WAN Anom memacu kuda yang ditungganginya meredah rimba pokok-pokok besar dan tinggi yang mengelilingi kawasan Taman Panca Delima yang terletak di pinggir istana. Taman itu ialah taman larangan yang menyediakan kemudahan mempertajamkan latihan dan memperhebatkan memanah berkuda kerana tanahnya yang rata. Kudanya terus dipacu, matanya awas melihat sekeliling sambil memegang busurnya kukuh-kukuh. Cuba mengesan tanda yang sedang dicari.
Wan Anom memandang sekilas kayu persegi selebar tiga muka orang dewasa yang digambari dengan lingkaran putih di tengah-tengahnya. Kayu itu digantungkan pada celah-celah daunan dan ranting pokok di sebelah kanan berdekatan pokok kekabu.
Ketika pandangannya terarah ke situ, dia mencapai sebilah anak panah dari sarungnya yang tergantung di belakang bahu kanannya. Dia mencari perseimbangan lalu melepaskan panahnya.
Siupp! Panahnya melayang dan melekat di kayu persegi itu.
Wan Anom terus memacu kudanya sambil memandang ke kejauhan. Setelah sampai ke satu selekoh, matanya yang meliar tiba-tiba melihat kelibat kayu persegi lagi, di sebelah kirinya. Dia mencabut anak panah dari sarungnya.
Dia menghunjam perhatian ke kayu persegi itu. Busurnya sudah siap sedia dengan anak panah. Dengan penuh keahlian, dia menarik anak panah dari busurnya. Hati-hati dia membidik dan melepaskan panahan.
Siupp! Serpihan kayu persegi itu berterbangan apabila terkena mata panah yang tertancap.
Sepenanak nasi kemudian, dua puluh lagi kayu persegi telah dipanah oleh Wan Anom dari jauh dengan naluri seorang pemburu yang tajam. Untungnya dia dilahirkan dengan mata yang awas dan tidak pernah melewatkan kesempatan untuk melatihnya.
Wan Anom berkeringat dingin. Dia merenung langit. Waktu itu hari kian petang. Matahari semakin rendah.
Sebaik sahaja sampai di sebuah balai, Wan Anom menarik tali kekang kuda dan kuda itu kemudian berhenti di halaman balai. Wan Anom melompat turun dari atas kuda. Dia menyapu peluh yang mengalir di lehernya.
Balai itu kecil tetapi cantik dan menampilkan seni bina beranjung. Ia mempunyai lima bahagian utama iaitu anjung tempat bermesyuarat, ruang menerima tetamu, ruang tempat menjamu tetamu, ruang mandi dan ruang tidur.
Ada sebuah pedati dan beberapa ekor kuda yang ditambatkan di perkarangan balai itu yang dikelilingi oleh taman dengan bunga-bunga yang sedang berkembang. Bunga-bunga di taman tersebut menyebarkan bau yang menyenangkan.
Berbetulan pada ketika itu Dayang peribadinya yang bernama Desawati dan tujuh hulubalang yang masih muda dan berbadan gagah perkasa telah sedia menunggu dengan setia di anjung balai yang terbuka. Tugas mereka membawa bermacam-macam barang keperluan.
Dengan muka penat, Wan Anom pun naik tangga ke atas untuk beristirehat dan melepaskan lelah.
"Ampun Tuanku Permaisuri. Segala perentah Tuanku Permaisuri telah patik kerjakan. Air mandi Tuanku Permaisuri sudah sedia. Pergilah mandi, Tuanku Permaisuri," Desawati berkata.
Wan Anom bergerak melewati ruang tamu dan masuk ke ruang mandi kecil di tepi ruang tamu yang diperuntukkan khusus baginya. Keempat dindingnya dibuat jerejak kisi-kisi kayu.
Dengan tenang dia melucutkan pakaiannya, lalu dia masuk dan duduk ke dalam kolah air hangat dalam keadaan telanjang bulat. Sesudah menyabun dan mencuci tubuh, dia menaikkan kaki ke atas pinggiran kolah mandi itu dan mengatur posisi badannya di kolah agar lebih santai. Dia berfikir dan melayan perasaannya.
Wan Anom dalam jangka usia dua puluh dua tahun telah dituakan dek pengalaman dan derita lalu. Dia tidak dapat menghilangkan kejengkelan yang bertali arus sejak menjadi isteri Sultan. Dia bangga kerana memberikan lima tahun dari hidupnya semata-mata untuk kepuasan Sultan Ahmad Maulana. Tetapi Sultan masih tidak puas, masih menjadi Sultan yang tidak ada pegangan hidup lain dari perempuan dan melukakan hati Wan Anom.
Dan yang paling menjengkelkan ya pada hari-hari kebelakangan ini, Sultan langsung tidak menyentuhnya. Mengucup dahi pun tidak. Dia merasakan Sultan melihatnya seperti santapan nasi dingin.
Kesayuan mencekik perasaannya hingga melahirkan kekesalan. Cuba dileraikannya rasa marah dan seribu perasaan yang memberontak tetapi tidak satu pun yang terurai.
"Aku mesti mencari jalan menceraikan Telani dari Sultan. Aku akan tunggu masa dan peluang yang baik untuk menyelesaikan segala ini dengan cara aku sendiri." Hati kecilnya mendengus marah. Dia harus bangkit menentang, mempertahankan maruah diri.
"Patik sudah siapkan santapan. Sila santap, Tuanku Permaisuri," tiba-tiba Desawati memancung kenangan hiba Wan Anom.
"Biar di situ dulu. Beta tak ada selera nak bersantap," ujar Wan Anom kepada Desawati yang datang mendekat, menolak hidangan itu.
"Mohon ampun, Tuanku Permaisuri. Kalau Tuanku Permaisuri tak mahu santap, minumlah apa-apa seteguk dua," Desawati memujuk. "Patik sediakan kopi, ya?"
Wan Anom melihat kepada Desawati dengan air muka hampa.
"Baiklah, bawa ke mari," balasnya mendatar.
Beberapa detik kemudian Desawati menghulurkan sebuah cangkir kepada Wan Anom yang tidak berganjak dari kolah.
"Ini kopinya, Tuanku Permaisuri." Desawati maju ke muka.
Wan Anom menerima cangkir itu lalu menghirup isinya sedikit demi sedikit. Perutnya terasa hangat kerana kopi panas.
Wan Anom mengangkat tangannya untuk memberi isyarat bahwa dia tidak mahu Desawati tetap di tempatnya.
"Kau boleh pergi, Wati. Tinggalkan beta sendiri. Fikiran beta runsing," katanya.
Meskipun diminta pergi, Desawati tidak segera menghindar.
"Ampunkan patik, Tuanku Permaisuri. Patik cukup risaukan Tuanku Permaisuri. Pasti Tuanku Permaisuri berasa dukacita di atas kejadian yang tak disangka-sangka ini. Jangan bermuram hati Tuanku Permaisuri. Sabarlah," Desawati berkata dengan sopan. Rupanya dia tahu benar apa erti semua ini. "Yang Maha Adil akan membalasnya."
"Tidak, Wati. Manusia yang lemah dan pengecut itulah yang selalu serahkan nasibnya kepada Yang Maha Adil. Kita adalah diberi daya untuk mewarnakan hidup sendiri," suara Wan Anom seperti meradang. "Oleh kerana itu, beta akan mengambil pembalasan selekas-lekasnya dan jalan yang sebaik-baiknya, tak lain menyingkirkannya dari sini buat selamanya."
"Kalau begitu, senang saja. Kita hanyutkan dia dengan sebuah perahu yang tidak mempunyai pendayung atau buangkan dia di tengah rimba lalang. Biar dia mampus di sana."
"Begitupun baik juga. Tetapi beta sudah dapat ambil keputusan dalam menjalankannya. Beta akan selesaikan soal ini dengan cara beta sendiri."
"Patik sentiasa menyebelahi Tuanku Permaisuri."
"Kau tunggu saja sikit hari lagi. Beta akan dapat peluang yang baik."
Waktu itu terdengar suara derap kaki kuda di luar balai. Keduanya memalingkan kepala, dan pasang telinga secermat-cermatnya.
Sekejap itu pula pintu terbuka dan seorang hulubalang masuk ke balai dengan tergopoh-gopoh. Dia melangkah ke ruang tamu. Tak melihat apa-apa.
Matanya tidak melihat seorang pun yang tampil. Dia mendengar desus langkah.
Desawati menampakkan diri.
"Kenapa kau tergopoh-gopoh? Ada hal apa?"
"Hamba pohonkan ampun kerana membebas saja masuk ke sini " Lelaki itu bersuara dengan takut-takut. "Datuk Kelana Indera datang dengan berkuda. Dia berhajat benar nak jumpa Tuanku Permaisuri."
Suara dari ruang mandi berkata, "Kalau begitu, izinkan dia masuk menghadap."
"Titah Tuanku Permaisuri patik junjung."
Hulubalang pembawa kabar itu pergi.
"Tuanku Permaisuri, sekarang nampaknya tak ada apa-apa lagi, biarlah patik pergi dahulu," kata Desawati.
"Tak perlu, Wati. Beta mahu kau tunggu di sini," ujar Wan Anom. Kakinya masih ditumpangkan di atas pinggiran kolah dan memegang cangkir kopi dengan kedua belah tangannya.
Dayang itu tidak beringsut dari tempatnya.
Datuk Kelana Indera melangkah masuk.
Desawati meminggir memberi jalan.
Sedang Kelana Indera memandang keliling tiba-tiba dia mendengar Wan Anom berkata, "Mengapa berdiri di situ? Silakan duduk, Datuk. Tak bagus nampaknya kalau Datuk berdiri saja."
Kelana Indera segera duduk di salah satu kerusi tamu dengan pandangan menikam ruang mandi. Dia menajamkan pandangnya.
Wajah Wan Anom terlindung di sebalik Jerejak kekisi kayu.
Sejenak Wan Anom memperhatikan Penghulu Istana itu dari celah kisi-kisi dinding kolah mandi.
Umur Datuk Kelana Indera pada masa itu lebih sedikit tiga puluh tahun. Mukanya lebar dan simpatik dengan rambut yang tersisir rapi. Orangnya ramping, hampir kurus dan berwatak perwira.
Hatinya cekal, menyanggupi sesuatu pekerjaan dengan penuh tanggungjawab dan yang terpenting: pandai menyimpan rahsia.
Dengan tenang Wan Anom bertanya, "Apa hajat Datuk datang ke mari?"
"Sembah patik pacal yang hina harap diampun," sembah Kelana Indera dengan tunduk. "Sengaja patik datang ke mari untuk melihat Tuanku Permaisuri. Takut apa-apa yang buruk terjadi."
"Mengapa Datuk berkata begitu?"
"Patik telah perhatikan tingkah Tuanku Permaisuri. Sentiasa termenung. Patik faham apa yang Tuanku Permaisuri menungkan. Ada satu perkara yang merungsingkan Tuanku Permaisuri. Bukankah benar begitu, Tuanku Permaisuri?'
"Kalau hendak pendekkan cerita, begitulah Datuk," jelas Wan Anom, kemudian mencicipi minuman dan cangkir kosongnya diletakkan di lantai. "Tetapi janganlah Datuk gusarkan pasal beta ini."
Dia melayangkan pandangannya kepada Desawati.
"Wati."
"Ya, Tuanku Permaisuri?"
"Keluarkan kopi dan kueh-kueh itu untuk Datuk Kelana Indera."
"Baik, Tuanku Permaisuri," Desawati mengiakan. Oleh perintah itu, dia melangkah dari tempatnya.
Sejurus kemudian Desawati menaruh secangkir kopi dan sepiring kueh di meja kecil di depan Kelana Indera, lalu dia mengundurkan diri.
Kemudian Wan Anom berkata, "Hidangan sudah di muka. Jemputlah "
Tangan Kelana Indera terhulur untuk mencapai kueh sambil memerhatikan Desawati yang berdiam diri.
Dayang itu merasakan pandang Kelana Indera terarah padanya. Dia hanya mengangkat alisnya dan tetap diam saja.
Pandangan Kelana Indera beralih pada Wan Anom sambil makan kueh yang enak rasanya itu.
"Patik mohon keizinan Tuanku Permaisuri hendak berkata-kata antara empat mata saja dengan Tunku Permaisuri sebab maksud kata-kata patik itu ada satu rahsia yang tersembunyi dan hanya Tuanku Permaisuri yang harus tahu," katanya, mengusulkan.
Wan Anom memandang Penghulu Istana itu. Kemudian terdengar suaranya, "Antara kita berdua saja?"
Kelana Indera mengangguk. Air mukanya menunjukkan bahawa ada sesuatu yang sangat penting.
Wan Anom perlahan-lahan berdiri dari kolah mandi.
Kemudian sunyi.
Kelana Indera membiarkan kesunyian itu berlalu sambil menghirup kopinya.
Setelah bersiram, mengelap tubuhnya dengan tuala dan siap memakai ganti pakaian, Wan Anom menuju ke jendela ruang tamu seraya menyelak langsir separuh luas.
Di situ dia memandang lurus-lurus ke depan, membelakangi Kelana Indera. Dia membiarkan matanya terbawa jauh ke pelabuhan. Kapal-kapal terlihat berlabuh dengan tenang. Lama juga dia terpegun sendiri.
Dengan dahi yang sedikit berkerut, Kelana Indera tahu fikirannya menerawang.
Wan Anom membalikkan badannya dan mengangkat mukanya memandang Kelana Indera.
"Datuk," katanya.
"Tuanku Permaisuri!" sahut Kelana Indera dengan tenang.
"Jika ada sesuatu hendak diperkata, beta sedia mendengar keterangan dari Datuk tetapi bukan di sini."
"Jadi, di mana?"
"Pedati ada di depan tu," ujar Wan Anom. Kemudian tangannya menunjuk-nunjuk. "Beta rasa ada baiknya beta hantar Datuk pulang ke pintu gerbang naik pedati. Sambil kita berpedati nanti, Datuk boleh terangkan segala-galanya pada beta."
"Jika demikian rasa, sungguh molek Tuanku Permaisuri. Tetapi tidak manis dipandang orang kalau kita duduk bersama."
Wan Anom menghalakan pandangan ke arah Desawati yang masih tercegat di ruang santap. "Kalau begitu, ada eloknya kau pun ikut sama."
"Patik ikut bersama?"
Wan Anom mengangguk.
WAN Anom, Kelana Indera dan Desawati turun ke anjung balai itu.
"Orang-orang di balai semua. Beta nak keluar sebentar kerana nak menghantar Datuk Kelana Indera ke pintu gerbang," Wan Anom menerangkan, suaranya bernada keras. Kata-katanya ditujukan kepada para hulubalang. Dia memandang mereka satu per satu dan langsung melihat kepada hulubalang pembawa kabar tadi.
"Apa nama kau?" tanya Wan Anom.
"Er, nama patik Agam, Tuanku Permaisuri."
Lalu dia ganti melihat kepada yang lain.
"Dengar sini semua! Agam beta lantik menjadi ketua buat sementara hingga beta kembali. Sepeninggalan beta, siapkan segala alatan dan aturkan barang-barang seperti biasa sebelum senja menjelang tiba. Kita berkampung di sini malam ini!"
"Titah Tuanku Permaisuri kami junjung," sambut balas seorang hulubalang yang setia.
BEBERAPA ketika kemudian, Wan Anom dan Datuk Kelana Indera sudah berada di atas pedati. Kelana Indera duduk di depan, di samping Wan Anom. Permaisuri Perlak itu menarik tali kekang kuda-kuda penarik dengan sigap dan kuda-kuda itu pun berlari dengan kencang menuju ke pintu gerbang.
Desawati pula berkuda di belakang, sedikit jauh di luar jangkauan dengar.
Angin petang bertiup lembut, menambahkan nyaman udara.
Hening sejenak di atas pedati.
Kemudian Kelana Indera pun berkata, "Tuanku Permaisuri, patik tahu segala-galanya keadaan di istana dan patik tahu apa Tuanku Permaisuri menungkan. Nampaknya Tuanku Permaisuri terlalu sangat sungul akibat perbuatan Seri Paduka Baginda Sultan dengan gundik barunya itu. Sultan semakin tertarik hati pada Telani."
"Huh," Wan Anom mencibir, "Macam Datuk tak tahulah rasmi Sultan. Seri Paduka Baginda memang tak boleh memandang perempuan-perempuan muda yang berdahi licin."
"Si Telani itu memang cantik. Macam mana Sultan tak sayang? Si Telani itu memang begitu tujuannya dari mula. Bertepuk tangan sebelah, tidak berbunyi, Tuanku Permaisuri." Suara Penghulu Istana itu mati di situ. Raut mukanya menampakkan simpati ke atas nasib malang Wan Anom.
Meneruskan, "Patik sangat-sangat berdukacita atas kejadian yang tak disangka-sangka yang telah menimpa Tuanku Permaisuri dan patik belas melihat Tuanku Permaisuri jadi begini. Semalam-malaman patik tak dapat tidur kerana memikirkan Tuanku Permaisuri
"Apakah yang hendak difikirkan sangat, Datuk? Sudah bahagian beta. Dari itulah beta sangat berdukacita," keluh Wan Anom, berusaha menekan emosi yang sudah hendak meledak ke luar. Dia menunjuk ke arah istana yang berada di atas bukit jauh di hadapan. "Istana yang gilang gemilang itu tak dapat mengisi jiwa beta yang kosong. Istana cantik itu gelap gelita sebagai bumi kehilangan matahari. Semakin hari, semakin berat penderitaan batin beta. Baginda tidak suka dengan beta lagi. Beta dipandang bukan seperti isterinya. Itulah sebab beta datang ke Taman Panca Delima untuk mensejuk-sejuk hati beta."
Kelana Indera menelan kata-kata Wan Anom. Dia yakin dengan penjelasan Wan Anom dan seakan dapat merasai pahitnya hidup Wan Anom sekarang.
"Jangan Tuanku Permaisuri berdukacita sangat. Takkanlah panas matahari membawa sampai ke tengah malam," ujarnya berkias.
"Beta tidak mengharapkan belas kesian daripada sesiapa pun juga. Susah senang beta, jangan Datuk bimbangkan."
Kelana Indera tunduk mengerut-ngerut mukanya, memikirkan bagaimana dia hendak menyatakan maksudnya. Dia merasakan itulah waktu yang amat sesuai. Ya, inilah masanya. Dia merasa kejujurannya akan mendapat imbalan kebahagiaan kelak dan Wan Anom pasti akan menyerah tubuhnya.
Kelana Indera mengangkat mukanya. Sejurus kemudian dia berkata dengan suara menggoda, "Kalau Tuanku Permaisuri izinkan, patik sedia menghiburkan dan sanggup mengembalikan kegembiraan Tuanku Permaisuri. Juga patik akan mengadakan setiap keinginan Tuanku Permaisuri."
"Beta tak mengerti apa tujuan kata-kata Datuk itu? Apa maksud Datuk yang sebenarnya?" Kening Wan Anom terkerut.
"Patik bersedia bila-bila masa saja kalau Tuanku Permaisuri berkehendakkan tenaga patik. Semoga terubat hati yang luka," sahut Kelana Indera bersemangat. Begitulah azamnya yang terhumban dalam dadanya.
Wan Anom terkelip-kelip sahaja matanya mendengarkan cakap Penghulu Istana itu. Dia memandang Kelana Indera untuk mendapatkan kepastian.
"Apa benar segala kata-kata Datuk kepada beta tadi?" tanyanya.
Kelana Indera mengangguk. "Benar, Tuanku Permaisuri. Kalau Tuanku Permaisuri bersetuju, patik turut saja. Kalau mengikut pandangan patik, Tuanku Permaisuri lebih cantik dari penari itu."
Tersenyum Wan Anom mendengarkan perkataan Kelana Indera. Dia berasa bangga dan megah. Dan dua mula berfikir: "Huh, sekarang baru aku dapat mengagak maksud dia."
Tetapi rasa kehormatannya sebagai wanita bergelar Permaisuri membuatnya pura-pura bengis. Dengan sikap angkuh dia pun menengadah.
"Datuk! Datuk sudah hilang akal agaknya! Datuk kurang adap. Berani Datuk berkata-kata begitu kepada beta? Datuk mengerti apa yang Datuk katakan ini? Ini adalah perbuatan yang tak sihat. Hina perbuatan ini. Nanti kalau beta sembahkan kepada baginda, tentu Datuk akan menerima hukuman dari suami beta!" kata Wan Anom tegas sekali.
Begitu tiba-tiba Kelana Indera menyalahkan dirinya. Seperti seorang pesalah bakal menerima hukuman, dia meminta maaf. "Patik faham, Tuanku Permaisuri dan patik tidak hairan jikalau Tuanku Permaisuri murka pada patik. Ampunkanlah patik, Tuanku Permaisuri. Jangan patik diseksa. Jikalau hendak dihukum, bunuhlah patik sahaja, Tuanku Permaisuri."
"Baiklah. Beta ampunkan Datuk kali ini dan tidak akan merosakkan Datuk. Tiap-tiap manusia mesti ada membuat kesilapan."
"Lantaran patik ingin melihat Tuanku Permaisuri bahagia makanya patik melakukan demikian. Bagi patik, diri Tuanku Permaisuri inilah yang paling berharga di dalam dunia ini."
Wan Anom melihat kepada Kelana Indera dengan air muka yang kini berubah mengandung sedikit rasa tertarik.
"Terima kasih atas pujian Datuk. Sebaliknya, Datuk bertepuk sebelah tangan. Walaupun beta menderita tapi beta masih sayangkan suami beta. Selagi nyawa dikandung badan, selagi ada bulan dan matahari, hati dan jiwa beta tak akan mengizinkan orang lain menggantikan tempatnya," tegas Wan Anom dengan bersungguh-sungguh.
Kelana Indera tersenyum agak kesal. Ada sesuatu yang terasa meruap-ruap di dalam dadanya. Hatinya ikut tercalar. Rupanya dia benar-benar tersinggung. Tahulah dia, Wan Anom bersungguh.
"Ya, Tuanku Permaisuri saja sayangkan dia, sedangkan Sultan sendiri sedikit pun tidak menghiraukan Tuanku Permaisuri. Sudah beristeri pun hendak gundik lagi," sindir Kelana Indera sambil menjeling Wan Anom. "Sudah banyak kali berlaku perkara ini selama patik menjadi Penghulu Istana dan akan berulang lebih dahsyat lagi. Tak ubah seperti perangai bapanya muda-muda dulu. Kalau bapanya dah borek, anaknya pun rintik."
Wan Anom terdiam mendengarkan perkataan Kelana Indera. Nada suara Penghulu Istana itu dirasa menyindir.
Sedang Wan Anom hendak membuka mulut hendak bertanya, Kelana Indera dengan pantas menyambung cakapnya, "Bagaimana pula penghidupan Tuanku Permaisuri di masa hadapan? Tambah buruk yang akan menimpa diri Tuanku Permaisuri sentiasa. Tuanku Permaisuri akan menempuh kehidupan yang penuh dugaan. Tuanku Permaisuri akan menderita batin selama-lamanya. Sanggupkah Tuanku Permaisuri menderita sepanjang hayat? Biarlah patik jadi galang gantinya. Patik rela mengisi kekosongan jiwa Tuanku Permaisuri."
Setelah Kelana Indera berhenti bercakap, Wan Anom berkata kepadanya, "Datuk, beta tidak tahu apa yang ada pada hari kemudian, tetapi beta tahu perasaan kasih Datuk pada beta. Walaupun demikian, batalkan hasrat Datuk. Biar apa pun akan terjadi, beta percaya yang suami beta boleh memenuhi segala kehendak itu."
"Maafkan patik, Tuanku Permaisuri. Pada pikiran patik selagi Si Telani masih hidup, selama itu pulalah hajat maksud Tuanku Permaisuri tidak akan tercapai. Kalau Tuanku Permaisuri mahu terlepas daripada hidup yang seperti ini, apa bicara Tuanku Permaisuri kalau kita habiskan saja riwayat Si Telani bedebah itu?"
Wan Anom menjadi heran dan berkata, "Beta pun berpikir begitu juga, Datuk. Bolehkah Datuk lakukan sesuatu untuk beta jika beta minta?"
"Katakan Tuanku Permaisuri, akan patik lakukan. Patik sedia apa saja. Patik ini apalah, ibarat kain putih. Terpulang kepada Tuanku Permaisurilah mencoraknya."
"Begini, Datuk," Wan Anom cuba menerangkan sesuatu.
"Ya?" tanya Kelana Indera dengan gopoh bunyinya, seolah-olah ingin sangat dia hendak mendengarnya.
"Carikan beta racun yang bisa."
"Racun?" Kelana Indera mengulang. Pertanyaan itu terapung di sudut fikirannya.
"Carilah Datuk. Beta mahu racun itu dan penawarnya sekali."
Kelana Indera berfikir. Kemudian dia termenung seolah-olah ada perkara yang menimbulkan perasaan ragu-ragu di kepalanya.
"Tuanku Permaisuri, adakah untuk menghapuskan riwayat... " Kalimat Kelana Indera terputus dan dia melihat kepada Wan Anom dengan penuh perhatian.
"Ya, maksud beta Telani," sela Wan Anom dengan suara agak bergetar. Dia membentak ke dalam kejahatan fikirannya yang menggila. "Beta akan habiskan riwayat hidup Telani. Perempuan seperti itu harus diracun. Begitulah niat beta, Datuk. Beta harap setinggi harapan, janganlah Datuk hampakan kehendak beta ini."
"Jika demikian rasa, perkara racun janganlah kuatir. Patik bersedia mendapatkan racun itu untuk Tuanku Permaisuri. Racun itu akan patik perolehi dari seorang pertapaan "
"Ya, jawapan inilah yang beta mahukan."
"Tapi walaupun begitu, berilah tempoh sedikit hari lagi."
"Kira-kira berapa lama masanya, Datuk?"
"Patik pikir tak lama. Dalam tiga empat hari."
"Tetapi yang mustahak, rahsiakanlah hal ini dan jangan sampai rahsia ini terbongkar. Ingat, kerana pulut santan binasa. Nanti kerana mulut, badan binasa. Mengerti, Datuk?"
"Patik mengerti, Tuanku Permaisuri."
"Bagus! Bagus, Datuk dan dengan kesedaran Datuk ini, Datuk sudah membikin beta gembira."
Sejurus lamanya senyap-sunyi. Kedua-duanya menung berfikir.
Ketika itulah Kelana Indera dapat fikiran baru. Dia menunggu sesaat, kemudian bergerak untuk mengubah haluan.
Pada akhirnya dia berkata dengan perasaan seperti orang yang sudah bersalah. "Ampun Tuanku Permaisuri. Pada pikiran patik, sungguh merbahaya kalau kita meracun Telani. Kerana akan membawa akibat yang buruk di masa hadapan."
"Sebab?"
"Siapa juga yang bertanggungjawab dalam perkara ini, dia tentulah orang yang benci terhadap Telani. Tuanku Permaisurilah yang akan disalahkan dalam perkara ini."
"Oh, begitu."
"Ya. Dari itu patik suka nasihatkan kepada Tuanku Permaisuri. Lebih baik kita cuba mencari ikhtiar lain untuk membunuh Telani."
"Bagaimana, Datuk?" tanya Wan Anom cepat. "Cuba Datuk teruskan."
"Kita cuba dengan jalan halus, secara teratur dan damai."
Wan Anom tidak puas. Keterangan Kelana Indera sangat sedikit. Kembali Permaisuri itu bertanya dengan nada penuh curiga, "Apa caranya? Cakaplah."
Selama beberapa detik Kelana Indera memperhatikan Wan Anom. Air mukanya kelihatan sangat tertarik.
"Patik ada satu ikhtiar, Tuanku Permaisuri. Patik ada berkenalan dengan seorang pendita yang pandai menggunakan bermacam-macam ilmu pukau."
"Siapakah gerangan nama pendita itu?" tanya Wan Anom keheranan.
"Dia bergelar Pendita Gempita Alam, Tuanku Permaisuri."
Wan Anom berfikir cepat. "Kalau tak salah, Pendita Gempita Alam yang berada di puncak Bukit Terkukur itu, bukan?"
"Benar, Tuanku Permaisuri. Apa Tuanku Permaisuri kenal?"
"Kenal dari jauh saja. Sebab beliau itu guru silat."
"Betullah tu."
Muka Wan Anom berseri-seri gembira. Kemudian dia ragu-ragu.
"Apakah dengan pukau itu, Telani boleh dihapuskan?" katanya sambil melayangkan pandangan bertanya kepada Kelana Indera.
"Patik pikir boleh. Dengan pukau, Telani akan tunduk pada kata-kata Tuanku Permaisuri," jawab Kelana Indera pasti. "Dengan jalan ini, Telani tentu akan terperangkap. Tetapi yang lainnya, terpulang kepada kebijaksanaan Tuanku Permaisuri."
"Ya, bagus juga. Yang lain, beta boleh buat sendiri. Beta tahulah mengajar Telani. Tolonglah Datuk iktiarkan. Beta akan bekalkan Datuk dengan emas permata. Kalau cita-cita beta tercapai, lebih daripada itu beta akan beri pada Datuk."
"Patik mengadakan tindakan ini bukanlah kerana mencari upah. Kalau kerana Tuanku Permaisuri, patik sedia berkorban jiwa dan tenaga patik."
"Datuk sungguh seorang yang berbudi.'
"Sungguh pun begitu, hanya satu permintaan patik."
"Apa dia, Datuk?"
"Jikalau Tuanku Permaisuri dapat mengatur supaya patik dapat meninggalkan istana tiga hari untuk mengambil Pendita Gempita Alam itu, selainnya hal patik selesaikan."
"Baiklah, Datuk. Jikalau Pendita Gempita Alam boleh pisahkan si keparat itu dari perhatian suami beta, akan beta usahakan sedaya upaya, Datuk," ujar Wan Anom, disertai senyuman kecil di bibirnya.
PINTU gerbang Taman Panca Delima yang berpagar tinggi dan berhias indah dengan ukiran halus di setiap ruang binaannya. Ia dibina dengan mengambil kira pelbagai aspek keselamatan seperti lubang senjata di sisi pintu, ruang persembunyian, tangga curam dan selak pintu yang kukuh.
Dua orang pengawal yang menyandang lembing ditempatkan di situ. Seorang pengawal bertubuh gemuk. Bogo namanya. Pengawal lainnya, tinggi kurus. Busu, begitulah namanya. Mereka duduk atas satu tunggul kayu.
Di luar pintu itu terhampar sebuah lapangan luas. Di dalam pintu terdapat jalan khusus dari pintu gerbang ke balai.
"Betulkah Telani itu terlampau cantik?" Busu bertanya.
"Itu apa kau peduli? Cantik sama tidak cantiknya?" jawab Bogo.
"Bukan, aku mahu tanya sajalah," desak Busu. "Sebab kau pernah melihat penari itu."
Bogo mengerutkan dahi. "Eh, apa yang kau tanya ini? Jaga urusan kau sendiri. Apa guna kau campur ini semua?"
Busu tidak menjawab.
"Mengapa kau tidak menjawab pertanyaan ku? Baik, Telani sekarang telah dapat menawan hati Sultan. Jadi sudah tentu saja dia cantik. Jadi, apa yang kau harapkan?"
"Aku tak mengharapkan apa-apa."
Diam sebentar. Kemudian terdengar.
"Eh, Bogo. Aku pikir aku masa-masa kecil dulu agaknya diketuk dengan senduk. Sebab itulah sampai sekarang aku bujang teruna tak kahwin-kahwin, Bogo."
"Kalau begitu, aku boleh selesaikan perkara ini. Kampung Cengkih kau tahu tak?"
"Kampung Cengkih yang baru alah di tangan kita? Apa maksud kau?"
"Maksud aku, kalau kau sudah tengok gadis-gadis dekat sana, sudah tentu kau tak ingat balik istana ini."
"Cantik-cantik tak perempuannya?" Tanya Busu penuh perasaan.
"Itu jangan kau susah. Kau nak potongan macam mana? Kau nak kurus? Nak gemok? Nak pendek? Nak panjang? Semua ada. Tepok dada, tanya selera."
"Er, kalau betul apa yang kau katakan. Kiranya aku nak kawin, aku harus memilih seorang gadis macam Telani."
"Terserah pada kaulah Busu. Tetapi bagaimana rupa pun, aku merasa yang Permaisuri Wan Anom adalah seorang yang lebih cantik lagi. Aku kesian padanya. Jasmaninya tidak menanggung sakit tetapi hatinya memakan diri."
"Ya, luka di kepala nampak berdarah. Luka di hati siapa tahu? Habis, kau dengan siapa pula?"
"Aku jangan disusahkan. Dengan siapa pun boleh. Jodoh di tangan Tuhan, Busu."
"Cuba lihat! Itu Tuanku Permaisuri dan Datuk Kelana Indera datang!" Busu berseru.
JALAN pedati mulai perlahan kerana tali kekangnya telah ditarik Wan Anom kuat-kuat. Pedati itu akhirnya tiba juga di pintu gerbang yang dituju. Kemudian terdengar suaranya. "Kita dah sampai," katanya.
Dia merenung Bogo dan Busu. "Pengawal! Jalankan pekerjaan kamu! Buka pintu gerbang ini!"
Bogo dan Busu melakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Mereka lalu berjalan ke arah pintu. Lalu kayu penghalang diangkat dan pintu dibuka.
Datuk Kelana Indera bingkas turun dari pedati. Dia mengalihkan pandangannya. Desawati sedang memacu kuda menghampirinya. Ditariknya kekang kuda sehingga berhenti mendadak di dekatnya.
Desawati turun dari tunggangannya. Kendali kuda yang tidak berpenunggang dipegangnya.
Kelana Indera mendekati lalu naik ke pelana kudanya itu.
"Izinkan patik meminta diri dulu, Tuanku Permaisuri."
"Silakan, Datuk."
Kelana Indera menyuruh kudanya mula berlari. Lalu kudanya dipacu ke luar Taman Panca Delima.
"Mari kita pulang!" Wan Anom berkata.
Tanpa membuang waktu Desawati naik ke atas pedati dan duduk di sisi Wan Anom. Dia segera menyambut tali kekang kuda dari tangan Wan Anom.
"Yakkkkk!" kata Desawati kepada kuda-kuda penarik. Kuda-kuda yang lincah itu berlari dengan kencang. Pedati mula bergerak.
"Saat aku menuntut bela telah tiba. Pembalasan akan menyusul, Telani," Wan Anom berkata-kata macam penari itu tercokoh di depannya.
Desawati tidak mengacukan atau pura-pura tidak dengar.
Senja mulai berlabuh.
Share this novel