Cetera Yang Pertama 16 - CURIGA MERINTANG KASIH

Adventure Series 1713

KENANGA letak punggung di atas sebongkah batu besar menghala laut yang ombaknya menghempas pantai. Boleh dikatakan di pantai ini selalu dia datang di waktu rambang petang.
Dia memandang keliling. Tidak ada orang lain. Cuma dia.
Suasana petang itu cukup redup dengan arakan awan yang bergumpal-gumpal perlahan-lahan memendungkan suasana.
Sangat lama Kenanga bersila kukuh di batu itu, melihat air laut dan ombak memburu pantai. Dia mengeluh panjang. Kebosanan menyelinap ke seluruh urat sarafnya.
"Kenanga!" Satu suara datang menerjah suasana. Suara itu tidak meninggi, tetapi rendah dan hati-hati.
Kenanga cepat saja menangkap suara itu. Dikenalinya betul. Suara Bayanlah yang menyeru namanya itu.
Kenanga memusingkan kepalanya ke arah suara itu.
Bayan berjalan dengan bunjut kain tergalas kemas di bahu kanannya dan sebilah golok tersisip di pinggang kiri. Dia menuju ke tempat yang dijanjikan.
"Dah lama tunggu di sini?" Bayan bertanya untuk mencari kepastian.
"Dah lama sampai naik jelak," balas Kenanga pantas.
"Maafkan abang kerana abang terlambat, ya?" Bayan merayu.
Dia terus mendapatkan Kenanga yang sedang duduk melenguh di atas batu. Dia duduk bersila di sisi Kenanga. Dia membuka tali pengikat goloknya. Golok dan bunjut kainnya diletakkan di atas batu itu.
Kenanga mengangkat muka, menatap seketika wajah kekasihnya.
"Sampai hati abang membuat Kenanga menunggu-nunggu abang begini," dia bersungut dengan hambar.
"Kenanga ni sikit-sikit nak merajuk. Walaupun terlambat, abang datang juga bukan? Biar terlambat, jangan tak ada terus," pujuk Bayan. "Abang tidak mungkir janji. Abang janji tak pernah temberang. Abang tetap setia dengan janji abang. Begitu juga cinta abang terhadap Kenanga. Abang tetap setia, begitulah hendaknya Kenanga."
"Kenanga juga tetap setia, abang Bayan," ujar Kenanga, suaranya lembut selembut pandangan matanya kepada Bayan.
Dengan rakus Bayan mendakap tubuh Kenanga yang juga mendakapnya.
Bayan melihat air laut dan ombak memburu pantai yang dipenuhi batu-batu kecil.
"Kenanga, lihat ombak itu," Bayan mengarahkan telunjuk kanannya ke arah deruan ombak yang mengajak enak. "Setianya dia mengejar pantai. Begitulah cinta abang pada mu, Kenanga."
Kenanga menoleh ke arah yang ditunjukkan Bayan. Kemudian dia berbalik kepada pemuda itu.
"Abang Bayan, cinta Kenanga pula terhadap abang lebih besar pengertiannya dari lautan ini kerana cinta Kenanga tidak ada surutnya." Kenanga bersungguh menerangkan. Tiba-tiba sahaja kata-kata itu terpantul dari kotak suaranya.
"Oh, Kenanga. Kenangalah pujaan hati. Hanya Kenanga seorang saja," kata Bayan menghibur. Bibirnya menguntum senyuman.
"Apa benarkah, bang? Ataupun lain di mulut, lain di hati?" Kenanga cepat-cepat menjawab. Dia menyemat pertanyaan sinis di akhir kata.
"Percayalah, Kenanga. Memang betul segala kata-kata abang tadi," jawab Bayan sambil mengusap-usap anak rambut kekasihnya yang sedang dibelai-belai oleh angin petang.
Kenanga melepaskan dakapan. Dibalikkannya badannya membelakangi laki-laki itu.
"Tidak, Kenanga tak percaya," kata Kenanga sambil berbalik kembali pada Bayan. "Pura-pura menunjukkan benar. Jangan abang cuba nak berselindung di sebalik telunjuk kerana Kenanga tahu abang ada mempunyai seorang kekasih lain."
"Kenanga. Abang tak mengerti apa tujuan kata-kata Kenanga itu?" Suara Bayan sekelumit resah kerana diliputi ketidak mengertian.
"Kalau Kenanga kata namanya Kiambang, bagaimana?" Kenanga menerangkan dengan hatinya yang jengkel. "Mengerti?"
Bercerai darah Bayan menyerap ke muka. Jawapan tegas gadis itu membuatkan dia berfikir panjang. Sekali gus Bayan teringatkan Kiambang. Wajah ayu Kiambang bagaikan tersenyum di depannya.
Cukup lama dia berdiam diri.
"Mengapa membisu? Terangkanlah?" tanya Kenanga yang sudah tidak sabar.
Lalu menyusul jawapan Bayan yang diucapkan dengan nada yang tenang, "Oh... Kiambang. Dia itu hanya kawan-kawan biasa saja pada abang. Bukannya ada apa-apa."
Bayan berusaha meyakinkan Kenanga.
Gadis itu mengerut kening, seperti dipagut rasa cemburu yang amat sangat.
"Wah, wah, wah. Nampaknya Kenanga dah pandai cemburu ya?" sakat Bayan sambil tersenyum geli hati. "Janganlah cemburu sayang."
"Kenanga bukannya bergurau ni, bang. Cinta Kenanga jangan digurau-guraukan," tegas Kenanga yang tanpa disedarinya telah terucap dengan keras.
"Kenanga. Cuba Kenanga beritahu pada abang, macam mana Kenanga dapat tahu mengenai diri abang dengan Kiambang? Siapa yang bercakap dengan Kenanga?" tanya Bayan agak lembut.
"Kenanga terdengar dari mulut-mulut orang kampung yang mengatakan abang Bayan ada mempunyai kekasih lain. Mulut tempayan boleh ditutup. Mulut manusia takkan boleh," jawapan itu terpancul dari mulut Kenanga.
"Percayalah Kenanga. Abang tak melakukan apa-apa yang tak baik di belakang Kenanga," suara Bayan memujuk.
Muka Kenanga berkerut. Dia ragu apa yang dikatakan Bayan.
"Bukankah sudah abang katakan Kiambang itu hanyalah kawan-kawan biasa saja pada abang. Abang bersumpah. Hanya Kenanga sajalah dalam dunia ini yang abang puja dan abang cinta. Dengan gunung emas sekali pun, abang takkan tukar engkau, Kenanga," Bayan merayu.
"Bohong! Kenanga tidak percaya!" tingkah Kenanga. "Apa, Kenanga tak cantik kalau jadi isteri abang Bayan?"
Kenanga memandang Bayan untuk mendapatkan kepastian.
"Cantik, siapa bilang kau tak cantik? Sumpah, dalam dunia ini Kenangalah yang paling cantik bagi abang. Laksana permata, intan baiduri, tiada kiasan untuk mengerti," kata Bayan. Suaranya dilembutkan, matanya menatap mata Kenanga terus.
"Tapi hati abang berbelah bagi," suara Kenanga iri.
"Mengapa Kenanga berkata begitu? Kasih abang sejati. Janganlah nak mengusik-usik hati abang pula." Dia diam seketika lalu melanjutkan, "Oh, ya. Abang ada bawa barang-barang istimewa untuk Kenanga."
Bayan memancing perhatian Kenanga dengan membuka bunjut kainnya.
Kenanga menatap bunjut itu dengan penuh perhatian.
"Apa tu, bang?" tanya Kenanga dengan perasaan sangat ragu-ragu.
Bayan memandanginya dengan sikap penuh pengharapan.
"Eh, Kenanga. Mari tengok ini," pintanya.
Kenanga menghampiri Bayan. Wajahnya bertukar ceria, seperti ketemu sesuatu yang menggembirakan.
"Wah, rantai berlian, gelang berlian, subang berlian. Sungguh cantik, bang. Sungguh cantik!" Kenanga ghairah. Matanya membelalak dan mulutnya menganga lebar-lebar.
Rasa riang memenuhi dada Kenanga tetapi satu soalan mahu dilepaskannya dengan segera. Dengan rasa was-was yang tiba-tiba terbangun dalam dadanya, dia bertanya, "Di mana abang dapat barang-barang ini semua?"
"Senang saja abang dapat," jelas Bayan dengan tenang.
"Senang saja bagaimana?" Kenanga ingin tahu.
"Itu tak usahlah Kenanga tanya. Itu adalah satu rahsia," ucap Bayan semacam teka-teki.
Berkerut kening anak gadis itu mendengarkan penjelasan itu. Ada semacam rahsia terkandung di dalam kata-katanya.
"Apa yang abang rahsiakan daripada Kenanga? Macam ada satu-satu yang hendak disembunyikan pula," cetus Kenanga setelah beberapa saat.
Bayan menarik nafas.
"Jangan diulangi lagi pertanyaan itu, Kenanga. Suatu hari nanti abang akan jelaskan segalanya. Jadi, tak usahlah Kenanga pikirkan perkara itu sangat," katanya menegaskan.
Kenanga tidak bertanya lagi. Dia terasa malas mahu memikirkan soal itu lagi.
"Ha, mari abang pakaikan gelang. Hulurkan tangan."
Kenanga menyua tangannya pada Bayan.
Sekejap sahaja gelang itu sudah dimasukkan ke tangan Kenanga.
"Cantik tak, bang?" Kenanga mahukan kepastian.
"Oi, cantik," kata Bayan sambil tersenyum bangga.
Kenanga tersenyum sekilas. Dia tampak bangga mendengar pujian itu.
"Jadi, Kenanga berkenalan?" Bayan cuba menduga.
"Ya, berkenan," Kenanga menjawab selamba.
"Kalau berkenan, ambil sajalah."
Tiba-tiba gadis itu menghulurkan tangannya.
"Biar Kenangan simpan ini semua dulu, ya bang?" katanya sambil tangannya menyambar bunjut kain yang sedia terhampar di batu. Dia merasa sangat senang. Berseri mukanya.
"Kenanga. Nanti dulu!" seru Bayan.
Dia cepat-cepat mencapai bunjut kain daripada telapak tangan Kenanga. Dia kemaskan duduknya sambil sebahagian isi bunjut kain itu dia letakkan ke batu.
Kenanga tercengang kehairanan.
"Yang ini biarkan di sini. Ha, yang lain Kenanga boleh bawa, ya?" Selagi berkata demikian dihulurkannya bunjut kecil itu ke tangan Kenanga.
Kenanga tak menyahut barang sepatah pun. Seakan-akan hilang semangatnya mendengar keputusan itu. Dia tidak berusaha menerima bunjut kain itu dari tangan Bayan sehingga Bayan terpaksa berdiri untuk menghulurkan bunjut itu lebih dekat ke jangkauan tangan Kenanga.
Kenanga kemudian menerima bunjut itu dan meletak ke atas bahu kanannya.
Bayan segera menanggalkan destar di atas kepalanya. Perlahan-lahan barang-barang perhiasan itu dimasukkan ke dalamnya dan ditutupnya.
"Kenapa pula?" Kenanga tiba-tiba bertanya seolah-olah tak dapat menahan desakan hatinya. Ada bunga kehairanan tercemar di wajahnya.
"Sebab yang ini abang nak berikan pada mak abang," Bayan mencuba memadam bersih syak wasangka di hati Kenanga.
"H-mmm. Nak berikan kepada Kiambang, bukan?" cemuh Kenanga.
Tiba-tiba terburai ketawa besar yang tidak terkawal daripada Kenanga. Dia bagaikan dirasuk hantu dan ketawanya itu mencekik aliran darah tubuh Bayan. Seolah-olah menggila-gila lakunya.
Sebuah keraguan terbangun dalam dada Bayan.
"Kenanga. Abang tak mengerti, apa yang dilucukan ini?" Mendesis saja suara itu keluar dari mulutnya.
Kenanga pun berkata sesudah ketawanya reda, "Semua ini adalah hak Kenanga. Abang tak boleh berikan sesiapa pun!"
Kata-katanya seakan-akan setengah perintah.
Sambil berkata seperti itu, Kenanga dengan tangkas menjangkau destar yang terletak di atas batu itu. Kemudian dia cepat-cepat menjauhi Bayan.
Destar itu diperukkan ke dalam bunjut kainnya.
Bayan menerima itu dengan agak mengejut. Tapi dia tidak dapat berbuat apa-apa, perkara sudah berlaku.
"Eh, kenapa begitu?" Bayan bertanya dengan heran. "Abang nak berikan - "
"Abang nak berikan siapa?" cantas Kenanga, memasamkan muka.
Bayan terkelu untuk menyambung kata.
"Abang nak berikan kepada Kiambang, bukan?" Kenanga bertanya, ingin menguji Bayan. Dia mendedahkan keraguannya kepada Bayan.
"Eh, eh. Kenanga ni?" bidas Bayan. "Kenapa jauh sangat perasaan itu Kenanga bawa? Kenapalah Kenanga menyangka yang bukan-bukan? Abang berjanji. Hati abang sedikit pun tidak berganjak seperti kukuhnya batu ini."
Bayan segera bangun dan merapati pada Kenanga. Bahu Kenanga dipegangnya erat-erat.
Dengan lembut, bernada memujuk, dia berkata, "Abang serah jiwa raga abang pada mu Kenanga hingga ke akhir hayat abang."
Begitulah janji-janjinya terhadap Kenanga.
"Betul-betul ke ni, bang? Apa abang berjanji?"
"Iya, abang berjanji," lurus lancar sahaja jawapan Bayan.
"Ha, Kenanga tak percaya. Janji hanya permainan mulut. Lidah yang tidak bertulang boleh membuat seribu janji," sanggah Kenanga penuh emosi. "Abang tentu cintakan Kiambang. Kalau tidak takkan abang nak berikan kepada dia. Jangan abang nak cakap bohong!"
"Sumpah, Kenanga. Sumpah. Hanya Kenanga saja untuk abang selama-lamanya. Abang tak cintakan Kiambang dan lagi Kiambang bukan kekasih abang," dengus Bayan, kebosanan. Dalam perasaannya, Kenanga begitu keras kepala. Sesal?nya segera menyelubungi dirinya. Sudahnya dia menyumpah dalam hati.
"Kalau bukan kekasih abang, takkanlah dia berani mengaku dirinya sebagai kekasih abang?" soal Kenanga dengan nada kurang senang, sambil membebaskan bahunya dari dipegang oleh Bayan.
"Apa Kenanga kata?" Bayan benar-benar tersentak mendengar kata-kata itu. Dia takut dengan apa yang telah didengarnya itu. Memang ada asas kalau gusar dan risau membengkak.
"Kiambang sendiri mengatakan pada Kenanga. Kalau nak tahu lebih jelas lagi, bertanyalah pada dia!" Kenanga mengusulkan.
Bayan diam. Dia berasa tidak enak. Rasa gusar yang menjelma mengundang pelbagai ancaman dan ramalan.
Bayan mendengar sederap langkah yang tetap dan kemas. Tiba-tiba dia melihat satu lembaga terpacak di depannya. Dia tampak terkejut melihat kedatangan Kiambang secara tiba-tiba itu.
Memang sejak tadi dia diawasi dan kelakuannya diperhatikan.
"Kiambang?" suara Bayan sedikit bergetar.
"Diam!" herdik Kiambang. "Jangan sebut nama ku lagi!"
Bayan agak tersentak. Rupa-rupanya Bayan cemas juga mendengarkan suara Kiambang yang meninggi.
"Bayan, kau tahu aku cinta dengan kau dan kau pernah menyatakan cinta kau kepada aku. Rupanya selama ini aku telah terpedaya!" rengus Kiambang dengan wajah yang amat kesal dengan apa yang dilaluinya.
"Kiambang, sebenarnya abang bukan sengaja hendak perdayakan Kiambang. Kalau abang tak buat helah begitu, bagaimana abang nak kahwin dengan Kiambang?" jelas Bayan mempertahankan diri. "Tentulah rancangan abang akan gagal."
"Sekarang barulah aku yakin. Kaulah binatang yang bertopengkan manusia! Pantang nenek moyang ku kalau orang berbohong! Kerana perbuatan kau yang kejam ini, hati ku telah patah untuk bersuamikan kau!" Rasa kesal berselut dalam hati Kiambang.
"Aku pun tak terlintas nak bersuamikan kau. Kalau dipaksa sekali pun, jauh panggang dari api!" Kenanga mencelah, menyokong kata-kata Kiambang.
Bayan melirik penuh ejek kepada Kiambang. Dengan angkuh dia berkata, "Jadi, kau mahu apa sekarang, ha? Kau mahu gaduh-gaduh, ya?"
"Aku tak mahu gado-gado. Aku dah puas makan gado-gado," jawab Kiambang selamba, acuh tak acuh. Lucu pula nadanya.
Bayan cuba senyum. Telatah Kiambang itu menggeletek hatinya. Dia mahu berkata sesuatu tetapi Kenanga lebih cepat daripadanya.
"Bukan gado-gado makan!" Kenanga menjelaskan kepada Kiambang. "Ini!" Lalu dia mengacu-acukan kepalan tinju kepada Kiambang. Dia cuba menerangkan semudah mungkin.
Kiambang tersedar kesilapannya. Dia tersengih di atas kelakarnya sendiri itu tapi cepat-cepat ditemuinya mulut.
Kiambang merenung Bayan. Kemudian merengus geram.
"Kau telah menipu kami. Kau tidak dapat lari dari kenyataan. Kau akan menerima pembalasan atas apa yang telah kau lakukan!" Kiambang mempertegas. Kemarahan dan kebenciannya sudah tidak tertunda lagi.
"Kami sudah memutuskan. Kau akan kami hukum rotan sebanyak 100 kali!" Kenanga pula mengancam dengan berani. Dia menenggelamkan seluruh matanya ke dalam muka Bayan.
Tapi Bayan macam endah tak endah saja mendengar keputusan Kenanga itu.
"Ambil rotan itu ke mari!" Kenanga berteriak kepada Kiambang. Dia menunjukkan ke arah yang dimaksudkan.
Kiambang menurut kata. Penuh semangat dia menuju ke arah timbunan batu di belakangnya. Beberapa detik saja sebatang rotan panjang digawang-gawangkan. Dia mengunjukkannya kepada Bayan.
"Jangan kau nak tunjukkan kau punya berani di sini. Aku tak nak menentang perempuan!"
"Itu kami tak peduli. Terserahlah pada diri kau sendiri . Mahu melawan atau tidak."
"Oh, begitu ya? Jika demikian rasa, aku tahu apa yang nak aku lakukan."
Bayan meraba golok di pinggang. Tiada. Dia berpusing-pusing mencari goloknya.
"Bayan! Ini yang kau cari-cari?" Kening Kenanga terangkat tinggi. Di tangannya terhunus sebilah golok.
Bayan cuma mengebam bibir dan mengerdipkan mata bagaikan tidak percaya.
Dengan semangat juang yang tinggi, Kiambang melangkah membuka silat seorang panglima menentang musuh yang pernah dituntutnya. Beberapa langkah hulubalang masuk medan laga digayakan sambil mencekak hulu rotan yang bersiap sedia untuk bila-bila masa saja bertindak.
Bayan yang seakan dapat menyelami isi hati Kiambang, cepat-cepat undur. Bibirnya terjuih ngeri. Nampak Kiambang betul-betul hendak bermusuh. Dia tak ubah seekor singa yang sedang hendak menerkam mangsanya dan dia akan segera bertindak tanpa melengah-lengahkan waktu. Tentu malang baginya jika andaian ini benar-benar terjadi.
"Ha, sekarang bagaimana? Takut tak dengan kami?" Kenanga ingin tahu.
Sekonyong-konyong Bayan yang bimbang resah bergegas memecut sekuat hati dengan tiada tertahan lagi ke dalam belukar, ke celah-celah pokok-pokok besar yang melindungi dia dari pandangan Kenanga dan Kiambang. Dia lari menyelamatkan diri bersama seberkas khuatir.
Kiambang mengetap bibirnya.
Kenanga hanya tersenyum. Memang dia sudah mengerti keadaan itu. Segala-galanya berjalan seperti yang dimahukan.
Dia menyarungkan kembali goloknya dan diikat kemas di pinggang.
Akhirnya perlahan-lahan mereka berganjak dari situ, menuruti jalan yang telah dijalani Bayan. Mereka menapak terus-menerus, mengejar pemuda yang sudah meninggalkan mereka.
"Nampaknya kerja kita ni belum lagi selesai," kata Kiambang.
"Kita akan beriktiar mencari Bayan sampai dapat," sahut Kenanga. Matanya tajam mengawasi sekeliling.
Dengan tiba-tiba Kenanga dan Kiambang dikejutkan bunyi ranting-ranting patah. Ada sesuatu menggelupur. Terdengar seolah-olah ada satu pergelutan berlaku.
Kiambang berpaling kepada Kenanga.
Kedua-duanya berpandang-pandangan.
Kenanga berkata terlebih dahulu, "Bunyi macam suara kesakitan."
"Nampaknya Bayan sudah masuk jerat," balas Kiambang.
Kenanga mengangguk tanda faham.
Setelah mengisi lompang ingin tahu, mereka berdua berjalan lagi.
Kenanga memperlahankan langkahnya. Kiambang kira-kira tiga hasta di belakangnya. Hulu rotannya masih kemas di dalam genggaman.
Dengan tiba-tiba, langkahnya terhenti seperti dipukau.
Kiambang mendekati Kenanga.
Pemuda yang hendak dicari sudah pun berada di depan mata.
Bayan tergawang-gawang dan terkantung-kantung macam katak di hujung pancing. Pahanya terkangkang dan kaki kirinya terangkat ke langit, dicerut tali ciding. Tangannya terkapai-kapai cuba menyambar julai-julai dan ranting di tanah.
"Memang betul seperti aku sangka," Kiambang menegaskan sungguh-sungguh.
Kenanga tersenyum puas hati dengan hasil usaha yang telah dirancangnya dengan begitu teliti.
Bayan berpaling ke kiri. Dia melihat satu lembaga bergerak di celah-celah pohon-pohon renek dan maju ke arahnya.
"Engkau Cempaka?" Sebuah pertanyaan terlompat daripada bibir Bayan. Kalimatnya mati di situ. Cahaya matanya menunjukkan dia terkejut besar.
Dia menajamkan matanya ke dalam wajah yang muncul dengan tiba-tiba itu. Diperhatikannya baik-baik raut muka Cempaka. Bujur sirih, matanya bulat dan kulitnya cerah. Kira-kira enam belas tahun.
"Rupanya kau tipu aku, ya? Kau bermuka-muka dengan aku setelah hati ku kau curi. Runtuh segala mahligai ciptaan dan runtuh tidak meninggalkan kesan." Suara Cempaka meledak setelah berdiri di hadapan Bayan.
Kenangan dan Kiambang datang mendekatinya.
"Janganlah cakap begitu, Cempaka. Kau tetap menjadi suri hati ku," Bayan cuba mematahkan cakap Cempaka.
Kenanga dan Kiambang membungkam saja.
"Kata-kata mu sungguh indah tapi palsu. Itu semuanya bohong!" Cempaka menghujah. "Kau hancurkan hati ku. Hati ku sudah patah. Tak dapat diperbaiki lagi."
"Kami telah tertipu. Palsu semuanya," celah Kenanga. Kemarahannya seakan-akan tidak terbendung lagi. Menggores-gores jantung hatinya.
"Ini manusia penipu!" tempik Kiambang pula.
"Tidak! Tidak! Aku tak bermaksud hendak menipu sesiapa pun. Aku berbuat demikian kerana aku lelaki. Lebih tepat lagi aku katakan, aku boleh kahwin sampai empat orang," Bayan pula berhujah dengan bangga. Suaranya begitu ego.
"Oh, begitu?" segera Kenanga bertanya.
"Iye," ujar Bayan. "Tetapi bersabarlah. Masanya akan tiba."
"Ooo... pasal nak beristeri, kau sandarkan undang-undang, ya? Pasal sembahyang dan puasa tak ikut undang-undang?" cemuh Cempaka, menjuihkan bibirnya. Sindirannya cukup tajam.
Kiambang ikut berbicara, "Tidak ada perempuan di dunia ini yang sanggup dimadukan. Madu itu adalah racun yang paling bisa sekali bagi perempuan! Suaminya adalah hak dirinya seorang saja!"
"Kami bertiga dah muafakat," sela Kenanga. "Kau harus dihukum kerana mempermain-mainkan kami. Kami berharap hukuman ini akan kau jadikan tauladan untuk hari hadapan." Dia perlahan-lahan mengalihkan pandangannya kepada Cempaka. "Tak begitu, Cempaka?"
Cempaka pandang muka Kenanga.
"Benar, Kenanga," ujar Cempaka dengan tajam.
Lepas satu wajah ke satu wajah di hadapannya Bayan tenung. Seperti mencari keikhlasan. Sekali gus seperti mahu mencari harapan.
"Kenanga, Kiambang, Cempaka. Jangan ikutkan hati. Lupakan saja yang sudah-sudah. Maafkan aku," katanya dengan pandangan penuh rayuan minta simpati.
Kenanga dan Kiambang serta Cempaka memancungkan mata ke dalam muka Bayan. Setiap gadis itu menikamkan pandangannya ke dalam mukanya.
Buat seketika Bayan terasa dirinya kecil.
"Tidak, tidak abang Bayan. Tidak semudah itu!" bantah Kiambang. Bulat matanya merenung Bayan. "Kami tidak akan lepaskan abang Bayan."
"Janganlah begitu. Lepaskanlah aku. Biar aku berundur membawa diri dengan segala kesan kenangan hidup. Kita lupakan apa yang telah berlaku," rayu Bayan.
"Boleh. Tetapi sesudah abang Bayan menjalankan hukuman," tingkah Kenanga dengan geramnya.
Dia melirik ke arah Cempaka yang hanya menganggukkan kepalanya. Demikian pula Kiambang.
Cempaka membongkok untuk mengambil sesuatu di sebalik rimbunan semak-samun dan pohon-pohon renek. Beberapa ketika kemudian, di tangan kanannya ada sebatang kayu seligi. Di hujung seligi runcing itu ada sepotong dahan yang berdaun. Ranting-ranting dan daun-daunnya dikerumuni ratusan kerengga.
"Apa macam Kenanga? Elok tak?" Cempaka bertanya.
"Elok juga tu," Kenanga memuji.
Kiambang pula mengangguk-angguk tanda puas hati.
"Dengan cara begini juga, maksud kita tadi akan tercapai," katanya.
Perlahan-lahan Cempaka menghampiri Bayan. Muka Bayan direnungnya.
"Sekarang sudah sampai masanya. Dari itu bersedialah kau," ugutnya.
Bayan naik kecut. Air mukanya membayangkan perasaan takut yang bukan kepalang. Tiba-tiba degup jantungnya terasa amat kencang menendang dinding dadanya.
"Jangan! Tolong! Ampunkan aku. Maafkan aku!" kata Bayan memohon, mencuba mencairkan suasana yang tegang itu. Matanya membelalak kepada Cempaka.
Cempaka dapat mendengar ketakutan yang amat sangat dalam nada suara Bayan.
"Sudah! Kami tak mahu kau banyak rayu lagi. Keputusan kami adalah adil dan muktamad," kata Cempaka kemudiannya.
"Cempaka, jangan layankan dia," cetus Kiambang.
"Nah, apa lagi? Jalankan hukuman dengan segera!" perintah Kenanga pula. Suaranya terdengar tegas dan kedengaran ya bersungguh-sungguh.
Tanpa membuang masa, Cempaka menonyohkan sarang kerengga itu ke kelangkang Bayan.
Sekujur tubuh Bayan menggelupur sakit, sambil kedua-dua telapak tangan mencengkam bahagian tubuhnya yang sakit.
Bayan mengaduh dengan suara yang menggempita bumi dan terkial-kial kerana dikunci pergerakannya. Benar-benar parah nampaknya.
Beberapa ketika berlalu.
"Cempaka, Kiambang. Sudahlah. Memadai dengan penyeksaan setakat ini. Jangan sampai begitu kejam. Sekarang bebaskanlah dia. Bukakan ikatannya," suara Kenanga memerintah. Tidak sampai hatinya melihat Bayan meraung kesakitan.
Cempaka dan Kiambang saling berpandangan sesaat. Kemudian kembali memandang Kenanga dan mengangguk.
"Bagi golok," pohon Kiambang kepada Kenanga.
"Nah," Kenanga mengeluarkan golok daripada ikat pinggangnya, kemudian menghulurkan kepada Kiambang.
Golok itu disambut oleh Kiambang.
Dengan seluruh tenaga yang ada, Cempaka memaut baur ciding sebesar perut lengan. Terginjat-ginjat di baur ciding sementara Kiambang menghunus goloknya lalu dicantasnya tali cerutan.
Beberapa ketika saja, selesailah kerja mereka.
Bayan tersungkur rebah ke tanah dan terus terguling, mengerang kesakitan, bagaikan ayam baru disembelih sedang kedua tangannya tetap mencengkam kelangkangnya sendiri.
Segala dendam kesumat yang terperam di lubuk hati ketiga gadis itu terubat juga akhirnya.
"Mari kita pulang!" tiba-tiba laung Kenanga. Dia menyusun tapak.
Cempaka mengangkat kaki. Setelah beberapa tapak, langkahnya terhenti. Dia menoleh ke belakang untuk menatap Bayan yang sudah terpacak berdiri membelakanginya.
"Budak-budak bedebah itu sudah melampau batas. Aku tak akan biarkan saja perkara ini tak berbalas. Suatu masa nanti aku akan menuntut bela juga," sungut Bayan sambil menyapu kerengga di seluruh badannya dengan tangan. Suaranya berbaur dendam.
Cempaka berpatah balik, mendatangi sisi belakang Bayan sambil memegang seligi dengan kedua belah tangan. Tangan kiri menggenggam hujung seligi. Tangan kanan memegang bahagian tengah. Mata seligi itu mendongak ke langit.
Bayan tidak menyedari kedatangan Cempaka.
Cempaka mengarahkan pangkal seligi yang di tangannya ke arah punggung Bayan. Tidak berapa lamanya, maka dia menyondolkan pangkal seligi itu lurus ke celah punggung Bayan.
Bayan tersentak lalu meraba kedua belah punggungnya. Dia berpaling dan tergamam melihat Cempaka tercegat di situ. Dia menyeluruhi wajah Cempaka.
Dengan tidak semena-mena, batang seligi telah dihayun menerpa kepalanya.
Bayan mengaduh dan terpegun.
Ternyata rasa belas tidak singgah di benak Cempaka. Siligi di tangan dikukuhkan genggamannya. Maka sebagai kilat pantasnya dia menerpa sambil seliginya disorong ke depan, menyelit di celah kelangkang Bayan. Pangkal seligi dicacak ke tanah lalu diangkat tegak-tegak ke atas.
Muka Bayan berkerut, satu keluhan yang amat berat dilepaskan. Terasa kemaluannya sakit.
Dia merapatkan kedua-dua pahanya, menyimpul seligi itu. Kedua belah tangannya pula diletakkan ke batang seligi. Memegangnya.
Cempaka meluruskan lagi seligi itu ke atas untuk berdiri tegak.
Bayan menggelongsor ke bawah, terus terduduk di situ juga, tiada berdaya bangkit lagi.
Cempaka masih belum berpuas hati. Tanpa bertangguh barang sedetik pun, kaki lincahnya menerajang ke dada Bayan.
Bayan apa lagi, oleh dorongan tapak kaki kanan Cempaka yang deras, dia terjengkang ke belakang.
Cempaka memandang Bayan tepat-tepat.
"Ingat Bayan! Kalau kasar yang datang, kasar yang menentang. Lebih baik perkara ini dilupakan saja, Bayan!" katanya kemudian. Ada getaran kuat bergempa dari dalam dadanya.
Dia jeling Bayan yang terlentang untuk melihat reaksi lelaki berusia dua puluh satu tahun itu sambil mengangkat seliginya dari tanah.
Lelaki itu tidak menjawab, sebaliknya sekadar menggerak-gerakkan kepalanya kerana kepenatan dan kelesuan. Matanya kuyu memohon belas.
Cempaka puas.

SETELAH berlalu itu semua, ketiga-tiga gadis itu lantas melangkah pergi meninggalkan Bayan sendirian. Keluhannya sudah berubah menjadi lenguhan kudrat yang semakin longlai.
Ketiga-tiganya berjalan beriringan. Kenanga dulu, mengepit bunjut kain pada bahu kanannya. Kiambang rapat berjalan di tengah. Sebatang rotan tersisip di penjuru pinggang kanannya. Sebilah golok di pinggang kiri. Cempaka menurut dari belakang. Tangan kanannya erat memegang seligi.
"Hei, Kenanga. Aku harap barang-barang kemas itu janganlah kau makan seorang, ya?" Kiambang menuntut. Disentuhnya bahu Kenanga.
"Tidaklah. Engkau orang jangan takut. Tentulah aku bagi kau orang seorang sama rata," pantas Kenanga menjawab sambil membetulkan letak bunjut kain yang digalas pada bahunya.
"Bagus. Baik hati kau," sahut Kiambang gembira.
Cempaka hanya tersenyum.
Warna siang semakin suram. Bayang petang semakin mengaburkan sekitar yang dinaungi pokok-pokok.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience