JAMBATAN itu kecil, lolos seorang sahaja. Tanpa penghadang di kiri kanannya.
Dalia dengan kain kelumbungnya menutup sebahagian wajah mukanya, mematikan langkahnya ketika sudah hampir menyeberangi jambatan. Langkahnya terhenti seperti dipukau. Baginya inilah detik yang paling tidak disukainya.
Tapi ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Huh! Dengus hatinya, keresahan.
Matanya tajam merenung jauh ke hadapan.
Awang Sulong berjalan ke arah Dalia dan berhadapan muka dengan Dalia.
Dengan penuh perasaan Awang Sulong berkata, "Nampaknya takdir telah mempertemukan kita lagi. Di dalam renungan aku, ini suatu pertunjuk seakan-akan kita ditakdirkan untuk bersama."
"Ya, takdir kita selalu bersilang, tetapi tidak akan terjalin," ujar Dalia jengkel.
"Kau dari mana dan ke mana kau nak pergi dengan keranjang ini?" Awang Sulong bertanya. Dia menghampiri Dalia.
Dalia tidak menjawab. Pertanyaan Awang Sulong itu tidak dihiraukannya.
"Eh, eh. Sombong betul Dalia. Orang bertanya pun tak menjawab."
"Awang! Janganlah menghalang perjalanan aku," Dalia menantang. Rasa muak tiba-tiba mengimbau di hatinya. "Hei, ke tepilah! Aku nak lalu!"
Hati Awang Sulong bagai dikocak. "Belum pernah ku jumpa gadis secantik kau, Dalia."
Tanpa alasan dan perhitungan, Awang Sulong pegang dagu Dalia dan tarik ke arahnya.
Dalia mendongak lalu ditepis tayangan dajal itu dengan tangan kirinya. Dia merasakan kesabarannya benar-benar tercabar kini tapi dia masih lagi dapat menguasai dirinya.
"Jangan pegang aku lah! Aku tak suka dengan kau! Aku benci tengok kau!" Dalia membentak dengan cara yang menghina menurut pendapat Awang Sulong.
"Oh, kau benci tengok aku, ya? Kau benci tangan aku pegang kau, ya?" kata Awang Sulong mendesis saja. "Kenapa Dalia? Najis ke tangan aku ni? Walaupun kau tak suka pada ku tetapi aku tetap mencintai mu, Dalia. Kasih ku telah subur di segenap liku hati ku untuk mu, Dalia. Aku telah berazam yang kau mesti berkahwin dengan aku. Biarpun sepuluh keris terhunus di dada ku, tetap aku tewaskan, Dalia."
Tangannya mencekak hulu kerisnya yang terselit di pinggang kiri dengan tangan kanannya.
"Hei, Awang! Jangan sedap-sedap cakap saja. Itu namanya takbur," tukas Dalia dengan cepat.
"Kahwinlah dengan aku. Jika kau kawin dengan aku, kau akan hidup senang-lenang. Juga aku akan mengadakan setiap keinginan mu. Sebut saja dan akan dilaksanakan," Awang Sulong menyarankan.
"Apa? Kawin dengan manusia binatang seperti kau? Huh!" Dalia membantah dengan kata-kata yang kasar. Ditambah lagi dengan pendiriannya yang teguh. Tidak mudah diubah. "Banyak cantik muka kau? Hei, kau cerminkan muka kau dululah kalau nak kan aku!"
Awang Sulong menarik muka kelat. "Kau tak mahu mengahwini aku? Janganlah bercakap begitu. Janganlah marah-marah, fikirlah dulu sebelum mengambil sesuatu keputusan kerana ini semua adalah faedah untuk diri kau sendiri."
Dalia mendengus kasar. Dia tidak perlu memikirkan apa yang disuruh fikir oleh Awang Sulong. Awang Sulong tidak berhak menyuruh-nyuruhnya begitu.
"Aku nak beri amaran. Mulai hari ini, kau jangan ganggu aku lagi!"
"Wah, wah! Bukan main. Bertambah marah, bertambah manis, kau!" Awang Sulong memuji Dalia. Cuba memesongkan tumpuan Dalia.
Dalia merenung tajam Awang Sulong. Ungkapan Awang Sulong itu terasa menghiris pendengarannya. "Manis tak manis, kau peduli apa?"
"Eh, eh? Cakap begitu pun salah? Aku hanya memuja kecantikan, itu tidak salah, bukan? Salahkah aku memuji engkau Dalia? Bagaimanakah lagi dapat aku membuat supaya engkau mengerti? Kau tidak tahu penderitaan apa yang aku derita. Selama ini aku tak dapat makan, minum dan juga tidak dapat tidur. Sedikit pun aku tak dapat lelapkan mata," pujuk Awang Sulong.
Dalia mula menyampah, "Apa aku peduli kau tak mahu makan, tak mahu minum? Kau tak perlu nak ambil tahu hal aku. Sudah, aku tak mahu dengar segala kata-kata mu!"
"Dalia, aku cuba memujuk engkau supaya menghilangkan rasa marah mu terhadap ku. Namun kau berdegil juga. Sekarang aku paksa kau Dalia!" ujar Awang Sulong. Dia sudah berusaha untuk berterus terang. Tapi keadaan begitu kejam menguburkan niatnya.
"Kau ni siapa nak memaksa aku?"
"Paksaan ada kalanya mesti untuk menyempurnakan maksud hati," Awang Sulong menegaskan.
"Ini amaran penghabisan!" tiba-tiba Dalia mengancam. "Jikalau kau ganggu aku lagi, aku akan berteriak minta tolong. Lalu kau dari situ! Lalu! Sebelum aku naik angin! Kalau tak lalu, celakalah padahnya!"
"Apa? Kau seorang perempuan nak menentang aku?" terpancut suara Awang Sulong yang antara marah dan geli hati.
Berkatalah Dalia dengan penuh semangat, "Perempuan bukan sebarang perempuan. Ini perempuan Melayu sejati. Aku pandailah menjaga diri sendiri!"
Awang Sulong yang sudah kelihatan seperti singa lapar hendak membaham mangsanya itu tidak peduli. Dia melangkah maju.
Merasakan firasat yang kurang enak demi melihat gerak Awang Sulong yang mendekatinya, Dalia meletakkan keranjang yang dipegangnya ke lantai jambatan. Siap untuk bertindak kalau perlu.
Awang Sulong menapak terus.
Tangan kanannya cuba memegang dagu Dalia sekali lagi.
Seperti kecepatan seekor singa, Dalia mendorong tubuhnya ke depan sambil menghayun tangan kiri ke bawah tangan kanan Awang Sulong. Tangan itu dikunci kemas oleh Dalia.
Serentak itu dia mengunjurkan tangan kanannya untuk mencengkam bahu kanan Awang Sulong lalu menariknya ke depan. Kemudian dia mengangkat lutut kanannya.
Tendangan lutut itu bergerak ke arah celah kangkang Awang Sulong. Sebuah pukulan yang cukup kuat. Sifat pendekarnya yang diajar oleh bapanya begitu menonjol.
Awang Sulong membungkuk menahan kesakitan akibat dari pukulan lutut Dalia.
Dalia melepaskan kunci tangan.
Dus! Buat pertama kalinya, Awang Sulong merasakan satu sepakan kuat seorang perempuan menjamah mukanya. Itu bererti sekarung aib telah ditimpakan ke kepalanya.
Dia terjatuh terlentang ke belakang, ke dalam sungai.
Dalia berdiri di tepi jambatan, melihat ke bawah.
Awang Sulong terjelepuk di dasar sungai cetek itu dalam keadaan melengkungkan badannya ke depan sambil memegang bahagian tubuhnya yang sakit.
"Kalau kau menjaga tingkah laku, tidak begini jadinya!" kata Dalia kepada Awang Sulong. Nada bicaranya keras dan tidak kenal kompromi. "Ingatlah padahnya jika engkau beringkar juga!"
Dia mengutip keranjangnya dan bergerak keluar dari jambatan.
UDARA terasa dingin segar akibat hujan lebat malam tadi. Dalia mulai bisa melihat segaris pantai yang indah, dengan pecahan ombak yang putih. Laut berbau masin dan angin menderu menyejukkannya.
Di tepi laut itu kelihatan beberapa orang penduduk kampung Pulau Sentosa, lelaki dan wanita juga beberapa orang kanak-kanak membongkok-bongkok dan kadangkala mencangkung memburu dan mengutip lokan atau kerang.
Kelihatan juga kira-kira tiga buah sampan terkedek-kedek di atas permukaan air. Dalam setiap sebuah sampan itu kelihatan dua orang nelayan sedang menarik jala.
Matanya tumpu ke arah pengkalan di depannya. Dengan cukup hati-hati dia mendepangkan langkahnya menginjak lantai pengkalan yang agak panjang menganjur ke laut.
Sepanjang perjalanan dia sering berselisih dengan orang ramai yang berulang-alik ke pengkalan. Ada yang mengenalinya, segera menegurnya dengan mesra.
"Apa khabar Dalia?" tanya seorang perempuan setengah tua.
"Baik makcik," sahut Dalia. "Bila balik dari Temasek?"
"Baru seminggu," kata perempuan itu kembali.
Di dalam lingkungan pengkalan ada beberapa tempat berteduh dengan atap ranting kering. Ada beberapa buah bangku tempat duduk menghala ke laut kerana kawasan itu ialah tempat orang bersiar-siar di waktu petang sambil menyedut udara bersih dan menikmati keindahan alam semula jadi di tepi pantai.
Dalia menghenyakkan punggungnya ke atas bangku yang berdetik bila menerima punggung Dalia. Ada meja tempat makan di depannya.
Dalia merenung langit yang tidak berawan, kemudian melontarkan pandangannya ke kejauhan.
Di kejauhan, samar-samar dia nampak sebuah perahu menghala ke pengkalan dengan layarnya terkembang. Layarnya usang benar. Sudah lusuh dimamah usia tetapi masih utuh. Di dalamnya kelihatan Pak Mahad dan Damaq yang memakai terendak.
Wajah Dalia berseri-seri.
PERAHU merapat ke pengkalan. Pak Mahad bangkit dari duduk dan menuju ke haluan. Cepat-cepat dia memaut salah satu tiang dan memegangnya kuat-kuat.
Dia segera melompat naik ke pengkalan dan menyangkutkan tali perahu itu ke tiang pandangan. Menambat perahu itu dari hanyut.
Damaq menurunkan tiang layar dan kain layar. Kerjanya selesai dan dia melangkah naik sambil memikul tiang layar.
Dalia menghampiri mereka.
Damaq bolehlah dianggap seorang yang tampan. Wajahnya cerah dengan mata yang bersinar. Hidungnya mancung dan bibirnya tipis.
Tubuhnya tegap, langsing dan tinggi. Anak muda itu mahir berpencak silat, pandai menulis dan membaca.
Damaq menyandarkan tiang layar ke dinding dan Terendak ya disangkutkan ya pada hujung tiang layar itu.
Dalia letak punggung di kerusi.
"Abang Damaq! Pak Mahad! Berehatlah di sini sebentar!"
Damaq menoleh. "Dah lama Dalia menunggu?"
"Belum lama, bang Damaq," ujar Dalia setelah meletakkan keranjang ke atas meja di hadapannya. Kemudian sebuah bekas dikeluarkan dari dalam keranjang.
"Dalia ada bawa sedikit makanan dan minuman untuk abang Damaq dan Pak Mahad," sambil menyogokkan minuman dalam bekas buluh sepanjang sejengkal.
"Apa ni?" Damaq menyambut minuman itu.
"Air kopi dan Dalia bawa kue sedikit."
Dalia pun memberikan juadah itu kepada Damaq yang menanti dengan penuh ceria dan tidak sabar-sabar.
Damaq meminum kopi yang disediakan oleh adiknya itu. Setelah meminum air kopi seteguk, dia mencapai kue bingka ubi sebelum menyumbatkannya ke dalam mulut.
"Hm-mmm. Sedap sungguh kue ni," kata Damaq sambil mengunyah. Kue yang dikunyah ya itu cepat-cepat ditelan. "Siapa masak?"
"Siapa lagi? Maklah!" jawab Dalia bersahaja.
"Oh, begitu. Patutlah sedap."
Pak Mahad yang masih tercegat berdiri tersenyum mendengarkan perbualan itu.
"Eh, Pak Mahad? Tak letih ke berdiri di situ? Duduklah. Lepaskan penat di dalam diri," Dalia menjemputnya.
Pak Mahad tidak menjawab. Tapi sebagai gantinya, dia mengangguk. Perlahan-lahan punggungnya dilabuhkan di atas kerusi.
"Jemputlah makan kue ini," pelawa Dalia sambil meletakkan bekas kopi di samping Pak Mahad.
"Sekarang kau sudah dewasa, Damaq. Kau bila lagi nak berumah tangga?" tanya Pak Mahad sambil mengambil sepotong kue dan memakannya dengan berselera sekali. "Kampung ini tidak kurangnya dengan gadis-gadis cantik."
Damaq tersipu-sipu. "Selagi Damaq belum dapat seorang pemuda yang dapat menjaga Dalia, Damaq tak akan berumah tangga."
Dalia jeling abangnya. Dia rasa senang dapat abang yang bertanggungjawab.
"Saya bersyukur ke hadrat Tuhan kerana abang Damaq dan Pak Mahad selamat pergi dan selamat kembali. Apa khabarnya Mak Melor?" Dalia mengerling ke muka Pak Mahad dengan perasaan ingin tahu.
"Kabar baik, Dalia dan dia ada dalam keadaan selamat," Pak Mahad segera menjawab.
"Kau tahu?" Tiba-tiba Pak Mahad bertanya. Menajamkan matanya ke arah Damaq. "Belasan tahun yang telah lampau Pak Adi yang menjadi suami Mak Melor itu sebenarnya panglima kepada Almarhum Sultan Bachtiar Alam Shah yang pernah memerintah kerajaan Perlak dan jajahan takluknya. Tentang ilmu dan bermain senjata, tak ada orang yang setanding dengan Pak Adi."
Damaq terpegun dengan keterangan itu. "Oh, begitu. Jikalau sudah izin mak dan bapak, nanti saya nak belajar silat dengan Pak Adi."
"Belajar tu bagus, Damaq. Tapi gaduh jangan dicari," kata Pak Mahad memperingatkan.
"Boleh tak Dalia ikut bersama bang Damaq?" sampuk Dalia.
"Boleh, kalau kau suka. Pada dialah kita mesti berguru."
"Nanti suatu hari kita sama-sama pergi."
"Kalau begitu, baiklah. Kita tunggu di suatu ketika, memajukan cadangan kepada mak dan bapak."
"Kalau kita minta dengan baik, tentu mereka izinkan."
"Pak Mahad. Cuba ceritakan lebih lanjut tentang Pak Adi." Damaq bagaikan tidak sabar untuk mengetahui lebih banyak lagi tentang Pak Adi.
"Pada suatu hari, Panglima Perang Tun Bija Ali melancarkan pemberontakan dan menyerang istana. Dia menaiki singgahsana itu dengan paksa. Pak Adi pula terpaksa lari dari istana. Kejadian itu sudah lama betul. Pada masa sekarang ini, anak dari Tun Bija Ali yang menduduki itu istana," Pak Mahad berhenti sejurus seolah-olah mengumpulkan ingatannya. "Pak Adi terus merantau menjadi guru silat. Sampai ke mari dia datang membawa diri. Di dalam mengadukan nasibnya, dia telah jatuh cinta kepada Mak Melor. Dia satu-satunya adik perempuan aku dan Pak Malau. Kawin dengan Mak Melor, kemudian mengajak Mak Melor berpindah."
Pak Mahad memejamkan mata sebentar, mengingatkan sesuatu. "Ah, aku ni tak boleh lama di sini kerana aku ada perlu hendak berjumpa saudagar Yatim Mustapha di teluk sana. Damaq, kau bawa perahu kita ke tepi pantai. Ikat dekat pohon kelapa cabang empat. Nanti petang aku boleh cuci."
"Baiklah, Pak Mahad. Kalau Pak Mahad yang menyuruh, apa saja mesti saya kerjakan."
"Bagus. Itulah yang dikehendaki," sahut lelaki tua itu.
Dia bingkas bangun dari tempat duduknya. Lalu melangkah beredar dari situ.
"Dalia ikut, bang!" kata Dalia dengan sungguh-sungguh.
"Ha, mari ikut abang ke perahu. Kita mudik ke pantai!"
TALI ikatan dirungkai, lalu keduanya naik ke atas perahu. Dalia duduk di belakang. Dialah yang mengemudikan perahu itu. Damaq pula mengayuhkan perahu itu.
Demikianlah dua beradik itu bertolak meninggalkan pengkalan. Seketika kemudian, sampailah mereka ke pantai yang dituju.
Banyak pohon kelapa tumbuh di situ.
Mereka meloncat ke luar dan perahu itu ditolak mereka bersama-sama menghala ke daratan, lalu mengikatnya di pohon kelapa bercabang empat.
"Mari kita pulang ke rumah. Abang rindu kepada mak dan bapak," Damaq mengusulkan.
Tidak lama kemudian mereka meninggalkan tempat itu, menyusur pantai.
"Baik cuaca hari ini, ya?" Dalia mengajukan pertanyaan.
"Iya, itu betul. Nampaknya ini hari cuaca sedang baik," Damaq menjawab dan mengangguk-angguk sedikit.
Dipandangnya ombak-ombak kecil mengocak ketenangan air.
"Cuba lihat ombak itu. Mereka berkejaran menuju pantai, menghempaskan diri ke atas batu. Seperti ada yang nak diceritakannya. Sungguh ganjil rahsia dunia ini."
Tiba-tiba Dalia melihat kelibat orang di hujung pantai yang membangkitkan kecurigaannya. "Eh, eh. Bang, apa tu bang?"
"Mana?" Damaq bertanya.
"Dekat sana tu!" Macam budak kecil nampak," Dalia menegaskan. Dia berusaha meyakinkan abangnya.
Damaq melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Dalia. Kesedaran mengalir dalam dirinya.
"Mari kita pergi tengok!" seru Damaq sambil melangkah cepat-cepat.
Kemudian dengan ketetapan yang mantap, mereka bergerak ke depan, ke arah tubuh manusia yang tersembam di tepi pantai.
Sampai di situ, mereka tiba-tiba tercegat.
"Mari kita pusingkan badan dia!"
Tangan Damaq dan Dalia segera mencekak bahu dan kaki orang itu. Membalikkan badannya ke arah mereka.
Dan ternyata orang itu adalah Deramang.
"Eh, orang kerdil rupanya," Damaq menerangkan.
"Siapakah si malang ini?" Dalia bertanya dengan heran.
"Nampaknya dia bukan orang di pulau ini." Damaq meyakinkan dirinya sendiri. Orang kerdil itu tidak pernah dikenalnya.
"Masihkah dia hidup?" tanya Dalia. Pandangannya seolah-olah memohon penjelasan.
Damaq diam. Dalam kepalanya sedang memikirkan sesuatu. Badan kerdil itu digoncang-goncangnya beberapa kali. Kemudian dipegangnya urat nadi orang itu.
"Masih hidup," Damaq mengiakan. "Dia masih bernafas. Ada denyut. Nadi masih berjalan baik. Badan masih cukup panas."
"Ada lebih baik kita bawa saja dia balik rumah," Damaq memutuskan.
"Dalia pun berfikir begitu," Dalia menyokong Damaq.
"Pergi beritahu Bapak," kata Damaq seperti seorang perwira memerintah perajurit-perajuritnya.
Dalia meninggalkan pantai itu cepat-cepat. Dia menapak terus ke rumahnya. Kadang-kadang langkahnya seperti berlari.
Damaq mengangkat Deramang dan dia pangkul di bahunya, tanpa kesulitan.
Ombak terus menderu, meletakkan buih dan menambah basah butir pasir di dada pantai.
KETIKA Dalia masuk ke laman rumah, dari jauh kelihatan seorang lelaki tua sedang berlegar-legar di hadapan rumah sambil memegang sebatang penyapu lidi.
"Bapak! Bapak!"
"Dalia! Kenapa kau terburu-buru?" suara bapanya meletus.
"Bapak, ada orang terdampar di tepi pantai dan masih hidup!"
Pak Malau mendengar dengan penuh minat.
"Mana orangnya?"
"Itu dia! Abang Damaq bawa ke mari."
Damaq kelihatan mendukung Deramang di bahunya, menghampiri tangga rumah.
"Bawa dia masuk ke atas!"
Damaq mendaki tangga rumah perlahan-lahan, membawa Deramang ke ambin dalam bilik di anjung dapur.
"Baringkan dia di atas ambin."
Damaq membaringkan ya dan menutup tubuhnya dengan gebar.
"Lapik kepalanya."
Mak Tanjong membunuh kan bantal untuk sandaran Deramang.
"Pak, adakah dia di dalam bahaya?" tanya Dalia apabila Deramang telah dibaringkan baik-baik.
"Belum dapat dipastikan lagi. Bapak mesti ikhtiar untuk menyelamatkan dia," Pak Malau membasahkan sehelai tuala kecil dengan air sejuk dan mengusapnya ke muka Deramang.
Share this novel