Cetera Yang Pertama 10 - MEMBARA MEMBAKAR JIWA

Adventure Series 1713

SULTAN Ahmad Maulana serta orang-orang besar sekalian berhimpun di Balai Penghadapan. Ketika itu baginda duduk di takhta seorang diri. Usia baginda sudah masuk ke angka dua puluh lima. Bertambahnya usia memberikan beberapa perubahan pada dirinya. Badannya masih tetap kekar, tapi mukanya sudah berubah. Pada usia itu, wajahnya sudah tidak keanak-kanakan lagi.
Tiba-tiba gong pelaung dan pemanggil dipalu bagi menandakan ada tetamu yang tiba. Tukang Pelaung yang bermuka kaku segera berdatang sembah, "Ampun Tuanku. Sheikh Omar Al-Habshi mohon menghadap ke bawah Duli membawa sembah adat."
Sultan Ahmad Maulana kenal orang itu. Kedatangan saudagar Arab itu telah menjadi kelumrahan baginya. Seperti kebanyakan orang yang datang berniaga, maka bagindalah yang ditemuinya. Dan seperti lumrahnya pula, baginda dihadiahkan dengan pelbagai barang.
"Pacal itu ada menunggu di hadapan balai, Tuanku. Bolehkah patik persilakan dia menghadap?" berkata Si Tukang Pelaung.
"Baiklah. Benarkan dia datang menghadap," titah baginda.
"Mohon patik, Tuanku," sahut Tukang Pelaung.
Dia berpatah balik dan meledakkan suaranya, "Yang terhormat saudagar Sheikh Omar Al-Habshi dipersilakan masuk menghadap!"
Terasa pekikannya menggema.
Sheikh Omar Al-Habshi berangkat masuk ke Balai Penghadapan. Kepalanya dibelit kain serban putih dan janggutnya panjang sampai ke dada.
Seorang pengiring datang dari belakang sambil membawa satu peti. Abdi itu bernama Nadim. Tubuhnya tinggi, sasa berotot-otot dan berkulit hitam.
"Ampun Tuanku. Sembah patik pacal yang hina harap diampun," kata Sheikh Omar. "Patik ada membawa seperti emas bahara untuk persembahan Duli Yang Maha Mulia."
Mendengarkan penjelasan saudagar Arab itu, baginda gembira sekali.
"Bawa ke mari persembahan itu. Beta mahu melihat sendiri," katanya senang.
Nadim yang tertunduk sejak tadi bingkas mendekati Sultan Ahmad Maulana dan berdiri tidak jauh darinya. Peti di tangan dikukuhkan genggamannya.
Tiada terperi lagi mukanya Sultan Ahmad Maulana bila dibukanya peti yang penuh berisi dengan barang-barang yang berharga itu.
"Molek! Molek belaka! Beta berbesar hati," katanya.
Baginda memandang Temenggong Linggi.
"Datuk Temenggong!"
"Tuanku?"
"Bawa peti emas bahara ini. Simpan ke dalam bilik perbendaharaan," kata baginda memerintah.
"Titah dijunjung, Tuanku."
Temenggong Linggi bingkas dari tempat duduknya sambil menudingkan telunjuknya kepada seorang hulubalang yang bertubuh sasa, pemegang tombak.
"Kau! Angkat peti itu dan ikut aku," kerahnya.
Hulubalang itu patuh, dan mulai mengangkat peti yang di tangan Nadim tadi.
Kemudian keduanya pergi bersama-sama.
"Beta bertambah kaya nampaknya," kata Sultan Ahmad Maulana bangga. Baginda bersandar ke peterana berukir yang melampaui kepala.
"Ampun patik, Tuanku. Ada lebih istimewa dari emas bahara tadi," kata Sheikh Omar menerangkan. "Patik ingin nak persembahkan sebuah tarian untuk Tuanku."
"Kalau begitu, silakan."

SEJURUS kemudian tarian pun dimulakan dengan iringan gambus, gendang, paluan gong serta hentakan-hentakan cak lampong tingkah-meningkah. Setiap pasang mata menatap ke arah penari-penari yang mengatur langkah dengan tekun.
Sultan Ahmad Maulana merasa sangat tertarik kepada gadis yang mengepalai tarian itu. Bentuk pipinya, bibirnya yang penuh setengah terbuka, bulu matanya yang hitam dan lentik sangat indah. Gayanya waktu menari sangat menawan dan garis-garis tubuhnya yang lembut sangat mempesonakan. Dalam hatinya berserabut pelbagai angan-angan.
Gadis ini sedar diperhatikan oleh Sultan Ahmad Maulana. Dia mengetahui dengan jelas. Wajahnya berseri-seri bagai bulan purnama. Semua yang memandang tidak berkedip mata kerana terpesona.
Kemudian baginda pun memandang kepada Sheikh Omar yang duduk di sebelahnya seraya bertanya, "Siapa namanya, Sheikh?"
"Telani."
"Aduh, manisnya."
"Apa yang manis?"
"Namanyalah."
"Oh, namanya. Budak Telani yatim piatu, Tuanku. Dia datang ke Perlak ini hendak menumpang diri di rantau orang."
"Beta tertarik dengan kecantikan Telani dan beta jatuh kasih padanya. Bukankah kena pada tempatnya bunga yang begini cantik dijadikan hiasan di istana ini?"
"Molek, Tuanku. Memang sudah kena pada tempatnya."
"Begini, Sheikh Omar. Beta mahu, tinggalkan Telani di sini. Kalau ada Telani, ada teman penghibur hati."
"Apa salahnya kalau Telani sudi? Perkara ini nantilah patik tanya dengan Telani dulu."
"Kalau dia tak mahu, macam mana?" keluh baginda.
"Ah, nanti patik pujuklah dia," jawab Sheikh Omar memberi harapan kepada baginda.

TATKALA istana sedang lenggang, maka Sultan Ahmad Maulana dan Penghulu Istana, Datuk Kelana Indera diiringi oleh dua orang hulubalang bernama Ladin dan Latam yang memegang tombak telah berkumpul di sebalik tiang dan tembok istana itu seolah-olah ada rahsia besar dicakapkan mereka. Mereka yakin tidak ada sesiapa pun yang melihat kerana di sekeliling sudah sunyi.
Akan tetapi, perbuatan mereka itu telah menarik perhatian seorang datang bernama Desawati. Dia memberanikan dirinya hendak mengetahui apakah rahsianya yang dicakapkan mereka itu. Secara menghendap-hendap dia berlindung hampir dengan tempat mereka itu.
Di sebalik kisi-kisi dan celah-celah dinding, dia menanti butir bicara. Terdengar perbualan hanyut di telinganya.
"Apa bicara dan buah fikiran Datuk kalau beta jadikan Telani itu gundik beta?" Sultan Ahmad Maulana mengusulkan sebuah pertanyaan.
"Ampun Tuanku," sembah Datuk Kelana Indera. "Pada penglihatan patik, kebolehan gadis itu luar biasa, Tuanku. Memang layak gadis itu kalau menjadi gundik Tuanku dan bertuah betul Tuanku mendapat gundik begini cantik untuk pengganti. Maksud patik, kesayangan Tuanku yang ke dua puluh, Seri Murni sudah membunuh diri di perigi buta. Cantik Telani lebih menawan dari Seri Murni itu. Bukan begitu, Tuanku?"
"Itu satu daripada sebabnya," Sultan Ahmad Maulana menjelaskan dan setelah diam sejurus dia pun berkata lagi, "Tapi yang lebih utama, beta nak buktikan yang beta ada benih."
"Tuanku, patik mengerti bagaimana penanggungan Tuanku," ujar Datuk Kelana Indera dengan yakin.
Setelah senyap sejurus maka Sultan Ahmad Maulana pun bertanya lagi, "Sudahkah Datuk jalankan perentah beta?"
"Ampun Tuanku. Perentah Tuanku tidak patik lalu. Kesenangan Tuanku tak mahu patik ganggu. Segala-galanya sudah siap, Tuanku," sahut Datuk Kelana Indera. Ibu jarinya menuding ke sebuah bilik yang telah disediakan olehnya untuk ditempati baginda.
Ladin yang cepat dapat menangkap pandangan mata Penghulu Istana itu segera membuka pintu bilik tersebut.
Pintu bilik itu dibuka separuh luas.
Datuk Kelana Indera melanjutkan, "Persilakan Tuanku masuk dan tunggu di bilik itu sementara patik perentahkan menjemput Telani yang sedang menjamu di Balai Santapan."
Sultan Ahmad Maulana mengangguk-angguk lalu berlalu dari hadapan Datuk Kelana Indera, terus masuk ke bilik.
Ladin segera menutupkan pintu bilik itu.
Pandangan mata Penghulu Istana itu tertancap kepada Latam.
"Kau, jaga di sini. Jangan beri sesiapa masuk. Sultan tak mahu diganggu. Mengerti?' perentah Datuk Kelana Indera.
Latam menyahut penuh hormat, "Hamba sedia mengerti, Datuk."
"Kekuatan satu negeri dan bangsa yang berdaulat itu berada dalam genggaman pengawal-pengawal yang taat setia," hujah Datuk Kelana Indera. "Sekarang berjagalah kamu."
Latam mengangguk. Berdiri kaku di tempatnya dan mendekatkan letak tombak ke sisi tubuh gempalnya.
"Dan kau."
"Datuk?"
"Ikut aku."
"Baik, Datuk."
Ladin mengekori Datuk Kelana ke Balai Santap.

MATAHARI telah tegak atas kepala saat seorang perajurit Perlak berjalan seorang diri di daerah yang banyak menentukan semangat dan perjuangan. Tatkala perajurit itu sampai ke sebuah balai perlindungan daripada panas atau hujan, matanya ditebarkan ya ke mana-mana dengan pandang curiga. Seluruhnya lengang tiada berorang dan suasana senyap sunyi. Bagaikan tiada penghuni.
Dia menaiki tangga. Langkahnya tenang dan meyakinkan. Ketika tiba ke atas, pintu yang tidak terkunci didorong ya. Serta-merta matanya mencerlang. Tak ada satu pun yang mencurigakan.
Dengan tidak semena-mena tampil satu lembaga manusia berpakaian serba hitam yang menggenggam sebatang tombak dari balik dinding, memencak di tengah balai, bermain tombak. Pandangannya tetap, pergelangan tangannya mantap.
Kemudian terdengar suara orang yang belum dikenali itu menempik sambil memusing-musing tombak ya berkata, "Aku ketua di tempat ini!"
"Ketua apa?" tanya Sang Perajurit kehairanan.
"Ketua penyamun!" jawab orang itu cepat. "Sesiapa saja yang lalu di sini akan ku bunuh dan rampas barang-barangnya kalau ada."
Tajam-tajam diselidikinya tamu itu dengan matanya. Berkata dia mengancam, "Lekas serahkan kalong yang ada pada kau! Kalau ingkar, nahas kau aku kerjakan!"
"Kalong ini adalah hadiah daripada ayah ku dan kalong yang berharga ini selama-lamanya akan ada pada ku," kata si perajurit seraya mengusap-usap mesra kalong itu.
Dia melirik pada agok yang tergantung di leher si penyamun. Dituding-tudingnya agok itu.
"Agok itu di mana kau curi?" turunnya.
Penuh kepastian si penyamun menjawab, "Agok ini adalah pusaka dari keturunan ku dan membuktikan yang aku ini ketua penyamun mengikut adat kami zaman berzaman." Dia diam sebentar. Kemudian meneruskan dengan suara dingin, "Buat kali penghabisan, serahkan kalong itu kepada ku atau kau akan menemui ajal yang dahsyat."
"Jika itu kau lakukan, aku terpaksa menentang kau!' seru si perajurit menantang.
"Engkau berani menentang aku? Engkau ni siapa?"
"Akulah panglima dari kerajaan Perlak."
"Kalau kau pendekar, elak tikaman ku!"
Si penyamun menerkam dengan tiada teragak-agak lagi lalu menikam panglima itu berulang-ulang tetapi panglima itu seperti tiada jejak kakinya ke lantai, melompat ke kiri dan ke kanan, mengelak tikaman-tikaman penyamun itu.
Tiba-tiba tatkala menerpa hendak menikam, kaki si penyamun tersangkut di sekeping papan lantai balai itu, menyebabkan dia hendak rebah. Ketika itu si panglima tidak membuang masa lagi terus menerajang rusuk kanan penyamun itu, menyebabkan dia tersungkur.
Maka dalam kesempatan itulah sebagai kilat di panglima melompat menyentak sebatang serampang dari dinding balai itu yang penuh dengan hiasan senjata-senjata tajam. Sekarang dia harus bertindak balas.
Panglima itu mulai membuat gerak silat ke sana ke mari dan bersiap-siap melawan. Kemudian dia pun melompat menikam Sang Penyamun bertubi-tubi. Bagaimana cepatnya dia menikam dengan senjata bermata tiga itu, begitu juga penyamun itu melompat ke kiri kanan, mengelakkan tikamannya itu.
Ada seketika kemudian, tatkala panglima itu terdorong ke hadapan oleh terpaannya disalahkan oleh si penyamun, maka sebagai kilat pantasnya penyamun itu melompat sambil menghayun tombaknya dengan melepaskan pukulan yang mengenai bahu lawannya itu dan oleh keras kenanya hingga menyebabkan dia tersungkur ke lantai.
Tetapi alangkah hairan hati penyamun itu apabila melihatkan dengan sekejap ketika itu lawannya cepat-cepat bingkas bangun semula memencak dan menikam berulang-ulang. Dalam masa sama penyamun itu menghindar ke kiri dan ke kanan, menyalahkan tikaman lawan yang berturut-turut itu.
Begitulah. Tikam-menikam berlaku terus. Amat sengit kedua-dua pihak bertempur. Perhitungan yang salah akan menerbitkan keputusan yang tidak memuaskan. Tetapi segala gerak menusuk ke depan itu dapat mereka elak dengan kecekapan masing-masing yang berkenaan dengan ilmu keperwiraan.
Kerana kepenatan, mereka kelihatan menjarangkan jarak pertembungan masing-masing. Mereka berundur beberapa tapak ke belakang dalam jarak dua belas langkah.
Tidak bergerak-gerak. Kuda-kuda kaki dipasang, teguh tidak berganjak.
Tidak berapa lama kemudian kedengaran suara pekikan bergema. Si penyamun berlari-lari, maju terus dan menusuk, seperti apa yang dilakukan di panglima yang bergerak juga ke arahnya tanpa ragu-ragu. Langkah-langkah itu tetap dan waspada. Masing-masing mengacukan hujung senjata ke dada lawan.
"Kau tewas, kawan!" Si Penyamun berkata sambil menyeringai. Dia menoleh kepada Sang Panglima sambil itu memegang kalong yang tergantung di tombaknya. Namun dia hanya dapat melihat belakang tubuh si panglima itu.
Mendengar perkataan si penyamun itu, si panglima yang berdiri membelakangkan lawannya itu menjawab sambil ketawa, "Ha, ha, ha. Kau juga tewas!"
Dia berpaling ke belakang.
Si Penyamun tercenggang. Matanya tertangkap pada tangan si panglima menggenggam agoknya. Darahnya mula mendidih kerana selama ini belum pernah ada seorang pun yang mampu untuk melakukan demikian. Ini sedikit sebanyak telah menjejaskan namanya sebagai seorang jaguh.
Dengan tiada dapat menahan kemarahannya, sambil menimang-nimang tombaknya, si penyamun bertempik kuat dan kemudian kakinya terus melangkah.
"Nanti!" teriak Sang Panglima melarang penyamun itu supaya tidak maju lebih dekat lagi.
Si penyamun berhenti tiba-tiba.
"Marilah kita berhenti rehat dulu untuk melepaskan penat," usul Sang Panglima sambil menepuk-nepuk kedua-dua belah tangan untuk menghilangkan debu yang melekat.
Setelah tunduk berfikir sejurus maka si penyamun pun berkata, "Tuanku, kalau elok pada bicara Tuanku, eloklah pada patik."
Sang Panglima menanggalkan lilit destar di atas kepala untuk mengesat peluhnya yang membasahi dahi dan tocang ekor naganya terurai lepas di bahunya. Dia seorang yang ayu dan rupawan dengan dagu yang sedikit runcing. Seorang perempuan kelihatannya seperti berusia dua puluh satu, dialah Permaisuri Perlak bernama Wan Anom. Sudah tiga tahun Wan Anom berkahwin dengan Sultan Ahmad Maulana tetapi belum dikurniakan putera ataupun puteri yang bakal menduduki takhta kerajaan.
Sang Penyamun membuka semutar di kepala lalu menyapu keringat yang membasahi mukanya. Dia seorang perempuan tua berambut putih sepenuhnya, berumur sekitar lima puluhan. Bernama Puspawangi, dia lebih dikenal dengan nama Nenek Kebayan. Namun bentuk tubuhnya yang ramping serta sikap dan gayanya membuatkan Wan Anom terasa berhadapan dengan seorang yang baru berusia tiga puluh lima tahun.
Keduanya melangkah duduk di kerusi yang terletak di suatu sudut balai itu. Di atas meja tersedia teh dan makanan.
Tudung saji segera dibuka. Ada ubi rebus bercicah madu di mangkuk ayan.
Nenek Kebayan menuangkan teh ke dalam cangkir untuk Wan Anom dan kemudian untuk dirinya sendiri.
"Silakan santap makanan yang tidak sepertinya ini, Tuanku Permaisuri," kata Nenek Kebayan, memulakan bicara.
"Apa anggapan Nenek Kebayan terhadap beta?" tanya Wan Anom sesudah menengok air untuk menghilangkan dahaga.
"Segala pelajaran dan ilmu yang ada di dalam dada patik telah patik curahkan pada Tuanku Permaisuri. Ha, sekarang ilmu dan kepintaran Tuanku sudah cukup dapat menentang patik. Patik sangat berbesar hati kerana tak rugi segala pengajaran patik beri," sahut orang tua itu sambil menyentuh giginya yang telah rongak-rongak.
"Beta bukan sebarang orang. Beta cucu Wan Perkasa yang gagah," Wan Anom menegaskan. Kaki kanannya ditompangkan di kaki kiri.
Nenek Kebayan diam, dan dalam hatinya mengakui sifat pendekar Wan Anom yang diwarisi dari datuknya Pendekar Wan Perkasa begitu menonjol.
Sesuatu melastik pandangan Wan Anom ketika dia mengunyah ubi rebus. Dari pintu terbuka, matanya terpandang Desawati yang berkuda dari kejauhan.
Apabila sampai di hadapan balai, Desawati turun dari kuda, menjejak anak tangga. Berhenti di ambang pintu, membuka kain kelubongnya dan mendongak kepalanya untuk melihat Wan Anom yang ketika itu sedang dihadap oleh Nenek Kebayan.
"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Izinkan patik datang bersembah," katanya dengan polis.
"Silakan," sahut Wan Anom, menjemput Desawati masuk ke dalam balai.
Maka Desawati pun berdatang sembah, "Ampun Tuanku. Ada perkara rahsia yang patik hendak sembahkan. Kiranya tidak menjadi halangan, patik ingin berbisik di telinga."
Tanpa bersuara, Wan Anom mengangguk dan bangun. Dengan perlahan-lahan dia menghala ke jendela. Daun jendela dibuka luas.
Desawati maju mendekati Wan Anom dan mula bercerita dengan suara yang perlahan.
Pedih telinga Wan Anom dibuatnya. Tanpa berkata apa-apa, dia membentak geram di dalam hati dan mukanya merah padam menahan murka di hadapan dayang yang membawa berita itu.
"Apa betul Sultan membuat kelakuan semacam itu?" tanyanya dengan suara tak mempercayai.
"Benar, Tuanku Permaisuri," kata Desawati, menjawab pertanyaan Wan Anom, matanya merenung tepat kepada Wan Anom sambil dia menyambung kata, "Masakan patik berdusta? Untuk menyenangkan hati, mohon Tuanku Permaisuri sendiri pergi menyaksikannya."
"Ya, memang. Memang beta nak tengok," kata Wan Anom pada yang melapor. "Huh, kalau beta jumpa si perempuan jahanam itu, beta koyak-koyakkan dia macam kain buruk."
"Yalah. Hendaknya celakalah dia," ujar Desawati, geram.
Wan Anom membelakangkan jendela dan berpaling kepada Nenek Kebayan.
"Kerana satu kejadian yang tak disangka-sangka di dalam istana, maka latihan ilmu perkelahian ini kita habiskan setakat ini saja," katanya.
Perempuan tua itu mengangguk, "Kalau dah begitu, patik menjunjung titah."

"AMPUN Tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Perentah Tuanku sudah patik laksanakan. Ini dia Telani yang Tuanku perentah jemput. Ampun Tuanku," sembah Penghulu Istana, Datuk Kelana Indera.
Maka Telani pun berdatang sembah, "Ampun Tuanku. Patik datang menghadap."
Sultan Ahmad Maulana mengarahkan matanya kepada Telani, terpegun melihat paras Telani yang cantik itu. Untuk beberapa ketika dia tidak dapat berkata apa-apa. Dirasakannya hendak memeluk gadis itu, seandainya mereka cuma berdua saja.
"Terima kasih Datuk. Tinggalkan beta bersama Telani di sini. Datuk boleh pergi. Tolong rapatkan pintu," titah baginda.
"Mohon patik, Tuanku," kata Datuk Kelana Indera lalu segera pergi. Kemudian hilang dia dari pemandangan.
Sekarang baginda menghampiri Telani dan bertanya, "Kau tahu kenapa beta panggil kau?"
"Saya, err... patik kurang pereksa, Tuanku." Telani terpingga-pingga.
"Kau sungguh pandai menghiburkan hati beta, Telani. Bagus tarian itu. Betapa senang beta punya hati. Beta berasa seperti berada dalam kayangan tadi. Apa nama tarian itu?"
"Ampun Tuanku. Patik sendiri tidak tahu namanya. Patik sebut tarian Bentan," kata Telani lembut.
Sultan Ahmad Maulana mengamat-amati Telani. Kemudian tangannya menuding barang-barang diletakkan di sebuah meja bundar yang tiada berapa jauh dari tempat mereka berdiri.
"Itu selengkap persalinan dan emas sekotak untuk kau. Terimalah persembahan beta."
"Kurnia Tuanku, patik junjung tinggi."
"Tapi ada satu permohonan beta."
"Permohonan apa, Tuanku?"
"Beta mahu jadikan kau gundik beta. Mahukah kau menjadi gundik beta?"
Telani tak menjawab. Dia menunduk.
Sultan Ahmad Maulana berjalan mundar-mandir di hadapan Telani. Kedua-dua tangan kanan dan kirinya diletakkan ke belakang.
"Kalau jadi katakanlah jadi. Jangan sampai beta ternanti-nanti," sebut baginda kemudian. "Kalau kau setuju, beta akan perkenankan apa permintaan kau. Segala apa yang kau minta, akan beta tunaikan."
Telani masih membisu.
"Jangan dibiarkan beta lama menanti. Tak tahan lagi debaran di hati," Sultan Ahmad Maulana merayu. Dia renung Telani tenang-tenang. Ada yang hendak dipastikannya.
Telani mengangkat kepala memandang baginda.
"Daulat Tuanku, raja bertuah. Inilah kata pemutus patik," katanya. "Sayang Pak Kadok mudik ke hulu. Kapal berlayar menyosong surut. Patik ibarat sebuah perahu. Mana dikayuh patik mengikut."
"Apa erti perkataan kau ini? Beta tak mengerti. Bapa beta yang handal itu hanya mengajar beta jadi pahlawan. Berpantun beta tidak tahu. Cuba kau terangkan."
"Itu ertinya patik hak Tuanku. Seluruh batin patik adalah kepunyaan Tuanku," jawab Telani malu-malu.
Sultan Ahmad Maulana tersenyum lega. "Inilah jawapan yang ditunggu-tunggu. Senang sungguh hati beta."
Kedua orang itu terdiam sekarang. Masing-masing mengikuti fikirannya.
Kemudian Sultan Ahmad Maulana berkata pada Telani, "Sekarang beta mahu kau menari seperti tadi dan beta mahu sambil kau menari, kau tanggalkan pakaian kau satu per satu, ya?"
Telani tersentak dan dengan berani ditentangnya pandang baginda. Hati-hati diperhatikan muka baginda seperti menguji kewarasan otaknya.

WAN Anom terserempak dengan Penghulu Istana ketika Datuk itu balik dari bilik Sultan Ahmad Maulana tadi, menunaikan kewajipan jawatannya.
"Apakah ertinya Datuk ke mari membawa perempuan cantik yang menari tadi?" Wan Anom meledak, sangat ingin hendak mengetahui betapa hal yang sebenarnya.
"Suami Tuanku yang memberi perentah. Katanya untuk dijadikan tukang hibur. Dia tertarik dengan Telani menari."
Wan Anom mendengus. "Huh! Ada-ada saja helahnya supaya dapat menyempurnakan maksudnya nak kan Si Telani."
"Memang itu sudah kehendak alam. Nafsu lelaki tidak ada batasnya. Selagi dia tahu mara dan bergerak, nafsunya juga turut mara dan bergerak. Apa Tuanku Permaisuri cemburu ke?"
"Tentu beta cemburu! Tuhan jadikan perempuan tebal dengan cemburu. Kalau tidak laki-laki akan bermaharajalela dengan nafsunya!"
"Tapi kalau cemburu pun, biarlah kena pada tempatnya."
"Sudah kena pada tempatnya dan maka beta cemburu, Datuk!" sahut Wan Anom.
Dia berjalan pergi dari situ dengan satu tekad yang nekad.
Pemergiaan Wan Anom meninggalkan setompok kebimbangan di sudut hati Datuk Kelana Indera. Kebimbangan yang berat itu menungkah tubuhnya melangkah menyusul Wan Anom dari belakang.

BILA Wan Anom sampai di pintu bilik, dia berjalan hendak membuka pintu. Latam yang ada berdiri di situ tak membiarkan kewajipannya dilanggar orang. Dengan tangan memegang tombak dia menghadang Wan Anom.
Wan Anom terperanjat melihat tingkah laku pengawal itu.
"Pengawal! Benarkan beta masuk. Beta perlu berjumpa dengan Sultan."
"Ampun Tuanku Permaisuri. Di sini tempat larangan. Perentah Sultan tidak dibenarkan walau siapa pun masuk ke sini."
Wan Anom merapat dinding dan matanya mengerling sesuatu. Di dinding bergantungan senjata lembing. Dengan kesabaran yang amat sedikit, lembing yang menjadi hiasan dinding itu dicapainya. Tegap senjata untuk mendatangkan kematian itu. Matanya memandang ke arah Latam dengan tajam.
Sambil mengacu-acu lembing di tangannya bagai cuba meradak sesuatu, dia mengancam, "Ke tepi! Nanti beta rodong kau dengan lembing ini!"
Suaranya bergema dengan keyakinan baru, seolah-olah melahirkan suatu perasaan kejam dalam hatinya.
Ketika itu juga sampailah Datuk Kelana Indera. Langkahnya terhenti jauh sedikit dari tempat itu.
Latam melirik Datuk Kelana Indera untuk mendapatkan kepastian, seperti meminta suatu perentah.

"KEBAHAGIAN yang paling besar beta rasakan hari ini," kata Sultan Ahmad Maulana senang. Tenang-tenang diperhatikannya tubuh Telani, dari kaki sampai rambut.
Telani tak peduli pada ucapan itu. Lembut diusapnya keringat yang menitiki keningnya. Badannya sudah tanggal segala kainnya.
Daun pintu bilik itu tiba-tiba kena terajang dari luar.
Ketika Telani menoleh, satu lemparan lembing melayang ke arahnya tapi dia sempat mengelak. Muncung lembing itu tertusuk dengan dalamnya ke dalam dinding.
Sultan Ahmad Maulana tergamam.
Tersembul wajah Wan Anom pada ruang pintu. Matanya kelihatan berapi-api dengan kemarahan.
"Kanda! Tidakkah puas-puas kanda mengambil gundik!" jerkah Wan Anom, memadamkan muka dan menjuihkan bibir. Perutnya kembang kempis menahan marah.
Berdesing telinga Sultan Ahmad Maulana mendengar sergahan Wan Anom dan baginda merasai penghinaan yang terkandung dalam suara isterinya itu.
Wan Anom memandang Telani dengan penuh kebencian.
Oleh pandang itu Telani menundukkan kepala. Rasa malu tiba-tiba terbangun dalam dadanya. Dia dengan pantas mengenakan pakaian.
Kemudian Wan Anom mendekati Sultan Ahmad Maulana. Dengan sikap tenang dihadapinya suaminya itu.
Berkata dia lagi, "Tidak sudah-sudah kanda memilih gundik baru. Alangkah aibnya jikalau diketahui rakyat? Tidakkah kanda rasa malu kepada rakyat? Kanda mesti tahu tanggungjawab kanda sebagai Sultan. Dinda tak mahu perkara kanda digunakan untuk perkara yang tidak berfaedah supaya rakyat kanda tidak mengatakan kanda raja yang sia-sia. Itu akan membimbing ke jalan penderhakaan. Dinda takut kalau-kalau rakyat menentang kepada kita."
"Pandai pula dinda nak mengajar kanda. Kanda Sultan. Kanda boleh buat apa kanda punya suka. Walaupun semua anak dara dalam negeri ini kanda boleh ambil sebagai gundik. Tak ada siapa boleh halang kanda. Hitam, putih. Tahulah kanda mencorakkannya," kolah Sultan Ahmad Maulana dengan kejengkelan. Dia bercekak pinggang di hadapan isterinya.
"Ya, kanda boleh buat apa kanda punya suka. Tapi jangan dek kerana perempuan itu, kanda nak sia-siakan dinda," Wan Anom membantah dengan mengetap gigi.
"Kanda seorang raja, bukan rakyat. Tidak semestinya menumpahkan kasih pada seorang perempuan saja!" Sultan Ahmad Maulana mencebikkan bibirnya, seolah-olah mengejek Wan Anom.
Telani menelinga dalam pertikaian ini. Dia menyedari keadaan yang tegang sekarang. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Dia lebih suka mendengar daripada berkata-kata. Baginya lebih baik diam daripada berkata-kata.
"Ya, baik dari segi nafsu kanda tetapi menjadi racun kepada dinda dan orang-orang lain," sela Wan Anom. "Hidup dinda seperti boneka yang dijadikan perhiasan saja."
"Kanda kata kanda boleh buat apa kanda punya suka! Dinda jangan banyak cakap. Sudah! Jangan buat hingar-bingar di sini. Baik keluar sebelum kanda suruh halau dinda dari sini!" Sultan Ahmad Maulana menyerkah dengan kuat.
"Wah, sampai nak menghalau?" kata Wan Anom menggerutu. Matanya ditebarkan pada Telani.
Telani tak mempedulikan pandang itu. Dia tetap berdiam diri.
"Agaknya apalah obat yang diberikan dek Telani ini sampai kanda bencikan dinda begini sekali?" tanya Wan Anom sungguh-sungguh.
"Memang sudah kedudukan alam. Penari selalu dipandang hina," ujar Telani, tersinggung amat.
"Memang! Kerana kelakuan mereka yang rendah dan hina! Di mana ada kemewahan, di situlah dia terpikat dan kau pun apa lagi? Sukalah!" kata Wan Anom menghina.
"Dinda jangan nak merepek. Menuduh Telani yang bukan-bukan. Apa bezanya seorang penari dan seorang puteri? Sedangkan kedua-duanya juga sama-sama manusia. Penari juga manusia yang mempunyai fikiran dan perasaan.Jangan memandang rendah pada perempuan penari. Sudahlah, jangan bising-bising. Pergi!" tengking Sultan Ahmad Maulana penuh perentah.
Perbuatan baginda itu memedihkan hati Wan Anom. Kemudian dia pun berpaling kepada Telani sambil berkata, "Hei, Telani! Apa kau dah buat dengan suami beta sampai dia lupakan beta, hah? Kau betina! Kau cuba menjadi punca untuk melakukan huru-hara! Harus dibasmikan dari muka bumi ini!"
Secepat itulah pula dia menghunus keris yang tersisip di pinggang dan maju ke arah Telani. Dia menapak dengan gagah dalam bara dendam yang mengganas.
Segugus debaran terbangun dengan tiba-tiba dalam dada Telani. Nyawanya sedang terancam. Gelombang rasa takut mendera dirinya.
Maka dengan tiada bertangguh lagi tangan kiri Sultan Ahmad Maulana bertindak pantas mencekup tangan kanan Wan Anom yang memegang keris.
Wan Anom tersentak. Berlaku sedikit pergelutan antara satu sama lain. Keduanya mempertahankan kemahuan masing-masing.
Kemudian tangan kiri Wan Anom cuba menarik cengkaman tangan kiri baginda.
Baginda bertindak balas dengan menarik tangan kiri Wan Anom dengan tangan kanannya.
Tiba-tiba Wan Anom berjaya meloloskan tangan kanannya yang menghunus keris itu. Seterusnya tangan kirinya berhasil menolak tangan kanan baginda.
Dalam tempoh yang singkat, baginda memegang tangan kanan Wan Anom yang berkeris dengan tangan kanannya sambil tangan kirinya menolak bahagian bahu Wan Anom.
Penguasaan bertukar tangan apabila baginda berjaya merampas objek tajam itu.
Bagaimanapun, Wan Anom tidak berdiam diri. Sepantas kilat kedua tangannya menyambar tangan kanan baginda yang berkeris lalu memulasnya.
Baginda mengangkat tangan kirinya lalu menghentak tangan kanan Wan Anom ke bawah.
Tangan kiri Wan Anom lincah mengangkat tinggi tangan kanan baginda yang berkeris sambil memulas. Cengkaman baginda mengendur, menyebabkan keris itu jatuh perlahan ke bawah dan tangan kanan isterinya cepat-cepat menyambut keris itu.
Dengan tiba-tiba, baginda menyepak tangan kanan Wan Anom yang pegang keris itu dengan kaki kanannya. Hentakan itu menyebabkan keris tersebut tercampak ke atas.
Melihat keadaan itu, keduanya sama-sama bertindak nekad melompat ke atas tetapi baginda lebih pantas mencapai dan dapat menangkap keris tersebut terlebih dulu. Keris itu dipegang erat-erat.
Wan Anom menyambar tangan kanan baginda yang berkeris dengan tangan kiri sementara tangan kanannya menolak pukul genggaman tangan kanan baginda yang berkeris. Akibat rempuhan kuat tersebut, keris itu terhumban ke depan.
Keris itu terdampar di atas meja bundar.
Sultan Ahmad Maulana bingkas menerpa. Tapi Wan Anom menerkam ke arah baginda. Kedua belah bahagian bahu baginda dipegangnya dengan kedua belah tangan, menegahi.
Serta-merta baginda berpusing ke belakang sambil kedua tangannya membebaskan bahunya dari dipegang oleh isterinya. Baginda kemudian cuba menghentak penumbuk kanannya ke muka Wan Anom tetapi isterinya itu berjaya mengelak dengan menangkapnya dengan tangan kanan sementara tangan kirinya mendorong bahu baginda ke belakang.
Wan Anom menapak terus lalu merebahkan diri di atas meja sekali gus berguling untuk menggapai keris itu sebelum lompat turun dari atas meja.
Baginda meluru lalu bertenggek di atas meja dan tanpa sebarang amaran, kaki kanannya menendang ke muka Wan Anom tetapi isterinya itu mengundur ke belakang.
Baginda bertinggung di atas meja dengan tangan kirinya memegang pergelangan tangan Wan Anom yang memegang keris. Seterusnya baginda bertindak berdiri di atas meja dengan kedua-dua tangannya memegang pergelangan tangan Wan Anom yang memegang keris lalu memulasnya.
Wan Anom ditarik ke atas meja. Baginda meminggir memberi jalan. Di kala dia menengok, Wan Anom sudah bergolek di atas meja.
Hadiah-hadiah agong untuk Telani yang terletak di atas meja itu menggelimpang di lantai.
Wan Anom menjatuhkan dirinya ke lantai dan berdiri. Tangannya masih memegang erat kerisnya.
Baginda yang berlutut sebelah kaki di atas meja mencekau pergelangan tangan berkeris Wan Anom dengan tangan kanannya sedangkan tangan kirinya mencapai pangkal lengan kanan Wan Anom dekat bahunya.
Tangan kiri Wan Anom lincah memegang tangan kiri baginda yang berada di dekat bahunya dan dengan seluruh keupayaan tangannya menarik ke depan tubuh baginda.
Baginda terpelanting ke depan akibat hilang keseimbangan. Namun kedua-dua kakinya jatuh menjejak lantai.
Sambil berdiri tegak, baginda membalikkan badannya. Tangan kanan baginda tiadalah berlengah memegang tangan kiri isterinya. Tangan kirinya pula dipercepat memegang tangan kanan Wan Anom yang berkeris.
Keduanya sekarang dalam keadaan berdiri dan bersemuka dengan kedua tangan masing-masing bersilang dan terbelenggu.
"Sudah! Jangan terlalu!" jerkah Sultan Ahmad Maulana. Dia memerhati tepat ke muka isterinya.
"Apa? Cukup setakat ini? Tidak! Kerana betina itu, kanda sudah melupakan dinda. Dinda tak terima, dinda tak rela. Apalah guna kanda berkahwin dengan dinda kalau kasih sayang kanda berbelah bagi?" kata Wan Anom, mempertahankan kehormatannya.
Kemudian air mukanya jadi kejam dan buas. Dia tak menerima nasibnya.
"Huh, sejak kita kahwin, dinda tak beranak-anak. Mandul!" ujar baginda bersungguh-sungguh.
Wan Anom terkejut mendengarkan cakap suaminya yang menghiris perasaan. Kata itu setajam sebilah pisau yang menghiris jantung limpanya.
Begitu rusuh hati Wan Anom. Keris yang di tangannya terlepas jatuh ke lantai.
Dengan wajah yang tertusuk hatinya, dia berpaling untuk pergi. Kemudian hilanglah dia dari pintu.
Sultan Ahmad Maulana berpaling menghadapi Telani.
Ketika itu kegelisahan menguasai Telani. Dia dalam ketakutan yang mendera dan menabur kencing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience