Itu jangan kau susah."
"Kalau begitu, perbualan ini dah berakhir. Mari kita pergi ke istana," Bija Ali seperti memerintah saja.

MATAHARI mulai condong ke barat. Garak bertenggek di atas tangga rumahnya. Kepalanya ditundukkan seperti sedang bertafakur. Lama dia begitu.
Entah dari hala mana datangnya tiba-tiba muncul Temenggong Tun Nila Utama. Dia diiringi oleh seorang inang yang menjinjit sebuah raga.
"Apa khabar Garak?" Tun Nila menegur.
Garak mendongak, cuba mengelakkan dari arah manakah suara itu. "Oh, Datuk Temenggong. Khabar baik. Maksud apa Datuk ke mari?"
"Tuanku suruh hantar kuih-kuih ini," kata Tun Nila sambil membuka tudung raga.
Di dalam raga yang dijinjit inang itu terdapat tiga jenis kuih.
"Tuhan sajalah yang dapat membalas budi baik, Tuanku."
"Mak Inang. Tolong bawa masuk ke dalam, ya?"
"Baik, Datuk."
Inang mengatur langkah menuju dapur. Kakinya mula menjamah anak tangga dan terus menaikinya satu persatu.
Tun Nila memerhati wajah Garak dengan penuh tanda tanya.
"Kau termenung saja macam orang menanggung beban yang berat." Tun Nila cuba menyoroti persoalannya sambil meletakkan sebelah kakinya ke atas anak tangga yang pertama.
"Iya, saya rasa sebagai satu beban kerana saya sudah tiada siapa di sini," kata Garak, menahan sedih yang meruntun jiwa.
"Tidak ada saudara-mara di sini?"
"Saya tidak ada saudara-mara. Sekarang dengan siapakah saya nak bergantung?" Perasaan sedihnya mulai bertiup rapat.
"Kesiannya," getus Inang. Dia turun ke anak tangga. Kemudian perlahan-lahan menyarung capalnya.
"Oh, jadi selama ini perkara itulah yang merungsingkan kau? Itu yang kau susahkan? Tak usah kuatir perkara itu, Garak. Bapak tak ada anak. Mahukah engkau bapak jadikan anak angkat?"
"Asalkan saya ada tempat perlindungan dan kasih sayang."
"Nah, itu yang bagus," kata Inang kepada Garak.
Tun Nila tersenyum mendengar itu. "Itulah yang sebaik-baiknya, Garak."
Garak segera bangun, dia merapatinya dengan perlahan-lahan. "Apa benar begitu?"
Matanya tajam merenung ke dalam wajah Tun Nila. Seakan-akan mahu kepastian dari Tun Nila, kepastian yang mutlak.
Perhatian yang tajam itu membuatkan Tun Nila tersenyum lagi. Kemudian dia mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Hari ini adalah sebaik-baik hari." Kemudian tangan Garak mencengkam kuat pergelangan tangan Tun Nila. Dia tahu dia tidak akan keseorangan lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience