Cetera Yang Pertama 1 - LIKU-LIKU CURAM

Adventure Series 1713

TEMPAT itu diberi nama Bukit Seroja dan terletak di tepi laut. Di atasnya terletak runtuhan binaan candi yang dipenuhi batu-batu yang kelihatan kaku dan dingin. Di kelilingnya dipagari oleh semak-semak yang tebal. Pokok kelapa yang berdaun lebat memenuhi kawasan semak itu. Suasana persekitaran daerah perbukitan itu suatu panorama yang tenang.
Seorang sederhana tingginya, bersosok sasa dan bertampang orang penting dengan megah berdiri di tepi tebing candi yang maha tinggi dan mempunyai selekoh menggerunkan. Dia berdiri tegak di atas timbunan runtuhan batu candi. Berdiri tetap di tempatnya seperti terpancang di situ, tidak ingin berganjak dari tempatnya. Dengan busar yang tercekak di tangannya dan tempat anak panah tergalas di paha kirinya.
Matanya liar memandang ke laut yang membiru, melihat kapal perangnya, Gelora Sakti berlabuh dengan tenang. Bendera Perlak melambai di atas tiang bendera dan layarnya sebesar awan apabila angin bertiup. Laksamana Megat Komeng menunggunya di sana.
Tiupan angin dingin menyambar tubuhnya. Dengan tangan satunya yang bebas, dia mengambil anak panah. Dia menarik tali busur. Ketika didengarnya desiran daun-daun kelapa yang seakan berbisik dihembus angin, tiba-tiba saja dia menoleh ke belakang. Lalu melayangkan anak panah kepada sasaran. Siupp!
Anak panah itu meluncur laju ke arah pokok kelapa bercabang tiga yang tinggi mengalah di belakangnya. Mata anak panah yang pernah menebuk tubuh pertualang itu tepat menikam cabang tengah batang kelapa itu. Lekat terpacak dan bergegar seperti kayu pancang di tengah arus.
Pemanah yang berkeupayaan memanah dalam keadaan membelakangkan sasaran itu tersenyum puas sambil mendongak memandang daun-daun kelapa yang merimbun di atas batangnya yang tinggi menjulang. Lebat buahnya. Dia merasa sudah sempurna mempamerkan kehebatan bermain-main panah dengan memanah dari jarak dua puluh langkah itu.
"Wah, wah, wah, wah, waahhh... Tidak sia-sia Datuk belajar dengan Laksamana Megat Komeng. Pandai Datuk memanah. Hamba belum pernah melihat kepandaian begini!" satu suara menyapa dari sisi kanannya.
Orangnya seorang lelaki yang menamakan dirinya Gegala dan berumur pertengahan tiga puluhan. Bermuka bundar yang tercukur licin, berbadan gempal dan senyumannya menyenangkan.
Si pemanah yang tidak menyedari kedatangan Gegala itu, membalikkan badannya. Menoleh ke arah suara itu. Dia mengenal suara itu. Tanpa kata, dia mendatangi Gegala.
Dia adalah Datuk Perwira Jelatang, penghulu segala perwira kerajaan Perlak. Kumisnya dicukur rapi. Berumur antara dua puluh lima sampai tiga puluh tahun. Jejaka yang penuh nafsu dan tidak merahsiakan kesenangannya terhadap para isteri orang yang masih muda ini benar-benar orang penting. Namanya saja sudah menggerunkan dan kedatangannya sudah cukup untuk menaikkan martabat orang yang akan ditemuinya sebagai kaca diikat pada cincin emas.
"Hamba sungguh berbesar hati di atas kedatangan Datuk ke tempat rahsia ini dan terima kasih kerana luangkan masa jumpa hamba. Terima kasih kerana sudi hadir. Sebenarnya hamba sudah lama tak ke mari. Tiada tempat seselamat ini. Tempat hamba bersuka-suka di masa kecil. Sudah lamakah Datuk menunggu?" Gegala bertanya bersungguh-sungguh.
"Ya, aku menunggu sudah lama, ingin sungguh mendengar berita. Aku tak mahu masa ku terbuang percuma. Apa khabar yang kau bawa?" sahut Jelatang dengan mendesak sambil berpeluk tubuh. Dia merenung ke muka Gegala dengan pandangan harap.
Lunak, Gegala menjawab, "Hamba minta maaf buat Datuk menunggu."
Jelatang melihat ke mukanya dengan tenang.
"Hamba datang membawa kabar gembira untuk Datuk. Ada perkara rahsia yang hamba hendak maklumkan pada Datuk." Gegala berhenti bersuara dan menunggu sejenak. Suasana menjadi hening. Waktu seakan terhenti.
Ketidaksabaran Jelatang menanjak. Dia melangkah mendekati Gegala. "Jangan buang masa. Apakah rahsia di sebalik pengetahuan aku itu?"
Gegala meneruskan. "Hamba ada mendapat khabar, Lela Sari akan berangkat ke Pulau Puaka tidak lama lagi."
"Kenapa?" Jelatang menanyakan.
"Hanya Lela Sari yang tahu. Tapi bisik-bisik di Kampung Cengkih mengatakan Lela Sari menyebut-nyebut Tok Gurunya. Hamba dengar Lela Sari sebut nama dia Pendekar Adi Putera. Mungkin mereka telah mengatur satu urusan," kata Gegala mantap.
"Pendekar Adi Putera?" pertanyaan yang segera dari Jelatang. Nama itu pernah didengarnya. Dia sejenak tercenung. "Aku dah banyak mendengar kegagahannya. Dia masih hidup lagi? Kata dah mati. Mati ditikam orang dan pembunuhnya tidak diketahui. Kau agak macam mana?"
Gegala mengangkat pundak seperti orang yang merasa kalah. Melihat muka Jelatang. Mereka saling berpandangan satu sama lain.
"Ya, agaknya. Entahlah. Sukar untuk dipastikan," katanya dengan terus terang.
Jelatang menarik nafas, tercenung sejenak memandangi Gegala. Suasana menjadi sunyi seketika. Dan setelah beberapa saat, dia bertanya, "Adakah apa-apa lagi yang hendak diberitahu kan?"
"Pada masa yang akan ditetapkan, Lela Sari akan bersiap melanggar kota Perlak apabila bantuan Adi Putera datang," kata Gegala seterusnya.
"Apa benar perkataan kau ini?" tanya Jelatang hampir tak percaya.
"Hamba bersumpah demi Tuhan semesta alam. Semuanya benar belaka, Datuk," Gegala berkata. Air mukanya bersungguh-sungguh. Keyakinannya itu begitu mendalam. "Percayalah cakap hamba. Nyawa hambalah galang gantinya, Datuk."
Jelatang tidak sabar. Mendadak, dia menghadapi Gegala dengan suatu pertanyaan yang baru, "Bila agaknya maksud Lela Sari nak berangkat ke Pulau Puaka itu, Gegala?"
"Itu sukar untuk dikatakan kerana tak dapat hamba memastikannya," jawab Gegala dengan perlahan, agak menyesal. "Hanya bergantung kepada Lela Sari sahaja. Sebab perkara ini bukan boleh hendak diputuskan dengan begitu sahaja. Tetapi ia akan berlaku tak lama lagi. Dalam sedikit masa."
Jelatang mencerlung ke dalam mata Gegala. "Tidak jadi apa. Itu dah cukup baik buat aku. Ada apa-apa lagi kau nak beritahu aku?"
Gegala menggoyangkan kepalanya. "Setakat itu saja maklumat yang dapat hamba dengar, Datuk."
Jelatang berkata dengan tangkas, "Kalau begitu, ha, ini kurnia aku untuk kau seperti mana yang dijanjikan sebagai penghargaan aku. Ambil!"
Jelatang melemparkan satu uncang ke arah Gegala. Dia sedar apa sebenarnya kemahuan Gegala. Koin-koin perak di dalamnya pasti akan menarik perhatian Gegala.
Gegala menghulurkan tangannya ke depan. Kedua-dua belah tangannya. Berusaha menangkap uncang itu.
"Terima kasih banyak-banyak, Datuk. Moga-moga Tuhan limpahkan rahmat kepada Datuk agar bertambah mulia di dunia ini," katanya kemudian dengan penuh perasaan sambil mengintip ke dalam uncang. Berseri mukanya. Dia melihat sesuatu yang sangat diidamkannya. Untuk benda itu, orang tidak segan-segan menjual jiwanya, kehormatannya, sukmanya
Jelatang mengangkat alis. "Cukup?"
"Ah, cukup. Dengan ini hamba akan dapat buat apa saja hamba hajati. Makanan yang lazat-lazat, pakaian yang baru-baru dan perhiasan rumah yang cantik-cantik. Akan hamba jadikan persembahan yang istimewa untuk isteri hamba, Delima."
"Itu yang semolek-moleknya. Belikan apa saja yang kau fikirkan baik. Aku harap perjodohan kau dengan Delima akan mendatangkan kebahagiaan."
"Kebahagiaan hidup dan kesenangan serta kemakmuran hamba ini tak akan hamba dapati jikalau tidak ada kedamaian hidup bersama isteri hamba." Lembut kata-kata yang keluar dari bibir Gegala.
"Aku ingin berpesan pada mu. Perkahwinan adalah satu perbuatan yang suci. Bagi menjaga kesucian itu supaya jangan sampai ternoda, haruslah suami dan isteri itu bersefahaman," pesan Jelatang kepada Gegala.
"Terima kasih, Datuk. Hamba merasa senang Datuk sudi mengajar dan mengatur agar perkahwinan hamba berjaya. Hamba akan menjalankan segala pesan Datuk terhadap hamba."
"Syukur kalau begitu."
"Err... Datuk, maafkan hamba Datuk. Isteri hamba dah pesan suruh balik lekas hari ini. Lambat balik, ditariknya muka panjang. Hati hamba pun tidak sabar menahan gelora asmara. Biarlah hamba balik dulu, Datuk."
"Tunggu dulu. Oleh sebab perkara ini sangat penting dan tanggungjawab itu adalah sebahagian daripada kewajipan kau juga, jangan sampai Lela Sari tahu dalam hal ini. Dari itu, ku pinta pada mu, Gegala. Ini kekal rahsia di antara kita berdua. Kau harus berhati-hati dan berjaga-jaga. Kalaulah ada orang nampak kita berdua, tentulah panjang ceritanya."
"Ya, hamba faham. Tapi Datuk janganlah gusarkan sangat tentang perkara ini," desis Gegala, keangkuhan. Lalu dia menyusun kata-kata dengan lunak, "Hamba bergerak secara sulit. Lela Sari tidak mengetahui hamba berada di sini. Kalau kita pandai menyimpan rahsia, takkanlah Lela Sari tahu."
"Ya, bagus," ujar Jelatang perlahan sahaja.
"Baiklah, urusan antara kita dah selesai. Hamba minta diri dulu. Isteri hamba tentu bimbangkan hamba, Datuk."
Gegala lalu berpaling pergi, bermaksud meninggalkan tempat itu. Tetapi Jelatang menghulurkan tangan mencegahnya dan memegang bahu Gegala.
"Eh, nanti dulu. Jangan terburu nafsu. Aku mahu tunjukkan satu perkara yang sangat heran kepada kau," Jelatang menuntut.
Gegala lalu memandang kepada Jelatang. "Hamba bersedia menurut segala perentah Datuk dengan tidak membantah."
Jelatang membunyikan bibir. Bersiul panjang.
Tepat pada saat itu, mereka melihat seorang pemuda berjalan di antara semak-semak, mendekat. Melangkah terhuyung-huyung kerana beratnya rantai di kakinya. Dahi kanannya ada bekas luka. Darahnya mengering.
Di belakangnya, muncul sekelompok prajurit kerajaan Perlak. Kira-kira enam orang dengan seragamnya yang gemerlapan. Mereka semua bersenjata lengkap - keris, sundang dan tombak.
Gegala terperanjat dan memandang keheranan. Mereka tidak dikenali olehnya. Ketika dia tiba di Bukit Seroja, dia tidak melihat ada orang lain bersama Jelatang di situ. Tangannya secara reflek memegang hulu kerisnya. Dadanya diterap debaran. Dia kelihatan waspada.
"Jangan takut dan jangan kau curiga hati. Biarkan askar-askar itu ke mari," Jelatang menegahi dengan suara mantap. "Aku berjanji mereka tidak mengapakan kau. Dari itu, tenangkanlah hati mu. Hilangkan kebimbangan hati mu."
Gegala mengangguk. Suara Jelatang separuh berbisik ke telinganya. Kebimbangan perasaannya segera menurun.
Pemuda yang bernasib malang memilih menunduk melihat ke bawah, mungkin menenangkan dirinya. Dia merasa seperti seorang yang ditangguhkan dari hukuman mati, menunggu dicabut nyawanya. Kecuali itu keadaannya juga tidak mengizinkan untuk bisa mengangkat kepalanya, sebab kedua tangannya diikat pada sebatang buloh sebesar lengan orang dewasa sepanjang tiga depa yang diletakkan di belakang tengkuknya.
Jelatang menyepi. Juga Gegala. Mereka semua terdiam. Lama tak ada yang bersuara. Seketika kesunyian mencengkam.
Jelatang melihat ke kelompok perajurit itu sambil tersenyum sinis.
Salah seorang daripada mereka datang mendekatinya.
"Datuk, hamba Datuk semua telah berjaya dapat menangkap seorang pengintip di dalam semak di atas bukit dan bawa dia ke mari sebagai orang tawanan. Tetapi kawannya dapat melepaskan diri," kata lelaki itu kepada Jelatang dalam kesepian yang tiba-tiba terjadi. "Hamba telah kerahkan beberapa orang untuk mencari jejak dan menangkap si bedebah itu. Semoga pekerjaan mereka berhasil."
"Terima kasih banyak atas jasa kamu semua yang sangat-sangat besar itu," kata Jelatang dengan sekuntum senyum. Kejayaan mereka, mengunungkan kebanggaannya. "Kamu semua sungguh pahlawan."
"Datuklah panglima berdarah pahlawan," orang di dekat Jelatang itu berkata. Bagok, begitulah namanya.
"Datuk pendekar handalan. Datuklah sebenar-benarnya pahlawan. Arif dan bijaksana," salah seorang dari kelompok perajurit itu berkata. Dia Bolong, seorang lelaki bertubuh besar dan berdada bidang.
Jelatang menatap kepada Gegala.
"Gegala, aku perkenalkan ini Datuk Pengawal Bagok. Ketua dari segala para pengawal, " Jelatang menjelaskan walaupun Gegala tidak menanyakannya.
Gegala mengangkat kepala dan memandangnya.
Bagok seorang pemuda yang berbadan kurus dan berkumis serta dahinya lebar. Dia sudah bekerja pada kerajaan Perlak selama sebelas tahun. Berjaya menimba banyak pengalaman dan menempuh banyak perubahan. Dan pernah pula suatu masa dia menjadi pengawal tubuh Sultan.
Jelatang kemudian menunjukkan tangannya ke arah sang tawanan. Lalu dia melirik Gegala. Dia berkata, "Kau perlu menjawab dengan jujur. Kau kenal dia?"
Gegala cuba mengingat-ingat. Kemudian menggeleng-gelengkan kepalanya dengan mantap dan menaikkan bahunya sedikit. Suatu penolakan. "Tak kenal, Datuk."
"Kau tahu siapa dia?" tanya Jelatang lagi.
"Dia siapa Datuk?" suara Gegala penuh minat. Dia melihat ke arah mulut Jelatang yang memuncung. "Kenapa dia dalam berkeadaan ini dan apa kena mengena dengan hamba?"
"Ada sebab maka dia ada di sini," Jelatang berkata sambil menyorot ke arah Bagok. "Bagok, beritahu Gegala segala apa yang telah terjadi."
Bagok mengangguk. Dia memutar menghadapi Gegala. Dengan mata yang memancarkan banyak pengalaman, Bagok berkata, "Dia kata namanya Darwis. Dialah peninjau dari pihak Lela Sari. Dia datang senyap sunyi. Datang dengan maksud nak mengintai kau."
"Oh, rupanya kau datang nak mengintai aku, ya? Oh, itu salah besar. Salah besar. Kau harus menerima hukuman," ujar Gegala gelisah. Dia menatap Jelatang. Kemudian dia berkata cepat, "Datuk, hukumlah si bedebah itu dengan seberat-berat hukuman!"
"Jangan terlalu mengikut hati, Gegala," ujar Jelatang. "Darwis tak boleh disalahkan dalam perkara ini. Yang bersalah ialah kau!"
"Orang yang buat jasa tiba-tiba Datuk kata salah?" Gegala terperanjat. Dia cuba melindungi kecuaiannya dan cuba menyembunyikan perasaannya yang mula memperlihatkan wajahnya yang berlainan. Namun dia cuba melarikan kelalaiannya yang mungkin dapat diteka oleh Jelatang.
"Gegala. Sekarang kau tidak boleh balik lagi ke Kampung Cengkih. Lela Sari curiga terhadap kau. Kau sedang diawasi dan disyaki," Jelatang menegaskan. "Kesal, aku merasa sungguh kesal."
Gegala tidak berkata apa-apa.
"Gegala!" seru Darwis dengan tidak semena-mena. Dia bersuara seperti mengancam. Kasar katanya yang keluar. Kemudian diangkatnya kepalanya.
Pemberi maklumat itu memandangnya dengan penuh perhatian. Suara itu menusuk masuk ke dalam gendang-gendang telinganya.
Dengan pedas kata-kata Darwis meletup, "Aku sangka kau pembela bangsa. Rupanya dalam diam-diam, engkaulah talam dua muka. Seolah-olah serigala berkulit kambing. Kau pakat dengan Datuk Perwira Jelatang. Begitu bukan pembela namanya. Kau telah mengkhianati amanat yang telah diserahkan kepada kau! Kalau aku tak terikat, aku akan ajar kau! Tetapi kau tak kan terlepas dengan semua ini. Lela Sari sudah tahu kau siapa, Gegala. Pengkhianat tidak boleh diberi muka. Aku harap kau mampus dibunuhnya!"
Gegala tidak bercakap sepatah pun. Itu persoalan yang tidak ingin dibicarakan olehnya. Dia tak mempedulikan pendapat Darwis itu.
Jelatang berdiri di depan Darwis. Lalu suatu gagasan baru menyita fikirannya. Dia punya usul untuk Darwis.
"Sesuatu baru saja muncul dalam fikiran aku," Jelatang berkata dengan lembut, berhenti sebentar. Dia meneliti muka Darwis lebih teliti. "Belum sampai masanya aku nak membinasakan kau. Aku sebagai wakil Datuk Laksamana, sangat bermurah hati untuk membebaskan kau tapi dengan syarat. Engkau hendaklah mencari hari penetapan Lela Sari akan ke Pulau Puaka. Balik, beritahu aku dan kau akan ku beri hadiah yang besar."
Jelatang memerlukan Darwis sebagai sekutu melawan Lela Sari. Darwis akan dimanfaatkan sepenuhnya.
Darwis memprotes, "Berpaling tadah? Datuk ingat hamba macam Gegala? Sanggup menjual jiwa hamba?"
"Aku tak suka sindiran itu!" Gegala membantah. Dadanya ditebali kejengkelan. Dia menelan kata-kata Darwis itu dengan pahit. Seolah-olah mengejeknya. "Bukan main lagi mulut kau, ya?"
"Ha, sudah! Kau diamlah!" seru Jelatang kepada Gegala. Suaranya lantang sekali, seperti orang bertengkar dan ketika dia berpaling kepada Darwis, matanya tajam mengeras. "Sekarang bagaimana pilihan kau? Apa kata mu, Darwis?"
Darwis dengan sikap beraninya menerpa ke muka. Berkata:
"Tidak Datuk, tidak! Hamba laki-laki, Datuk! Bukannya bacul! Hamba lebih megah menjadi laki-laki daripada menjadi bacul! Hamba lebih rela mati serupa ini daripada berbakti kepada Datuk!"
"Darwis, tak usah kau mengazabkan diri kau," Jelatang menegaskan dengan perasaan agak geram. Dia berhenti sebentar. "Lebih baik kau menurut dan menjadi pemberi maklumat aku. Kalau kau tidak mahu juga menurut, aku bunuh kau dengan tangan aku sendiri."
"Tidak, Datuk. Hamba tidak akan menukar fikiran hamba. Tiap-tiap pembaharuan mengkehendaki pengorbanan. Bermaknalah tulang hamba akan jadi baja di bumi Bukit Seroja ini," kata Darwis dengan bersemangat. Kata-kata itu meluncur dengan nada yang geram.
Datuk Perwira bersuara gemuruh. "Orang yang semacam kau tak harus hidup. Kalau mengikut undang-undang negeri, kau harus dihukum!"
"Hukumlah hamba, Datuk. Hukuman apa saja yang Datuk jatuhkan pada hamba, hamba sedia menerimanya! Jalankanlah!" Darwis terus meneguhkan pendiriannya.
"Hukuman mati memang wajar untuk mu, Darwis. Tetapi aku tidak mahu membunuh engkau Darwis. Sekali lagi aku katakan, aku sedia membebaskan engkau... asal saja kau mahu beradu tenaga dengan dua pahlawan Perlak. Kalau kau dapat menewaskan kedua-dua pahlawan itu, maka kau akan dibebaskan. Jikalau tidak... " Jelatang ketawa seketika, kemudian menatap muka Darwis dengan tajam. "Bagaimana?"
Darwis termenung. Untuk menyambung tali penghidupannya yang terputus itu, dia terpaksa berhadapan dengan dua lawan dalam masa yang sama. Kemudian dia mengangguk, mengiyakan apa yang disarankan Jelatang.
Jelatang berpaling kepada Bagok, mengeraskan suaranya dan berteriak, "Bagok! Bawa Darwis ke sebelah sana. Lepas itu lepaskan ikatan tangannya dan buka rantai kakinya!"
Tangannya menunjuk ke suatu ruang terbuka. Tanahnya yang berumput mudah dijalani.
"Baik, Datuk!" Lawan bicara Jelatang tampak mengangguk dan mematuhi perentah itu tanpa membantah.
Mereka mara sepuluh langkah ke hadapan. Kemudian berhenti. Sesaat sunyi senyap. Bagok melemparkan batang buloh ke tanah, kemudian mundur menjauhi Darwis.
"Kau ambil batang buloh itu," perentah Jelatang kepada Darwis.
Darwis patuh mengangkat batang buloh itu.
"Bagok! Bolong! Aku mahu kau berdua menentang Darwis!" arah Jelatang.
Bagok dan Bolong mengangguk sambil terus memperhatikan wajah Darwis. Serta-merta kedua orang prajurit itu mula membuka langkah mara ke hadapan.
Dengan langkah tetap dan tenang penuh yakin, Bolong tidak menoleh ke mana-mana. Tangan kanannya memegang sebilah keris panjang terhunus.
Bagok dengan tombak di genggam kanan juga menghayun langkah dengan tetap.
Darwis yang menunggu dengan tegak dan bersenjatakan cuma sebatang buloh, memerhati keadaan itu. Kedua-dua tangannya berpegang pada batang buloh kemas-kemas, bersedia menghadapi segala kemungkinan. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan.
Ditenungnya muka Bagok di sebelah kanannya. Muka Bolong juga. Muka mereka kelihatan tenang sambil mengacu-acukan senjata mading- masing.
Perlawanan yang dinanti-nantikan akhirnya bermula di mana Bagok menerpa ke arah Darwis, menghayunkan tombaknya.
Darwis tidak berganjak sedikit pun. Dia turut menghayun bulohnya. Serangan Bagok dapat ditahannya. Dia cuba menolak tombak Bagok ke atas dengan sepenuh tenaga. Ini membuat Bagok mula menghadapi sedikit masalah dan terpaksa mengawal imbangan badannya supaya tidak jatuh ke belakang.
Menyedari Bagok sudah goyah, Darwis menambah lagi tekanan untuk memastikan tombak Bagok dibentunnya ke tanah. Namun tangan Bagok masih berpegang pada tombak itu. Pun begitu, tekanan dari Darwis memaksa Bagok melutut sebelah kaki ke tanah.
Darwis tidak memberikan ruang kepada Bagok untuk memperkukuhkan kedudukannya. Dia melompat ke udara lalu menghadiahkan satu hentakan kaki kanannya tepat ke atas bahu kiri Bagok.
Bagok tersembam ke tanah. Berguling-guling.
Darwis menoleh. Sedikit terkejut, matanya menyaksikan Bolong sudah berada di hadapannya.
Bolong menikam tetapi lawannya itu sempat mengelak dari tikaman kerisnya. Tindakan yang hendak dilakukannya telah dapat dibaca oleh Darwis.
Bolong tidak menunggu lama untuk bertindak kembali. Tindakan pantas mesti dilakukan. Dia terus menerkam ke arah Darwis, cuba menancapkan mata kerisnya ke tubuh lawannya.
Darwis menerima serangan yang bertubi-tubi. Pergerakan-pergerakan Bolong berjaya dipatahkan dengan mudah oleh Darwis secara mengelakkan dirinya. Akhirnya dia dapat kesempatan yang paling sesuai untuk menetak kuat-kuat pada pergelangan tangan Bolong dengan batang bulohnya. Keris Bolong terlepas dari tangannya lalu jatuh ke tanah. Ini diikuti dengan satu tendangan kuat ke muka Bolong.
Bolong tersepuk ke tanah.
Darwis mendengar langkah kaki di belakang dan memutar kepalanya.
Bagok berlari menerkamnya, berteriak dengan kuat sambil mula mengayun batang tombaknya.
Fikiran Darwis terus bekerja. Dia menepis tombak itu dengan pukulan batang bulohnya. Lalu melonjakkan dirinya ke arah Bagok untuk melakukan hentakan lutut ke dada lawannya. Penangan itu ternyata menggoyang-goyangkan Bagok sebentar lalu rebah ke tanah.
Darwis melemparkan pandangan ke arah Bolong pula.
Dengan cekak hulu keris, Bolong melompat maju dan Darwis langsung menusuk hujung bulohnya yang rata ke mukanya. Prajurit Perlak itu berteriak mengaduh dengan rasa sakit yang tidak terperikan.
Bolong terbongkok-bongkok dengan wajahnya berlumuran darah, terkiki-kiki seperti orang ketawa, tetapi air matanya menitik
Semangat Darwis jadi memuncak. Dia segera menghentak kaki kanannya pada belakang Bolong yang tidak berupaya melawan itu.
Bolong terpelanting ke tanah. Dia kelemahan untuk meneruskan perlawanan.
Situasi ini memberi peluang kepada Darwis untuk mengumpulkan kembali staminanya.
Sekarang Darwis berhadapan dengan Bagok. Mata bertentang mata. Cuma mereka berdua saja yang tahu apa yang tersirat di sebalik pertukaran renungan itu.
Bagok cuba memukul Darwis dengan tombaknya.
Darwis sudah dapat membaca pergerakan Bagok. Dia dapat mengelakkan diri dari merasa penangan pukulan yang dilakukan oleh lawannya dengan bertindak balas menggunakan teknik yang sama. Tindakan pantas Darwis berjaya mengekang kayu tombak Bagok dengan kayu bulohnya.
Mereka menguji ketahanan tangan masing-masing. Bertolak-tolak antara satu, agar salah seorang tumbang. Kedua-duanya berkeras tidak mahu mengalah.
Dalam kepayahan, Darwis cuba menolak jauh-jauh dan berupaya menepis tombak itu apabila tenaga Bagok terperah habis sehingga menyebabkan lawannya itu terdorong ke belakang.
Darwis terus melancarkan serangan ke atas lawannya. Taat menuruti kehendak naluri, dia memukul kedua belah belakang lutut Bagok dengan batang bulohnya. Dengan sekali ayun, sepasang kaki Bagok tertekuk lalu melongsor jatuh. Mukanya tersembam di atas muka tanah.
Darwis segera mengalihkan tubuh Bagok yang tersembam itu dengan kakinya.
Hujung batang buloh menekan leher Bagok yang cuba merenggangkannya dengan kedua-dua tangan. Ada pergelutan.
Darwis mencekik lawannya itu dengan sekuat hatinya sambil mengetap bibirnya.
Bagok melawan habis-habisan, terkulat-kulat dan terkial-kial mempertahankan nyawanya.
Siupp!
Muka Darwis menunjukkan rasa sakit.
Anak panah terlekat di belakangnya.
Dia menoleh ke arah Jelatang yang sedang memegang busurnya sejauh huluran tangan.
Semua mengawasi gerak-geri Jelatang dengan penuh perhatian. Mereka mendiamkan diri.
"Cis! Manusia durjana! Tak kan selamat hidup kau!" luah Darwis dengan rasa marahnya.
Siupp! Siupp!
Dua anak panah yang tertusuk di dadanya mengeluarkan darah.
Dia terhoyong-hayang tersepuk ke tanah. Terkejung-kejung bergeliang-geliut mencengkam tanah bagai ada ribut kencang memuting-beliung di segenap pelusuk urat nadi. Kemudian senyap.
Bagok bangun sambil meraba tenggorokannya. Dia menghela nafas. Termengah-mengah. Terkelas kelegaan di wajahnya.
Dia menghampiri Bolong.
"Bolong. Di mananya yang kau sakit, Bolong?" Dia menjeling ke muka lalu ke hidung Bolong yang mengeluarkan darah.
"Hamba tak parah apa-apa," sahut Bolong. "Tak usahlah Datuk bimbangkan."
"Sabarlah, nanti sebentar aku taruh obat," ujar Bagok memberi harapan kepada Bolong.
"Macam mana kau orang berlawan ni? Aku tengok lemah saja. Kalau macam ini kau orang berlawan, kau orang mampus bila berperang, tahu?" herdik Jelatang kepada Bagok dan Bolong. Dia melepaskan geram teramat sangat kepada mereka. Dia menyambung, "Aku sangka padi rupanya lalang. Aku sangka ahli rupanya temberang!"
"Maafkan kami, Datuk," keluh Bagok minta hati.
Jelatang tak puas hati.
"Aku pun hairan, bagaimana kau boleh tangkap si Darwis yang sebegini hebat?" Dia melontar soalan kepada Bagok, menyemat pertanyaan sinis di akhir kata.
"Semasa kami kejar, dia terjatuh. Tak disangka, kerisnya sendiri menikam membawa luka." Dengan berani Bagok berterus-terang pada Datuk Perwira itu.
"Hmmm... tahulah aku punca segala teka-teki ini," ujar Jelatang.
Datuk Perwira itu memusatkan perhatiannya pada Gegala dan menatapnya dengan pandang kosong. Kemudian dia berkata dengan gaya seperti hakim, "Menurut keterangan si jahanam itu, rahsia kau sudah diketahui Lela Sari. Sekarang hidup kau bererti bahaya bagi ku. Dari itu bersedialah kau. Nasib kau telah diputuskan."
Jelatang dengan secara mengejut menerpa ke arahnya. Sepantas itu juga keris tergenggam dalam tangan kanannya. Sesaat kelihatan keris Jelatang memantulkan sinar matahari. Dia jelas seorang yang licik dan jahat.
Gegala merasakan kesakitan yang menyentak. Rabak daging di tubuhnya apabila terkena tusukan mata keris yang telanjang. Bisanya mengalir ke seluruh jasadnya. Darah merah membanjiri keluar.
Dia terbongkok-bongkok menekap tempat lukanya. Menahan rasa sakit itu. Uncangnya jatuh dan kepingan perak berserakan di tanah.
"Adoiii!" Terdengar jeritan Gegala melengking. Dia mendongak dan melihat kepada Jelatang dengan muka keheranan. Dia mendengus jijik.
"Datuk! Sampai hati Datuk! Hamba ingat kita dah sepakat. Rupa-rupanya semua itu adalah tipu belaka! Beginikah cara pahlawan Perlak? Inikah yang dikatakan panglima Melayu? Inikah cara Datuk berkelahi? Boleh buat sesuka hati Datuk?" tanyanya pasti.
Jelatang memandangnya dingin. Dia tidak menyembunyikan rasa tidak senangnya. "Ya, sudah tentu. Memang aku boleh buat apa yang aku suka. Aku ini pahlawan Sultan, aku boleh buat sesuka hati aku."
"Cis, Datuk Perwira! Semangat mu memang semangat panglima tetapi tingkah mu seperti pengkhianat. Datuk memang tak layak jadi panglima! Susu yang diberi, tuba yang Datuk balas!" kata Gegala terbata-bata. Suara yang tertahan-tahan dan penuh penyesalan. Benarlah, kuasa tidak mengenal batas dan sempadan. "Memang Datuk seperti kacang lupakan kulit!"
Jelatang memberinya senyuman yang paling manis seraya berseru, "Inilah yang dikata orang berbudi, kita berbahasa. Orang memberi, kita merasa. Rasalah kau! Ha, ha, ha!"
Jelatang menggumamkan ketawanya yang tangkas.
"Jangan Datuk terlalu bongkak. Ingat, setiap orang ada kekurangannya. Tiap-tiap yang di atas itu, satu masa dia ke bawah juga!" Gegala merungutkan sesuatu yang terkilan di dalam hatinya. "Sebijak-bijak tupai melompat akhirnya ke tanah juga."
"Aku kau panggil bongkak? Tak tahu budi bahasa rupanya kau!" suara Jelatang terdengar diliputi kemarahan. Dia merasa dihina. Kesabarannya habis. Hilang ditelan kemarahan yang tidak terkata. "Mampus dengan kau!"
Mata Gegala terbelalak mendengar perkataan yang tak disangka-sangkanya itu. Satu tendangan kencang dilayangkan oleh Jelatang ke dadanya. Dia terhuyung-huyung ke belakang. Terus dia terlempar ke sisi tebing, tangannya menggapai-gapai tidak berdaya - langsung ke jurang dengan pantai batu karang berbahaya bersama deburan ombak besar laut di bawah sana.
Jelatang maju beberapa langkah dan melihat ke bawah, melihat ke jurang. Gegala melayang ke bawah dan lenyap ke dasar jurang. Jelatang menghantarkan dengan matanya saja. Waktu Gegala lenyap, terdengar jeritan lemah dari dasar jurang yang samar-samar. Jelatang puas.
"Gegala, malapetaka telah menimpa atas diri kau. Isteri kau sudah jadi janda," guman Jelatang kemudian. Dia menengadah dengan senyum menggerenyot di bibir. "Sayang Delima, kau sungguh cantik untuk ditinggalkan sendiri."
Seolah-olah tak tahu apa pun juga dan seperti tidak mengerti, salah seorang perajurit yang berdiri di samping Bagok dan Bolong berkata, "Perbuatan Datuk terlalu cela! Kenapa mesti dibunuh Gegala?"
Bernama Dupa, dia memiliki tubuh yang sasa dan pejal. Dari wajah Dupa yang muda terpancar ekspresi kenaifan yang nyata. "Tergamak Datuk membunuh anak saudara Bendahara Mutalib. Datuk tak seharusnya berbuat demikian. Itu keterlaluan."
"Kau kata tak patut?" tanya Jelatang yang sungguh terperanjat dengan kata-kata Dupa itu. Dia berputar penuh. Dengan segera matanya hinggap di atas wajah Dupa. "Hei, siapa engkau? Berani sungguh mengajar aku, ya?"
"Bukan begitu, Datuk. Hamba cuma nak katakan kita perlukan Gegala," tangkainya cepat dan mantap. "Kita perlu ada pemberi maklumat dalam kumpulan Lela Sari."
Semua mata menancap ke arah Dupa. Menenggelamkan mata ke dalam wajahnya. Dupa tidak tahu apa yang telah mendorongnya mengucapkan kata-katanya tadi.
"Aku peduli apa dia mampus? Biar dia mampus!" jerkah Jelatang dengan bengis tanpa memandang Dupa. Dia agak tersentak sedikit. "Kita cuma mahukan maklumat dan kita telah mendapat maklumat yang diperlukan. Segala maksud kita sudah berhasil. Lagi pun kita tak boleh mempunyai pengampu yang bertalam dua muka, bukan?" Dia cuba menanamkan kembali keyakinan Dupa yang telah menurun.
Dupa mengerti. Sememangnya maklumat Gegala itu boleh menentukan banyak perkara.
Sejenak Bagok menatap Dupa. Kemudian dia berbisik, "Apalah kau ni Dupa. Kau bukan tak tahu Datuk tu? Putih katanya putihlah. Hitam katanya, hitamlah. Datuk Perwira tidak akan mengubah segala perkataannya. Ikut sajalah."
"Hamba tahu Datuk Perwira pernah ingin memiliki isteri Gegala tetapi Gegala lebih beruntung dapat berkahwin dengannya. Datuk Perwira sakit hati kerana Gegala berjaya memperisterikan Delima," ujar Dupa dengan suara sangat perlahan. "Dia memang mencari jalan Gegala melanggar peraturannya. Dengan matinya Gegala, bererti putusnya perkahwinan Delima dengan Gegala. Daripada mulanya hamba sudah menyangka yang hal ini mesti terjadi."
Jelatang menyarung kembali kerisnya. "Agaknya Datuk Laksamana tak sabar lagi menunggu mendengar kabar Lela Sari. Mari kita pulang ke kapal dengan seberapa lekas. Mari semua!"
Dengan kata-kata itu, Datuk Perwira Jelatang melangkah pergi.
Diiringi oleh kelompok prajurit Perlak. Kecuali satu orang tidak bergerak. Orang ini ialah Bagok. Dia menunggu sampai semuanya pergi.
Derapan tapak capal askar-askar Perlak itu kian menjauh. Bagok masih tercacak di situ. Sunyi di sekelilingnya. Ketika itu yang tinggal tercegat hanya Bagok.
Koin-koin di tanah menarik perhatian Bagok, seperti menghipnotisnya. Dia berjalan, membongkok dan mulai memungutnya. Kemudian memasukkannya ke dalam uncangnya.
"Rezeki jangan ditolak," bisik Bagok pada dirinya sendiri. Dia terlalu gembira atas keberhasilannya.
Bagok bangun perlahan-lahan. Tiba-tiba dia terasa dirinya diperhatikan orang. Dia terus bergumul dengan perasaannya sendiri.
"Ya, kita semua nak senang dan mahukan kekayaan," sergah suara lembaga yang sudah lama terjojol di belakang Bagok.
Bagok tersentak. Suara itu membuatnya cemas. Dia mengenali suara itu. Jantungnya serasa berhenti berdenyut. Tadi, dia tidak melihat Datuk Perwira Jelatang berada di situ. Tidak. Dia berkata dalam hatinya:
"Bila masa yang Datuk ni tahu-tahu dah tercongok kat belakang, haaa?"
Perlahan-lahan Bagok berpaling menghadapinya. Menghadap betul kepada Jelatang.
Jelatang lebih mendekat dan menghulur tangannya. Dengan hambar dia berkata, "Kau ada sesuatu yang aku dambakan. Bak ke mari."
Telapak tangan atasannya itu seolah-olah mengingatkan Bagok pada sesuatu, lalu uncang itu diperukkan ke dalamnya. Dia berkata dengan masam, "Nah, ambillah balik uncang Datuk. Tadi hamba memang sengaja nak menguji Datuk."
Datuk Perwira itu menatap acuh tak acuh.
Hujan gerimis mulai turun menimpa bumi Bukit Seroja. Rintik-rintik hujan semakin kasar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience