MALAM berlabuh. Bintang-bintang mengerdip. Balai Penghulu kampung Pulau Sentosa terang benderang dengan api jamung dan pelita yang dipasang mengelilingi halamannya. Ditambah lagi terangnya apabila dibuat unggun api untuk menghalau nyamuk.
Di muka depan balai terbentang satu kawasan tanah lapang yang menyediakan seratus kerusi tersusun di tepi meja-meja makan, tempat mengadakan jamuan. Kawasan lapang itu diterangi oleh obor di setiap penjuru dan lengkung. Ruang yang tadinya kosong, kini sudah dipenuhi oleh sekian ramai tamu.
Penghulu Awang Lekiu duduk bersila bersama para perwakilan kampung Pulau Merlimau yang seramai tujuh orang semuanya di tingkat atas Balai Penghulu. Hidangan khusus jelas tersusun di hadapan mereka.
Ketika masing-masing menghirup kopinya, Penghulu Karma Jaya merenung Awang Lekiu yang waktu itu duduk bersila di sebelah kirinya.
"Datuk tahu bukan, apa yang telah berlaku di kampung Pulau Bakau?" Karma Jaya mengajukan soalan.
"Itu hamba tahu. Begitu banyak kematian. Begitu kejam sekali manusia terhadap manusia," ujar Awang Lekiu dengan suara pilu. Rasa kasihan yang amat mendalam mengocak dalam dadanya.
Sepantas kilat terbit lintasan peristiwa itu dalam ingatannya. Dia tidak akan lupa sampai akhir hayat, peristiwa yang melumpuhkan kampung Pulau Bakau itu.
"Tak habis-habis kisah keganasan lanun. Datangnya dengan tidak disangka-sangka. Perginya pun dengan tiba-tiba," sela Awang Sulong dengan nada simpatik.
"Ini kejadian sangat dahsyat. Memang
lanun-lanun itu tak berperikemanusiaan," sampuk Pak Malau yang duduk di sisi kiri Awang Sulong, menambahkan.
Pak Sagu mengeluh. "Kalaulah manusia boleh berkasih-kasihan yang tidak dicampur oleh kepalsuan. Amanlah hendaknya alam ini."
Dia mahukan kedamaian.
"Yang menghairankan hamba, ada mayat-mayat si mati hilang," Awang Lekiu hairan. Matanya bertaut ke wajah Karma Jaya.
"Hamba pun tak faham dan hairan mendengarkan perkara ini. Pelik juga hamba memikirkannya," Chulan memanfaatkan kesempatan yang diperolehnya untuk berbicara.
"Apa yang pelik? Semua yang berlaku ada sebabnya. Mayat-mayat itu semua dibawa oleh lanun-lanun itu. Tak seorang pun ditinggalkan," jelas Karma Jaya.
Awang Sulong dan Chulan mengangguk faham.
"Apa tujuannya Tok, mereka berbuat begitu?" tanya Chulan.
Berkerut dahi Karma Jaya. "Entahlah, hamba pun tak tak tahu."
"Perkara ini tak boleh didiamkan begitu saja. Kita harus bersatu padu dan bekerjasama untuk menghapuskan lanun-lanun itu," ujar Awang Lekiu antara keluhan dan harapan.
"Memang benar. Kalau beban itu berat, mari sama-sama kita pikul," susul Karma Jaya. "Kalau beban itu ringan, mari sama-sama kita jinjing."
"Yang berat menjadi ringan, yang sulit menjadi senang," Awang Lekiu menggumam.
Dengan kesedaran ini, pelan-pelan mereka dapat mengatasi frustrasi yang menghentam diri mereka.
SUARA canang bergema dipukul oleh Pak Malau.
Suara keriuhan mula reda. Setiap mata tertumpu pada serambi atas Balai Penghulu satu tingkat itu. Mereka semua mengalihkan pandangan ke arah Pak Malau.
"Wahai anak-anak kampung. Mohon hamba berkata barang sepatah," Pak Malau berdehem dan menyambung, "Kita mengadakan jamuan pada malam ini kerana meraikan kedatangan Penghulu Karma Jaya dari kampung Pulau Merlimau dan bagi mendengar sebuah pengumuman dari istana Bentan. Tak payahlah hamba berpanjang lebar lagi. Sekarang dipersilakan Penghulu Awang Lekiu memberikan penerangan-penerangan."
Sesudah itu Awang Lekiu pun keluar ke serambi Balai Penghulu. Dia tunduk seketika sebelum memulakan bicara.
"Wahai anak buah ku sekalian. Seperti saudara mengetahui, celaka telah menimpa kampung Pulau Bakau. Kampung itu diserang lanun. Banyak kerosakan telah berlaku. Mereka membakar rumah-rumah dan banyak yang menjadi korban."
"Jadi supaya jangan kejadian itu berlaku di sini, hamba telah ke istana, menyampaikan perkara ini kepada Sultan. Pasalnya Datuk Laksamana masih uzur akibat ditimpa petaka ketika menunaikan kewajipan dan Datuk Temenggong terpaksa berlayar ke Majapahit kerana diperintahkan membawa ufti bersama panglima-panglima, maka ke bawah Duli memerintahkan kampung Pulau Sentosa dan kampung Pulau Merlimau menyumbangkan tenaga bakti untuk memerangi lanun-lanun yang mengancam keamanan negeri kita," Awang Lekiu berkata dengan penuh semangat, seolah-olah sudah lama dia memikirkan rancangannya itu.
Awang Lekiu menarik nafas baru dan menyambung ucapan.
"Menurut siasatan Datuk Temenggong, lanun-lanun yang ada itu hanya baki yang telah dibersihkan. Ketahuilah oleh kamu semua. Yang dapat menangkap ketua lanun itu sama ada hidup atau matinya, Sultan akan menganugerahkan pangkat dan memberikan hadiah."
"Relakah kamu semua?" Awang Lekiu bertanya dengan lantang.
Orang ramai yang sedang berkerumun di depan Balai Penghulu itu mula bercakap-cakap sesama sendiri. Akhirnya salah seorang daripada mereka menyahut, "Kami rela! Ringan sama dijinjing, berat sama dijunjung. Kalau terlentang biarlah sama-sama menghadap embun. Kalau tertiarap, biarlah sama-sama makan pasir. Kami tak mahu terjadi seperti di kampung Pulau Bakau!"
Awang Lekiu memandang muka Guntur yang bercakap bagi pihak mereka yang berada di situ. Pemuda itu telah menghentikan gumam-gumam yang kedengaran.
Awang Lekiu tersenyum lebar. "Saudara-saudara penduduk Pulau Sentosa. Hamba tak sangka di dalam kampung ini ada pendekar-pendekar. Maka dari itu hamba harap, keamanan kampung ini hamba serahkan pada saudara-saudara untuk menjaganya."
"Kampung Pulau Sentosa akan menghantarkan tiga puluh sukarelawan yang akan diketuai oleh Awang Sulong untuk mengadakan kawalan di tempat yang akan ditetapkan. Rasanya, tak ada orang lain yang layak selain daripada Awang Sulong." Suara Awang Lekiu semakin nyaring.
"Tepat sekali, Tok! Hamba setuju dengan pemilihan Tok Penghulu itu!" sokong Kulop yang berdiri di samping Guntur. Lelaki yang lewat dua puluhan.
"Sudah semestinya, Tok. Sudah kenalah pada tempatnya kalau Awang Sulong dilantik sebagai ketua!" tokok Guntur.
Awang Lekiu berpaling, kemudian bertanya penuh minat. "Bagaimana pula pikiran mu, Malau?"
"Pada pikiran hamba, terserah sajalah pada Awang Sulong," ujar Pak Malau lambat-lambat. "Hitam dan putih di tangannya. Kalau hitam katanya, hitamlah. Kalau putih katanya, putihlah."
Awang Sulong mendekati mereka.
"Ini satu penghormatan. Awang bersedia lakukannya dengan senang hati, ayah. Sedikit tiada halangan untuk berbakti kepada Sultan." Dia menyatakan dengan terus terang.
Awang Lekiu merenung wajah anak lelakinya yang satu-satunya itu penuh harapan. "Betulkah kata-kata engkau tu, nak?"
"Ya, ayah. Awang tak pernah cakap bohong dengan ayah. Awang akan mengangkat senjata melawan lanun-lanun itu. Awang akan berusaha sehabis kudrat Awang," Awang Sulong berjanji kepada Awang Lekiu.
"Bagus! Bagus Awang! Itulah yang ayah suka," ujar sang ayah sambil menepuk-nepuk bahunya. Hatinya lapang. "Kaulah anak menjadi kebanggaan aku. Mudah-mudahan Tuhan yang maha kuasa akan memberi pertolongan dan petunjuk."
"PERHATIAN! Perhatian!" seru Penghulu Awang Lekiu. Dia berdehem beberapa kali. "Sekarang sudah sampai masanya untuk menyaksikan tarian. Sajikan tarian!"
Maka dipukulkan alat-alat bunyian gamelan, gendang, gong, keketuk, rebana dan tetuang di pentas utama.
Apabila sampai waktunya, Dalia naik ke atas pentas untuk menyanyikan dua buah lagu. Suara gemersik nyanyiannya berbunyi:
Tari asli Melayu jati sayang
Tari asli Melayu jati
Dari dahulu sudah terpuji
Dari dahulu sudahlah terpuji
Lemah lembut tangan dan kaki sayang
Lemahlah lembut tangan dan kaki
Manis dipandang si gerak geri
Manis dipandang si gerak dan geri
Dengan penuh ekspresi, tubuh para penari dianggotai lapan gadis meliuk lintuk mengikut alunan irama muzik tradisional yang berkumandang. Langkah mereka lembut dan santai.
APABILA selesai sahaja gemuruh tepukan sekalian penonton, Dalia menyanyi lagi dengan galak. Senikata yang bercerita tentang:
Amboi-amboi puteri Melayu
Berlenggang-lenggok indah bermaya
Bukanlah hanya pandai merayu
Tetapi sanggup membela bangsa
Amboi... amboi... amboi... amboi...
Amboi-amboi puteri jelita
Bersopan santun berbudi bahasa
Tidaklah hanya pandai bermanja
Berani pula ke medan laga
Amboi... amboi... amboi... amboi...
Penari-penari perlahan-lahan, tetapi tetap menggerakkan badan. Ia adalah satu persembahan tarian yang turut terkandung di dalamnya unsur silat dan pergerakan tarian yang menjadi warisan sezaman dan mengutamakan seni tari Melayu.
Malam dirasakan semakin panjang.
TELAH larut malam. Ketika itu para pengunjung telah berkurangan. Sudah beransur-ansur pulang meninggalkan halaman Balai Penghulu.
Pada satu tempat yang agak terlindung dari lalu-lalang, Yatim Mustapha kelihatan duduk di atas kerusi buluh, menghadapi meja makan dan berbual dengan pembantunya, Denak dalam suram cahaya obor. Seorang lelaki sebayanya dan bertubuh kurus.
Di atas hamparan kain alas meja, ada dua cawan kopi dan semangkok ubi rebus bercicah sambal belacan.
"Merdu sungguh suara penyanyi tadi," kata Denak.
Nyanyian Dalia masih terngiang-ngiang di lohong pendengarannya. Terasa masih baru dan terlalu hampir dengan cuping telinganya.
Yatim Mustapha memerhati keadaan keliling kerana mahu memastikan tiada sesiapa pun yang akan mendengar percakapannya. Di sekeliling sudah sunyi. Tidak ada orang walaupun sedesus.
"Memang benar, Denak. Suaranya sungguh merdu. Beta suka mendengarnya. Budi bahasa pun baik," bisik Yatim Mustapha berhati-hati. "Dialah Dalia yang telah beta ceritakan pada mu."
Denak kelihatan tertarik hati. Dia menaikkan alisnya.
"Bagaimana kau lihat gadis itu?" Yatim Mustapha bertanya. "Cantik tak?"
"Cantik," balas Denak sepatah, agak bersemangat mengucapkannya.
Yatim Mustapha tunduk seketika. Dia mencari sesuatu dalam kain yang ada terselepang di bahunya. Sebatang seruling dikeluarkan.
"Lihat ini," kata Yatim Mustapha sambil menujah seruling itu ke dada Denak. "Inilah tanda dia cinta pada beta. Kepada beta dia memberi seruling ini untuk menjadi kenangan dan teman di waktu sunyi."
Tangan Denak mencekak hulu seruling itu dengan tangan kanannya. Dibelek cuma sejenak lalu mengembalikannya.
"Tapi dia hanya perempuan kampung. Orang kebanyakkan. Dengan Tengku takkan setara," Denak memancing sikap Yatim Mustapha.
"Eh, yang kau susahkan pasal apa ni?" sedia Yatim Mustapha. Wajahnya keruh mendengar kata-kata Denak itu. "Sudah. Jangan kau rungsingkan beta dengan soal-soal itu. Itu beta punya pasal."
Denak menyentuh Yatim Mustapha.
Yatim Mustapha segera menangkap alamat itu.
Keduanya tidak berkata lagi. Masing-masing melihat satu lembaga melangkah dengan tetap. Ternyata orang itu adalah Awang Sulong.
Dia mendekat terus. Bergerak ke arah mereka.
Dalam tempoh yang singkat, Awang Sulong menarik kerusi berhadapan Yatim Mustapha dan melabuhkan punggung di atasnya.
Matanya tidak berkelip sepincing, memandang tepat ke anak mata Yatim Mustapha.
Kesepian terbentang antara mereka beberapa ketika.
"Hei, dagang merempat. Aku beri apa saja yang kau mahu dengan syarat kau buat apa yang aku perintah," kata Awang Sulong tegas.
Yatim Mustapha hanya diam. Kelihatan dia tenang-tenang saja.
"Jadi, aku suka menasihatkan engkau supaya tinggalkan saja kampung ini," perintah Awang Sulong.
"Tidak. Aku tidak mahu menurut kemahuan kau." Yatim Mustapha menentang pandangan Awang Sulong.
Mereka bertatapan.
"Kau jangan ingkar dengan pesanan dan amaran ku. Jika kau ingkar, kau menyesal!" Awang Sulong yang merasakan Dalia milik mutlaknya menghamburkan marah.
"Tak usah kuatir perkara itu, Awang. Aku anak laki-laki. Aku tahulah menjaga diri dan keselamatan aku." Yatim Mustapha segera meningkah.
Dengan tiba-tiba Yatim Mustapha menyepak lutut Awang Sulong di ruang bawah meja.
Awang Sulong tersentap dan tersentak.
"Wah, kau nak tunjuk kuat sama aku, ya? Aku pun boleh buat juga." Awang Sulong sudah mula naik angin.
Kaki kanannya dihayun mencari sasarannya. Namun sebelum kaki sampai sasaran, satu langkah lain menahannya dengan kuat.
Awang Sulong terkejut bukan kepalang. Tanpa disangka olehnya, Yatim Mustapha boleh membaca pergerakan itu.
Sekali lagi Awang Sulong cuba menendang kaki Yatim Mustapha.
Yatim Mustapha menepis dengan kedua-dua belah kakinya.
Awang Sulong semakin amarah. Dikerahkan tenaga sedaya upaya.
Yatim Mustapha tidak jua ingin mengalah.
Bergegar meja makan itu dengan kekecohan di ruang bawah meja.
Denak tercangak-cangak. Dia tergamam untuk berkata-kata. Dia hanya menoleh ke kiri, ke kanan.
Awang Sulong mengetap bibir, kedua tapak tangannya melekap pada tepi meja.
Yatim Mustapha tidak tinggal diam. Bibirnya dikemam. Sesuatunya diperhitungkan. Dengan kudrat yang ada kerusi Awang Sulong ditendangnya dengan sekuat hati.
Duuppp!
Awang Sulong dan kerusinya jatuh terjelepuk dan terlentang ke belakang. Dia rebah ke tanah. Matanya membelalak memandang langit.
Kain alas meja yang tergenggam di tangannya turut tercarik hingga cawan-cawan kopi dan mangkok ubi rebus serta sambal belacan jatuh berselerakan di atas tanah.
Semuanya berkecamuk.
Ketika melalui saat-saat mengecewakan itulah Chulan menyergahnya dari belakang.
"Awang, ayah kau suruh ke pengkalan sekarang juga."
"Ada apa di sana?" Awang Sulong terpinga-pinga sekejap.
Chulan datang ke sisinya.
"Penghulu Karma Jaya sudah dekat nak berlayar balik. Mereka sudah ada di pengkalan sekarang."
Awang Sulong bangun, gabus punggung dan pergi begitu sahaja tanpa menoleh lagi.
Chulan di belakangnya.
Kedua-duanya melangkah meninggalkan halaman Balai Penghulu, pergi ke pengkalan yang tidak jauh letaknya dari situ. Tempat sampah-sampah Penghulu Karma Jaya ditambat.
Yatim Mustapha tersenyum memandang Awang Sulong dan Chulan yang semakin jauh. Semakin lama, semakin hilang dalam kegelapan malam.
"MANA dia Awang Sulong?" Penghulu Awang Lekiu bersungut kepada Pak Malau. "Masih belum nampak dan belum kelihatan lagi?"
"Bersabarlah, Tok," Pak Malau memujuknya. "Hamba telah kerahkan beberapa orang pergi mencarinya."
Awang Lekiu mengangguk. Dia menoleh, melihat kepada Penghulu Karma Jaya.
"Kalau Penghulu ada kelapangan, janganlah serik-serik datang ke sini lagi. Kita sebagai sebuah keluarga," katanya mengundang.
"Terima kasih atas undangan Datuk itu," kata Karma Jaya dan matanya mencerlung kepada Awang Lekiu.
"Kan kita sebangsa dan seagama? Cuma tanah saja yang berpisah. Jadi, kita ni pun berasa seperti keluarga sendiri," ujar Awang Lekiu. Bahu Karma Jaya ditepuk-tepuk mesra.
"Kami akan berlayar pada waktu fajar," Karma Jaya memutuskan. "Biarlah kami beredar dulu, ya?"
"Ya, silakan," sahut Awang Lekiu. Dia menghulur tangan ke arah Karma Jaya.
Mereka bersalam.
Karma Jaya kemudian menuruni anak tangga pengkalan itu untuk menyertai orang-orang suruhannya yang siap sedia menunggu di tiga buah sampan. Satu lantera tersangkut pada satu penyangkut besi bergantung di sisi sampai.
Kemudian mereka halakan sampah-sampah mereka ke laut lalu bertolak.
Di laut kelihatan sebuah kapal berlabuh. Kapal itu tidak dapat sampai ke pengkalan pulau Sentosa kerana pantainya landai dan berpasir.
"Selamat berangkat Datuk!" seru Pak Malau.
"Selamat jalan!" Awang Lekiu melaung.
Karma Jaya tak menyahut, tapi berpaling dan memberikan senyuman sambil mengangkat tangan.
Sampan-sampan kian merenggang meninggalkan pengkalan.
Meninggalkan Pulau Sentosa.
"Hari sudah jauh malam, ya Tok?" tanya Pak Malau kepada Awang Lekiu.
"Ya, hari dah jauh malam," sahut Awang Lekiu selamba. Dia menabur pandangan ke hujung Balai Penghulu dan ke kaki bukit yang berbalam.
Awang Lekiu memandang Pak Malau.
"Kalau nak balik, pergi balik. Rumah kau jauh di darat, rumah kami di baroh," katanya kemudian.
Pak Malau mengangguk. "Kalau dah begitu, baik Tok."
Tiba-tiba Awang Sulong muncul dan menyelit di tengah-tengah orang ramai.
Awang Lekiu menoleh kepada Awang Sulong dan menyeru, "Awang!"
"Ya, ayah?" tanya Awang Sulong setelah mendatangi Awang Lekiu. Anak muda itu siap sedia untuk menerima arahan.
"Temankan Pak Malau pulang," ujar ayahnya, memberi arahan.
"Baik, ayah," katanya dan diambilnya jamung yang terletak di tepi pintu pengkalan.
Dia melihat Chulan yang berdiri beberapa langkah dari situ.
"Chulan, ke mari! Ikut aku!"
Chulan mengangguk setuju.
Tidak lama kemudian Awang Sulong dan Pak Malau bergerak meninggalkan pengkalan. Chulan menurut dari belakang.
"BERAT sekali saya nak terangkan. Tetapi lebih berat rasa hati kalau saya pendamkan," Awang Sulong berkata dengan hati-hati.
"Cakap betul-betul apa yang kau nak cakapkan," ujar Pak Malau dengan penuh rasa ingin tahu.
"Baiklah, Pak Malau. Saya berterus-terang. Saya nak bercakap sedikit mengenai Dalia."
"Ya, cakaplah," Pak Malau memandang Awang Sulong dengan rasa ingin tahu yang besar.
"Begini. Saya suka sama dia, pakcik," Awang Sulong melepaskan isi hatinya.
"Eloklah begitu. Memang seharusnya dalam dunia ini saling sayang menyayangi. Kita kena suka satu sama lain," Pak Malau berkata tenang. "Berkawanlah baik-baik."
"Maksud saya lebih dari suka."
"Oh, begitu," ujar Pak Malau. Dia memahami apa yang dinyatakan oleh Awang Sulong.
"Ya, begitulah. Itulah maksud saya."
"Pakcik faham maksud Awang itu. Pakcik tak marah kau berkawan dengan anak pakcik." Pak Malau diam sejurus. Wajahnya berkerut memikirkan sesuatu. Dia mahu tahu. "Pakcik nak tanya kau sedikit. Adakah kau cintakan anak pakcik?"
"Ya, pakcik. Dengan seluruh jiwa saya."
"Jadi, kau mahu dengan anak pakcik?"
Awang Sulong mengangguk ligat.
"Tunggulah. Nanti pakcik cakap dengan Dalia."
"Ya, lah pakcik."
Mereka sampai di halaman rumah Pak Malau.
"Biar pakcik pulang dulu, ya?"
"Silakan," jawab Awang Sulong ringkas.
Pak Malau cepat-cepat mengatur langkah menghampiri rumahnya.
Sekonyong-konyong terdengarlah titisan hujan menimpa atap rumahnya.
DI serambi rumah kelihatan nyala pelita-pelita yang berlenggang-lenggok, ditiup angin yang berhembus melalui celah-celah dinding. Penghulu Awang Lekiu duduk bersila di tengah ruang serambi, menghadap setalam kur dan seteko kopi yang memang disediakan oleh isterinya.
Dari situ dia ternampak kelibat Awang Sulong menaiki anak tangga satu demi satu, bergerak masuk ke dalam rumahnya.
Sejurus kemudian Awang Sulong telah masuk ke rumah melalui pintu hadapan. Dia basah kuyup. Tangannya masih berpaut pada batang tangga dengan kukuhnya. Dia bungkam di situ.
"Hah, Awang. Kau sudah pulang?" sapa Awang Lekiu. "Apa yang kau tercegat kat situ? Pergilah mandi. Lepas mandi nanti kita minum kopi seteguk dua dekat serambi."
"Baiklah, ayah." Awang Sulong lalu mencapai tuala dan berjalan ke perigi di belakang rumah.
Untuk menahan kesejukan, Awang Lekiu mengeluarkan tembakau dan menggulung rokok daun nipah. Dia kemudian menonyohkan rokok daunnya ke api pelita yang berkelip-kelip.
Serambi itu mempunyai jejaring yang dibuat daripada kayu yang kuat. Air hujan tempias melalui celah-celah jaring.
Pandangannya dilontarkan keluar. Dijegahnya malam. Sambil itu dihisap rokok daunnya hingga asap berkepul-kepul. Sesekali dia meluahkan kerutan di anjung wajahnya.
Hujan terus menerus turun tidak henti-henti bagaikan dicurah. Dingin jadi hebat gergasi membalut jagat. Sayup-sayup kedengaran olehnya daun-daun kelapa yang memagari rumahnya bergeseran dan seludang kelapa jatuh ke tanah.
"Malam ini sungguh berlainan. Angin tak ada, ribut tak ada. Tahu-tahu hujan turun," Awang Lekiu tertanya-tanya sendiri.
"Hujan lebat tak berhenti-henti. Seolah-olah Tuhan hendak membasuh dunia ini dari dosa dan noda," katanya pada diri sendiri. Dia bagaikan merintih sendirian.
Awang Lekiu menoleh ketika didengarnya ada ketikanya kaki di belakangnya.
"Dah mandi?" Awang Lekiu segera menegur.
"Sudah," jawab Awang Sulong sepatah.
"Lekas sangat?" tegur Awang Lekiu.
"Awang cuci kepala saja. Lagi pun sejuk-sejuk ni demam pula," jelas Awang Sulong.
Dia segera duduk bersila di hadapan bapanya.
"Apa ni? Kue. Mana datang ni, ayah?"
"Kenanga yang berikan. Makanlah. Kue yang kau gemar pun ada."
Awang Sulong mengambil sebiji kue koci dari dalam talam di hadapannya, mengunyah perlahan-lahan.
Awang Lekiu melihat wajah anaknya tampak berseri-seri. Bibirnya mengorak senyum tipis. Tentunya ada sesuatu yang ingin diceritakan.
"Eh, eh. Nampaknya kau suka aje malam ini. Ada apa Awang?"
Awang Sulong tidak menjawab. Dia menuangkan kopi dari teko ke dalam cawan. Dia mengunyah sambil menghirup kopinya.
Awang Sulong berpaling ke arah Awang Lekiu. Dia tahu, bapanya sedang memerhatikannya. Malah menanti reaksinya. Kemudian dia bertanya, "Bolehkah saya bercakap dengan ayah sedikit?"
"Sudah tentu boleh. Kalau ada musykil di hati, nyatakan pada ayah yang tua ini."
"Yang sebenarnya saya ... " Awang Sulong kemalu-maluan. Dia terasa segan untuk menyampaikan hajat yang telah lama dipendamkan.
"Sebutlah. Apa pula kau teragak-agak?"
"Saya nak kawin, ayah."
Awang Lekiu tersentak mendengarkan.
"Kawin?" kata orang tua itu kemudiannya.
Awang Sulong mengangguk mengiyakan.
"Kau dah fikir masak-masak?" soal Awang Lekiu, serius. Mengusap pipinya yang sudah kendur benar.
"Ya, ayah," kata Awang Sulong penuh yakin. "Saya ada seorang kekasih di kampung ini. Kawan saya semasa kecil dulu."
Awang Lekiu menyedut lagi rokok yang membara di bibirnya. Kemudian ditenyeh puntung itu ke piring kosong.
"Siapa gadis pilihan kau?" tanyanya. Hatinya sedikit curiga. "Orangnya cantik barangkali?"
"Ya, ayah. Orangnya memang cantik."
"Siapa nama gadis itu, Awang?"
"Kalau ayah setuju, saya nak minta Dalia menjadi isteri saya."
"Dalia? Dalia yang mana?"
"Saya sudah jatuh cinta dengan anak Pak Malau."
Awang Lekiu tersenyum mendengar nama Pak Malau disebut oleh anaknya. Kejelitaan anak gadis Pak Malau itu sudah terserlah. Cukup memukau pandangan.
"Bunga yang mekar dengan semerbak baunya tentu banyak yang ingin menyunting. Dari segi apa yang kau pandang Dalia? Rupanya kah?"
"Bukan rupa yang saya pilih tapi hati kemanusiaannya. Dia gadis yang ada budi pekerti, ayah," sahut Awang Sulong dengan nada megah.
"Bagus pada kau, baguslah pada ayah."
"Bagaimana sekarang?" Awang Sulong tidak sabar lagi. Suaranya mengandung harap.
Awang Lekiu memandang Awang Sulong. "Baiklah. Kalau berkenan, ayah akan sampaikan maksudku meminang anak Pak Malau, Dalia."
Awang Sulong mendongak dan memandangnya dan sengihnya lebar.
"Kundur!" Awang Lekiu menjerit kepada isterinya yang terkapar di bilik tidur.
"Ya, bang?!" sahut Mak Kundur dari dalam bilik.
"Mari sekejap!"
Mak Kundur keluar dari biliknya lalu menghampiri suaminya. Dia seorang wanita berbadan gempal.
"Marilah sama-sama duduk di sini. Ada satu perkara besar hendak aku rundingkan."
Mak Kundur melabuhkan punggungnya dengan perasaan serba tidak kena.
"Apa yang abang nak rundingkan?" Sang isteri bertanya.
"Begini, Kundur," Sang suami memandang sang isteri. "Anak kita Awang sudah besar. Pendek kata dia sudah layak berumah tangga. Bagaimana pikiran kau?"
Mak Kundur tersenyum. "Inikah perkara yang abang hendak rundingkan kepada saya? Sebelum abang nak katakan kepada saya, saya pun sudah ada angan-angan sendiri tapi saya malu hendak kemukakan perkara ini. Sekarang, jikalau abang sudah bersetuju, saya pun mengikut saja. Tapi dalam pemikiran abang, dengan siapa kita nak jodohkan Si Awang ini? Siapa orangnya yang bakal menjadi menantu kita?"
Awang Lekiu ingin membuka mulut, segera dipintas oleh Awang Sulong. "Yang dekat-dekat, mak. Anak dara berketurunan baik-baik."
"Yang dekat-dekat tu siapa?" tanya Mak Kundur dengan pantas. Hatinya sungguh gembira.
"Dalia."
"Dalia? Dalia yang mana?"
Awang Lekiu segera memandang isterinya lalu berkata, "Itu, anak Si Malau tu."
"Ya, mak. Saya mahu kawin dengan Dalia, anak Pak Malau. Tidak ada sesiapa yang lain, hanya Dalia yang telah dapat menawan hati saya sejak dulu. Dia gadis impian saya."
"Patutlah selalu kau termenung sana, termenung sini. Rupanya ada udang di sebalik batu. Ini rupanya yang kau selalu ingat, Awang. Ini yang kau tunggu-tunggu sampai sekarang ni? Nampaknya tak payah menyusahkan mak ayah untuk memikirkannya," Mak Kundur kagum dengan kebolehan anaknya memikat anak Pak Malau yang disegani itu
Awang Sulong mengangkat keningnya dengan sengih yang menyeringai.
Mak Kundur menoleh kepada Awang Lekiu. "Tiap-tiap isteri yang cintakan suaminya, pikirannya pun bersamaan dengan suaminya. Kalau abang pikirkan baik, baiklah untuk saya."
Awang Lekiu mengangguk. "Kerana sudah dapat kata sepakat... "
"Kami akan satukan engkau dengan Dalia," Mak Kundur memotong.
Awang Sulong tersenyum lebar. Hatinya girang bukan kepalang.
Kopi yang masih hangat dihirup lagi.
Malam tetap bergerak.
Share this novel