JARAK antara Gelora Sakti dengan Nilam Puteri hanya satu bukit yang lebih baik disebutkan busut besar saja. Satu barisan prajurit Perlak bergerak ke pelancar manjanik. Peluru manjanik tersusun rapi. Siap untuk dilontar. Segala-galanya telah sedia.
"Isi manjanik!" teriak Datuk Perwira Jelatang.
Prajurit membakar isi manjanik dengan api di tungku.
"Manjanik sedia, Datuk!" seru seorang perwira muda.
"Lontar manjanik!" laung Jelatang lagi.
Lontaran-lontaran manjanik dari ghali Laksamana Megat Komeng itu bergempita. Membedal, mengganyang dan menghancurkan.
Sebuah demi sebuah kelengkapan Nilam Puteri binasa dihujani bara-bara api. Kayu-kayu, terpal dan tali layar patah-patah kena bara-bara api itu hingga menyebabkan sekalian awak bahtera Lela Sari kelam-kabut keadaannya. Seolah-olah dentuman petir telah menyambar telinga dan memberi kejutan yang dahsyat kepada mereka. Layarnya terbakar.
Megat Komeng melihat awak kapal Nilam Puteri sibuk menumbangkan layar yang menyala ke laut. Layar terbakar sebentar di atas air sebelum padam dalam kepulan asap hitam.
"Mengapa mereka tidak melawan balik?" kata Bagok kepada Nibong. Sanubarinya diserkup kerudung pertanyaan yang meresahkan.
"Mereka menunggu," bisik Nibong di telinganya.
Jelatang berteriak lagi, "Pemanah bersedia!"
Para pemanah yang menggunakan busur diperbuat daripada kayu dengan anak panah disisipkan kemas di bahagian belakang badan, langsung menghidupkan anak panah dengan api lentera. Balutan di ujung anak panah menyala dengan cepat.
Jelatang memberi instruksi. "Pemanah tarik! Tujukan ke bahagian tengah kapal!"
Mereka menarik dan membidik. Busur melengkung.
"Lepaskan anak panah!" arah Jelatang. Suaranya semakin keras dan lantang.
Anak-anak panah berapi seperti hujan lebat menuju bahtera Lela Sari. Hujungnya tajam menikam sasaran-sasaran di depan. Menembus kain layar dan tertancap.
Lela Sari bertempik-tempik dan laungan suaranya bergema di angkasa, "Tunduk semua! Berlindung! Bertahan!"
Mereka menghadangnya dengan perisai yang dibuat daripada besi yang padu dan kukuh.
Lela Sari dengan suara meninggi bertempik lagi, "Manjanik bersedia! Sasar kapal musuh dari haluan sampai ke butirannya!"
"Sasaran dalam bidikan!" ujar Garak getir.
Lela Sari menghela nafas dan berpaling ke arah Garak. "Lepas!"
Bergempitalah bunyi pelancar manjanik dari kelengkapan Lela Sari. Menghasilkan bara-bara api terbang.
Lela Sari melihat dua layar ghali yang di seberang sana terbakar. Dia tahu Laksamana Megat Komeng harus memotong layar itu dan menggantikannya kembali.
Lela Sari memanjangkan leher dan membuat cerobong tangan pada mulutnya, menghadap pasukan pemanah, dan berteriak sekuat hati:
"Pemanah! Nyalakan anak panah! Sasar! Panahan serentak! Sedia! Tarik! Lepas!"
Bagok dan Nibong memperhatikan dengan takjub bercampur cemas. Anak panah datang dan turun menjunam seperti manik-manik hujan yang laju. Menerpa di cuping telinga, siutan demi siutan.
Ketika itu hulubalang perwira Perlak yang termasyhur beraninya dan tiada gentar menentang lawan itu berdiri di geladak. Masing-masing dengan sundang dan lembing terhunus. Tetapi keadaan itu hanya menjadikan mereka sasaran mudah kepada anak-anak panah perwira-perwira yang dipimpin Lela Sari.
Gelora Sakti bergerak semakin kencang. Bahtera Nilam Puteri itu dapat dirapati.
"Bersedia menghadapi rempuhan!" tempik pengawas buritan.
Gelora Sakti melesat rapat dan bebas menabrak Nilam Puteri yang bergerak dengan kobaran api di layarnya. Bagaikan kilat, bahtera Laksamana Megat Komeng menerjah dan menubruknya dari tepi.
Lela Sari merasa suatu getaran keras dan mendengar suara retak kayu ketika besi penuduk di ujung depan bahtera Laksamana menabrak dan mengiris dinding samping bahteranya. Akan tetapi sebelum bertindak, dia mesti menakutkan musuhnya terlebih dahulu.
Kaki Jelatang menginjaki lantai kayu sebuah gang yang menuju ke haluan bahtera. Matanya tajam mengawasi keliling. Anehnya, gang itu kosong tak ada manusia. Tidak seorang pun anak buah Lela Sari kelihatan. Seolah-olah tiada berorang. Musuh yang sedang dicarinya seperti lenyap ditelan bumi.
Manakala dia melihat tidak ada musuh di sekelilingnya, dia mula merasa bimbang. Kenapa? Jelatang bertanya pada dirinya sendiri. Bingung. Berbelit-belit persoalan itu dalam kepalanya. Bagai terkejutlah sesuatu, Jelatang tiba-tiba berhenti. Terasa sesuatu yang ganjil. Suasana hening dan Jelatang hairan.
Keheningan bertambah.
Panglima Jelutong melihat Jelatang kebinggungan, lalu mendekati dan memperhatikan abangnya itu. Tepat di belakangnya. Tiba-tiba hatinya berasa tidak sedap. Seperti ada sesuatu yang akan berlaku.
Keheningan menjadi panjang dan mencengkam.
"Kau perasan sesuatu yang tiada untuk kau perasan?" Jelutong bertanya kepada Jelatang.
Jelatang berbalik, "Kau dengar tu? Itu namanya senyap."
Jelutong memandang Jelatang dengan gelisah. Inilah masa yang tidak dapat difahaminya. Hatinya bertambah bimbang.
"Ini satu keganjilan. Bahtera ini nampak seperti ditinggalkan," kata Jelatang seakan-akan berbisik sambil memerhati berkeliling. Dia memecah keheningan. "Ke mana perginya semua orang?"
"Nampaknya, begitulah," ujar Jelutong, juga seakan-akan berbisik. "Sunyi saja macam dilanggar garuda."
"Anggapan Datuk munasabah," suara Bagok menyampuk. Suaranya menujah telinga Jelatang dan Jelutong. "Tapi jangan terpedaya. Lela Sari itu gadis yang sukar diduga. Ini mesti ada satu muslihat yang kita tak tahu."
"Hamba pernah dengar kisahnya. Dia bukan sembarang orang." Kedengaran suara Dupa menambahkan dengan curiga. "Tentu kepandaiannya bukan kepalang. Setidak-tidaknya anak murid pendekar."
Ketika itulah, secara tiba-tiba satu lembing runcing menembusi belakang Dupa. Dia terhoyong-hayang. Lututnya jadi menggeletar seperti diserang demam kura-kura lalu tersembam. Terkejung-kejung, bergeliang- geliut. Lembing runcing itu tergawang-gawang mengikut gerak gempur badannya.
Bagaimanapun dia sempat menjeling Jelatang, Jelutong dan Bagok. Tiap-tiap wajah itu dihayati warna keturunan yang menakutkan, cemas bercampur waspada.
Suara sesuatu menerjah terowong telinga Jelatang yang telah tajam dilatih. Matanya mengalih tumpuan. Pandangannya menusuk ke suatu hala. Sebatang lembing melayang menghampiri sisi kanannya.
Jelatang tidak mengalah. Bakat kelicikan serta pengalaman menempuh jalan yang jahat kini sedang mematang menjadi kebijaksanaan. Tanpa bertangguh barang sedetik pun, ditariknya dengan cepat seorang prajurit yang menyusul di belakangnya. Mendorongnya ke hadapan. Hulubalang yang masih muda itu belum mengerti apa-apa.
Maka kedengaran lah lembing berlaga dengan tempurung kepala prajurit yang masih muda itu. Cuma secebis jeritan saja yang sempat keluar dari mulut sebelum berakhir riwayat hidupnya.
"Sama ada dia atau aku yang kena. Lebih baik dia," kata Jelatang kepada diri sendiri.
Serentak dengan itu terdengar satu tempikan yang nyaring:
"Serang!" Suara Panglima Garak nyaring menyengat.
Tempikan itu disambut gemuruh oleh suara yang nyaring juga.
"Bunoh!" Seorang dari mereka tiba-tiba bersemangat.
Serentak dengan teriakan itu, beberapa orang yang membawa senjata dan perisai, yang tidak dapat ditentukan bilangannya menyerbu ke arah hulubalang-hulubalang Perlak dengan jerit pekik yang amat gamat dari segenap penjuru.
Tersentak, beberapa saat lamanya mereka mati akal. Saling berpandangan. Kemudian melingas ke kiri dan ke kanan. Semuanya menanti dengan debar.
Kemudian dengan begitu saja peristiwa itu terjadi. Perang meledak. Perang telah meletus. Berkocak oleh api sengketa.
Tidak ada apa-apa lagi yang mampu untuk menghalang pertumpahan darah. Barang yang melintas di hadapan habis ditikam dan dibunoh. Sedikit pun tiada menaruh belas kesian lagi tersangat bengis lakunya. Dalam sebentar sahaja ramailah orang-orang Laksamana yang terbunoh dan cedera, menyebabkan mereka berselerak lalu undur.
DENGAN keris panjangnya, Lela Sari berdiri teguh di sisi geladak NilamPuteri selaku seorang panglima besar mempertahankan kubunya. Hulu keris tergenggam kemas di tangan. Beberapa ketika, dia menarik keris yang beradu di dalam sarungnya lalu mencium lok-loknya. Keris itu sudah banyak memakan korban. Dia mula menggambarkan di hadapannya akan musuh-musuh yang perlu ditumbangkan.
Lela Sari melihat kanan kiri dan berseru, "Pasukan lembing buat barisan!"
Sebentar kemudian beberapa orang bersenjatakan lembing panjang dengan menyandang perisai menerpa ke sisi Lela Sari. Teguh-teguh mereka berdiri seperti satu barisan prajurit yang gagah berani.
Melihat itu maka Lela Sari berkata, "Berdiri rapat-rapat. Bertahan di sini!"
"Mara!" Sepatah saja Megat Komeng berteriak, tapi sudah cukup menggambarkan watak kepahlawanan tulennya. Suaranya penuh pengalaman.
Serentak itu hulubalang-hulubalang Perlak meluru ke arah pasukan berani mati Lela Sari yang siap sedia dengan alat senjatanya. Diikuti oleh barisan prajurit-prajurit mudanya. Sundang terhunus di tangan masing-masing.
Lela Sari pun berseru, "Halang mereka! Jangan dikuasai perasaan takut!"
Pasukan pengawal berani mati mengawal ketat pergerakan penyerang-penyerang itu sehingga bersepah kaparlah mayat-mayat di sana sini.
Orang kian ramai. Seluruh pelusuk Nilam Puteri sudah menjadi sendat dan berasak-asak. Bingit. Persekitaran yang asal menyepi kini ibarat diserbu langau dari segala pelusuk.
Lela Sari menyerikan kata-kata semboyan untuk membangkitkan semangat perwira-perwiranya. "Berjuang! Berjuang hingga ke titisan darah terakhir! Berjuang habis-habisan! Kematian untuk musuh kita! Bunoh seberapa ramai yang boleh!"
LAKSAMANA Megat Komeng melangkah maju dan menghantamkan perisainya ke muka musuh yang berlari-lari mendapatkannya. Orang itu terangkat kakinya dan jatuh melayang. Matanya berpinar.
Terdengar di telinganya suara ada seseorang mendekati. Megat Komeng membalik badan, tangan kanannya yang erat memegang sundang mengarah tepat ke dada lawannya. Dia tewas di bawah muncung senjata Datuk Laksamana.
Megat Komeng memutar tubuh. Satu kilatan sundang memancar. Dia tergamam lalu menangkis serangan itu dengan mengangkat perisainya dan membalas serangan. Kepalanya diangkat dan dia tunduk mengenai tepat kepada muka orang itu. Tandukannya kencang bagai ribut. Lawannya tersungkur dan mengerang kesakitan.
Megat Komeng memutar badan, seorang musuh menerkam sebagai harimau lepas tambatan. Dia hayun sundang. Megat Komeng melompat mengelakkan serangan itu. Datuk Laksamana mengangkat tangan kirinya lalu perisainya diayunkan tepat menghantar kepala lawan. Orang itu tersentak. Megat Komeng mengacungkan sundang ya kemudian diayunkan. Tepat benar sundang itu menimpa rusuk kiri lawannya. Orang itu berteriak, darah mengalir dan dia pun rebah.
Kaki Datuk Laksamana makin laju melangkah. Sundang di tangan diayunkan dan bertalu-talu. Musuhnya terkial-kial mengangkat perisainya, menyambut mata bisa sundang itu. Dia terus berdegil tidak mahu berganjak barang seinci pun.
Megat Komeng seperti orang gila menghempas dan menetak sundangnya dengan sekuat hatinya, berulang-ulang. Mendorong tubuh musuhnya ke posisi berlutut, tiada berdaya bangkit lagi kerana tetakkannya yang bertubi-tubi. Orang itu terpegun seketika. Kelekaannya pantas dihukum. Megat Komeng bersicepat menghayun kakinya hingga dia terpelanting jatuh.
Megat Komeng terus menyelinap mara. Matanya liar memerhati sekeliling. Banyak yang harus ditempuhnya. Banyak benar yang hendak diselesaikannya. Hatinya sudah tidak sabar mahu berjumpa Lela Sari.
SEORANG anak muda berhidung bengkok dan berbaju bidang merapati Lela Sari yang sedang menunggu. Diam seperti patung sambil memegang hulu kerisnya. Lela Sari tetap berdiri kukuh bagaikan batu dengan wajah yang tenang, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Anak muda itu menerkam, akan diberinya moncong sundang yang ada di tangannya kepada Lela Sari yang berada tepat di hadapannya. Spontan itu juga Lela Sari melunjurkan kaki kirinya. Tujahan kaki Lela Sari itu menepis tangan lawan yang bersenjata. Namun ditahannya agar tidak jatuh.
Pun begitu, dia bukanlah seorang yang mudah menyerah kalah. Dia punya megah dan maruah yang perlu dipertahankan. Untuk kedua kalinya anak muda itu melibas dengan rakus. Lela Sari bingkas dengan segera mundur selangkah untuk menjauhinya. Lalu Lela Sari tanpa membuang masa, berpusing dan serentak dengan itu mengangkat kaki kanannya. Lalu menendang tengkuk lawan. Orang itu terlantar jauh dan terguling-guling jatuh.
Lela Sari mendengar langkah-langkah tetap menuju ke arahnya. Sejurus kemudian dua orang musuh yang berwajah bengis mendatangi ya. Di tangan mereka terhunus sebilah sundang. Lela Sari menanti keseorangan, menghadapi dua lawan serentak. Orang pertama yang bermisai tebal melibas. Lela Sari mengelak ke kanan. Orang kedua yang berjanggut sejemput melibas. Lela Sari mengelak ke kiri.
Dua lawannya itu menyerang secara serentak dengan sundang yang mereka genggam di tangan. Lela Sari tunduk. Libasan serentak kali kedua. Lela Sari menundukkan lagi kepalanya sambil membalik badan, membelakangi lawan dan berpusing kembali menghadapi mereka. Kaki kanannya menendang muka lawan yang berada di sebelah kanan. Lawannya yang bermisai tebal itu terpelanting.
Lawan yang di sebelah kiri melibas tetapi tersasar akibat tundukkan pantas Lela Sari. Dia bergerak ke kiri. Cubaan lawan melibas lagi ditangkis begitu licik sekali oleh Lela Sari dengan menangkap pergelangan tangan yang bersenjata lalu menendang rusuk kanan lawan. Dia roboh terlentang di lantai.
Si misai tebal melibas. Lela Sari tunduk mengelak. Libas lagi dengan kasar. Lela Sari tunduk lagi. Sebelum Lela Sari sempat membetulkan kedudukannya, dia merasakan bahunya dihinggapi ayunan kaki lawan. Keris terlepas dari tangannya. Dia terjelepok. Ini sama sekali di luar perhitungannya.
Sambil terlentang, gadis itu mendengus seperti seekor naga menghembus api tapi dia tidak boleh menunggu denyut-denyut di bahunya mereda. Dia tergesa-gesa bangun apabila melihat lawannya menerpa dan menetak. Dengan penuh keyakinan, Lela Sari berhasil mencengkam pergelangan tangan yang bersenjata dengan kedua-dua belah tangannya, lalu dipulas kuat ke kiri.
Si janggut sejemput menerkam di sebelah kanannya. Lela Sari yang menyedari kedatangannya segera menggunakan tangan bersenjata lawan yang sedang dipegangnya itu untuk menangkis serangan dan memulangkan tikaman yang diberi. Berlawan habis-habisan. Kemudian dia memutar tubuhnya ke kiri. Tangan si misai tebal tetap dipegang. Cengkaman tangan Lela Sari keras bagai baja. Si janggut sejemput datang lagi Lela Sari menyepak terajang dada lawannya itu yang terus terpelanting.
Masa melintas di belakang Lela Sari, sempat juga Garak jenguk. Tangannya memegang lembing yang diambil dari mayat musuh yang masih suam. Mati tanpa meninggalkan nama untuk diingati dan dipuja. Apabila melihat Lela Sari dalam keadaan terdesak, dia melemparkannya dan mata lembing itu merodok kulit perut si janggut sejemput. Jerit kesakitan keluar dari mulutnya yang menandakan detik kematian yang penuh kesakitan.
Tangan Lela Sari masih menggenggam si misai tebal dengan sekuat hatinya. Cepat-cepat Lela Sari menepis pergelangan tangan itu untuk menjatuhkan sundang yang dipegangnya. Secepat itu pula tangan kanan serdadu Perlak itu dengan genggam bulat cuba menumbuk Lela Sari di depan hidungnya. Tangan kanan Lela Sari pantas bergerak menepisnya. Cuba menumbuk dengan kepalan tangan kiri. Tangan kiri Lela Sari bingkas, serta-merta menepis. Gerak tinju berikutnya tak terelakkan, mengenai pipi montel Lela Sari.
Lela Sari tercampak lalu tersembam. Mendongak mukanya. Lawannya menghulurkan tangan ke bawah dan mengutip sundangnya. Kemudian menghayunkannya tinggi-tinggi, lalu menjatuhkannya sebelum Lela Sari bangkit sepenuhnya. Dia mengelak dan kemudian bangkit berdiri dengan cepat. Pada saat yang kritis itu Lela Sari teringat bahawa dia tidak bersenjata.
Lawan menebas ke kiri, menebas ke kanan. Mengulangi lagi dengan sungguh-sungguh. Lela Sari terliuk-liuk mengundur sambil mengelak. Hujung sundang lawan terbabas ke tiang kayu pelancar manjanik dan melekat. Lawannya menarik. Sundang tidak bergerak. Dengan marah, dia mencuba mencabut sundangnya sekali lagi. Tapi sundang itu tidak bisa dicabut.
Tanpa membuang masa, Lela Sari menendang pangkal lengan lelaki itu. Genggamannya di hulu sundang mula longgar. Lela Sari menendang pula dada lawan. Si misai tebal terputar dan terlempar, melepaskan hulu sundang dari genggamannya.
JELATANG mengatur langkah di tepian bahtera. Matanya tajam menentang Garak. Sundang di tangannya digawang-gawangkan dan menetak kuat-kuat ke arah sosok tubuh Garak 6ang terkinja-kinja mengelak dari sudut ke sudut. Di tangan Garak terhunus sebilah keris panjang. Keris itu dicekak kemas. Bagai tidak mahu dilepaskan hingga maut datang menyergah.
Jelatang mengangkat sundang tinggi-tinggi dan menetak. Tetapi terbabas ke palang. Jelatang yang terasa kewibawaannya tercabar menarik sundangnya dari palang itu. Kemarahannya seakan-akan tidak terbendung lagi. Sundangnya digawangkan lagi ke atas dan dia melompat bagaikan sang harimau menerkam mangsanya. Jelatang mengumpulkan segala tenaganya, lalu sundang itu diayunkan ke kiri dan kanan untuk membidas Garak.
Mujurlah dapat dielak Garak yang melompat mundur. Mengelak dan menepis. Tapi sungguh malang. Satu hayunan kuat mengenai perisai Garak, menyebabkannya terencat ke belakang. Kakinya tergelincir di atas gulungan tali. Dia tidak dapat menimbang badannya, lalu tersepuk jatuh terhumban ke dalam laut.
SUASANA sekeliling terus menjadi fokus. Apabila dilihat Lela Sari sebegitu ramai orang mengepungnya, cukup lengkap dengan segala alat senjata, dia memungut kerisnya. Jangkau saja dengan tangannya kerana keris itu tidak jauh dari tempat dia berdiri. Kemudian menyisipkan kembali keris itu ke pinggang. Lalu mengumpul segenap kudrat untuk meloncat. Kaki kecil Lela Sari lincah ringan menanjak sundang yang tertancap di tiang pelancar manjanik untuk meninggikan lagi lonjakkannya ke hadapan. Dengan tenaga yang luar biasa, dia melambung tinggi dengan aksi akrobatik sambil berputar-putar membalikkan badan. Terasa dirinya terawang-awang.
Lela Sari melayang turun ke depan pintu kabin nakhoda yang sempit, lulus seorang sahaja, mencari medan untuk bertahan. Tergesa-gesa Lela Sari ke situ, membuka pintu dan bertahan kira-kira sdepa dari muka pintu dengan keris panjangnya yang berlok tiga belas terhunus. Dia membuat keputusan menanti di situ sahaja, menunggu musuh-musuh datang. Sejurus kemudian musuh-musuh pun masuklah beriring-iringan, seorang seorang.
Apabila bertemu sama seorang, dengan mudah jua Lela Sari membunuh dan mencederakan akan kawan-kawannya itu sehingga musuh-musuh tiada berani masuk ke tempat Lela Sari bertahan itu oleh melihatkan rakan-rakan mereka satu per satu gugur. Tidak kurang daripada lima orang maut disebabkan oleh tikaman keris Lela Sari. Tidak kurang juga daripada sepuluh orang yang cedera luka kena tikaman.
Semua yang mengelilingi Lela Sari seakan separuh bulatan, diam. Setelah berjurus-jurus lamanya, tiada lagi dilihat Lela Dari musuh menyerbu. Mereka gerun melihat lagaknya. Setelah semuanya mengunci bibir, dibalikkannya tubuhnya dan bergegas melangkah ke dalam kabin. Maka ditutupnya pintu rapat-rapat dan menyelaknya. Menguncinya dengan aman dari dalam. Ketika itu Lela Sari terlalu letih oleh begitu ramai lawan yang ditentangnya.
LELA Sari menarik kerusi depan meja lalu duduk oleh terlalu lelah. Kerisnya yang berlumuran darah pun tiada tersarung olehnya. Nafasnya turun naik dan peluh membasahi tubuhnya. Baju yang dipakainya dibasahi peluh. Dia seolah-olah sudah mabuk darah. Tekaknya meloya seperti hendak muntah rasanya.
Perutnya tiba-tiba mual. Dia bangkit dan berjalan ke jendela lalu muntah. Matanya mulai berair bila isi perutnya keluar berhamburan. Kemudian dia bersandar pada birai jendela dan membiarkan angin dan udara dingin menghembus kepalanya. Angin menderu memberi udara segar yang nyaman.
Lela Sari duduk kembali dan menyapu peluh di mukanya. Manik-manik peluh di dahi dan hidungnya dikesan dengan hujung kain sampingnya. Dara itu belum pernah mengalami keadaan begini. Dia mengerti bahawa dia terperangkap. Hatinya bagaikan terlambung. Perasaan cemas tambah menekan. Semuanya mengacukan fikirannya dan matanya terpejam sedetik. Dia mententeramkan fikiran.
Dadanya masih turun naik kerana lelah. Dibuang pandangan jauh-jauh ke luar jendela. Tiba-tiba bola matanya terpaku pada kelibat tubuh seorang lelaki sedang mencelah masuk melalui jendela. Musuhkah? Matanya mengerling tajam. Dadanya diterkami segugus debaran yang terdesak serentak dengan penglihatan matanya yang jatuh di situ.
Melihat gerakan yang mencurigakan itu, Lela Sari bangkit berdiri, memegang hulu kerisnya dan bersiap sedia di balik jendela itu. Berdiri dengan segala kekerasan hatinya. Tidak bergerak.
Rupanya yang masuk ialah Panglima Garak. Pakaiannya habis basah.
Lela Sari melepaskan semula hulu kerisnya apabila didapatinya bahwa yang datang bukan musuh.
"Garak!" Lela Sari menyapa Garak. Dilihatnya baju Garak yang basah. Air laut menitik dari pakaian itu. "Nampaknya kau basah kuyup?"
Garak terus memandangi Lela Sari. Dia tengah-tengah berkata, "Patik tergelincir dan terjatuh ke dalam laut, Tengku Puteri."
"Kau terjatuh?" Direnungnya keadaan Garak, kemudian katanya, "Cepat lap badan."
Lela Sari hulur pada Garak sehelai tuala yang baru diambilnya daripada sebuah peti kayu yang tidak berkunci.
Garak menjangkau mencapai tuala itu lalu mengelap-ngelap badannya yang basah.
Lela Sari berpaling ke almari yang penuh dengan pakaian. Dia menarik laci paling bawah hingga terbuka dan meraih ke dalam. Dia mengeluarkan baju, celana dan sarong.
"Nah, ambil ini. Sepasang pakaian kering untuk kau. Usang sedikit tapi bersih. Beta rasa tentu sepadan," Lela Sari menawarkan pakaiannya. "Sekarang pergilah bertukar pakaian," katanya dan menyerahkan pakaian itu kepada Garak.
Garak menerima pakaian itu.
Lela Sari membalik badan, membelakang.
Satu demi satu Garak membuka pakaian. Kemudian mencapai pakaian kering dan bersicepat memakainya.
Lela Sari mencuri pandang. Garak sudah siap lengkap memakai pakaian kering. Lela Sari melihat kekuatan di wajah Garak.
Lama kedua orang itu tidak bicara.
Akhirnya Garak berkata sambil membetul-betulkan lipatan lengan bajunya yang telah disingsingkan ke paras siku. "Mereka terlalu ramai, Tengku Puteri. Terlalu ramai. Kita tak mampu menang pertarungan ini. Tak ada harapan lagi, Tengku Puteri?"
Garak bertanya kepadanya penuh kekuatiran. Suaranya kedengaran seperti orang putus asa.
Lela Sari menoleh dan menikam kan matanya ke mata Garak. Dia berasa kurang senang dengan pertanyaan itu. Langkah pejuang tidak harus memikirkan tentang tewas. Itu pantang pendekar yang turun ke gelanggang.
"Jangan cakap begitu, Garak. Harapan sentiasa ada!" sahut Lela Sari. Kesal di hati tidak disembunyikan. Matanya bersinar, wajahnya serius. "Dengar pantun ini. Pasang perangkap di tepi hutan. Guna ayam menjadi umpan. Selagi nyawa dikandung badan. Ada hayat, ada harapan."
"Seperti biasa, Tengku Puteri sangat yakin," kata Garak. Dari pengamatannya, Lela Sari adalah seperti seorang puteri yang keras kepala.
"Baik buruknya terserahlah atas iktiar kita dan berserahlah kepada Tuhan. Ajal dan maut di tangan Tuhan dan sebelum ajal berpantang mati, Garak. Beta rela berputih tulang daripada berputih mata," ujar Lela Sari sungguh-sungguh, tidak mudah putus asa. Dia tidak akan berputus asa kerana perkataan itu sebenarnya tidak ada dalam kamus hidupnya.
Lela Sari sanggup menghadapi semua itu. Tidak boleh berdolak-dalik. Dia tahu kiranya perjuangan terhenti setakat itu sahaja, segala penat jerihnya itu tidak akan ke mana, malah memenatkan diri sahaja. Tiada siapa boleh mempertikaikannya! Bentaknya dengan hebat kepada dirinya sendiri.
Garak mendapatkan kembali kepercayaan dirinya. Semangatnya yang hampir padam, menyala semula dan dia berkata-kata dengan cepat, seolah baru tersedar. "Ya, biar putih tulang jangan putih mata. Kata-kata puteri sejati. Terima kasih atas keyakinan itu. Patik hanya berkhidmat untuk Tengku Puteri dan patik rela mati bersama-sama Tengku Puteri. Patik ingin gugur sebagai seorang pahlawan yang taat setia. Patik nak berbakti kepada Tengku Puteri sebagaimana indahnya matahari berbakti kepada bumi."
Lela Sari melucutkan baju besinya. Rasa nyeri terasa di perutnya.
Garak terkejut ketika melihat luka Lela Sari. Tepat di atas pinggangnya sebuah luka goresan yang unggul mulai membengkak. Kelihatan ada titik-titik darah, tapi lukanya tidak lebih dari luka goresan belaka.
"Jika beta buka, askar-askar beta tahu yang beta cedera dan mereka akan huru-hara. Perasaan takut mudah tersebar," kata Lela Sari. "Ketakutan akan hanya membunuh semangat mereka."
Garak mengangguk. Sependapat. Kemudian berkata pula dia kepada Lela Sari, "Ya, benar Tengku Puteri. Ketakutan dan putus asa adalah kelemahan manusia."
Tangan Lela Sari mencapai sehelai kain perca yang sudah lusuh tapi bersih yang terletak di atas almari. Dia hulur kepada Garak. "Garak, tolong balutan luka beta."
Lela Sari membelakang, jongkong sedikit. Sesudah itu dia langsung melucutkan bajunya tanpa segan-silu dan dia tidak berbaju dalam. Dia sangkut baju ke bahu. Lalu buru-buru menutup kedua belah tonjolkan buah dadanya yang masih kecil dengan telapak tangannya.
Garak terperanjat dan terpingga-pingga melihat belakang tubuh perawan itu yang kulitnya pucat tapi halus. Telanjang sampai ke pinggang. Kehalusan kulitnya bagaikan bayi yang baru lahir. Tiba-tiba saja dadanya berdebar dan bergelora bagai ombak laut. Di dunia ini memang tak ada yang lebih mengghairahkan selain gadis muda belia dan segar-bugar, fikir Garak.
Lela Sari toleh, melihat kepadanya terus berdiri tidak bergerak-gerak di situ. Keningnya yang anggun itu berkerut seperti dalam kebingungan. Lela Sari yang tidak sanggup menanti lebih lama pun berkata, "Janganlah tegak saja seperti galah di situ. Tunggu apa lagi?"
"Baiklah. Patik patuh segala kemahuan Tengku Puteri," kata Garak dan berdiri di sisi Lela Sari.
Pahlawan muda yang masih membujang itu berkuasa mengawal dirinya dan menjaga sikap. Dirobeknya kain itu dan membersihkan luka Lela Sari dengan cermat lalu ubat dibubuhkan. Kemudian membalut luka di atas pinggang Lela Sari yang licin telanjang.
Setelah habis dan usai segala pekerjaan itu, perlahan-lahan dialihkan pandangannya kepada keris yang tersangkut di dada dinding. Tanpa berlengah, dia terus mengambil keris tujuh lok yang memiliki kehalusan hiasan itu. Ditariknya mata keris dari perut sarung lalu dicium mata keris yang berbentuk gerak ular campuran alunan ombak dan arus air itu. Tertarik hatinya melihatkan kukuh, tajam dan baik buatannya keris itu.
"Sungguh indah buatan ni keris. Tetapi tugas mu sungguh hina," kata Garak lalu dicubanya bermain keris itu beberapa langkah. "Apalah sebilah keris, melainkan sebilah senjata?"
Mendengarkan perkataan Garak itu, Lela Sari yang telah selesai memakai baju pun menganggukkan kepalanya sambil berkata, "Keris memang dicipta bagi tujuan itu dan keris hanya berjiwa jika digunakan. Bila sudah berlumuran darah, kau takkan kata ia indah lagi."
"Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!" Garak berbalik ke arah Lela Sari. "Kita terdesak. Peluang kita tipis. Tetapi patik sedia untuk mati. Sebelum patik mati, orang lain akan mati dulu. Patik akan amok! Kita tak boleh bunuh semuanya tetapi kita bunuh seberapa ramai yang boleh!"
Ini menjengkelkan Lela Sari. Bulu keningnya naik ke atas. Dia seperti tidak percaya pendengaran telinganya. "Jangan lekas memutuskan timbangan, Garak. Kelak kesal padahnya. Sia-sia kalau tak guna akal fikiran."
"Betul kata-kata Tengku Puteri itu. Apa yang harus kita perbuat sekarang?" Lembut suara Garak.
"Selagi Laksamana Megat Komeng yang taat pada Sultan Perlak tidak berubah corak, selagi itulah Sultan yang terlalu jahat perangainya itu bebas melakukan apa saja yang dia mahu dengan melangkah di atas mayat manusia. Jalan yang sebaik-baiknya tak lain kita tamatkan riwayat Laksamana Megat Komeng. Pancung kepala ular, badannya akan mati."
"Ya, bunuh ketuanya dulu, yang lain pasti tumpas."
"Tetapi tak mudah juga kita nak mengalahkan Datuk Laksamana kalau tak guna tipu muslihat."
"Muslihat? Apa maksud Tengku Puteri dengan perkataan itu?" Suara Garak begitu mengharap. "Tengku Puteri mencadangkan suatu tindakan?"
Lela Sari tidak segera menjawab. Dia diam sejenak dan menjawab perlahan, "Beta ada satu jalan untuk kita hapuskan riwayatnya."
"Ya, itu yang sebaik-baiknya," ujar Garak membenarkan. Wajahnya sedikit girang. "Bagaimana caranya Tengku Puteri? Patik tak sabar nak mendengarnya."
"Begini caranya," jawab Lela Sari. Tanpa ragu-ragu dia menerangkan suatu helah yang terlintas dalam fikirannya kepada Garak.
Share this novel