Cetera Yang Pertama 17 - BERUBAH HALA

Adventure Series 1713

PADUKA Demang berjalan mundar-mandir di sekeliling khemah sambil mengesat peluh yang berjunub di mukanya yang sudah berkedut dengan kain putih yang tersidai di bahu. Dia berjalan dengan gaya mendada, bagaikan lagak orang yang berasakan dirinya menjadi orang terpandang dan ke mana-mana disanjung pula.
Paduka Demang seorang lelaki berusia dalam lingkungan lima puluhan. Berdada bidang, berwajah kaki dan berbibir tebal. Rambut dan janggut orang tua itu masih lebat tetapi uban sepenuhnya.
Beliau diapit oleh orang kanannya, Panglima Malang. Diikuti orang kedua penting, Pendekar Gayong.
Paduka Demang pandang Panglima Malang. Umurnya kira-kira hampir lima puluh tahun, yang nampak dari warna rambutnya yang sudah kelabu dan disisir rapi ke belakang.
"Apa sudah jadi? Seekor pun tak dapat. Hairan. Tak pernah terjadi seperti kali ini. Malang sungguh nasib kita, Datuk Panglima," Paduka Demang membuka tirai perbualan. Kerut mukanya yang sudah jauh meninggalkan setengah abad itu kelihatan muram.
"Hamba pun demikian juga. Sungguh malang kali ini, Paduka Demang," ujar Panglima Malang sambil mengesat peluh yang menitik di dahinya.
"Jadi, apa yang Datuk fikir baik untuk kita lakukan?" tanya Paduka Demang. Jari-jemarinya mengurut-urut misai yang sudah panjang.
"Hamba berpendapat, baiklah hentikan pemburuan kita. Kita pulang saja, Paduka Demang," kata Panglima Malang, memberi cadangan.
Paduka Demang menoleh ke arah Pendekar Gayong yang sudah setengah baya. Seorang pendekar yang tampan dan nampak awet muda. Dari wajahnya tidak nampak tanda-tanda ketuaan dan nampaknya sihat sekali.
"Dan kau pula bagaimana Datuk Pendekar?"
"Hamba pikir pun elok begitu, Paduka Demang. Kita berehat saja di gedung besar," beritahu Pendekar Gayong. Dia sependapat dengan Panglima Malang.
Secara spontan Paduka Demang mengangguk.
"Baiklah, mari kita pulang ke gedung besar."

GEDUNG besar berbatu bata Pulau Tujuh itu berbucu lima dan dibina dengan sentuhan seni yang luar biasa hebatnya. Ketika itu tiada orang lain di dalam bilik peraduan. Hanya dua lembaga yang berlainan jenis. Malah mereka memang hanya mahu berdiam sahaja.
"Dia ada di mana sekarang?" Suara itu bernada lelaki. Suara itu ialah suara Tajol Mulok. Perawakannya nampak ramping dan mukanya ditumbuhi janggut yang belum dicukur selama tiga hari. Daripada raut wajahnya, dia masih muda. Dia diperkirakan sudah berumur sekitar dua puluh lima tahun.
Suara seorang perempuan menyahut, "Si tua kerepot, tua nak mampus, tulang dah retak tu?"
Tajol cuma mengangguk.
"Si tua bangka itu pergi memburu dan belum balik lagi," Siti Molek menyeringai layak anjing kebuluran.
"Apakah tindakan suami mu jika tahu abang berkehendakkan Siti?" tanya Tajol dengan renungan ganjil. "Kalau dia tahu, tentu kepala abang akan dipotong, agaknya ya?"
"Abang tahu, hanya orang pengecut yang pernah kata begitu," Siti Molek membalas.
"Abang bukannya orang macam itu. Abang tidak pengecut tapi Siti harus ingat, Paduka Demang mempunyai kuasa." Sejurus, Tajol mendekati perempuan itu setapak demi setapak.
"Katakan pada Siti bahwa abang tak takut. Abang tak gentar."
"Oh, baiklah. Biarpun sepuluh keris terhunus di dada abang, tetapi abang tak gentar, Siti."
Dia berjalan terus dan terus.
Siti Molek tersengih-sengih tidak berganjak segerak pun.
Lelaki itu semakin dekat dan semakin mendekatinya.
Senyuman mengharap Siti Molek bertambah galak.
Kedua-duanya saling peluk-memeluk.
Empat anak mata bertemu.
"Abang, Siti sangat gembira atas kedatangan abang. Hilang rasanya rindu apabila dapat berdampingan dengan abang," berkata Siti Molek dengan manja.
"Begitulah pengertian cinta, sayang. Abang pun sentiasa mengharapkan masa sedemikian," balas Tajol yang berada dalam dakapan hangat Siti Molek. Kemudian seluruh muka dan leher Siti Molek dihidunya.
Nak ikutkan, Siti Molek ini tidaklah molek sangat. Giginya jongang. Telinga lebar. Hidung kemek pula dan di atas hidungnya ada sebutir tahi lalat. Tetapi tubuh segar bugar perempuan itu begitu menarik seleranya.
Sepi.
Sepi berlarutan.
"Kalau Siti menjahit baju kurung?" Siti Molek tiba-tiba bersuara, mengajukan pertanyaan.
"Abang jahit lengan bajunya," jawab Tajol sambil tersengih-sengih.
Siti Molek tersenyum dalam raut manja yang menggoda. Kemudian matanya tertumpu pada jendela yang ternganga.
Terdengar kicau burung di reranting dan dedahan.
"Kalau Siti menjadi burung?" Siti Molek tanya Tajol.
"Abang jadi ranting kayunya," sambut Tajol dengan beriya-iya.
Kemudian mereka sama-sama terhening. Lama mereka tidak terkata apa-apa. Disebabkan kesepian itu, jelas kokok ayam sayup-sayup kedengaran.
Tajol berasa terhibur mendengar kokokan ayam itu.
"Kalau abang menjadi ayam?" cetus Tajol, berasa ingin tahu.
"Siti jadi tukang sembelihnya," cepat Siti Molek menjawabnya, setengah berseloroh.
Tajol memandang kepada Siti Molek dengan terbeliak matanya sambil menelan air liur kesat.
"Jangan marahlah abang Tajol," Siti Molek memujuk. "Siti hanya bergurau saja."
"Abang tak marah. Abang faham, Siti," kata Tajol sambil membelai rambut Siti dengan kasih.
Kesepian terbentang antara mereka beberapa ketika. Suasana senyap menakluki suasana. Waktu seakan terhenti.
Sesudah diam beberapa jurus, Siti Molek berkata, "Abang Tajol, katakanlah yang abang cintakan Siti."
Wajah Tajol ditenungnya dalam-dalam. Siti Molek mahu kepastian dari Tajol, kepastian yang mutlak.
"Ya, abang cintakan Siti," lurus lancar sahaja jawapan Tajol.
"Itulah yang Siti harapkan sangat dan kepada abanglah tempat Siti mencari kebahagiaan. Kalau abang tak ada di gedung besar ini, Siti rasa gedung besar ini macam neraka," kata Siti Molek dengan lega.
"Memang sudah kehendak alam. Sayang anak ditimang-timangkan. Sayang isteri ditinggal-tinggalkan dan sayang kekasih dirindu-rindukan," Tajol membuat rumusan. "Sudahlah, jangan Siti bimbang sebab abang berada di sini dan bersedia akan menyenangkan hati mu. Mari kita buat seperti shorga, ya?"
"Itu bagus, bang. Perkara ini tak boleh kita diamkan begini saja. Marilah kita baring-baring," ujar Siti Molek keanak-anakan.
"Abang berjanji, abang akan membuat Siti gembira. Segembira gembiranya manusia di dalam dunia ini. Ini gembira akan terus menerus hingga akhir."
"Ya, hingga akhir," Nada Siti Molek berbaur teruja.
Ketika itulah tangan waja Tajol menyambar lalu mulai membuka kancing baju di antara dua buku daging pejal Siti Molek.
Perempuan yang telah dibutakan iblis mata hatinya dan tidak berasa malu walau segores pun itu membiarkan saja perlakuan Tajol, tanpa sebarang bantahan.
Dalam jangka saat yang sangat singkat, pintu bilik tiba-tiba saja terkuak. Tersembul seorang lelaki tua di muka pintu. Dia melangkah masuk.
Tajol Molok tersentak kecut. Dia berada dalam keadaan yang amat serba salah.
Siti Molek berpaling. Dia terpaku dengan muka pucat.
Tubuhnya tiba-tiba menggigil begitu dilihatnya Paduka Demang muncul. Dengan gementar, dia menyingkir ke belakang.
Pelukan itu terenggang.
"Dia nak menoda kehormatan dinda!" teriak Siti Molek sambil menuding telunjuknya ke arah Tajol di depannya.
Dia merasa bersalah. Merasa bersalah besar. Kata-katanya sudah terlajak. Lidahnya telah terlanjur.
Terbeliak biji mata Tajol mendengar kata-kata Siti Molek itu.
"Haaaah? Siti? Kenapa ke situ pula tuduhan mu?" tanya Tajol sambil mulutnya terlopong sedikit. Dia kelihatan seperti orang bingung saja.
Kata-kata yang terpacul keluar dari mulut Siti Molek itu benar-benar mengecewakan Tajol. Dia tidak sanggup mendengar tuduhan itu.
Siti Molek tidak menjawab. Dia kehilangan kata.
"Biadap sungguh perbuatan mu! Hei, orang muda! Kau berani ceroboh masuk ke dalam gedung besar tempat aku bertakhta. Kau terima hukumannya!" tegur Paduka Demang sambil memandang ke arah Tajol. Wajah Tajol direnungnya tanpa kerdipan.
Siti Molek diam tidak bersuara. Dia hanya tadah telinga saja.
Dengan perasaan marah dan geram yang meluap-luap, Paduka Demang yang usianya melebihi separuh abad itu mengambil serampang yang tersangkut di dinding bilik.
Orang tua itu semakin hampir kepada anak muda itu.
Mata Tajol membeligas mencari jalan keluar. Dia bingkas menerpa ke arah Siti Molek dan mengepit leher Siti Molek dari belakang. Tangan kanannya sepantas kilat mencabut keris di pinggangnya dan moncongnya diletak ke dada Siti Molek.
Siti Molek tergamam. Pautan tangan kiri lelaki itu di lehernya membuatkan dia merasa dadanya berdebar-debar kerana diserang ketakutan dalam dirinya.
Paduka Demang melangkah dengan cepat, merapati mereka.
"Nanti, Paduka Demang!" tahan Tajol. "Satu langkah ke depan, khikkk! Siti Molek akan mati!"
Paduka Demang terpaku.
"Letakkan senjata!" Tajol membuat permintaan. Suaranya cukup tenang, tetapi seolah-olah temanya memenuhi ruangan itu.
Pantas Paduka Demang menurut dengan muka masam mencuka.
"Kau ini belum pernah aku lihat. Siapakah gerangan engkau orang muda, hah?" tiba-tiba terpancut pertanyaan itu di bibir Paduka Demang.
"Hamba bukan anak bumiputera di sini, Paduka Demang. Hamba baru sampai di sini. Hamba ini berasal dari Pulau Tioman dan hambalah yang digelar Nakhoda Tajol Mulok."
"Kau manusia durjana!" tindas Paduka Demang.
"Dan Paduka Demang adalah seorang manusia yang tamak," tegas Tajol.
"Apa kau hendak datang ke sini?" tanya Paduka Demang dengan agak keras. Bertanya apa yang sebenarnya dicarinya.
"Sebilah keris pusaka Riau yang dinamakan keris sempena Riau," sahut Tajol.
"Oh, keris sempena Riau yang menjadi idaman semua para panglima di Kepulauan Riau ini." Paduka Demang tersenyum sinis sambil mengurut-urut janggutnya.
"Ya, keris itu adalah kurniaan Raja Riau kepada Panglima Jaya setelah terselamat daripada malapetaka yang menimpa negeri dan rakyat dengan pertolongan dan jasa Panglima Perwira Jaya," Tajol serius menerangkan.
Paduka Demang merenungkan kata-kata itu sebentar. Gambaran Panglima Perwira Jaya tiba-tiba saja menerkam di matanya.
Kemudian berkata dia kepada Tajol, "Apa maksud mu? Perwira Jaya masih hidup?"
"Ya, Paduka Demang. Perwira Jaya masih hidup."
"Setahu aku, dia telah mati di dalam penjara."
"Tidak, Paduka Demang. Perwira Jaya belum mati lagi. Dia telah melarikan diri tapi tangan kirinya telah dihancurkan dengan godam. Sebab tenaganya adalah di sebelah tangan kiri."
"Perwira Jaya. Rupanya engkau masih hidup lagi. Kalau begitu, kau tentu disuruh oleh Perwira Jaya, bukan?"
"Hamba diupah oleh Perwira Jaya. Dialah yang layak mempusakai keris itu. Dia mengatakan dia tidak bersalah tapi telah difitnah oleh sahabat baiknya yang sekarang bergelar Paduka Demang Pulau Tujuh. Ini semua kerana hasad dengki sebab Paduka Demang nak dapat pangkat besar. Paduka Demang perintahkan orang-orang Paduka Demang pergi mencuri khazanah kerajaan di istana, bukan?" dengan panjang lebar Tajol berhujah.
"Jaga sedikit mulut kau itu!" dengus Paduka Demang.
"Apa tak betul ke? Huh, sesudah itu Paduka Demang buat fitnah pula. Menuduh Perwira Jaya, orang yang tak bersalah itu sebagai pencuri. Lain orang yang makan nangka, lain orang yang kena getah. Dengan tidak ada usul periksa, Perwira Jaya telah dihukum penjara. Maka dengan ini terlucutlah pangkatnya menjadi Demang di Pulau Tujuh. Kerana kononnya Paduka Demang telah berjasa, Raja Riau menganugerahkan pangkat dan keris sempena Riau pada Paduka Demang, menggantikan Perwira Jaya."
"Sudah! Sudah! Sudah! Aku tak mahu dengar ini semualah! Semua karut!"
Hening sejenak.
Melihatkan keadaan itu maka Tajol pun berkata, "Hamba menunggu jawapan, Paduka Demang."
Di wajahnya terpancar harapan agar kemahuannya dituruti.
"Baik. Aku ikut kehendak kau itu," kata Paduka Demang seperti mengeluh.
Maka dalam sebentar itu juga dia menuju ke sebuah almari kayu yang penuh berisi barang-barang berharga dan mengeluarkan sebuah peti kayu kecil. Diangkatnya tutup peti itu dan mengambil sebilah keris. Ketika itu dihunus oleh Paduka Demang dan ditunjukkannya kepada Tajol.
"Hei, Tajol! Ini keris sempena Riau yang kau cari-cari sangat," kata Paduka Demang kemudian.
Tidak terperi lagi sukacitanya Tajol melihatkan keris yang berlok tujuh dan berhulu emas bertatah manikam hijau itu.
"Ha, bagus. Lekas berikan keris itu kepada Siti Molek," Tajol membuat permintaan.
Tanpa berkata apa-apa, Paduka Demang menyarungkan keris itu semula dan berjalan macam orang dungu. Langkahnya mati di hadapan Siti Molek.
Lelaki tua itu hulur keris itu kepada Siti Molek.
Siti Molek jangkau saja dengan tangannya.
"Sekarang, Paduka Demang melangkah tiga tapak ke belakang," kata Tajol penuh perintah.
Paduka Demang undur tiga langkah ke belakang.
Tajol mendekatkan mukanya ke muka Siti Molek.
"Apa lagi kau tunggu?" katanya sesaat kemudian.
Siti Molek yang sedia maklum akan kata-kata Tajol itu berpaling menghadapkan mukanya ke muka Tajol.
Keris sempena Riau disisip ke pinggang Tajol.
Tajol mendekatkan mulutnya ke telinga Siti Molek.
"Maafkan abang, Siti. Kerana terpaksa bertukar corak. Sebenarnya abang ada tujuan lain," katanya acuh tak acuh.
Siti Molek menarik muka kelat.
"Sekali aku terhantuk. Seumur hidup menjadi peringatan," jawabnya menyindir. Marah benar bunyi tekanan suaranya.
Dia memutar tubuh dan menghadap Paduka Demang.
"Anggaplah pengalaman ini sebagai ingatan yang menakutkan," gumam Tajol.
Dia melangkah maju dan tubuh Siti Molek ditolak sekuat-kuat hatinya sehingga perempuan itu merempuh Paduka Demang dengan satu rempuhan yang amat kuat.
Oleh dorongan badan Siti Molek yang keras, Paduka Demang terjengkang ke belakang. Dia kehilangan keseimbangan badan dan jatuh tersungkur.
Tajol menyisip kembali kerisnya ke pinggang. Terkocoh-kocoh dia melompat keluar dari jendela. Dia jatuh terjelepuk atas longgokan kayu api yang sudah dipotong-potong dan disusun kemas atas tanah.
Lalu dia pun mengatur langkah meninggalkan gedung besar itu.
Tidak seorang pun yang menaruh perhatian, ketika beberapa juak yang menyaksikan perkara itu memandang sesama sendiri.
Siti Molek menjenguk keluar, melalui jendela.
Tajol berhenti, berpaling ke belakang untuk menatap Siti Molek.
"Aku tahu kau tak cantik! Mata kau juling! Telinga lebar! Gigi kau jongang! Hidung kau kemek! Kau aku pandang tak lebih dari kucing kurap di tepi jalan!" seru Tajol.
Suaranya terdengar melengkung tinggi sekali.
Darah Siti Molek mula mendidih. Ungkapan Tajol itu terasa menghiris pendengarannya. Memang amat terhina dan sengaja menyusul jarum emosi.
Dia mengepal-kepalkan tangannya sambil giginya terletak rapat membendung kemarahan yang meluap-luap. Itulah cara dia melepaskan perasaan geram.
Siti Molek berkalih.
Tajol melihat perempuan itu hilang dari muka jendela.
Wajah Paduka Demang pula menjengah di muka jendela itu. Dia memandang pada Tajol dengan mata yang menakutkan.
Tajol jadi serba salah apabila menjadi sasaran dua mata yang tua tetapi tajam itu. Dia menerpa ke arah pintu gerbang. Langkahnya semakin lancar.
Seperti kecepatan kilat, Paduka Demang bingkas terjun dari jendela. Dia rebah di atas timbunan kayu api. Tersembam mukanya.
Seorang juak datang kepadanya dan bertanya, "Paduka Demang? Apa yang telah terjadi, Paduka Demang?'
Dia diikuti beberapa orang lagi.

TAJOL Mulok memperhati ke sekeliling dan terlihat olehnya tiada berapa jauh dari tempat dia berdiri itu ada pintu masuk gedung besar dengan bertembok batu di kiri kanannya. Sekitar pintu gerbang itu sunyi. Tidak seorang juga yang kelihatan selain seorang penjaga yang gagah berdiri.
Berani Tajol maju ke depan. Langkahnya semakin laju.
Waktu Tajol datang di depannya, penjaga berbadan tegap itu bertanya, "Nak apa kau?"
Suaranya garang.
Tajol memandang orang itu. Kemudian tangannya menunjuk-nunjuk. Kemudian terdengarlah suaranya:
"Belakang sana. Ada satu bungkus emas. Hamba takut mahu ambil. Mari hamba tunjukkan."
Penjaga itu tidak beringsut dari tempatnya dan nampak dia tak mengerti apa yang harus diperbuat. Sedikit pun tak nampak perubahan atau kesan apa-apa pada mukanya.
"Ayoh! Mari!" Tajol meninggikan suara. Dan langkahnya dipercepat. Tetapi segera dia membalik badan pula.
"Tidak jauh, dekat saja!" teriaknya sekali lagi.
Dengan hati enggan, gerak berat, penjaga itu maju ke depan, lalu membuntuti Tajol.
"Itu! Itu dia emas! Di balik sana!" kata Tajol seperti pedagang menawarkan barangnya. Lalu dia meneruskan perjalanan.
Dia tercegat di muka pintu sebuah pondok tempat simpan kayu api. Tidak jauh dari beberapa pohon kelapa yang lebat buahnya. Dia mara ke pintu dan membukanya.
"Mari kita masuk, mari!" kata Tajol mengusulkan sambil melangkah lalu masuk ke pondok itu melalui pintu.
Tiba di dalam, segera diambilnya sekerat kayu api yang terletak bersusun di hadapannya.
Si penjaga melangkah masuk ke pondok itu.
Pada ketika itu juga Tajol menghayunkan tangannya dan kayu api yang dipegangnya itu tepat sekali mengenai kepala jaga itu.
Orang itu berteriak, lalu rebah menelungkup ke lantai. Dia tidak mati. Hanya pengsan.
"Engkau ini betullah bongok!" kata Tajol.
Sebentar Tajol nampak melemparkan pandang melalui pintu dan melihat lalu-lintas di luar pondok. Sebentar-bentar dia oleh ke kanan dan ke kiri.
Tidak ada orang! Dia terus melangkah perlahan-lahan.
Sampai di bawah sebatang pohon kelapa, ada yang bergerak-gerak dalam semak-semak.
Tajol menoleh ke jurusan semak-semak itu. Dilihatnya beberapa orang juak melangkah keluar dari semak-semak itu, membawa beberapa tandan buah kelapa.
Mereka terpinga-pinga seketika.
Berpandangan sesama sendiri.
Tiba-tiba, Tajol menarik keris sempena Riau dari sarongnya, dan berteriak sepuas hati, "Aaarghhh!" Kerisnya diangkat tinggi. Kemudian dihayunkan.
Mendengarkan pekikan Tajol, juak-juak itu membuka langkah seribu, bertempiaran lari di celah-celah semak. Tandan buah kelapa yang digalas oleh mereka di bahu kanan dihumban ke tanah.
Tajol menggeleng dan berkata, "Engkau orang ni betullah bongok."
Lalu menyimpan kembali keris lambang kebesaran kerajaan Riau.
Pada ketika itu juga, sebatang pelepah daun kelapa kering melayang ke bawah, menghempap tanah di sisi kaki Tajol.
Dia terkejut besar dan jerit lolongannya melengking-lengking ke langit kosong tanpa awan, lalu terus berlari.
Bagai orang hilang arah, pemuda itu terus melangkah ke pintu gerbang. Kemudian hilanglah dia dari pemandangan mata.

PADUKA Demang angkat kepala dan bangkit dari kayu-kayu api yang berselerakkan. Kepalanya sedikit luka.
Orang semakin ramai datang, membentuk seakan separuh bulat.
Beberapa orang jelata mula hampir mendekati perkumpulan itu.
"Gedung besar telah dimasuki orang dan isteri yang ku kasihi nak diceroboh kehormatannya," Paduka Demang menjawab dengan tegas. Dia merenung setiap muka mereka.
Mata mereka berpandangan antara satu sama lain. Berita itu berdesing menampar di telinga dan amat mengejutkan.
"Siapa? Siapakah yang berani mengacau isteri Paduka Demang?" seseorang bertanya.
"Dia mengatakan namanya Tajol Mulok. Dialah yang datang menceroboh," ujar Paduka Demang, kemudian setelah mengebas-ngebas kotoran yang melekat pada bajunya melanjutkan, "Aku mahu kau beritahu orang-orang kita. Bunyikan kentong. Bawa seberapa banyak juak-juak. Ikut aku. Kita mesti mencari dan menangkap Tajol Mulok sampai dapat!"
"Menjunjung perintah Paduka Demang!"

TAJOL Mulok melompat banir, meredah paku-pakis, meneruskan langkahnya. Di rimba raya itu, tersergam pohon-pohon hutan yang menjulang ke langit. Flora yang dilalui kelihatan sejuk menghijau dan indah tersendiri.
Tajol terus berlari sehingga sampai ke suatu kawasan tanah lapang. Dia menoleh ke belakang.
Kelihatan Paduka Demang mengejarnya sekuat tenaganya yang sudah tua. Beberapa tubuh yang lain bersama-samanya. Pada perhitunganya mungkin tidak melebihi dua puluh orang ikut di belakang Paduka Demang. Mereka bersenjata lengkap.
Tajol berlari lagi.
"Bongkok! Bongkok.....!" jeritnya dengan suara menggempita bumi. Sekujur tubuhnya berpeluh.
Dia menapak terus.
"Bongkok! Bongkok....!" Tajol terus memanggil dengan nada suara yang memuncak tinggi.
Angin dari laut menampar mukanya sewaktu Tajol menyusuri tebing sebatang sungai.

DI dalam sebuah sampan di muara sungai, Si Bongkok bersedia dengan jalanya. Ditebarnya jala ke tengah sungai. Namun ketika jala itu ditarik, tak seekor pun ikan yang mengena. Ditebarnya lagi beberapa kali. Tak mengena juga.
"Apa da ikan ni? Dari tadi sampai sekarang satu ekor pun tak dapat-dapat?" gumam Si Bongkok.
Kemudian, entah dari mana, terdengar suara panggilan dari kejauhan. Kedengaranya seperti sebuah nama. Pelan, jauh dan hanya terdengar sayup-sayup.
Serta-merta Si Bongkok kembang leher dan telinga mencapang. Dia mendengar namanya dipanggil. Sedaya upaya dia cuba mengecamkan dari arah manakah suara panggilan itu.
Dia mula mendayung menuju ke tepi sungai, menghala ke arah suara yang didengarinya. Semakin lama semakin jelas.
Si Bongkok, usianya dua puluhan. Tubuhnya bongkok, jalannya sedikit agak tempang kerana tapak kaki kirinya cacat sejak lahir. Si Bongkok! Itulah gelaran yang terpaksa diterima. Sungguhpun kerap diejek dan ditertawakan, tetapi tidak sesekali dia ambil hati.

TAJOL Mulok berhenti melepaskan lelah. Kakinya sudah mencecah pinggir sebuah titi yang menjarakkan tanah dan pulau kecil.
Sebuah sampan semakin mendekat dilihatnya dan ketika itu juga badannya melayang ke air. Dia berenang-renang mendapatkannya.
Tidak berapa lama kemudian Paduka Demang dan orang-orangnya sampai ke titi, tempat yang ditujui mereka itu. Di tangan masing-masing terdapat sebatang busur.
Sambil memandang kepada orang-orangnya, Paduka Demang berkata, "Satu barisan di depan!'
Juak-juak hanya mengikut sahaja tanpa membantah.
"Sedia untuk memanah!" teriak Paduka Demang dari samping regu pemanah itu. Suaranya cukup tegas dan menentukan, kerana haruslah segera ada tindakan.
Dengan tangkas, mereka menarik anak panah dari busurnya.
Diam sejenak. Kemudian Paduka Demang berkata, "Panah!"
Juak-juak melepaskannya seperti hujan lebat melayang menuju ke arah Tajol Mulok.
Beberapa saat kemudian, sepasang telinga Tajol menyambar bunyi desing mata anak panah bersimpang-siur. Cukup untuk membawanya ke alam lain yang abadi.
Dia dipanah berulang-ulang.
Tajol terasa seolah-olah malaikat maut berada di sisinya.
Sebelum pemanah-pemanah Paduka Demang dapat berbuat apa-apa lagi, Tajol menyelam. Dasar sungai kelihatan jernih.
Sejurus kemudian, perlahan-lahan Tajol melangkah masuk ke dalam sampan. Dadanya masih turun naik kerana lelah. Pakaiannya telah basah kuyup.
Habislah kini kesanggupan orang-orang di titi untuk meneruskan panahan. Berjurus-jurus senyap sepi tiada seorang pun bercakap.
Sejurus kemudian Paduka Demang pun berkata dengan suara perlahan-lahan, "Cisss! Bedebah! Suatu masa nanti aku akan menuntut bela juga. Aku ajar kau nanti, Tajol Mulok! Tulang rusuk belakang satu per satu aku cabut, kasi potong. Bikin sate!"
Paduka Demang begitu yakin akan datangnya harapan ini, seperti dia yakin bahawa matahari akan terbit dari sebelah timur.
Kemudian dia memandang orang-orangnya.
"Hari pun sudah hampir malam. Mari kita pulang semua!" katanya seperti keluh.
Kemudian perlahan-lahan mereka berangkat dengan membawa kerut wajah yang membawa riak hampa.

"NAKHODA ada sentuhan takdir, Nakhoda," kata Si Bongkok sopan.
Nampak Tajol Mulok terpikat oleh perkataan itu.
"Setiap hari aku cuba hidup sehari lagi dan aku ada keyakinan aku akan terhindar dari bahaya," begitu ujarnya pasti.
Sinar mengerti memancar di muka Si Bongkok.
"Mana keris itu, Nakhoda? Maksud hamba, keris sempena Riau," tanyanya kemudian.
Sejurus kemudian dilihatnya Tajol mencabut keris sempena Riau dari pinggangnya lalu ditunjukkannya bilah keris itu kepadanya.
"Nakhoda sungguh bijak kerana Nakhoda dapat mengambil keris sempena Riau dengan tidak pertumpahan darah," Si Bongkok memuji.
Tajol menyeringai kena puji macam itu. Kemudian dia pun menyarungkan kembali keris itu sambil berkata, "Aku tidak akan meninggalkan pulau ini kalau tidak bersama keris sempena Riau."
Bola matanya merayap ke laut dan kuala sungai.
Dari kuala sungai, muncul sebuah bahtera sederhana besar dari celah-celah hujung tanjung. Layarnya yang dipuncakkan dengan jalur panji berwarna kuning keemasan itu usang tetapi masih utuh dan terawat dengan baik oleh perawatan yang tekun.
Si Bongkok segera berkayuh laju ke hilir.
Bahtera yang dinamakan Lancang Kuning itu berlabuh di muka muara sungai.

TAJOL Mulok berada di dek kapal Lancang Kuning setelah mengenakan pakaian yang kering dan bersih. Dia menatap ke muka, membuang pandangan ke arah laut yang terbentang luas.
Di mukanya angin senja bertiup kuat.
"Bagaimana kita sekarang, Nakhoda?" Suara datang dari arah belakang. Seseorang telah bertanya padanya. Namanya Chomel. Tangannya memegang celaga kemudi.
Chomel cantik orangnya, muka bujur telur dan putih kuning kulitnya. Melewati usia dua puluh, sikapnya ramah dan hanya Si Bongkoklah satu-satu saudara kandungnya di dunia setelah kedua ibu bapanya mati.
Tajol berpaling ke arah yang memanggil namanya.
"Semuanya sudah siap?" tanya Tajol tertarik.
"Segala-galanya telah siap sedia, Nakhoda," ujar Chomel senang.
Tajol melihat kepada dua susuk tubuh yang berdiri di haluan bahtera. Dengan tangan tersilang di dada masing-masing.
Hanya Si Bongkok dengan seorang tua di sampingnya.
A-Leng namanya dan di wajahnya terdapat bekas-bekas luka. Menjangkau umur tujuh puluhan, meskipun kulitnya sudah berkeriput tapi masih kelihatan sihat dan segar.
Seketika itu sekonyong-konyong muncul satu tubuh kecil, terlalu kerdil serta dengan pendeknya. Dialah yang bernama Banderang. Dia masih muda dan semangatnya sedang berkobar-kobar.
Suara pekikan Tajol bergema, "Kawan-kawan semua!"
Semua mata kini tertumpu kepada Tajol.
Suara tempikan dari Tajol bergema lagi, "Sekarang nampaknya cuaca baik. Labuhkan layar besar. Kita akan berlayar!"
"Aye, aye!" kata Banderang penuh semangat.
"Aye, aye?" Tajol melangkah beberapa langkah ke depan. Dia cerlung ke muka Banderang, meminta penjelasan.
"Bahasa bapak aku masa muda-muda dulu da!" selamba saja jawabnya. "Katanya masa muda-muda dulu, dia pernah merantau ke negeri atas angin, mengadukan nasibnya untuk mencari sesuap nasi."
"Atas angin pun ada negeri ke?" Tajol kehairanan. "Sudahlah, temberang kacang."
Banderang meraba-raba misai dan janggutnya sebelum menjawab, "Sumpah, Nakhoda. Makan sate 30 cucuk! Kalau tak percaya, apakan daya."
A-Leng di sampingnya menyengih giginya yang telah ronggak-ronggak.
"Ada-ada saja kau ni. Sudahlah dengan jawapan kau yang tidak bermakna itu," susul Tajol. "Jangan kau leka di situ! Buat kerja, lekas!"
Seketika kemudian mereka memasang layar, sauh pun dibongkar dan Lancang Kuning pun mula berlayar.

BAHTERA itu laju membelah laut.
Tajol Mulok mengambil tempat di samping pengemudi dengan tangan bertaut di belakang, memandang ke laut yang luas. Laut itu berkaca-kaca akibat terkena biasan cahaya langit yang sedang bangkit menuju senja.
Pengemudi bahtera melirik Tajol untuk mendapat kepastian.
"Ke mana tujuan kita sekarang, Nakhoda?" tanya Chomel agak lembut.
Tajol menepuk bahu Chomel dan memberi kata putus, "Ke mana lagi, Chomel? Balik sajalah ke tempat Perwira Jaya."
Tajol memandang ke bahagian depan bahtera.
Banderang, Si Bongkok dan A-Leng sedang berkumpul di salah satu sisi bahtera. Kecekapan Si Bongkok memetik tali gambus berjaya menghiburkan hati dan bunyi petikan itu bertebar jauh ke hujung geladak.
Tajol berteriak kepada A-Leng, "Nyalakan lampu, A-Leng! Matahari sudah mulai terbenam!"
A-Leng mengangguk menyetujui.
"Banderang! Kau turun ke geladak. Kau sediakan nasi!" Tajol berteriak lagi seperti tadi.
"Aye, aye!" Banderang mengiakan.
Tajol sengetkan sedikit kepalanya ke arah Si Bongkok.
"Bongkok, cuba kau berdendang sedikit!"
"Berkenaan apa, Nakhoda?"
"Berkenaan Lancang Kuning."
Si Bongkok diam. Gambus diribanya perlahan. Dia semacam memikirkan dan mengenangkan sesuatu. Sesuatu itu seperti terlintas dalam benaknya. Sejurus kemudian dia bersuara dengan nada bernyanyi. Sambil kembali memetik tali gambus.

Lancang Kuning
Lancang berlayar di bulan terang
Hai di bulan terang

Lancang Kuning

Menempuh lautan ombak keliling

Hai ombak keliling
Lancang Kuning
Laju melanggar bukan sebarang
Hai bukan sebarang

Lancang Kuning

Lancang Kuning selamat pulang

Hai selamat pulang

Suaranya yang mersek mengalun membelah siang yang semakin tipis. Siang sudah semakin lanjut dan jauh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience