Cetera Yang Pertama 14 - MELERAI RESAH

Adventure Series 1713

DI sebuah pulau di utara Semenanjung Emas, mereka yang memberontak di negara asal mereka membina kubu untuk menyembunyikan diri. Tempat yang sulit dan sukar kelihatan itu semakin teguh dengan pagar-pagar yang tinggi menjulang.
Setiap penghuni di sana sentiasa bersiap sedia untuk menjaga keselamatan nyawa. Semuanya terus berjaga-jaga dalam mempertahankan pertiwi tercinta dari ancaman musuh durjana.
Seperti biasa, apabila Sang Suria sudah memunculkan diri, sekumpulan penghuninya belajar ilmu pencak silat yang diadakan di sebuah gelanggang. Di sana ada sebaris anak-anak muda memenuhi satu ruang. Mereka duduk bersila pendekar di sudut kiri dan kanan sepanjang pelantar lantai kayu jati yang dilindungi oleh dinding delapan hasta tingginya.
Anak-anak didik Masmira dan Mastika.
Masmira dan Mastika. Dua gadis kembar seiras. Mereka masih muda, cantik dan berkulit cerah. Mempunyai wajah matang dan menggambarkan ketulusan yang begitu suci, penampilan mereka sememangnya sering mencuri tumpuan ramai.
Lahir sebagai pasangan kembar, wajah mereka yang seiras menyebabkan orang ramai sukar membezakan mereka. Ekoran wajah mereka yang seiras, kedua-duanya mempunyai penampilan yang berbeza supaya mereka dapat dikenali. Masmira yang tertua berambut kembang mencecah bahu. Mastika pula berambut lebih panjang mencecah ke dada.
Berusia lapan belas tahun, keduanya itu sedia terkenal sebagai hulubalang besar yang sentiasa berbuat kebaikan kepada Bendahara Mutalib dengan taat setianya dan mahir menggunakan senjata tajam. Pada ketika itu Bendahara Mutalib telah meminta mereka melatih para pengikutnya ilmu persilatan.
Masmira bercekak pinggang.
Memandang ke suatu sudut dengan tenang.
"Sebelum di antara kamu bergelar sebagai pendekar, hamba nak terangkan apakah erti pendekar itu yang sebenarnya. Pendekar adalah dari perkataan pandai akal, ya!" Masmira menerangkan dengan suara kuat. Dia menyambung, "Apa yang utama bagi seorang pendekar dalam menjaga dirinya ialah waspada. Pastikan sentiasa waspada. Tahu apa yang bakal dilakukan oleh musuh terhadap kita dengan menggunakan salah satu panca indera kita yang lima."
Masmira merenung muka Mastika.
Dengan pantas, Mastika memencak persilatan Melayu yang pernah dituntutnya di Pulau Puaka sekeliling kawasan sekitar tempatnya berpijak. Kemudian dia tercegat semula.
"Pencak silat boleh mencederakan orang dan juga menyelamatkan orang. Di dunia ini tidak ada silat yang lebih hebat tetapi bergantung kepada cara kita menggunakannya," katanya dengan yakin. Kata-kata itu penuh perangsang. "Siapa yang cepat, dia dapat. Siapa yang tangkas, dia yang berjaya."
"Sekarang ini, hamba nak menunjukkan nama-nama dari permainan kita yang berguna untuk mempertahankan diri. Bukan sebaliknya, ya?" Masmira memutuskan. Dia mendongak ke muka adiknya. "Dik, tunjukkan kepada mereka permainan takek bahaya."
Mendengarkan perkataan kakaknya itu, Mastika tersenyum sambil berkata, "Tengok ini semua, ya. Cara tangannya begini."
Dia dengan segera mencekak lima jari tangan kanannya.
"Hih!" seru Mastika. Giginya bergertapan.
Tangannya yang mencengkam itu pantas memancung angin.
Dia kemudian menempatkan hujung tangannya itu di bawah rahang.
"Ini gunanya untuk pada tempat yang lemah saja. Iaitu di sini," Mastika menegaskan. "Atau pun di sini." Dia kini menghulurkan tangannya ke pinggang. Dia mengangkat tangannya ke atas, menemukan tangan itu pada tengkuknya. "Atau pun di sini. Kalau di sini kena, ha, urat ni boleh putus ni."
"Sekarang ni, permainan cengkam harimau pula. Tengok." Masmira bersuara sambil menyorot ke arah Mastika. Dia memandang adiknya itu dengan cermat.
"Mata memandang tepat kepada musuh, ya?" Masmira menerangkan.
Dipegangnya pergelangan tangan kanan Mastika yang dihulurkan kepadanya. Dengan cengkaman kuat, tangan kanan Masmira memegang bahagian tulang bahu kanan Mastika, mencetaknya erat-erat.
"Ini dia. Kalau masuk dalam tulang ni, boleh patah tulang ni," katanya dengan menekankan suaranya sedikit.
Jari-jari Masmira kemudian sampai ke pipi kanan Mastika.
"Kalau dekat sini, biji mata tu boleh keluar, ya?" Masmira memperingatkan dengan nada mendalam sambil mencekak pipi yang berada di dalam genggamannya.
"Sekarang ni permainan cerut sawa pula, ya? Cerut sawa." Masmira mengubah tajuk perbualannya. Dia kuis bahu adiknya.
"Pergi sebelah sana," katanya kepada Mastika.
Mastika mengiakan rancangan Masmira.
Masmira berdiri menunggu tindakan apa yang akan diambil Mastika. Dia bersedia segala-galanya.
"Cuba!" Masmira mengajukan.
Seperti seekor harimau, Mastika menerkam dan menghentak penumbuk kanannya ke dada kanan Masmira. Dia ternyata gagal. Dorongan instink menyuruh Masmira mengelak, bergerak menghindar ke kiri. Bagai badai dan taufan.
Pada saat yang sama dia menerkam Mastika dari arah belakang dan merangkul tengkuk adiknya yang comel itu. Direnggutnya batang tengkuk Mastika dengan lipatan tangan kiri. Satu tangan lagi dengan cepat mengaut tangan kanan Mastika yang telah menyerangnya tadi. Menekuknya ke belakang dengan seluruh tenaganya.
Mastika hanya bisa terbelalak ketika tangan kiri Masmira mendakap batang tengkuknya, berpegangan erat-erat pada lehernya dan tangan satunya menyilang di bawah ketiak kanan Mastika. Dikuncinya lengannya.
Mastika merasakan dirinya ditarik ke belakang dan itu dilakukan Masmira secukup saja, tanpa niat memperkemas cekikannya.
"Tengok sini. Tengok sini semua. Ini dia, ya. Tolak sini. Nanti kepala tu boleh tercabut nanti. Urat-urat semua ni boleh putus," kata Masmira dengan nada yang tinggi.
Kemudian melepaskannya apabila matanya tertangkap pada dua lelaki datang berlari-lari dengan cemas dari pintu yang terbuka luas, menuju ke arah mereka.
Masmira memandang dengan penuh keraguan.
"Ada apa Golok?" soal Mastika.
"Kami berdua nampak ada perahu layar baru sampai," adu lelaki yang dipanggil Golok itu. Dia seorang lelaki berumur dalam lingkungan tiga puluh tahun. Janggut dan misainya panjang dan terandam rapi.
"Mastika. Kau suruh orang-orang kita jaga di sekeliling kawasan ini dengan hati-hati," pinta Masmira. "Dan segala laluan ke kediaman Datuk Bendahara mestilah dikawal dengan rapi."
Mastika mengangguk-angguk kepala tanda bersetuju.
"Mari lekas kita semua pergi siasat," perintah Masmira dengan suara meninggi.
Mereka menuju ke pantai laut untuk mendapatkan satu kepastian.

DARI pantai di hujung tanjung yang melengkung, muncul sebuah perahu lading yang lengkap dengan layarnya terkembang. Lalu hanyut menyusup ke muara sebatang sungai.
"Kita sudah selamat sampai, Deli," kata seorang Damburi yang bersimpuh di hujung perahu. Dia kelihatan begitu muda dan mentah. Dia menoleh ke belakang.
"Alhamdullilah," kata orang yang dipanggilnya Deli itu sambil mendayung. Kemudian menyapu peluh yang meliputi mukanya dengan hujung selempang yang terletak di bahunya. Dia bertubuh gempal dengan muka pucat tapi tampan. Kumisnya yang tipis dan hitam melengkung ke bawah di sisi kedua sudut mulutnya. "Mula-mula berlayar dulu aku ingat tentu kita tak sampai ke Tanjung Penaga ini."
"Ya, hanya mengikut angin dan arus yang deras," ujar Damburi.
Tiba di pinggir sungai, Deli berhenti mendayung.
Cepat-cepat Damburi bergegas turun. Perahunya terhuyung-hayang sebentar.
Deli turut menjejakkan kakinya ke air sungai yang cetek itu.
Mereka menolak perahu naik ke tebing.
Situasi di pulau itu agak sunyi. Deli dan Damburi tidak pernah sampai ke situ.
Setelah menurunkan layarnya, Damburi memandang Deli yang matanya beralih melihat ke tebing sungai seperti ada sesuatu yang menjadi titik perhatiannya.
Masmira berdiri bercekak pinggang di atas selonggok batu berdekatan banir pokok, menghadap ke sungai. Lebih kurang tiga puluh mengorak langkah dari keduanya.
Laung gadis itu, "Kau berdua sudah terkepung!"
Deli dan Damburi serentak menoleh dan mereka melihat sekitar sepuluh orang mengacukan muncung anak panah ke arah mereka. Setiap mereka menunjukkan wajah hampa dari perasaan.
"Tengok!" pinta Masmira bersungguh-sungguh sambil menunjuk ke hujung sebelah lagi.
Dua orang penziarah itu menoleh pula ke seberang sungai sana.
Beberapa pemanah juga ada di sana.
Suasana menjadi senyap beberapa ketika.
Masmira mengangkat kaki kanannya dan diletakkan ke atas sebatang kayu yang melintang di hadapannya.
"Siapa kau berdua ini dan dari mana?" Masmira menyoal.
Dengan segera Deli menjawab, "Nama hamba Deli. Ini sepupu hamba. Damburi namanya."
Damburi hanya mendiamkan diri dengan perasaan takut memenuhi hatinya. Dia mati akal untuk berbicara.
"Kami baru datang dari Siak," tambah Deli.
"Apa tujuan kau berdua datang ke mari?" Masmira menagih.
"Kami nak mencari Datuk Bendahara Mutalib," sahut Deli, cuba menjelaskan kedudukan sebenarnya.
Masmira diam seketika. Dalam kepalanya sedang memikirkan sesuatu.
"Apa maksud tuan hamba nak berjumpa Datuk Bendahara?" Masmira ragu-ragu.
"Maksud baik," kata Deli dengan suara datar. Cuba meyakinkan Masmira. "Kami datang bawa berita kepada Datuk Bendahara."
"Bagaimana tuan hamba dapat tahu Datuk Bendahara berada di sini?"
"Sebenarnya kami datang ni membawa pesan dari Uda."
Masmira tersentak tatkala mendengar nama itu.
"Apa kabar Uda?" tanyanya pendek.
"Dengan dukacita dimaklumkan bahawa Uda gugur di dalam menjalankan tugas."
"Bagaimana boleh jadi begitu?"
"Menurut keterangan Uda, kapalnya telah diserang oleh orang-orang Perlak. Sebelum dia mati, sempat dia beritahu kami di mana Datuk Bendahara Mutalib berada," Deli menjelaskan.
Sekarang perkaranya menjadi jelas.
Setelah berfikir sejurus, Masmira pun berpaling kepada Golok sambil berkata, "Ha, Golok!"
Golok segera datang. Setelah berhadapan maka Golok pun bertanya kepadanya, "Ada apa perlu hamba?"
"Kau pergi beritahu pada Datuk Bendahara, tak lama lagi kami akan menemuinya. Cepat!"
Golok angguk dan dengan pantas tanpa menoleh ke belakang lagi, dia melangkah cepat-cepat. Beredar dari situ, meredah rimba yang semakin lama semakin tebal.

SETELAH meranduk hutan belantara yang tebal, kini angkatan Masmira serta kedua orang pendatang itu telah berada di hadapan sebuah pintu besar kubu di kaki bukit yang dijaga pengawal bersenjata. Ia bercantum dengan pagar kayu tinggi yang dirancang kukuh.
Deli mendongak ke atas. Bola matanya merayap melihat. Ada beberapa menara yang dibina daripada kayu.
Pintu kubu dibuka dari dalam.
Masmira adalah orang yang pertama masuk ke dalam kubu itu sebaik sahaja pintu itu dibuka.
Dua pengawal yang berdiri di pintu memerhati mereka masuk seorang demi seorang.
Gardu penjaga, gubuk-gubuk tempat tinggal para perwira, dapur dan gudang senjata memenuhi segenap ruang yang terbuka di perkarangan kubu.
Kelihatan tiga susuk tubuh mengangkat air dari telaga. Di satu sudut lain, beberapa orang sibuk membuat andang.
Ketika mereka hampir ke pintu yang kedua, Masmira dengan tiba-tiba berhenti dan memalingkan muka ke arah dua puluh orang yang mengiringi.
"H-mmm, kau semua pergi ke balai. Nanti Tok Sidang tahu bagi kau semua kerja," katanya.
Kumpulan orang ramai itu pun mula beredar.
Masmira melangkah ke pintu kedua. Dia memandang kepada seorang lelaki tinggi, berjanggut tebal dan panjang. Dan bersuara, "Hei, kau! Buka pintu ini lekas!"
Sejurus kemudian orang itu serta beberapa orang lagi menguak pintu kukuh yang menghalang pintu masuk kedua itu.
Kemudian pintu itu terbuka dengan bunyi yang bising kerana engselnya sudah berkarat.
Di depan, ada sebuah rumah di atas bukit.

MASTIKA menanggalkan selak dan membuka pintu. Kemudian terus melangkah menuju depan rumah. Dia diiringi oleh Golok bersama seorang juak bernama Gidon.
Mastika berhenti melangkah dan berdiri memandang Masmira, Deli dan Damburi yang sepelaung jauhnya mengikut sebatang jalan yang lurus.
Tidak lama dalam perjalanan, mereka sampai di laman rumah. Sesudah membasuh kaki dengan air tempayan di hujung tangga naik ke rumah, mereka mulai mendaki anak tangga yang tersusun rapat-rapat.
Segera Mastika datang menghampiri sebaik sahaja mereka sampai ke depan rumah.
Apabila bertembung muka, dia bertanya, "Ada apa, kak?"
Masmira segera menyambut, "Ada berita tentang Lela Sari, dik."
"Berita apa, kak?" Mastika tidak dapat mengelak pertanyaan itu
"Ada berita tak baik, dik," ujar Masmira tanpa ragu-ragu lagi. Kemudian dia pun menoleh kepada Delivdan Damburi. "Ha, marilah."
"Nanti!" tempelak Mastika.
Masmira, Deli dan Damburi tersentak lantas berpaling ke belakang.
"Tinggalkan keris kau orang di sini," terang Mastika penuh waspada.
Demi mendengar kata-kata itu, Deli dan Damburi menghulurkan keris masing-masing kepada Gidon.
Tiada lama kemudian mereka pun berjalan menuju ke dalam.
Sejurus kemudian, daun pintu tertutup semula.

SEMUA yang bersangkutan sampai di balai penghadapan. Empat orang pengawal yang berdiri di beberapa penjuru ruang itu turut serta.
Suasana di balai itu terasa begitu tenteram kerana dihias indah.
Ketika itu Bendahara Mutalib duduk di atas pangkin menghadap mereka. Dia berumur pertengahan enam puluhan, langsing dan masih gagah, meskipun rambutnya sudah memutih. Orang-orang memujinya sebagai pemimpin yang bijak. Pemimpin yang mengambil berat akan anak buahnya. Peramah dan murah hati.
Tun Zaleha, isterinya duduk di sampingnya. Dia seorang wanita yang masih cantik dan penampilannya anggun walaupun sudah berumur dan tubuhnya penuh berisi. Dia juga seorang yang mempunyai fikiran terbuka.
Masmira berjalan mendekat dengan sikap sopan dan hormat.
Bendahara Mutalib memperhatikan dengan teliti wajah kedua orang asing yang berdiri di hadapannya.
"Ini Deli, Tok," Masmira bersuara sebaik sahaja menghadapi Bendahara Mutalib dan isteri. "Ha, ini Damburi."
"Assalamualaikum," sapa Deli ramah sambil memandang tepat ke muka Bendahara Mutalib.
"Waalaikumsalam," balas Bendahara Mutalib.
"Apa kabar Datuk Bendahara?" ucap Damburi penuh hormat.
"Alhamdullilah. Kabar baik."
Bendahara Mutalib bertanya dengan sopan, " Kamu berhajat apa?"
"Kami ingin menyampaikan pesanan dari seorang bernama Uda," Deli segera menyatakan tujuan kedatangan mereka.
"Uda?" Tiba-tiba mulut Bendahara Mutalib membesarkan nama itu. Ragu-ragu. Seolah-olah mengingati sesuatu.
"Ya, Datuk," ujar Deli bersungguh-sungguh.
"Tok! Uda yang biasa makan minum dan tidur kat rumah hamba, Tok. Dulu dia biasa tinggal di kampung hamba, Tok," kata Gidon tidak mahu ketinggalan. Hubungannya dengan Uda memang cukup akrab.
"Oh, ya. Baru kita ingat," kata Bendahara Mutalib. Tapi dia tidak tahu kepada siapa sebenarnya kata-kata itu ditujukan. Dia merenung tepat ke wajah Tun Zaleha. "Kanda terlupa yang dia turut bersama mengiringi anaknda kita Lela Sari ke Pulau Puaka."
Tun Zaleha diam tidak bersuara.
"Apa yang telah terjadi ke atas diri Uda?" tanya Bendahara Mutalib, memandang Deli. "Dan pesan apakah gerangannya?"
Dengan pantas Deli menjawab:
"Begini ceritanya. Kami ni sebagai nelayan. Sedang kami berlayar, tiba-tiba kami nampak dia dalam berkeadaan luka parah, terapung di laut. Dia kata angkatan Lela Sari berperang dengan angkatan Laksamana Megat Komeng."
Bendahara Mutalib tersentak diterjahi oleh suatu gambaran buruk dan dahsyat. Dia termenung sejurus, air mukanya nyata membayangkan dukacita. Berasa tidak enak. Segala ucapan Deli itu seperti curahan batu runtuhan bukit menghentam kepalanya.
Kemudian sambil berpaling memandang isterinya, dia pun berkata, "Nampaknya anaknda kita berperang. Pasti dinda berasa dukacita di atas kejadian yang tak disangka-sangka ini. Bersabarlah, dinda."
Lepas itu Bendahara Mutalib memandang ke muka Deli. "Lagi apa pesannya?"
"Panglima Garak kena tikam," sahut Damburi pula sebaliknya.
Di waktu itu juga Bendahara Mutalib dan Tun Zaleha berpaling menghadap Damburi pula.
"Bagaimana keadaannya?" tanya Tun Zaleha dengan cemas. Dia tiba-tiba saja kelihatan bimbang.
"Dia dah mati," ujar Damburi ringkas.
Hati Tun Zaleha diamuk resah. Dia seperti terpukau mendengar itu. "Dah mati? Macam mana Garak boleh mati? Pada hal dua handal juga," keluhnya.
"Dia dibunuh oleh musuh yang hebat dan dahsyat," Damburi menegaskan.
"Laksamana Megat Komengkah gerangannya?" cetus Mastika sambil mengurut-urut dagunya.
Damburi segera melihat Mastika. Dia mengangguk-angguk.
"Apa nak buat? Ajal dah sampai," kata Deli seperti kesal.
"Ya, siapa dah sampai ajal, rebahlah dia. Yang hidup akan mati di suatu masa," Bendahara Mutalib meyakinkan dirinya sendiri.
"Dia amat setia dan berani," puji Tun Zaleha.
Bendahara Mutalib menenggelamkan seluruh matanya ke dalam muka Tun Zaleha. "Jangan bersedih dinda. Tiap-tiap yang hidup mesti mati."
"Oh, Allah jua yang mencucuri rahmat kepada rohnya," suara isterinya mati di situ.
"Ia amat malang tapi benar," suara Deli amat menusuk.
"Itu memang adat pendekar. Mati di tengah gelanggang," Masmira memutuskan.
"Garak, kau telah berjasa dengan kami sehingga di akhir hayat engkau." Bendahara Mutalib bersuara entah kepada siapa.
"Sesudah itu apa kata Uda lagi? Bagaimana perkabaran Lela Sari?" Tun Zaleha pula mengajukan pertanyaan.
"Selepas itu dia tak berdaya berkata apa-apa lagi dan terus menghembuskan nafasnya yang terakhir. Hamba berdua telah mengkebumikan mayatnya di Siak." Damburi berhenti berbicara sebentar, seakan-akan untuk menekan kepada Bendahara Mutalib dan Tun Zaleha bahwa dia tidak senang akan apa yang akan dikatakan selanjutnya. "Itulah saja pesanan dari Uda yang kami bawa. Di mana adanya Lela Sari, tak seorang pun tahu."
Suasana menjadi senyap apabila semua orang diam.
"Terima kasih atas keterangan tuan hamba berdua yang berharga," Bendahara Mutalib bersuara sesudah senyap beberapa ketika. Kemudian dia berpaling menghadap isterinya. "Tak tahu di mana Lela Sari sekarang. Tapi kanda harap janganlah anaknda kita itu meninggalkan jasad di sana."
Jauh di lubuk hati Bendahara Mutalib, dia mengharap supaya kejadian itu tidak berlaku. Dengan berfikiran begitu, berkurang sedikitlah kebimbangan yang bersarang dalam dadanya yang tak dapat dicungkil buang.
Dia melihat isterinya membisu seperti sedang memikirkan sesuatu yang penting. Di wajahnya terbayang kesedihan yang bukan kepalang.
"Sungguh pun Lela Sari anak angkat saja pada kita, tetapi dinda kuatir pada Lela Sari," Tun Zaleha melepaskan keterbukaan hatinya.
"Jangan bersusah hati dinda. Kanda yakin Lela Sari masih hidup lagi dan keselamatannya terpelihara sebab anak kita itu keturunan pahlawan dan dari kalangan darah DiRaja. Lagi pun, kanda selalu berdoa agar dia selamat dalam segala-galanya." Bendahara Mutalib meningkah kata-kata isterinya, memujuk dengan suara yang lembut.
"Ya, kanda. Tapi bolehkah hati dinda terubat selagi Lela Sari anaknda kita tak tentu kabar?" Tun Zaleha berkata dengan nada yang sangat kuatir bunyinya. Tiba-tiba terasa air matanya tergenang, dan perlahan-lahan mengalir di lurah pipi tuanya. Bibirnya bergetar menahan tangis.
"Apa yang mesti kita buat sekarang, Tok?" cetus Mastika.
"Kita tidak boleh bergantung dengan gerak rasa kerana kadang kala gerak rasa bertentang sangat dengan yang nyata. Kalaulah Lela Sari tidak balik-balik, entah menanggung derita. Adakah kita mesti tunggu juga? Hanya satu saja yang dapat kita lakukan. Kerahkan Masmira dan Mastika serta segala pendekar yang telah menamatkan latihan pergi berlayar mencari Lela Sari di mana dia berada," Tun Zaleha mendesak. Hanya itu sahaja harapan yang ada. Tiada lain.
"Marilah kita cuba, Tok," Masmira menyampuk. "Ikhtiar lain sudah tak ada. Orang yang kemas, pada sehelai rambut pun harus berpegang," Dia berpaling kepada adiknya, "Tidak begitu, Mastika?"
Dua gadis kembar itu saling berpandangan.
"Betul juga kata kakak hamba itu, Tok. Tuhan tidak akan memberi sahaja kalau manusia tidak berusaha," kata Mastika semacam merayu.
Bendahara Mutalib diam lama benar. Dia memikirkan dalam-dalam.
"Kalau sudah begitu juga yang mesti dijalankan, baiklah. Kita setuju." Kini Bendahara Mutalib sudah tiba pada kemuncak fikirnya. "Dan dari hari ini kita melantik Masmira sebagai Panglima, menggantikan jawatan yang telah kosong itu. Kita yakin, Masmira lah yang layak."
"Masmira, engkau tangkas dan cepat. Engkau layak menjadi panglima," Tun Zaleha menyetujui.
"Kalau begitu, bersiaplah dari sekarang. Aturkan pasukan mencari," perintah Bendahara Mutalib.
"Baik, Tok," Masmira berkata. "Kami setia menurut perintah Datuk Akan kami usahakan sedaya upaya pergi mencari Lela Sari."
Bendahara Mutalib mengajukan perintah berikutnya pada si gadis, "Sediakan perlengkapan Cempaka Biru sebelum memilih pendekar-pendekar untuk mengikuti rombongan mencari Lela Sari. Himpunkan seratus orang yang cergas-cergas."
"Baik, Tok. Nanti kami akan usahakan," jawab Masmira penuh setia.
Golok mengambil alih pembicaraan, "Apa kata Datuk kalau hamba kemukakan satu cadangan?"
Bendahara Mutalib berpaling kepada Golok, "Mana yang baik kemukakanlah."
"Pada pendapat hamba Datuk, lebih baik kita hantar penyuluh ke kota Perlak untuk menyelidiki hal ini, Tok. Tentu orang-orang di kota itu riuh menceritakan kisahnya," kata Golok memberi cadangan.
"Ha, bagus cadangan kau. Tolong tanya-tanyakan tentang hal ini supaya kita lebih jelas lagi."
"Baiklah, Datuk. Biarlah hamba siasat perkara ini."
"Seelok-eloknya, Golok. Bawalah beberapa pengiring. Tak elok seorang penyuluh menjalankan tugas seorang diri."
"Jika demikian, biarlah Gidon menemani hamba, Tok."
Deli berdehem perlahan.
"Er, ada satu lagi... " suara Deli tersekat. Susah benar mahu keluar kerongkongnya."
Bendahara Mutalib menoleh kepada Deli. "Kalau ada apa-apa lagi nak dikatakan, terangkanlah. Jangan segan."
"Sebenarnya kami datang ke mari hendak berjumpa Lela Sari untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas jasa Lela Sari yang telah menyelamatkan kami. Dia telah memberikan pertolongan yang sebesar-besarnya kepada kami." Deli memecah kebuntuan.
"Lela Sari telah menyelamatkan kami dari dibunuh Panglima Harimau Berantai," sampuk Damburi. "Jadi, kami bercadang nak berjuang dengan Lela Sari."
"Dan kami sedia menerima segala perintah Datuk," suara Deli begitu mengharap.
"Kami berharap pada Datuk, janganlah hampakan niat baik kami. Kami juga ingin berbakti," minta Damburi.
Bendahara Mutalib yang mendengarkan dengan saksama mengangguk.
"Baik, kita setuju," kata Bendahara Mutalib kemudiannya. "Kita harap kau berdua akan menjadi pendekar yang akan berbakti kepada Lela Sari kelak."
Dia berpaling kepada Masmira dengan pertanyaan yang bersungguh-sungguh, "Bagaimana, Panglima?"
"Pada pandangan hamba, jika Datuk memandangnya elok, maka eloklah pandangan hamba, Tok," sokong Masmira.
"Pada pendapat hamba, Tok. Mereka berdua itu bagus dijadikan pengiring Tok Sidang," sampuk Mastika.
Bendahara Mutalib melintas pandangan kepada Deli dan Damburi.
"Mulai dari sekarang, kamu berdua kita lantik jadi pengiring Tok Sidang," katanya.
Deli dan Damburi berasa lapang. Secangkir senyuman dihadiahkan kepada Bendahara Mutalib.

BANGSAL perteduhan di gelanggang. Di situ duduk bersila rapat Masmira, Mastika, Golok dan Gidon sedang rancak berbual. Selesai satu perkara yang dibualkan mereka, bertukar ke satu perkara yang lain.
"Ini mesti ada ulat di sebalik daun," kata Masmira yang leka mengasah bilah-bilah keris koleksinya.
"Begitu juga dalam pendapat hamba," ujar Mastika yang duduk dengan tenang sambil membelek-belek ketua-ketua itu. Dia bersetuju dengan pendapat kakaknya itu.
"Itu sudah barang tentu," sahut Gidon mengiakan.
"Ini salah Gegala," sela Golok sambil menggulung rokok daun nipah.
"Mengapa?" tanya Gidon sambil memandang penuh lirih kepada Golok.
"Kerana kelakuannya dan tamaknya. Gegala berlagak sebagai pembela tapi pembelot. Pembelot itu telah menceritakan hal yang sebenarnya kepada Datuk Perwira Jelatang di Bukit Seroja. Hamba ada di sana dan hamba sendiri menyaksikan dengan mata kepala hamba di balik semak. Dia ceritakan padanya yang Lela Sari bercadang nak datang ke Pulau Puaka di dalam perjumpaan itu. Sekarang inilah akibatnya."
Kata-kata Golok membuatkan Masmira, Mastika dan Gidon diam. Mereka mengakui kebenaran kata-kata tersebut.
"Huh, pembelot! Aku benci kepada pembelot!" jerkah Gidon tiba-tiba.
"Tapi Gegala mati dibunuh orang juga, Gidon. Penghulu segala perwira kerajaan Perlak itu telah menamatkan riwayat Gegala," tingkah Golok sambil menghisap rokok daun nipahnya. "Yang bersalah sudah menerima hukumannya."
Masmira menarik nafas lantas berkata, "Syukur yang kau terlepas daripada Jelatang dan pengikut-pengikutnya itu dan pergi bersembunyi di tempat yang sulit."
"Ya, nasib baik jiwa hamba selamat. Tapi hamba lihat sendiri Darwis telah menentang dua pendekar Datuk Perwira yang jahat itu. Hamba sungguh merasa bangga. Percayalah, bahwa Darwis itu adalah seorang yang gagah dan berani," Golok berkata-kata dengan penuh semangat.
"Orang yang bersifat begitulah yang harus kita hormati," Mastika segera menuturkan kata-kata pujian.
"Tapi kalau sudah nasib nak mati di tangan Jelatang, apa boleh buat?" ujar Golok, terharu.
Bunyi tapak kaki yang bergerak menghampiri segera mematikan perbualan mereka.
Tiada tetamu yang dijangka datang.
Ternyata yang datang itu Si Deli. Dia berhenti tepat di hadapan bangsal.
"Oh, Deli. Silakan naik," Masmira menyambut kedatangan Deli.
Deli mengangguk kecil.
"Silakan duduk," Masmira berkata lagi.
Deli duduk bersila di hadapan mereka dengan penuh takzim.
"Kedatangan hamba ada hajat," kata orang yang baru datang itu. Dia membetulkan duduknya supaya menjadi lebih selesa.
Semua mata merenung muka Deli dengan penuh tanda tanya.
Tiba-tiba Mastika memajukan pertanyaan, "Hajat apa, Deli?"
"Hamba datang ke mari besar hajatnya kerana hendak pergi mencari Lela Sari. Sebagai membalas jasa Lela Sari yang amat besar kepada hamba, izinkanlah hamba pergi mencarinya.Bawalah hamba sekali," Deli menawarkan diri. Dia harus membayar budi kepada seorang gadis yang telah menyelamatkan nyawanya. Tekad ini tidak pernah mati dalam dirinya.
"Betul ke kau nak pergi ni?" Panglima itu seakan hairan.
Deli menganggukkan kepala.
"Bagus, orang muda," kata Masmira. "Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan."
Deli pun senyum keriangan. "Suka betul hati hamba."
"Nanti dulu kak!" Mastika mencelah.
Masmira, Golok, Gidon dan Deli mendiamkan diri. Mereka menunggu Mastika meneruskan percakapannya.
"Setakat ini adik tak nampak kelebihannya. Apatah lagi syarat-syaratnya belum diuji. Adik mahu lihat dulu setakat mana kebolehannya," ujarnya.
Deli tersentak oleh pendapat yang tidak diundang itu.
Masmira menatap adiknya itu, kemudian melepaskan pandangannya ke arah Deli. "Kita tengok dulu kemampuan kau. Tunjukkan kehandalan dan keperwiraan mu dalam cara pendekar. Kami nak saksikan."
Deli menganggukkan kepala.
"Aku nak tahu sejauh mana bagusnya kau," desak Mastika dengan keras.
Sekali lagi Deli menganggukkan kepala.
Mastika bangkit daripada silamnya dan terjun ke tanah.
Deli turut terjun ke tanah.
Suasana sepi seketika.
Beberapa ketika, Mastika menarik keris yang berada di dalam sarungnya.
Sambil berdiri kaku di depan Mastika, mata Deli memerhati seluruh tubuh segar perawan itu.
"Deli, sekarang tibalah masanya ujian dimulakan. Kalau kau lulus dalam ujian ini, segala tuntutan mu Deli akan terbukti," Mastika berkata.
Tanpa sedikit curiga atau takut-takut, Mastika meluru dan menerpa ke arah Deli. Dia menikam.
Deli mengelak tubuhnya agak jauh ke sebelah kiri. Dia bergerak ke belakang Mastika. Dilihatnya Mastika dengan gerakan yang secepat kilat menoleh dan memutar tubuhnya ke arahnya.
Mereka terus bertentang mata. Saling berhadapan.
Mastika mengujinya lagi. Menyerangnya dengan menikamkan kerisnya ke dada Deli sebagai singa ganas lakunya. Deli meloloskan dirinya ke sebelah kiri dan memencak untuk menanti serangan Mastika yang sudah berputar kepadanya.
Dengan muka bengis, Mastika menghampiri Deli. Keris masih dipegangnya dengan erat. Mukanya kelihatan semakin bengis. Dia pun menerkam dengan tiada berbagai-bagai lagi, menikam Deli. Tapi Deli melompat mengelakkan tikaman Mastika itu sambil mengawasi langkahnya dan dengan sekatan tangan kanannya memaut lipatan tangan lawannya yang terhulur dan dengan tangan kirinya Deli mencengkam pergelangan tangan tersebut dengan sekuat tenaganya. Dipegangnya erat-erat.
Sekali ini Deli telah bersiap sedia. Tetapi perbuatannya sia-sia sahaja. Pada saat itu juga, tumbukan keras tangan kiri Mastika singgah di pipi Deli yang sebelah kanan. Dalam sekejap Deli sudah melambung dan jatuh berdebuk di tanah dan merasai kesakitan pada seluruh mukanya.
Deli hanya dapat terbaring di tempat jatuhnya. Namun pemuda itu tetap bertenang. Lantas berhati-hati bangun.
Hal itu tidak menghentikan kekaguman Mastika kepada keberanian lelaki muda itu. "Bagus, kau tahu sedikit sebanyak tentang silat."
Kerisnya dengan cepat tersarung di pinggang.
"Berbakat juga kau. Kau tahu apa yang kau buat. Kau tangkas. Cuma pengetahuan kau tentang pencak silat masih tak cukup tepat," ujar Masmira menjelaskan. "Belum cukup untuk menjadi petwira."
"Ajarlah hamba segala ilmu peperangan untuk menjadi petwira. Hamba ingin menjadi murid tuan hamba berdua. Segala perintah akan hamba patuh," kata Deli dengan suara lembut. Suaranya lembut penuh permohonan.
Ditatapnya muka Masmira dan Mastika dan Deli melihat betapa sedikit pun tak ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka menaruh perhatian pada apa yang dikatakannya. Tiada siapa pun yang peduli.
Sewaktu dia berfikir-fikir begitu, Masmira tiba-tiba berkata, "Baiklah. Mulai malam ini kita belajar dengan tidak membuang masa lagi. Kau akan kami ajar bermain senjata."
Masmira berhenti sebentar lalu berkata dengan tegas, "Tabahkan hati menerima cubaan-cubaan dari ilmu yang engkau nak tuntut itu. Kalau kau tabah dalam masa beberapa purnama, kau akan menjadi perwira yang handal. Sanggupkah kau?"
"Ajarkanlah hamba. Hamba sanggup bersusah payah," sahut Deli. Terasa mahu menjerit kuat-kuat menyatakan kegembiraannya.
"Bagus, dan dengar sini Deli. Ilmu tak ubahnya pendidikan tetapi ilmu kalau salah diguna akan buruk padahnya," jelas Mastika.
"Ya, hamba ingat dan hamba akan taat," balas Deli sambil menyapu peluh di muka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience