Cetera Yang Kedua 2 - KATA YANG DIJANJIKAN

Adventure Series 1713

LELAKI itu dalam lingkungan usia empat puluh tahun. Dadanya bidang. Bahunya lebar. Lengannya pejal berotot. Pada pagi yang hening itu, Panglima Besi dan lima orang pekerjanya sibuk bertukang senjata-senjata tajam.
Panglima Besi kelihatan termengah kepenatan. Dia mencekak pinggang dan menghela nafas panjang. Kemudian menggeliat buang lenguh. Sejak mula bertukang lebih sejam tadi, dia belum berhenti rehat lagi. Mukanya kelihatan berminyak-minyak oleh peluh.
Panglima Besi menyapu peluh di mukanya. Di dagu dan di pipinya ditumbuhi oleh bulu-bulu yang kasar menghitam.
Dia memerhatikan bangsal perteduhan.
"Eh, Lampong! Dah siap kerja yang aku suruh buat?" Panglima Besi bertanya. Wajah Lampong yang berkumis tipis itu ditatapnya.
Spontan lelaki itu berpaling. "Sudah, Tok!"
"Keris-keris itu sudah kau sudah?" tanya Panglima Besi lagi.
"Sudah, Tok."
"Baik, nanti aku nak tengok. Sekarang berhenti penat dulu."
"Tok Ayah! Ada dua orang nak berjumpa!" Seorang budak tiba-tiba menjerit kuat, cuba menarik perhatian Panglima Besi.
Tajol Mulok namanya. Umurnya tiga belas tahun waktu itu.
Panglima Besi segera menoleh, menabur pandangan jauh ke pintu gerbang perkampungan rumah-rumah tukang itu.
Dua orang melintas di hadapannya. Dari situ dia nampak kelibat Nirang dan Obeng datang ke arahnya.
Perlahan-lahan dialihkan pandangannya kepada Tajol Mulok yang sedang menuju ke arahnya.
"Tajol, Tok Ayah haus. Kau tolong ambilkan Tok Ayah air minuman."
"Air manisan?"
"Air sejuk sajalah," balas Panglima Besi.
Tajol bergegas meninggalkan Panglima Besi.
Panglima Besi melingas pandangan ke arah tingkap Rumah Santap.
"Kemuning, sediakan air dan kuih-kuih sedikit!" Panglima Besi memanggil sekuat hati kepada isterinya. "Ini hari kita ada tetamu dua orang!"
Kemuning hanya mengangguk. Memang dia sudah mengerti keadaan itu.

"MAKSUD tuan hamba berdua datang nak mengikat perjanjian barang diminta?" tanya Panglima Besi sambil memandang tepat ke muka Nirang.
"Ya, sedikit pun tidak tersalah lagi," sahut Nirang. "Kami diperintahkan oleh Bija Ali untuk mengikat perjanjian senjata buatan Panglima."
"Senjata-senjata itu telah siap dalam simpanan hamba."
"Bagus, itulah yang dikehendaki."
"Sementara hamba memerintahkan barang-barang itu dipetikan, apalah kiranya jika hamba menjamu tuan hamba berdua dengan santapan ringan?"
Nirang menyeringai. "Molek, molek Panglima."
Tajol Mulok datang menatang dulang berisi air sejuk.
Dengan sekali teguk, Panglima Besi meminum air itu. Dia kemudian menoleh kepada Tajol Mulok.
"Tajol, iringkan mereka ke Rumah Santap," katanya.
Tajol Mulok angguk bersetuju. "Baik, Tok Ayah."
Mereka berlalu meninggalkan Panglima Besi.

TATKALA Bija Ali dan beberapa pengiringnya masuk menghadap, dilihatnya Bendahara Mutalib serta orang-orang besar sekaliannya ada berhimpun di Balai Penghadapan menghadap Sultan.
Waktu itu, Laksamana Megat Komeng tidak hadir kerana dipilih mengepalai utusan yang telah pergi membawa surat dan bingkisan kepada Raja Siam.
Temenggong Tun Nila Utama pula mengetuai angkatan ke tiap-tiap mukim untuk mengambil ufti.
Satu paluan gong bergema dipalu oleh Tukang Pelaung, menandakan ada tetamu yang tiba untuk menghadap Sultan.
Segala mata tertumpu pada Tukang Pelaung.
"Ampun Tuanku. Hulubalang Bija Ali menunggu titah hendak menghadap!" Tukang Pelaung meledakkan suaranya.
Setiap orang mengalihkan pandangan masing-masing pada Bija Ali.
"Maju ke depan!" seru Sultan Bachtiar Alam Shah.
Bija Ali yang baru balik dari Hulu Perantau kerana menunaikan kewajipan itu berdatang sembah. "Ampun Tuanku. Patik datang menghadap."
"Apa kabaran yang kau bawa?"
"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Dengan berkat daulat Tuanku, patik telah dapat menewaskan penyamun-penyamun yang membuat kacau di Hulu Perantau."
"Sangat gembira beta mendengarnya," sahut Sultan Bachtiar Alam Shah. "Di mana Datuk Panglima Perang Megat Rambai? Mengapa dia tidak hadir?"
"Sebabnya pacal Panglima Megat Rambai tewas, Tuanku. Dia gugur di dalam menjalankan tugas. Hanya kami berenam yang terselamat."
Baginda termangu seketika, dihambat perasaan sedih dan kasihan menyambut berita itu. "Oh, Allah jua yang mencucuri rahmat kepada rohnya."
"Dan dapat juga ketua penyamun itu melepaskan dirinya, Tuanku. Puas sudah patik mencari tapi tak berhasil, Tuanku."
"Eh, ini tak boleh didiamkan. Kalau tidak, sesuatu perkara buruk mungkin berlaku. Datuk Bentara!"
"Tuanku?" tanya salah seorang pembesar negeri.
Datuk Juada namanya. Dia seorang lelaki berusia kira-kira empat puluh tahun.
"Panggil tukang tulis dan pukulkan canang di segenap desa dan kampung. Umumkan hal ini supaya diketahui oleh sekalian hamba rakyat. Beta nak ketua penyamun itu dicari sampai dapat. Barang siapa dapat menangkap dia, akan beta hadiahkan dia 10 kati emas."
Dengan pantas Datuk Juada menjawab, "Menjunjung titah, Tuanku. Bermohon patik."
"Kerana kamu berenam telah berjasa pada negeri Perlak ini, beta berkenan menganugerahkan sepasang persalinan dan sebidang tanah untuk bercucuk tanam pada kamu semua."
Kemudian Sultan Bachtiar Alam Shah pun memandang kepada Bendahara Mutalib seraya bertanya, "Bagaimana pikiran Bendahara?"
Setelah berjurus-jurus lamanya berfikir maka Bendahara Mutalib pun berkata, "Walaupun kekacauan Hulu Perantau sudah reda, tetapi ketua penyamun itu masih belum ditangkap... "
Sekali lagi Bija Ali berdatang sembah.
"Telah patik kejar bersama orang-orang patik. Tetapi ketua penyamun itu dapat melepaskan diri. Lenyap bagai ditelan bumi. Ampun Tuanku."
Sultan Bachtiar Alam Shah termenung sejurus. Kemudian matanya menyelinapi wajah Bija Ali.
"Tak mengapa. Bija Ali telah berjasa pada beta. Mulai dari sekarang, hulubalang Bija Ali bergelar Panglima Perang Bija Ali, menggantikan jawatan yang dah kosong itu dan dengan rasminya beta melantik Bija Ali kepada gelaran Datuk Bija Ali."
Tersenyum Bija Ali mendengar titah baginda itu. Kemudian dia pun berdatang sembah.
"Patik sungguh gembira, Tuanku. Kurnia Tuanku terjunjung di atas batu jemala patik."
"Rasa beta, tak adalah orang lain yang layak selain daripada kau dan beta harap kau akan menjadi panglima raja yang akan berbakti kepada tanah air kelak."
"Kalau tidak kepada Tuanku, kepada siapa lagi patik nak berbakti, Tuanku."
"Kalau begitu, baguslah."
Kemudian baginda pun bertitah, "Baiklah Bendahara dan Datuk-Datuk sekalian, bersurai kita."
Perhimpunan sedikit demi sedikit bubar.

BIJA Ali bergerak keluar Balai Penghadapan. Dia melihat Datuk Juada tergesa-gesa berjalan masuk untuk mendapatkan Sultan. Jalannya tunduk bagaikan tidak mempedulikan sesiapa lagi.
Seorang tukang tulis berjalan seiringan dengannya.
Ketika berselisih di hadapannya, Bija Ali kurang pasti Datuk Juada nampak atau tidak kehadirannya.
"Datuk Juada!" tegur Bija Ali.
Datuk Juada berpaling menatap wajah Bija Ali yang berdiri di sebelahnya.
"Silalah datang ke teratak hamba. Ada perkara hendak hamba rundingkan. Hamba harap Datuk tak ada halangan."
"Oh, tentu sekali. Buat hamba tak ada halangan sebarang," ujar Datuk Juada tanpa ragu-ragu.
Bija Ali mengorak senyuman tipis. "Baiklah, Datuk. Hamba mohon diri."

SEORANG kanak-kanak datang kepada Bija Ali. Usia tiga belas tahun. Mamat namanya.
"Bapak! Bapak! Datuk Juada datang!"
"Mana?" tanya Bija Ali mencari kepastian.
"Tu!" Mamat memusingkan telunjuknya ke satu arah.
Mata Bija Ali bertaut ke wajah Mamat, kemudian matanya beralih melihat ke perkarangan rumah.
Ada seorang penziarah.
Bija Ali berpaling menajamkan mata ke wajah anaknya. "Baiklah, Mamat. Kau pergi ke belakang. Beri ayam makan."

"JEMPUT masuk, Datuk."
Datuk Juada mulai mendaki anak tangga yang tersusun rapat-rapat.
"Kintan!" seru Bija Ali.
"Ya, bang?" Terdengar isterinya menjawab di dapur. Sibuk buat kuih-muih.
"Ke mari sebentar!"
Bija Ali memandang ke arah isterinya yang berdiri di muka pintu dapur.
"Buat kopi yang kau tumbuk semalam dan bawalah kuih-kuih itu ke mari."
"Baik, bang," ujar isterinya.
Kintan menurut sahaja seperti daun lalang ditiup angin. Dia memaling muka lalu masuk ke dapur.
"Jemput duduk. Duduklah."
Datuk Juada duduk bersila di hadapan Bija Ali. Duduk berhadapan muka.
"Hamba jemput Datuk ni datang ke rumah hamba, nak ajak Datuk berpakat. Tapi rahsiakanlah hal ini."
Datuk Juada merenung muka Bija Ali dengan pandangan curiga.
"Rahsia apakah gerangannya, Datuk? Cuba katakan terus-terang supaya dapat hamba pertimbang." Suaranya mati di situ.
Kintan datang menatang dulang.
"Kuih dan kopi sudah sedia. Jemputlah, Tok," Kintan mempelawa.
Datuk Juada mengangkat cawan kopi di hadapannya. Menghirupnya seteguk dan meletakkannya semula. Kemudian mengambil sepotong kuih dari dalam piring, mengunyahnya perlahan-lahan.
"H-mmm. Sedap sungguh kuih ini."
Bija Ali membetulkan duduknya supaya menjadi lebih selesa. Lalu dia pun menyambung, "Begini ceritanya... "

"ITULAH ceritanya, Datuk." Bija Ali puas. Apa yang terbuku di hatinya sudah dihamburkan keluar.
"Oh, macam itu. Hamba pun fahamlah. Tetapi nampaknya sesuatu yang telah berlaku itu takkan dapat diperbaiki lagi. Anggaplah pengalaman itu sebagai ingatan yang menakutkan," ujar Datuk Juada. Sambil itu mulut mengunyah kuih.
Dia tidak mahu Bija Ali mengungkit tentang hal itu lagi. Baginya biarlah setakat itu saja.
Terlalu sukar bagi Bija Ali untuk mengaburkan kenangan pahit itu. Tiba-tiba dendam kembali membakar, bagaikan tidak dapat dibendung.
"Sekarang maksud hamba sudah sampai. Saat hamba menuntut bela atas kematian bapak hamba telah tiba. Hamba mesti mengambil pembalasan. Pembalasan!" Bija Ali membiarkan beberapa detik berlalu sebelum berkata selanjutnya. "Datuk seorang yang berpangkat dan telah banyak berjasa kepada Sultan dan negeri. Maka itu Tuanku telah meluaskan kuasa Datuk menguasai pertahanan pintu kota ini. Ada sesuatu yang hamba berkehendakkan daripada Datuk untuk kepentingan hamba sendiri. Hamba mahu Datuk buka pintu kota itu supaya hamba dapat menyerang ke dalam kota. Sanggupkah Datuk menolong hamba?"
Bija Ali merenung jauh ke dalam mata Datuk Juada di hadapannya. Dia menaruh harapan yang paling besar terhadapnya.
"Ini adalah soal yang sulit, Datuk. Hamba rasa hamba tak boleh memberi keputusan sekarang."
"Ha, bukankah arwah bapak hamba sangat baik dengan Datuk dan Datuk pernah berhutang budi sama bapak hamba?" ungkit Bija Ali.
"Betul kata-kata mu itu. Hamba sangat berhutang kepada Tun Bija Sura. Tapi perkara ini susah, Datuk."
"Tetapi Datuk harus kenang pula pada arwah bapak hamba. Dialah orang yang memberi peluang pada Datuk menjadi Bentara." Bija Ali tidak putus asa. Hasratnya sudah tidak boleh dianjak-anjak lagi.
"Kebaikannya hamba junjung tinggi, tetapi... " Datuk Juada serba-salah. Dia mulai berfikir.
"Lupakan perkataan tetapi. Budi arwah bapak hamba belum Datuk balas dengan jasa. Hamba mengharapkan balasan budi itu, Datuk. Kalau Datuk setuju dengan cadangan ini dan kalau jadi perkara ini, tentulah Datuk jadi cukup kaya, Datuk. Selain daripada itu, hamba akan perkenankan apa permintaan Datuk."
"Benarkah Datuk akan menepati janji?" tanya Datuk Juada, seolah-olah ingin menguji hati Bija Ali.
"Selagi hamba berpijak di muka bumi ini, hamba takkan memungkiri janji. Kalau hamba tidak menepati janji biarlah petir menyambar hamba."
"Baiklah, hamba bersedia, Datuk. Sedikit tiada halangan. Segala perintah Datuk akan hamba tunaikan."
Akhirnya Datuk Juada terpaksa mengalah juga dan menurut kemahuan Bija Ali.
"Bagus! Bagus! Inilah yang dikehendaki," ujar Bija Ali setelah mendengar kata putus Datuk Juada.
Di barat, matahari mulai menampakkan cahaya merahnya. Tabir senja mula luruh perlahan-lahan.
"Nyalakan lampu Kintan! Matahari sudah mulai terbenam!"
Isterinya keluar lalu menyalakan lampu minyak tanah di tengah ruang.
"Nampaknya hari pun sudah nak senja. Biarlah hamba balik dulu, ya?" Datuk Bentara itu bermohon pergi. Dia kemudian melihat ke langit.
"Sila, Datuk. Kintan! Pergi ambil obor dan bakar sekali. Bawa ke mari dan beri pada Datuk Juada!"
Datuk Juara mendadak bangun. Dia terus menuruni tangga. Kemudian berpaling kembali menghadap Bija Ali.
"Kalau Tuanku dapat tahu tentang hal kita berdua, sudah tentu hamba dihukum gantung."
"Datuk jangan bimbang. Tuanku takkan dapat tahu. Kalau kita pandai menyimpan rahsia, takkanlah Tuanku tahu," Bija Ali menekan suaranya penuh yakin. Dia tetap yakin dengan rancangannya itu. "Ingat, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Ingat saja kenikmatan yang akan Datuk kecapi."
Kintan datang membawakan obor. "Ini obornya, Datuk."
"Terima kasih." Datuk Juada melihat ke arah Bija Ali. "Biarlah hamba jalan dulu, ya?"
"Silakan."
Cermat-cermat Datuk Juada melangkah.
Mata Bija Ali terus mengekori Datuk Juada hingga orang itu hilang di celah-celah batang kelapa.

PETANG itu cuaca terang. Ombak dari laut memukul pantai.
Bija Ali berdiri di atas selonggok batu dan tangannya dikilas ke belakang. Pandangannya menjalar ke kaki laut yang biru membiru.
"Apa kekuatan yang ada pada kita, Ali? Sedangkan Sultan berkuasa?" tanya Jenang yang duduk di atas sebongkah batu.
"Bukan Ali. Dah bergelar Datuk," celah Daik dengan nada perlahan.
"Ha, Datuk."
"Itu tak menjadi soal buat aku. Kampung Lokam kau tahu tak?"
Jenang menggelengkan kepalanya.
"Kampung di hujung negeri yang penghulunya bernama Kachong," tokok Bija Ali.
Jenang menggeleng-geleng.
"Kenapa?" Daik mengusulkan sebuah pertanyaan.
Bija Ali mengalihkan pandangannya ke arah suara yang bertanya sambil melepaskan kilasan tangannya.
"Besok pagi aku nak berlayar ke sana. Kau nak ikut tak?"
"Ya, ya, ya. Aku nak ikut."
"Aku pun nak ikut samalah, Datuk."
Bija Ali mengangguk setuju.

HARI sudah meninggi. Seorang lelaki kelihatan di pelantar Kampung Lokam yang beratap nipah. Duduk bersandar pada sebatang tiang, menanti ikan memagut umpan pancingnya. Manusia ini Jasin namanya. Memancing itu kerjanya.
Ada seorang budak lelaki di belakangnya. Kudin namanya. Dia menggosok-gosok tubuh seekor beruk dengan perasaan kasih sayang. Beruk yang dia bela sejak kecil itu menyengih-nyengihkan giginya sambil tangannya menyambar buah pisang yang dihulurkan padanya.
"Apa dah ikan ni? Dari tadi sampai sekarang satu ekor pun tak dapat-dapat," ngomel Jasin sendirian.
"Apa sudah jadi? Seekor pun tak dapat?" ujar Kudin selamba.
Jasin memandang ke arah si budak.
"Kau ni asyik bermain dengan beruk. Nanti kau pun jadi beruk."
Dari kuala sungai, di celah-celah pohon bakau muncul sebuah perahu. Luncurnya deras menuju pelantar.
"Eh, ada perahu layar sampai!" Kudin bersuara dalam nada yang tinggi.
Jasin melihat ke arah yang dimaksudkan oleh Kudin. Dia berdiri terpacak. Mata terkebil-kebil beberapa ketika. Keraguannya timbul.

PELANTAR kian dekat. Jenang memainkan kemudi perahu itu perlahan-lahan.
Sejurus kemudian Daik bangun dari tempat duduk dan menuju ke haluan. Cepat-cepat dia memaut salah satu tiang dan memegangnya kuat-kuat.
"Tolong sambutkan tali ini, saudara!"
"Ya, baik." Jasin mengikat tali perahu itu pada tiang.
"Jenang, rapatkan perahu!" perintah Bija Ali.
Sebentar kemudian Daik menjatuhkan tiang layar dan menggulung-gulung kain layar.
"Ha, Jasin. Apa khabar?" Tiba-tiba tanya Bija Ali. Dia segera naik ke pelantar.
"Khabar baik, Datuk."
"Bagus. Orang rumah kau baik, Jasin?"
"Baik, Datuk."
"Banyak kau dapat ikan hari ini?"
"Adalah juga sikit-sikit," jawab Jasin berbohong.
Daik dan Jenang melangkah naik.
Jasin memberikan senyuman kepada mereka.
Mereka turut tersenyum.
"Boleh tak kau bagi tahu Tok Penghulu yang sekejap lagi kami nak berjumpa dengannya?"
"Kudin!"
Budak itu mendengar namanya dipanggil. "Ha?"
"Balik beritahu ayah kau, Datuk Panglima Bija Ali nak jumpa."
"Baiklah, Pak Jasin."
Kudin dukung beruk dan langkahnya diatur menuju ke rumahnya.
"Apa hajat maksud Datuk nak berjumpa Penghulu?" Jasin bertanya. Dia menggaru-garu dagunya.
"Maksud baik."

"SEBAB itulah hamba makan sirih tak merah. Rupanya panglima Perlak nak datang." Penghulu Kachong tersenyum. Diperhatikan muka setiap yang hadir.
"Ini Daik dan Jenang, pengiring hamba. Maafkan kami semua kerana mengganggu ketenteraman rumah ini."
"Nampaknya kedatangan Panglima ini mempunyai hajat. Kalau sungguhlah berhajat, silalah katakan," Penghulu Kachong berkata untuk mencari kepastian sambil menghulurkan tepak sirih kepada Bija Ali.
"Hajat hamba memang besar," kata Bija Ali ketika memilih daun sirih, membuang yang busuk. "Sanggupkah Penghulu menolong hamba?"
Tangan Bija Ali menyapu-nyapu kapur ke atas sirihnya.
"Pertolongan yang Datuk hajatkan?" Penghulu Kachong bertanya dengan rasa ingin tahu. Mulutnya kumat-kamit memamah sirih yang disuapnya sebentar tadi.
"Hamba ada satu rahsia nak perkatakan pada Penghulu."
Daun sirih yang telah dilipatnya dimasukkan ke dalam mulutnya. Dia mengunyah-ngunyahnya.

"ORANG hamba tak banyak untuk menentang Sultan. Inilah kesulitan yang sedang hamba hadapi," Bija Ali menjelaskan. "Kalau Penghulu menolong hamba, hamba akan pulangkan semula tanah Penghulu yang telah diambil Sultan jika sekiranya hamba berjaya menjadi Sultan."
Penghulu Kachong berfikir sejurus. Bola matanya terkelip-kelip bagaikan lampu minyak tanah kehabisan sumbu.
"Datuk, hamba akan memberi apa saja pertolongan yang Datuk mahu. Hamba dan orang-orang hamba akan bersama-sama dengan Datuk. Kalau perlu, bukan orang-orang hamba saja akan hamba kirim ke sana, malahan seluruh penduduk Kampung Lokam akan hamba kerah!"
"Kalau begitu, kita tunggu waktu yang elok dan pakatan sulit ini mesti dirahsiakan."
"Hamba tetap dengan rahsia yang ada. Biar pecah di perut. Jangan pecah di mulut."
"Penghulu, izinkan kami mengorak langkah "
"Eh, eh. Lekas sekali? Tak minum-minum dulu?"
"Terima kasih aje, Penghulu."
"Kenapa Datuk terburu-buru?"
"Kerana hamba banyak urusan."
"Santapan sedang disediakan. Makanlah dulu, kemudian baru pulang."
"Kalau begitu... baiklah," ujar Bija Ali setelah termakan pujukan Penghulu Kachong.
Jenang yang duduk di sebelah kanannya tersenyum.
"Er, Kesuma!" panggil Penghulu Kachong.
Dengan segera anak gadisnya menjawab, "Ya, ayah?"
"Nasi lemak dan kuih-kuih sudah siap?"
"Semua sudah siap."
Kesuma datang dari dapur, membawakan sedulang makanan dan minuman.
"Datuk, mari kita makan bersama."

"SIAPAKAH kamu ini?" Bija Ali meletakkan soalan.
"Hamba digelar Kumbang." Dia memperkenalkan dirinya. "Hamba dulu pernah berkhidmat kepada ketua penyamun itu. Ketua penyamun itu bernama Alang Sengketa, Datuk."
"Ya, ya, ya. Teruskan."
"Hamba mendapat tahu yang Alang Sengketa ada menyimpan seorang kekasih. Perempuan penari dari istana Perlak. Perempuan itu namanya Intan Baiduri. Alang Sengketa selalu jumpa dia," pantas Kumbang membalas.
"Kalau betul apa yang kau katakan, kau akan mendapat hadiah. Tapi kalau tidak, kau akan aku bunuh!" balas Bija Ali dengan nada percaya dengan tidak.
"Datuk, segala apa yang hamba katakan tadi, semuanya benar belaka, Datuk."

PERKARANGAN Balai Besar.
"Sekarang kau tunjukkan aku di mana ada Alang Sengketa!" suara Datuk Panglima Bija Ali keras.
"Hamba tak faham dan tak mengerti apa maksud Datuk," Intan Baiduri membidas. Orangnya kecil molek. Kulit putih melepak.
"Intan! Jangan kau berpura-pura. Jangan cuba menghitungkan kesabaran ku. Sudah ada tanda yang pasti. Apa kau bukan kekasihnya?" Bija Ali mendesak. "Baik kau tunjukkan di mana dia bersembunyi."
Intan Baiduri hanya diam, tidak menjawab.
"Cakap lekas! Cakap! Kau terangkan sekarang juga!"
Tangan gadis itu dipegangnya.
"Hamba tak tahu, Datuk," sanggah Intan Baiduri.
"Cakap! Kalau tidak aku bunuh kau!" Bija Ali mencabut keris yang tersisip di pinggang.
Intan Baiduri naik kecut. Bimbang tak terkira.
"Baiklah, Datuk. Hamba akan beritahu. Dekat gua yang di Bukit Salak tu."

KETUA penyamun itu ada di ambang gua, sedang melabuhkan punggungnya ke atas sebatang pokok kelapa tumbang.
Tangannya memutar rokok daun, membalut tembakau. Kemudian rokok daun yang bergulung rapi itu diselit di celah bibirnya.
Tiba-tiba dia mendengar satu suara menjerit di sebelah kanannya.
"Jangan cuba nak melawan, kamu sudah terkepung!"
Alang Sengketa tersentak mendengarkan. Dia melihat ke satu arah, cuba memastikan.
Sekumpulan lelaki yang lengkap bersenjata tombak lembing mara semakin rapat mengepung kawasan sekitar gua itu.
Dia sedar akan keadaannya sekarang. Benar-benar runcing. Debaran jantungnya memukul keras. Rokok daun dihempasnya.
Alang Sengketa terpanggil untuk bersuara, "Kalau keadaan telah meruncing, dari aku berputih mata biar aku berputih tulang!"
Dia memegang hulu kerisnya dan bersiap sedia. Dia tidak peduli akibatnya. Apa hendak jadi, jadilah.
"Nanti. Nanti dulu. Celaka jangan dipukat, maut jangan dicari. Aku tak mahu bertentang sama kau. Aku tidak mahu bertengkar dengan kau!" tingkah Bija Ali.
"Baiklah, Datuk. Hamba percaya kata-kata dan kejujuran Datuk."

"AKU datang bukan hendak menangkap. Aku datang hendak berpakat. Berilah peluang aku berkata sebagai seorang sahabat," Bija Ali menentang pandang Alang Sengketa yang terpacak di hadapannya.
"Itu tidak menjadi keberatan buat hamba. Hamba pernah terhutang nyawa pada Datuk."
"Aku boleh bunuh kau kalau aku mahu," ucap Bija Ali sinis. "Tapi aku masih berkehendakkan sesuatu dari kau."
Lalu disimpulnya senyum pendek dengan makna tersendiri.
"Terima kasih atas timbang rasa Datuk terhadap hamba."
"Ada perkara penting untuk kebaikan kau sendiri, Alang," Bija Ali berkata penuh yakin.
"Perkara apakah itu, Datuk?" Alang Sengketa bertanya. Dadanya disarati tanda tanya. "Katakanlah, hamba dengar."
"Mari kita ke sana, kerana banyak hal yang hendak aku ceritakan pada mu."
Bija Ali berjalan beberapa tapak ke dalam gua.
Alang Sengketa mengekorinya.
Daik berjalan agak terbelakang.

"KALAU Datuk Panglima ditabalkan Sultan, sudah tentu kau akan menjadi pembesar negeri. Sebab Datuk Panglimalah yang akan berkuasa semuanya bila bersemayam di atas takhta," Daik mencelah.
"Ya, itulah cita-cita hamba. Hamba sudah lama hidup dengan penghidupan yang seperti ini. Hamba dah jemu dengan keadaan yang seperti ini. Hamba akan berusaha dengan sepenuh tenaga hamba untuk menjelmakan cita-cita hamba itu," Alang Sengketa menyimpul erat hasrat itu dalam hatinya.
"Setujukah?" tanya Bija Ali.
"Baiklah, Datuk. Hamba setuju," pantas Alang Sengketa membuat keputusan.
Hati Bija Ali dibungai kegembiraan. Wajah Alang Sengketa direnungnya tanpa kerdipan.
"Mulai dari hari ini, baiklah aturkan segala persiapan dan siapkan orang-orang. Pilihlah orangnya yang tahu menjalankan tugas."
"Itu tidak menjadi keberatan buat hamba. Akan hamba ikhtiarkan seberapa daya, Datuk," Alang Sengketa menjanjikan.
"Itulah yang diharapkan. Sekarang biarlah aku bermohon diri."
"H-mmm, baik."

PONDOK lama yang masih kukuh binaannya. Jenang muncul di muka pintu pondok itu yang dibiarkan ternganga, lalu menyusun tapak ke arah Bija Ali.
"Datuk! Datuk! Nirang dan Obeng sudah sampai!"
Bija Ali menoleh. "Yakah? Mana mereka?"
Jenang menunjukkan ke arah yang dimaksudkan.
Dengan perlahan-lahan Bija Ali menghala ke pintu. Matanya memerhati gerak langkah Nirang dan Obeng.
Langkah Nirang terhenti. Mata berpusat pada Bija Ali yang berdiri di kepala tangga.
"Datuk. Dengan berkat doa Datuk, kami semua selamat sampai," sapa Nirang.
"Bagaimana semua senjata-senjata itu?" Bija Ali bertanya, meminta kepastian.
Lihat Nirang mengangguk. "Semuanya cukup, Datuk. Tak ada yang kurang satu apa lagi. Lebih 100 bilah pedang, keris serta lembing."
Bibir Bija Ali menguntum senyum. Bulat matanya merenung Nirang.
"Ini ada hadiah dari Panglima Besi untuk Datuk," Obeng mencelah. Dia menghulurkan sebilah keris yang tercekak di dalam genggamannya.
Bija Ali tersenyum lagi. Objek di depan mata dipandang.
"Oh, sebilah keris untuk aku. Sungguh baik budinya."
Ditariknya mata keris dari sarung. Keris panjang buatan Panglima Besi, empat jengkal. Lama direnungnya keris tersebut.
"Kepandaiannya memang tak ada tolok bandingnya."
Bija Ali mencium mata keris yang terpegang dalam genggamannya lalu menggayakan dua tiga kuntum bunga persilatan Melayu. Kemudian menyarung kembali keris itu.
Sekumpulan lelaki tersembul di perkarangan pondok itu dengan menyandar beberapa buah peti.
"Letakkan peti-peti itu semua! Ha, taruh baik-baik!" jerit Nirang.
Bija Ali meneliti peti-peti itu. Hasrat ingin tahu makin menebal. Penuh semangat, dia menuruni tangga ke arah peti-peti itu.
Nirang paling muka ke arah seorang pengiring bertubuh gemuk, bermisai lebat tidak terurus yang tercongok di sebelahnya.
"Kau! Angkatkan penutup peti-peti itu supaya Datuk Panglima dapat melihat puas-puas sebelum disimpan."
Dia akur, lalu membuka kesemua peti kayu yang tidak berkunci itu.
Bija Ali tertarik dengan kandungannya. Agak lama dia membelek-belek peti-peti itu.
Nirang dan Obeng melihat nyala semangat dalam dua bola matanya.
Bija Ali menarik nafas lega. Terasa keyakinan diri semakin kuat.
"Sekarang, semuanya sudah teratur dengan sempurna. Aku berharap kita akan berhasil segala-galanya dengan baik," katanya penuh semangat.
Dia melihat ke wajah Jenang.
"Jenang!" Mendadak panggilnya.
Spontan Jenang berpaling. "Ya, Datuk?"
"Kau suruh orang-orang kita angkut senjata-senjata itu. Sembunyi ke dalam gua di Bukit Salak."
"Baik, Datuk."
"Kau ikut orang-orang kita sampai ke gua. Tapi ingat, jangan sampai nampak orang lain, tahu?" Bija Ali mengingatkan.
"Ya, hal itu hamba tahu. Hamba akan memotong jalan hutan," jelas Jenang.
"Bagus."
Jenang menoleh ke belakang.
"Bawa senjata-senjata ini semua!" tempiknya.
Pantas mereka menurut.
Selepas itu Bija Ali meniup api semangat.
"Perahu sudah di air, hanya menunggu dayung untuk ku kayuh. Tunggu saja masanya."
Dia merenung wajah Nirang seperti mahu mencari sokongan.
Daripada cahaya terpancar pada wajah Bija Ali, Nirang dapat menelah isi hati Datuk Panglima itu.
"Mudah-mudahan berjayalah hendaknya," ujarnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience