Cetera Yang Pertama 5 - AKU SAJA YANG TERGILA

Adventure Series 1713

SIANG semakin merangkak tua. Matahari sudah hampir terlindung di sebalik bukit. Angin senja yang semakin dingin mengusir panas petang yang masih membahang.
Pak Malau sedang membersihkan kebun pisangnya. Hulu ladingnya kemas di dalam genggaman. Dengan tenaga yang ada, dihayunnya mata lading itu. Dia mencantas daun-daun tua pada pokok pisangnya. Dia berbuat demikian untuk beberapa jurus hingga penat. Kemudian dia berhenti daripada menebas untuk menghilangkan lelahnya sambil memicit-micit lengan kanannya kerana lenguh.
Kelihatan tubuhnya berminyak-minyak oleh keringat. Angin berdesir dan menyentuh tubuhnya yang hanya dibaluti dengan pakaian yang lusuh. Dia menyapu peluh yang berkaca di wajahnya. Peluhnya masih kelihatan beberapa butir di dahi dan hilang perlahan-lahan.
Di kebun itu, berselerak pokok-pokok pisang yang ditanam berselang-seli dengan ubi kayu dan segala jenis sayur-sayuran. Batas-batasnya elok tersusun. Memang pandai Pak Malau mengerjakannya. Itulah titik peluh Pak Malau sejak muda dulu. Tidak banyak yang diketahuinya selain berkebun. Dia akan datang waktu hari semakin tinggi dan pulang waktu senja jatuh di kaki malam. Badannya menjadi tegap sasa kerana selalu bekerja kuat.
Kenangan si tua menerawang ke beberapa waktu yang lalu, ketika dia lagi muda. Dia kawin dalam waktu yang muda dan sejak muda lagi dia sudah diasuh menggunakan tulang empat kerat. Dia mampu mengerjakan tanah beberapa ekar seorang diri. Dan dia sangat bangga beristerikan Tanjong. Isterinya itu rajin benar membela ayam itik dan membuat kuih yang waktu pagi dijaja olehnya. Kalau minggu-minggu sudah Pak Malau ke kebun ditemani oleh isterinya, kebelakangan ini dia ditemani oleh anaknya Dalia dan anak saudaranya, Teratai. Keduanya sedang remaja.
Mata Pak Malau memerhati seluruh tubuh segar anak perawannya yang sedang membubuh ubi kayu ke dalam sebuah raga di sisinya. Dalia memang seorang anak yang cantik, berkulit putih kemerah-merahan. Cukup indah dipandang mata. Wajahnya bujur berdagu runcing. Ada tahi lalat di pinggir bibirnya. Leher panjang, pinggang ramping dan punggung terjungkit. Segalanya memantulkan keremajaannya. Baru tujuh belas tahun.
"Dalia!" teriak Pak Malau dengan tiba-tiba. "Dalia!'
"Ada apa Pak?" sahut Dalia, memandang bapanya.
"Hari sudah hampir senja, Dalia. Lebih baik kau pulang dulu."
"Baik, Pak!" Dalia patuh. Dia datang merapati Teratai yang sedang leka membersihkan pangkal kacang bendinya.
"Sudah selesaikah pekerjaan kau, Teratai?"
Teratai mengangguk.
"Badan ku letih. Mari kita pulang," pujuk Dalia. Dia mengesat-ngesat peluhnya yang sudah mula bermanik di dahi.
"Ya lah, Dalia," jawab Teratai yang sebaya dengannya. "Kita pulang ke rumah. Aku pun cukup letih."
Gadis bernama Teratai itu agak molek juga orangnya. Giginya putih, rambutnya legam, bola matanya hitam dan kulitnya kuning langsat. Pak Malau suka pada tingkah laku Teratai yang kerap dan rajin datang ke situ. Dia telah memperuntukkan tiga batas sebelah hujung untuk Teratai. Batas pertama Teratai tanam terung. Batas kedua dia tanam kacang bendi dan batas ketiga dia tanam kacang panjang. Tanamannya menghijau dan subur.
"Bapak! Kami pulang dulu, ya Pak!" Dalia separuh melaung, mengarah kepada Pak Malau. Bergema suaranya dibawa angin kering yang garing.
"Tinggal Pak Malau!" pekik Teratai sambil beredar.
"Baik-baik jalan, nak!" pesan Pak Malau kepada mereka. Dia memperhatikan Dalia dan Teratai berjalan ke hujung kebun itu. Masing-masing menjinjing satu raga penuh ubi kayu.
Di pinggirnya ada sebatang sungai kecil yang airnya digunakan untuk menyiram batas-batas sayur yang ditanam.
Pak Malau kembali meneruskan usahanya buat hari itu, menyambung sisa-sisa kerja yang ditinggalkan sebelumnya. Keringatnya masih dirasakannya menjalari seluruh tubuh dan mukanya.
"Pak Malau!" mendadak suara itu bergema dari denai di belakang kebun itu.
Orang tua lebih lima puluh tahun dan berambut pendek tiga suku putih itu tersentak dan teragak-agak untuk menjawab. Matanya melingas ke sana ke mari. Pandangannya mencari pemilik suara itu. Fikirannya bersimpang-siur bagaikan pohon-pohon dan anak-anak kayu yang tumbuh tak menentu.
Ada seorang lelaki muda sedang berjalan ke arahnya. Lelaki itu semakin mendekatinya. Kakinya melangkah dengan tangkas. Pakaiannya segak, kemas dan nampak mahal. Sebilah sundang bersarong kemas di pinggangnya.
Pak Malau belum pasti siapakah yang datang itu. Namun tidak sedikit pun dia terasa curiga atau takut akan orang yang datang itu.
Wajah lelaki yang bertubuh gempal berhadapan dengan Pak Malau. Susuk tubuhnya yang gempal itu melambangkan kesihatan yang tidak terganggu.
"Saya cari Pak Malau di rumah tadi tapi Pak Malau tak ada. Rajin sungguh Pak Malau bekerja," sapa orang yang baru datang itu.
"Eh, Awang?" ujar Pak Malau sambil menatap wajah Awang Sulong. 'Lama tak nampak?"
"Memang lama, Pak Malau.'
"Bila balik dari berlayar?"
"Saya tiga hari sudah sampai di sini, Pak Malau."
Sebaik sahaja menghampiri Pak Malau, Awang Sulong menghulurkan tangan bersalaman dengan orang tua itu.
"Lama kita tak berjumpa, ya?" tanya Pak Malau, hampir tidak mempercayainya. Awang Sulong tidak ditemuinya hampir-hampir dua tahun.
"Sepuluh purnama saya berlayar. Mengembara untuk menambahkan pengalaman saya dan saya masih dahaga dengan ilmu pengetahuan," jelas Awang Sulong bangga.
"Pakcik sungguh gembira mendengar perkataan engkau. Engkau sungguh bijak. Tetapi apalah gunanya ilmu lagi sedangkan pangkat Penghulu sudah sedia untuk kau," puji Pak Malau.
"Bak kata orang, jauh berjalan, puas mata memandang," kata Awang Sulong, menikmati pujian itu. "Dapat pengalaman. Tidak seperti katak bawah tempurung. Jika kita hidup dalam kehidupan tertutup, pengalaman hidup kita tak seberapa."
Pak Malau menyeringai. "Ya tak ya juga. Betul cakap kau tu."
Awang Sulong tersenyum sinis.
"Apa kabar ayah engkau, Penghulu Awang Lekiu?" tanya Pak Malau seperti mencuba menukar tajuk perbualan.
"Alhamdullilah. Sihat Pak Malau. Ayah baru pulang dari istana, dipanggil raja kerana mesyuarat ketua tiap-tiap mukim dalam negeri ini." Ketika Awang Sulong bicara, dia seperti tidak mempedulikan Pak Malau.
Orang tua itu ikut mengamati arah yang diperhatikan Awang Sulong. Dari jauh dia melihat kelibat Dalia dan Teratai.
"Siapa perempuan-perempuan itu, Pak Malau?" Tiba-tiba saja kata-kata itu terpantul dari kotak suara Awang Sulong seraya jarinya menunjuk.
"Oh, itu? Itu Dalia, anak pakcik dan Teratai, anak saudara pakcik," jelas Pak Malau.
"Mereka lekas benar dewasa," ujar Awang Sulong kehairanan. Dia kemudian menikam pandangannya ke muka Pak Malau. "Damaq mana? Dah lama saya tak nampak dia."
"Sebenarnya dia tak ada di kampung ni, Awang. Dia dan Pak Mahad pergi hantar bekalan makcik kau. Bukankah pernah pakcik ceritakan tentang kakak pakcik, Melor?"
"Ya, pakcik. Oh, ya.Langkah saya ini langkah berhajat," kata Awang Sulong berusaha menggantikan topik pembicaraan mereka.
"Ada hajat apa Awang?"
"Ada perkara yang saya nak cakapkan kepada Pak Malau."
"Perkara apa Awang? Katakanlah." Orang tua itu seolah-olah ingin mendapat kepastian.
"Begini. Saya membawa pesan ayah, pakcik. Katanya Penghulu Kampung Pulau Merlimau nak datang sini hari tulat. Ayah minta orang-orang kampung supaya mengeluarkan bahagian masing-masing untuk sambut kedatangannya dengan jamuan yang besar-besar. Pakcik tentu faham apa maksudnya itu."
"Lebih dari faham, Awang." Pak Malau cukup tenang dalam mendengarkan berita itu. "Terpaksalah pakcik mengeluarkan beras simpanan untuk menjamu dia dan orang-orangnya."
"Itulah yang saya katakan pada ayah tadi, pakcik. Ayah nak menyusahkan anak buah saja. Saya tak sampai hati nak mendesak orang-orang kampung. Saya tahu masing-masing hidup susah. Pencarian pun sempit. Tapi agaknya ayah tu tak boleh diajak runding."
"Eh, itukan memang adatnya. Setiap kali orang besar datang mesti dijamu dan dihiburkan. Biar kita bergadai, biar kebulur, kita mesti adakan." Sedikit keras Pak Malau mengingatkan. Itu amalan bangsa yang bernama Melayu yang terkenal dengan sopan dan adab hormat dan menghormatinya.
Awang Sulong mencebik. "Jadi, tak ubahlah kita ni bak kata orang, anak di rumah mati kebuluran. Kera di hutan disusukan. Sekarang kita bukan saja kena menyediakan jamuan tetapi terpaksa pula menghiburkan dia. Kalau dia mesti dihiburkan, tentulah Dalia dan kawan-kawannya kena menari dan menyanyi "
"Memang sudah sepatutnyalah begitu. Sebab dia pemimpin pemudi seni kampung ini."
"Kalau begitu, izinkan saya minta diri dulu. Saya nak ke hilir sana bagi tahu orang-orang kampung."
"Baiklah, Awang."
Awang Sulong tergesa-gesa melangkah. Kadang-kadang langkahnya seperti berlari. Keputusannya ialah menyusul jejak Dalia dan Teratai. Fikiran itu mengalir terus dalam ingatannya.

DALIA dan Teratai melangkah lambat-lambat dan akhirnya sampai berhampiran sebatang sungai. Airnya jernih dan dingin. Mereka melintas jambatan kayu dan sampai di satu persimpangan tiga.
"Teratai, sampai di sini saja dapat kita bersama. Sudah sampai masanya kita berpecah jalan," kata Dalia ketika mereka akan menampakkan langkah mereka ke arah yang berlainan.
Teratai menganggukkan kepala. "Baiklah, aku pulang dulu, ya Dalia?"
"Senang-senang datanglah rumah." Dalia berputar, membelakangi Teratai dan mengatur langkah menuju ke rumahnya.
Mereka berpecah ke arah rumah masing-masing.
Lama Dalia mendepangkan langkah mengharungi denai, menyusuri tebing sungai. Tiba-tiba dia disergah oleh seseorang.
"Apa kabar Cik Dalia?" Suaranya mengandung kerinduan.
Dalia terperanjat. Langkahnya terhenti serta-merta. Kilatan waspada tampak pada mata Dalia. Segera dia menoleh ke belakang. Dia tersentak apabila didapatinya seorang pemuda telah berdiri di dekatnya. Dia dapat menangkap satu wajah. Wajah yang sangat dikenalinya. Ternyata suara itu adalah suara Awang Sulong.
Awang Sulong memperhatikannya dengan penuh perhatian. Gadis yang dikaguminya sejak dulu itu turut merenunginya. Matanya seperti mencari keikhlasan. Seperti tidak yakin suara itu dari mulut Awang Sulong.
"Kabar baik, terima kasih," jawab Dalia ragu. Ketika kain kelubungnya terumbai ditiup angin, tangan Dalia membetulkan letak kain kelubung itu.
Awang Sulong maju selangkah. "Satu tahun lebih kita berpisah, Dalia. Sekarang barulah kita bertemu kembali. Boleh aku hantarkan kau pulang?"
"Tak apa, terima kasih. Aku boleh pulang sendiri."
"Daun ketupat, daun palas. Bawa ke hulu dengan rakit. Pipi mu ibarat telur terkupas. Geramnya aku hendak menggigit."
Kata-kata Awang Sulong sangat membekas di hati Dalia.
"Dasar manusia biadap. Tak tahu adat," ujar Dalia dengan perasaan muak. "Kalau hendak berumah biarlah berpapan. Kalau hendak beramah biarlah bersopan. Itu lebih bagus, bukan? Baik kau fikir baik-baik sebelum bercakap."
Berpinar-pinar mata Awang Sulong menerima sindiran itu.
"Jangan terlalu lekas marah. Aku tidak bermaksud jahat. Aku hanya mengusik-usik saja. Bergurau saja tak boleh ke? Orang muda kalau marah, lekas tua," katanya berusaha membuat suasana ceria kembali.
"Ah, karut semuanya!" balas Dalia kurang senang dengan persoalan itu.
"Dalia, banyak betul kau membawa ubi, ya? Barangkali mahu makan besar?" Awang Sulong bertanya. Matanya terus saja meragut raga yang di tangan gadis itu.
"Ya, apa pula halangan dengan kau?" Dalia balik bertanya dengan nada kurang senang. "Bukan kau yang memikul bebannya."
"Betul tiada apa halangan dengan ku, tetapi aku rasa mengenal engkau sudah seabad lamanya. Kitakan sahabat sedari kecil? Aku masih ingat yang kita bermain di masa kecil-kecil. Duduk berdua, makan berdua. Ingatan itu tak pernah luput di fikiran ku. Apa kau sudah lupakan itu semua, Dalia?" ujar Awang Sulong sambil melepaskan satu pandangan yang tajam. Kenangan itu menari-nari di ingatannya. "Tidakkah kau terkenang itu semua?"
Fikiran Awang Sulong segera terlantar jauh menjangkau zaman kanak-kanaknya. Dahulu, sejak kecil Awang Sulong begitu baik dan mesra dengan Dalia. Mereka teman sepermainan. Mereka bermain kejar-kejar bersama, membina kota pasir bersama. Mereka juga sering memanjat pokok-pokok rambutan di Dusun Hulu untuk mengambil buahnya. Betapa indah dan riangnya waktu itu. Dia selamanya tidak mampu melupakan Dalia.
"Itu dulu. Dulu lain, Awang. Dulu, ya. Sekarang tidak. Sekarang perasaan itu sudah hilang dan sedikit pun tidak tersisa," jelas Dalia bersungguh-sungguh.
"Kenapa perangai kau berubah, Dalia?"
"Sebenarnya Dalia bukanlah lagi seperti Dalia yang dulu. Tetapi Dalia yang telah menjadi dewasa."
"Apa? Ini bukan Dalia yang dulu?" Awang Sulong menampakkan muka hairan. Dadanya disertai tanda tanya. "Adakah maksud kau ini kerana kau telah merubah hati mu kepada orang lain?"
"Bukan begitu, Awang "
"Ah, itu tak jadi apa. Dalam dunia ini banyak racun berupa penawar. Walaupun penawar yang ku minum telah menjadi racun tapi ku ingin racun itu kekal hingga ke mati. Dalia, kau tentu sudah tahu, sejak kau telah dewasa, aku belum pernah membenci kau. Malahan sayang pula yang bertambah. Kau ni semakin hari semakin cantik, Dalia. Tak jemu mata ku memandang. Dari dulu pun telah aku duga. Kau gadis yang paling cantik di Pulau Sentosa ini."
"Kau memang selalu memuji-muji aku. Aku tidak minta dipuji," Dalia membantah lembut. "Kalau rupa dikatakan cantik, bukan diri yang ingin begitu. Cantikkan hanya makanan mata. Setuju di hati, itu baru makanan jiwa."
"Kau tak patut berkata begitu terhadap ku," Awang Sulong menekan suaranya penuh yakin. "Aku sebenarnya mempunyai satu perasaan. Perasaan kasih terhadap kau, Dalia. Aku suka dengan kau, Dalia."
"Apalah gunanya Awang kalau bertepuk hanya sebelah tangan?" Dalia mencukakan wajahnya. "Orang Jawa menjual kaca. Kaca dijual di Inderagiri. Sebelum Awang meluahkan kata. Cubalah cermin diri sendiri."
"Hai, Dalia. Apa pun yang kau kata, akan ku terima. Dua tiga kucing berlari. Mana nak sama kucing yang belang. Dua tiga boleh ku cari. Mana nak sama Dalia ku seorang," Awang Sulong tidak putus asa. "Aku tak pandai lagi mencari cinta dengan gadis-gadis lain. Mana ada tempat lagi dalam hati ku untuk mereka kerana hati ku sudah penuh dengan memuja kau saja. Biar apa akan terjadi, aku akan kawin dengan kau. Kita akan kawin dengan selepas mungkin "
Berdesing cuping telinga Dalia dibuatnya.
"Apa? Kawin?" tanyanya sedikit keras. "Banyak cantik? Huh! Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Jauh panggang dari api. Itu takkan boleh jadi."
Awang Sulong menatap Dalia. "Dengar sini baik-baik, Dalia. Lebih baik kau kawin sama aku. Aku pemuda kaya raya, berketurunan tinggi budi pekerti. Aku beri apa saja yang kau mahu, asal saja engkau sanggup memenuhi hajat aku."
Dalia membalas tatapan itu. "Aku tak perlu itu semua. Aku tak mahu dan tak terlintas di dalam hati ku untuk memiliki itu semua. Kebahagiaan bukanlah terletak pada kemewahan, tetapi adalah pada saling mengerti di antara satu sama lain. Kalau hati ku tak sayang, takkan boleh ku paksa?'
Awang Sulong melunak. "Sampai hati kau. Apa salah ku Dalia, hingga kau bersikap demikian?"
"Kerana kau begitu mementingkan diri. Kau pentingkan kesenangan engkau saja dan kau terlalu ikut perasaan. Sebab itulah."
"Dalia, dalam dunia ini kalau kita baik hati, tak mahu cakap banyak, kita akan dipijak Dalia. Tetapi kalau kita bohong, menipu, menyombong diri, orang akan pandang mulia, Dalia."
"Pertimbangan ada di hati ku. Takkan orang lain dapat mempengaruhi dan memaksanya?" ujar Dalia dengan agak lunak juga sambil melangkah ke depan untuk menghampirinya. "Awang, selama ini engkau menari tidak bergendang, bercinta dengan bayang!"
"Sudah! Cukup! Cukup! Aku tidak mahu dengar itu semua! Dari kata-kata kau tu, bikin kemarahan ku, kau tahu tak?" Suara Awang Sulong meninggi. Dia berasa sakit hati bukan kepalang. Geram sungguh hatinya apabila dikata begitu. Habislah kesabarannya. "Sejak aku kecil, belum ada manusia dan belum ada jembalang menghalang kemahuan ku. Sama ada kau suka atau tidak, kau mesti kawin dengan aku. Walau satu hari pun, kau mesti menjadi isteri aku!"
Dia memegang pergelangan tangan Dalia.
"Hei, apa ni? Jaga kelakuan kau! Kau telah keterlaluan! Tolong bersikap sopan!" ujar Dalia jijik sambil menarik pergelangan tangannya. "Sudah! Aku tak ada masa nak bercakap dengan engkau lagi. Aku ada banyak kerja di rumah."
"Maafkan aku. Aku terkasar tadi. Aku telah terlanjur kata, terlanjur bahasa. Entah mengapa aku buat begitu. Maafkan aku, ya Dalia?" kata Awang Sulong merendah diri. Suaranya memujuk penuh harap. "Tapi berikan aku harapan. Tolong sikit mengerti, Dalia. Tak kesianlah engkau kepada ku?"
Tiba-tiba Awang Sulong mencekak pergelangan tangan Dalia kedua kalinya. Dia meraih dan menarik Dalia lebih dekat lagi, mulutnya dimuncungkan ke depan, ingin menciumnya tapi Dalia memalingkan kepalanya.
Dalia agak berdebar sedikit. Belum pernah dia merasakan ketakutan seperti itu sebelumnya.
"Jangan kau pegang aku!" laung Dalia separuh meradang. Satu suara yang keras angang maruah. "Lepaskan aku! Kalau tak, aku adukan hal ini kepada Tok Penghulu!"
Awang Sulong senyum jahat. "Jangan adu pada Tok Penghulu. Adulah pada Tok Kadi!"
"Lepaskan dia!" Seorang lelaki bersuara dengan dendam. "Tak malukah kau berkelakuan begini?!"
Awang Sulong terkejut dan seperti akan tersungkur ke depan.
Dalia melepaskan diri, mundur dan menoleh secepat kilat ke arah suara itu. Kira-kira dua puluh langkah darinya, seorang anak muda tercegat di perdu pokok yang besar.
Berparas lumayan, berusia dua puluhan, rambutnya pendek tercacak-cacak bagaikan duri landak. Mukanya dibasahi oleh peluh, menyandang kayu kandar potongan kayu api yang tergalas di bahu kanannya dan sebilah kapak terselit gagah di pinggang kirinya.
"Ini tak ada kena mengena dengan kau! Jangan campur!" kata Awang Sulong garang, seperti memerentah saja. Dia membeliakkan biji mata. Diseedarinya tingkah dan perbualan mereka diperhatikan oleh pemuda yang sedang tercegat itu. "Nyah kau dari sini!"
"Hamba ini penyabar orangnya. Tetapi hamba tak boleh melihat orang yang biadap. Kalau tuan hamba melewati batas, apa dosanya hamba campur tangan? Tuan hamba kalau tak mahu mendengar nasihat yang baik, hamba akan campur. Hamba jadikan ini urusan hamba!" Urat lehernya timbul-timbul kerana kayu kandar yang masih atas bahunya. Dengan perlahan-lahan diletakkannya kayu kandar potongan kayu api yang diikat itu ke tanah. Disekat peluh di dahi, di muka dan di tengkuknya. Awang Sulong di hadapannya dipandangnya.
Mereka berpandangan sebentar. Empat biji mata berpadu.
"Sungguh berani kau, ya? Siapakah kau yang berani mencabar aku? Tak pernah aku melihat kau!" tanya Awang Sulong ingin tahu.
"Hamba bernama Yatim."
Perhatian Awang Sulong tertarik. Dia membuat agakkan. "Kaulah yang bernama Yatim Mustapha yang baru datang dari Bentan?"
"Ya, itulah hamba."
"Oh, rupa-rupanya inilah Yatim Mustapha," desis Awang Sulong.
Selama beberapa saat, ketiga orang itu berdiri setenang patong. Saling pandang memandang.
Akhirnya Awang Sulong berkata dengan nada bengis, "Kau kenal siapa aku? Aku Awang Sulong, anak Tok Penghulu."
"Ya, hamba tahu tuan hamba anak Tok Penghulu."
Awang Sulong menoleh dan memandang Dalia.
"Dia tunang aku!" teriaknya sambil menunjukkannya kepada Yatim Mustapha.
Dalia memandangnya. Dia terperanjat, sehingga dia bingong apakah benar yang didengarnya. Dia meledakkan suaranya:
"Awang! Kenapa kau kata begitu? Bila aku bertunang dengan kau? Kata-kata kau dusta! Pendusta besar!"
"Kau diam! Kau hak aku!" arah Awang Sulong tegas. Dia mencapai tangan Dalia. Tetapi lekas ditepisnya. Radang juga hatinya.
"Walaupun tuan hamba anak Penghulu, tuan hamba tak boleh berkelakuan macam itu. Berkelakuan kurang ajar pada Dalia. Sikap mencerminkan kepimpinan," Yatim Mustapha menyampuk bersahaja. Tapi dia yakin dengan kata-katanya dan suaranya bagaikan pisau menusuk-nusuk jantung Awang Sulong. "Sia-sia tuan hamba lelaki. Hanya berani kepada manusia yang lemah. Tuan hamba ini pengaruh kurang baik untuk kampung Pulau Sentosa."
"Berani tuan hamba cakap serupa itu kepada hamba di hadapan Dalia, ya? Nampaknya tuan hamba cakap tanpa selindung-selindung. Kata-kata tuan hamba seperti racun. Tuan hamba nak berpadah nampaknya!" ujar Awang Sulong dengan nada yang agak kasar. Nampaknya Yatim Mustapha betul-betul hendak bermusuh. "Tuan hamba ingat tuan hamba mampu lawan hamba? Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan nak diduga."
Yatim Mustapha menjawab dingin, "Hamba tak mahu cari masalah dengan sesiapa. Tetapi jikalau tuan hamba berani menjual, hamba sedia membeli."
Awang Sulong mengerutkan dahinya. Yatim Mustapha diperhatikannya dengan pandangan yang menyinarkan sikap permusuhan. Dia capai hulu sundang dari pinggangnya dan ditariknya. Dia memandang ke kejauhan. Matanya liar mencari.
"Oi, Yatim! Itu ada sepohon pinang," kata Awang Sulong sambil menudingkan jari telunjuk ke arah sebatang pokok pinang sebesar paha yang terletak sepuluh langkah di depannya. Di rimbunan semak-samun dan pohon-pohon renek.
"Tengok!" Awang Sulong bersuara geram. Menoleh ke arah sasaran, dia menghayunkan tangannya. Serentak itu sundangnya dengan mata berkilat, melayang dari tangannya. Lekat terpacak dan bergegar di situ.
Awang Sulong rasa senang bila melihat gegaran sundangnya yang melekat kemas di batang pinang itu. Dia rasa megah dengan kemampuannya.
"Ha! Ini Awang Sulong!" katanya dengan bangga. "Fikir baik-baik. Tentu kau tak mahu aku sebagai musuh kau!"
Dalia tercengang dan cuma bisa menatap apa yang ada di hadapannya dengan mata tak percaya.
Tangan Yatim Mustapha segera ke pinggangnya, menggagau hulu kapaknya. Dia merasa keupayaan dirinya tercabar. Ini dia betul-betul yakin dan percaya. Dia akan menghadapi Awang Sulong secara jantan. Muda tubuhnya bukan bermakna muda semangat kepahlawanan ya. Dia mahu buktikan darah kepahlawanan yang mengalir dalam dirinya bukan main-main.
"Nak menunjuk-nunjuk, ya? Aku terima cabaran kau!" katanya serius. "Eh, kau tengok!"
Kapak yang dicekak kemas dalam tangannya itu diangkat tinggi kemudian dilontar. Mata kapak itu menancap dan terbenam kemas pada batang pokok pinang tadi dengan suara keras dan menggetar. Sekali gus berhasil mencampakkan sundang Awang Sulong. Jatuh memasak bumi. Terbenam besi itu menusuk bumi. Terpacak di hadapan kaki Awang Sulong.
Awang Sulong ternganga. Dengan mata terbelalak, dia benar-benar berasa pelik.
Dalia terpinga-pinga. Matanya terkebil-kebil. Seakan tidak percaya kepada apa yang dilihatnya.
"Hairan bin ajaib. Lontaran yang luar biasa." Suara Awang Sulong perlahan, seolah-olah berkata pada dirinya sendiri. Suaranya sedikit cemas. Kemarahannya surut.
"Kalau kau tak puas hati, marilah sekarang kita puaskan." Suara Yatim Mustapha bergetar. Matanya memancarkan sinar keras. Seperti panglima perang yang menantikan saat kedatangan musuh, dia menantikan datangnya sesuatu kemungkinan.
Awang Sulong berdiam diri penuh rasa kuatir. Ada sesuatu dalam diri Yatim Mustapha yang membuatnya merasa cemas. Hatinya tiba-tiba berdebar sedikit. Dia tilik Yatim Mustapha dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Yatim Mustapha bukan calang-calang ilmu pendekarnya. Orang ini kelihatan begitu keras dan berbahaya. Tidak perlu membuat apa-apa perhitungan dengan Yatim Mustapha. Dia tahu, tindakan itu tidak menghasilkan apa-apa.
"Aku tak ada masa untuk ini kerana masih ada urusan tertentu yang hendak diselesaikan," katanya kepada Yatim Mustapha. Dia mengerling tajam dan katanya lagi dengan sungguh-sungguh. "Ingat! Ini bukan kesudahan tapi permulaan. Aku mengundur bukan bererti kalah. Tetapi baru memulakan langkah. Sekali aku melangkah, tak akan aku melangkah balik. Kau tunggu apa akan jadi pada kau ya! Kau tunggu!"
Yatim Mustapha tak menjawab. Tidak terlihat tumpukkan bimbang di wajahnya.
Tangan Awang Sulong menyambar sundangnya dan memasukkan sundang itu ke dalam sarungnya. Lalu diluahkan dengus yang keras. Kemudian tidak berlengah lagi berlalu dari situ. Dia berjalan cepat-cepat.
"Hah! Ini Awang Sulonglah. Kau tak boleh lepas dari tangan ku, Dalia. Andai kata segala cita-cita ku gagal, kau akan menyesal kemudian hari. Hidup mu akan penuh dengan segala rintangan. Kalau tidak, jangan panggil aku Awang Sulong," rungut Awang Sulong kepada dirinya sendiri.
Azamnya itu ditanam senyap-senyap dalam dadanya. Dendam mula bersemarak dalam dadanya. Satu dendam yang tidak diketahui oleh sesiapa.

DALIA merenung Awang Sulong berjalan sampai hilang di balik selekoh pokok ketapang. Kemudian berhati-hati menghampiri Yatim Mustapha.
"Terima kasih di atas pertolongan tuan hamba. Hamba terhutang budi," katanya dengan penuh syukur setelah berdiri di hadapan Yatim Mustapha. "Kepada Tuhan sajalah yang dapat membalas budi baik tuan hamba."
"Itu pertolongan biasa, Dalia." Batang lengan Yatim Mustapha yang pejal dan kental mencapai kapak yang masih terpacak di pokok pinang dan mencabutnya. "Itu adalah merupakan sebagai kewajipan manusia yang mempunyai keinsafan. Tolong menolong sesama manusia adalah rukun yang mesti bagi kita."
Yatim Mustapha letak kayu kandar ikatan kayu api atas bahu. "Dalia nak balik?"
"Ya," jawab Dalia pendek.
"Marilah hamba hantar Dalia pulang. Takut apa-apa yang buruk terjadi lagi." Cahaya di matanya memancar lembut oleh niat yang ikhlas.
Dalia tersenyum lebar sambil mengangguk. Senyumannya yang memperlihatkan lesung pipitnya, sangat ceria dan memikat. Pendeknya semua sangat menawan. Dia menggenggam raga dengan erat dan melangkah perlahan-lahan dengan tetap supaya Yatim Mustapha dapat berjalan seiring dengannya.
Lama mereka terdiam.
Akhirnya Yatim Mustapha berpaling kepada Dalia dan dengan tenang dia memancingnya untuk bicara, "Bersangkut paut apa Dalia dengan Awang Sulong? Kekasih Dalia kah?"
"Sebetulnya hamba tak ada apa-apa dengan Awang Sulong," Dalia menukas. Wajahnya berkerut. "Dia hanya mereka-reka cerita."
"Hmmm... tahulah hamba punca simpulnya." Perlahan Yatim Mustapha berkata.
Sekonyong-konyong kelihatan Dalia baru sedar, bahwa sebenarnya dia tengah berhadapan dengan orang asing yang tak dikenali.
"Siapakah gerangan tuan hamba yang berani menentang kemahuan Awang Sulong?" Suara Dalia mengundang kehairan. "Datang dari mana? Hendak ke mana? Bagaimana tuan hamba boleh sampai ke mari?"
Yatim Mustapha terdiam seketika dan kemudian dia berkata, "Nama hamba Yatim Mustapha. Hamba datang dari Bentan. Hajat hati mahu mengembara. Menerokai dunia. Jauh berjalan, luas pandangan. Jauh dipandang, banyak pula pengalaman. Hamba mengembara dari sebuah kampung ke sebuah kampung. Akhirnya hamba sampai ke mari. Hamba datang ke Pulau Sentosa ini hendak menumpang diri di rantau orang."
"Tidakkah merbahaya? Maklumlah, di tempat orang?'
"Itu jangan dijadikan alasan. Kalau takut, takkan sampai negeri orang."
"Seronokkah tuan hamba merantau sana sini?"
"Tidak salah tekaan Dalia. Hamba merantau bukan nak bersuka ria. Nak buat penghidupan baru. Nak berniaga."
"Tuan hamba niaga apa?"
"Barang-barang daripada pandan."
"Dari gaya dan tingkah laku, tentulah tuan hamba datang dari keluarga orang yang baik. Tuan hamba datang seorang saja? Tidak ada teman?"
"Hamba datang dengan kawan hamba supaya tidak sunyi perjalanan hamba. Denak namanya."
"Tidak ada saudara mara di sini?"
"Hamba yatim piatu. Ibu bapa hamba telah dibunuh oleh lanun."
"Hamba sedih mendengarnya... " Dalia berhenti sejenak lalu melanjutkan. "Senangkah hati tuan hamba tinggal di sini?"
"Dalia, telah lebih sepekan hamba berada di sini. Hamba seronok di sini. Pulau ini sudah menjadi syurga buat hamba. Hamba ingin tinggal di sini buat sementara waktu. Jika ikut hati, rela hamba menjadi penghuni kekal di sini, walaupun di Pulau Bentanlah hamba membesar dan diberikan pengetahuan erti hidup."
"Kata orang, di Bentan ramai penduduknya. Benarkah begitu?"
"Ya, begitulah kata orang."
"Pernahkah tuan hamba pergi ke istana Sultan yang memerentah kerajaan Bentan?"
"Ya, hamba pernah melihat istana itu."
"Dalia ingin nak tengok rupa istananya."
"Ah, suatu masa nanti terpandang juga."
"Sultan itu, orangnya macam mana?"
"Sultan seorang yang baik budi bahasanya terhadap rakyat."
"Katanya dia ada seorang putera. Hamba ada mendengar namanya. Raja Kamaruzaman. Mudakah orangnya?"
"Agak-agak seperti hamba."
"Rupanya bagaimana?"
"Tak tahulah hamba nak katakan. Tapi ada juga orang berkata mukanya adalah seiras hamba, Dalia."
Mereka akhirnya sampai di pintu gerbang masuk ke halaman rumah Pak Malau, iaitu kira-kira seratus hasta dari rumahnya.
"Lagi sekali hamba mengucapkan terima kasih kepada tuan hamba yang mulia," ucap Dalia. Matanya yang lembut itu menatap Yatim Mustapha sebentar.
"Hambalah yang harus ucapkan terima kasih," Yatim Mustapha segera menjawab, "Terima kasih atas sudi berkenalan dengan hamba, orang dagang dan miskin pula."
"Jangan tuan hamba kata begitu. Tak payah bezakan kedudukan diri. Hamba berkawan tidak berbeza-beza," Dalia memberi penjelasan. "Biar hamba pulang dulu, ya?" Dia melangkah perlahan-lahan untuk memasuki kawasan perkarangan rumah.
Tumbuh-tumbuhan hidup segar di perkarangan itu. Bunga-bunganya berkembang dengan berbagai warna.
"Buru nuri, burung helang. Tidak sama terbang tinggi. Segera Dalia berangkat pulang. Bila kita berjumpa lagi?" kata Yatim Mustapha dengan tidak semena-mena.
Langkah Dalia mati. Belum sempat dia beredar jauh. Dia terpukau dengan kata-kata Yatim Mustapha. Dia menoleh. "Wah, bukan saja pandai bermain senjata tapi juga pandai bermain lidah."
"Pahlawan bukan. Satria pun bukan. Hamba hanya manusia biasa. Sudikah Dalia?" Yatim Mustapha tenung muka Dalia.
"Sekiranya jujur pelawaan tuan hamba, hamba terima dengan hati yang terbuka," sahut Dalia sambil tersenyum. Dia teringat kebun rambutannya, setengah ekar di sebelah kebun pisang di kaki bukit. Tahun ini menjadi betul buahnya.
Yatim Mustapha begitu gembira mendengarkan pengakuan Dalia. "Di manakah kita berjumpa nanti?"
"Kain buruk tepi perigi. Dibuat orang pengesat sudu. Esok hari berjumpa lagi. Tunggulah Dalia di Dusun Hulu." Suara Dalia itu bagai desis angin yang menyamankan, seperti menjanjikan seribu harapan.
"Benarkah bagai dikata atau hanya susunan kata?" balas Yatim Mustapha. Dia seakan tidak percaya. "Kerana perempuan, senjatanya hanya di bibir mulut."
"Hamba tidak berolok-olok dan hamba tak pandai berdolak-dalih," kata Dalia dengan tetap. "Hamba akan tunggu di Dusun Hulu esok petang. Tapi rahsiakanlah hal ini. Jangan cakap dengan sesiapa."
"Jangan risau, rahsia Dalia selamat dengan hamba. Percayalah." Yatim Mustapha tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalanya. Wajahnya berseri-seri.
Dalia menyeringai.
"Hamba akan pegang janji tuan hamba," katanya kepada Yatim Mustapha.
"Dalia, hamba dah lama di sini. Biar hamba minta diri dulu.'
"Silakan," ujar Dalia.
Yatim Mustapha mengangguk menghormati kepada Dalia dan pergi.
"Yatim!" teriak Dalia.
Yatim Mustapha mendengar namanya dipanggil dan menghentikan langkahnya. Kemudian memutar tubuh menatap Dalia.
"Ya?" jawabnya pendek.
"Kalau jatuh, bangun sendiri tau!" Dalia tersenyum nakal.
Yatim Mustapha tertawa pendek, memutar badan dan melangkah pergi. Dia menyambung perjalanan.
Dalia memerhati Yatim Mustapha berjalan sampai akhirnya hilang dari pandangannya. Lenyap dengan kayu-kayu api yang beratnya terpaksa dikandar di bahu.
"Sungguh baik hati engkau, Yatim Mustapha," kata Dalia kepada dirinya sendiri. Untuk pertama kali dalam hidupnya, dia berasa seolah-olah ada sesuatu yang begitu menggoncangkan hati. Hatinya amat senang ketika bersama Yatim Mustapha. Pemuda itu amat terbuka, ramah dan penuh perhatian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience