HARI masih pagi. Pak Malau duduk bersandar pada tiang ruang tengah rumahnya yang berdinding papan dan beratap nipah. Dia berpuas hati dengan rumah itu kerana selesa untuk dia berlindung dari hujan dan terik matahari. Di situlah juga tempat dia mengabadikan hidupnya bersama isteri dan dua orang anak-anaknya.
Pak Malau sedang berserapan bingka ubi dan kopi. Sewaktu dia hendak mencapai tangkai cawan, tiba-tiba dia terdengar laungan orang dari luar.
"Oi, tuan rumah!" terdengar suara dari luar.
Ucapan itu singgah di telinganya. Hatinya berdetak.
"Siapa tu?" Perlahan-lahan Pak Malau bangun dan menuju ke pintu. Daun pintu ditolaknya perlahan-lahan. Dia lantas menelek ke luar.
"Oh, Tok Penghulu rupanya," katanya kepada Awang Lekiu di depan pintu.
Pak Malau melihat pada Awang Lekiu dengan pandangan yang tak dapat ditafsirkan. Dia ditemani oleh isterinya dengan dua orang penolongnya Badai dan Kilat.
Sebelum Pak Malau bertanyakan sesuatu, Awang Lekiu berkata:
"Bolehkah kami naik ke atas supaya kita boleh berbicara dengan panjang lebar?"
"Ha, jemputlah naik," Pak Malau berkata dengan nada mengundang. "Silakan. Silakan ke dalam."
Awang Lekiu, Mak Kundur, Badai dan Kilat terus melangkah masuk ke serambi. Mereka menghulurkan tangan. Sesudah jabatan tangan dilepaskan, masing-masing melekapkan ke dada.
"Nanti hamba ambilkan tikar."
"Eh, jangan susah-susah Malau. Duduk sini pun tak apa."
"Tak usah begitu, Tok. Bukan susah sangat nak mengambilkan tikar sila ni."
Pak Malau menepuk-nepuk tikar sila yang lama tidak diduduki orang, menghamparkan ya di tengah-tengah ruang serambi, menyiapkan tempat duduk. Keempat-empat tetamunya itu segera menduduki tikar sila yang dihamparkan Pak Malau.
Pak Malau mahu meninggalkan serambi. "Tunggu sekejap, ya?"
"Eh, mahu ke mana?" tanya Awang Lekiu, terkejut.
"Hamba mahu ke dalam. Nak ambil sireh dan pinang sekejap. Sebentar hamba kembali."
Seiringan itu Pak Malau menuju ruang tengah.
DI dapur, Dalia mendapati Mak Tanjong sedang menyiang ikan bilis. Apabila terkesan kedatangannya, Mak Tanjong mengangkat kepalanya.
"Dah siap kerja yang mak suruh buat?"
Dalia memandang ibunya. "Kain baju semua sudah Dalia jemur, mak."
"Kata Damaq nak balik hari ini. Pergi sediakan makan pagi untuk abang Damaq kau."
"Baik, Mak."
"Apa Mak ni?" Dalia mengerutkan dahi. "Hari-hari bingka ubi. Sampai Dalia naik jelak."
"Tak tahulah. Bapak kau yang suruh masak."
"Oi, Maknya!"
"Saya!"
"Di mana awak?"
"Di dapur sama Dalia ni."
"Ke mari sekejap!"
"Ada apa bang?" Mak Tanjong tiba-tiba jenguk keluar dari balik pintu dapur.
"Datuk Penghulu bersama isterinya datang. Ada satu perkara yang hendak dirundingkan. Kau buat kopi yang kau tumbuk semalam."
"Nanti saya siapkan," kata Mak Tanjong sebelum meneruskan langkah ke dapur untuk menyiapkan minuman.
Mak Tanjong mula sibuk menyiapkan minuman untuk para tamu itu.
"Mana kopinya? Dalia hantarkan."
MATANYA tertumpu pada dinding depan ruang serambi. Ada penyangkut tanduk rusa yang coklat kehitaman terlekap di situ.
Sejurus lamanya mereka duduk di serambi maka Pak Malau pun keluar membawa tepak sireh sambil berkata, "Sudilah makan sireh, Tok."
"Silakan Mak Kundur. Jamahlah sekapur sireh."
Adat Melayu, tetamu dihormati dengan sekapur sireh.
Awang Lekiu ingin menggobek sepak pinang. Gobek dalam tepak sireh dicapainya. Keheningan suasana terusik oleh hentakan mata gobek. Dia mengambil sireh. Sedikit kapur dicalit-calitkannya ke atas daun sireh itu. Selepas melipatnya, dia memasukkan dalam mulutnya.
"Apa hajat Datuk datang ni?" tanya Pak Malau semacam tidak sabar hendak mendengar maksud ketua kampungnya.
"Begini. Maksud kami datang ni, dengan penuh membawa harapan."
"Benar, Malau," Mak Kundur yang mula menggobek pinang, mencelah. "Kata orang walaupun bisa miang di rebung, tajam lagi pandan berduri. Walaupun tinggi kemuncak gunung, tinggi lagilah harapan kami. Dan tak ada orang lain yang boleh memberi jawapan selain daripada Malau sendiri."
"Iye le. Tapi harapan apa ni Mak Kundur? Dan sekiranya hamba dapat memberikan jawapan yang memuaskan hati Mak Kundur, hamba sukacita berbuat demikian. Apa dia yang dimaksudkan itu?"
Sekarang Awang Lekiu bersuara:
"Dengar sini, Malau. Tinggi-tinggi pohon medang. Tinggi lagi pohon jati. Tinggi-tinggi gunung Ledang. Tinggi lagi harapan hati."
"Ke darat sudah, ke laut sudah. Hanya ke tasik saja yang dinanti-nantikan. Berpantun, bermadah, berkias sudah. Hanya maksud saja yang ditunggu-tunggukan," kata Pak Malau mengerti. "Cubalah Datuk terangkan perkara yang sebenarnya."
Mulut Awang Lekiu kumat-kamit memamah sireh. Sireh yang baru disuapnya sebentar tadi. "Sebenarnya maksud kami datang ke mari ingin tahu tentang diri Dalia."
"Ya, kedatangan kami ini hanya tumpang bertanya. Apa kembang di taman Malau ni masih belum disunting orang?"
"Sekarang fahamlah hamba apa sebenarnya maksud Datuk ke mari," kata Pak Malau dengan sopan. Namun untuk menduga hati Awang Lekiu , sengaja Pak Malau bertanya:
"Tapi siapa ingin menyuntingnya, Tok? Sebab kembang tumbuh di taman yang penuh dengan semak-samun."
"Belum sampai masanya, Malau," Mak Kundur mengusulkan suaranya. "Kalau dah sampai masanya, ha, bunga di hutan menjadi hiasan sanggul permaisuri."
"Benar kata isteri saya tu. Sekarang, ya, tibalah masanya. Sebab itulah kami datang menyebut-nyebut dulu dan berunding-runding kemudian."
"Tapi untuk siapa?" suara Pak Malau mendatar.
"Untuk anak kami, Awang Sulong."
Dalia keluar membawa minuman dan bingka ubi yang baru dikeluarkan dari kukusan. Kepalanya ditundukkan bagai anak gadis kemalu-maluan. Jalannya teratur, langkahnya disusun licin dan kecil-kecil. Dia memberhentikan langkahnya yang diatur kecil-kecil itu.
Pak Malau menyambut hidangan ringan itu.
Mak Kundur jeling Dalia dengan ekur mata.
Awang Lekiu, Badai dan Kilat duduk diam-diam menonton sahaja.
"Eh, apa buat susah payah ni, Malau?" kata Nak Kundur seperti hembusan nafas.
"Ala kadar apa saja yang ada, Mak Kundur. Jemputlah."
"Terima kasih, Malau."
Dalia berpaling untuk pergi.
"Siapa tu Malau?" tanya Mak Kundur, menjilat wajah Dalia yang berjalan guntai ke dapur. Dia terpegun, kekaguman.
"Itulah anak hamba, Dalia," sahut Pak Malau dengan tertib lakunya.
"Wajahnya sungguh menawan. Manis betul rupanya. Tak ubah macam bidadari."
"Tapi dia tu pemalu."
"Malu itu memang pakaian gadis-gadis Melayu, Malau."
"Pada pendapat saya, buah yang masak mesti dipetik. Kalau tidak, ditebuk tupai."
"Kalau Dalia dijodohkan dengan Awang Sulong, tentu bahagia," Mak Kundur turut menambah. Tangannya menyapu-nyapu kapur ke atas daun sireh. "Saya berharap Malau supaya tidak berhalangan untuk menerima Si Awang menjadi menantu."
"Kita berdua sama-sama mendapat pahala kerana mendirikan masjid."
"Jadi, apa pikir Malau? Sanggupkah Malau menerimanya?" Mak Kundur bersuara lagi dan daun sireh yang telah dilupakannya itu dimasukkan ke dalam mulutnya. Dia mengunyah-nguyah.
"Kalau sudah suratan takdir, apa-apa yang baik, saya mengikut saja."
"Jadi setujulah Malau, kami menyebut-nyebut Dalia? Kalau dah begitu, kami akan menghantar utusan untuk merundingkan perkara pertunangan."
"Buat hamba ni, Tok. Apalah. Biasa. Tiap-tiap bapak itu ingin melihat anaknya hidup dalam bahagia. Bukan begitu, Tok?" kata Pak Malau bersungguh-sungguh. Dia tunduk merenung petak tikar yang melapik duduknya. "Apa lagi macam hamba. Hidup kata orang tak ubahnya seperti ayam. Kais pagi makan pagi. Jadi sudah tentu saja hamba sangat berbesar hati kerana mendapat perhatian dari pihak Datuk berdua. Hamba telah lama mengenal Si Awang. Tetapi sebelum hamba memberi kata putus, izinkanlah hamba berunding dengan anak hamba dulu."
"MAKNYA! Ke mari sekejap!"
Si isteri datang mendapatkannya dan bersimpuh di depannya.
"Ada apa bang?"
"Tok Penghulu nak berbisan dengan kita," ujar Pak Malau memulakan perbincangan. Dia memandang ke arah isterinya. "Bagaimana pulak kau, Tanjong?"
Di sebalik dinding, Dalia memasang telinga sambil wajahnya yang putih bertukar menjadi merah delima buat seketika.
"Abang maksudkan ini untuk dijodohkan dengan Awang Sulong?"
"Memang itulah niat di hati."
"Bagi pihak saya, apa yang dirundingkan, saya setuju. Tapi bukankah lebih baik kita bertanya kepada Dalia sama ada dia suka atau pun tidak pada Si Awang? Kita tanya Dalia terlebih dulu."
"Dalia! Dalia!"
"Ya, Pak?" sahut Dalia. Dia menghampirinya
"Mari ke mari, nak!" Pak Malau panggil lagi.
"Ada apa Bapak?" Dalia bertanya kepada bapanya. Dia memerhatikan raut muka bapanya yang berkedut-kedut dengan penuh kehairanan.
"Mari duduk dekat mak," Mak Tanjong berbicara kepada Dalia dengan suara rendah, parau.
Dalia bersimpuh kukuh di sebelah ibunya.
"Bapak kau ni. Dia teringin nak melihat kau berumah tangga. Kerana tiap-tiap perempuan, suatu masa pun mesti berumah tangga juga," kata Mak Tanjong. Dia menatap wajah anak perawannya itu.
Dalia tunduk.
"Dalia, bapak mahu jodohkan kau pada Awang Sulong, anak Tok Penghulu untuk kesenangan kau di belakang hari kelak. Kau setuju Dalia?" kata Pak Malau, lembut.
Sewaktu menerima berita itu, jiwa Dalia bagai tabuh di surau yang dipalu siak tidak henti-henti. Dia menjadi terbungkam kelu.
Mak Tanjong tenung muka anaknya yang bongsu itu. "Dalia, cuba kau berterus-terang dengan mak, nak. Kau suka tak kalau bapak kau tu nak jodohkan kau dengan Si Awang?"
Dalia terus bungkam. Dia membisu, biar pun hatinya terhiris luka.
"Apa lagi kau termenung? Beruntung kau jadi menantu Tok Penghulu."
"Bahagia kau nak "
Dalia tidak menjawab. Dia memoncong sahaja seperti orang kemarahan.
"Dalia, kenapa kau diam?"
Dalia diam sahaja, dan Pak Malau menarik kesimpulan bahawa Dalia tidak membantah.
"Kalau budak tu diam, tandanya dia setujulah."
"Dalia, jangan malu-malu. Kalau ada musykil di hati, nyatakan pada Mak. Ataupun kau dah ada pilihan hati lain?"
Dalia diam saja.
"Dalia, kenapa kau berdiam? Jawablah walaupun dengan sepatah kata. Apa, kau mahu? Kalau sungguh hati berhajat, silalah katakan. Kami nak tahu."
Akhirnya, dengan nada penuh kepahitan, meledak lah suara Dalia:
"Dalia tak mahulah, Bapak. Jika Bapak menerima peminangannya, lebih baik Bapak racun Dalia daripada bersuamikan orang yang Dalia tak cinta. Daripada menderita lebih baik Dalia mati."
Dalia menyatakan perasaannya. Menggigil sedikit suaranya.
Macam petir memanah debaran menggegar jantung Pak Malau bila mendengar ucapan Dalia. Wajahnya kelihatan muram dan tersinggung.
Dalia tahu bapanya semacam jauh hati.
"Dalia, janganlah diturutkan hati. Mak tahu apa yang kau maksudkan tetapi itu jangan disusahkan, Dalia. Kau boleh belajar untuk mencintai Awang Sulong jikalau kau mencuba. Cinta itu mudah datangnya kalau kau sudah menjadi suami isteri nanti. Mak pun dulu-dulunya tidak pernah bercinta dan tidak pernah melihat muka Bapak mu," kata Mak Tanjong memujuk Dalia yang kelihatan begitu rusuh.
"Tidak. Dalia tidak dapat kasihkan Awang Sulong. Dalia bencikan dia kerana dia terlalu bongkak."
"Yalah, tapi kau mesti ingat, Awang Sulong anak Datuk Penghulu."
"Jadi, apa pula kena mengena dengan saya, Mak?"
"Dalia, Bapak suka kau kawin dengan Awang Sulong, seorang yang kaya dalam kampung ini. Supaya kau hidup senang dan mulia dipandang orang," Pak Malau mengeluarkan pendapat. "Lagi pun Bapak dengan Tok Penghulu sering bertolong-tolongan dalam hal-hal kehidupan."
Satu renungan tajam tepat ke muka Dalia membuat anak gadis yang tengah mekar itu tunduk membisu. Namun diteguhkan semangatnya.
"Budak ini mahu aku jadi gila agaknya?" Pak Malau membiarkan pertanyaan itu hanyut ke sudut fikirannya yang sedang kusut. "Syurga indah ku carikan. Neraka yang kau sangka? Aku ini mengingatkan kesenangan kau di belakang hari nanti."
Marah benar bunyi tekanan suara Pak Malau.
"Sudah, bang. Jangan terus-menerus memarahi dia. Dalia masih muda. Perangainya pun macam budak-budak," Mak Tanjong cuba menenangkan perasaan Pak Malau meskipun dia sendiri dijerut berbagai tanda tanya. Dia menyabarkannya.
Pak Malau tidak menyahut rungutan isterinya itu.
Dalia angkat kepala, memandang ke arah perempuan tua di sebelahnya itu. Fikirannya menderas.
"Benar, Mak. Dalia masih mentah dalam soal hidup. Tetapi pikiran Dalia masih waras, Mak. Perasaan kasih sayang sesama manusialah yang membawa kebahagiaan. Cinta, kasih dan sayang bukanlah benda yang boleh dijaja. Kegembiraan tak dapat dijual beli. Kekayaan, kebahagiaan rumah tangga semuanya datang dari Tuhan. Bukan datang dari Awang Sulong," bantah Dalia, menyesali sikap bapanya. "Dalia rasa sangat bersalah terhadap Bapak, tapi Dalia tetap dengan pendirian Dalia. Dalia tak mahu, Pak."
Pak Malau termenung memikirkan pendapat anaknya itu. Dia mengakui kebenaran kata-kata anaknya. Namun begitu, sesekali sawang-sawang keraguan terumbai-umbai juga dalam fikirannya.
"Bapak merasa kecewa mendengar perkataan kau, Dalia tetapi Bapak harap pikiran kau itu supaya dapat berubah kelak."
"Dalia tak mahu menjadi mangsa perkahwinan paksa. Biar apa pun terjadi, Dalia tak mahu kawin dengan Awang Sulong," keluh Dalia. Air matanya merembes dengan tiba- tiba. Dia melarikan mukanya. Air matanya masih juga berhamburan. "Ah, agaknya Bapak lebih suka saya hidup merana daripada berbahagia."
"Jangan bersedih, Dalia. Janganlah engkau mengeluarkan air mata mu. Bapak tak paksa," Pak Malau bersuara lembut. Sang ayah menatap anaknya penuh selidik seraya menimbang-nimbang kemungkinan yang ada. Dia bertanya, "Tetapi bolehkah Bapak mengetahui apakah sebab sebenarnya kau tak mahu Awang Sulong? Barangkali ada pujaan yang istimewa, tak?"
"Manalah tahu, harimau sembunyikan kuku?" Mak Tanjong merenung anaknya dengan penuh syak wasangka. "Ada sesiapa yang istimewa?"
Dalia tidak menjawab. Dia hanya senyum, kemudian bangun dan melangkah masuk ke dapur.
Sehelai batik lepas untuk kelubung kepalanya yang tersangkut di dawai dinding dan keranjang yang sudah disediakan bekal dicapai.
Mak Tanjong memandang Dalia dengan pandangan hampa.
"Eh, kau nak ke mana?" tanyanya sungguh-sungguh.
"Dalia nak pergi ke pengkalan, menunggu abang Damaq dan Pak Mahad balik," ujar Dalia tersedu-sedu sambil melangkah ke pintu dapur.
"Ha, pergi baik-baik, ya nak."
Dalia terus melangkah menuruni tangga belakang menuju ke pengkalan.
"Siapa agaknya yang berada di hati Dalia yang bakal menjadi menantu kita?" tanya Pak Malau.
"Tentunya orang yang sepadan yang menjadi jodohnya," Mak Tanjong memberikan pendapatnya.
Pak Malau mengerutkan wajahnya dan melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Dia mendongak sekejap memandang daun-daun kelapa yang tetlibas-libas dipukul angin.
Mak Tanjong gelisah melihat gelagat suaminya.
Dalam tempurung kepala Pak Malau perasaannya berkecamuk dan serba salah. Dia perlu mencari jawapan dan cara yang sebaik-baiknya.
"Tak tahu apa yang harus saya perkatakan sekarang," suaranya jadi merintih.
"Apa yang hendak bersusah payah lagi? Kata yang Dalia tak setuju. Lagi pun abang bukan tak tahu adat merisik. Ada diterima. Ada ditolak," ujar Mak Tanjong memperingatkan.
Pak Malau toleh ke muka isterinya.
"Benar, tapi susah saya nak cakapkan, Tanjong."
"Apa nak disusahkan? Saya ada."
AWANG Lekiu diam. Mak Kundur diam. Badai dan Kilat juga. Lapan biji mata yang ada di ruang serambi rumah itu tertumpu pada Pak Malau bagaikan sama-sama menunggu sebaris kata-kata keramat terucap dari mulutnya. Ketika itu lidah Pak Malau seperti terpotong. Dia membentak kepada hatinya sendiri.
Sudah dia pertimbangkan masak-masak. Terus terang dan jujur adalah jalan terbaik. Itu diyakininya betul. Sudah di bibir kata-katanya itu semua, tapi untuk melafazkan keluar, bibirnya itu tidak sanggup.
Maka Pak Malau merasa bingung bagaimana harus menyusun jawapan. Matanya terkedip-kedip, dia merasakan ruang serambi itu semakin hening dan sempit.
"Tibalah masanya yang ditunggu-tunggu. Bagaimana Malau?" tanya Awang Lekiu tak sabar. Bingka ubi masuk ke dalam mulutnya. "Hendaknya tak lari gunung dikejar dan tak meloncatlah haruan di timba."
Keheningan menjadi panjang dan mencengkam. Mereka menunggu. Kegelisahan yang melemaskan itu mencengkam pernafasan.
"Begini, Tok. Kami anak beranak sudah sepakat. Inilah kata pemutus kami. Kami berbesar hati yang anak kami Dalia akan dijodohkan dengan Awang Sulong. Tetapi, rasanya tak dapatlah kami menerima di masa ini. Begitulah pendapat hamba suami isteri, Tok," jawab Pak Malau dengan lesu. Dia hampir-hampir tidak tahu apa yang harus dikatakannya. Muka Awang Lekiu diperhatikannya.
Dilihatnya kening Awang Lekiu berkerut, terperanjat. Wajah Awang Lekiu seakan terbakar, bagai udang kena panggang.
"Inilah pertama kali kami menerima penghinaan seperti ini!" bentak Awang Lekiu dengan suara garau mengancam. Dia kedengaran mendengus. Jari-jarinya digenggam-genggam kerana menahan marahnya yang sedang menguasai diri. Tangan tergenggam ditujah-tujah ke atas.
"Astagfirullah!" Dia mengucap, demi teringat pada kutukannya yang tidak pada tempat. Dia sedar yang dia sudah sedikit terkasar tadi. Berdosa dia memarahi Pak Malau serupa itu.
Menghadap Pak Malau, katanya:
"Saya sangat menyesal apa yang telah berlaku. Demi Tuhan, saya tak berniat begitu. Saya tak berniat biadap. Malau, maafkan segala perbuatan saya yang terlanjur. Saya kesal apa yang telah saya lakukan. Jangan ambil hati dengan kata-kata saya tadi. Saya tidak berhak mengecilkan hati kau."
Lembut saja suara Awang Lekiu.
Mak Kundur menyepi saja.
"Datuk, tak usah diambil hati kerana Dalia masih sangat muda dalam pengalamannya dan masih mentah dalam soal hidup," Pak Malau mengeluh perlahan. Dia sudah berusaha untuk jujur dan berterus-terang. Dia mahu jadi sejujur manusia ketika itu. Tapi keadaan begitu kejam menguburkan niatnya.
"Ya, Tok Penghulu pun tentu faham. Si Dalia itu masih budak lagi. Tak cukup akal," sela Mak Tanjong dengan tiba-tiba. "Minta maaf sajalah kerana Dalia itu kecil lagi dan tidak tahu cara-cara berumah tangga. Dia masak di luar tetapi mentah di dalam."
Awang Lekiu tidak menyahut, tetapi tunduk seperti hendak mendengar selanjutnya.
Kata perempuan setengah tua itu lagi, "Kami meminta maaf kerana kami tidak dapat memenuhinya."
"Apa hendak dikata? Takkan kita boleh memaksa. Namun saya berhajat benar hendak mendengar jawapan itu dari mulut Dalia sendiri," pintas Mak Kundur, serius. Muka Pak Malau ditenungnya. "Apa kata kau, Malau?"
Pak Malau mendengus kesal. "Dalia tak ada. Dia dah keluar. Katanya dia nak pergi ke pengkalan."
"Oh, begitu," Mak Kundur mengerut kening. "Tak mengapalah. Kalau Dalia tak ada di rumah, biarlah kami minta diri dulu untuk menyampaikan hal ini kepada anak kami."
Awang Lekiu berdiri. Mak Kundur berdiri. Kemudian Badai dan Kilat pun berdiri. Setelah bersalam-salaman, keempat-empat tamu itu turun meninggalkan Pak Malau dan Mak Tanjong.
Menapak dengan tetap. Akhirnya lenyaplah mereka dari pemandangan.
Share this novel