Bab 21

Fanfiction Series 1839

"Tadi nampak dia masuk ke bilik tu," jawab seorang staf apabila Sehun bertanyakan di mana keberadaan Krystal.

Tanpa teragak-agak, dia terus memulas tombol dan menyerbu masuk, menyangkakan yang Krystal bersendirian di situ.

"Krystal."

Dia terkaku di hadapan pintu apabila melihat dua orang berlainan jantina sedang berpelukan di situ. Si perempuan sudah pasti Krystal. Apabila mereka berdua menoleh, dia sekali lagi terkejut kerana si lelaki ialah Shin Hee.

Krystal terkejut dengan kehadiran Sehun yang tidak dijangka itu. Dia cepat-cepat melepaskan pelukan Shin Hee. Air matanya disapu sebelum dia memasang wajah ceria dan menyapa Sehun.

"Sehun, kau cari aku ke?" Krystal berdiri dan menghampiri Sehun.

"Aku nak ajak kau balik," ujar Sehun walaupun dia masih terkejut.

"Maaflah, kitorang ada hal nak dibincangkan tadi," Kai cuba menjelaskan apa yang berlaku walaupun dia tahu ia sia-sia kerana Sehun sudah pun nampak keadaan mereka semasa dia masuk tadi.

"Sampai berpeluk?" soal Sehun dengan sinis. Krystal mula menghidu perbalahan akan berlaku. Dia mesti hentikannya.

"Tak ada apalah, Sehun. Tadi aku cuma sedih sebab teringatkan Kai. Kau tahu kan muka Shin Hee macam Kai. Sebab tu aku sedih. Jangan risaulah. Tak ada apa antara aku dengan Shin Hee," jelas Krystal.

Sehun tidak berkata apa-apa. Dia memeluk bahu Krystal untuk menariknya keluar dari situ. Satu jelingan sempat diberikan kepada Shin Hee.

*

Sudah seminggu sejak Kai membuka topengnya, namun segelintir netizen Korea masih memperkatakan mengenai perkara itu. Apa tidaknya, dia mendedahkan wajahnya yang menyerupai wajah seorang koreografer yang kemalangan dua tahun yang lepas sedangkan hakikatnya dua orang itu adalah orang yang sama.

Di bangunan S.M. Entertainment pula, dia masuk sahaja ke dalam bangunan itu, semua mata tertumpu kepadanya. Itu belum lagi jika dia hendak masuk ke dalam lif. Semua orang memandangnya seolah dia pernah membunuh seseorang.

Menjelang malam selepas penat menari, Kai mengambil bas untuk ke suatu tempat.

Sehun dan Krystal pula meluangkan masa dengan mengambil angin di taman di Sungai Han.

Angin yang bertiup menambahkan kesejukan yang sedia ada. Krystal memeluk tubuhnya. Walaupun sudah memakai baju yang tebal, dia tetap merasa sejuk.

"Krystal, kau masih cintakan Kai?"

Mereka berdua duduk di bangku dan menghadap ke arah sungai. Krystal memandang Sehun. Tidak menyangka soalan serius itu akan keluar dari mulut Sehun sedangkan mereka sedang bergelak ketawa sebelum itu.

"Aku tak akan berhenti mencintai dia, Sehun. Dia cinta pertama aku dan sampai bila-bila pun akan jadi cinta pertama aku," jawab Krystal. Kali ini dia lebih tenang apabila berbicara mengenai Kai.

"Macam mana dengan cinta terakhir?" soal Sehun. Dia cuba menarik perhatian Krystal dan dia yakin gadis itu faham akan perkara yang hendak disampaikan.

"Sehun, aku..." Krystal kehilangan kata-kata. Sudah berkali-kali dia memaklumkan kepada Sehun yang dia belum bersedia untuk menjalinkan sebarang hubungan cinta dengan sesiapa. Tetapi Sehun seperti tuli akan semua itu. Sehun tidak henti-henti memujuk dirinya. Dia tidak tahu bagaimana hendak membuat lelaki itu faham.

"Krystal, kau kena buka pintu hati kau untuk orang lain. Sampai bila kau nak hidup di bawah bayangan Kai. Dia dah tak ada. Kau tak boleh hidup macam ni," Sehun cuba memujuk Krystal.

Bibirnya sudah bertukar kebiruan kerana cuaca yang sejuk tetapi dia tidak menghiraukan semua itu. Krystal risau melihat keadaan Sehun. Dia melepaskan jaket tebal yang dipakai dan memberikannya kepada Sehun. Sehun tidak dapat menolak kerana Krystal memaksanya memakai jaket hitam itu.

"Cuaca makin sejuk. Jomlah balik," Sehun bangun tetapi Krystal masih duduk di situ.

Sehun berhenti dan memandang Krystal. Dia mengangkat keningnya.

"Kau tak nak balik ke?"

Krystal merenung air sungai sambil menggelengkan kepalanya.

"Kau baliklah dulu. Aku nak duduk dekat sini sekejap. Nak ambil angin," jawab Krystal. Sehun tidak mahu bertanya lebih panjang.

Tanpa berkata apa-apa, Sehun membuka kembali jaket yang dipakainya dan meletakkan jaket itu di atas bahu Krystal.

"Sejuk. Aku tak nak kau sakit," ujar Sehun apabila Krystal memandangnya. Satu senyuman tergaris di bibir gadis itu membuatkan Sehun berasa sedikit lega.

"Terima kasih."

"Aku balik dulu," Sehun masuk ke dalam kereta dan terus pulang.

Hampir lima belas minit Krystal duduk termenung di situ. Awan kelabu mula berarak ke kawasan itu. Baru sahaja Krystal bangun, air hujan mula menitis menimpa wajahnya. Dia cepat-cepat berlari untuk mencari tempat untuk berteduh sebelum dia bermandi hujan di situ dan demam keesokan harinya. Victoria pasti memarahinya kerana masih lagi keluar walaupun jelas cuaca malam itu sejuk.

Matanya tertangkap satu perhentian bas tidak jauh dari situ jadi dia cepat-cepat membawa tubuhnya ke sana. Setibanya di situ, dia tidak berseorangan. Ada seseorang sedang tidur di bangku itu dan apa yang melegakan hati Krystal, ataupun tidak, orang itu ialah Shin Hee. Dia tertanya-tanya apa yang lelaki tu buat dekat situ. Takkan dia datang ke sini semata-mata nak tidur kat tempat ni, Krystal bermonolog.

Dia hendak duduk di bangku itu tetapi Shin Hee telah mendominasi bangku itu dan hanya meninggalkan ruang yang sempit untuk Krystal duduk. Jadi, dia menolak tubuh lelaki itu agar memberinya ruang tetapi Shin Hee langsung tidak memberikan respons.

Rambutnya diselitkan di belakang telinganya. Kali ini Krystal menarik tangan Shin Hee supaya bangun dan berjaya membuatkan lelaki itu bengang. Satu dengusan kedengaran.

"Bangunlah! Saya pun nak duduk jugak. Tempat ni bukan awak punya," marah Krystal sambil menarik tangan Kai.

Kai bangun dan merenung Krystal.

"Bisinglah! Orang nak tidur pun tak senang. Tempat ni pun bukannya awak punya," balas Kai kembali. Dia tidak mahu kalah kepada perempuan itu.

Untuk menunjukkan rasa bengangnya kepada Krystal, Kai menutup kepalanya dengan hood jaketnya, kedua tangannya dimasukkan ke dalam poket jaketnya dan dia segera berjalan pergi sambil meredah air hujan yang turun dengan lebatnya.

Krystal memerhatikan lelaki itu hilang dari pandangannya.

"Pelik betullah dia tu," ujarnya.

*

Kai muncul di BBQ Olive Chicken Store semasa Sehun sedang bercakap dengan seseorang di telefon. Sehun menyapanya menggunakan isyarat tangan dan menyuruhnya duduk. Kai memakai topeng penutup mulut kerana dia demam.

"Kenapa kau pakai topeng?" tanya Sehun.

"Demam," jawab Kai sepatah.

"Kenapa kau tiba-tiba nak jumpa aku hari ni?" tanya Kai. Dia naik hairan apabila Sehun menghubunginya dan mahu berjumpa pada hari itu. Ia pelik kerana Sehun tidak pernah menghubunginya pada hari minggu semata-mata untuk berjumpa di luar kerana dia tahu lelaki itu tidak sukakan dirinya.

"Aku ada benda nak bincang dengan kau. Aku tahu kau seorang aje yang boleh tolong aku," ujar Sehun.

Kai mengacau air yang berada di hadapannya menggunakan penyedut minuman. Rasa curiganya semakin menebal kerana Sehun tidak pernah membelikan dia air.

"Melihat dari kesanggupan kau belanja aku air, aku rasa masalah kau tu serius," ujar Kai.

"Memang serius, dan air tu aku tolong order aje. Bayar asing-asing," jawab Sehun dengan selamba.

Kai hampir tersedak air yang disedutnya. Dia mengelap bibirnya dengan tisu.

"Kau tetap tak berubah," ujar Kai. Entah dia sedar atau tidak apa yang disebutnya.

"Apa dia?"

"Tak ada apalah. So, apa masalah kau?" Kai cuba menukar topik.

"Macam ni, semalam aku keluar dengan Krystal ke Sungai Han," Sehun mula bercerita.

"Aku tahu," ujar Kai membuatkan Sehun terkejut.

"Kau tahu? Macam mana kau tahu?" tanya Sehun. Dia agak terkejut. Mustahil lelaki itu sanggup mengekorinya sehingga ke Sungai Han.

"Aku ada dekat sana," jawab Kai dan sekali lagi membuat Sehun terkejut.

"Aku kebetulan ada dekat situ tengah tunggu bas. Kenapa kau tinggalkan dia seorang diri dalam kesejukan dekat situ?

Aku bukannya nak marah ke apa. Tapi rasa geramlah juga bila dia datang ganggu aku tidur pula," ujar Kai. Tenang sahaja wajahnya. Sehun pula yang tercengang.

"Kau... Okey apa pun sebabnya aku tak nak tahu. Kau dengar cerita aku ni dulu. Macam yang kau dah tahu aku sukakan Krystal," ujar Sehun dengan penuh yakin.

"Okey. Lagi?"

"Bukan setakat suka, aku cintakan dia. Dah tujuh tahun aku pendam perasaan aku. Dah tiba masanya dia tahu dan terima aku. Tapi aku kecewa bila dia tolak aku. Ini bukan kali pertama aku luahkan dekat dia," Jelas nada kecewa dalam setiap patah katanya.

"Jadi, masalahnya apa?"

"Aku tahu kau takkan percaya apa yang aku nak cakap ni, tapi Shadow, aku perlukan pertolongan kau," Sehun menatap wajah lelaki di hadapannya. Matanya menikam pandangan Kai.

"Jadi sekarang ni kau nak minta tolong aku dapatkan Krystal sebab dia dah berkali-kali reject kau walaupun kau dah tujuh tahun menaruh perasaan dekat dia. Macam tu?"

Sehun mengangguk dengan laju.

"Maaf, aku tak boleh tolong."

Sehun terkedu. Tangannya yang ditongkat pada bucu meja, terjatuh ke bawah.

"Kenapa?"

"Aku tak suka mencampuri urusan peribadi orang lain. Kau ingat aku ni pakar cinta ke?"

"Dengar sini, Kai- Maksud aku Shin Hee. Apa-apa ajelah," Kai terkejut apabila Sehun memanggil nama sebenarnya. Tapi dia cuba berlagak biasa. Sehun tidak tahu bagaimana dia boleh menyebut nama itu. Mungkin dia keliru kerana lelaki itu muncul dengan wajah Kai.

"Aku sangat cintakan dia. Aku tak nak kehilangan dia. Aku harap sangat kau tolong aku. Aku akan buat apa sahaja kalau kau tolong aku," Sehun meninggalkan imej coolnya semata-mata hendak mendapatkan Krystal.

"Contohnya?"

"Kau cakaplah kau nak apa. Aku akan bagi. Aku janji," ujar Sehun dengan bersungguh-sungguh.

"Maaflah, tapi benda yang aku nak tu kau takkan dapat bagi dekat aku melainkan aku sendiri yang usahakan. Aku dengar yang Kai bekas teman lelaki Krystal. Walaupun dia dah tak ada, Krystal masih cintakan dia. Aku rasa kau tak cukup usaha lagi untuk dapatkan dia. Jangan jadi macam Kai, tapi cuba buat apa yang Kai tak boleh buat, tapi kau boleh. Mungkin dia akan tersentuh," Kai menghabiskan airnya. Dia bangun dan menepuk bahu Sehun sebelum keluar dari situ.

*

F(x) membuat kemunculan semula dengan lagu baru mereka, 5 Walls. Lagu tersebut mendapat banyak pujian daripada netizen. Malah, ada yang menjadi peminat mereka.

Kemenangan pertama 5 Walls adalah di Music Bank semalam. Jadi, hari ini mereka berlima keluar makan di kafe dalkkom untuk meraikannya. Perbelanjaan pada hari itu semuanya ditanggung oleh Krystal atas rasa terima kasih untuk segala usaha mereka yang membuahkan hasil.

Sedang mereka seronok berborak dan makan, datang seorang pelayan lelaki menghampiri meja mereka.

"Cik Krystal," sapa pelayan itu. Krystal terus berpaling.

"Ya, saya?"

Mereka berlima terkejut apabila lelaki itu menghulurkan sekuntum bunga mawar putih kepadanya.

"Ada orang yang bagi."

Bunga ros putih itu bertukar tangan.

"Siapa yang bagi?" tanya Krystal kepada pelayan itu. Namun pelayan muda itu tidak menjawab malah dia tersenyum dan meminta diri.

Amber dan Sulli mengusik Krystal dan memberitahu bahawa mereka cemburu kerana Krystal sudah ada peminat rahsia. Krystal menafikan perkara itu. Dia masih memegang bunga itu dan perlahan-lahan senyuman terukir di bibirnya.

Sepasang mata sedang memerhatikan sekumpulan gadis sedang makan di dalam kafe itu. Dia tersenyum senang kerana bunga yang diberi telah sampai ke tangan si gadis bertuah itu.

*

"Macam tak percaya yang kita menang hari ni. Esok kena kerja keras lagi," ujar Luna semasa dia masuk ke biliknya. Dia membuka ikatan pada rambutnya. Matanya memandang Krystal yang sedang termenung di tepi tingkap.

"Masih ingatkan orang misteri tu lagi ke?" tanya Luna kepada Krystal. Dia merebahkan badannya di atas tilam yang empuk itu. Rasa bahagia yang tidak dapat digambarkan kerana dapat merebahkan diri di atas katil setelah seharian penat berkejar ke sana dan ke sini.

"Saya tertanya-tanya kenapa dia bagi bunga ros putih dan bukan merah. Siapa agaknya lelaki ni ya?" Krystal menjawab namun lebih kepada bercakap dengan dirinya sendiri.

"Mana tahu perempuan yang bagi," sampuk Luna.

"Eonni!"

Luna ketawa mengekek kerana dapat mengenakan Krystal.

Krystal menongkat dagunya. Dia menatap bulan yang sangat cerah pada malam itu. Bilik mereka juga menjadi terang sedikit daripada biasa akibat disimbahi cahaya bulan.

Bunga ros putih itu diletakkan di dalam pasu kecil dan diletakkan di tepi tingkap. Dia tidak tahu siapa gerangan si pengirim bunga itu tetapi siapa pun orangnya, dia telah berjaya membuatkan hatinya berbunga riang, dan Krystal jarang merasai pengalaman sebegitu. Dia berharap sangat yang dia dapat menemui orang itu dan mengucapkan terima kasih kerana telah membuatkan harinya lebih baik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience