Cetera Yang Pertama 4 - HANYA SAMPAI DI SINI

Adventure Series 1713

SUASANA amat bening. Keadaan tenang semula. Kemenangan berpihak kepada Laksamana Megat Komeng di medan laga itu. Yang tinggal orang-orang mengerang menunggu ajal serta mayat bergelimpangan.
Para pemburu berkerumun di hadapan kabin nakhoda Nilam Puteri. Melingkungi suatu bentuk yang hampir-hampir bulat sambil berbisik antara satu dengan lain.
"Beri laluan untuk Datuk Laksamana!" Terdengar suara Datuk Perwira Jelatang dengan nada suara tinggi jauh di belakang, berlenggang hayun sundang. Dia kuak orang ramai ke tepi dengan hujung sundangnya.
Lepas itu, Laksamana Megat Komeng menerobos ke dalam lingkungan bulat yang tidak utuh itu. Dia tiba-tiba berada di tengah-tengah.
Megat Komeng menanyakan kepada Jelatang. "Apa sudah terjadi?"
"Lela Sari masih ada di dalam," Jelatang memberitahu.
"Kenapa diam? Tangkap.penderhaka itu!"
"Pintu tak boleh dibuka, Datuk. Lela Sari kunci dari dalam."
Megat Komeng mendengus, "Sudah dipanggil dia?"
Jelatang menggeleng-gelengkan kepala.
Megat Komeng memandangi bahagian depan kabin.
"Tengku Puteri! Lekaslah keluar sebelum dapat bencana!" Dia memanggil sekuat hati sambil mencekak pinggang. "Patik tahu Tengku Puteri bersembunyi di dalam! Kalau benar Tengku Puteri serikandi pahlawan, mari keluar bertemu lawan!"
Setelah didengar oleh Lela Sari bunyi suara Laksamana, maka dia pun membuka pintu kabin kerana dikenal suara orang yang berseru itu.
Daun pintu dibuka dari dalam dan Lela Sari pun muncul berdiri dengan keris terhunus. Matanya bercahaya ganas dan waspada.
Maka orang ramai yang di luar kabin itu pun apabila melihat Lela Sari sudah tercegat di muka pintu, berdahulu-dahuluan mereka mara.
"Jangan rapat! Jangan cuba dekat! Kalau tidak beta akan musnahkan dikau!" tempelak Lela Sari sambil tangan kanannya memain-mainkan keris panjangnya. Inilah saja senjata yang ada padanya untuk mempertahankan mutlaknya. Boleh membunuh bila-bila saja. Bila-bila saja! Tiada siapa boleh menahannya.
Lela Sari kembali berteriak, "Jangan cuba mendekati beta. Salah terkam, keris beta menikam! Berarti mati bagi kamu!"
Semua orang tertumpu ke arah suara itu. Mereka berhenti, tak berani bergerak. Tiada sesiapa pun yang berani bergerak. Mereka berpandangan tanpa berkata-kata, dan wajah masing-masing kebimbangan.
Mata Lela Sari mengerling kepada Megat Komeng. Dia mengamat-amati pakaian, keris dan laku orang itu. Ternyata ada ketokohan sebagai seorang Laksamana yang berwibawa.
"Datuk Laksamana Megat Komeng. Beta berbesar hati dapat berjumpa dengan Datuk. Beta tahu Datuk nak buat jasa. Tapi ingat, keris beta sangat bisa." Lela Sari menerangkan dengan terus terang saja.
"Sarungkanlah balik keris itu, Tengku Puteri!" laung Datuk Laksamana, memujuk Lela Sari. "Lebih baik jangan melawan. Nyawa Tengku Puteri, patik tak apa-apakan!"
Dia menenggelamkan matanya dalam-dalam ke dalam mata gadis yang tercegat di muka pintu itu. "Kalau Tengku Puteri sayangkan nyawa, lebih baik menyerah diri!"
"Huh!" Lela Sari mencebik. "Beta tak akan menyerah diri! Langkah mayat beta dulu, Datuk Laksamana!" Lela Sari sangat membanggakan kemampuan dirinya. Meluahkan kata-kata ini, semangatnya mula membakar dan menyala. Suaranya kemudian meninggi menjadi jeritan. "Biar beta berputih tulang asal jangan berputih mata. Biar tulang tinggal sekerat, namun menyerah... pantang Tok Nenek!"
"Lancang sungguh dia menyebutkan kata-kata begitu," guman Jelatang pada diri sendiri.
Termenung sejurus Megat Komeng mendengarkan perkataan Lela Sari yang membayangkan semangat yang luar biasa. Tetapi fikirannya tetap sangat tajam dan dia selalu tetap dalam segala hal.
Megat Komeng mara perlahan-lahan. Beberapa orang anak buahnya yang mengikut dari belakang, menerpa ke depan. Serentak dengan itu dia pun berkata:
"Semua ke belakang! Tepi! Biar aku menyelesaikan perkara ini! Sesiapa turut campur, celaka padahnya!"
Orang-orang yang mengelilinginya tadi seorang demi seorang berundur ke tepi dan menjauhkan dirinya. Tiada sesiapa pun yang berani membantah kehendak Datuk Laksamana.
"Tengku Puteri! Patik sebagai wakil dari Sultan Perlak, perentahkan Tengku Puteri menyerah!" Suara Datuk Laksamana meledak di depan Lela Sari. "Patik nasihatkan Tengku Puteri supaya menyerah sekarang!"
Lela Sari senyum memperhatikan dari jauh. Dia tersenyum begitu manis sekali, tetapi di sebalik senyuman itu tersembunyi sesuatu helah, lalu dia berkata:
"Cis! Biar nyawa beta melayang, namun beta tak akan menyerah! Tangan menetak, bahu beta sedia memikul. Sekalipun daging beta dicincang lumat, hancur daging tulang berkecai namun menyerah tidak sekali. Kedatangan Datuk sebagai wakil dari Sultan, beta menentang sebagai musuh. Datuk hanya digunakan sebagai perkakas oleh Sultan!"
Mati atau hidup, Lela Sari sanggup berdepan dengan musuh ketatnya. Dia adalah seorang yang sukar hendak menerima kekalahan.
Megat Komeng menelan kata-kata yang meruapkan bara kejengkelan yang tidak terperikan itu dengan perasaan yang geram. Kelancangan Lela Sari memecut kemarahannya. Memang sudah diduganya tercetus riaksi yang tidak menyenangkan.
"Cinta patik hanya kepada raja patik dan kerajaannya. Patik tidak akan bertuankan lain dari raja Perlak. Raja patik yang hanya satu," balas Megat Komeng dengan suara yang keras. "Tengku Puteri mesti ingat, Sultan berkuasa penuh. Siapa menentangnya, binasalah padahnya! Tengku Puteri telah menderhaka! Tengku Puteri telah menjadi musuh Sultan!"
"Beta bercakap satu bahasa dan beta tak pandai berkata panjang. Jadi beta akan cakapkan saja," Lela Sari mengangkat tangannya, tapaknya ke atas, menunjuk ke arah Datuk Laksamana. "Sila masuk Datuk Laksamana. Kalau benar Datuk amat perkasa, marilah kita beradu kekuatan. Kita berlawan seorang sama seorang. Dengan ini kita dapat menguji kehandalan kita."
Jarum Lela Sari mula ditusuk. Dia cuba mengecilkan keberanian Megat Komeng. Gadis yang seorang itu mencabar Laksamana. Dia sedang mengumpan dan Laksamana itu terpancing. Rahangnya terkatup rapat dan wajahnya penuh kemarahan. Tangan kanannya mengusap keris yang tersisip di pinggang.
"Cis! Tak ku gentar guruh di langit!" kata Megat Komeng, meluahkan kemarahannya. Gelodak rasa yang sejak tadi tertahan, tidak mampu dibendung lagi.
"Apa benarkah perkataan Datuk itu? Berkata memang senang. Ha, kalau betul bagai dikata, marilah. Jangan buang masa!" Lela Sari undur ke belakang. Pintu kabinnya ternganga luas. "Mari kita uji."
"Makan boleh sebarang makan. Cakap jangan sebarang cakap!" Datuk Laksamana mendengus. Perasaan jengkel di hatinya belum juga berkurangan. "Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata buruk padahnya!"
Hati Lela Sari melonjak gembira tidak terperi kerana mangsanya sudah terkena umpan. "Terlajak beta berkata, beta mesti tunaikan," katanya. "Pintu pun sudah terbuka. Silakan masuk Datuk Laksamana kalau Datuk seorang jaguh. Untuk menentukan siapakah yang handal."
"Ah, kepalang patik menjadi lelaki kalau musuh begini tak dapat patik tewas. Jerung di laut dapat patik pancing. Inikan pula ikan bilis? Ha! Ini Megat Komeng! Sekali melangkah, pantang mengundur! Patik sambut cabaran Tengku Puteri!" Kemarahan Megat Komeng berkobar lagi. Dia seperti tidak sabar.
"Bayu bertiup di langit biru. Tiupan angin di pokok rhu. Datuk memanggil, Datuk menyeru. Mari ke mari, beta menunggu," Lela Sari menyetujui.
Megat Komeng menjawab hanya dengan anggukan. Dia melangkahkan kakinya tetapi terhenti bila bajunya tiba-tiba dipegang orang. Jelatang tidak senang dengan kepergian Datuk Laksamana itu.
"Sabar Datuk! Jangan turutkan hati yang panas. Jangan bertindak melulu. Celaka padahnya kalau tertinggal sebelum melangkah dan satria melangkah tidak membabi buta. Sediakan payung sebelum hujan dan sediakan perahu sebelum bah. Ada yang tak kena. Ini tentu ada satu muslihat," Jelatang di belakangnya membisikkan ke telinga Laksamana.
"Nampaknya kau sebagai curiga?" tanyanya kepada Jelatang. "Apa yang tak kena?"
"Cermat-cermat sedikit Datuk. Celaka padahnya kalau tersungkur sebelum melangkah," kata Jelatang dengan nada separuh bimbang. "Lela Sari tidak boleh diambil mudah. Ini mungkin satu perangkap. Jaga sikit di balik pintu."
Jelatang tahu ini pasti ada apa-apanya. Sebagai panglima berpengalaman, dia sudah bisa memperhitungkan setiap kemungkinan bahaya. Dia menajamkan matanya ke dalam muka Megat Komeng.
Megat Komeng mengangguk, faham. Seketika bola matanya menyorot ke wajah Jelatang. Dia yang dari tadi panas hatinya mula sejuk. Kata-kata Jelatang ada juga benarnya. "Itu kau jangan curiga. Kan Datuk Laksamana orang yang bijaksana?"
Megat Komeng melangkah maju dengan hati-hati tanpa menoleh ke belakang lagi.

INILAH satu-satunya peluang. Sekarang atau tidak sama sekali. Deburan ombak kegelisahan menggunung dalam dada Garak. Baru sahaja sebelah kaki Laksamana jejak ke muka pintu, telah diteroka oleh Garak yang berlindung di belakang pintu dengan kerisnya. Perbuatannya yang sedemikian itu menyebabkan sepantas kilatnya Laksamana pun melompat lalu lepas dari muka pintu, lima depa masuk ke dalam dengan tiada sempat Garak hendak menerpa lagi. Pantas dan licik sebagai seekor kancil yang lincah. Namun mata keris itu telah mengenai bajunya hingga carik.
Akan Lela Sari, apabila melihat Megat Komeng telah lepas masuk, lalu dalam tekad yang cukup kejap, dia pun menikam hingga tiada sempat Laksamana melompat mengelakkan tikaman itu melainkan merebahkan dirinya berguling-guling di atas lantai. Ketika itu Lela Sari dengan tiada bertangguh lagi lalu menerpa, menikam dengan bersungguh-sungguh hatinya. Tikaman demi tikaman, tusukan demi tusukan diajukannya. Kuat sekali keinginan Lela Sari membunuh orang itu. Tetapi dapat dielakkan Megat Komeng walaupun dalam dia berguling itu. Semuanya mengkehendaki ketabahan.
Maka dari kerasnya tikaman Lela Sari itu hingga kerisnya menembus lantai, melekat tiada dapat dicabutnya. Disentaknya keris itu tiada jua tercabut. Ketika itu Megat Komeng bingkas berdiri dengan penuh semangat. Keris di pinggang dicabut pantas. Dia melompat seperti seekor harimau lapar ke samping Lela Sari, hendak menikam, tetapi tiada sempat kerana Garak dengan marahnya menendang Megat Komeng dengan tendangan padu sang rajawali yang gunawan. Megat Komeng merasa satu tolakan yang kuat. Dia hampir tersungkur.
Kedua-duanya berhadapan. Mereka bertentang mata dan tidak bersuara sepatah pun. Semua gerakan telah menguasai segala percakapan. Lalu dia tiga kuntum bunga persilatan Melayu dipersembahkan dengan penuh semangat. Dengan nekad Garak melakukan tindakan menikam bertubi-tubi. Megat Komeng melompat ke kiri kanan, seolah-olah tiada jejak kakinya di lantai, mengelak dan menyalahkan tikaman-tikaman itu. Megat Komeng memang bukan jenis orang yang mudah menyerah. Langkahnya memang layak digelar sebagai seorang pahlawan Melayu.

MELIHAT apa yang telah terjadi menyebabkan Jelatang tidak ragu-ragu lagi bahwa perkiraannya benar. Di tangannya sudah terhunus keris yang akan menuntut nyawa sebagai ganjaran. Tanpa berlengah dan dengan tidak payah diarah, dia segera menyerbu, meluru ke kabin, hendak menikam Lela Sari. Dengan limpah tekad dia menyerang cepat, menentukan. Serang sebelum musuh lolos. Tetapi Lela Sari memancarkan gerak penuh dinamika. Dia mengemaskan tapak persilatannya sambil mengelakkan tikaman Jelatang.
Lengan kanan Jelatang yang memegang keris melintasi dada Lela Sari. Dengan pantas lengan itu ditangkap Lela Sari dengan tangan kanan. Sementara perut tangan kirinya diletakkan di celah ketiak Jelatang, jejarinya mencengkam leher lawannya itu. Lela Sari mencekik leher Jelatang dengan seluruh tenaganya.
Jelatang terkejut dan kaget. Matanya terbelalak. Diam-diam Jelatang mengakui kehandalan dan kelincahan Lela Sari. Memang gadis ini sangat tahu ilmu silat, fikir Jelatang berjela-jela. Dengan seluruh tenaga, Jelatang cuba melepaskan pautan tangan Lela Sari dari lehernya dengan tangan kirinya. Dia cuba mengerah segala kekuatannya. Urat-urat lengan dan leher Jelatang tegang. Dengan keadaan terbelenggu, Jelatang undur ke belakang dan genggaman Lela Sari lepas.
Jelatang menikam lagi. Namun tikamnya secepat kilat dielak oleh Lela Sari. Badan Jelatang terlajak ke hadapan. Dengan kedua belah tangannya, keris di tangan Jelatang ditepis Lela Sari dengan keras. Keris itu terpelanting. Sengal terasa pergelangan tangannya. Kemudian dengan pantas Lela Sari menerajang. Kaki kanannya melepaskan kegagahan. Sebuah tendangan menghantam Jelatang di belakang pahanya. Serta-merta dia terjelepuk di lantai, kesakitan.

SAAT malang Garak telah tiba. Tatkala dia menikam dengan bersungguh hati, Megat Komeng juga mempastikan dengan sungguh-sungguh akan tiap-tiap gerak langkah elak- mengelak. Seketika kemudian Garak terdorong ke hadapan oleh terpaannya dielak oleh Megat Komeng. Maka sebagai kilat pantasnya, Megat Komeng memegang pergelangan tangan kanan lawannya itu dengan tangan kiri. Dengan tidak tertangguh-tangguh lagi dia menolak hujung lengan itu ke atas dengan hujung lengan kanannya. Hal ini telah menyebabkan keris Garak melayang dan melekat pada langit-langit.
Garak melihat ke atas, ke langit-langit. Sesaat dia berdiri terpaku kebingungan. Dalam keadaan demikian, lalu Megat Komeng melibas, kena rusuk kanan Garak, menyebabkan dia terduduk. Hati Garak kecut. Pandangannya tiba-tiba berkunang-kunang dan menggelap. Yang ada cuma lingkaran-lingkaran dan bayangan-bayangan ketakutan dan mengerikan. Dalam masa tiada sampai selaput sireh, Garak menemui ajalnya. Hayatnya terbang dari jasadnya. Libasan Megat Komeng libasan membunuh.

LELA Sari benar-benar terkejut dan jantungnya bagai disentap apabila melihat Garak mati di depan mata. Melihatkan kawannya telah rebah itu maka Lela Sari memungut keris Jelatang yang terpelanting tidak jauh darinya, menggengam hulu keris itu dengan erat. Setangkas seekor singa yang kelaparan, keris di tangannya melayang ke dada Megat Komeng. Mata keris yang dahagakan darah bermain di udara.
Lontaran itu begitu kuat tetapi ketangkasan seekor haiwan liar yang ada pada Megat Komeng telah menyelamatkan dirinya. Sepantas kilat ditangkapnya keris itu dengan sebelah tangan. Dia sudah sangat berpengalaman.
Mata Lela Sari terbuka luas, seolah-olah tidak percaya kepada penglihatannya. Dia terpinga-pinga. Dilihatnya Megat Komeng sudah mengubah pegangannya pada keris itu. Kini dia memegangnya dalam posisi lemparan.
"Ambil balik senjata kau!" Megat Komeng meneruskan melempar keris.
Lela Sari mengelak luncuran keris itu dengan melompat ke kanan.
Tiba-tiba Lela Sari diterkam dari belakang. Jelatang melingkarkan kedua tangannya ke leher Lela Sari yang meronta-ronta untuk melepaskan diri. Sikunya yang tajam macam kapak menyinggung. Singgungannya gagal. Walaupun begitu, dia tidak berputus asa. Berpandukan sisa-sisa kudrat yang ada, Lela Sari mempercepatkan langkahnya menuju ke dinding. Dia mengangkat kedua-dua kakinya ke dinding, berjalan dan melonjak ke belakang Jelatang. Dia berpusing.
Pada saat itu juga Lela Sari menerajang Jelatang dari belakang. Jelatang tersembam ke dinding kerana dorongan oleh langkah yang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Akibatnya Jelatang roboh ke lantai.
Dengan pantas Lela Sari berpaling ke belakang. Sekarang Megat Komeng berada di depannya. Mata mereka bertentangan. Kemudian tanpa apa-apa amaran, Megat Komeng melepaskan sebuah penumbuk yang mampan ke mulut Lela Sari. Pukulan ini sama sekali tidak terduga-duga. Dia benar-benar terkejut. Lidahnya merasakan darah.
Megat Komeng menghentamkan tinjunya ke perut Lela Sari. Terdengar erangan kesakitan dari mulut dara itu. Lela Sari menekan perutnya. Megat Komeng mencengkam kepala Lela Sari dan menolaknya ke bawah. Lela Sari merasakan lutut Megat Komeng yang keras menghantam mukanya lalu mengaduh kesakitan.
Megat Komeng mendepakan kedua-dua belah tangannya lalu Lela Sari merasakan pukulan di kedua telinga. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya yang pusing sambil memegang kedua telinganya. Tangan Megat Komeng menyerang seperti seekor ular, menolak dahi Lela Sari sehingga gadis itu terhuyung-huyung terbelakang sebanyak tiga langkah, kehilangan keseimbangan.
Dengan menggunakan kaki kanan, Megat Komeng melakukan satu tendangan keras ke dada Lela Sari. Dalam sekejap Lela Sari sudah melambung ke udara, terus keluar melewati pintu kabin dan jatuh berdebum di lantai dek dengan hidung dan mulut berlumuran darah. Seperti burung kepatahan sayap.
Ternampak garis-garis kesal di wajah Lela Sari. Dia telah berbuat sebaik yang mungkin. Jika ketegasannya telah ditakdirkan, dia tidak boleh berbuat apa-apa. Dia menerima takdir itu dengan penuh ketawakan. Tetapi kekesalan dan kehampaan dalam dirinya bertindih-tindih.
Lela Sari melihat dalam kawanan orang ramai yang melingkungi ya. Pandangannya mula berpinar. Dia cuba mengumpulkan baki tenaganya yang masih tinggal. Akhirnya dia tidak sedarkan diri.

LELA Sari dikelilingi kelompok manusia yang berdiri tidak mempunyai simpati. Mereka bersenjata lengkap dan seperti hendak menerkam.
Ketika itu manusia yang ramai terkuak ke tepi. Terjadilah satu lorong kecil di tengah-tengah himpitan tubuh itu dan muncullah Jelutong sambil memegang sundang yang berasah tajam.
"Bunuh! Bunuh dia!" Satu suara nyaring datang menerjah suasana. "Habiskan dia, Jelutong!"
"Jelutong! Tamatkan riwayatnya!" kerah salah seorang daripada mereka. "Tetak dengan sundang!"
Setapak demi setapak sang algojo itu melangkah ke depan, menghampiri Lela Sari. Mata orang ramai bercerelung ke arahnya. Betapa kegembiraan sebesar gunung terpacak dalam mata Jelutong.
"Sekarang sudah sampai masanya kau akan menerima pembalasan," Jelutong berkata keras seolah-olah kepada dirinya sendiri. Dia seolah-olah tidak dapat menahan sabarnya lagi.
Tiba-tiba Megat Komeng muncul dari celah-celah orang-orangnya.
"Nanti! Nanti dulu!" Megat Komeng membantah dengan nada suara yang tinggi. "Jangan sentuh dia! Lela Sari jangan dibunuh! Kalau tidak celaka padahnya! Aku masih berkehendakkan sesuatu darinya untuk kepentingan kerajaan Perlak!"
Orang keliling kematian suara. Kalau jarum jatuh ke lantai sekali pun akan kedengaran bunyinya. Semua yang ada di situ tunduk membisu. Amaran itu menyepikan seluruh kawasan yang penuh sesak dengan manusia yang bersorak-sorak tadi.
Jelutong tercegat dalam langkahnya. Dia melihat Megat Komeng. Alis Jelutong berkerut.
Seorang yang lain pula bertanya, "Maafkan hamba, Datuk. Tidakkah Datuk ingin menghabiskan riwayat si bedebah ini?"
Megat Komeng memandanginya. Pertanyaan itu mengetuk benaknya tiba-tiba. Dia menjawab:
"Mengapa hendak membunuh pada orang yang tak melawan? Menggunakan senjata pada orang yang sudah tak bersenjata? Pantang Tok Guru membunuh musuh yang tak bersenjata!"
Megat Komeng melambaikan tangan, menyuruh Jelutong mundur. "Sudahlah Jelutong. Jangan sampai sundang itu membunuh lagi!"
Begitu kata-kata itu selesai dituturkan, Megat Komeng mengalihkan pandangannya. Matanya liar mengawasi keadaan sekitar dan mencari sesuatu. Menoleh ke arah tubuh-tubuh menggelegak yang tak bergerak. Beberapa tompokan darah kelihatan turut tersebar di sana sini memenuhkan dek. Dia melangkah perlahan-lahan ke tubuh yang paling dekat. Dicapainya sebilah sundang dan tangan kirinya mengepit sebuah perisai.
Megat Komeng mendepangkan sundangnya. Lalu dipakainya perisai itu dengan sundang. Lagi, lagi dan lagi. Semacam ada sesuatu misteri pula daripada paluan itu. Mata Laksamana memandang keliling, lalu dipakainya lagi perisai itu berkali-kali.
Paluan terus berlanjutan, diikuti dengan paluan perisai yang bertalu-talu dan serentak dari pasukan penggempur Perlak yang masih berbaki itu.
Laksamana Megat Komeng berhenti menghayun sundangnya.
Keadaan yang hingar-bingar yang menulikan semua pendengaran tadi menjadi sepi tiba-tiba.
"Dengar kamu sekalian!" teriak Megat Komeng.
Setiap mata tertuju kepadanya.
"Ini hari yang hebat! Kita berjaya! Kita menang! Pekerjaan kita berhasil gemilang. Kerja yang bagus, semuanya. Kamu semua telah melakukan tanggungjawab demi tanah air. Di sini jajahan kita!"
"Datuk, kami tetap berserta dengan Datuk!" teriak Datuk Pengawal Bagok dengan riang.
Datuk Laksamana membidangkan dadanya, lalu menarik nafas. "Walau macam mana pun, kita mesti selesaikan perkara Bendahara Mutalib. Maka perlu diingatkan, kewajipan mesti dipenuhi. Datuk Bendahara telah berubah corak dan telah meninggalkan kota Perlak entah ke mana. Dia derhaka pada Sultan. Dari itu, dia perlu dihukum. Ketahuilah kamu sekalian perwira Perlak, Duli Yang Maha Mulia Sultan akan memberi kurnia. Hadiah-hadiahnya akan kamu terima dari baginda bila Datuk Bendahara sudah tertangkap." Dia memandang ke kiri dan ke kanan. "Lanjutkan usia Sultan!"
"Lanjutkan usia Sultan!" Gamat datang sorak balas daripada manusia yang ramai itu.
Megat Komeng mencari-cari muka Bagok dan Nibong, lantas memandang sekeliling.
"Datuk Pengawal Bagok!" teriaknya memanggil.
Bagok menampakkan diri. Tersembul di depannya.
"Nibong!" panggil Megat Komeng lagi.
Yang dipanggil berjalan menghampiri.
" Kau dan kau, lekas angkat Lela Sari. Bawa ke Gelora Sakti. Panggilkan Tok Dukun dan suruh dia ingatkan Lela Sari supaya dia baik dan berilah segala rawatan yang perlu. Kurung dia dalam penjara. Jaga dia dengan rapi dan jangan ada sebarang benda yang tajam atau apa-apa yang boleh membunuh sampai ke tangan Lela Sari!" Air muka Megat Komeng mengancam. "Tapi ingat, jangan sampai dia lari. Kalau tidak nyawa kamu berdua sebagai ganti. Akan ku gantung tinggi sampai mati. Mengerti?"
"Akan kami usahakan sedaya upaya, Datuk!" sahut Bagok bersungguh-sungguh. Dia mengalihkan pandangan dari Megat Komeng ke Nibong yang berada di sampingnya. "Mari Nibong!"
Bagok melangkah maju.
Nibong mengikutinya.
Kemudian kedua-duanya mendekati Lela Sari.
Mereka membeku di situ, bila melihat tubuh Lela Sari yang tengah subur.
Megat Komeng merenung Bagok dan Nibong yang sedang menunduk.
"Kenapa kamu berdua termangu-mangu macam cicak makan kapor ni, hah? Lekas angkat, bawa ke Gelora Sakti!" perentahnya.
Bagok menyeludupkan tangannya ke celah ketiak Lela Sari dan pelan-pelan mendirikan gadis itu. Nibong memegang kaki Lela Sari.
Kedua orang itu mengangkat tubuh Lela Sari dengan lengan mereka yang kuat. Kepala gadis itu terkulai ke belakang. Mereka melangkah mencelah-celah orang ramai menuju ke Gelora Sakti.
Megat Komeng memandang Lela Sari dibawa menjauh.
"Ajal kau bukan dalam pertempuran ini." Dia bergumam, seolah-olah berkata kepada dirinya sendiri. Dia dalam diam-diam berasa sangat kagum melihat keberanian Lela Sari. "Mati atau hidupmu akan ku pertimbangkan kemudian."
Megat Komeng menoleh pada Jelutong dan berkata, "Jelutong!"
"Datuk?" Jelutong mengajukan diri apabila namanya dipanggil.
Megat Komeng menudingkan ini jarinya ke arah pintu kabin. "Kau kejutkan abang kau Jelatang dengan air. Tadi dia dipukul oleh oleh Lela Sari hingga pengsan."
"Baik, Datuk!" Jelutong sedang bersiap-siap akan pergi ketika suara Megat Komeng menahannya.
"Kemudian," kata Megat Komeng. "Pergi pereksa berapa orang kita yang telah terkorban dalam pertempuran ini. Nilai kerosakan Gelora Sakti dan laporkan kepada ku."
"Perentah Datuk segera hamba laksanakan," sambut Jelutong sambil mengangguk-angguk tanda akur dengan cara Megat Komeng berfikir.
Mata Megat Komeng liar mencari-cari seseorang. "Mana Nakhoda Dipoh?"
Dipoh yang sedang berdiri di geladak, datang mendekat. Dia bertubuh pendek, mata sipit, agak botak dan berpindah lebar. Si nakhoda memperhatikan wajah Laksamana.
Megat Komeng menoleh kepada Dipoh. Dia menaruh harapan yang paling besar terhadapnya. "Sekarang bahtera ini tak bernakhoda. Sebagai gantinya dikaulah yang bertanggungjawab menjaga bahtera ini. Buruk baiknya, kaulah yang menguruskan."
"Baiklah Datuk," Dipoh menjawab dengan singkat.
"Halakan layarnya pulang ke kota Perlak. Persembahkan bahtera ini pada Sultan. Jalankan perentah!"
"Sebarang perentah Laksamana, hamba junjung," ujar Dipoh dengan wajar.
"Satu perkara lagi. Sampaikan perasaan dukacita hamba kepada keluarga orang-orang kita yang mati," kata Megat Komeng sedih.
Sesudah berkata demikian, Megat Komeng mengamati keadaan sekeliling. Melihat pada muka-muka yang lain dan berteriak, "Yang lain bersihkan bahtera ini seperti sedia kala. Angkat mayat musuh semua! Buang ke dalam laut supaya menjadi contoh dan tauladan."
Segera matanya terpandang kepada Dipoh lagi. "Bakinya yang ditawan, ikat mereka. Bawa mereka ke kota Perlak. Jatuhkan hukuman penjara dengan kerja berat."
Dipoh mengangguk.
Megat Komeng memberi tanda pada Dipoh untuk beredar.
Di muka, di haluan bahtera, Megat Komeng melihat seorang pemuda yang langsing dan rapi sedang memadamkan api-api kecil yang ditimbulkan bara-bara yang bertaburan.
"Nata!" Suara panggilan, keras dan jelas. "Mari kau ke mari!"
Lelaki yang bernama Nata itu maju ke depan. Dia berdiri memandangi Laksamana seperti anjing yang setia.
Megat Komeng berkata dengan suara keras, "Kau pegang kemudi Gelora Sakti. Tetapkan haluan. Kita menuju ke Tanjung Penaga."
"Sekarang juga hamba laksanakannya," kata Nata dengan tenang.

TANPA mengeluarkan suara, Bagok dan Nibong menggendong Lela Sari yang dalam keadaan pengsan turun ke dek bawah Gelora Sakti dan memutar ke buritan di mana terletak kamar tempat seksa, lalu membuka pintu.
Di dalamnya tampak lima batang kayu terjunam kemas. Di kepala kayu itu ada palang. Lela Sari dibawa ke sana.
Bagok guna sepenuh tenaga, memaut kedua belah ketiak Lela Sari, menegakkan badannya perlahan-lahan, lurus seperti kayu itu juga. Kemudian Nibong mengikat kedua pergelangan tangannya dengan tali yang sudah tersedia di situ. Sesekali dia mencuri pandang wajah Lela Sari.
"Mari Nibong. Kita pergi cari Tok Dukun. Tinggalkan dia." Bagok membalik badan lalu pergi meninggalkan kamar yang ada Lela Sari di dalamnya.
Nibong mengekor di belakang.
"Alamak, geram aku nengoknya lah," suara Nibong geram.
Bagok mendengar tanpa mengerti. "Apa kau geram dengan aku?"
"Kalaulah aku dapat, seminggu aku tak makan pun tak pe," Nibong berkata terus. Harapan dan kemungkinan menguasai fikirannya. Dia tersenyum semanis-manisnya.
Suara Nibong menyucuk-nyucuk perasaan Bagok. Bibirnya terjuih ngeri dan langkahnya terhenti. Dia memandang Nibong lama-lama.
"Kau dah buang tabiat ke?" pertanyaan Bagok kasar.
"Aku tak cakap dengan kau lah!" Nibong menegaskannya sungguh-sungguh setelah mendatangi Bagok dan merapatkan diri di sebelah Datuk Pengawal itu.
Sekali lagi Bagok mengerling tajam ke muka Nibong kerana dia kurang pasti. "Kalau kau tak bercakap dengan aku, kau bercakap dengan siapa? Kau ni gila agaknya!"
Pandangan Nibong terbentuk mata Bagok. Mata Bagok tak berkedip.
"Aku bercakap seorang," ujarnya kepada Bagok.
Bagok ketawa geli hati.
"Memang kau dah gila!" katanya dengan yakin.
Nibong mengangguk. "Memang aku gilakan dia. Aku hairan benar bila terpandang mukanya. Aduh, cantik betul."
Bagok melihat kepadanya sebentar kebingungan, kemudian mengangguk mengerti. Ada sesuatu pada air muka Nibong yang menyebabkan Bagok tidak membantah lagi. "Oh, Lela Sari yang rupawan itu yang kau maksudkan?"
Bagok diam sebentar.
Dengan sudut mata, Nibong melihat Bagok menghayun sundangnya.
Wajah Nibong berubah pucat.
Bagok melanjutkan dengan marah. "Sekali aku takok muka kau dengan ini kang, mampus! Kau tu dah ada isteri!"
"Ada pun bukan ada di sini," ujar Nibong dengan tajam.
"Nibong!" bentak Bagok. "Aku ipar kau! Isteri engkau tu, adik aku. Tiap-tiap suami mesti setia pada isteri. Aku tak suka sikap kau sebentar tadi. Binatang!"
Nibong masih ingat, isterinya yang pertama bercerai dan tak dapat anak. Lepas itu Nibong membujang hinggalah kahwin dengan adik perempuan Bagok.
"Bagok, janganlah engkau merasa curiga apa-apa terhadap ku. Kau tetap menjadi ipar ku. Tapi janganlah buat aku macam binatang."
"Memang muka kau binatang. Muka tak tahu malu!" Bagok meradang. Dadanya beriak dan beralun seperti kolek dipermainkan ombak.
"Kalau aku manusia seperti kau juga, kau kata binatang, kau pun binatang lah juga." Nibong macam menyindir.
Bagok membuka mata, terbelalak.
"Apa kau cakap?" katanya, kian garang. "Nanti aku ajar kau!"
Tangan Bagok langsung menarik rambut Nibong, membantunya ke dinding. Lalu kaki kasarnya menyepak punggung Nibong.
Nibong tidak segan silu lagi mengaduh. Keningnya berkerut, mukanya tiba-tiba pucat menahan sakit.
"Tidak, tidak, tidak. Aku tiada niat begitu," Nibong merayu, mencuba menyesali, tapi hanya berhasil menunjukkan rasa putus asa.
"Tidakkah kau mengerti yang aku ini Datuk Pengawal? Kedudukan ku lebih tinggi daripada kau," Bagok berkata. Dia menunjuk dadanya dengan telunjuknya.
Tiba-tiba Bagok dikejutkan oleh singgungan dari seorang lelaki berjambang yang tahu-tahu terjojol di sebelahnya. Suatu kejutan yang meracau. Dia menjerit halus.
Nibong memandang sahaja kelakuan Bagok itu.
Bagok akhirnya berkata, "Terperanjat aku."
"Baru macam itu, kau dah terperanjat?" Tegur Tok Dukun sambil menepuk belakangnya. Parau saja suara Tok Dukun.
Tok Dukun Gadik seorang tabib yang mahir dalam segala penyakit. Wajahnya lembut, kelembutannya abadi. Janggut dan misai yang jelas tidak terbela, tumbuh kucar-kacir di sana sini.
"Ha, di mana Lela Sari ditempatkan?" Tok Dukun bertanya.
Bagok melirik ke belakang. "Ada di sana. Di tempat seksa."
"Mari ikut aku," kata Tok Dukun sambil meramas-ramas tasbihnya.
Bagok dan Nibong mengikuti Tok Dukun.

TOK Dukun merenjis kan air ke wajah Lela Sari, kemudian menonyohkan secarik kain ke bibir dan hidung yang berlumuran darah. Diusap-usap perlahan-lahan.
"Bagaimana Tok Dukun?" Nibong yang bertanya itu.
"Lukanya tentu memakan masa."
"Lekas obatkan Tok Dukun," kata Bagok pula, merayu.
"Baiklah, aku akan cuba sediakan obat untuk menyembuhkan Lela Sari supaya hilang luka dan kembali seperti sedia kala." Tok Dukun menegaskan dengan keyakinan yang penuh. "Sekarang biarlah aku ke dapur bersiap-siap. Nanti aku akan hantarkan obat itu ke sini."
"Pergilah lekas. Bawa Nibong bersama Tok Dukun," kata Bagok dan suaranya bernada tidak sabar.
Tok Dukun memandang Bagok. "Bagaimana kamu?"
"Tinggalkan saja hamba di sini kerana badan hamba sangat letih," Bagok berdalih.
"Kalau sudah begitu, tolong tengok-tengokkan Lela Sari," kata Tok Dukun kepada Bagok. Kemudian berpaling ke muka Nibong. "Nibong, mari kita pergi."
Bagok melihat kepergian Tok Dukun dan Nibong. Hatinya merasa lega. Bohongnya diterima. Lalu menatap Lela Sari yang terpacak dengan tangan terikat pada batang tonggak. Dadanya yang kecil, dada seorang perawan, naik turun lambat-lambat dalam irama yang penuh ketenangan.
"Sungguh manis rupa mu Tuan Puteri." Bagok membasahkan bibirnya dengan lidahnya.
Tergerak oleh dorongan hati yang tiba-tiba menyerap, dihulurkanlah mulutnya untuk satu pelepasan nafsu. Baru saja hendak dibenamkan bibirnya dalam-dalam di bibir Lela Sari, dia melaung sekuat-kuatnya apabila tiba-tiba sebuah pukulan keras lutut Lela Sari mengenai bahagian anggota sulitnya. Dia melengkungkan badannya ke depan, menahan rasa sakit itu, tangannya bergerak ke arah tempat yang dipukul tadi.
Tok Dukun dan Nibong sudah berada lima puluh langkah di depan, meninggalkan Bagok apabila mendengar suara jeritan Bagok. Mereka berlari ke arah suara itu.
Lela Sari belum puas. Bagok perlu diajar habis-habisan. Dengan sepenuh baki tenaga yang masih tertinggal dalam dirinya, Lela Sari serta-merta melonjak ke hadapan. Kaki kanannya menyepak-terajang muka Bagok.
Datuk Pengawal itu rebah untuk kemudian menggeletar di lantai sambil tetap memegang bahagian tubuhnya yang sakit dengan nafas tersekat-sekat.
"Cis! Berani sungguh kau cuba menjamah bibir beta!" jerkah Lela Sari, kasar dan dia pun memperingatkan ya, " Untuk menjaga nama dan maruah, beta akan habiskan riwayat kau. Mengerti!"
"Bagok! Mengapa begitu biadap? Cuba nak mencemarkan nama baik Tengku Puteri!" herdik Tok Dukun yang baru masuk itu. "Tidakkah buruk akibatnya jika diketahui Datuk Laksamana? Bukankah boleh merosak diri sendiri?"
"Itulah, baru padan dengan muka kau," Nibong menyampuk. "Bukan main lagi. Pandai nak kata aku, kau lagi berlebih daripada aku "
Bagok hanya diam. Dia merasa iparnya itu sedang mencibirkan bibirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience