Bab 22

Fanfiction Series 1842

Pengenalan cenderamata f(x) yang baru di SM TOWN telah menarik ramai peminat mereka untuk ke sana. Tidak terkecuali Kai. Dia turut menyibukkan diri dengan peminat f(x) untuk mendapatkan cop edisi terhad Krystal.

Selepas puas meronda bangunan itu, dia keluar dan pergi ke bangunan S.M dan terus ke kafe, di mana dia nampak Krystal sedang termenung seorang diri.

Tidak mahu Krystal menyedari kehadirannya, Kai perlahan-lahan menghampiri gadis itu daripada belakang dan berbisik lembut di telinganya. "Terima kasih."

Krystal yang pada masa itu sedang asyik membaca jadualnya di telefon, terkejut apabila ada orang tiba-tiba datang berbisik di telinganya. Dia tidak menjerit tetapi hampir terjatuh dari kerusinya.

"Oh my God, Shin Hee!" Krystal meluahkan kemarahannya. Satu tamparan yang kuat mendarat pada bahu lelaki itu.

"Sorry," Kai menarik kerusi kosong di hadapan Krystal.

"Awak cakap apa tadi? Terima kasih?" Walaupun dalam keadaan terkejut, telinganya masih dapat menangkap perkataan yang disebut.

"Ya. Terima kasih sebab terima bunga yang saya bagi semalam," Kai membuat pengakuan membuatkan Krystal terkejut besar.

"Jadi orang misteri tu awaklah. Saya dari semalam lagi fikir siapa orang yang bagi bunga tu dekat saya. Saya langsung tak terfikirkan orang tu ialah awak," jawab Krystal. Lega hatinya kerana orang yang memberi bunga itu ialah orang yang dia kenal. Risau juga kalau-kalau dari peminat fanatik. Victoria juga memesan kepadanya supaya berhati-hati jika dia menerima bunga yang sama sekali lagi.

"Kenapa bagi bunga?"

"Tahniah untuk kemenangan semalam," jawab Kai. Oh, barulah Krystal faham. Bunga itu tanda ucapan tahniah.

"Tapi macam mana awak tahu saya suka bunga?" tanya Krystal. Dia sebenarnya hairan kenapa lelaki itu memberikannya ros putih sedangkan kebiasaannya, orang akan hadiahkan ros merah.

"Semua orang perempuan suka bunga," jawab Kai ringkas.

"Tak semua. Macam saya, saya prefer coklat," tipu Krystal. Dia mahu menguji lelaki itu. Kai menggelengkan kepalanya.

"Saya tahu awak suka bunga ros. Ros putih. Awak tak pernah sukakan coklat," jawab Kai dengan yakin. Kali ini Krystal terkedu apabila Kai mengeluarkan sekuntum ros putih dari poket belakang seluarnya.

"Untuk awak," ujar Kai. Krystal menerima bunga itu dengan perasaan terkejut bercampur gembira.

"Terima kasih."

"Sama-sama."

Krystal mencium bunga itu. Wangi. Hatinya berbunga riang. Memang dia sukakan ros putih sejak kecil lagi. Mendiang ibunya selalu memberikannya ros putih sebab itulah dia sukakan bunga itu walaupun orang berpendapat bunga ros putih melambangkan perpisahan.

"Awak suka bunga juga kan?" tanya Krystal. Kai menjongketkan keningnya tanda kurang faham dengan soalan Krystal.

"Hari tu saya pergi rumah awak, penuh dengan bunga. Awak mesti suka bunga," jawab Krystal.

"Tak jugak. Tapi kalau saya diberi peluang untuk memilih, saya pilih Baby's Breath. Mungkin orang pelik kenapa saya pilih bunga tu sedangkan ia membawa maksud kematian dan perpisahan.

Tapi bila kita letakkan dengan bunga lain, maksudnya berubah. Contohnya, macam ros merah. Ia melambangkan cinta. Kalau kita letakkan bersama Baby's Breath?"

"Cinta sampai mati?" jawab Krystal. Dia sendiri terkejut dengan apa yang keluar dari mulutnya.

"Samalah macam ros putih dengan ros merah," ujar Krystal. Dia tersenyum.

Terasa bahagia bila dapat berborak mengenai perkara yang dia suka dengan orang lain. Sehun tidak pernah peduli akan semua bunga-bunga itu. Malah tidak pernah memberikan dia bunga walaupun sebagai tanda persahabatan, kecuali peristiwa di Perancis tempoh hari. Itu pun kerana Sehun mahu memikat hatinya. Shin Hee pula, mereka baru sahaja kenal, tetapi lelaki itu seolah sangat menghargai dirinya, dan cuba mengambil tahu apa yang dia suka.

"Awak ni kan sebenarnya tak adalah jahat sangat. Boleh aje bercakap dengan elok macam sekarang ni. Cuma kadang-kadang aje menyakitkan hati," ujar Krystal. Akhirnya meletus ketawa Kai. Dia sebenarnya agak terhibur. Bahagia hatinya melihat gadis yang dicintai tersenyum senang.

*

"Kita nak makan dekat mana?" tanya Sehun semasa dia dan Krystal masuk ke dalam kereta.

"Myeongdong," jawab Krystal. Dia tidak memandang Sehun kerana sibuk dengan telefonnya.

Sehun cuba merampas telefon Krystal kerana gadis itu tidak memberikan tumpuan kepada percakapannya.

"Janganlah kacau. Aku tengah mesej Shin Hee," Krystal mendengus tanda marah.

Sehun terkaku seketika. Dia memandang Krystal.

"Aku nak ajak dia join kita," sambung Krystal lagi. Kali ini serta-merta raut wajah Sehun berubah.

"Kenapa nak ajak dia sekali? Kan kita dah janji nak keluar berdua aje," Jelas yang Sehun tidak berpuas hati dengan tindakan Krystal yang mengajak Shin Hee untuk sertai sesi makan malam mereka.

"Suka hati akulah nak jemput siapa pun. Dia kawan aku," jawab Krystal dengan selamba.

"Kalau berdua dengan kau aje, nanti apa yang lain fikir. Tak memasal dituduh ada hubungan dengan kau," sambungnya lagi.

"Kenapa? Kau tak suka ke kalau orang fikir kau ada hubungan dengan aku?" duga Sehun.

"Tak," Krystal menjawab dengan pantas dan yakin.

Sehun tidak mampu berkata apa-apa. Dia segera menghidupkan enjin kereta dan memandu keluar dari tempar parkir itu.

"Kenapalah hari ni pulak jalan nak sesak?" rungut Krystal. Masuk kali ni, sudah lima kali dia memeriksa telefonnya. Sehun menjeling untuk melihat Krystal.

"Kita bukannya tergesa-gesa pun," ujar Sehun. Krystal berdecit.

"Tak bolehlah. Tadi Shin Hee cakap dia on the way. Mesti sekarang ni dia dah ada dekat sana. Tapi kita tak sampai-sampai lagi," jawab Krystal.

Sehun mengeluh. Dia tidak tahu apa yang telah lelaki itu lakukan sehingga Krystal berubah sebegitu. Nampaknya makin sukar untuk dia tawan hati gadis itu.

Semasa Krystal sedang membebel kepada pemilik kenderaan lain yang bersesak di atas jalan raya itu, telefonnya berdering. Ada panggilan masuk daripada Shin Hee.

"Hello?"

"Krystal, awak kat mana?" tanya Shin Hee di hujung talian.

"Saya tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Awak dah ada dekat sana ke? Maaflah saya lambat sikit sampai," ujar Krystal. Jelas nada suaranya kesal.

"Tak. Saya telefon ni nak bagitahu yang saya tak dapat nak join. Ada hal nak kena settle. Maaflah, lain kali ya kita makan sama-sama."

Riak wajah Krystal berubah. Nada suaranya juga kendur. Sehun perasan akan perubahan pada kawan baiknya itu.

"Oh, ye ke? Kalau macam tu, tak apalah. Kita keluar lain kali. Hati-hati. Bye," Krystal mematikan talian.

"Shin Hee tak dapat ikut. Dia ada hal," ujar Krystal.

Sehun cuba mengawal dirinya agar tidak tersenyum.

"Ye ke? Tak apalah. Kita makan berdua aje hari ni," jawab Sehun. Tidak tergambar rasa gembiranya pada saat itu. Dia membetulkan duduknya. Mulutnya menyanyi girang tanda dia sedang gembira.

Krystal memeluk tubuhnya. Wajahnya dihalakan ke luar tingkap. Sedikit sebanyak selera makannya hilang kerana tujuan asalnya dia mahu makan bersama Shin Hee. Tapi nak buat macam mana, tak ada rezeki pada hari itu.

*

Sesi makan malam mereka berlangsung dengan normal. Tiada apa yang istimewa kerana Krystal hilang selera untuk makan. Sehun cuba membuatkan makan malam mereka pada hari itu menjadi antara makan malam yang akan diingati oleh Krystal dengan menghadiahkan gadis itu sebuah jam tangan. Krystal tersenyum. Dia gembira tetapi jauh di sudut hatinya, dia masih kecewa. Dia mahu Shin Hee ada di situ. Mujurlah malam ini Sehun tidak berkelakuan pelik dengan meluahkan perasaan kepadanya seperti yang dia selalu lakukan. Dia sudah penat dengan semua itu. Sehun tidak pernah berputus asa.

Selepas makan, Sehun merancang mahu menonton wayang bersama, tetapi Krystal memberitahu yang dia tidak mahu pulang lewat kerana esok dia sibuk. Jadi, Sehun terus menghantarnya pulang.

Apabila kereta Sehun hilang dari pandangan, Krystal berjalan masuk ke apartment mewah itu. Semasa melepasi pondok pengawal keselamatan, seorang pengawal yang pendek memakai tag nama Ha Dong Hoon menegurnya.

"Cik Krystal."

Krystal terus berhenti dan menoleh.

"Ya, saya," jawabnya.

"Tadi ada seorang lelaki datang. Dia tinggalkan sesuatu untuk cik. Nama dia Lee Shin Hee. Dia cakap dia kawan cik. Tapi saya tak percaya jadi dia suruh saya telefon cik Victoria. Rupanya betul," ujar Dong Hoon. Dia mengambil sesuatu yang disimpan olehnya dan menghulurkan kepada Krystal.

"Ini barangnya."

Gadis itu terkejut kerana sekali lagi Shin Hee memberikannya sejambak bunga ros putih. Automatik bibirnya tersenyum lebar tanpa dapat dia kawal.

"Ya, dia kawan saya. Terima kasih," Krystal berjalan masuk dengan hati yang berbunga riang. Sekurang-kurangnya dia dapat tersenyum di akhir hari yang malang untuknya itu.

Semasa di dalam lif, dia memeluk erat jambangan bunga itu. Dia seolah nampak Shin Hee sedang tersenyum kepadanya. Ada nota kecil terselit di situ. Dia akan bacanya nanti.

Lif berhenti di tingkat tiga belas. Dia menekan kod pintu dormnya. Krystal disambut oleh Sulli yang sedang menonton televisyen di ruang tamu. Sulli terkejut melihat Krystal pulang membawa sejambak bunga di tangannya.

"Wah, ada orang bagi bunga lagi ke?" Sulli menyakat ahli termuda kumpulannya itu.

"Eonni tak tidur lagi?" Krystal cuba menukar topik walaupun jelas yang wajahnya sedang tersenyum kerana gembira. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Sulli.

"Esok free. Petang aje ada interview," jawab Sulli.

"Siapa yang bagi bunga ni? Sehun ke? Atau orang yang sama?" tanya Sulli sekali lagi tetapi dia sudah mendapat jawapannya apabila senyuman Krystal semakin melebar pada penghujung soalannya tadi. Pasti dari orang yang sama.

"Dia tahu macam mana nak buat saya gembira," jawab Krystal. Dia mencium bunga yang berada di dalam pelukannya itu.

"Ada orang dah jatuh cinta," ujar Sulli. Dia ketawa apabila Krystal menumbuk bahunya sebelum gadis itu bangun dan menghilang ke bilik tidurnya.

Krystal cuba untuk tidak membuat sebarang bunyi kerana sebaik sahaja membuka pintu, dia melihat Luna sedang tidur.

Selepas selesai membersihkan dirinya dan menanggalkan solekan pada wajahnya, Krystal duduk di mejanya yang menghadap ke arah tingkap. Dia tidak perlu membuka lampu tidur kerana cahaya bulan sudah terang apabila dia menyelak langsir tempat dia berada.

Jambangan bunga itu ditatap. Dia tersenyum lagi. Nota kecil yang terselit di dalam jambangan bunga itu diambil.

'19 kuntum ros putih untuk awak. Kuntuman terakhir sedang membaca mesej ini. Senyum selalu^^
Ikhlas, Shadow '

Tidak tergambar rasa bahagianya pada saat itu. Jantungnya berdebar-debar. Dia seakan lupa pada semua masalah dan bebanan yang dipikulnya. Mesej ringkas lelaki itu mampu membuatkan dirinya terasa seperti dialah perempuan yang paling bertuah di dunia. Tanpa dia sedari, hatinya mula terbuka untuk menerima lelaki itu.

Jambangan bunga itu diletakkan bersebelahan dengan pasu kecil yang mengandungi tiga kuntum bunga ros putih. Antara tiga kuntum itu, ada satu kuntum yang kelihatan sudah layu. Ia merupakan bunga yang Krystal cabut dari jambangan bunga Sehun di bilik hotelnya di Perancis. Batangnya sudah hampir kering dan kelopak bunganya juga sudah ada yang gugur bersamaan harapan buat Sehun untuk memikat hati Krystal yang semakin tidak jelas.

Tangannya pantas mencapai bunga yang layu itu dan membuangnya ke dalam bakul sampah di sebelah mejanya.

Krystal berbaring di katilnya. Dia memejamkan mata dan cuba untuk tidur dengan harapan Shin Hee dapat menjelma di dalam mimpinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience