Cetera Yang Pertama 2 - SAMUDERA MENCIPTA GELOMBANG

Adventure Series 1713

HARI sudah meninggi. Matahari mencurahkan sinarnya. Cuaca cerah dan angin yang bertiup menggendong haba panas yang hangat. Bahtera Nilam Puteri yang dilengkapi dengan tiga perahu penyelamat terus meredah samudera, dengan tiang yang menjulang tinggi ke langit. Seorang panglima muda mengatur langkah memanjat tangga tali ke atas tiang layar tengah. Angin terasa berpusar-pusar datang menyentuh kulitnya.
Pemuda itu dikenali dengan nama Garak. Usianya barangkali dua puluh lima atau kurang. Dia mempunyai bentuk muka yang kemas. Tampak jernih dan bersih. Kumisnya terpelihara rapi. Dia menganggap kesopanan dan penampilan menentukan keperibadiannya. Badannya yang perkasa serta sikapnya yang berani menjadikan dia seorang yang disegani.
Garak berdiri di atas tiang layar itu. Sebuah teropong seperti yang biasa digunakan oleh pelaut di tangannya dan dilekatkan pada sebelah matanya. Lantas dipincingkan sedikit mata kanannya. Matanya makin sempit. Sewaktu dihantarkan mata kirinya ke hadapan, jauh di sana dilihatnya sebuah pulau tersergam indah dengan hutannya yang tebal menghijau. Tidak terlihat sesuatu yang menimbulkan syak wasangka. Dia mengenal seluruh sudut pulau itu sepertimana dia mengenali setiap liku tubuhnya sendiri.
Garak tahu bahawa di depannya itu ialah Pulau Seludang. Pulau itu adalah pulau liar dan tidak berpenghuni.
Garak mengkonsentrasikan teropongnya ke belakang, memandang jauh ke arah hujung laut. Dia melakukan penelitian cermat. Diamat-amatinya apa yang ada di hadapannya. Dari arah itu, dia dapat melihat tiang-tiang kapal di kejauhan yang dipuncakkan dengan jalur panji Perlak. Sebuah ghali yang sudah jelas pada pandangannya menepati seperti sangkaan Lela Sari. Itu pastilah musuh. Terlalu indah buatannya dan dinamakan Gelora Sakti. Datang ke arahnya.
Inilah yang merisaukan Garak. Sedikit demi sedikit terjadi perubahan pada air muka Garak. Sebuah debaran terbangun dalam dadanya. Dalam dadanya digenangi kebimbangan dan kesangsian. Lagi-lagi ramalan Lela Sari itu mengacau fikiran Garak.

RUANG kabin nakhoda itu kecil. Berisi dua kerusi dan sebuah meja untuk perbincangan atau berbual-bual. Di sudut kabin, terlekap ke dinding, terdiri sebuah almari dan peti kayu.
Belitung duduk di salah satu kerusi mendepani meja, selesai menulis surat untuk Lela Sari. Di hadapannya tersedia kalam dan bikar dakwat. Di situ juga ada rehal dan beberapa helai kertas.
Belitung yang kurus melidi itu asalnya tukang masak tapi akhir-akhir ini dijadikan pembantu nakhoda merangkap pekerjaan tulis-menulis. Dialah yang ganti Si Gegala derhaka itu.
Belitung mengangkat muka dan memperhatikan Lela Sari yang sedang berdiri menatap ke luar jendela sambil menyilang tangan ke belakang. Melepaskan pandangan ke arah laut.
Belitung bertanya, "Sudah, Tengku Puteri?"
Sedetik dua Lela Sari membungkam, tidak bersuara.
Belitung ternanti-nanti jawapan. Jawapan yang menentukan keputusan dan kepastian.
"Ya, itu sahaja," sahut Lela Sari. Suaranya lunak lembut. "Cuba baca apa yang tertulis kepada beta, Belitung."
"Baik Tengku Puteri," kata Belitung mengerti.
Tengku Puteri! Itulah gelaran yang diterima Lela Sari. Sudah demikian enak disebut.
"Patik baca ya, Tengku Puteri," Belitung berkata sambil mengambil surat itu dan membacanya. Kata demi kata, patah-patah perkataan yang ditulisnya.
"Ke hadapan yang mulia Pendekar Adi Putera. Mendahului beta memohon maaf andai kata ada apa-apa perkataan beta yang terkasar atau menyinggung perasaan. Tujuan beta mengirim surat ini adalah kerana beta sangat perlukan pertolongan Pak Guru.
"Sudah sampai masanya beta menceritakan rahsia yang selama ini telah dirahsiakan. Beta sebenarnya adalah anak Raja, puteri Almarhum Sultan Bachtiar Alam Shah yang pernah memerintah kerajaan Perlak dan jajahan takluknya. Raja yang dikasihi oleh segala hamba rakyat dan melaksanakan keadilan sebaik-baiknya, mati dibunuh Panglima Perang Bija Ali yang melancarkan pemberontakan dan menaiki singgahsana itu dengan paksa.
"Itu kejadian lima belas tahun dulu. Beta yakin Pak Guru tentu tahu apa yang telah terjadi. Semasa ayahanda beta masih hidup, Pak Guru yang memegang jawatan Temenggong bagi pengawal-pengawal yang taat setia terhadap Almarhum Paduka ayahanda beta.
"Pada masa sekarang ini, anak dari ketua pemberontak yang menduduki istana Perlak. Mengikut adat zaman berzaman, tidak syak lagi betalah yang berhak menduduki singgahsana yang berdaulat itu. Pembalasan harus dilakukan. Kekuasaan itu beta mesti rebut kembali. Tolonglah datang ke Tanjung Penaga untuk menolong beta. Beta waris Almarhum Sultan Bachtiar Alam Shah. Berjuanglah bersama beta."
Terdengar ketukan di atas pintu kabin yang terbuka sedikit.
"Ya, sila masuk!" teriak Lela Sari dengan kuat.
Pintu yang tadinya terkuak sudah dibuka lebar.
Garak masuk ke dalam dan menutup pintu.
Belitung meletakkan surat yang dipegangnya di atas meja, membalikkan badan dan memperhatikan Garak yang datang mendekat. Langkah Garak berhenti bila dia tiba di belakang Lela Sari.
"Patik membawa berita buruk, Tengku Puteri," Garak menyapa Lela Sari.
Lela Sari kenal suara itu. Suara Panglima Garak. Dia segera memutar tubuh.
Usia Lela Sari waktu itu baru lapan belas tahun. Dia adalah seorang gadis yang amat cantik dan menawan. Berleher jenjang, bertubuh kurus dan memiliki kehalusan kulit cerah. Keayuan dan kelembutan seorang gadis Melayu masih ada, ditambah dengan kematangan dan pengertian.
Berbaju teluk belanga, di atas kepalanya terletak tanjak dengan hujungnya terkuak-kuak ditujah angin. Keris panjang yang tersisip di lilitan kain di pinggangnya bagai seorang pendekar. Tambahan pula dia menguasai semua ilmu pencak silat. Nampak ketokohannya sebagai pemimpin.
"Kabar apakah yang dibawa?" tanya Lela Sari dengan nada suara yang diselubungi perasaan ingin tahu.
"Kapal musuh semakin dekat," Garak memberi penerangan. "Mereka lebih dekat daripada sangkaan patik."
Lela Sari menyilangkan kedua- dua belah tangannya rapat-rapat ke dadanya. "Bukankah beta sudah katakan? Telah beta duga dari mulanya. Nah, sekarang benar tak kata-kata beta?"
"Benar, Tengku Puteri," kata Garak kagum dan merasa bangga. "Barangkali inilah perasaan yang Tengku Puteri rasakan itu."
"Beta menaruh syak mungkin ada apa-apa di sebalik perjumpaan Gegala dengan Jelatang. Beta tahu yang si pengkhianat itu telah bersubahat dengan dia. Beta harapkan pagar, pagar makan padi. Beta tak sangka telunjuk mencucuk mata. Sekarang adalah nyata gerak hati beta bukanlah rasa dari tindakan yang tidak-tidak dan sudah menjadi kenyataan yang membawa kejahatan," kata Lela Sari dengan tenang. Sebab dia tidak pernah gusar dalam menempuh sebarang bala. Dia menatap ke dalam mata Garak. "Haruslah kita berjaga-jaga."
" Patik akan mengawasi segala bala petaka yang akan datang itu," ujar Garak pasti. Dia sedar dia harus segera bertindak.
Lela Sari berfikir untuk beberapa saat lamanya. "Seperkara lagi. Kalau tak salah dekat-dekat sini ada Pulau Seludang. Betulkah begitu?"
"Ya, tak jauh dari sini dan kita makin hampir."
"Dari itu, kerahkan kapal ini pergi ke sana. Tetapkan haluan ke Pulau Seludang."
"Baiklah Tengku Puteri. Patik akan beri perentah bersiap ke Pulau Seludang," kata Garak, memutus jalan fikirannya. Kemudian mengangkat sembah. "Mohon patik, Tengku Puteri."
"Ya, silakan," kata Lela Sari senang.
Garak beredar dari situ.
Lela Sari mengalihkan matanya ke wajah Belitung. Mata mereka bertemu.
"Belitung! Mana Si Deramang? Beta suruh dia lekas, sampai sekarang tak nampak-nampak juga mukanya. Masih belum siap-siap lagi?" tanyanya, berjalan ke arah meja lalu duduk menghadap Belitung.
Pertanyaan itu mengusutkan fikiran Belitung.
"Entahlah. Patik kurang periksa, Tengku Puteri," kata Belitung sesudah perasaannya kembali tenang.
Berkerut kening anak gadis itu mendengarkan penjelasan Belitung. "Panggil dia ke mari, lekas! Beta tunggu!"
Belitung mengangguk, "Titah Tengku Puteri patik sampaikan segera." Dia mengangkat sembah. "Mohon patik, Tengku Puteri."
Lalu dia pun menghilang, meninggalkan Lela Sari bersendirian.

LELA Sari mengusap keris panjang tiga jengkalnya dengan limau purut. Pati limau purut mengalir dan jatuh ke dalam bekas dupa berukir. Asap kemenyan dari dupa berkepul-kepul naik ke langit-langit kabin.
Terdengar ketukan di pintu yang separuh terbuka. Ketukan yang berulang kali.
Diletakkannya keris itu di atas meja.
Daun pintu terbuka lapang. Deramang yang bertubuh kecil dan kerdil bergegas masuk. Belitung di belakangnya.
Lela Sari mengangkat muka, memandang Deramang.
Deramang menghidap sejenis penyakit tumbesar terbantut yang menyebabkan tubuhnya tidak membesar seperti orang dewasa lain. Dia tidak pernah meminta itu semua. Itu telah disuratkan sejak azali lagi. Tidak mungkin seseorang itu boleh sempurna sifat dan ilmunya. Meskipun kerdil, manusia pendek itu seorang yang periang. Wajahnya sama sekali tidak memberi kesan rendah diri.
"Patik datang, Tengku Puteri." Deramang mara ke hadapan seraya mengangkat sembah kepada Lela Sari.
"Sudah dijemput baru datang?" Suara Lela Sari dingin dan keras.
"Harap diampun, Tengku Puteri," ujar Deramang. Baginya suara Lela Sari yang keras nadanya itu sedikit pun tidak membekas di hatinya. "Patik terlambat. Patik baru saja selesai berkemas-kemad. Patik minta maaf atas kelewatan ini."
"Tak mengapa, Deramang," kata Lela Sari dengan nada suara berubah lunak. Muka Deramang yang hening dan ramah itu agak meredakan panas hatinya. "Mari duduk."
"Ampun Tengku Puteri," Deramang cepat-cepat menjawab. "Biarlah patik berdiri saja."
"Mari sini, duduk," kata Lela Sari, masih juga dengan nada lunak.
Deramang duduk berseberangan dengan Lela Sari.
Belitung berpeluk tubuh di muka pintu. Bahu kanannya disandarkan di jerjak pintu. Dia mendengar saja.
"Ada perkara penting beta minta tolong pada Deramang dan beta meminta taat setia Deramang," tegas Lela Sari, berharap benar.
"Jangan minta tolong, perentahkan saja, akan patik lakukan. Katakan Tengku Puteri."
"Deramang, beta nampak kau seorang yang berani dan boleh diharap," kata Lela Sari, cuba meletakkan kesungguhan dalam dada Deramang. "Beta ada kerja istimewa untuk kau."
"Perentah Tengku Puteri terjunjung oleh patik. Apa saja yang Tengku Puteri suruh, patik akan mengerjakannya." Dengan tertib dan sopan Deramang menjawab.
Lela Sari mengangguk. "Beta tahu kau berkemampuan."
Deramang menggaru kepalanya sambil berfikir dalam-dalam dan duduk tegak.
"Tapi apa dia, Tengku Puteri?" Deramang ingin tahu.
"Pernahkah kau mendengar nama Pendekar Adi Putera?"
"Pernah juga patik mendengar kabar. Mengikut kata orang, dia itu orang bertapa. Bukankah dia guru silat Tengku Puteri?"
"Ya, pada dialah beta berguru. Pendekar Adi Putera itu yang lebih jelas lagi ialah Tun Nila dari kerajaan lama Perlak yang selama ini telah menyamar diri dan dia dulu teman seperguru dengan Laksamana Megat Komeng."
Lela Sari mencondongkan dirinya ke depan, tangannya di atas meja. "Beta ada surat bingkisan di sini. Terimalah." Dia menghulurkan tabung buluh berisi surat kepada Deramang dan melanjutkan. "Pergilah kau cari Pendekar Adi Putera dan sampaikan surat ini padanya. Katakan beta nak jumpa dia. Semuanya beta telah tulis dalam surat ini. Dia fahamlah nanti."
Deramang mengangguk menyetujui. Maksud Lela Sari sudah jelas baginya. "Patik akan sampaikan Tengku Puteri."
"Nah, pakailah cincin Mustika Bumi ini." Lela Sari menanggalkan cincin emas yang sederhana bentuknya dari jari manis tangan kirinya. "Pendekar Adi Putera telah berpesan. Sekiranya ada apa-apa kesusahan, hantar cincin ini kepadanya."
Lela Sari menarik laci meja. Tangannya pantas menggodam mencari sesuatu. Dikeluarkan seutas kalong.
"Mari Deramang, sarungkan kalong Panca Delima ini di leher mu," Lela Sari memanggil sambil menghulur kalung itu kepada Deramang.
Deramang mendongak dan mengunjurkan tangannya untuk mengambil kalong dari telapak tangan Lela Sari.
"Berguna sungguhkah kalong ini?" tanya Deramang ingin tahu.
"Kalong itu sangat berguna. Simpan dan peliharalah baik-baik. Kalong itu untuk pendinding dalam perjalanan nanti. Ia akan diperolehi di saat yang tertentu setelah kau dicuba," jelas Lela Sari dengan lantunan suara yang lembut tapi tegas.
Deramang angguk-angguk, mengerti sebagai pembuktian kesungguhannya pada sebuah pengharapan. Dia menyarungkan kalong itu di lehernya.
"Ingat. Jagalah surat, cincin dan kalong itu dengan teliti. Jagalah ia bersungguh hati. Seperti menjaga nyawa sendiri," pesan Lela Sari.
"Jangan bimbang Tengku Puteri," Deramang meyakinkan Lela Sari. "Patik akan jaga surat, cincin dan kalong ini lebih daripada nyawa patik sendiri. Patik akan menjaga ia sebagai menjaga ia sebagai menjaga pusaka."
Lela Sari memuji, "Ah, bagus."
Lagi-lagi Deramang menggaru-garu kepala. "Ampun Tengku Puteri. Hendak mencari tak tahu tujuan. Kalau patik tahu di mana orang yang dicari, di lautan api pun sanggup patik pergi "
"Pergilah kau ke Pulau Puaka."
"Pulau yang telah disihir itu?" soal Deramang pada Lela Sari.
"Kau boleh kata begitu. Ia merupakan sebuah pulau yang tak dapat ditemui melainkan oleh orang yang dah tahu tempatnya. Di sanalah pendekar Adi Putera menunggu dan bersedia menolong beta."
"Tetapi di manakah arahnya Pulau Puaka itu, Tengku Puteri?"
"Kau ikut arah timbulnya matahari dengan berpandukan fikiran yang waras. Kau cari sampai dapat. Sebelumnya engkau berjumpa, jangan kembali ke Tanjung Penaga. Kau mesti kembali membawa Pendekar Adi Putera kepada beta. Kalau berjaya, beta anugerahkan kemewahan."
Deramang memandang Lela Sari dengan penuh erti. "Petang hari pasang pelita. Pasang mari di tengah rumah. Kalau demikian sudah dikata. Patik hanya menurut perentah."
Lela Sari berdiri lalu memutari meja, menepuk bahu Deramang. Kemudian ada suatu fikiran yang menyusul. "Jangan kuatir, Deramang. Beta tahu perkara ini agak sukar. Dari itu, kau tak akan pergi seorang diri mencari Pendekar Adi Putera."
Lela Sari menajamkan matanya ke mata Belitung.
"Belitung!" serunya dengan tajam.
Belitung melangkah ke arah Lela Sari. Bergegas-gegas dia meninggalkan muka pintu tempat dia sejak tadi bersandar.
"Bersedia mengikut Deramang," saran Lela Sari. "Kepergian kau selaku pembantunya dan jaga keselamatan dirinya baik-baik. Kau pastikan dia selamat dari segala bahaya. Mengerti?"
"Titah patik junjung, perentah patik jalankan," kata Belitung menyetujui. "Walau ke gunung atau ke lautan api sekali pun, patik sanggup. Kalau berat, patik belah. Kalau tinggi, patik kerat. Patik akan melindungi Deramang sedaya-upaya."
"Semasa kau berdua pergi mencari Pendekar Adi Putera, janganlah kau berdua bermusuh-musuhan dan berselisih faham."
"Kami berjanji," Belitung segera menjawab. Suara jawapan yang tetap dan tegas. "Patik mohon untuk bersiap-siap, Tengku Puteri."
Lela Sari mengangguk tanda mengerti. "Silakan. Tapi ingat Belitung, kau jangan berjauhan dari Deramang."
"Maafkan patik, Tengku Puteri. Adakah lain-lain perkara yang hendak Tengku Puteri titahkan kepada patik?" Deramang memberanikan diri mengatakan. "Sekiranya tiada apa-apa lagi, biarlah patik tolong Belitung siapkan segala alatan berlayar."
Lela Sari berpaling. "Pergilah siapkan barang-barang yang kau akan bawa. Beta pun nak bersendirian buat masa ini."
"Kalau begitu, bermohon patik, Tengku Puteri," kata Deramang mengangkat sembah kau beranjak berdiri. Kemudian berpaling kepada Belitung dia meneruskan, "Mari Belitung!"
Deramang melangkah dan kakinya menuju pintu. Ketika dia mencapai pintu, Belitung bergegas menyusulinya dari belakang.

BAHTERA Nilam Puteri menghampiri Pulau Seludang. Layar diturunkan dan sauh dijatuhkan ke dalam laut. Nilam Puteri berlabuh.
Lela Sari muncul di dek. Tapak kakinya mencengkam lantai geladak.
Deramang yang berbekalkan beg galas kulit kambing, berjalan kira-kira tiga hasta di belakangnya. Dia telah menyuruh Belitung berlengkap sebuah perahu kenaikan dan bekalan makanan secukupnya.
"Perahu sudah siap dan bersedia untuk berlayar, Tengku Puteri," desis Deramang dari belakang Lela Sari. Deramang berusia 30 tahun, namun ketinggiannya hanya empat kaki dan dia terpaksa mendongak untuk memandang Lela Sari yang mempunyai ketinggian lima kaki lima inci.
Lela Sari berpaling dan berkata, "Itu semolek-moleknya."
Waktu berdetik lewat ketika mereka saling berdiri di dek, sambil mengawasi perahu yang terpaut di tepi bahtera itu yang sedang mendendang-dendang dipukul arus. Belitung sudah bersedia menunggu di dalam perahu yang teroleng-oleng dimainkan alun itu. Hanya menunggu Deramang berangkat turun ke perahu.
Tiba-tiba Lela Sari menekankan kedua belah tangannya ke mulutnya, seperti satu corong menghala ke arah Belitung.
"Bagaimana semua bekal-bekalan?" laungnya. Dia minta kepastian.
Belitung menoleh. Pertanyaan itu daripada Lela Sari. Nyata ditujukan kepadanya.
"Semua cukup Tengku Puteri. Tak ada yang kurang satu apa lagi!" Belitung memberi jaminan.
"Itulah yang diharapkan!" ujar Lela Sari.
Dia merapati Deramang dan meletakkan sebelah tangannya ke atas bahu lelaki kerdil itu sambil berkata:
"Beta mengharapkan kau. Bak kata pepatah. Tinggi gunung, tinggi lagi harapan beta pada kau."
"Akan patik ikhtiarkan seberapa daya, Tengku Puteri," kata Deramang terus-terang. "Patik berjanji iaitu lebih baik patik mati daripada kecewa menjalankan titah perentah Tengku Puteri. Biar patik dikuburkan orang di tengah jalan, namun pulang dengan tangan kosong tidak sekali. Patik tidak akan kembali jika tidak bersama Pendekar Adi Putera."
Deramang begitu yakin dan bersemangat. Dia merasa bisa memahami Lela Sari dan dia yakin bisa menangani tugas apa pun yang diberikan Lela Sari kepadanya. Begitu azam Deramang di dalam hati.
Lela Sari mengangguk. Apakah Deramang akan berjaya? Masa yang akan menentukannya. Tangannya mengeluarkan satu kotak bersinar keemasan dari saku bajunya dan kotak itu terus dimasukkan ke dalam satu uncang.
"Kalau begitu, nah terimalah Deramang, emas bekalan ini," katanya sambil menghulurkan uncang dalam genggamannya itu. "Gunakan dengan sebaik- baiknya dan pergunakanlah pada saat benar-benar perlu."
"Limpah kurnia Tengku Puteri patik junjung," kata Deramang lancar. Dia menerima pemberian ikhlas gadis itu. "Patik akan menurut segala pesanan Tengku Puteri dan emas ini akan patik gunakan untuk jalan yang sebaik-baiknya."
"Beta berdoa agar kau selamat pergi dan selamat kembali," Lela Sari memperhatikan Deramang.
"Patik ucapkan terima kasih atas doa Tengku Puteri itu."
"Jagalah diri baik-baik dan ingatlah segala pesanan."
"Jangan kuatir Tengku Puteri. Patik tahu kewajipan patik. Kalau sesat, patik bertanya. Kalau jahil, patik belajar," Deramang menjanjikan. Perhatian Lela Sari membuatnya merasa senang. "Moga-moga dengan berkat doa Tengku Puteri, patik akan perolehi kejayaan. Patik pergi sekarang untuk menunaikan kewajipan. Mudah-mudahan patik akan kembali dengan membawa hasil yang baik."
"Mudah-mudahan, Deramang."
"Selamat tinggal, Tengku Puteri."
"Baiklah, selamat berangkat, Deramang," kata Lela Sari lembut.
Deramang turun dari bahtera dengan menggunakan anak tangga yang tergantung di sisi luar dan melompat ke dalam perut perahu yang agak panjang dan besar itu. Perahu itu miring sedikit.
Deramang duduk mengemudikan perahu. Dia melambaikan tangan.
Kayu pengayuh perahu mulak menguak air dan didayung pergi oleh Belitung. Menuju ke arah yang dikehendaki.
Beberapa ketika kemudian layar pun dinaikkan oleh Deramang. Angin bertiup dari arah laut lepas dan menggelembungkan layar ke arah Pulau Seludang.
Lela Sari mengawasi kepergian perahu yang sudah meninggalkan bahtera Nilam Puteri.
Dengan tiba-tiba muncul Garak.
Lela Sari berpaling ketika panglima itu mendekati dari belakang dan berkata:
"Mengikut gerak rasa di dada beta, Deramang dan Belitung dapat menjayakan harapan kita."
" Mudah-mudahan," Garak menyokong Lela Sari. "Masa sajalah yang dapat menentukan, Tengku Puteri. Kalau bernasib baik, usaha kita tak akan sia-sia."
Rencana Lela Sari dengan mereka cukup sederhana saja. Segala-galanya telah dirancang. Mereka diminta bersembunyi di Pulau Seludang sehingga ghali musuh melewati pulau itu. Kemudian mereka diminta segera berangkat ke Pulau Puaka. Begitulah harapannya.
"Tengku Puteri dah bersedia untuk berlayar?" tanya Garak dengan sopan.
Lela Sari mengangguk. Lalu dia berkata, "Baik. Kita berangkat sekarang."
Garak melepaskan pandangannya dari Lela Sari. Dia berteriak kepada para awak bahtera yang berkumpul di salah satu sisi geladak. "Tarik sauh! Naikkan layar! Cepat!"

NILAM Puteri sekarang melaju di tengah samudera. Lela Sari ditemani Garak, berjalan melangkaui gulungan tali dan halangan lain di geladak untuk memereksa perlengkapan perang. Segala perlengkapan perang sudah siap sedia. Beberapa buah pelancar manjanik tampak diatur berderetan di kiri kanan kapal. Kesemuanya terisi dan siap dilontar. Mereka menelitinya satu per satu.
"Gelora Sakti semakin mendekati kita," kata Garak. "Ia punya kelebihan ke atas kita. Reka bentuknya mampu membuatnya bergerak pantas dan angin sedang bertukar arah, memihak kepadanya."
"Kita tak boleh melepasi mereka, tetapi kejutan memihak kepada kita dan beta suka kelirukan musuh beta," Lela Sari mengingatkan. Dia berhenti melangkah dan berpaling ke arah Garak, "Bunyikan gong. Kumpulkan orang-orang kita. Beta ingin sampaikan sepatah dua kata."
Garak mengangguk dan pergi memukul gong di anjung kemudi sepuluh kali.
"Anak-anak kapal semua! Berkumpul! Mari kita berkumpul!" Garak memberitahu orang-orangnya. Suaranya parau meneriak. "Hoi! Semua ke mari lekas! Semua orang berhimpun di sini! Berkumpul semua!"
Perhimpunan semakin ramai dan padat. Semuanya tiga ratus orang ikut dalam angkatan Lela Sari itu. Masing-masing telah tahu diri dan tahan terpaan derita. Mereka bersenjata lengkap.
Lela Sari berdiri gagah di bahagian atas anjung kemudi bahtera, kelihatannya begitu perkasa di depan perhimpunan itu. Dia memandang ke kiri, ke kanan.
Garak di sampingnya.
Lela Sari memberi isyarat kepadanya.
Gong dibunyikan kembali.
Semua yang hadir tiba-tiba menjadi hening.
Lalu dengan suara tinggi Lela Sari mulai bicara:
"Dengar sini! Dengar sini sekalian yang ada! Dah sejauh ini, Megat Komeng yang bergelar Laksamana masih mengekori jejak kita. Beta pilih kamu semua untuk berlayar mencari Pendekar Adi Putera kerana kamu semua berani menggunakan senjata dan tak takut bertempur. Cukup terlatih dalam ilmu perkelahian. Kita semua akan berperang! Dari itu, bersiap-siaplah! Bersedia untuk berperang!"
Tiba-tiba seorang yang mendengar berkata:
"Alang-alang seluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mandi, biarlah basah. Patik sekalian akan hidup semati dengan Tengku Puteri yang mulia. Patik semuanya sanggup berkorban nyawa, Tengku Puteri. Susah, senang sama-sama kita menanggung!"
Dia seorang pemuda yang jangkung. Dagunya persegi dan bahunya bidang sekali. Bernama Uda.
Yang lain pula menyampuk:
"Tengku Puteri! Ayam belum berlaga, belum tahu kalah menangnya, Tengku Puteri. Sebelum ajal, berpantang mati! Biarlah masa ini menjadi masa kita bertarung bersama-sama, Tengku Puteri!"
"Gembira beta mendengarnya. Inilah kata dan semangat yang beta harap-harapkan dari kamu semua. Keberanian yang seperti inilah menjadi kemegahan beta." Lela Sari berhenti sebentar. "Ketahuilah oleh kamu semua, kita telah diletakkan dalam kedudukan sama ada untuk menerima keadaan sekarang atau mencabar pihak Sultan. Kita telah memutuskan untuk menentang Sultan yang zalim itu. Berkorban apa saja. Harta atau pun nyawa. Beta bersumpah akan melawan Sultan itu sampai ke titisan darah akhir. Untuk apa? Untuk keadilan! Keadilan! Itulah Perlak yang beta impikan. Marilah kita sama-sama memulihkan kembali keadilan setakat mana yang boleh. Apa bicara saudara-saudara semua?"
"Kembalikan keadilan!" gamat datang suara manusia ramai.
"Dengar semua kawan-kawan. Beta merasa megah kerana adanya perpaduan untuk menuntut keadilan. Kita berada di sini sebagai membuktikan kenyataan yang penyelesaian kepada masalah ini terletak di tangan kita." Suara Lela Sari yang mersik itu memantul ke setiap gendang telinga.
Terdengar sebuah suara di hadapannya:
"Kami bersama-sama Tengku Puteri!"
"Kamu semua adalah orang-orang beta yang taat-taat setia," kata Lela Sari dengan lembut. "Setakat itulah saja. Bersurailah. Jalankan kerja masing-masing di tempat yang ditetapkan."
Semua yang ada di situ memandangnya dengan mata yang penuh penghargaan. Tampaknya mereka puas. Kemudian kerumunan orang mulai bubar, bersurai mengikut hala kaki masing-masing.

UDA menuju ke anjung kemudi. Tatkala itu Lela Sari sedang mengemudikan Nilam Puteri. Bahtera itu bergerak membelah ketenangan laut yang biru. Di kiri Lela Sari, Garak di sisinya.
Lela Sari mengerlingkan matanya sekilas ketika melihat kedatangan Uda.
"Ini bajunya, Tengku Puteri," kata Uda. Selagi berkata demikian dihulurkannya baju besi terlibat itu ke tangan Lela Sari.
"Jaga kemudi, Garak," perentah Lela Sari.
Garak segera menjalankan tugas itu. Tangannya memegang erat gelagat kemudi.
Lela Sari membungkus badannya dengan baju besi itu untuk melindungi diri dari sayatan senjata tajam. Meskipun demikian, baju itu sama sekali tidak menutupi kerampingan tubuhnya, juga langkahnya yang gemulai.
Sikap serta pembawaannya sangat menawan bagi setiap mata yang memandangnya, demikian fikir Uda.
"Tengku Puteri kelihatan sudah sedia untuk peperangan," kata Uda dengan tersenyum.
"Oh, sudah tentu Uda," ujar Lela Sari mengiakan. "Dan beta akan buktikan segala kepercayaan engkau."
"Patik yakin, Tengku Puteri."
"Sudahlah, engkau boleh pergi. Nanti kalau beta mahu apa-apa, beta panggil engkau."
"Mohon diri, Tengku Puteri." Uda menunduk hormat pada Lela Sari.
Lela Sari memperhatikan Uda pergi.
Tanpa sedikit pun tanda-tanda bahawa dia berolok-olok, Garak berkata kepada Lela Sari. "Tiga ratus tidak cukup mematah serangan Laksamana Megat Komeng. Dia mempunyai pasukan tentera yang besar. Bilangan mereka ramai. Mereka dua kali lebih banyak. Pada fikiran patik, mustahil perkara ini dapat dilakukan. Tengku Puteri berani menghadapi kemungkinan ini?"
Sejenak gadis itu memandang dengan mata yang suram dan tubuhnya tergoncang oleh gempuran kata-kata Garak itu. "Buangkan rasa takut kau. Kita semua perlu berani. Kita boleh berikan tentangan. Bukan jumlah yang penting tetapi kepantasan dan kejutan. Ada kalanya jumlah sedikit mampu buat perbezaan. Jiwa kita hanya dalam tangan kita seorang. Kesudahannya terserah pada Tuhan."
Tiba-tiba ada harapan memancar dari air muka Lela Sari.
"Perjuangan kali ini terlalu sukar untuk kita. Perang terhadap Laksamana Megat Komeng pastinya tidak mudah. Ia seperti cuba menangkap belut dengan tangan," sahut Garak dengan sedih. Untuk sesaat dia berdiri dengan wajah kosong. "Tetapi patik tidak takut mati. Semua kematian adalah pasti. Patik nak buat yang terbaik hari ini."
Gadis itu mengangguk dengan acuh tak acuh. Dua tiga urai rambutnya terbang ke pipinya, dia selak dengan telunjuk ke tepi. "Beta tahu kau akan buat beta bangga. Kita akan ketahuinya bersama."
Garak menenggelamkan matanya ke dalam muka Lela Sari dan berkata dingin, "Lembing akan dan perisai akan bertaburan. Berjuang untuk Tengku Puteri adalah satu penghormatan. Kalau ajal, biar sama kita menempuh." Dia terdiam dan kemudian berkata lagi, "Apa agaknya yang difikirkan pihak di sebelah sana?"

MEGAT Komeng berdiri tegak di atas dek sambil berpeluk tubuh. Kepalanya diikat dengan tengkolok bersimpul gaya Laksamana. Dia memandang ke bahagian depan ghali.
Dalam angkatan laut Perlak, hanya ada satu pemimpin agung iaitu Megat Komeng yang memegang tampuk kekuasaan penuh. Laksamana itu adalah seorang pegawai pemerintah yang berumur di dalam lingkungan lima puluh tahun, mempunyai sosok tubuh yang tinggi sasa. Ada kumis menyeri bibirnya yang tebal.
Ada pun jawatan Laksamana itu duduk di atas segala hulubalang panglima. Keris yang terselit di pinggangnya itu jangan sampai tercabut atau terhunus. Tikamnya tak bertanya.
Jika membunuh orang pun Laksamana itu tiada bertanya dan tiada dipersembahkan kepada Sultan. Kedudukan Laksamana dalam urus tadbir pula boleh dia menggantikan pekerjaan Bendahara atau Temenggong.
Kini Datuk Laksamana berada di laut yang luas dan tidak bertepi, berlayar dengan ghalinya, Gelora Sakti. Sedang menghambat Nilam Puteri. Megat Komeng yang berkepala botak itu merasa riang gembira seperti biasanya jika satu perburuan sedang berlangsung dengan lancar.
Dia adalah Laksamana sejati, seorang pendekar yang tidak terkalahkan. Dalam bidang persilatan, kebolehan Megat Komeng tidak boleh diperkecilkan. Dia pun ahli dalam memanah dan perkelahian dengan Kris atau sundang.
Datuk Perwira Jelatang menghampiri Megat Komeng.
"Apa perkara yang kau bawa?" tanya Megat Komeng apabila menyedari Jelatang datang.
"Datuk, hamba sangat sukacita hendak memberitahu kepada Datuk bahwa kelengkapan peperangan dan pendekar-pendekar kita semuanya sudah sedia. Semuanya sudah teratur dengan sempurna. Kami hanya menunggu arahan."
"Berapa lama lagi kita akan sampai?"
"Tak lama lagi, Datuk. Angin berpihak kepada kita."

MEGAT Komeng muncul di depan perhimpunan. Bilangan mereka terlalu ramai dan mereka berseragam lengkap dengan mata lembing berkilau. Ada yang tinggi, ada yang pendek, ada yang gemuk, ada yang kurus melengking dan bermacam-macam bentuk tubuh lagi. Masing-masing memasang telinga, seperti tidak sempat-sempat lagi mahu tahu.
Megat Komeng bercekak pinggang. "Hei, kawan-kawan! Dengar sini! Lela Sari sudah menderhaka kerana ingkar dan hendak menghalang kemajuan raja di dalam negeri ini. Malah dia menuntut takhta Perlak. Takhta hanya diturunkan kepada pewaris lelaki. Dia hanya memikirkan keuntungan bagi diri sendiri. Bahkan Datuk Bendahara Mutalib pun ada bersubahat dengannya. Perbuatannya semata-mata derhaka. Kerana mereka sudah sungguh-sungguh, kita tidak boleh lagi bertangguh. Kita diperentahkan untuk menangkap mereka berdua!"
"Pantang Melayu derhaka!" ujar Jelutong, menjerit kuat. Dia bertubuh sedikit gempal dengan bekas luka yang lama memanjang pada lehernya. Panglima yang bengis dan dahagakan darah. "Kami sebagai rakyat yang tidak pernah derhaka kepada raja, ta'at menjunjung perentah Tuanku."
"Pisau di tangan Tuanku, mentimun di tangan kami. Hiris tebal, teballah ia. Hiris tipis, tupislah ia," ujar Bagok pula. Tiba-tiba dia terdiam beberapa saat. Jari-jemarinya mengurut dagu dan pipinya yang dipenuhi kumis dan janggut yang tidak pernah dijaganya. "Tapi malangnya Sultan tak ada di sini." Bibir diketapnya.
"Sultan tak pernah menjejak kaki selain di tanah Perlak. Jika dia selangkah dari Perlak, itu sudah terlalu jauh," desis Dupa ke telinga Bagok
"Memang benar," suara Bagok seperti berbisik saja.
"Pada penglihatan hamba sekalian, di kapal ini Datuk Laksamanalah yang boleh beri keputusannya. Bukankah Datuk Laksamana mewakili Sultan dalam pelayaran ini? Oleh sebab itu, perentahkanlah apa saja!" cetus Nibong, memandang jauh ke dalam bola mata Megat Komeng. Mukanya penuh dengan jerawat yang kematu. "Hidup kami cuma dengan satu tujuan saja iaitu berbakti kepada raja."
Megat Komeng mengangguk kepalanya yang licin seperti buah tembikai. Direnungnya Nibong seraya berkata, "Dengarlah kamu sekalian. Sekarang ini kapal penderhaka bedebah itu ada tidak jauh dari Gelora Sakti ini. Bersedialah untuk menunjukkan keperwiraan. Kita akan menyerang mereka. Ingat, askar Perlak boleh gugur tapi tak boleh kalah!"
Dia mendongak, menancapkan pandangannya ke langit tinggi kebiruan. Sekawan burung terbang dengan bebas, memecah di angkasa kemudian menjunam ke permukaan laut dan menyambar sesuatu.
Megat Komeng menyeringai. Terasa keyakinan diri semakin kuat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience