Cetera Yang Pertama 9 - CUMA SATU JADI PUJAAN

Adventure Series 1713

MATAHARI pagi semakin pijar menebarkan cahaya menembusi awan yang bergerak lesu di tabir langit. Awang Sulong menyelinap di celah banir sebatang pohon beringin yang tegak megah di tebing seberang sungai Lubuk Binjai. Rumpun bertam yang besar melindungi badannya. Itulah tempat yang cukup baik untuk mengendap.
Awang Sulong hanya mengawasi arah depan sahaja. Memandang dengan sepenuh perhatian. Matanya tertumpu pada setiap gerak-geri Dalia yang sedang mencuci kain. Gosok sana, gosok sini. Dalia tidak sedikit pun sedar ada mata sedang merenungnya. Mata Awang Sulong tidak berkelip renungannya, seakan-akan mahu ditelannya saja gadis itu.
Awang Sulong tertunduk- tunduk memastikan Dalia dalam pandangannya ketika dengan tiba-tiba kesepian tempat mengendap itu terusik.
"Apa yang kau buat tu, Awang?" Kedengaran suara dari belakang.
Bayan menyapanya. Anak muda berambut panjang mencecah bahu itu baru berumur dua puluh satu tahun, bertubuh besar dan berkumis tebal rapi.
Bayan diiringi oleh rakan sebayanya bernama Chulan. Dia seorang pemuda yang tinggi lampai, hidung mancung tetapi mempunyai lubang hidung yang besar dan bulu keningnya amat lebat.
Tidak ada sahutan. Awang Sulong mendiamkan diri, seakan-akan dia tidak mendengarkan suara itu. Dan tanya itu tidak berjelas. Dia masih asyik dengan merenungnya. Tidak langsung mengerdip mata.
Sejenak Bayan dan Chulan terdiam memerhatikan Awang Sulong yang sebagai tidak mengendahkan kehadiran mereka.
"Sepatah dua tak menjawab." Mendesis saja suara itu keluar dari mulut Bayan. "Hei, aku tanyalah! Apa yang kau terbongkok-bongkok di situ?" Suara Bayan meninggi.
Awang Sulong menoleh, terus memandang secara sipi. Dia melihat dua susuk tubuh memerhati sahaja kelakuannya. Dia tergamam.
Di kala dia menengok, kedua-dua wajah itu amat dikenali oleh Awang Sulong. "Oh, Bayan. Chulan."
Bayan bertanya lagi, mencari jawapan, "Mengapa kau terbongkok-bongkok, Awang? Apa yang kau lihat tu?"
"Err... err," Awang Sulong tergagap-gagap. Akalnya mati apabila mendengar pertanyaan itu. Dia tak dapat memberi keputusan yang segera mengenai hal itu. Tiba-tiba dia berdiri lalu berpura-pura terenjut-enjut melangkah. Kepalanya yang tunduk sejak sekian lama mulai kembali ke asalnya.
"Tak ada apa-apa. Cuma kaki aku terlanggar akar pokok," jawab Awang Sulong, mencari helah.
Tangannya dengan cermat mengurut-urut pergelangan kaki kanannya.
"Bagaimana kaki kau?" Chulan bertanya.
"Pergelangan kaki aku sakit-sakit tapi ia akan pulih," susul Awang Sulong.
Bayan merasa curiga melihatkan Awang Sulong berkeadaan begitu.
"Eh, ular! Ular!" tiba-tiba laung Bayan, seolah-olah menakutkan Awang Sulong.
"Ular? Mana dia?" soal Awang Sulong terpingga-pingga.
Dalam keadaan kegemparan yang entah apa itu, Bayan melihat Awang Sulong terkocoh-kocoh ke arahnya.
"Mengapa kau melompat-lompat seperti kera kena belacan? Mana ada ular!" sanggah Bayan. Pertanyaan mengejek yang tajam.
"Apa kau bilang? Tak ada ular? Kau ni bikin terperanjat aku sajalah!" desis Awang Sulong, tercenggang. Matanya terkedip-kedip. Dia merasa kurang enak. Sekalong aib telah ditimpakan ke kepalanya.
Bayan hanya melirik.
"Hai, kau janganlah menakut-nakutkan aku. Aku jangan dibuat main, nanti terbalik kampung ini," kata Awang Sulong lagi.
"Marah betul kau, ya? Janganlah marah. Begitu saja, marah?" Bayan semacam memujuk Awang Sulong.
"Bolehkah aku tak marah? Ingat baik-baik, Bayan. Kau jangan memperbodohkan aku lagi!" Awang Sulong memperingatkan.
Pemuda itu tidak menjawab. Tapi sebagai gantinya dia mengangguk.
"Eh, eh. Kau sudah boleh melompat?" tanya Chulan, menyindir dengan lembut. "Bagaimana pula jadi begitu? Apakah kau sudah tidak sakit lagi?"
Wajah Awang Sulong nampak terkedu. Ada tanda-tanda serba-salah dalam matanya.
"Betul. Tadi sakit. Tapi sekarang sudah baik," jawab Awang Sulong mengelak. Suaranya sekelumit resah. Dia menggaru-garu dagunya.
"Aku ingatkan kau mengendap anak dara cuci kain tepi sungai," kata Bayan sambil menjeling.
"Itu pun juga. Hanya menjamu mata," jawab Awang Sulong, merasa telah terperangkap. Seperti anak kecil yang nakal, dia tersenyum sumbing. Dia tidak berupaya untuk mengelakkan diri lagi. Akhirnya dia berterus terang.
"Ke mana kau berdua ni?" tanyanya kemudian.
"Tidak ke mana. Hanya membuang masa," Bayan menjawab. "Mengelecer ke sana ke mari."
"Ha, Awang," Chulan tenung muka Awang Sulong. "Kami dengar kau nak jumpa kami? Ada apa?"
"Aku memang nak jumpa kau berdua," tegas Awang Sulong dengan bersungguh-sungguh. "Tapi baguslah kita dah berjumpa di sini."
Hening seketika. Suasana menjadi sepi.
Awang Sulong memusing kepalanya kiri dan kanan. Matanya memerhati ke sekeliling. Pandangan matanya meruncing tajam ke arah sebuah pondok yang telah didirikan pada simpang empat di tepi sungai itu.
"Mari kita pergi ke pondok. Ada perkara yang nak ku ceritakan," pinta Awang Sulong sambil menuding jari ke pondok itu. Dia terus mendepangkan langkahnya.

SEJURUS tiba, mereka bertiga bersila di atas tikar mengkuang yang terhampar di situ.
"Perbuatan meninjau anak dara cuci kain tepi sungai bukan kerja yang diiktiraf. Anak dara mana kau intai tadi?" Chulan bertanya terus.
"Siapa lagi? Sudah semestinya Dalia. Parasnya cantik, sungguh jelita," Awang Sulong bersahaja mengucapkannya.
"Oh, Dalia anak Pak Malau tu, ya?" soal Bayan. "Kau betul-betul sukakan dia?"
Awang Sulong mengangguk.
"Oh, beruntungnya. Dalia tu memang cantik."
"Lelaki mahukan gadis yang elok citarasanya. Bila aku lihat Dalia, hati terbuka untuk berumah tangga," kata Awang Sulong kepada Bayan.
"Hai, Awang. Nampaknya engkau telah terkena panah asmara?" tanya Chulan penuh semangat, dengan wajah riang.
"Memang betul kata kau. Tak tahu lagi," sahut Awang Sulong dengan penuh yakin. "Itulah gadis yang aku akan habiskan hayat bersama selama-lamanya."
"Apa kau bersungguh kata dengan hal ini?" Bayan cuba menyorot persoalannya.
"Ya, Awang. Benarkah kau kasihkan Dalia?" ujar Chulan pula.
Awang Sulong memandang Bayan dan Chulan.
"Kau berdua tak tahu macam mana rasanya hati kalau sudah kasihkan seorang perempuan," jelasnya dengan nada yang penuh emosi.
Beberapa waktu kemudian dia berpantun, "Burung terkukur, burung merpati. Sama cantik, sama pantas. Dalam telor sedang dinanti. Inikan pula sudah menetas."
Kemudian dia berkata lagi, seolah-olah bercakap seorang diri, "Aku kenal Dalia sejak budak lagi dan selama ini aku mencintainya. Ini hari sudah jadi anak dara. Lahirnya asmara kerana berkawan, menyambut datang dengan perasaan. Siang menjadi ingatan, malam menjadi impian. Bila berjauhan, ibarat pungguk rindukan bulan."
Berbelit-belit ingatan itu melingkari dirinya.
"Bagaimana kau tengok dia?" sampuk Bayan.
Awang Sulong diteruskan lamunan ya yang terloncat-loncat ke masa lampau oleh kalimat Bayan.
"Aku ulang sebut lagi. Orangnya cantik. Tak ubah macam bidadari dan tingkah lakunya pun baik. Aku sangat tertarik dengannya," katanya dengan sungguh. Di matanya, Dalia terlalu sempurna. "Aku akan minta ayah dan mak aku bikin jumpa di rumahnya, risik dan tanya hal Dalia secepat yang boleh. Kalau tidak ini hari, barangkali besok." Dia diam sebentar. Kemudian dia berkata sungguh-sungguh, "Aku telah begitu sedia untuk berkahwin."
Chulan tersenyum ringkas.
"Kenapa kau senyum?" Awang Sulong menghadapkan mukanya ke arah Chulan. Matanya menikam tajam ke dalam mata sahabatnya itu. "Apa yang kelakar sangat?"
"Kenapa pergi begitu jauh sekali? Tak usahlah kau berangan-angan," Chulan menjawabnya, acuh tak acuh. "Dalia tu sebenarnya masih muda. Mentah kata orang. Apalah dia tahu? Dia masih hijau untuk mengetahui hal laki-laki. Dia masih budak. Jadi, sudah tentu saja dia belum berapa sangat pandai menjaga rumah tangga."
"Otak kau ni betul-betul otak udang. Kau memang berfikiran sempit. Perkara umur tidak menjadi ukuran. Itukan tidak menjadi halangan. Kalau dia sudah bersuami, pandailah dia membawa diri," kata Awang Sulong, jengkel. Berusaha untuk meyakinkan Chulan. "Nanti sesudah Dalia menjadi suri rumah tangga, barulah dia tahu bagaimana kewajipan seorang isteri terhadap suaminya dan aku akan bertanggungjawab buruk baiknya. Hitam putih tahulah aku mencorakkannya."
Chulan menarik keraguannya itu ke dalam dadanya. Dia mengiyakan. "Kalau dah begitu kata kau, buatlah apa yang kau punya suka."
Bayan tidak berkata apa-apa. Dia hanya mengangguk-angguk.
Muka Awang Sulong berseri-seri, "Ini bukan sebarang Awang. Ini Awang Sulong. Siapa tak kenal aku? Naib Penghulu. Bakal jadi Penghulu."
"Ewah, anak Tok Penghululah katakan," Bayan cepat memotong dan menceburkan bibir. "Tak mungkin gadis-gadis yang berada di Pulau Sentosa ini yang menolak pinangan kau."
Air muka Awang Sulong memancarkan rasa puas. Hatinya dibungai kegembiraan. Gembira dirinya diyakini. Dia tersenyum sinis.
"Tapi tidakkah terlintas di hati engkau untuk mengikat tali pertunangan dengan Dalia?" Bayan cuba mengusulkan. Sesuatunya harus berjalan dengan berpadanan.
"Ya juga. Betul cakap kau tu," tekan Chulan sinis. "Itu yang sebaik-baiknya, Awang."
"Jangan kau orang runsingkan kepala aku dengan soal itu. Tunang-tunang tak ada pada aku, tahu tak?" bantah Awang Sulong yakin. Dia mempertahankan kehendaknya. Dia sememangnya sudah bertekad.
"Janganlah kau terburu-buru. Bak kata pujangga, takkan lari gunung dikejar," Chulan memerli sambil bergurau. "Kalau dah jodoh, tak ke mana, Awang. Tak payah dijolok lagi, jatuh ke riba bulan di langit."
"Benar perkataan Chulan," sela Bayan. "Kalau sudah jodoh kau, takkan ke mana."
"Memang betul. Cuma yang aku pikirkan adalah kehendak dan kesukaan Dalia. Ini kehidupannya juga. Sudah tentu dia ingin bersuara dalam soal ini," kata Chulan dengan memberanikan diri. "Mahukah dia menjadi isteri kau?"
"Perkara ini kau jangan kuatir kerana ibu bapanya yang menentukan sesuatu walaupun dengan tidak persetujuan Dalia," sahut Awang Sulong. "Pak Malau sudah tentu bersyukur kerana Tok Penghulu menjadi bisannya dan Dalia tentu tak berani melanggar perentah bapanya. Dia akan tunduk pada kata-kata bapanya."
"Sekali pun begitu, kahwin yang tidak terbit dari hati akan menghampakan Dalia," pesan Chulan.
"Aku setuju! Aku lebih suka perasaan saling mengerti itu disemai sebelum berkahwin," sampuk Bayan.
"Soal ini jangan kau berdua susahkan," kata Awang Sulong kepada Bayan dan Chulan. "Aku tahu menguruskannya. Kalau dah kahwin esok, berenggang pun tak mahu."
"Bagaimana halnya dengan Damaq?" tanya Chulan memperingatkan.
Awang Sulong menatap muka Chulan dengan wajah menampakkan kemarahan. Wajah bengis.
"Lagi-lagi otak kau ni macam otak udang. Kau ni suka menarik hawa yang songsang. Abangnya tolak belakang. Aku bukannya hendakkan abangnya, aku hendakkan Dalia! Kau ni bodoh betul!" cetus Awang Sulong dengan suara keras. Terjojol kedua-dua biji matanya.
Chulan tidak membalas walau sepatah perkataan untuk membela dirinya. Dia hanya membungkam saja. Dia tahu Awang Sulong panas baran. Kerana itu didiamkan sahaja tuduhan itu.
Awang Sulong melonggarkan segala kekejangan pada dirinya. Kelonggaran itu membawa sedikit ketenangan.
"Eh, kau orang nak kaya, tak?" pelawanya. Dia seakan berbisik, bagaikan ada rahsia yang hendak disampaikan.
"Eh, eh. Siapa tak nak kaya?" sahut Chulan, segirang-girangnya.
"Buaya manakah yang menolak bangkai?" Bayan meninggikan suaranya.
"Ssshhhttt! Jangan cakap begitu kuat. Nanti kalau didengar orang lain, bukankah itu tak baik?" Awang Sulong mencerlung ke dalam muka kedua orang kawannya.
Dengan harapan yang membunga di dadanya, diperhatikannya muka Bayan lama-lama. Sesudah itu diperhatikannya muka Chulan seketika sebelum bersuara, "Aku akan beri kepada engkau berdua hadiah, sekiranya engkau berdua sanggup menunaikan perentah ku."
"Baiklah, kami bersetuju. Apakah perentahnya?" Bayan bertanya ingin tahu.
"Ya, apa yang kau nak kami buat?" tanya Chulan pula.
"Nanti dulu. Bukan di sini tempatnya. Takut ada yang memerhatikan kita," kata Awang Sulong dengan separuh berbisik. "Nanti kita pula yang nahas dibuatnya."
Awang Sulong merenungi sekitar. Dia seakan mencari sesuatu. Perlahan-lahan, matanya tercenung ke arah sampah-sampah yang ditambat di sepanjang tebing sungai tidak jauh dari sebuah bangsal yang ada beberapa buah sampan di dalamnya.
Seorang lelaki dalam lingkungan umur enam puluhan sedang tekun memperbaiki kebocorannya. Namanya Pak Sagu. Dia mendapat pekerjaan itu kerana kemahiran dan pengalamannya yang jitu tentang sampan.
"Ada lebih baik kau berdua ikut aku ke sampan. Kita mudik ke hilir sungai. Sambil kita mudik nanti, aku boleh terangkan," usul Awang Sulong.
"Ha, iyelah Awang. Itu yang sebaik-baiknya," ujar Bayan.
Mereka melangkah turun tangga pondok, menuju ke bangsal.

BANGSAL itu agak menyendiri di balik rimbun pokok-pokok. Tatkala itu, Pak Sagu masih tekun dengan kerja-kerjanya tanpa menyedari kedatangan mereka.
"Pak Sagu! O Pak Sagu!" tegur Awang Sulong sebaik tiba di bangsal. Langkahnya mati di hadapan Pak Sagu.
Pak Sagu mendongak. Orang tua itu tercengang.
"Oh, kau rupanya Awang?" tanyanya dengan nada kehairanan.
Awang Sulong menatapnya, "Apa kabar Pak Sagu?"
"Kabar baik. Apa hajat ke mari?"
"Tidak. Tidak ada apa-apa. Buat tengok-tengok Pak Sagu saja. Kerja kuat nampak? Banyak sampan bocor?"
"Banyak juga," balas Pak Sagu.
"Cendana cukup?" Awang Sulong beramah.
"Cendana tinggal sikit ni. Bila nak beli?"
"Ha, nantilah. Nanti saya uruskan."
Pak Sagu mengangguk-angguk diam.
"Dah makan?" Chulan seperti tidak perasan melompatkan pertanyaan itu.
"Belum. Awal lagi ni. Kan masih pagi," ujar Pak Sagu. Dia mahu tergelak dengan soalan Chulan.
"Eh, eh. Iya ye," Chulan bersuara perlahan seakan mengaku kesilapan yang dilakukannya. Tiba-tiba dia menekup mukanya dengan kedua-dua belah tangannya.
Dari air mukanya yang berkedut-kedut dan misai putihnya, jelas Pak Sagu tersengih melihatkan Chulan berkeadaan begitu.
Bayan menyepi saja. Dia tidak berkata apa-apa.
"Er, Pak Sagu. Biarlah kami beredar dulu kerana kami tak mahu pekerjaan Pak Sagu terganggu. Kalau ada apa-apa lagi yang tak cukup, Pak Sagu datang sajalah ke rumah saya nanti," Awang Sulong kemudian melangkah pergi.
"Kamu bertiga ni mahu ke mana?" tanya Pak Saku.
Awang Sulong berpaling kepada Pak Sagu, lalu menjelaskan, "Kami bertiga nak mudik ke hilir sungai."
"Untuk apa?"
"Tiada sebab tertentu. Untuk mengambil hawa pagi di tepi pantai."
Sejurus kemudian, Awang Sulong membuka ikatan tali yang menambat sebuah sampan pada sebatang pancang kayu yang berceracak di sisi sungai, di celah-celah pohon bakau. Dayungnya ada di dalam. Tali itu kemudiannya digulung-gulung lalu dicampakkan ya ke lantai depan sampan itu.
Awang Sulong perlahan-lahan melangkah masuk ke dalam sampan itu. Dia duduk di haluan sampan.
Chulan duduk di tengah perut sampan itu.
Bayan mula mendayung sampan yang terumbang-ambing itu meluncur ke sungai.

SAMPAN menjauh ke tengah sungai. Arus agak tenang. Air tak begitu deras.
"Kau orang ada tahu siapa Yatim Mustapha?" Awang Sulong meletakkan soalan.
"Yatim Mustapha?' ulang Bayan sambil kedua-dua tangannya mencecahkan dayung ke permukaan air. Dia menyebut nama itu setelah dinyatakan oleh Awang Sulong. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. "Aku tidak kenal sama dia."
"Yatim Mustapha yang kau katakan?" Chulan segera menyampuk. Dalam kepalanya segera menangkap rupa anak muda itu.
"Saudagar yang baru datang dari Bentan itu? Kenapa? Adakah dia membuat apa-apa yang salah?" Chulan bertanya lagi dengan rasa ingin tahu.
"Aku menghadapi masalah dengan Yatim Mustapha. Dia satu-satunya manusia yang jadi penghalang pada ku. Semalam aku bergaduh dengan anjing kurap itu," Awang Sulong melampiaskan rasa jijiknya. Peristiwa itu bagaikan menghantuinya kembali. "Tiba-tiba saja dia muncul dan aku telah diberi malu di hadapan Dalia. Dalam kata lain, dia cuba cari nama di depan Dalia."
"Ini dahsyat. Ini sudah melewati batas," dengus Chulan. "Nanti dia yang dapat, bukan kau."
"Malu itu tak boleh dipandang ringan," Awang Sulong menarik nafas dalam-dalam. Wajahnya menunjukkan sesuatu yang didendaminya sungguh-sungguh.
"Awang, ini cilaka besar ni," ujar Chulan sambil mencebikkan bibirnya. "Ini adalah satu penghinaan buat kau."
"Sayang, kalau Dalia yang begitu cantik terlepas ke tangan orang lain. Kecundang kalau aku hanya berpeluk tubuh," Awang Sulong meluaskan kebimbangannya.
"Ah, bunga bukannya sekuntum," kata Bayan dengan tiba-tiba. Seolah-olah hendak melemahkan semangat Awang Sulong. "Kalau kau tak dapat bunga yang kau inginkan, pergilah cari di taman yang lain. Di pulau Sentosa ini banyak gadis-gadis asal saja kau berkehendak. Tentu sekali kau boleh dapat seorang."
Awang Sulong merenung muka Bayan.
Sorot matanya dengan mulut yang sedikit herot begitu meresahkan Bayan.
"Ya, betul tetapi tak satu pun lebih cantik dan manis macam Dalia dan sebab bunga bukan sekuntumlah sepatutnya Yatim Mustapha tidak memetik bunga di taman kita!" bentak Awang Sulong, hilang sabar.
Terfana Bayan seketika.
"Betul Awang. Bunga yang sedang mekar di kampung ini, mengapa bagi orang lain petik? Petik sendiri. Begitulah!" Chulan segera menyokong.
"Aku tak sangka Yatim Mustapha sanggup memotong haluan aku," sungut Awang Sulong agak marah, kesal. "Dia mesti terima balasan di atas perbuatannya ini. Aku mesti mengambil pembalasan! Pembalasan! Sebelum rebong menjadi buloh, eloklah dipatah-patahkan!"
Awang Sulong mengemam bibirnya kegeraman, badannya tegang menanggung amarah yang diperam-peram.
Tersentak nafas Bayan dan Chulan buat beberapa saat. Ada sesuatu yang aneh dalam nada suara Awang Sulong, menyebabkan kedua kawannya itu memandangnya secara serentak dengan rasa ingin tahu yang besar. Seakan rasa yang berkecamuk dalam hati orang yang sentiasa dilanda dendam.
"Ha, ini Awanglah! Ini Awang bukan sebarang Awang. Awang Sulong dari pulau Sentosa. Ini bukan sebarang orang. Bagus dalam segala-galanya." Awang Sulong berhenti sebentar, "Tidak ada siapa di kampung ini yang boleh melebihi aku!"
"Benar, Awang. Kau memang pendekar di kampung ini. Yang perlu sekarang ialah tindakan. Tapi apa kau nak buat?" tanya Bayan dengan tak sabar.
"Apa aku nak buat?" Awang Sulong menanya kepada dirinya sendiri, dengan ucapan kasar. Suaranya mati di situ.
Dia mencecahkan tangannya ke air, merasakan dingin air sungai itu. Kemudian dia meludah sekali ke sungai dan melihat Chulan. Kemudian lagi melihat Bayan.
"Langkah mayat aku dulu baru Si Yatim bedebah itu dapat Dalia! Bukan macam kau, pengecut! Kau apa tahu?!" herdik Awang Sulong kepada Bayan dan kata-katanya keras. "Kekasih kau berderet, tapi semua kau tinggalkan. Kau hanya membuat anak dara menderita!"
Amarah menggelodak. Darahnya menyirap ke muka.
Bayan tersentak. Bagai mahu luruh jantungnya akibat terperanjat.
"Aku bukan pengecut. Aku belum sedia untuk tanggung isteri," katanya membela diri.
Sunyi sekejap.
Awang Sulong mengeluh dalam. Kemudian berkata, "Aku rela berputih tulang daripada berputih mata."
Diam. Dia tak meneruskan bicaranya, seolah-olah memikir sesuatu. Dia membatu sejurus.
Tiba-tiba terasa fana, suasana sunyi dan masa seakan-akan terhenti.
Sejurus kemudian, kesunyian persekitaran dipecahi bunyi kecipak-kecipuk dayung yang memukul dada air.
"Sekarang terangkan tempat tinggal Yatim Mustapha. Tunjukkan pada aku," nada suara Awang Sulong mendatar dan lembut sekali. Fikirannya yang kacau tadi kini beransur tenang. Muka Chulan diperhatikannya.
"Kau ni Awang. Dah gaharu, cendana pula. Dah tahu, bertanya pula," sahut Chulan sebagai acuh tidak acuh sahaja. "Bertanya sesudah mengetahui apa yang sebenarnya."
"Aku tak faham cakap kau ni," Awang Sulong tidak puas. Dia bersuara seperti orang yang belum tahu tentang sesuatu. "Cubalah cakap terus terang. Kau ni kalau cakap, belok sana. Belok sini. Gaharulah, cendanalah. Cakap teruslah."
"Tahukah kau di tanah siapa yang Yatim Mustapha duduk sekarang ini?" tanya Chulan dengan nada keraguan.
"Aku tak tahu, itu pasal aku tanya kau!" tegas Awang Sulong dengan geram untuk mendapat kepastian lanjut daripada Chulan.
"Aku pun tak tahu perkara itu," bisik Bayan.
"Dia menumpang tanah ayah kau," jelas Chulan.
"Oh, begitu. Sekarang barulah aku tahu," Awang Sulong mulai faham. Bibirnya diketapkan.
Awang Sulong terdiam. Bayan dan Chulan membisu.
Hening seketika. Kesunyian terasa menyelinap ke hati.
"Sekarang kau oranglah yang aku harap menghilangkan arang yang terconteng di muka aku," tiba-tiba meletus suara daripada Awang Sulong. Muka Bayan dan Chulan diperhatikannya dengan pandangan yang mencabar.
Bayan dan Chulan terus membisu, seolah-olah menunggu sesuatu isyarat.
"Aku mahu kau orang bawa orang-orang kita. Binasakan rumahnya. Pendeknya, sekiranya besi, sudah hancur. Kiranya batu, sudah lumat." Suara Awang Sulong bergetar menahan geram.
Mereka pandang memandang dengan penuh persetujuan.
"Jadi, kita ada persetujuan?" tanya Awang Sulong mendesak.
"Itu tidak boleh dipersoalkan," terdengar jawapan Bayan.
Awang Sulong tersenyum senang. Tiba-tiba seri parasnya lenyap. Kemudian berkata keras, berisi kebimbangan, "Tapi ingat, jangan sampai orang-orang kampung nampak, tahu?"
"Kalau begitu, senang saja. Kami akan memotong jalan hutan sebab rumah itu jauh dari kampung dan dekat pula dengan hutan," jelas Bayan.
Awang Sulong berasa sukacita tidak terperi.
"Tapi jangan lupa. Pakai pakaian hitam. Tutup muka, jangan sampai dikenali. Mengerti?" katanya kemudian.
"Baiklah, Awang. Kalau begitu cadangan kau, kami akan menyiapkan segala-galanya," jawab Chulan memberi harapan kepada Awang Sulong.
"Kalau terpaksa, apabila kau orang jumpa Yatim Mustapha, habiskan. Jangan bertangguh-tangguh lagi. Apabila dia sudah mampus kelak, humbankan bangkai bedebah itu ke tengah laut. Kalau ada orang membela Yatim Mustapha, hapuskan dia!" Awang Sulong memerentah. Diam seketika.
Suasana hening seketika.
Tiba-tiba Chulan bertanya, "Bila kita nak buat apa yang kita rancangkan ini?"
"Ya, bila masanya kami bertindak?" tanya Bayan pula dengan tak sabar.
"Eloklah pekerjaan ini kau orang mulakan besok hari," ujar Awang Sulong dengan tajam. "Tapi berhati-hati. Jangan sampai dikenali orang dan jangan sebut nama aku sama sekali. Nanti aku dikaitkan orang."
"Baik, Awang," jawab Bayan, pendek saja.
"Kalau sudah selesai, beritahu aku apa kesudahannya," Awang Sulong menegaskan. "Aku mahu tahu hal ini dengan segera."
"Baiklah. Segala-galanya kau serahkan pada kami," sambut Chulan. "Tahulah kami membuatnya."
Awang Sulong angguk. Kemudian meledakkan suaranya, "Dan seperkara lagi. Ini adalah rahsia di antara kita. Jangan dibocorkan rahsia ini. Biar terburai di perut, jangan bocor di mulut." Mukanya berkerut kejam. "Jangan sampai seorang pun membocorkan rahsia ini. Sebab, tiap-tiap manusia yang tahu akan rahsia ku, terpaksa ku bunuh saja supaya rahsia ku ini tidak terbuka."
Berderai darah Bayan dan Chulan. Kata-kata Awang Sulong seakan-akan panah yang.menembusi jantung.
"Bayan, apa jawapan kau?" Awang Sulong menguji pengikutnya itu.
"Tidak sedikit pun terlintas di hati aku mengkhianati kau. Apatah lagi membuka rahsia," sahut Bayan. "Aku sanggup mati untuk merahsiakannya."
"Ha, bagaimana pula kau, Chulan?" Awang Sulong memandang jauh ke dalam mata Chulan.
"Aku orang yang paling setia dengan ketua. Aku tetap dengan rahsia yang ada," jawab Chulan.
"Takkanlah kami nak membuka pekong di dada," sampuk Bayan. "Jika perkara ini diketahui oleh ayah kau, tentu sekali dia halau kami dari kampung ini. Ha, pandai makan, pandai-pandailah kita simpan."
"Ya, gunong biar sama kita daki. Kalau lurah juga, biar sama kita turuni," tambah Chulan. "Kita mati bersama rahsia kita."
"Bagus, bagus. Aku percayakan yang kau berdua boleh menjalankannya. Tetapi pastikan tak ada kesilapan," ujar Awang Sulong dengan bangga.
"Ah, jangan kuatir tentang perkara itu. Kami akan lakukan bersungguh-sungguh. Tidak ada ruang untuk kesilapan," kata Bayan dengan tenang. Dia menatap ke dalam mata Awang Sulong. "Tapi apa habuan untuk kami?"
Awang Sulong membetulkan letak duduknya.
Kemudian Bayan dan Chulan melihat Awang Sulong mengeluarkan segumpal wang Perak dari dalam saku seluarnya.
"Ini wang perak untuk kau berdua. Ambil ini!" Awang Sulong melemparkan dua keping Perak kepada Bayan.
Tanpa bersuara, Bayan mengangguk dan tangannya menyambut wang itu. Dia tersenyum.
"Hah! Terima kau punya bahagian!" Dihulurkan perak itu kepada Chulan.
Seketika itu juga wang perak itu bertukar tangan.
Chulan menyeringai.
"Itu sudah memadai sebagai permulaan. Aku beri lagi bila kerja kau berdua sudah selesai," kata Awang Sulong sambil menatap Bayan dan Chulan.
"Terima kasih, Awang. Tapi... " perkataan Chulan putus.
"Tapi apa Chulan? Hah?" potong Awang Sulong dengan agak keras.
"Tapi Awang, kadang-kadang hati ku bertanya dari mana dan macam mana yang kau perolehi petak-petak sebanyak itu?" tanya Chulan hairan. Memang tidak siapa yang tahu pasti.
"Untuk masa ini, itu rahsia aku," sahut Awang Sulong.
"Janganlah berahsia, Awang," ujar Chulan bersooan-sopan.
"Aku tak akan menceritakannya, tapi lebih daripada ini aku akan beri jika kau berdua ikut aku ke pulau Banang," Awang Sulong berkata.
"Ke pulau Banang?" tanya Chulan, terkejut. "Aku memang ingin teroka pulau itu tapi kabarnya puakalah di pulau itu."
Bayan memandang Chulan. Berkata serius, "Betul tu Chulan. Pulau itu memang berpuaka. Kadang-kadang nampak orang-orang terbakar bergulung-gulung naik ke awan. Kuat betul puaka di situ."
Kepada Bayan, Awang Sulong berkata, "Kau mengarutlah, Bayan. Jangan kau nak mengolok-olokkan aku dengan cerita yang temberang."
"Aku bukan berolok-olok, Awang. Ini memang betul. Penduduk kampung mana mahu jalan situ lagi dan pulau itu tidak sesuai untuk didiami," tambah Bayan. "Telah banyak orang mencubanya!"
"Mereka telah mencuba dan gagal?" tanya Awang Sulong kaget.
"Mereka telah mencuba dan telah mati selepas itu," jawab Bayan murung.
"Ya, itu betul Awang." Suara Chulan cemas. "Pulau itu pun sudah dijadikan kawasan larangan oleh Penghulu Awang Lekiu. Dia tak benarkan sesiapapun mendarat."
"Masalahnya, mereka tak balik-balik," Bayan memotong. "Orang yang pergi ke sana tidak datang balik."
Bulu roma Chulan tiba-tiba meremang. Kedut dan kerut kebimbangan menghiasi wajahnya.
"Ah, kau berdua percaya benda-benda tahyul! Apa yang ditakutkan selagi aku bersama kau berdua?" bantah Awang Sulong, tak peduli. "Kemewahan dan kebahagiaan sedang menunggu di pulau Banang. Urusan yang lain, aku yang menanggungjawabnya. Bererti terjamin keselamatan engkau berdua. Tak usahlah disusahkan semua itu."
Bayan mengerti, Chulan pun mengerti.
"Kami faham," kata Chulan lunak. "Kalau kau senang, kami pun senang juga."
"Segala kemurahan hati dan kebaikan kau, telah banyak kami terima," ujar Bayan.
Dua biji mata Awang Sulong tenggelam ke dalam mata Bayan yang juga memandangnya. "Bayan, inilah satu peluang yang keemasan untuk kau. Nak ikut atau tidak?"
Bayan cepat-cepat menjawabnya, "Ya, aku ikut. Aku ikut."
"Aku pun ikut juga," Chulan menganggukkan kepala pada Awang Sulong, sepakat.
"Jadi semua setuju?" tanya Awang Sulong bermanis-manis.
"Ya," jawab Bayan dan Chulan, patuh.
"Aku gembira kau berdua setuju ikut," kata Awang Sulong gembira.
"Bila kau nak berangkat ke pulau Banang? Hari ini? Besok? Lusa?" tanya Bayan.
"Nanti aku kasi tahu," jawab Awang Sulong hati-hati. "Aku sudah atur segala-galanya dan di sana nanti aku boleh tunjukkan kau berdua keheranan yang belum pernah kau berdua melihatnya," Awang Sulong menghela nafas. "Lubang neraka."
Bayan dan Chulan berpandangan sesama sendiri.
"Lubang neraka?" soal Chulan penuh kekagetan dan kehairanan.
Bayan mendongak ke langit. Di langit tidak terlihat secalit awan pun. Langit begitu biru dan bening. Bagai bersatu dengan biru laut di hadapannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience