BELITUNG cukup basah berpaut pada sekeping papan. Sudah lama dia terapung di tengah samudera. Daratan langsung tak kelihatan. Di kiri kanan cuma hujung laut dan kaki langit. Itu sahaja. Deritanya bukan kepalang. Dahaga, lapar, letih dan sejuk tidak dapat ditanggung lagi.
Kepalanya mendongak ke langit. Awan tenang hari itu mendamaikan namun tidak dapat mendamaikan jiwanya.
"Aku asyik merenung awan. Awan berarak dari utara. Hati gundah bertambah rawan. Pantai putih tak nampak jua. Mengapalah aku mesti menanggung sengsara? Azab apakah ini? Oh, Tuhan. Apalah yang telah hamba mu perbuat hingga amat menderita seperti ini? Oh, Tuhan. Berikan pertolongan kepada ku," keluh Belitung dalam hatinya.
Tiba-tiba matanya jatuh ke garis langit dengan bumi. Sebuah kapal menghala ke arahnya. Dia berpendapat itu adalah petanda baik.
Belitung mendadak jadi bersemangat.
KAPAL Lang Bitara dengan haluan berbentuk paruh helang laju membelah laut. Laut tanpa daratan lagi. Ia dikemudikan dengan penuh keahlian yang dapat dibanggakan oleh Cemara.
Cendana membawa persembahan dalam raga di hadapan sesusuk tubuh yang terpacak duduk di kerusi empuk di sebelah kiri celaga kemudi kapal.
Itulah Juragan Singkip - merehatkan dirinya. Dia duduk seperti seorang pangeran, menghadapkan tubuhnya ke haluan.
"Juragan. Sudah dekat waktu makan tengahari. Kalau Juragan sudi menerima, ini hamba ada bawa sedikit minuman dan makanan untuk Juragan. Dari pagi sampai sekarang Juragan belum menjamah apa-apa pun," Cendana menyalami Juragan Singkip. "Jemputlah apa yang ada ini, Juragan."
Cendana meletakkan raga di atas meja kayu dekat kerusi. Dia menyangkakan tutup makanan.
Juragan Singkip memerhati. Mukanya memberengut. Tekaknya tiba-tiba terasa loya.
"Asyik pengat pisang sajalah. Sebab itulah aku tak ada selera," kata Juragan Singkip dengan nada yang agak kesal. Laki-laki itu menyandarkan badannya ke kerusi dengan sikap acuh tak acuh.
Cendana berfikir dengan cepat. Dia berkata, "Apa Juragan suka makan buah-buahan?"
Lalu dia mencapai selonggok jambu air yang ranum, sesikat pisang dan sebagainya dari dalam raga.
Juragan Singkip tak menyahut. Dia menggelengkan kepalanya.
"Juragan suka minum air kelapa barangkali?" Cendana bertanya ramah.
Juragan Singkip tercenung sejenak memandangi Cendana. Kemudian dia perlahan-lahan bangun dari kerusinya.
"Aku nak makan nasi!" Nada suaranya terdengar serius.
Cendana menundukkan kepala ketika melihat reaksi Juragan Singkip yang di luar jangkaan. Dia tidak berani menentang mata Juragan Singkip. Namun Cendana tahu, apabila Juragan Singkip sudah membuat keputusan, tiada kata pemarah yang dapat melenturkan pendiriannya.
Ruang kemudi itu pun menjadi senyap beberapa ketika.
Cemara tidak membiarkan lama keadaan itu berlaku. Dia berpaling ke arah Juragan Singkip.
"Itulah Juragan. Selalu berdarah panas. Marah membabi buta. Mengapa Juragan bunuh Si Tulat kelmarin? Kalaulah Si Tulat masih hidup, tak akan kita jadi begini. Terlajak perahu boleh patah balik. Terlajak perbuatan inilah padahnya. Bukannya mudah nak memasak lauk yang sedap-sedap," tegurnya sambil tangannya memegang kuat celaga kemudi. Dia mengeluarkan apa yang terlintas dalam fikirannya.
Pada ketika itu Paragas berjalan mendekati mereka. Gading menyusul di belakangnya.
Cendana tertegun. "Cemara! Kau berani berkata begitu di hadapan Juragan? Mengapa kau celupar sangat terhadap Juragan?"
Ketika melihat bola mata Cendana yang terbelalak di wajahnya, Cemara lalu menjelaskan:
"Aku hanya menunjukkan kesilapan Juragan."
Cepat Cendana bertanya, "Kesilapan Juragan?"
Cemara memberanikan diri mengatakan, "Juragan manusia biasa, Cendana."
"Tak apalah. Memang betul kata Cemara," kata Juragan Singkip dengan tenang dan kemudian berpaling kepada Cemara dia meneruskan. "Aku sedar. Aku bersalah menghukum Si Tulat."
Juragan Singkip termenung sejenak. Dia mungkin menyesali apa yang telah dilakukannya terhadap Tulat. Wajah Tulat berbalam-balam di ruangan matanya. Dialah yang mengurusi hal-hal di dapur.
"Sesuatu yang berlaku adalah takdir. Itu sudah takdir, Juragan. Sudah takdir Tulat menuju ke alam baka," perlahan suara Cendana. "Jangan diingat-ingat itu semua. Itu sudah suratan takdir."
Juragan Singkip mengeluh panjang. Hatinya didatangi kesal.
"Soalnya sekarang, siapakah yang layak menggantikan Si Tulat jadi tukang masak?" ujarnya kepada Cendana.
"Ya tak ya juga. Apa mesti kita buat sekarang?" kata Cendana dalam nada merenung.
Cendana dan Juragan Singkip ditusuk tanda tanya.
"Hamba juga lama memikirkan tentang hal ini," Cemara mengakui.
Paragas mengatakan, "Ah, itukan senang. Mengapa susah-susah dalam soal itu?"
Cemara berpaling ke arah Paragas. "Maksu kau, bagaimana?"
"Serahkan pada Cendana untuk menguruskannya. Maklumlah, orang perempuan. Di dalam dunia ini, perempuanlah yang paling senang membuat sesuatu pekerjaan," cadang Paragas.
"Heh, jangan cakap sebarangan. Mana boleh aku memasak? Aku cuma pandai bersilat," sanggah Cendana menelan hakikat betapa makna kemampuan itu sangat terhad.
Apabila berhenti sahaja Cendana bercakap, Gading dengan tiada lengah lagi lalu menyampuk, "Silat untuk orang lelaki. Untuk orang perempuan, menjahit dan memasak."
"Bukan semuanya begitu, Gading. Walaupun aku seorang perempuan, tetapi jiwa kadang kala lebih kuat daripada lelaki," Cendana cuba menentang.
"Cendana, kau tak ubah seperti takut kepada bayang-bayang sendiri. Apa salahnya kalau cuba-cuba memasak? Kau tak pernah cuba. Cubalah," kata Paragas sambil menggenggam tangannya erat-erat tanda memberi semangat.
"Lagi pun, kau dah tahu nak masak pengat pisang, bukan? Jadi, setidak-tidaknya, kaulah yang kami harap-harapkan," Gading menambah.
Cendana menggeleng kepala.
"Eh, besarlah punya harap," banyaknya. "Sudahlah! Aku ada satu jalan. Mari kita bertiga la la tam plom. Aku rasa itu adil, bukan?"
Paragas senyum dan mengangguk, tanda setuju dan senang hati.
Gading hanya mengangguk-anggukkan kepalanya sahaja dan dia bermaksud untuk tetap tenang dan sopan, tidak peduli apa pun yang dihadapinya.
Sejenak kemudian, Cendana, Gading dan Paragas bersama ka la tam plom. Mereka bertekad untuk mengambil risiko.
Terdengar suara Paragas tergelak besar, tiba-tiba.
Cendana berdiri terpaku. Tubuhnya tak bergerak-gerak seolah-olah berubah menjadi batu.
Gading hanya tersenyum melihatkan Cendana berkeadaan begitu. Tetapi senyumannya begitu menyakitkan hati.
Juragan Singkip menganggap persoalan itu sudah dipecahkan.
"Takpe, aku terima apa saja yang menimpa aku," dengus Cendana kecewa sambil menyinsing lengan bajunya. Dia bertekad untuk melaksanakan tugasnya.
"Cendana, kau sediakan makanan sekarang. Perut aku terasa lapar," kata Juragan Singkip dan melirik kepada Cendana.
"Juragan. Hamba nak seorang untuk menolong hamba," kata Cendana dengan sopan.
"H-mmm, baik," kata Juragan Singkip. Lalu berpaling kepada Cemara.
"Cemara, Cendana perlukan pertolongan. Aku mahu kau, Cemara menolong Cendana sediakan makanan," perintah Juragan Singkip. "Tempat kau, aku ganti."
"Kalau Juragan yang menyuruh, apa saja mesti hamba kerjakan," Cemara menyahut lembut dan segera beredar untuk melaksanakan suruhan Juragan Singkip.
Maka Juragan Singkip pun mengambil alih memegang celaga kemudi.
Cendana mengisyaratkan Cemara agar mengikutinya ke dapur kapal yang terletak di bawah.
MASA berputar-putar, berlegar-legar. Cemara dan Cendana sibuk menyiapkan persiapan untuk makan siang. Api di dapur aman saja menelan kayu bakar.
Sambil tangan rancak memotong bawang, air mata kelihatan di pelupuk mata Cendana. Cemara pula mengacau-ngacau gulai cili padi ketam yang baru hendak mendidih di atas perapian kayu yang Apinya menyala.
"Pedihnya Cemara! Air, Cemara! Pedih, Cemara. Alamak tak tahan. Cemara," rintih Cendana dengan linangan air mata.
Beberapa kali dia menggosok mata.
Cemara memerhati gelagat Cendana. Lalu dia menggelengkan kepala bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
"Baru potong bawang saja dah terpekik-pekik," ucap pemuda itu sinis.
"Tolong bawakan air sedikit," keluh Cendana. Dahinya berkerut. "Ambilkan air setempurung."
Cemara berjalan menuju ke arah tempayan besar menangkung air yang berhampiran dengan dapur. Lepas itu dia mengangkat tempurung yang tergantung di sudut dinding berhampiran jendela lalu menceduk air dari dalam tempayan. Sesudah itu maka Cemara pun mendapatkan Cendana.
Tepat dekat berdiri Cendana, Cemara berhenti. Dia mencucurkan air je wajah Cendana. Air dingin menerjah di tepi kelopak matanya.
Cemara bermaksud meninggalkan Cendana. Tetapi Cendana menghulurkan tangan mencegahnya dan memegang tangan Cemara.
Berkata sopan, "Aku ada nak cakap sedikit dengan kau, Cemara."
"Apa dia, Cendana?" sahut Cemara singkat.
"Cemara, kau tahu Cemara. Di dalam dunia ini bagi ku hanya kau seorang saja. Kalau segala-galanya di dalam dunia ini musnah dan hanya kau seorang saja yang tinggal, hidup dalam dunia ini penuh bagi ku."
Mata Cemara terbelalak mendengar perkataan yang tak disangka-sangkanya itu.
"Kata-kata mu sungguh menyenangkan hati ku, Cendana. Andai kata bidadari dari kayangan turun ke dunia, menggoda aku. Aku akan tolak rayuannya, Cendana. Aku merasa sangat bahagia di dalam hidup ini asalkan kau selalu di samping ku," Cemara diam seketika. Kemudian bertanya, "Sudikah menerima aku menjadi suami?"
Cendana menatap wajah Cemara yang sedang memandanginya dengan sikap penuh pengharapan.
Sunyi sejenak. Kemudian Cendana mengangguk. "Menjadi isteri mu, aku rela."
Cemara melonjak kegirangan. "Kalau begitu, bolehlah kita kawin, ya Cendana?"
"Boleh, tapi dengan satu syarat," pinta Cendana. "Jika kau sanggup menerima, aku rela menjadi isteri mu "
"Syarat? Apakah syaratnya Cendana?" Cemara menanyakan.
"Syaratnya senang saja. Aku rela menjadi isteri mu sekiranya kau sanggup berjanji yang rompakan ini kali yang penghabisan. Kau berjanji, Cemara?"
"Ya, aku berjanji. Ini kali penghabisan," Cemara berjanji. "Aku sudah jelak dengan kehidupan seperti ini, Cendana."
Dengan pergerakan yang pantas, Cendana melangkah dan dengan seluruh kekuatan, dirangkulnya Cemara dengan mesranya. Ditatapnya wajah Cemara dan saat itu Cendana dapat melihat kebahagiaan memancar dari wajah Cemara.
"Harta rampasan kita semakin banyak. Bila selesai tugas kita menyerang rombongan dari Bentan di Kuala Penyengat, kita pergi jauh dari sini," katanya. "Apa kau suka?"
"Aku suka di mana-mana saja, asalkan kau selalu berada di sisiku," sahut Cemara mengiakan.
Cendana tersenyum sekilas.
"Semoga kebahagiaan ini kekal abadi," katanya.
"Pasti kekal. Hanya maut dapat memisahkan," bisik Cemara sayang.
Beberapa detik keduanya dalam keadaan demikian.
"Eh, eh? Mengapa kita begini saja? Siapa pula nak masak?" tanya Cendana, perlahan seperti menyesali keterlanjurannya. Pelukan yang penuh kasih sayang itu diurai.
"Ha, kalau begitu, mari kita masak ya?" jawab Cemara dan dicubitnya pipi Cendana.
SEMUA yang bersangkutan hadir di jamuan makan tengahari di kabin Juragan Singkip. Namun suasana dalam ruang itu penuh kecurigaan. Setiap orang kelihatan menghindari pandangan lainnya, kecuali Cendana yang tampak tidak peduli.
Cemara memecah kesunyian dalam ruangan itu dan berkata kepada Paragas yang duduk di sebelahnya, "Ya, kau tengok. Lauk gulai cili padi ketam masakan Cendana."
Di sisi lain duduk Juragan Singkip, Gading dan Cendana.
"Ya, lauk gulai cili padi ketam," Paragas setuju, tersenyum gembira memandangi hidangan di depan matanya.
Juragan Singkip menoleh pada Paragas yang duduk di hadapannya. "Cuba kau rasa sikit."
Paragas menurut. Sekali lagi suasana menjadi hening.
Mulut Paragas kumat-kamit memamah nasi. Nasi berlauk gulai cili padi ketam yang baru disuapnya sebentar tadi. Tiba-tiba matanya terbeliak. Bola matanya bagaikan hendak terpacul keluar.
Paragas bangkit berdiri dengan cepat sampai kerusinya terbalik ke belakang. Dia tergesa-gesa menuju ke jendela. Dia meludah. Dua tiga kali dia meludah.
Kemudian dia membalikkan badannya, tangannya menunjuk-nunjuk.
"Cendana! Berapa banyak garam kau taruh di dalam gulai?" Paragas tanya dengan nada suara yang agak tinggi.
Cendana tidak menyahut pertanyaan itu. Nampak dia seperti endah tidak endah.
"Oi, Cendana! Kau dengar tak apa yang aku cakap? Ha? Kenapa engkau berdiam diri? Ada emas dalam mulut kau agaknya?" Paragas benar-benar meradang. Direnungnya wajah Cendana.
Ada semacam nada mengejek terdengar dalam suaranya, yang membuat Cendana merasa dijalari rasa panas di mukanya.
"Kurang ajar kau! Berani kau mengatakan aku begitu? Cakap jangan sebarang cakap, Paragas!" bidas Cendana dengan tuduhan Paragas yang sangat tidak berasas. Sakit hati dengan tingkahnya. Itu sudah melampau, jerit hatinya. "Cisss!" Dia menghantam tinjunya ke meja disebabkan api amarah yang tiba-tiba membakar perasaannya.
Paragas tersentak dan tercenggang, kemudian melihat ke luar jendela untuk menenangkan fikirannya.
"Sabar, sabar. Di sini bukan tempat pergaduhan," Gading memujuk meminta Cendana bersabar. Sebelum perkara yang tidak diingini berlaku, Cendana perlu dipujuk supaya bersabar.
Cendana yang meledak kerana marah, dengan susah payah berhasil menguasai dirinya.
Sekejap itu terdengar suara hiruk-pikuk di luar kabin.
Berdetik pertanyaan di hati mereka.
Pintu diketuk bertalu-talu dari luar. Bergegar daun pintu.
Juragan Singkip menyeru agar segera masuk.
Apabila pintu dibuka, seorang lelaki bertubuh besar masuk menghadap. Putar, yang berumur sembilan belas tahun hanya seorang anak muda yang belum panjang fikir, tetapi oleh subur sisik badannya ternyata seolah-olah jauh lebih dewasa daripada umurnya.
Juragan Singkip memandang padanya. Kepala yang berparut pernah menetak berpuluh musuh. Setahu Juragan Singkip sudah lima orang menjadi korban Putar. Sampai begitu fikiran Juragan Singkip menerawang.
"Juragan, ada orang di dalam laut!" Suara Putar memutuskan ingatannya.
LANG Bitara sudah di hadapan mata. Anak-anak kapal ada yang panjang leher menjenguk dan ada yang berbisik-bisik sesama mereka. Belitung memandang mereka dengan mata berpinar-pinar.
Cemara berdiri di tepi geladak dengan seutas tali sebesar ibu jari. Setelah merasa pasti, tali dilemparkan kepada Belitung.
Hujung tali dipegang oleh enam orang. Dengan menggunakan segala tenaga yang ada, mereka menarik Belitung ke atas dek kapal.
Belitung berasa lega. Akhirnya dia diselamatkan setelah terlalu lama hanyut dalam gelombang dan arus laut yang hebat.
BELITUNG yang basah kuyup seluruh tubuhnya duduk di atas lantai dek dengan melunjurkan kaki. Dia berasa seluruh tubuhnya begitu lemah. Perutnya pula terasa pedih kerana lapar dan tekaknya dahaga.
Perlahan-lahan tetapi tetap, dia mengangkat kepalanya. Kelihatan beberapa orang sedang berdiri merata di hadapannya. Keris tersisip di pinggang masing-masing.
"Aku haus. Aku mahu minum air," kata Belitung penuh harap.
Cemara berkata, "Juragan, biar hamba saja mengambilnya."
Juragan Singkip mengangguk.
Cemara mengambil kendi air di penjuru geladak dan sekejap kemudian menyerahkannya kepada Belitung. Dia berkata, "Nah, minum air ini."
Belitung meneguk buas sampai ke dasarnya.
"Sudah tiga hari hamba tak makan. Lemah lesu seluruh badan," katanya lesu.
"Nah, ini ada sedikit pisang. Cuba-cuba lah makan. Boleh hilang letih dan penat kau," Cendana menghulurkan sesikat pisang.
Belitung dengan lahap memakannya! Ketika hampir separuh dimakannya, dia baru berhenti. Setelah perutnya terisi, Belitung berkata, "Terima kasih hamba ucapkan di atas pertolongan yang telah tuan hamba semua berikan pada hamba. Kalau tidak, entah apa agaknya akan terjadi. Hamba tidak tahu bagaimana hendak membalasnya."
"Oh, jangan pikir begitu. Itu sudah menjadi kewajipan bagi sesiapa juga. Sesama makhluk harus tolong-menolong." Juragan Singkip merendahkan diri. Nakhoda itu memperhatikannya dengan cermat lalu bertanya, "Aku nak bertanya. Siapakah kau? Dari mana asal dan macam mana boleh sampai begini?"
Belitung memandang nakhoda itu sebentar. Menjawab, "Hamba bernama Belitung. Hamba anak dagang, lagi yatim piatu. Tiada saudara mara lain. Hamba berasal dari Perlak tapi sudah lama hamba berdagang dari sebuah negeri ke sebuah negeri."
Juragan Singkip mendesak bertanya, "Ke mana tujuan?"
"Tujuan hamba hendak mengembara melihat keindahan alam buana. Akhirnya hamba sampai ke sini."
"Tapi Belitung, mengapa kau terhumban di lautan?"
"Perahu hamba pecah disebabkan ribut. Entah bagaimana dengan rakan-rakan hamba yang lain?"
"Oh, begitu rupanya."
Belitung mengunyah pisang. Kemudian berkata sopan tapi mendesak, "Tuan hamba telah menyelamatkan hamba, siapakah gerangan tuan hamba semua yang baik hati ini?"
"Aku Juragan Singkip. Di kapal ini aku yang memberi perentah dan membuat keputusan," Juragan Singkip mengenalkan dirinya. Kemudian dia memandang kawan-kawannya satu per satu.
Beberapa waktu lamanya mereka berdiam diri. Kemudian Juragan Singkip berkata, "Ini berempat sahabat ku yang setia dan taat."
Seorang demi seorang mengelilinginya.
"Aku Paragas. Aku seorang yang ganas, kejam!"
"Aku Gading. Aku penjahat, aku pembunuh!"
"Aku Cemara. Aku beraja di mata, bersultan di hati!"
"Aku Cendana. Aku bijak dan berani!"
"Kami perompak laut!" kata mereka serentak.
"Perompak laut?" tanya Belitung terkejut, mula dipagut rasa bimbang. Terasa jiwanya bergetar.
"Ya, kami ialah perompak laut," tegas Juragan Singkip dingin. "Kedatangan kami ke mari semata-mata hendak mencuri kekayaan di Kuala Penyengat."
Juragan Singkip datang menghampiri dengan menghunus kerisnya. Lanun itu menyeringai ke arah Belitung. Berkata dia mengancam, "Tahukah kau berapa banyak manusia yang telah menjadi korban keris ku ini? Sudah banyak musuh-musuh ku tewaskan!"
"Jangan bunuh hamba. Hamba tak buat salah dan tidak berniat jahat terhadap sesiapa pun," rayu Belitung yang kegelisahan. Dia agak tertakut-takut dengan dada bergelombang apabila membayangkan apa yang akan terjadi.
"Aku berkuasa membuat sesuka hati ku terhadap ku," kata Juragan Singkip bersemangat. "Aku boleh bunuh kau kalau aku mahu."
"Tolonglah. Jangan diapa-apakan hamba. Tolong, jangan hamba diberi bencana. Hamba tahu, tuan hamba handal dan kebal. Hamba sedia menurut perentah."
"O-ho. Rupanya kau takut mati?" Juragan Singkip memandang wajah Belitung sambil tersenyum. Sinar ketakutan dalam mata orang itu membuat Juragan Singkip merasa puas. "Jangan kau ketakutan. Kerana kau tidak merbahaya, aku tak akan mengapakan kau."
Sejurus kemudian dia pun menyarungkan kembali kerisnya.
"Terima kasih atas timbang rasa Juragan Singkip terhadap hamba," kata Belitung terharu. Kini sinar kegusarannya padam sama sekali.
"Jika mengaku takluk, kau mesti bekerja sebagai abdi di kapal ini sampai masa aku tidak berkehendakkan engkau lagi. Kau berada di dalam pemerintahan ku sampai aku kata kau boleh dibebaskan," tegas Juragan Singkip. "Dapatkah kau bekerja di bawah arahan lanun atau tidak dapat?"
"Hamba akan patuh," pantas Belitung menjawab.
"Panggil aku Juragan," Juragan Singkip membetulkan.
"Panggil dia Juraganlah, bodoh!" seru Paragas kasar.
Gementar seluruh tubuh Belitung oleh teguran itu. "Hamba akan patuh, Juragan. Bahkan, hamba telah berhutang budi dan nyawa pada Juragan. Hamba sedia menurut perentah dan hamba akan taat segala perintah Juragan."
"Baguslah kalau kau ada ingatan begitu."
"Sekarang apa yang Juragan mahu? Suruhlah apa saja, Juragan."
"Kerja apa kau boleh?"
"Sebarang kerjalah, Juragan. Potong kayu pun boleh. Potong air pun boleh."
"Potong air?"
"Er, angkat air. Sebarang kerjalah, Juragan."
"Kau pandai dalam apa?"
"Hamba pandai memasak dan hamba mempunyai pengalaman sebagai tukang masak bertahun-tahun lamanya dan pernah berkhidmat kepada Sultan di istana Perlak. Tetapi sungguh pun begitu, hamba tidak banggakan kemuliaan itu semua. Hamba lebih suka hidup bebas semacam ini kerana hamba dah bosan hidup di sana sebagai tukang masak. Jadi hamba ambil keputusan tak mahu lagi jadi tukang masak di istana Perlak."
Juragan Singkip tertarik, berlapang dada dan benak.
"Bekas tukang masak dari istana? Apa betul?" Paragas bertanya dengan tidak sabar.
Juragan Singkip merenung Paragas seolah-olah memberitahu bahwa dia saja yang ingin menyoal Belitung.
"Betul," Belitung menjawab dengan langsung.
"Bagus!" kata Juragan Singkip gembira. "Kebetulan kena pada waktunya. Kami tak ada tukang masak."
"Oleh kerana hamba ingin membalas budi tuan hamba semua, biarlah hamba menolong," kata Belitung sungguh-sungguh. Mukanya membayangkan keikhlasannya. "Kerana hamba pun tahu sedikit sebanyak dalam perkara ini."
"Aku fikir dalam saat genting begini, harus kau menolong. Kami perlu orang seperti kau dan kami percaya yang kau dapat menolong kami," Juragan Singkip mengundang.
"Kalau betul Juragan mahukan hamba menjadi tukang masak, hamba tak keberatan. Kawan-kawan hamba semua mengatakan memang hamba boleh memasak lauk yang sedap-sedap, Juragan. Kalau Juragan tidak percaya, Juragan boleh cuba sama hamba sekarang."
"Ya, elok juga. Ada baiknya aku menguji kepandaian engkau. Kami semua lapar. Sekarang, aku berharap seperti rumput mengharapkan embun, agar segera kau sediakan makanan untuk kami. Aku mahu tengok apa yang kau boleh masak," kata Juragan Singkip senang. Kemudian suaranya menjadi memperingatkan. "Tapi ingat, kalau kau didapati membohong, kau akan dihukum dan diseksa dengan berat! Faham?!"
"Faham, Juragan," Belitung menyetujui.
"Sekarang kau pergi masak," Juragan Singkip menuntut.
"Baik, Juragan. Hamba akan buktikan segala yang hamba kata," Belitung mengiakan. "Mana dapurnya?"
"Cendana! Bawalah Belitung ini ke dapur," Juragan Singkip berkata sambil berpaling ke Cendana.
Cendana mengangguk penuh setia seraya mahu berlalu tetapi segera ditahan oleh Juragan Singkip yang menghulurkan tangannya mencegah.
"Awasi perbuatan dan pekerjaan Si Belitung," dia memperingatkan.
SETIAP sudut dapur dimasuknya. Setiap ruang dijengah. Dapur itu tampak bersih dan penuh perkakas.
"Eh, apa lagi yang kau tercegat? Jangan berdiam lagi di situ macam orang bingung!" Cendana membentak. "Kau nak cuai-cuaikan apa yang Juragan suruh buat, ya? Hah!"
Pada saat itu Gading muncul di pintu yang masih terbuka.
Waktu Gading masuk, mereka menoleh.
"Nah, ini kain baju. Kau boleh pakai. Usang sikit, tapi bersih. Pergilah salin pakaian kau," katanya setelah berdiri di hadapan Belitung.
Belitung mendekati dan memeriksanya.
Gading berpaling kepada Cendana lalu segera berkata, "Cendana. Aku ada hajat sikit nak cakap dengan kau. Bolehkah aku bercakap sama kau satu orang saja? Aku ada perkara mustahak."
Cendana angguk bersetuju. Kemudian pandangannya singgah ke wajah Belitung, lalu memerintahkan, "Belitung. Pergilah kau mandi terlebih dahulu. Nanti kau ganti pakaian dan Khalid dengan secepat mungkin."
Belitung mengangguk setuju.
Pada saat itu Putar muncul di pintu. Pada bahunya terkandas pikulan dengan dua buah keranjang kayu bakar.
Mereka semua melihat kepada Putar pada saat yang sama.
Setelah meletakkan kedua keranjang ya di lantai di sudut dapur, Putar beranjak mahu pergi, tapi suara Cendana menghentikannya. "Ha, Putar!"
Putar berpaling kepadanya. "Ya, Pendekar? Ada apa-apa yang dapat hamba tolong?"
Cendana berkata, "Bawa Belitung ke bilik mandi, ya?"
"Baiklah. Hamba menurut kata-kata Pendekar." Putar menyetujui. Kemudian dia melirik Belitung. Kepada Belitung dia berkata, "Ah, mari!"
Belitung mengangguk setuju.
Putar berbalik membelakangi semua orang dan menuju ke pintu. Kemudian dia keluar.
Belitung mengikutinya, menutup pintu di belakangnya.
Kini Cendana ditinggalkan berdua dengan Gading.
Gading mengorak langkah, bergerak ke penjuru jendela yang terbuka lebar. Menerusi jendela itu, dia melemparkan pandangan sejauh-jauh ya ke luar. Samudera biru di hadapannya ditatap sepuas hati.
Setelah berjurus-jurus lamanya senyap-sunyi, Cendana bertanya apa yang sebenarnya dicarinya, "Apa perkara mustahak yang hendak kau cakapkan? Ceritakanlah supaya aku faham "
Gading berpusing ke arah Cendana. Sekarang dia membulatkan tekadnya.
"Sebenarnya telah lama aku hendak berkata sesuatu. Apa yang aku akan terangkan pada kau tentu akan memeranjatkan kau. Tapi kau jangan marah," kata Gading sebagai menyatakan apa yang terlintas dalam fikirannya tatkala menung sebentar tadi.
"Baiklah, aku berjanji," Cendana menjanjikan. "Katakan apa dia, Gading?"
"Biarlah aku berterus-terang. Sebenarnya aku tertawan dan menyintai kau semenjak kita mula bertemu," Gading menjelaskan. "Selama ini aku seperti seorang yang kehausan di padang pasir. Cendana, mahukah kau menjawab satu pertanyaan ku?"
"Aku akan jawab kalau aku dapat."
"Sudikah kau menjadi isteri ku?"
"Aku bukan tidak suka dengan kau tetapi aku telah memilih Cemara untuk menjadi pasangan hidup ku. Tahukah kau Gading, betapa Cemara dan aku ingin membina mahligai kasih? Kami sudah janji mahu kahwin."
Muka Gading mulai murung. "O, Cemara. Dia orangnya yang kau cintai?"
"Aku tidak mencintai laki-laki lain selain Cemara."
"Bertuah nasib Cemara," keluh Gading. Dia tersenyum tawar, hatinya sebu.
"Jikalau kami sudah menjadi suami isteri esok, kami nak buat penghidupan yang baru. Jauh dari sini. Ke tempat orang tak kenal kami. Aku harap kau mengerti."
"Aku mengerti bagaimana hubungan kau dengan Cemara, tetapi sudahkah kau berputus fikiran tentang Cemara ini? Tidakkah terburu-buru sangat? Lagi pun aku kuatir kalau-kalau kau akan tertipu dalam pergaulan. Fikirlah habis-habis," ujar Gading perlahan bagaikan orang meminta simpati.
"Gading, Cemara itu sungguh baik orangnya dan aku percaya, dialah yang dapat memberikan kebahagiaan kepada ku."
"Yang sebenarnya aku cintakan kau."
"Apalah gunanya Gading, kalau bertepuk hanya sebelah tangan?"
Gading diserang rasa kosong yang sangat mencengkam.
"Kalau sudah begitu, apa boleh buat? Mudah-mudahan kau akan bahagia," katanya menahan sedih yang meruntun jiwa.
"Kau jangan berkecil hati dengan ku, Gading," Cendana bersuara lembut.
"Tak mengapa Cendana, janganlah bimbang," Gading menerangkan. "Aku tidak menyimpan dendam dan iri hati pada sesiapa pun. Sekarang, biarlah aku pergi dulu."
Dan dia pergi dengan wajah yang membayangkan dukacita. Dia berjalan ke luar, ke sinar matahari yang terang.
DI atas dek, telinga Gading menangkap suara-suara manusia berbual. Kemudian terlihat olehnya empat orang berkumpul dan leka berbual. Salah seorang daripada mereka ialah Tok Pawang.
Dia seorang lelaki tua. Rambutnya sudah beruban. Kedua pipinya cekung. Kulitnya yang kehitam-hitaman itu semakin berkedut. Pakaiannya seluruhnya berwarna hitam. Cincin banyak melekat di kedua belah jari tangannya.
Tok Pawang berkata, "Betul! Percayalah cakap aku. Orangnya tinggi. Badannya besar. Gemuk."
Terdengar suara ingin tahu, "Habis?"
"Sekali aku debik, aku cepuk. Aku kuis dengan kaki sikit aje. Dia boleh jatuh!" Tok Pawang berkata lagi.
Tok Pawang tersentak apabila disapa oleh Gading dari belakang, "Tok Pawang, mari kejap. Saya ada maksud dengan Tok Pawang."
Tok Pawang terpinga-pinga. Namun bola matanya tetap memandang ke arah Gading. Langkah pendekar itu cepat menuju ke salah satu sisi kapal yang agak tersembunyi.
Tidak lama kemudian Tok Pawang yang gaya berjalannya sudah kayu itu terkedek-kedek datang mendapatkannya. Langkah tuanya tersangkut-sangkut.
"Tok Pawang! Habis, Tok Pawang! Semua jadi habis masuk angin," cetus Gading, tiba-tiba. Kata-kata itu jelas berbaur kehampaan dan kesalan. Dia menghela nafas bagaikan ada sesuatu yang tidak menyelesakan. Menggelengkan kepalanya beberapa kali.
"Hamba tak faham. Apa maksud Pendekar?" kata Tok Pawang yang usianya sudah hampir menjangkau satu abad itu. Dia tidak faham akan maksud Gading. "Cuba Pendekar ceritakan kerana hamba hajat benar nak mengetahuinya."
Gading memandang keliling, bagaikan mahu memastikan tiada orang lain yang akan mendengar, sebelum bersuara.
"Tok Pawang mengetahui rahsia percintaan saya terhadap Cendana," jelasnya dengan nada sedih.
Tok Pawang melihat kepadanya beberapa saat, kemudian berkata, "Tiada siapa yang tahu selain daripada hamba. Kenapa? Apakah ada apa-apa kejadian yang telah berlaku, Pendekar?"
"Burung sudah dipikat orang, Tok Pawang," Gading mengadu. Wajahnya bagaikan dibelit kegelisahan.
"Siapakah orang yang Pendekar maksudkan itu?"
"Cemara," sahut Gading singkat.
"Oh, Cemara rupanya." Tok Pawang menaruh simpati dan pengertian yang mendalam.
Gading mendengus.
"Hamba faham, Pendekar. Hamba dapat merasakan bagaimana kecewanya hati Pendekar sekarang. Sekarang Pendekar di dalam keadaan susah. Kalau ada keredhaan Pendekar, hamba ingin menumpang susah itu. Hamba berjanji akan memikulnya bersama-sama. Bak kata orang, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing."
Gading mengeluh, "Perkara ini kita tidak boleh tinggal diam saja. Kita mesti putuskan perhubungan Cendana dengan Cemara. Carilah jalan Tok Pawang. Lebih lekas, lebih baik untuk saya."
"Pendekar jangan susah. Menurut tilikan hamba, Pendekar masih ada peluang dapat pikat Cendana," kata orang tua itu sambil tangan kanannya menyeluk saku seluarnya. Kemudian menunjukkan satu uncang.
"Uncang apa tu, Tok Pawang?" Gading kehairanan.
Tok Pawang tidak menjawab pertanyaan itu. Dia tunduk sambil mulutnya terkumat-kamit mengucapkan kata-kata jampi serapah yang tidak terdengar.
"Ambik serbuk ini. Masukkan dalam makanan Cemara. Nanti Cendana tengok, benci!" Tok Pawang menghulurkan uncang serbuk itu kepadanya.
Gading merasa mendapat syurga. Bibirnya menguntum senyuman. Kekusutan fikirannya beransur terlerai.
"Bagus juga rancangan Tok Pawang itu," katanya dengan girang sambil mengambil uncang serbuk. Keyakinan kian berpadu dengan aliran darahnya. "Kali ini saya mesti dapat kahwin dengan Cemara."
"Pendekar dapat kahwin dengan Cendana," kata orang tua itu sambil menyeringai dan menyambung cakapnya, "apa hal hamba?"
"Jangan susah. Saya akan kurniakan apa saja hadiah yang dikehendaki." Gading pun meninggalkan Tok Pawang dengan hati yang gembira tidak terperi.
BELUM pun habis juadah yang lazat dinikmati, pandangan Juragan Singkip dilayangkan ke sekeliling meja. Tiada terperi lagi sukacitanya Juragan Singkip melihat kawan-kawannya berselera makan nasi cara Melayu. Gulai cili padi ketam, terung goreng berlada, telur mata kerbau, sayur tauge masak air dan ulam cicah sambal memenuhi meja makan. Dimakan pula ketika nasi sedang panas.
"Oh, Dewata! Ini baru lauk betul!" serunya gembira, mengejutkan mereka dengan suaranya yang keras. Senyum lebar tersungging pada mukanya.
Dia menatap Belitung yang menghela nafas lega.
Sejenak kedua orang ini saling berpandangan.
"Belitung, engkau memang pandai masak laut yang sedap-sedap!" Juragan Singkip berkata setengah berteriak.
"Itulah Juragan. Hamba tak bercakap bohong," Belitung menekankan. "Kata hamba kata yang benar. Sedikit tidak bersalah lagi. Juragan gembirakan, Juragan?"
"Ya, Belitung. Aku sangat gembira. Kau harus diberi hadiah dan aku akan hadiahkan dua pasang persalinan buat kau " Suara nakhoda itu jelas membayangkan perasaannya yang bangga dan gembira.
"Hamba ucapkan berbanyak terima kasih, Juragan," Belitung berkata dengan tenang.
"Sungguh kebetulan. Kau terselamat untuk menjadi berguna kepada kami," getus Cemara sambil berpaling ke Belitung.
Gading memutuskan, "Mungkin perbuatan dewa-dewa."
"Hei, lanun semua!" Juragan Singkip menuntut. Kemudian dia berdiri dan memperhatikan mereka satu per satu. "Mulai hari ini, dengan rasminya aku melantik Belitung menjadi tukang masak kita dalam perlayaran kali ini. Bagaimana pikiran pendekar-pendekar semua? Setuju?"
"Sungguh molek, Juragan," Cemara menyetujui.
Cendana mengangguk, "Hamba setuju."
"Hamba pun setuju," Gading mengiakan. Kemudian dia melirik Paragas. "Bagaimana kau?"
Paragas ragu-ragu sesaat. Dia akhirnya berkata, "Kalau kau orang bersetuju, aku pun bersetujulah."
"Segala kesusahan kita sudah habis," kata Juragan Singkip dengan suara kagum. "Semua yang keruh kembali menjadi jernih."
Share this novel