Cetera Yang Pertama 11 - SERAKAH

Adventure Series 1713

BAYU yang bertiup dari laut mengoleng perahu yang terdampar di persisiran pantai. Hening yang menyelimuti persekitaran pantai itu dipecahkan dengan tingkah deruan ombak di batu-batu.
Awang Sulong dan rakan-rakannya Bayan dan Chulan ketika itu telah memanjangkan perahu mereka di pancang kayu di bawah pohon kelapa yang lebat buahnya. Kemudian masing-masing naik ke pantai Pulau Banang.
Awang Sulong menatap ke sekeliling pantai dan ke atas pergunungan. Di sekitar daerah itu tenang saja. Dia melangut ke atas. Langit tidak mendung.
"Mari kita pergi ke Gua Rimba Sawa," katanya.
Bayan menoleh kepada Awang Sulong.
"Di mana tempatnya?" Dia bertanya.
Awang Sulong memandang lurus ke depan. "Depan lagi. Kita mesti berjalan kaki dari sini. Mari kita jalan."
Awang Sulong terus melangkah. Bayan mengikut di belakang Awang Sulong. Diikuti oleh Chulan.
Perjalanan pun bermula di sebalik timbunan batu dan di dalam semak belukar di tepi pantai itu. Mereka terus bergerak menyusur denai yang semakin lama semakin sempit. Masing-masing diliputi fikiran sendiri-sendiri.
Setelah tiba ke suatu tempat yang tiada berapa jauh lagi hendak sampai ke Gua Rimba Sawa, Awang Sulong tiga bersahabat dikejutkan secara tiba-tiba oleh sepuluh orang berconteng muka yang mengerunkan. Lengkap bersenjata, berdiri megah dengan lembing masing-masing.
Berdiri seperti patung-patung puaka tanpa berkata apa-apa dan mengepung. Mereka tampak galak dan berbahaya. Sesekali kelihatan kilatan mata lembing memantulkan sinar matahari. Tiap-tiap lembing satunya mengarah tepat ke tubuh Awang Sulong dan teman-temannya.
Bayan dan Chulan memandang sesama sendiri tanpa kata. Kerana pada ketika itu seolah-olah datang perasaan takut di hati mereka kalau-kalau orang-orang itu sebenarnya bukan manusia melainkan makhluk yang menyerupai manusia juga.
"Bagaimana kita sekarang, Awang?" Bayan berbisik kepada Awang Sulong meminta kepastian. Rasa cemas merajai hatinya.
"Apa yang mesti kita perbuat, Awang?" sampuk Chulan pula. Dia meraba hulu keris di pinggangnya.
"Jangan bimbang apa-apa. Segala-galanya akan aku selesaikan," kata Awang Sulong kepada rakan-rakannya.
Tiba-tiba satu ruang kelompok orang yang mengelilingi itu menguak ke tepi. Mereka menyibuk memberi jalan kepada seorang pemuda. Pemuda itu mencapai keris, membuka sarungnya dan membuka langkah silat. Mengewal-gewal keris yang tercekak di dalam genggamannya. Dialah yang mengetuai kumpulan itu. Paragas namanya.
Paragas seorang laki-laki yang berkumis melintang. Tubuhnya agak kekar sebagai pendekar dan lebih kurang seusia dengan Awang Sulong. Dia telah berkhidmat kepada Juragan Singkip bertahun-tahun menjadi panglimanya. Menjadi pengikut yang taat setia.
Awang Sulong, Bayan dan Chulan memerhatikan gerak tangkas Paragas yang sedang berpencak silat itu. Sejurus lamanya masing-masing terdiam.
Paragas menyempitkan mata. Serasakan pernah dia melihat muka Awang Sulong dahulunya. Walaupun sudah lama, tapi muka itu masih terang dalam ingatannya. Dia pacakkan keyakinan dalam dirinya.
Kemudian diam mengingat-ingat. Bersama dengan diamnya, kenangan mulai pula mengawang dalam ingatannya. Memang Awang Sulonglah itu. Dia adalah salah seorang daripada mereka.
Paragas menyarungkan kerisnya sambil berkata kepada salah seorang yang paling dekat dengannya.
"Kau, mari sini!" katanya dengan tegas.
Orang itu berjalan pantas menuju ke arahnya.
"Asalkan keris ini. Sudah berkarat betul," kata Paragas sambil mengunjukkan bilah kerisnya itu. Keris itu sudah tersarung di dalam sarung kayu penaga.
Orang itu mengiakan dan berkata, "Baik, Pendekar."
Diambilnya keris dari tangan Paragas.
Paragas mendapatkan Awang Sulong, berjalan menghampiri.
Tiba-tiba Awang Sulong dan Paragas sama-sama tersenyum lebar, saling mendekati dan tangan didepangkan. Kedua-duanya saling peluk-memeluk seperti dua orang saudara sekandung yang lama sekali baru bertemu kembali.
"Selamat kembali kawan ku," kata Paragas sambil membebaskan dirinya dari didakap oleh Awang Sulong. "Aku pikir musuh mana pula yang datang ke pulau ini. Bikin aku kuatir saja."
Awang Sulong tidak menjawab. Tapi mengangguk saja.
Dengan penuh yakin, Paragas mengangkat kedua belah tangannya dan mencabar Awang Sulong untuk beradu kekuatan dengannya.
"Eh, mari kita mencuba kekuatan. Tentu kau masih ingat permainan ini, bukan? Dulu pun, aku yang mengajar kau," katanya.
Awang Sulong mengangguk mengerti, menerima cabaran itu. Dadanya yang agak bidang ditepuknya kuat-kuat. Kemudian menetapkan kedua belah tangannya itu ke tangan Paragas.
Setiap mata mengikuti setiap gerak-geri mereka.
Sesaat keduanya saling menaksir kekuatan. Pada mulanya tidak ada sesiapa yang menunjukkan kepincangan, mempertahankan kemahuan masing-masing. Seketika kemudian, tekanan dari Paragas memaksa Awang Sulong menjatuhkan sebelah lututnya.
Awang Sulong berusaha untuk bangkit semula. Dia mengumpulkan segala tenaganya. Sedikit demi sedikit dia semakin kuat dan berjaya. Rasa kehebatan semangatnya melambung-lambung. Tiba giliran Awang Sulong menolak Paragas, menyebabkan lawannya itu goyah lalu melutut ke bumi.
Paragas mendaham kuat-kuat bagai mengumpul kekuatan. Dipusatkan tenaganya yang masih tinggal. Keringat dingin bercucuran. Seperti juga Awang Sulong, Paragas akhirnya berdiri semula.
Waktu terus bergolak seperti biasa. Pertandingan belum juga usai. Penonton tak ada yang bergerak. Semuanya tegang untuk mengetahui siapa yang menang.
"Kita berdua tak kalah, tak menanglah, Awang. Nasib baik kita berkawan. Kalau musuh, tak boleh jadi begini, tau," kata Paragas kepayahan.
"Sekarang lebih baik kita berhenti saja permainan ini," kata Awang Sulong kelelahan.
Paragas mengangguk lesu.
Mereka berhenti.
"Ada apa datang ni?" tanya Paragas setelah beberapa saat sambil menyeka peluh yang mercik dari dahinya. Dia menoleh pada Bayan dan Chulan lalu bertanya lagi, "Siapakah dua orang itu."
"Kedua itu pengiring aku, Bayan dan Chulan," Awang Sulong segera memberi penjelasan. "Tujuan kami bukanlah dengan maksud jahat. Kami datang hendak berpakat."
Kemudian dia berkata perlahan-lahan dengan perkataan yang diaturnya baik-baik, "Ada satu perkara yang sangat mustahak, Paragas. Tolong jumpakan aku kepada Juragan Singkip. Nanti aku akan ceritakan segala-galanya dengan Juragan."
"Oh, begitu," kata Paragas singkat. Setelah mengisi lompang ingin tahu, dia berpaling ke kanan dan ke kiri. Kemudian diperentahkan pengawal-pengawalnya untuk menyingkirkan diri masing-masing. "Kau orang boleh kembali ke tempat masing-masing. Jaga sekeliling kawasan ini."
Sekalian orang-orang yang mengepung tadi tiada tertangguh lagi lalu membawa diri masing-masing dengan ketahuan hala.
"Mari, kita ke gua berjumpa dengan Juragan," kata Paragas sambil berlalu pergi.

JURAGAN Singkip ini rona mukanya kepalang ganas. Dia sudah berumur kira-kira lima puluh tahun. Rambutnya lebat tetapi separuh putih. Begitu juga janggutnya yang serupa janggut kambing. Dadanya bidang dan badannya tegar. Pada lehernya tergantung seutas rantai emas yang bergaul dengan lambang tengkorak. Dia seorang bajingan, penjahat besar dan sudah biasa terlibat dengan pelbagai kejahatan. Dia sudah biasa dengan corak hidup sebegitu.
Sekarang Juragan Singkip duduk seperti seorang pengerang di kerusi empuk di peseban Balai Besar. Kerusi yang satu-satunya, menghadap ke pintu yang terbuka. Dua orang panglima tegak berdiri di sampingnya sambil memegang apa yang tampaknya seperti lembing. Pendamping Juragan Singkip itu adalah Cemara di sebelah kanan dan Cendana di sebelah kirinya.
Cemara seorang pemuda dengan wajah yang terlihat tua. Belum lagi tiga puluh tahun,btetapi seperti sudah dua kali lipat. Telunjuk di tangannya tak ada sepotong, di tangan kiri. Dan yang lebih menakutkan rupanya pemuda itu pernah menderita luka mulai dari bawah telinga sampai ke sudut mulutnya.
Cendana seorang wanita berhidung runcing, dagu dan mulut lunak. Dia diperkirakan sudah berumur sekitar dua puluh lima tahun. Kalau saja tak ada bekas sayatan pisau belati dari pipi sampai ke leher, wanita ini dapat dikatakan cantik.
Di sebelah kanan Balai Besar itu terdapat tiga ambin. Dua ambin alat pemujaan dan bunyian. Satu ambin tempat makan. Sebuah berhala wajah Dewa Kali yang berskala besar tersergam di dinding gua sebelah kiri. Mulutnya merupakan pintu lubang neraka. Lubang neraka ini adalah lubang api bara panas. Tempat untuk pelaksanaan hukuman.
Jalur-jalur cahaya matahari menyusup masuk ke dalam gua melalui lubang angin di dinding paling atas dan api di tungku menerangi sudut-sudut ruangan Balai Besar itu.
Pada ketika itu Juragan Singkip sedang dihadapi ramai orang tawanan. Tubuh mereka sudah diikat dengan tali yang menyengkelingkan kedua-dua tangan mereka ke belakang. Berdiri di belakang mereka adalah seregu pasukan pengawal.
Ketua pasukan pengawal itu, Gading namanya, maju ke depan.
"Inilah bakinya yang ditawan di Pulau Bakau tempoh hari," Gading menceritakan duduk perkara untuk Juragan Singkip. Dia berumur tiga puluh tahun dan berbadan sasa. "Kini hanya menanti hukuman."
Muka Juragan Singkip hampa dari perasaan. Wajahnya kosong, tanpa riak.
"Aku tak mahu tiap-tiap muka mengotori Gua Rimba Sawa. Campak mereka ke lubang neraka!" katanya dengan suara tegas.
Seorang di antara mereka berkata, "Juragan, kasih Amilah kami, Juragan. Tolong jangan diperngapakan kami."
"Kasihan?" kata Juragan Singkip tak peduli.
"Ya, kalau tak Juragan, siapa lagi?" sela yang lain. Dia menentang Juragan Singkip dengan mata mengharap-harap. "Tiada orang lain kami mengadu nasib."
"Memang itulah alasan biasa dari orang-orang tawanan." Juragan Singkip mengerutkan bibirnya dan berfikir dengan muka muram. Sambil itu dia memegang atuk yang tergantung di dadanya. Berkata lagi, "Baiklah. Masukkan mereka ke penjara."
"Juragan, hamba cadangkan satu akal," desak Gading menuntut. "Hamba usulkan supaya mereka bekerja potong kayu di hutan. Kalau tidak orang-orang kita yang penat."
Termenung sejurus Juragan Singkip mendengarkan perkataan Gading itu, kemudian dia berkata, "Bagus betul akal kau itu. Itulah yang sebagus-bagusnya, Gading."
Dengan tiba-tiba satu suara berteriak, "Kaulah binatang! Manusia binatang! Manusia iblis!"
Tidak diketahui siapakah yang menjerit itu.
"Suara siapa yang terpekik-pekik itu?" tanya Juragan Singkip. Dia berdiri tegak dengan sikap mengancam.
Para tawanan yang tercengang-cengang tidak tahu ekor pangkal meminggir memberi jalan kepada seorang gadis dengan rambut hitam yang lebat.
"Aku! Aku di sini, Juragan. Di sini!" katanya.
Dengan didampingi oleh Cendana, Juragan Singkip melangkah menuju ke gadis berkulit kuning langsat dengan berparas cantik itu. Dia menatap dengan pandangan menyelidik.
"Tinggalkan dia di sini," katanya ditujukan kepada Gading. Dia memandang para tawanan. " Bawa mereka ke hutan dan beri mereka kerja," katanya lagi.
Gading melihat kepada mereka. "Jalan! Jalan! Jalan!"
Mereka bergerak beriring.
Pasukan pengawal segera mengawal perjalanan segala tawanan serapi yang mungkin. Mereka pergi dan menghilang di balik pintu.
Tinggallah gadis itu terpacak berdiri tanpa bergerak-gerak. Dia merasakan dirinya jauh terpencil seorang.
"Hei, mengapa kau berkelakuan begini?" tanya Juragan Singkip kasar. "Kau cuba nak menentang aku, ya?"
Untuk pertama kalinya gadis itu menatap Juragan Singkip secara langsung. Dia dapat melihat wajah Juragan Singkip yang tua menyerlahkan kerut.
"Huh, binatang! Kerana kaulah orang-orang kampung semua terkorban termasuk ibu bapa ku! Jadi, dengan ini, apalah gunanya hidup ku lagi? Aku menanti supaya aku lekas dimasukkan ke lubang neraka daripada aku dibiarkan hidup lama!" Gadis itu terlalu angkuh bila bercakap dengan Juragan Singkip.
"Tidak, tidak. Aku tak ada niat begitu. Aku tak sanggup membunuh seorang yang aku pandang sebagai bidadari," ujar Juragan Singkip ramah. Dia cerlung ke muka Cendana yang tercokoh di sampingnya. "Bukankah begitu, Cendana?"
Cendana tersengih. "Itu barang yang sudah tentu, Juragan."
"Lekas, buka ikatannya!" kata Juragan Singkip seperti minta maaf.
Cendana bergegas membuka tali pengikat tawanan itu.
"Siapa nama mu?" tanya Juragan Singkip dimanis-naniskan.
Sesaat gadis itu tampak ragu-ragu, tapi kemudian membalas, "Nama ku Baiduri."
Juragan Singkip mendekati Baiduri. Dia memerhati dan menilai dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas.
"Engkau tentu dahaga," kata Juragan Singkip menghibur.
Dia pergi ke tempat tempayan air di ambin tempat makan lalu dicedoknya secangkir air itu. Sesudah itu dia mendapatkan Baiduri.
Baiduri segera mengambil cangkir yang berisi air dingin itu dan diminumnya dengan lahapnys. Habislah air itu sampai dasarnya.
"Rupa mu sungguh menawan sukma. Sekarang aku mahu kau di bilik peraduan ku. Aku akan berikan hadiah yang tak ternilai sekiranya kau boleh lakukan apa yang aku mahu. Tapi syaratnya, kau mesti dengar cakap aku. Bagaimana? Setuju?" pujuk Juragan Singkip.
Juragan Singkip memberi seulas senyuman kepada Baiduri tetapi dia membalas dengan jelingan tajam. Kebencian sudah menguasai seluruh panca inderanya. Dalam setiap denyut nadi. Dalam setiap degup jantungnya.
"Daripada aku menyerahkan diri ku kepada kau untuk penglipur lara, lebih baik lagi kau tolakan aku ke dalam lubang neraka seperti kau lakukan pada mangsa-mangsa kau yang lalu. Itu aku lebih rela lagi daripada menyenangkan hati kau, binatang!" Baiduri melontarkan tempelak ya. Suaranya tegas sekali ketika dia menjawab.
Cangkir air dihempasnya ke lantai, hanya beberapa jengkal dari kaki Juragan Singkip.
"Cis! Biadap! Kau berani mengeluarkan perkataan yang biadap ini!" Cendana mengherdik Baiduri. Dia menunjuk telunjuknya ke muka Baiduri. Kuat teramat.
Serta-merta Baiduri memaling muka. Rambutnya yang lebat menghitam separas bahu bergerak-gerak cepat. Sewaktu dia merenung ke dalam wajah Cendana itu, Cendana membalas renungannya.
"Ha, apa kau pandang aku?!" herdik Cendana. Mukanya didekatkan pada muka Baiduri. Cendana rupanya tidak ingin berbelas kasihan kepada Baiduri.
"Ini masa kau," suara Baiduri berani. Matanya tak mempedulikan pandang Cendana.
"Ya, ini memang masa aku. Aku boleh buat apa aku punya suka pada kau," ujar Cendana. Suaranya bertambah kasar.
Cendana menudingkan jari telunjuk ke Juragan Singkip.
"Dia ketua dalam Gua Rimba Sawa ini. Jangan cuba nak biadap!" katanya.
"Datuk kau pun, peduli apa aku?" desis Baiduri.
"Biadap!" Tercabar rasanya semangat Cendana. Kemarahan menggulung parasnya. Tangannya sudah bersedia hendak menempeleng mulut yang celupar itu.
Sebelum sempat dia menampar muka Baiduri, pergelangan tangannya ditangkap Juragan Singkip. Sesudah itu dilepaskan. Cendana terkedu. Tapi tak berkata apa-apa.
Lalu Juragan Singkip menoleh kepada Baiduri.
"Aku cuba berbuat baik, kau nak cari pasal. Aku cuba berlembut dengan kau, kau menghina aku lagi. Memang kau suka berangkara," dengus Juragan Singkip. Sedarlah ketua lanun itu Baiduri enggan, bahkan tidak mungkin dipujuk. "Baik, dengan sekejap masa, aku akan adakan segala apa yang menjadi permintaan mu."
"Jadi, buang ke lubang neraka?" tanya Cendana.
Juragan Singkip tidak menjawab melainkan dia memandang kepada Cendana. Isyarat pandangannya itu sedia dimaklum oleh Cendana.
Cendana mengangguk sambil tersenyum.

GUA Rimba Sawa di Pulau Banang adalah tempat persembunyian lanun setelah melakukan rompakan atau menyamun perahu dan kapal yang melalui perairan kerajaan Bentan. Di pintu gua berdiri lima pengawal bersenjata. Orang yang melihat Paragas segera memberi jalan masuk. Begitu juga beberapa orang yang lain.
Paragas oleng ke kanan. "Jaga betul-betul "
"Baik, Pendekar," kata seorang di antaranya.
Paragas oleng ke kiri. "Jaga rapi-rapi."
"Baik, hamba akan cuba," kedengaran suara lain
Dari pintu gua, Paragas membawa Awang Sulong, Bayan dan Chulan langsung ke dalam gua, berjalan menuruni tangga batu yang didirikan tungku-tungku api pada suramnya. Bersuluhkan cahaya api yang bertaburan di dalam gua itu, mereka meneruskan perjalanan.
Paragas berjalan paling depan dan Bayan di belakang sekali.
Bayan melihat ke sekeliling dengan liar dan penuh diliputi tanda tanya.
"Ini banyak sangat lorong ni nak buat apa? Menuju ke mana?" tanyanya. Kemudian matanya menurutkan tudingan Paragas.
Paragas menjenguk ke arah kanan, "Sebelah ini ke tempat simpan harta rampasan dan yang di sebelah situ ke tempat simpan makanan dan Balai Santap Terus di depan, pintu masuk ke Balai Besar."

CEMARA turun dari peseban untuk bergabung dengan Cendana di halaman utama Balai Besar. Kini keduanya memandang pada pemimpin mereka.
Juragan Singkip memandang ke pintu lubang neraka. Kemudian, tangannya terhulur seperti hendak mencapai lembing dan Cemara menyerahkannya. Lalu dia berkata, "Ambil tempat masing-masing. Angkat pintu!"
Cemara dan Cendana ikut saja apa arahan Juragan Singkip. Kedua tangan masing-masing memegang celaga kemudi yang telah didirikan di sebelah kiri dan kanan pintu lubang neraka dan memutar dengan sekuat tenaga untuk menanggalkan selak rantai-rantai besi.
Pintu lubang neraka terbuka tak lama kemudian. Tampaklah di dalamnya terang-benderang oleh sinar nyala api yang merah kuning. Di bawahnya ada sebuah lubang besar yang mengeluarkan api. Kemungkinan api di lubang itu terjadi akibat arang batu yang terdapat di gua berkenaan terbakar secara sendiri, menyebabkan permukaan tanah runtuh.
Juragan Singkip melangkah mendekati dan menjulurkan lembingnya kepada Baiduri. Baiduri ditolak dengan hujung lembing, menyucuk ke belakangnya.
Seperti terbangun dari mimpi, Baiduri memaksa kakinya melangkah. Dia berjalan di anjung batu semacam sebuah pelantar selebar tiga depa di atas dasar lubang berkenaan yang disifatkan sebagai 'pintu ke neraka'.
"Ajal kau sudah tiba. Jangan buang masa lagi. Terjun lekas, nanti aku tamatkan riwayat kau dengan lembing ini!" desak Juragan Singkip.
Di muka pintu masuk yang terbuka ke ruang Balai Besar, seluruh mata yang hadir terhendap-hendap mengintai kepada hukuman yang akan Baiduri terima. Mereka berdiri diam-diam, memerhati saja, mengawasi segala tingkah Juragan Singkip dan Baiduri. Mereka itu ialah Paragas, Awang Sulong, Bayan dan Chulan.
Setelah sampai ke hujung pelantar, Baiduri berhenti. Kakinya seperti tidak terlangkahkan. Kakinya terasa melekat dan terpaku. Dia memandang ke bawah, merasa kecut dan jantungnya berdetak. Jiwanya seolah-olah menjerit menghadapi kenyataan hidupnya pada saat itu.
Waktu itu dia berasakan berdiri di atas api. Panasnya seperti menggigit-gigit kulitnya. Peluh dingin mulai membasahi tubuhnya. Tiba-tiba nampak seperti dia mendapat fikiran baru. Dia berbalik cepat dan memandang Juragan Singkip.
"Aku terima apa yang datang. Aku rela mati serupa ini. Tetapi sebelum aku mati, aku sumpah Gua Rimba Sawa ini jadi tak ubahnya macam padang jarak, padang terkukur;" kata Baiduri pada Juragan Singkip dengan sungguh-sungguh. Dia mengucapkan kata-kata itu dengan kurang ajar, seolah-olah melampiaskan suatu keluhan yang lama tersimpan.
"Mati tidak kerana sumpah!" pintas Juragan Singkip yang merasa terancam oleh kata-kata Baiduri.
Dengan tangkas, tangan Juragan Singkip yang berpengalaman melempar lembingnya. Dia melempar garang. Baiduri lalu terhuyung-hayang sambil kedua-dua telapak tangan mencengkam perut.
"Juragan dayus! Pembunuh perempuan!" Baiduri menggerakkan bibirnya untuk kali terakhir sebelum rebah ke belakang, menjunam ke lubang neraka. Lidah api memagut-magut mencari mangsa baru. Nyawa seorang manusia dihabisi kerana keserakahan.
Juragan Singkip mengusap mukanya perlahan dengan kedua tangannya. Kemudian berjalan menuju ke ambin. Dari bermacam-macam benda yang berselerakan di atas ambin tersebut, dia membawa bersamanya tengkorak yang telah dilumuri darah dan dari dalamnya asap kemenyan berkepul-kepul keluar dari mulut tengkorak yang ternganga buka.
Sejurus kemudian gendang dipalu oleh Cemara dan Cendana. Kedua orang itu cukup ahli dalam tugas itu.
Juragan Singkip mengangkat tengkorak. Berkata dia pada berhala skala gergasi, "Dengan nama Dewa Sang Kali yang mulia raya. Tanah pulang ke tanah. Angin pulang ke angin. Air pulang ke air. Api pulang ke api. Asal dari segala asal. Arah dari segala arah. Kepada mu aku pohonkan. Berikanlah aku tenaga untuk menjalankan kewajipan."
Paragas memukul gong yang terletak di tepi pintu masuk sebanyak tiga kali setelah bunyi gendang yang begitu rancak sebentar tadi telah berhenti.
Juragan Singkip mengerutkan kening sewaktu Paragas melangkah masuk.
"Ada apa Paragas?" tanyanya tajam.
"Juragan, Awang Sulong datang bersama dua orang kawannya. Dia ada kabaran mustahak untuk Juragan," sahut Paragas. "Boleh hamba menjemputnya?"
Wajah Juragan Singkip mengeras sejenak kemudian melunak kembali.
"Baiklah. Silakan jemput ke dalam," dia membenarkan. Kemudian dia kembali ke tempat duduknya di peseban.
Paragas melambaikan tangannya, mempersilakan para tamunya masuk.
Sesampai ya mereka ke peseban, Juragan Singkip telah menegur Awang Sulong dengan berkata, "Awang Sulong. Aku tahu suatu hari nanti kau pasti akan datang lagi ke mari."
"Berkali-kali hamba ingin pulang lagi ke mari tetapi selalu tidak berkesempatan. Apa khabar, Juragan?" ujar Awang Sulong.
"Kabar baik, Awang," kata Juragan Singkip. Dia melihat Bayan dan Chulan, meminta penjelasan. "Siapa mereka ini?"
Awang Sulong memperkenalkan mereka kepada Juragan Singkip. "Ini bernama Bayan dan ini Chulan, pengiring hamba. Kami datang ada hajat."
"Hajat apakah yang membawa kau ke mari?"
"Hamba membawa perkhabaran baik buat Juragan."
Belum sempat Awang Sulong menjelaskan kabar itu, konsentrasinya buat oleh suara bunyi gong. Laki-laki kurus dengan mata yang memancarkan rasa takut yang telah memukul gong itu adalah tukang masak yang menguruskan makan dan minum.
"Hidangan sudah sedia, Juragan!" laungnya.

JURAGAN Singkip, Paragas, Cemara, Cendana, Awang Sulong dan kedua orang rakan-rakannya duduk di kerusi yang berderet menghadap meja panjang yang dapat menampung sepuluh orang tamu. Pada langit-langit tergantunglah sebuah lampu lilin.
Si tukang masak yang bernama Tulat menyajikan hidangan makanan yang masih berassp-asap dan baunya lazat. Ulam petai, sambal belacan, gulai rebung, telur masin, ketam berkuah lemak dan tentu lauk wajib Juragan Singkip, ayam percik. Semua dihidangkan di meja.
Seorang wanita separuh baya masuk dengan langkah teratur, diikuti dua temannya. Dengan hati-hati mereka meletakkan peralatan makan yang bagus-bagus, terbuat dari perak dan nasi untuk makan siang di atas meja. Kemudian tergesa-gesa melangkah ke dapur.
"Aku heran, kau orang yang paling kaya dalam kampung kau. Kenapa kau nak jadi lanun?" tanya Juragan Singkip tak bertujuan, sekadar berbasa-basi dengan Awang Sulong yang duduk di seberangnya.
"Hamba mahu bebas berbuat kehendak hati hamba. Apa yang hamba mahu, hamba ambil. Siapa yang menentang, hamba ajar," tegas Awang Sulong. Dia patuh pada pegangan itu. "Kalau hamba terpaksa mencari harta dengan melangkah di atas mayat manusia, sekali hamba melangkah, tak akan hamba melangkah balik. Kalau tangan sudah mencincang, bahu mesti memikul."
Bayan dan Chulan terkelip-kelip renung muka Awang Sulong, tidak mengerti dan ingin penjelasan lanjut.
Untuk menjawab keheranan mereka, Awang Sulong berkata, "Bayan, Chulan. Sampai masanya aku mesti ceritakan rahsia semasa aku keluar dari Pulau Sentosa dulu. Aku telah... "
"Awang telah bersama kami dan bertuankan aku ketika dia pergi meluaskan pemandangan merantau ke negeri-negeri lain," Juragan Singkip mencelah sebelum habis perkataan Awang Sulong.
Bayan dan Chulan bertukar pandangan. Keduanya berpaling kaget.
Tiba-tiba Bayan bertanya heran, "Rupanya kau selama ini jadi lanun, jadi penyamun?"
"Rupanya seorang anak Penghulu telah bertukar di pulau ini menjadi lanun?" kata Chulan pula, dan mukanya seperti orang bingung.
Awang Sulong memicik matanya merenungi wajah Bayan dan Chulan. "Kau berdua. Aku harap dirahsiakan... "
"Awang, sama sekali takkan kami begitu bodoh menceritakan hal keburukan kau kepada orang kampung, Awang," potong Chulan.
"Marilah kita makan dulu. Nasi pun sudah siap," sela Juragan Singkip. Dia memandang muka Tulat yang dilihatnya terdiam berdiri di ambang pintu. Dia menepukkan kedua belah tangannya.
"Ha, apa kau tunggu lagi? Apa kewajipan mu?" Juragan Singkip mengingatkan.
Tulat nampak tersentak melihat Juragan Singkip bersuara lantang.
"Baik, Juragan. Kewajipan mesti dipenuhi. Perintah segera dilaku," katanya.
Dia beringsut dari tempatnya dan maju ke meja makan. Mengerti apa yang harus diperbuat.
"Sebelum diberi santap, hamba terlebih dahulu menjamahnya. Jika ada racun di dalamnya biarlah ia membunuh hamba." Tulat menyuap makanan ke mulutnya satu-satu, menuang air dari takar, menghirup pelan-pelan dengan suara sedutan yang keras. Kemudian mengundurkan diri. Dia kembali berdiri di ambang pintu.
"Mari kita makan," Juragan Singkip mengembangkan tangannya ke arah makanan di mukanya.
Awang Sulong bersama-sama pengiringnya makan dengan bernafsu, begitu juga Paragas. Tapi Cemara sulit menelan.
"Berapa kali aku dah cakap?!" herdik kan Cemara melengkung tiba-tiba. Dia mengunyah makanan sedikit demi sedikit, kemudian minum air. "Sudah berkali-kali aku katakan jangan bubuh banyak garam dalam gulai ini!"
Wajah Cemara menerkam bulat-bulat muka Tulat.
Pucat muka dan sekujur tubuhnya menggeletar tiba-tiba apabila melihat jegilan kedua-dua mata Cemara. Naik bulu roma satu tubuh. Dia menunduk dan menggarukan telinganya, gentar melawan sorot mata Cemara.
Suasana bertukar kelam. Semua diam. Tak seorang pun bicara.
Kemudian ketenangan itu pecah apabila Tulat datang mendekati Cemara dan berkata lembut, "Ampunkanlah dosa hamba yang hina ini. Kesianlah hamba, Pendekar."
"Bodoh! Kecil-kecil tak nak mampus! Sudah besar menyusahkan orang! Memang kau tak boleh jadi tukang masak yang pandai!" tingkah Cemara.
"Kenapa ayam ni liat?" tanya Juragan Singkip tiba-tiba dengan nada marah, sambil berpaling dan memandang Tulat. "Selera terbuka. Ayam liat. Rosak selera aku! Kau memang tak berguna!"
Penumbuk dihempaskan ke meja. Geram.
"Ampunkanlah hamba, Juragan. Bukannya sengaja, Juragan," Tulat berusaha mempertahankan diri.
"Ah, kau selalu begitu. Bila aku cakap, banyak saja kau jawab! Perbuatan kau tak dapat diampunkan lagi!" Juragan Singkip berkata dengan geram. Dia bingkas bangun, menghunus keris panjangnya. Secepat itu pula dua menikam.
Dengan sekali tikaman keris sahaja, tumbangkan Tulat menyembah bumi. Darah merah menyembur semahu-mahunya. Terherot-herot mengeriput muka Tulat hingga diketemukan dengan maut.
"Buang bangkai bedebah ini ke dalam lubang neraka!" perintah Juragan Singkip kepada Cemara. Kemudian dia pun menyarungkan kerisnya semula.
Cemara mengangguk-angguk mengerti. Dia berdiri dan berjalan mendekat sodok tubuh yang menggelimpangan di lantai itu. Dipikulnya mayat Tulat pada bahunya. Kemudian hilang dari pemandangan.
"Apa maksud kau datang ke mari?" tanya Juragan Singkip membuka bicara setelah kembali duduk menghadap hidangan. Fikirannya tertuju kepada hal yang lebih pokok.
"Er, begini. Hamba dapat berita baik," sahut Awang Sulong.
"Berita apa?" tanya Juragan Singkip, ingin tahu.
"Ayah hamba, Tok Penghulu Pulau Sentosa ada membawa kabar dari istana Bentan. Tiga hari lagi, satu rombongan dari Bentan akan menghantar ufti kepada Perlak. Bukan perak saja, malahan perkara-perkara pun ada. Perkara ini telah dinyatakan pada hamba," jawab Awang Sulong hati-hati.
Juragan Singkip memandang tajam ke muka Awang Sulong. "Kau tak olok-olok, Awang?"
"Tidak, Juragan. Nyawa hamba sebagai taruhannya," Awang Sulong berhenti sebentar. "Tapi pengawal-pengawalnya kuat "
"Ya kah?" tanya Juragan Singkip lagi.
"Itu yang hamba dengar. Dari itu, berhati-hatilah."
"Jangan kuatir, Awang. Kami selalu bersedia."
Awang Sulong menyambung lagi, "Rombongan itu akan melalui Kuala Penyengat. Laluan itu adalah jalan pintas ke Perlak. Tempat itu sunyi dan sendat. Penghuninya pula jauh terpisah di antara satu sama lain. Senang kita kepong dan menyerang. Dengan bala tentera Juragan dan mudah-mudahan dengan berkat Sang Kali, Juragan berjaya di medan perang dan pulang dengan kemenangan gemilang."
Sekarang Juragan Singkip mulai tertarik. "Baik. Rancangan akan diatur. Perkara ini tidak boleh kita lakukan dengan terburu-buru. Apabila sampai ketikanya, kami akan lakukan serangan."
"Hamba akan turut sama, Juragan."
"Tak usahlah membahayakan diri kau. Nanti aku beri hadiah pada kau " Juragan Singkip menoleh kepada Paragas. "Paragas!"
"Ya, Juragan?" sahut Paragas.
"Sekarang juga kau suruh orang angkat seperti emas ke mari. Kemudian kumpulkan orang-orang kita semua di Balai Besar dan suruh mereka siapkan kelengkapan untuk menyerang. Kita akan berlayar lagi."
"Bila kita akan berangkat?"
"Menjelang esok."
"Hamba akan menjalankan segala perintah Juragan terhadap hamba." Setelah berkata demikian, Paragas bangkit berdiri dan meninggalkan ruangan Balai Santap.
"Awang, kaulah satu manusia yang sangat setia pada ku," puji Juragan Singkip, matanya tajam kepada Awang Sulong.
"Memang itu tujuan hamba dari mula, Juragan. Untuk mencurahkan taat setia sepenuhnya walaupun berpisah berapa jauh sekali pun seperti kesetiaan rakyat kepada rajanya."
Hati Juragan Singkip terasa disengat keharuan apabila mendengar pengakuan Awang Sulong itu. Tetapi sandiwara kemanusiaan dalam bayangannya itu sebentar saja bermain kemudian padam.
"Tapi ingat, kalau kau didapati dusta, leher kau akan dipancung!" ancam Juragan Singkip. Dia tersenyum dingin. Keangkuhan ternyata dalam lagaknya - kepala penjarah yang maha kejam.
Awang Sulong tak menyahut, dia hanya mengangguk.
"Kiranya tidak menjadi halangan, kami semua mahu kembali ke Pulau Sentosa selepas makan ini," tiba-tiba Awang Sulong berkata. Segera membersihkan tangannya.
"Lekas betul nak balik? Kenapa cepat sangat?" Juragan Singkip separuh tercenggang. "Tak naklah bermalam di tempat ini barang semalam dua?"
"Tak apalah, Juragan," kata Awang Sulong separuh kesal. "Sebenarnya kami banyak pekerjaan lain yang perlu diselesaikan."
"Yang sebenarnya, Awang kita ni ingin beristeri, Juragan," Chulan menerangkan dengan suara rendah.
Juragan Singkip separuh tersentak. "Awang nak beristeri? Betulkah begitu, Awang?" Matanya mencerlang kepada Awang Sulong.
"Ya, memang begitu," sahut Awang Sulong dengan tersenyum.
Bayan tersengih-sengih. Chulan juga tersenyum.
Juragan Singkip mengangguk-angguk. "Oh, itu rupanya. Dengan siapa?"
"Dengan anak dara keturunan baik-baik," Awang Sulong menjawab.
Tiba-tiba dua orang masuk ke Balai Santap mengandar satu peti. Agak berat dan membebankan. Kemudian seorang daripada mereka itu pun berkata, "Juragan, ini dia peti yang Juragan suruh bawa ke mari."
"Taruh di situ," perintah dari mulut Juragan Singkip.
Keduanya menurutkan kemahuan Juragan Singkip.
"Buka itu peti!" kata Juragan Singkip dengan tekanan.
Mereka patuh. Peti itu dibuka. Ia penuh dengan emas dan barang-barang berharga.
Kemudian dengan isyarat diperintahkan, "Kau berdua boleh pergi."
"Baik, Juragan," kata orang yang kedua.
Kemudian keduanya pergi, bersama-sama.
Telunjuk Juragan Singkip lurus ke arah peti. "Awang, itu bahagian kau. Aku beri kau peti itu. Terimalah."
"Kurnia Juragan hamba junjung tinggi dan dengan ucapan terima kasih, Juragan." Kegembiraan melanda diri Awang.
Maka dia pun berkata kepada kedua orang sahabatnya, "Lekas angkat peti itu, masukkan ke perahu kita."
Oleh perintah itu, Bayan dan Chulan pun mengandar peti itu keluar dari Balai Santap dengan tiada bertangguh lagi.
Awang Sulong berpaling ke arah Juragan Singkip, "Izinkan hamba balik dulu, Juragan."
Juragan Singkip mengangguk. "Baiklah. Selamat jalan, Awang."
Awang Sulong berjalan dengan pantasnya tiada menoleh ke belakang lagi. Kemudian lenyaplah dia dari Balai Santapan itu.
Ketika Awang Sulong sudah pergi, Cendana melirik Juragan Singkip. "Rupanya Awang Sulong menggunting dalam lipatan. Sebagai anak seorang Penghulu, hamba tak sangka yang Awang Sulong boleh berbuat sedemikian."
"Ya, dia sanggup lakukan apa saja. Itulah perangai manusia. Emas dan berlian itu akan selalu meluluhkan hati manusia," ujar Juragan Singkip sinis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience