PAGI datang seperti biasa. Matahari mula muncul di garis cakerawala. Sekitar teluk itu diselubungi sunyi sepi. Hanya angin dan pohon kelapa berbunyi mengocak kesepiannya. Dari tepi belukar, ternampak susuk lima lembaga manusia sedang berbincang. Mereka kelihatan berbisik-bisik sesama sendiri. Muka mereka bertutup dengan kain hitam. Parang sundang terselit di pinggang mereka.
Mereka kemudian menuju ke pondok Yatim Mustapha yang tak jauh letaknya di teluk itu. Pondok itu sedang-sedang saja besarnya tetapi rapi perbuatannya. Pintu dan jendelanya tertutup. Langkah diatur menuju tangga dekat pintu pondok dengan senyap.
Bayan sampai ke anak tangga yang akhir sekali. Lalu pintu pondok itu diterjah dengan kasar. Dia memanjangkan lehernya macam bangau, menyoroti keadaan dalam pondok itu.
Suasana hening seketika. Mata mereka membelingas.
"Orangnya tak ada." Suara Bayan mengopak sunyi alam. "Tak ada sesiapa di sini "
"Aku ingat dia masih ada di perahunya," kata salah seorang. Dia ini bermisai lebat tak terurus. Bernama Anjal. Menenggelamkan matanya ke dalam wajah Bayan.
"Atau dia ke hutan, mencari kayu-kayan," sahut seorang yang lain pula dengan agak yakin. Bernama Guntor.
"Hmmm, kalau begitu, kita bakar saja pondok si bedebah ini," Chulan berkata dengan seenaknya, bagai memberi kata putus.
"Biar aku bakar pondoknya." Suara orang lain yang menyokong Chulan. Namanya Kadok.
TIDAK jauh dari situ, Pak Sagu memerhati dari balik tabir. Dari celah-celah daun yang lebat, dia dapat melihat pondok itu mulai terbakar dan menerima nasib di bawah api. Bermula dari bahagian ruang utama pondok sebelum ia merebak ke bahagian lain. Dia tidak merencanakan berkelahi menghadapi lima orang.
PAK Sagu melaung, "Yatim! Yatim!"
Yatim Mustapha menoleh cepat-cepat, memandangkan matanya ke dalam muka Pak Sagu.
"Mujur juga pakcik dapat berjumpa dengan kau di sini "
"Kenapa?" tanyanya sepatah dengan suara yang terkejut.
"Beberapa orang sedang berkumpul di kawasan pondok kau dan mereka membakar pondok kau," kata Pak Sagu kepada saudagar muda itu. Suaranya kedengaran gementar seperti kehilangan kontrol.
Kabar itu mendenyutkan darah dalam tubuh Yatim Mustapha. Cepat-cepat dia membalas dengan cemas, "Apa betul?"
"Betul, dan pakcik tak mengecam siapa-siapa orang itu kerana muka mereka bertutup dengan kain hitam," kata Pak Sagu melanjutkan ceritanya.
"Tidakkah Pak Sagu dimengapa-ngapakan?" tanya Denak separuh geram mendengarnya.
"Pakcik bersembunyi di balik semak dalam belukar," ujar Pak Sagu.
"Ini mesti ada apa-apa sebab. Kalau begitu mari kita ke sana!" seru Yatim Mustapha kepada Denak.
"Nanti! Biar pakcik ikut sama," pinta Pak Sagu.
LIMA orang anggota kumpulan bersenjata memerhati asap tebal menyelubungi ruang udara di sekitar kawasan itu setelah pondok Yatim Mustapha dibakar. Api dengan cepat membesar.
"Oi! Apa yang kau orang buat ni?" teriak Yatim Mustapha ketika melihat apa yang telah terjadi. Langsung kepada pokok persoalan. "Apa ertinya ini semua?"
Seorang daripada mereka mara setapak ke hadapan dan berseru, "Beginilah akibatnya jika suka mencampuri hal orang lain!"
"Siapa kau semua?" Yatim Mustapha bertanya lagi.
"Tak perlu kau tahu!" jerkah Bayan, sinis.
"Kau orang bukan laki-laki. Di sebalik topeng hendak bersembunyi," sindir Yatim Mustapha. "Kalau kau orang berani, tunjukkan diri! Dikau semuanya pengecut!"
"Kau berani mengatakan kami pengecut?" pintas seorang lagi.
"Ya, aku sajalah yang berani menuduh kau orang pengecut!" jerkah Yatim Mustapha, kasar.
"Kami akan tunjukkan kepada MU sama ada kami pengecut atau tidak!" tegas yang lain.
Denak menoleh perlahan-lahan ke arah Pak Sagu. "Tepi Pak Sagu. Biar kami yang menanggung bebanan ini."
Pak Sagu menggelengkan kepala, tidak bersetuju.
"Oh, kalau kau orang ingin sangat nak melepaskan geram, kami menunggu saja bila kau orang nak menyerang!" bentak Yatim Mustapha dengan waspada.
YATIM Mustapha tercegat seorang diri menghadapi Bayan, Chulan dan Anjal yang berdahulu-dahuluan seolah-olah dengan gembiranya hendak mengepung. Saling pandang dan menunggukan orang-orang itu menghampirinya.
Sejurus kemudian orang-orang yang mengepung itu pun mara semakin rapat. Yatim Mustapha memencak, bersiap-siap menghadapi mereka. Di tangan mereka lengkap senjata. Dia akan menghadapi kenyataan itu dengan hati yang tabah.
Bayan menyerang dengan tetakan sundang. Tetakan itu dapat dielak Yatim Mustapha dengan cepat, seperti kecepatan seekor harimau dan dengan tiada lengah lagi lalu bertindak balas dengan pukulan tetak tangan kanan berbisanya ke arah dada musuhnya itu. Menjatuhkannya ibarat sebiji kentang lembik.
Chulan melangkah menyerangnya dengan pantas. Belum sempat dia berbuat apa-apa, Yatim Mustapha sempat melayangkan sebuah tendangan ke dada Chulan, menyebabkan dia hilang pertimbangan dan jatuh tergolek.
Yatim Mustapha berterusan mendominasikan pertarungan apabila Anjal menerpa hendak menetak. Dia terlebih dulu meluru dengan tangkas ke arah lawan dengan genggaman penumbuk yang dilepaskan ke arah muka Anjal. Menyebabkannya terpelanting ke belakang.
Yatim Mustapha memencak lagi.
"Jangan lekas putus asa. Cuba lagi!" katanya kepada mereka. Kata-katanya seolah-olah mengandung nada mentertawakan.
Bayan diam saja. Chulan juga diam. Anjal juga.
Bayan seperti seekor harimau lapar, meluru dengan rakusnya ke arah Yatim Mustapha. Tapi dengan kepantasan luar biasa, tangannya segera disambar oleh Yatim Mustapha. Melonjak diri Bayan ke hadapan dan dia tercampak jatuh terbaring ke tanah.
Chulan tanpa ampun lagi datang menetak Yatim Mustapha secepat mungkin. Tetapi dengan mudah jua dapat dielakkannya tetakan itu. Lalu dipukulnya belakang Chulan dengan kepalan kedua belah tangannya dan oleh keras kenanya hingga menyebabkan dia terjungkal jatuh tersungkur ke tanah.
Anjal tak dapat berdiam diri lebih lama lagi. Dia segera maju ke depan. Yatim Mustapha melompat mengelakkan hayunan tangan Anjal yang menetaknya, dan dengan cepat tangan itu ditangkapnya dengan tangan kiri. Pada saat itu juga tangan kanan Yatim Mustapha mencengkam leher lawannya dan menolak. Seluruh berat badan Anjal terdorong ke belakang. Dia rebah.
Giliran Chulan pula menerpa dengan laju ke arah Yatim Mustapha tetapi lawannya itu terlebih dahulu menangkap tangannya. Yatim Mustapha tidak membuang masa lalu melepaskan satu tetakan tangan yang padu ke muka Chulan. Akibat dari terkena pukulan tersebut, Chulan pening-pening lalat. Dia terhuyung-hayang dan tidak terdaya untuk berdiri tegak lagi.
Yatim Mustapha memutar tubuh dan menghadap Anjal. Dia menggunakan kepantasannya sekali lagi bila Anjal menyerang, terlebih dahulu menendang dengan kakinya ke muka Anjal sebaik saja Anjal mendekatinya. Lawannya terpelanting ke belakang.
Yatim Mustapha menghunus kerisnya dengan pandangan yang penuh erti. Wajah ketiga orang di hadapan diperhatikannya. Dia dapat melihat wajah kengerian terpancar dalam muka Bayan, Chulan dan Anjal.
"Sekarang, mari kita bertikam!" pekiknya dengan mata terjegil.
Setelah dilihat oleh mereka saudagar itu telah menghunus kerisnya seolah-olah hendak mengamok lakunya, hati nurani mereka mula diratah ketakutan. Maka mereka pun tiada bertangguh lagi lalu lari membawa diri masing-masing dengan tiada ketahuan hala.
DENAK berdiri menghadapi Guntor. Dengan keputusan yang membulat di hatinya, Guntor meluru ke arah Denak. Namun serangan daripada Guntor yang sedang dilanda api kemarahan itu berjaya diatasinya. Tangan yang memegang sundang itu dapat dipegang Denak dengan tangan kirinya. Tangan kanannya pula mencengkam leher Guntor dengan kemas
Denak mencekik dan mencekik dengan kuat. Guntor cuba melonggarkan cengkaman Denak. Dia menggerakkan seluruh tenaga dalamannya untuk melakukan pukulan cantas ke tangan yang mencengkam lehernya itu dengan tangan kiri. Melepaskan lehernya dari cengkaman tangan Denak.
Guntor dapat meloloskan dirinya. Namun Denak melepaskan satu tumbukan yang keras ke arah muka Guntor dengan tangan kirinya. Lawannya itu terpelanting ke belakang dan tumbang menyembah bumi. Darah memercik dari sudut mulutnya.
Sundangnya pula terlempar jatuh.
Denak berjongkok menjangkau sundang itu lalu berdepan dengan Guntor. Satu gerakan yang Denak fikir akan memadamkan api keutuhan Guntor.
Kelakuan Denak itu mematahkan semangat juang Guntor. Dia seperti putus harap. Dalam hati Guntor merasa harapannya sudah tak ada lagi. Dengan ketakutan yang menyelubungi benaknya, dia cepat-cepat menjauhi Denak. Meninggalkan dia bersendirian.
KADOK dengan sundang di genggamannya merenung tajam ke arah Pak Sagu. Selepas kedua-duanya bertentang mata dan saling merenung, Kadok dengan segera menerkam ke depan.
Lalu dengan keahlian yang dapat dibanggakan, Pak Sagu menepis dan menangkap tangan Kadok yang bersundang itu dengan tangan kiri. Pada saat yang bersamaan, tangan kanannya mencengkeram bahu kanan lawan.
Kemudian orang tua itu menyentakkan lutut kanannya lurus ke atas, menghentakkan tangan Kadok yang memegang sundang ke atas kepala lututnya. Sundang itu tercampak ke tanah.
Pak Sagu belum menamatkan aksi keperwiraannya. Dia menambah seksaan dengan menghasilkan tetakan tangan kanan ke bahagian dada Kadok. Kemudian beralih ke bahagian perut.
Kadok kehilangan keseimbangan badan dan jatuh tersungkur.
Kadok bangun. Tiba-tiba dia tersentak melihat Bayan, Chulan, Anjal dan Guntor bercempera lari untuk menyelamatkan diri. Ketakutan meluru ke dalam pusat hatinya. Dia pun terus berlari sepantas-pantasnya, menyelinap di celah-celah belukar.
Pak Sagu membiarkan orang itu lari.
"HEI pengecut!" pelik Yatim Mustapha kepada mereka. Dia menyarungkan kerisnya. Kemudian berlari mendapatkan Anjal yang berlari tercungap-cungap hendak melepaskan diri daripadanya.
Anjal mempercepatkan langkah apabila menyedari dia diekori oleh Yatim Mustapha. Di dalam kebimbangannya, dia lari lintang-pukang meluru ke arah pohon kelapa dan terpelanting jatuh.
Ketika Yatim Mustapha sampai, Anjal tercungap-cungap untuk bangun. Kemudian, ketika tangan Anjal cuba menumbuk mukanya, dia segera menangkap tangan yang terhulur itu. Tangan Anjal disengkelingkan ke belakang tubuh lawannya dan dengan kedua tangannya menarik ke atas dengan satu pulasan yang keras dan menyakitkan.
Anjal tergamam kerana menyedari peluang untuk menyelamatkan diri ternyata tipis.
"Batang pisang lagi susah nak ditebang, ini pula nyawa manusia. Bukannya mudah hendak membunuh Yatim Mustapha. Aku pernah menentang musuh yang berlipat ganda!" tegas Yatim Mustapha, kebengisan. Setelah berdiam selama beberapa detik, Yatim Mustapha bertanya, "Siapa nama kau?"
"Anjal," jawab orang itu dalam ketakutan.
"Hei, Anjal! Aku tak pernah berbuat apa-apa dengan kau. Kenapa kau nak bunuh aku?"
"Sebab ini adalah perentah yang hamba terima. Hamba hanya menjalankan perentah," kata Anjal dengan suara gementar
"Dapat perentah? Perentah siapa? Siapa yang menyuruh kau?"
"Dia minta hamba rahsiakan pembabitannya."
"Cakap lekas! Cakap! Kalau tidak aku akan bunuh kau sekarang juga!"
"Tolong jangan diapa-apakan kepada hamba. Hamba ada ibu tua. Kalau hamba mati, siapa nak tanggung?" Anjal cemas dan pada wajahnya terpancar ketakutan dan kengerian. Gerun dan gementar tubuhnya. "Yang sebenarnya hamba diupah oleh Awang Sulong. Ini adalah kemahuannya "
"Aku akan lepaskan engkau tapi dengan satu syarat."
"Apa syaratnya?" Anjal bertanya.
"Pergi kau pulang menjaga ibu mu di rumah dan ikutlah tunjuk ajar ibu mu. Turutlah segala perentah ibu mu supaya yang dikaitnya dapat dan yang dirancangnya tidak sia-sia."
"Baiklah. Syarat engkau itu akan hamba sempurnakan."
"Tetapi ingat, Anjal. Buat baik biarlah berpada-pada. Buat jahat jangan sekali."
Yatim Mustapha melepaskan cengkamannya.
TINDAKAN pantas Pak Sagu dan Denak berjaya mengawal api daripada merebak dan memusnahkan keseluruhan pondok. Pak Sagu mendekati Yatim Mustapha yang duduk di tangga, melihat keadaan yang hangus terbakar.
"Apa yang telah terjadi Yatim? Mengapa nasib yang sebegini malang menimpa diri mu? Apakah punca perkara ini?" Pak Sagu sudah duduk di sisi dia
"Entahlah, Pak Sagu," Yatim Mustapha membohong dengan perasaan bersalah. Dia teragak-agak.
Pak Sagu berfikir sejenak. "Yatim, adakah kau bermusuhan dengan orang-orang di pulau ini?"
Yatim Mustapha mengangkat bahu. "Entahlah. Sepanjang yang saya tahu, jangan dikatakan bermusuh, berselisih faham pun saya tak pernah dengan orang-orang di sini "
"Rambut sama hitam. Hati lain-lain, Yatim. Jangan-jangan ada musuh di dalam selimut tak? Orang-orang yang melakukan perbuatan ini tentulah orang-orang yang benci terhadap kau."
Yatim Mustapha membiarkan nafasnya mengosongkan paru-parunya dengan keluhan panjang. "Tentang itu, tak tahulah saya."
"Pakcik akan mengemukakan perkara ini pada pengadilan Tok Penghulu."
"Jangan, Pak Sagu. Izinkanlah saya menyiasat perkara ini."
"Bagaimana pula Pak Sagu boleh datang ke mari?" Denak menyampuk perbualan Yatim Mustapha dan Pak Sagu.
Pak Sagu berpaling memandang Denak. "Pakcik nak jumpa dengan kau berdua kerana ingin membeli dagangan kau berdua."
"Barang-barang perniagaan kami tak ada lagi. Kami dah jual semua di Pulau Bakau."
Pak Sagu mengangguk.
"Jadi, sekarang kau berdua nak duduk di mana?" tanyanya perlahan dan memandang Yatim Mustapha.
Yatim Mustapha memikir-mikir. "Buat sementara ini, kami fikir kami nak menumpang di pengkalan."
"Buat apa pergi ke sana? Rumah pakcik ada sebuah yang kosong. Kalau kau berdua tinggal di sana, kau berdua akan dipandang sebagai saudara pakcik. Apa kata kau, Yatim?"
Yatim Mustapha ragu-ragu sesaat. "Kalau dah begitu, saya mengikut saja pakcik. Terima kasih atas budi baik pakcik dan saya mengucapkan syukur kerana pertolongan yang berharga ini."
"Pakcik memberi pertolongan hanya sudah lazimnya manusia di alam ini. Hidup bertolong-tolongan apabila satu dengan lain kesusahan. Sekarang biarlah pakcik balik dulu kerana pakcik nak mengemaskan rumah itu."
Yatim Mustapha dan Denak membungkukkan sedikit badan sebagai tanda hormat kepada Pak Sagu.
Pak Sagu bangun lalu memutarkan tubuhnya untuk melangkah.
Lama-kelamaan tubuh Pak Sagu langsung hilang dari mata mereka. Dia sudah tenggelam di balik belukar yang tebal.
Ketika orang tua itu sudah pergi, Yatim Mustapha masih tercegat.
"Sudah nyatalah ada dendam antara Awang Sulong dengan aku," bisiknya apakah teringat akan hal itu.
Dia melayari fikirannya yang merantau jauh.
ISTANA besar tersergam di atas kemuncak bukit yang tinggi dan dikelilingi tembok setinggi delapan kaki. Ruang Balai Hadapannya pula maha besar dan dikelilingi oleh tak kurang dari sepuluh pengawal serta kepala pengawal.
"Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Balai Hadapan!" teriak Tukang Pelaung.
Gema pukulan gong tembaga waja menusuk ke telinga.
Satu perbarisan dari pasukan pengawal Sultan muncul.
Kemudian semua mata bertumpu pada Sultan Zainal Abidin. Baginda merupakan Sultan di Bentan. Perlahan-lahan baginda duduk di geta.
"Daulat Tuanku!" Semua yang hadir mengangkat sembah lalu duduk di tempat masing-masing.
Suasana senyap menakluki suasana.
Kemudian tanpa memilih dulu kata-kata yang akan diucapkannya, Bendahara Tun Lekir berkata dengan -tiba. "Tuanku, izinkanlah patik mengulang sekali lagi bahawa semenjak keberangkatan Permaisuri, sunyilah istana dan hilanglah seri istana ini. Gelap gelita. Rasanya tak molek istana ini dibiarkan gelap sepanjang masa."
"Apa maksud maksud memanda? Cuba jelaskan kata-kata memanda itu."
"Adat bulan dengan bintangnya. Adat raja dengan permaisurinya. Tidakkah ke bawah Duli bercadang menggantikannya?"
Sultan Zainal Abidin berfikir sesaat lalu menjawab setenang mungkin. "Ya, mengapa tidak? Masanya telah tiba, rakyat akan dapat kesempatan menjunjung Duli Tuanku dengan permaisurinya."
"Kalau patik cadangkan puteri dari negeri Siak, bagaimana? Raja di sana ada mempunyai puteri cantik rupawan dan sungguh baik budi bahasanya. Siti Zubaidah namanya. Tuanku, kalaulah dia menjadi Permaisuri, alangkah berserinya negeri Bentan ini."
"Molek Bendahara. Beta setuju dengan pemilihan memanda itu. Kalau memanda pikir baik, baiklah pada beta," Sultan Zainal Abidin menyetujui.
"Pilihan Tuanku sudah kena pada tempatnya," ujar Bendahara Tun Lekir sambil mengorak senyuman berkedut.
"Agak-agak berapa umurnya?"
"Umurnya sudah meningkat dua puluh lima tahun, Tuanku."
"Tahukah memanda betapa bezanya umur beta dengan puteri itu?" pertanyaan Sultan Zainal Abidin terdengar sangat tajam. Hatinya jadi tergugat. Dia takut kalau-kalau harapannya kecewa. "Umur beta tidak padan dengannya."
"Apa Tuanku nak bimbangkan sangat? Kebahagiaan bukanlah terletak pada umur Tuanku, tetapi adalah pada saling mengerti di antara satu sama lain."
Sultan Zainal Abidin merasa sangat senang. "Datuk Pujangga!"
"Tuanku?" sahut Datuk Pujangga.
"Rencanakan surat peminangan dengan segera," titah baginda.
"Titah dijunjung Tuanku." Dengan sopan Datuk Pujangga bangun, lalu meninggalkan Balai Hadapan itu.
"Siapa pula yang hendak menyelenggarakannya?" kata baginda gusar.
"Ampun Tuanku. Serahkan perkara ini pada patik." Laksamana Daik mengajukan diri. Dia seorang laki-laki setengah tua dengan potongan rambut pendek dan dengan pembawaan yang penuh kemampuan.
"Berangkatlah Datuk Laksamana ke Siak dengan segera sebagai utusan daripada kerajaan Bentan untuk menyerahkan surat itu kepada rajanya."
Laksamana Daik menurut. "Menjunjung perentah, Tuanku."
Sejurus lamanya suasana di balai itu senyap-senyap. Kemudian Sultan Zainal Abidin pun berkata setengah berteriak, "Datuk-Datuk semua. Minggu hadapan beta cadang menghantarkan emas ufti ke Majapahit. Siapakah agaknya yang layak boleh memegang amanah sebagai utusan?"
Para pembesar termangu seketika.
Baginda berpaling kepada Bendahara Tun Lekir.
"Apa pula pendapat memanda?"
"Ampun Tuanku. Patik tak tahu apa nak dikatakan. Kebijaksanaan Tuanku yang menentukannya."
Sultan Zainal Abidin memandang para pendengarnya. "Pada pendapat beta, Datuk Temenggonglah yang selayaknya jadi ketua rombongan. Datuk Temenggong?"
"Tuanku?" Temenggong Hitam Perwira menyahut.
"Bagaimana fikiran Datuk? Sanggupkah Datuk? Bolehkah beta amanahkan emas ufti kepada Datuk?"
"Ampun Tuanku. Kalau sudah perentah, patik yang hina ini taat setia menjunjung titah." Temenggong Hitam Perwira berjanji bersungguh-sungguh.
Mendengarkan perkataan Temenggong itu baginda tersenyum sambil berkata, "Bagus, Temenggong." Kemudian baginda berpaling memandang orang besar-besar yang berjawatan dan pegawai-pegawai. "Dengar kamu sekalian. Beta angkatan Datuk Temenggong Hitam Perwira menjadi utusan ke negeri Majapahit."
Kemudian baginda bertitah kepada Datuk Temenggong. "Beta harap Datuk dapat menjalankan tugas itu dengan baik dan beta serahkan saja perkara ini atas kebijaksanaan Datuk."
"Titah Tuanku terjunjung di atas batu jemala patik."
Sekali lagi suasana dalam balai itu senyap sepi. Melihatkan keadaan itu maka Sultan Zainal Abidin pun bertanya kepada Bendahara Tun Lekir, "Adakah apa-apa yang hendak disampaikan hari ini, memanda?"
"Ampun Tuanku. Ada Tuanku," sembah Bendahara Tun Lekir. "Penghulu Pulau Bakau dan seorang saudagar ingin masuk mengadap ke bawah Duli."
"Mengapa dan apakah tujuan mereka?" sahut baginda dengan gusar.
"Kerana bawa aduan, Tuanku."
"Aduan apa, Datuk?"
"Katanya mereka ditimpa malapetaka, diserang lanun," Bendahara Tun Lekir menjelaskan tujuan kedatangan mereka.
"Lanun? Tak mungkin?" tanya Sultan Zainal Abidin dengan mata terbelalak. Seluruh perasaannya dihinggapi keterperanjatan yang paling besar. "Baiklah, benarkan mereka mengadap."
"Menjunjung perentah, Tuanku "
Bendahara Tun Lekir memberi tanda kepada laki-laki yang tampaknya seperti kepala pengawal lalu pintu utama balai itu dibuka. Kepala pengawal mempersilakan mereka melangkah masuk lalu berdatang sembah.
Sultan Zainal Abidin memandang kedua orang itu.
Orang pertama adalah seorang laki-laki dengan tulang-tulang menonjol dan muka yang kurus sekali dan penuh keriput. Dia tampak murung. Orang yang satu lagi ialah laki-laki yang tidak mempunyai telinga. Daun telinganya sudah dipotong sehingga lubangnya kelihatan mengerikan.
"Ampun Tuanku. Sembah patik pacal yang hina harap diampun. Patik Penghulu Bolong dari Pulau Bakau, rakyat Tuanku," kata laki-laki setengah baya itu memperkenalkan dirinya. "Patik hendak menuntut keadilan dan membentangkan satu kejadian yang kejam."
"Silakan. Biar beta dengar," ujar baginda, berasa ingin tahu.
"Celaka menimpa kampung patik. Kampung patik habis hangus semuanya dibakar oleh lanun-lanun. Habis orang-orang kampung patik dibunuh dan patik kehilangan anak dan isteri. Mereka terkorban di dalam api. Begitulah kejadiannya, Tuanku," terdengar kata-kata Penghulu Bolong diliputi nada sedih.
"Bila terjadinya perkara ini?" Sultan Zainal Abidin bertanya.
"Belum lama, Tuanku. Sudah sehari masa berlalu," jawab Penghulu Bolong dengan jujur. Dia berbicara dengan nada tak berubah.
"Beta tak sangka penduduk Pulau Bakau menerima nasib semalang ini. Sedih beta mendengar dan beta sangat-sangat berdukacita atas kejadian yang tak disangka-sangka yang menimpa ke atas diri Penghulu Bolong," Sultan Zainal Abidin memberi komentarnya.
Pandangannya beralih ke wajah kaku orang yang di samping Penghulu Bolong. Saudagar itu mengerti akan isyarat pandangan baginda, maka dia pun menyembah sambil berkata, "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Patik saudagar Dabok dari Temasik."
"Kamu diserang lanun?"
"Benar, Tuanku. Kapal patik yang berisi barang dagangan telah diserang lanun. Sungguh banyak orang yang telah menjadi mayat. Darah mengalir di sana sini."
"Beta benci mendengar berita ini," dengus Sultan Zainal Abidin, antara kedengaran dengan tidak. Baginda menggerutu, "Lanun-lanun bedebah itu bermaharajalela sangat di laut Bentan dan mengancam sesiapa pun di dalam negeri ini. Nama Bentan jadi cemar. Nyawa manusia banyak terkorban. Negeri ini tak ubah seperti neraka. Apa kata rakyat beta kelak? Alangkah kecewanya hati segala saudagar yang datang nak berniaga di sini kelak?"
Keharuan yang bergelombang dalam dadanya membuat baginda tidak senang. Hatinya yang sebak oleh amarah penuh dengan persoalan bergetar. Ekor matanya memandang Temenggong Hitam Perwira sejenak.
"Kita tidak boleh beringan-ringan saja perkara ini. Hairan, semenjak bila pula lanun-lanun bermaharajalela di negeri kita ini, Datuk Temenggong? Apa yang Temenggong lakukan selama ini kalau kanun masih menganggu negeri ini?" separuh mendesis dari mulut Sultan Zainal Abidin.
Temenggong Hitam Perwira agak tersentak mendengar pertanyaan itu. Diaturnya nafasnya yang terasa memenuhi rongga dadanya, lalu berkata dengan berani:
"Ampun Tuanku. Patik faham apa yang telah dititahkan oleh Tuanku dan titah ke bawah Duli telah patik laksanakan. Dengan berkat daulat Tuanku, patik telah dapat menewaskan lanun-lanun yang membuat kekacauan di Bentan. Pada pendapat patik, lanun-lanun yang ada itu hanya baki yang telah dibersihkan."
"Kalau ada baki, bererti belum habis lagi! Ini bererti kelemahan Datuk. Beta sebagai raja yang memerintah, bertanggungjawab di atas keselamatan hamba rakyat." Sultan Zainal Abidin merasakan sesuatu yang sangat dukacita.
Baginda menatap muka Bendahara Tun Lekir. "Memanda!"
"Tuanku?" sahut Bendahara Tun Lekir dengan tenang.
"Apa fikiran memanda?" tanya Sultan Zainal Abidin.
"Ampun Tuanku. Ini adalah soal yang sulit, Tuanku. Patik rasa kita tak boleh beri keputusan sekarang. Kita harus berunding dulu dalam mesyuarat ketua tiap-tiap mukim dalam negeri ini. Ampun Tuanku," Datuk Bendahara mengusulkan.
"Ya, memang benar kata memanda," sahut baginda mengiakan. Dia bangkit dari duduknya seraya berkata kepada Penghulu Bolong dan saudagar Dabok.
"Sekarang begini. Beta akan siasat perkara ini dan beta berjanji segala-galanya akan dapat diselesaikan," katanya memberikan jaminan.
Sultan itu memandang Datuk Bentara Tun Aman. "Datuk Bentara!"
"Tuanku?" sahut Tun Aman singkat.
"Beri Penghulu Bolong dan Saudagar Dabok dua jari emas dan sepasang persalinan. Kemudian bawa mereka ke Balai Santapan. Siapkan makanan dan beri layanan yang sebaik-baiknya kepada mereka," perentahnya.
"Titah Tuanku patik junjung," ujar Tun Aman sambil melangkah ke luar.
Sultan Zainal Abidin memalingkan wajahnya dan memandang Panglima Rabu.
"Panglima Rabu!"
"Tuanku?"
"Hantarkan beras dan barang-barang makanan ke Pulau Bakau," Baginda memerentahkan. "Katakan kurniaan dari beta. Berangkatlah sekarang."
"Patik akan sempurnakan, Tuanku," ujarnya dan mula melangkah.
Sultan Zainal Abidin mengerling ke arah Datuk Penggawa Tun Muda. "Datuk Penggawa. Datuk pergi ke rumah Tok Dukun. Panggil dia datang ke istana dengan segera supaya luka Saudagar Dabok dapat diubati."
"Sebarang titah perentah Tuanku patik junjung. Mohon patik, Tuanku."
Baginda mengangguk sebagai tanda bahawa Tun Muda boleh pergi. Kemudian dia melirik Penghulu Bolong dan Saudagar Dabok. "Kamu berdua boleh pergi."
Penghulu Bolong berdiri, Saudagar Dabok juga berdiri. Segera setelah mereka keluar, baginda duduk kembali di kursinya di singgahsana.
Tiba-tiba suara Tukang Pelaung kuat bergema. "Kedatangan Yang Mulia Tengku Mahkota Raja Kamaruzaman, masuk mengadap!"
Seorang anak muda bertubuh sasa bersarang sembah.
Akan Sultan Zainal Abidin oleh terlalu sukacita baginda melihatkan pemuda sasa itu, maka baginda pun bangkit lalu turun dari singgahsana. Berjalan mendapatkan dan mendakap puteranya sambil berkata, "Ayahanda tak sangka anaknda tiba hari ini. Tiga purnama berpisah macam tiga tahun rasanya. Ayahanda bersyukur kepada Tuhan, anaknda telah selamat kembali. Lapang hati ayahnda melihat anaknda selamat."
"Ayahnda. Dengan berkat doa ayahnda, anaknda selamat sampai."
"Bagaimana anaknda sekarang?" tanya Sultan Zainal Abidin dengan lembut.
"Anaknda dalam selamat, ayahnda. Selama tiga purnama anaknda menuntut ilmu di puncak Gunung Ledang. Segala kepandaian Pendekar Adi Japri tentang ilmu hulubalang telah orang pertapaan itu tunjukkan kepada anaknda."
"Gembira sungguh hati ayahnda dapat berjumpa semula dengan anaknda setelah sekian lama ayahnda tak berjumpa."
"Ya, ayahnda. Anaknda pun begitu juga. Maklumlah sudah tiga purnama kita berpisah."
"Ayahnda berharap semua pelajaran anaknda telah tamat supaya tidak lagi pergi meninggalkan ayahnda."
"Memang sudah tamat, ayahnda dan Tok Guru Adi Japri ada berkirim sembah kepada ayahnda."
"Sekarang, biarlah ayahnda beredar dulu, anaknda. Kerana ayahnda ada urusan dengan ketua tiap-tiap mukim yang ayahnda mesti selesaikan. Berehatlah dan senang-senang lah hati anaknda. Kita akan bersantap bersama-sama malam ini dan nanti ayahnda beritahu apa hal yang telah terjadi selama anaknda tidak ada. Banyak ayahnda nak ceritakan pada anaknda."
TENGKU Kamaruzaman selesai menghabiskan seluruh isi pinggannya tanpa berkata-kata. Hanya mendengarkan cerita ayahnya. Sultan Zainal Abidin ketika itu telah bersandar di kursinya sambil memperhatikan Kamaruzaman dengan tersenyum.
Sunyi sejenak dan sesaat kemudian, "Bukan perkara kecil rupanya. Perkara ini wajib kita selidiki dengan saksama dan teliti. Biar anaknda menyiasat terlebih dahulu, ayahnda. Anaknda sendiri akan menyusup ke kampung-kampung menyiasat di mana tempatnya lanun-lanun itu sembunyi."
Sultan Zainal Abidin menolak. "Tak payahlah. Tak payah anaknda pergi. Maksud anaknda itu tak dapat ayahnda membenarkan. Anaknda baru saja kembali setelah sekian lama berpisah dari ayahnda. Biarlah saja Panglima Denak mencarinya."
"Tetapi itu adalah kewajipan anaknda. Inilah ketikanya anaknda hendak menunjukkan kebaktian kepada ayahnda. Bertambahnya pula, anaknda ingin hendak mengembara untuk menguji ilmu hulubalang yang telah anaknda pelajari dari Adi Japri." Begitulah tekad dan keazaman Kamaruzaman. Dia akan lakukan itu dengan segala senang hati.
"Tetapi pekerjaan anaknda ini sangat bahaya," bantah Sultan Zainal Abidin. "Ayahnda akan hantar beberapa hulubalang yang gagah untuk mengikut anaknda."
"Tak usahlah dikerahkan hulubalang-hulubalang itu, ayahnda. Seorang pun tidak dikehendaki kerana anaknda akan menyamar diri sebagai rakyat biasa. Jika sekiranya anaknda membawa pengikut-pengikut itu sudah tentu orang-orang akan menaruh syak kepada anaknda dan maksud kita juga akan kecewa, ayahnda," Kamaruzaman mengusulkan.
"Meskipun begitu, ayahnda suka mengusulkan supaya Panglima Denak menjadi teman anaknda supaya tidak sunyi perjalanan anaknda."
"Baiklah, ayahnda. Kalau sudah begitu, ikut suka hati ayahnda lah. Anaknda selalu bersedia menjunjung segala perentah ayahnda."
SEBUAH kamar penuh senjata tajam berbagai bentuk. Ketika itu tiada orang lain di kamar itu. Hanya Tengku Kamaruzaman dan Panglima Denak dan orang berdua itu meneruskan perbualan mereka sambil berjalan.
"Ha, Tengku. Kita berniaga," cetus Denak.
Kamaruzaman berpaling kepadanya. "Berniaga macam mana?"
"Kita berniaga barang-barang daripada pandan yang boleh kita jual."
"Itu adalah satu cadangan yang baik," Kamaruzaman menyetujui.
Denak tiba-tiba berhenti melangkah, tetapi terus memandang lurus ke depan. Terdapat lembing-lembing tergantung di dinding.
"Tengku, lihat itu!" Selagi berkata demikian dihulurkan telunjuknya.
Kamaruzaman terpaku di tempatnya dan memandang dengan sikap penuh tanda tanya.
"Mari kita bermain-main," kata Denak kepada Kamaruzaman. "Tentu Tengku masih ingat permainan ini. Dulu pun patik yang mengajar Tengku."
Kamaruzaman mengangguk dengan seulas lekuk di sudut bibirnya.
Denak mengambil sebatang lembing dari gantungannya dan menimang-nimang. Kemudian diacu-acu je arah sasaran: tiang sebesar paha sepuluh langkah di hadapannya. Siupp! Lembing berdesing di udara dan mencapai pada sasarannya, membuat suara mendengung waktu menggeletar.
"Kau masih hebat, Denak," puji Kamaruzaman.
Denak tersenyum sekilas. "Sekarang, patik hendak melihat ilmu pengetahuan yang telah Tengku pelajari."
"Ya, dengan nama mahaguru beta, beta akan menunjukkan kepandaian yang telah beta pelajari dari mahaguru."
"Baiklah. Cuba tunjukkan kepandaian Tengku," Denak menuntut.
Kamaruzaman mencapai lembing yang bergantung di dinding. Ditatap batang tiang di mana lembing Denak terpacak. Kemudian dia berundur dan memegang lembing dengan kemas. Sekali dilontar. Siupp! Lembingnya terpacak.
Bukan memperagakan kebolehan, akan tetapi memperlihatkan kepada Denak apa yang gurunya Adi Japri terapkan ke dalam dirinya selama tiga bulan ini.
Denak teruja. "Balingan yang baik, Tengku. Satu perubahan yang menyegarkan. Tidak sia-sia Tengku belajar dari Adi Japri."
Kamaruzaman berdiam diri sejenak, lalu memutar tubuh berdiri di muka Denak. "Bersiaplah. Dengan tidak tahu sesiapa, kita akan meninggalkan istana malam ini juga tapi beta mesti menukar nama."
Kamaruzaman berfikir sejenak. "Mulai sekarang, beta bukan Tengku Kamaruzaman tapi seorang saudagar bernama... Yatim Mustapha. Kau ni tak payahlah tukar nama. Tempat pertama kita tuju ialah Pulau Sentosa kerana beta ada mendapat perkhabaran lanun-lanun sekarang sedang mengganas di beberapa buah pulau yang berhampiran dengan Pulau Sentosa. Di situlah kita mesti pergi. Tentu ada orang yang ternampak sesuatu."
Denak mengangguk setuju.
Share this novel