RIMBUNAN daunan pokok kelapa dan pohon pisang di sekeliling rumah Teratai di tengah-tengah sawah itu meliuk-liuk dibuai angin. Hari belum rambang ketika Dalia sampai di perkarangan rumah itu. Berbagai jenis pohon bunga tumbuh di halaman rumah tersebut.
Di halaman dua berdiri melihat sekitar rumah.
Seorang perempuan setengah tua sedang menganyam bakul pakaian di ruang anjung yang terbuka. Seni anyaman antara yang tidak dapat dipisahkan dengan cara hidupnya.
Satu demi satu tulang anyaman yang dibuat daripada batang pokok langkap dan bertam disusun bersilang mengikut bentuk dan ukuran barang yang ingin dihasilkan.
Dia tidak sedar sama sekali bahwa dia sedang dihampiri.
"Assalamualaikum!" tegur Dalia seraya melangkah dua tiga tapak ke muka tangga. Dia memandang perempuan setengah umur itu.
"Waalaikumsalam, siapa tu?" sahut perempuan itu sambil jari-jemarinya galak menganyam. Dia menoleh ke arah suara yang memanggilnya.
Dalia memberikan senyuman mesra.
"Oh, Dalia. Jemput naik," perempuan itu menjemput Dalia masuk ke dalam rumah.
Dalia melangkah tangga kayu yang bergoyang pemegangnya sebelum melangkah masuk ke anjung itu.
"Mana Teratai, Mak Utih?" Dia bertanya.
"Dia ada di dapur, memasak," jawab Mak Utih, ibu Teratai lalu dia menjerit kepada anaknya itu, "Teratai! Teratai! Dalia datang, nak!"
Tiada berapa lamanya, maka keluarlah Teratai dari dapur di belakang rumah.
"Mak! Tolong tengokkan dapur sekejap ya? Teratai nak bercakap dengan Dalia," katanya kemudian.
Mak Utuh menaruh anyamannya.
"Baiklah," ringkas saja katanya.
Dengan perlahan-lahan dia menghala ke dapur.
"Masak nasi?" Dalia bertanya.
"Panaskan sayur, Dalia," jelas Teratai. "Apa yang membawa kau datang ke mari?"
Teratai ingin sekali mengetahui, mengapa Dalia datang ke rumahnya.
"Kerana ada perkara mustahak," Dalia merendahkan suaranya. "Aku datang ke mari nak mengajak kau ke Dusun Hulu."
"Eh, buat apa nak pergi ke sana?" tanya Teratai kurang sabar.
Dalia mendekatkan mulutnya pada telinga Dalia. "Aku hendak berjumpa dengan Yatim Mustapha."
Teratai mengulum senyum. "Baiklah kalau begitu. Izinkan aku mengambil kain kelubung dulu."
Segera dicapai kain kelubung lalu menutup sebahagian kepalanya.
LANGKAH Dalia dan Teratai senyap bagaikan musang sedang menghendap mangsa. Mereka berjalan pantas menuju ke Dusun Hulu.
"Teratai! Kau nak ke mana tu?" laung Mak Utih dengan tidak semena-mena. Dia memanjangkan leher, menjenguk keluar melalui tingkap dapur.
"Alamak! Mak dah terjerit-jerit tu," kata Teratai dengan ketakutan rupanya. "Sekarang apa yang harus kita perbuat?"
"Buatlah apa-apa alasan," desak Dalia, membuat permintaan.
Teratai menoleh kepada ibunya.
"Teratai dengan Dalia nak ambil rambutan kat Dusun Hulu!" katanya dengan harapan tidak begitu yakin benar.
Mak Utih penuh kecurigaan. Matanya tajam kepada Teratai.
Kemudian, entah dari mana seorang kanak-kanak menuju ke arah mereka. Teratai mengalihkan pandangan ke arah adiknya itu yang tiba-tiba muncul dari celah belukar. Dia segera berdiri dalam keyakinannya.
"Si Jawi ni ingin sangat nak makan rambutan!" katanya lagi, menunjuk ke arah adiknya.
Budak itu terpingga-pingga sebentar. Tidak begitu mengerti. Dia menggaru kepalanya, macam mahu mengatakan sesuatu. Tapi kemudian membisukan dirinya apabila terkena panahan-panahan mata yang tajam dari Teratai. Matanya terkelip-kelip membalas renungan kakaknya itu.
Mak Utih menoleh kepada Jawi.
Jawi mendongak dan memandangnya dan sengihnya lebar.
"Ha, ya lah," kata Mak Utih kepada Teratai. "Kau pergi jangan lama-lama, balik lekas tau!"
"Baiklah mak," sahut Teratai.
Dalia memandang tajam kepada Jawi, lalu bertanya, "Kau dari mana Jawi?"
"Dari rumah kawan, kak," jelasnya.
"Jawi," Teratai menarik perhatian Jawi. "Kakak mahu kau ambil dua raga tepi tangga sekarang juga."
Budak sebelas tahun yang berambut pendek itu menyanggupinya.
JAWI sedang memanjat pohon yang diserikan buah-buahan memerah. Mukanya dilangutkan, matanya bagai tidak berkelip melihat buah-buah rambutan yang bergantungan di setiap hujung ranting.
Di bawah pokok yang merimbun dan rendang ini, Teratai melangut ke atas sambil menuding jarinya ke buah-buah rambutan yang bergayutan dari dahan sampai ke puncaknya. Tersusun-susun banyaknya.
"Jawi, yang itu! Yang itu!" katanya.
Jawi diteriak dari bawah.
Dalia pula berjalan keliling pokok, mengutip buah-buah yang gugur dan dihimpunkan dalam dua raga buluh. Sekali-sekala bola matanya merayap ke seluruh kawasan yang dipenuhi pokok buah-buahan itu.
Hatinya sekadar berbicara, "Dia janji nak datang. Sampai masa ini pun dia tak nampak muka hidung."
Sebentar kemudian, muncul kelibat seorang lelaki berjalan menuju ke arah mereka.
"Dalia, itu pun dia datang," cetus Teratai dengan sebatang galah siap di tangannya.
Dalia mengangkat kepalanya. Hatinya bersorak gembira.
Teratai mendekati dan berbisik, "Luahkan isi hati kau. Beritahu saja yang kau mencintainya. Inilah masanya."
Yatim Mustapha memberhentikan langkahnya.
Seperti mencari bahan percakapan, Dalia berkata, "Panjang pun umur tuan hamba. Hamba takut kalau-kalau tuan hamba tak datang tadi. Tuan hamba telah menepati janji."
"Kalau kata dikota. Kalau janji ditepati. Jika haiwan dipegang talinya. Jika manusia dipegang janjinya, Dalia," agak hemah Yatim Mustapha bersuara. "Hamba seorang yang pegang pada janji."
"Ya, memang betul," Dalia membalas. "Apalah ertinya sambungan kalau tidak diikat. Apalah ertinya sulaman kalau tidak ditekat dan apalah ertinya janji kalau tidak dibuat."
"Sudah lama Dalia menunggu?" Yatim Mustapha bertanya.
"Baru saja," jawabnya lunak.
Dalia memerhatikan wajah Yatim Mustapha. Mata orang muda itu melirik Teratai yang sejak tadi tunduk membisu.
"Ah, hamba ini pelupa! Hamba lupa nak perkenalkan tuan hamba dengan sepupu hamba," kata Dalia, lalu menoleh ke belakang. Tangannya menunjuk Teratai. "Yang tua ini bernama Teratai dan yang bongsu di atas pokok itu ialah Jawi. Mereka berdua anak Pak Mahad."
Yatim Mustapha mengangguk kecil.
Gadis yang berdiri di belakang Dalia sedikit senyum.
"Hamba fikir ada lebih baiknya kalau kita pergi ke dangau sana," Dalia mengusulkan. "Boleh kita berbual-bual."
Nun di depan mereka telah didirikan sebuah dangau bagi tempat perlindungan daripada panas dan hujan. Tangganya yang tinggi menyebabkannya agak selamat dari ancaman binatang buas.
"Ya, itu lebih baik lagi, Dalia," Yatim Mustapha menyetujui. "Boleh kita berbual panjang."
KAKI Dalia menanjak tangga. Tangannya membuka pintu lalu melangkah masuk.
Yatim Mustapha bergerak perlahan-lahan. Tapi, dengan tiba-tiba, dia duduk di hujung tangga. Kira-kira lima langkah dari jejak anak tangga pertama.
Dalia menoleh, "Apa buat duduk di anak tangga? Jemputlah naik."
"Sini saja sudahlah, Dalia," kata Yatim Mustapha menolak. "Kalau orang nampak kita nanti, bagaimana pula? Maklumlah kita duduk di kampung. Kalau-kalau ada orang nampak kita berdua, tentu panjang ceritanya. Hamba kuatir orang-orang kampung sini akan pandang sumbang dan akan menimbulkan fitnah dan menjadi buah mulut orang dalam kampung ini. Jagalah sopan santun kita. Jangan nanti kita dikatakan orang, kita tak tahu adat resam."
Gadis itu faham benar dengan hujah yang disampaikan Yatim Mustapha. Oleh itu dia duduk bersimpuh di muka pintu yang terbuka lebar.
Suasana hening seketika. Kemudian saudagar muda itu menoleh kepada Dalia, dan bertanya, "Tidakkah bapa Dalia marah kita berjumpa begini?"
"Tidak," kata Dalia, dan berhenti seketika, "Bapa tidak mengambil berat jika kita pandai menjaga adat."
Sunyi sejenak. Kemudian Dalia berkata, "Tuan hamba, bolehkah hamba bertanya?"
"Janganlah dipanggil tuan hamba. Panggillah Yatim saja. Tapi 'abang' bukankah mesra?" pujuk Yatim Mustapha.
"Ha, abang belum jawab lagi yang Dalia tanya tadi."
"Boleh. Jangankan satu. Sepuluh pun boleh Dalia bertanya."
"Harimau ditangkap dengan perangkapnya. Burung ditangkap dengan jeratnya. Ikan ditangkap dengan pancingnya. Kalau hati?"
"Tentulah ditangkap dengan hati juga," kata Yatim Mustapha pasti. Kepalanya teleng ke atas memandang muka Dalia. "Tak guna Dalia nak berdalih-dalih lagi. Dari sinar mata Dalia, abang dapat meneka apa yang tersimpan di hati Dalia."
"Benar segala perkataan abang itu. Ada satu perkara yang terpendam di hati Dalia. Sebenarnya sangat berat untuk Dalia menceritakannya. Takut bertepuk sebelah tangan," kata Dalia dengan penuh keberanian. "Walaupun kita baru bertemu tapi hati Dalia telah lama terpikat kepada abang. Sukakah abang pada Dalia?"
"Pakai sepatu di atas kaca. Daun pandan diinjak-injakkan. Kalau begitu kehendak Dalia. Nyawa dan badan abang serahkan," sahut Yatim Mustapha tanpa menoleh.
Mata Dalia bercahaya.
"Kiasan kata bererti sudah. Bukan hanya bertepuk sebelah tangan saja. Sudah lama Dalia berdoa semoga Dalia dapat bertemu dengan seorang lelaki yang baik dan jujur. Sekarang hajat Dalia telah dikabulkan oleh Tuhan. Abanglah yang Dalia cari selama ini. Dalia cinta pada abang."
"Benarkah begitu, Dalia? Maklumlah abang orang dagang," Yatim Mustapha membanding diri. Bukan dia terlalu merendah diri, tetapi dia jenis yang sedar diri.
"Ya, dengan sepenuh jiwa." Dalia menyalurkan keyakinan kepada Yatim Mustapha.
"Dalia, semua ini telah abang duga lebih dulu. Tapi abang malu nak terangkan. Abang takut tak diterima. Takut kalau-kalau cinta abang tidak berbalas."
"Setakat manakah cinta dan sayang abang pada Dalia?"
"Kalau... er... lautan itu besar, besar lagi cinta di jiwa. Kalau... kalau gunung itu tinggi, tinggi lagi sayang di hati. Kerana belum pernah abang jumpa gadis secantik Dalia."
Mata Dalia bercahaya. "Oh, abang. Dalia rasa Dalia lah orang yang paling gembira sekali dalam dunia ini kerana mendengar kata-kata itu."
"Benarkah, Dalia?"
"Benar, bang," sejenak Dalia termenung memikirkan sesuatu. "H-mmm, malam esok ada keramaian, tau?"
"Keramaian?" tanya Yatim Mustapha kembali.
"Ah, ah. Seluruh penduduk Pulau Sentosa akan adakan keramaian kerana menyambut kedatangan Penghulu Pulau Merlimau. Alangkah bagusnya kalau abang ada bersama."
"Pucuk dicita, ulam mendatang."
"Apakah ertinya perkataan abang ini?"
"Memang hajat di hati hendak melihat temasya orang-orang di sini."
"Sudi datang tak?" Dalia bertanya.
"Sudi kalau Dalia ada," Yatim Mustapha mengiyakan.
Ketika selesai mengatakan hal itu, Yatim Mustapha diam sejenak. Kemudian dia melanjutkan, "Dalia, abang sudah lama berhajat memendam rasa hati ingin memberi sesuatu pada Dalia. Sudikah kiranya Dalia menerimanya?"
"Kalau persetujuan Dalia akan menyenangkan abang, kurnia abang Dalia junjung tinggi."
Yatim Mustapha membuka tali pengikat uncang yang diambil dari saku bajunya. Dia menoleh, "Terimalah kalong ini sebagai kenangan. Tanda persahabatan kita berdua."
"Wah, sungguh cantik, bang." Dalia mencapai kalong itu. Dielus-elusnya perlahan. "Ini untuk Dalia?" tanyanya kepada Yatim Mustapha.
Yatim Mustapha mengangguk. "Ya, sudah semestinya. Dalia suka?"
"Tak mungkin Dalia lupakan cendera mata kasih abang ini," kata Dalia dengan jelingan sayang. "Terima kasih dari lubuk hati Dalia." Dia dengan pantas mengenakan kalong itu.
Lantai dangau berkeriutan ketika dia membetulkan simpuh. Tangan kanannya menyeluk saku bajunya dan mengeluarkan sesuatu, lalu mengunjukkannya kepada Yatim Mustapha.
"Ini pula tanda mata dari Dalia. Nah, ambillah seruling ini untuk dijadikan kenangan," katanya.
"Terima kasih," Yatim Mustapha tidak lupa menghulurkan penghargaan kepada gadis itu dan kemudian mencapai seruling tersebut. Digenggamnya dengan erat. Kegembiraan tampak terpancar dari matanya. "Cantik betul seruling ini."
Dia membongkok dan merapatkan mulutnya ke seruling lalu dengan sungguh-sungguh meniup. Suara seruling gemersik mendayu ke segenap ruang.
Dalia begitu khusyuk mendengar. Matanya dipejamkan rapat-rapat. Telinganya didodoi dengan suara dari seruling itu. Merdu sungguh.
TERATAI dan Jawi sudah berhenti memasukkan buah-buah rambutan ke dalam raga.
"Mereka sama padan, ya kak?" Jawi yang duduk di dahan terjuntai dan mencecah tanah, bertanya. "Macam pinang dibelah dua."
Terbeliak biji mata Teratai mendengarnya. "Wah, kau ni masih budak lagi sudah pandai memadan-madankan orang. Orang itu padan dengan orang ini."
Jawi sengih.
Tangan Teratai mengunjuk sejambak rambutan yang telah diikat kepada Jawi. "Nah, ambil ini. Jadi pada abang Yatim."
"Baik, kak."
SEBAIK tiba di dangau, Jawi mendekati dan segera menghulurkan sejambak rambutan kepada Yatim Mustapha.
"Bang, ini rambutannya," katanya.
Suara Jawi meleraikan perasaan dilontar kesyahduan Dalia ke alam nyata. Terlalu berlarut-larut dia tenggelam tadi.
"Terima kasih, Jawi." Suara Yatim Mustapha berapungan di gegendang telinga Dalia. Cepat dia mencelikkan mata.
Dia mendongak ke langit. Dari celah-celah daun dan ranting dia nampak matahari sudah bertambah miring. Kemudian menancapkan matanya ke dalam muka Yatim Mustapha.
"Abang, Dalia sudah lama di sini. Izinkan Dalia beredar pulang," katanya.
"Eh, mengapa cepat sangat?" Pertanyaan heran terpancar dari mulut Yatim Mustapha. "Makanlah rambutan ini dulu."
"Sebab hari pun sudah nak senja," kata Dalia untuk menyenangkan hati Yatim Mustapha.
Yatim Mustapha mengangguk kepala. Perlahan-lahan dia berengsot untuk memberi jalan kepada Dalia yang ingin mengundur diri.
Ketika sedang menuruni tangga, Dalia pandang wajah Jawi.
"Jawi, mari kita balik," suaranya seperti memerintah saja.
Dalia menoleh ke arah Yatim Mustapha lagi.
"Dalia pergi, ya?" katanya.
"Ha, baik-baik jalan, ya Dalia," balas Yatim Mustapha sambil tersenyum.
Dalia berlalu pergi.
Jawi menurut dari belakang. Tiba-tiba dia menoleh kepada Teratai dan membuat cerobong tangan pada mulutnya lalu berteriak sekuat hati, "Kak! Meh kita balik!"
TIGA orang laki-laki yang menyaksikan perkara yang sama keluar dari tepian belukar di sebelah kiri dangau. Kata seorang dari mereka, "Cis! Lagi-lagi Si Yatim itu juga yang membuat durjana!"
Kemudian kedengaran dia berludah dengan nyaring. Ptuiittt! Dan sekejap pula bancuhan marah dan dendam menjadi.
Kata Bayan, "Mari kita ke sana. Di sana nanti kita tentukan untung nasibnya."
"Nanti, nanti," cegah Awang Sulong. "Biar aku seorang dengan seorang. Biar aku sendiri tentang si jahanam itu. Jangan siapa pun campur."
Langkahnya diatur menuju dangau di celah-celah pohon rambutan.
SUASANA di dangau itu persis kuburan. Senyap dan sunyi. Dalam suasana sepi itu, Yatim Mustapha duduk keseorangan di anak tangga paling atas, sedang seronok menikmati ulas-ulas rambutan. Pandangannya dilemparkannya jauh-jauh bagai ada sesuatu yang berat dalam fikirannya.
"Hei, bedebah! Jangan suka menjolok sarang tebuan!" Gema yang keras itu tersusup-sasap ke celah-celah pokok, ke celah-celah daun meniti ruang.
Yatim Mustapha cuba meneliti suara itu. Suara Awang Sulong yang parau kerana sangat banyak menahan sabar. Dia memusing-musingkan badannya tidak tentu arah, bagaikan mencari musuh yang tersembunyi di situ. Nampak bayang orang di celah-celah pokok.
Awang Sulong sedang berjalan ke arahnya.
"Bukankah aku dah kata. Dalia akan menjadi kepunyaan aku. Kami sudah janji mahu kawin! Hanya menunggu masa!" tengking Awang Sulong macam singa lapar.
Yatim Mustapha berdiri lalu menghadap kepada Awang Sulong.
"Kawin?" tanyanya dengan berupa hairan. "Tolong sikit. Aku tahu segalanya. Jangan kau mengharapkan embun di panas yang terik. Kerana Dalia tidak mahukan engkau. Ukur baju di badan sendirilah."
"Tiap-tiap kemahuan ada jalan mendapatkannya," sanggah Awang Sulong dengan suara kuat sambil mencekak pinggang. "Kata orang, di mana ada kemahuan di situ ada jalan."
"Apa? Kau percaya Dalia boleh kau takluk dengan senang dalam genggaman kau?" tekan Yatim Mustapha dengan berani. Di sudut bibirnya terlukis senyum cemuhan.
"Tentang itu, tak payah kau tanyakan. Dalia akan aku jadikan isteri. Aku akan buat supaya dia mahu.Aku akan paksa dia kawin! Paksa yang akan dapat Dalia di dalam genggaman ku!" ikrar Awang Sulong. Matlamat menghalalkan cara.
"Mengapa begitu sekali kejam hati kau, Awang? Tak usah kau paksa. Buruk akibatnya kerana paksa tidak mendatangkan kebahagiaan. Jangan kau paksa orang yang tidak suka pada kau. Cubalah memikat hatinya dulu. Kalau betul mata mengantuk, janganlah baring di pokok mengkudu. Kalau dah ayam tidak mematuk, janganlah itik tersudu-sudu."
Mendengarkan perkataan itu maka Awang Sulong pun amatlah marahnya lalu berkata, "Biadap, kurang ajar! Kau sengaja nak menyindir aku!"
"Siapa yang makan lada, dialah yang terasa pedas," Yatim Mustapha memutuskan.
"Redap bukan sebarang redap. Redap dibeli di Inderagiri. Cakap bukan sebarang cakap. Cakap kau membinasakan diri. Aku ingat kau ni sudah lama sangat hidup agaknya. Ayoh! Cuba bermain senjata dengan aku! Cabut keris mu supaya kita dapat membuat kira! Aku ingin tahu, antara kau dengan aku, siapa yang lebih baik!"
Yatim Mustapha merasa dirinya dicabar. Dia merasakan kesabarannya semakin diuji.
"Nampaknya kau ni bersungguh-sungguh sangat. Aku tak mahu cari gaduh dengan kau, Awang. Aku harap bersabarlah dan pikirlah baik-baik sebelum bertindak. Fikir dulu sebelum terlajak. Sesal dulu pendapatan. Sesal kemudian tak ada gunanya."
"Apa yang kau susahkan? Pengayuh sama di tangan. Perahu sama di air," Awang Sulong semakin galak. Bola matanya bagaikan dicubit-cubit geramnya. Dia lalu menyerbu menghayunkan penumbuk tangan kanan.
Yatim Mustapha menghadapinya dengan cekal. Saat itu tidak ada kemungkinan untuk damai lagi. Namun sedikit pun dia tidak merasa takut dan gentar. Pada saat yang dikira dengan tepat, dengan mudah serangan itu ditepis olehnya.
Belum sempat tumbukan itu singgah ke mukanya, Yatim Mustapha sepantas kilat mengekang tangan kanan Awang Sulong itu dengan kedua tangannya. Menunjukkan bahawa dia betul-betul bersedia untuk perkelahian itu.
Sambil berbuat begitu, Yatim Mustapha segera menjatuhkan dirinya secara duduk dengan kaki kanannya diletakkan ke perut Awang Sulong. Lawannya itu terpaksa menerima akibatnya apabila dia terhumban ke hadapan sehingga terpelanting, jatuh tergolek di atas tanah.
Yatim Mustapha bingkas bangun. Dia memerhatikan musuhnya itu masih terguling mengerang, bagai ayam baru disembelih. Segera dia berseru, "Awang! Jangan kau pikir dalam kampung ini tak ada orang yang berani menentang kau, tau? Kau pikir kau anak Penghulu, aku tak berani menentang kau? Jikalau kau menjual Awang, aku tetap membeli! Bangun Awang, bangun!"
"Ya, aku bangun!" jawab Awang Sulong dengan tenang, tetapi tegas. Dia bangun sambil memandang Yatim Mustapha dengan bengis. Dia merasa dirinya seperti pulih serta-merta. "Aku akan menghukum kau di atas perbuatan kau yang keji itu!"
"Aku berkawan dengan Dalia kau kata keji? Apa salahkah aku berkawan dengan Dalia?"
Awang Sulong mengetap bibirnya. Dia naik geram. Wajahnya merah kerana berang. Hatinya berapi-api dengan kemarahan. Baginya dia akan menggunakan kesempatan ini untuk melepaskan dendam yang menyesak di dada.
"Memang salah! Kerana telah kau ketahui Dalia kepunyaan aku!" suara Awang Sulong bergema meluahkan kata-kata itu sambil menuding jari ke arah Yatim Mustapha. Dia pun mara.
Sekarang dia berhadapan dengan Yatim Mustapha. Mata bertentang mata.
"Sedangkan pelamin dah sedia, kerbau dah dipotong, tetamu dah datang, alangkah kawin tak jadi, inikan pula kau baru menyebut-nyebut Dalia, apa aku nak hairan?" sembur Yatim Mustapha.
Berdesing kata-kata itu menikam fikiran Awang Sulong. Hatinya bertambah panas. Akhirnya kesabaran di hatinya meletus.
Awang Sulong cuba melakukan satu tendangan ke perut Yatim Mustapha dengan kaki kanannya. Belum sempat dia berbuat demikian, lawannya itu sempat menangkap kakinya dengan kedua belah tangan. Kemudian kaki itu dipulas ke bawah.
Tindakan itu menyebabkan Awang Sulong hilang daya imbangan dan jatuh ke tanah. Sekujur tubuh terhuling-guling. Menggelupur sakit.
Melihat lawannya berada dalam kepayahan, Yatim Mustapha menerpa ke arah Awang Sulong yang terlentang di tanah. Tiba-tiba Awang Sulong bertindak pantas dengan menyepak mukanya dengan kaki kiri. Rahang Yatim Mustapha menjadi sasarannya.
Yatim Mustapha yang sudah tidak dapat mengawal badannya, terbabas ke sebelah kiri tetapi segera meluru ke arah Awang Sulong sekali lagi.
Dalam keadaan demikian, Awang Sulong mengambil kesempatan untuk menendang muka Yatim Mustapha dengan kaki kanannya dalam keadaan yang masih terlentang di tanah.
Seperti dibaca fikirannya, Yatim Mustapha pantas menangkap dan memegang erat kaki Awang Sulong.
Berbekalkan tenaga dalamannya yang begitu unggul, akhirnya Awang Sulong berjaya melepaskan kalinya dari cengkaman tangan Yatim Mustapha. Dia menendang ke arah sebelah kanan rusuk Yatim Mustapha, menyebabkan lawannya itu jatuh tergolek di atas tanah.
Melihat Yatim Mustapha jatuh terguling, Awang Sulong mengambil keputusan untuk melakukan serangan yang lebih agresif. Secepat kilat dia bangun lalu menjunam ke atas tubuh lawan yang terlentang di tanah.
Dengan seluruh tenaga, tangan kanannya mencekik leher Yatim Mustapha dan tangan kirinya mencengkam atas lengan lawannya itu.
Sebaliknya Yatim Mustapha juga bertindak melakukan teknik tersebut kepadanya dengan sisa-sisa tenaga yang masih ada padanya.
Kesungguhan di antara kedua-dua pihak terpancar jelas apabila mereka bergelut dan terus bergelut. Berguling dan terus berguling. Cekik-menyekik. Yang seorang di atas badan yang seorang.
Pada mulanya tidak ada sesiapa yang menunjukkan kepincangan, tetapi seketika kemudian, tekanan dari Yatim Mustapha memaksa kedua-duanya berdiri dengan keadaan tangan masing-masing mencekak kemas-kemas leher lawan.
Dengan segala kudrat yang ada, Yatim Mustapha berjaya mengumpul kekuatan dan stamina. Satu hentakan siku dilepaskan olehnya ke atas Awang Sulong. Akibat penangan tersebut, seterusnya itu tercampak ke belakang. Dia melihat Awang Sulong tercungap-cungap.
Awang Sulong dengan bingkas bangun dengan keris terhunus kemas di tangannya. Di depannya adalah Yatim Mustapha yang sudah sedia menanti dan tidak endah akan keris yang dihunus.
Tanpa membuang masa Awang Sulong terus menikam tetapi tiada kena. Lawannya itu hanya melompat mengelak selangkah dua sahaja. Matanya selalu awas.
Yatim Mustapha menyambar pergelangan tangan Awang Sulong itu, menangkapnya dengan tangan kiri kuat-kuat. Ini disusuli pula dengan siku tangan seterusnya itu dipegangnya dengan tapak tangan. Kemudian ditolaknya siku Awang Sulong itu ke atas. Terangkat tangan itu. Namun keris di tangan dipegangnya erat-erat.
Awang Sulong terus memalingkan badannya. Kemudian dia berpusing. Mukanya merah padam seperti disimbah api jamung.
Yatim Mustapha mengawasi tindakan lanjut daripadanya.
"Tikam lagi Awang! Tikam Awang!" Yatim Mustapha menegaskan. "Jangan hanya menikam angin saja!"
Awang Sulong tidak ubah seekor harimau yang sedang memerhati mangsanya. Matanya bersaga. Sedang dengus nafasnya berterjunan. Dia melibas kerisnya ke kiri kanan sepantas kilat, membabi buta. Tapi menyipi saja kerana dengan cepat pula Yatim Mustapha terus berundur untuk mencari kedudukan yang sesuai bagi menghadapinya.
Akhirnya Yatim Mustapha berhasil mematahkan libasan yang diberi Awang Sulong dengan mengepit tangan bersenjata itu dengan tangan kirinya. Bahu lawannya itu dipegang dengan tangan kanan kuat-kuat, cuba menolaknya ke belakang untuk menjatuhkannya. Jangkaan Yatim Mustapha meleset
Awang Sulong bergulat dalam cengkaman lawannya, mencuba dan berikhtiar untuk membebaskan dirinya. Dia berjuang dengan kekentalan semangat dan kegigihan. Dia enggan berganjak dan menahan dirinya daripada dihumban ke belakang. Meskipun mengalami tekanan, dia enggan mengalah.
Satu hentakan kuat lutut kaki kanan diberikannya ke arah rusuk kanan Yatim Mustapha. Lawannya itu terpelanting ke belakang.
Awang Sulong dapat melepaskan dirinya. Dia kemudian menerkam ke arah Yatim Mustapha tetapi lawannya itu membebaskan penangan berupa satu tendangan padu ke arah dadanya, menyebabkannya terpelanting ke tanah.
KEDENGARAN semak-semak menggerisik diusik orang. Dari balik semak-semak itu, Bayan dan Chulan dapat melihat segala perkelahian Awang Sulong dan Yatim Mustapha dengan jelas. Supaya kehadiran mereka tidak diketahui, mereka terbongkok-bongkok.
"Aku tengok langkah dan tangkis Yatim Mustapha hebat betul," Chulan berbisik.
"Ya, dia itu nampaknya bukan main handal orangnya. Apa yang harus kita perbuat, Chulan?" tanya Bayan. Separuh berbisik ke telinga Chulan. Dia merasa kengerian sedang berjalan dan bergerak dalam dadanya.
"Baik kita adukan perkara ini kepada Tok Penghulu. Kalau tidak, Awang akan ditimpa petaka," sahut Chulan yang dicengkam rasa takut.
Kawannya itu mengangguk-angguk amat setuju. "Aku pikir pun begitu juga."
"Kalau begitu, perkara ini kita tak boleh lengah-lengahkan lagi. Mari!" Chulan berpaling lalu melangkah pergi.
Bagaikan menerima isyarat, Bayan cepat-cepat beredar dari situ.
AWANG Lekiu seorang warga emas berkulit sawo matang. Keperibadiannya cukup menarik, bersopan dan berhemah. Itulah identitinya, seorang ketua kampung menjangkau umur enam puluhan. Namun tubuhnya masih segar. Hikmah riadah dari kebunnya.
Di kampung itu, Penghulu Awang Lekiu tempat seluruh penduduk mengadu dan tempat mereka mencari penyelesaian masalah apabila berdepan dengan kemusykilan. Kata-katanya kerap menjadi kata pemutus. Setiap pandangan serta pendapatnya terus diterima pakai tanpa usul periksa lagi.
Petang itu, dia dan orang kanannya Badai serta orang kedua penting, Kilat sampai ke kawasan barong. Mereka melihat Kenanga dan dua orang adiknya, Kesuma dan Kanchan ralit melelong beras berdekatan dengan bangsal tempat orang memasak. Ia menghasilkan irama mengasyikkan hasil ketukan anak lesung pada ibu pesong.
"Wah, bukan main rajin lagi kau orang semua aku tengok," tegur Penghulu Awang Lekiu.
Kenangan segera menoleh.
"Eh, eh. Tok Penghulu rupanya. Apa kabar Tok?"
"Kabar baik. Apa yang kau orang buat ni Kenanga?"
"Menumbuk beras. Nak buat kueh koci dan onde-onde untuk temasya esok," jawab Kenanga sambil menyapu peluh di muka dengan kain tudungnya.
"Elok. Eloklah tu. Semua persiapan nampaknya sangat-sangat memuaskan. Itulah yang aku harapkan dari penduduk-penduduk kampung ini."
Kesuma dan Kanchan membuatkan diri, hanya dengar saja perbualan mereka. Budak-budak yang berumur sepuluh dan sembilan tahun tak boleh mencelah-celah perbualan orang tua. Tak manis dan kurang sopan kalau budak-budak menyampuk perbualan orang tua.
"Mak engkau mana?" tanya Penghulu Awang Lekiu.
"Mak ke perigi ambil air. Sebentar lagi baliklah dia agaknya."
Rasa kehairanan jelas kelihatan di wajah Penghulu Awang Lekiu.
"Nampaknya kedatangan Tok Penghulu ini mempunyai hajat. Apa tujuan Tok Penghulu datang ke mari?" tanya Kenanga.
"Aku dengar mak kau sakit. Itulah sebab aku datang ke mari nak melihat. Bagaimana keadaannya sekarang?"
"Alhamdullilah," Kenanga mengucapkan syukur. "Nampaknya dah beransur baik sedikit, Tok. Dah boleh berjalan pun."
"Oh, begitu. Mak kau perlu banyak berehat dan bertenang. Jangan yetok-terokkan diri. Dengan ini mungkin kesihatannya akan pulih semula," nasihat Penghulu Awang Lekiu.
"Mudah-mudahan, begitulah hendaknya Tok," balas Kenanga.
Tiba-tiba Penghulu Awang Lekiu terdengar namanya dipanggil berkali-kali. Dia dan lain-lain lagi berpaling ke arah suara yang memanggil. Rupanya orang itu, tidak lain tidak bukan ialah Bayan.
"Tok Penghulu! Tok Penghulu!" serunya.
Chulan turut berlari menyusur di belakang.
"Ha, ada apa Bayan?" tanya Penghulu Awang Lekiu, kurang sabar.
"Tok, Awang Sulong sedang bertikam dengan Yatim Mustapha," balas Bayan lantang.
Badai dan Kilat ternganga.
"Bertikam?" Penghulu Awang Lekiu tercenggang sedikit setelah perkabaran itu sampai kepadanya. Dia pandang wajah Bayan sungguh-sungguh, mendambar pengertian. "Apa benarkah begitu, Bayan?"
"Benar, Tok," jawapan itu terpancut pantas dari mulut Bayan.
"Di mana?" Suara Penghulu Awang Lekiu cemas.
"Di Dusun Hulu," Chulan memintas.
Semua yang ada di situ saling berpandangan.
Kilat tiada berpada dengan menjadi tukang dengar sahaja, lalu dia bertanya, "Apa puncanya jadi pergaduhan itu, Chulan?"
"Entahlah. Kami tak dapat memastikan."
"Tok Penghulu tolong beri nasihat pada mereka sebab kita sama sekampung. Kita mesti sabarkan mereka," tekan Bayan.
"Ya, Tok. Tolonglah hentikan perkelahian mereka, Tok. Jangan sampai pertumpahan darah berlaku di kampung ini," Chulan menyokong.
Penghulu Awang Lekiu hanya mengangguk.
"Ha, mari kita ke sana!" katanya kemudian dengan keyakinan yang penuh.
Chulan melangkah dengan tetap. Dia menuruti jalan yang telah dijalaninya semula.
Penghulu Awang Lekiu ikut. Badai ikut. Kilat juga.
Ketika semua orang sudah pergi, Bayan masih tercegat di situ.
"Kenanga!" Bayan separuh berbisik.
Kenanga menoleh. Dia memanjatkan matanya ke atas muka Bayan.
"Ya, ada apa?"
"Sungguh pun beberapa hari saja kita tidak bertemu, namun hati abang penuh dengan rindu."
"Kenanga pun berasa demikian."
"Kalau begitu, bilakah kita dapat bertemu lagi?"
"Besok petang, ya?"
"Janji, ya?"
"Ya, Kenanga berjanji."
"Abang ada perkara mustahak. Jadi abang terpaksa pergi sekarang. Tinggal, ya?"
"Ha, baiklah."
"BERHENTI! Berhenti! Berhentikan pergaduhan ini!" sergah Penghulu Awang Lekiu. Bergegas dia menghampiri Awang Sulong dan Yatim Mustapha yang masih gagah menggayakan persilatan. "Sudahlah! Jangan bergaduh!"
Yatim Mustapha tercenggang.
Awang Sulong pun merasa begitu, namun terukir jua wajah lega.
Mereka membalikkan badan ke arah suara itu.
"Sarungkan keris masing-masing! Sarungkan keris masing-masing!" kata Penghulu Awang Lekiu berulang kali kepada Awang Sulong dan Yatim Mustapha.
Keduanya itu pun sama-sama menyarungkan kembali keris masing-masing.
"Tok, adalah lebih baik hal ini diselidiki terlebih dahulu sebelum Datuk mengambil keputusan," bisik Badai ke telinga Penghulu Awang Lekiu.
Penghulu Awang Lekiu merenung muka anaknya
"Apakah mulanya pergaduhan ini? Apakah punca angkara ini, Awang?" tanyanya.
Setelah berfikir sejurus, Awang Sulong pun menjawab, "Ya, begini ayah. Ini bukan bergaduh, tetapi permainan beradu tenaga saja, ayah."
Awang Sulong melindungi dustanya di sebalik senyuman mesra. Letak duduk keris di pinggangnya disempurnakan.
Penghulu Awang Lekiu tercengang mendengarkan perkataan anaknya itu.
Yatim Mustapha tersentak tetapi pura-pura tidak acuh.
Badai hanya diam. Kilat diam. Bayan dan Chulan juga.
Penghulu Awang Lekiu menerjah ke muka Yatim Mustapha dengan pandangan harap.
"Ya, Tok. Ini adalah kemahuan Awang Sulong kerana dia hendak belajar bertikam dengan hamba, Tok," ujar Yatim Mustapha dengan tidak teragak-agak. Membetulkan tanjak di atas kepala. Mengemas dan membetulkan ikat kain sampingnya.
"Kami berdua hanya hendak menunjukkan kepandaian masing-masing. Kadangkala anak lelaki perlu menunjukkan kelakuannya," tegas Awang Sulong.
"Oh, jadi itulah puncanya?" tanya Penghulu Awang Lekiu, bernada curiga.
"Benar, ayah," sahut Awang Sulong.
Penghulu Awang Lekiu melihat ke arah anaknya dengan wajah aneh. Perasaan was-was melanda benaknya. Alasannya tidak jelas.
"Walau bagaimana pun, kalau setakat bermain saja, jangan pakai senjata. Kalau api dituang minyak, tentulah menyala besar, bukan? Alamat berpadah akan jadinya. Aku tidak setuju dengan perbuatan yang kamu berdua lakukan. Tiap-tiap perbuatan mesti ada batasnya," tegur si ayah.
"Yatim Mustapha yang nak mencuba-cuba, ayah," Awang Sulong menukas. "Kalau orang mendahulukan kita terpaksa kita menentangnya."
Yatim Mustapha maju ke depan lalu berkata dengan tidak gentar sedikit juga, "Tidak, Tok. Hamba tak mendahulukan Awang. Tuduhan itu palsu, Tok. Palsu dan tidak benar."
"Dia pembohong, ayah!" tingkah Awang Sulong. "Cuba berhelah dengan apa yang telah terjadi."
"Sekarang kita serahkan perkara ini kepada Tok Penghulu untuk menyelesaikannya," sela Kilat.
Semua orang tertumpu ke arah Penghulu Awang Lekiu.
"Aku telah dilantik sebagai Penghulu yang bertanggungjawab tentang keamanan di Pulau Sentosa ini. Aku mahu masyarakat hidup damai dan bantu-membantu. Kewajipan aku membetulkan yang mana salah. Aku sendiri memutuskan siapa yang benar, siapa yang salah. Jadi, siapa yang salah? Siapa yang benar? Sebagai Penghulu, biar ku putuskan dengan saksama," panjang lebar Penghulu Awang Lekiu bercerita.
Tidak ada seorang pun yang bersuara ketika Penghulu Awang Lekiu sedang berfikir. Secara mendadak, suasana tiba-tiba berubah menjadi sunyi sepi. Hanya angin petang yang sesekali datang menyapa.
"Kesalahan ini aku anggap sebagai kekeliruan saja," Penghulu Awang Lekiu menjenguk ke arah Yatim Mustapha. "Walau bagaimana cara sekali pun, kau menentang anak aku, sama juga kau menentang aku. Aku benci jika aku ditentang."
"Maafkan hamba sekiranya hamba yang bersalah, Tok. Kepada Penghululah hamba bernaung. Sudah lebih sepekan hamba di sini. Kasih dan budi telah banyak Penghulu beri," kata Yatim Mustapha kepada Penghulu Awang Lekiu.
"Sungguh pun kau seorang dagang luar dan baru saja di sini tetapi kau mesti dihukum. Oleh kerana itu, dengan ini aku perintah kau supaya menukarkan titi yang pecah di parit nyiur itu dengan batang-batang kelapa baru. Kalau kau perlukan apa-apa alatan, jumpa aku di rumah."
Yatim Mustapha mendiamkan diri, mendengar arahan daripada Penghulu Awang Lekiu itu. Tidak pasti untuk memberi reaksi dan respons.
Awang Sulong tiba-tiba tertawa terkakah-kakah.
"Bagus! Itulah baru padan dengan muka kau!" ujar Awang Sulong di penghujung tawanya yang bergetar.
Penghulu Awang Lekiu mengalihkan pandangannya tepat ke wajah Awang Sulong. "Awang!"
Awang Sulong berbalik kepada Penghulu Awang Lekiu. "Ya, ayah?"
"Kau jangan nak mengada-ngada. Ayah pun ada kerja buat kau."
Yatim Mustapha melihat tubuh Awang Sulong yang sebentar tadi bukan main gagahnya, menjadi longlai seperti tidak bermaya lagi. Wajah Awang Sulong berubah. Garis-garis keriangan di wajah punah berkecai seperti kepingan kaca terhempas ke atas batu. Bersepai.
"Apa kerjanya ayah?" tanya Awang Sulong seperti tidak percaya.
"Ayah mahu kau menukarkan dinding-dinding di pengkalan serta atap-atapnya sekali," tegas Penghulu Awang Lekiu, serius.
Yatim Mustapha terbatuk, buat-buat, seperti memerli.
"Ayah, cakap ayah bukannya saya nak membantah, tapi hal ini bukannya mudah, ayah," rungut Awang Sulung kejengkelan sambil memasamkan mukanya.
Penghulu Awang Lekiu memerhatikan wajah anaknya yang resah dan muram itu. Dia menyepitkan mata, menikam mata Awang Sulong. Matanya kemudian beralih pula ke Badai.
"Aku tak kuasa nak jawab," Penghulu Awang Lekiu geram mencuka. "Badai, kau tolong sambungkan cakap."
Badai tak banyak hal. Dia tahu apa yang sepatutnya dilakukan.
"Awang," Badai dengan suara nyaring menyambung setelah suara Penghulu Awang Lekiu menghilang. "Tiap-tiap anak mesti setia patuh dengan ayahnya seperti aku setia dengan Tok Penghulu. Kita harus patuh dan setia padanya. Lebih-lebih lagi kau, Awang."
"Adakah kau dengar apa kata Badai?" sela Penghulu Awang Lekiu, seperti menduga.
"Baiklah, ayah. Saya sanggup menurut apa saja kemahuan ayah. Saya sanggup mengorbankan sedikit tenaga," desis Awang Sulong, membulat tekad. Dia akhirnya bertolak-ansur.
"Ha, bagus," kata Penghulu Awang Lekiu sambil tersenyum bangga.
"Tok," tiba-tiba kata Yatim Mustapha. "Kiranya tiada apa-apa lagi, izinkan hamba meminta diri."
"Ada lagi satu perkara nak aku terangkan," ujar Penghulu Awang Lekiu.
"Perkara apa itu, Tok?" Yatim Mustapha bertanya.
"Esok, kampung ini akan mengadakan temasya di Balai Penghulu. Orang-orang kampung semua dipersilakan menyaksikannya."
"Ya, hamba tahu perkara itu, Tok."
"Siapa bagi tahu pada kau?" Penghulu Awang Lekiu agak hairan.
"Dalia, anak Pak Malau beritahu pada hamba," jelas Yatim Mustapha, perlahan.
"Kau ni orang baru di kampung ini, tetapi aku harap kau datanglah meraikan temasya itu," tegas Penghulu Awang Lekiu.
"Baiklah, Tok," Yatim Mustapha menyanggupi. "Sekarang hamba minta diri dulu."
Penghulu Awang Lekiu mengangguk sekali.
Selepas itu mereka bersurai. Masing-masing dengan arah tujuan tersendiri.
Share this novel