Bab 16

Fanfiction Series 1839

Krystal keluar ke kedai bunga. Hari itu merupakan hari lahir Yuri. Jadi dia bercadang mahu menghadiahkan bunga kepada ahli kumpulan Girls' Generation itu.

Sedang Krystal sibuk melihat bunga ros merah di salah satu rak di situ, belakangnya berlanggar dengan seseorang. Dia meminta maaf dan berpaling untuk melihat siapa yang telah dia langgar.

Kai memusingkan badannya dan melihat Krystal berada di belakangnya. Masing-masing terkejut.

Kai meminta maaf dan menghulurkan tangannya. "Saya Lee Shin Hee."

Krystal tidak menyambut huluran tangan Kai malah dia meminta diri kerana Kai menghalang jalannya.

"Boleh bagi laluan tak?" tanya Krystal. Tiada langsung nada mesra. Entah kenapa dia langsung tidak teruja untuk berkenalan dengan orang yang menjadi topik hangat di syarikatnya sekarang. Semua orang bercakap mengenai lelaki itu. Di situ Shadow, di sini Shadow. Setiap pelosok bangunan itu orang menyebut nama Shadow. Menyampah!

"Panjangnya nama awak," ujar Kai cuba mengenakan Krystal. Dia masih berdiri di tempatnya dan tidak membenarkan Krystal meninggalkan tempat itu.

"Apa awak nak?" Krystal menyilangkan kedua belah tangannya. Wajahnya langsung tidak kelihatan teruja ataupun gembira.

"Pelik cara awak perkenalkan diri. Saya hulurkan tangan langsung tak disambut. Tapi saya suka orang macam awak ni. Banyak kejutan."

Selamba sahaja Kai mengenakan Krystal. Wajah gadis itu sudah merah kerana menahan marah.

Krystal menolak tubuh Kai ke tepi dan dia terus pergi dari situ. Kai hanya memandang gadis itu pergi sambil tersenyum penuh makna.

*

Sejak pertemuan yang tidak dirancang di kedai bunga tempoh hari, Krystal sering terserempak dengan Kai di mana-mana. Semalam dia sedang seronok bermain bowling bersama rakan-rakannya tetapi datang Kai mengganggunya. Lelaki itu berjaya menarik perhatian rakan-rakannya dan mereka semua mengabaikan dirinya. Akhirnya dia hanya dapat bermain satu pusingan dengan tenang sebelum dia membuat keputusan untuk pulang dengan alasan penat.

Punggungnya dihenyak di sebelah Amber. Wajahnya masam dan hatinya sakit. Buat masa itu, tiada apa yang dapat menggembirakan hatinya.

"Kenapa ni?" tanya Amber. Krystal tidak menjawab malah dia menyandarkan tubuhnya ke belakang dan memejamkan matanya. Dia berdecit apabila Amber menolak bahunya dan memaksa dia menceritakan apa yang telah berlaku.

"Ni mesti jumpa dengan Shin Hee lagi kan?" duga Amber. Tindakan Krystal yang hanya mendiamkan diri itu sudah memberikan Amber jawapan.

"Kau ni tak habis-habis nak bergaduh dengan dia. Kau suka dia ke?"

"Bukan bergaduh tapi dia yang cari pasal dulu. Tak habis-habis nak kacau hidup orang. One more thing, jangan nak merepek. Saya ni nak tengok muka dia pun menyampah, buat apa buang masa nak suka dekat orang macam tu? Dahlah tak reti langsung nak hormat dengan perempuan," Krystal akhirnya meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Kesal dengan sikap Kai yang langsung tidak menghormati dirinya sebagai seorang perempuan. Dia pun ada hati dan perasaan juga.

"Apa yang dia dah buat ni?" tanya Amber.

"Adalah," Krystal cuba berahsia.

"Cepat bagitahu. Tadi beria marah-marah, bila aku tanya, menggedik pula nak berahsia. Cepat bagitahu, kalau tak aku bagitahu Sehun kau suka Shin Hee," ugut Amber. Krystal mencebikkan bibirnya.

"Dia ambil air kopi saya," ujar Krystal dengan perlahan. Suaranya kendur.

"Dia apa? Dia ambil apa?" tanya Amber sekali lagi. Dia ingin memastikan apa yang dia dengar adalah betul.

"Dia kacau saya masa dekat pantri. Saya letak air kopi dekat atas kaunter lepas tu dia ambil," jawab Krystal.

Amber meraup mukanya dengan perasaan yang kesal. "Oh my God, Krystal."

"Disebabkan secawan kopi aje kau nak mengamuk macam ni?" Amber masih tidak percaya dengan apa yang baru diberitahu oleh Krystal.

"Sejak bila kau jadi macam ni, Krystal? Aku tak percaya kau boleh marah-marah disebabkan benda kecil macam tu," ujar Amber. Krystal memuncungkan mulutnya.

"Bagi eonni memanglah benda kecil. Tapi, ia melibatkan maruah saya. Air muka saya. Kalau orang nampak, mungkin mereka fikir saya sengaja buatkan air untuk dia. Jatuhlah reputasi saya!"

"Kenapa pula reputasi kau jatuh disebabkan kopi tu?"

"Yelah, sebab saya tak suka dia!" Suara Krystal kembali tinggi. Dia geram kerana Amber langsung tak menyebelahi dirinya.

"Tak fahamlah aku dengan kau ni. Dahlah aku nak balik. Dah pukul sebelas ni. Kau jangan nak merayau sampai tengah malam," Amber memberi amaran kepada Krystal kerana dia tahu perempuan itu suka pulang lambat. Kadang-kadang tidur di bilik latihan.

*

Walaupun menggunakan identiti lain, tetapi dirinya yang sebenar masih sama. Kai menghabiskan masa empat jam berlatih sendirian di bilik bawah tanah bangunan S.M. Dia suka duduk di situ kerana sunyi dan tenang. Pukul sebelas setengah baru dia keluar dari situ dan menuju ke keretanya.

Kai terdengar bunyi tapak kasut semasa dia hendak masuk ke dalam kereta. Dia berdiri di sebelah keretanya dan memerhatikan keadaan sekeliling untuk melihat jika ada seseorang di situ.

Kemudian, dia ternampak susuk tubuh seseorang turun daripada tangga dan berjalan ke arah tempat dia memakirkan keretanya. Rasanya orang itu tidak perasan akan keberadaan dirinya kerana dia berjalan sambil memandang telefonnya.

"Ehem!" Kai berdehem.

Krystal terkejut apabila dia terdengar bunyi seseorang berdehem. Dia mengangkat wajahnya dan ternampak seseorang sedang bersandar pada pintu keretanya.

"Shin Hee," ujar Krystal. Tetapi dia tidak berminat untuk menegur lelaki itu jadi dia menyambung langkahnya.

"Nak balik naik apa?" tanya Kai. Krystal mematikan langkahnya. Dia menoleh.

"Kalau saya balik naik UFO sekalipun, apa kaitannya dengan awak?" tanya Krystal.

"Mestilah saya kisah. Sebab orang macam awak ni tak boleh dibiarkan seorang diri waktu macam ni. Bahaya," jawab Kai. Krystal mencebikkan bibirnya. Nak cari modal nak mengayatlah tu. Macam aku heran, kutuknya di dalam hati.

Krystal tidak membalas kata-kata Kai. Dia memusingkan badannya ke hadapan. Tetapi suara Kai kembali bergema.

"Sekarang ni salji turun. Dengan pakaian awak macam tu, sanggup ke awak nak tunggu teksi yang entah bila akan berhenti tu?" Kai cuba mengumpan Krystal untuk balik bersamanya.

"Saya lagi sanggup mati kesejukan dekat luar tu daripada terpaksa naik kereta dengan awak."

"Maaflah, tapi saya sensitif sikit dengan perkataan mati. Tapi kalau awak berdegil jugak nak balik dengan teksi, matilah saya kalau awak mati kesejukan dekat luar tu. Kita sekarang sedang diperhatikan oleh CCTV. Kalau saya biarkan awak tunggu dekat luar tu, saya boleh jadi suspek utama kalau jadi apa-apa dekat awak. Saya tak nak masuk penjara disebabkan kedegilan awak tu."

Sebaik sahaja Kai selesai berkata-kata, Krystal sudah berdiri di sebelah keretanya. "Jangan nak merepek boleh tak?"

Krystal masuk ke dalam kereta dan menghempas kuat pintu kereta. Kai bersorak gembira. Misinya berjaya.

Sepanjang perjalanan, Krystal tidak bercakap langsung. Wajahnya juga dipalingkan ke luar tingkap. Dia tidak mahu memandang wajah lelaki yang menyakitkan hati itu.

Semasa tiba di lampu isyarat, Krystal hendak berkata sesuatu, tetapi Kai pantas menyalakan signal di sebelah kanan. Selepas lampu bertukar hijau, dia terus membelok keretanya ke sebelah kanan untuk membuat pusingan U. Lidah Krystal kelu. Kemudian sekali lagi dia hendak berkata sesuatu tetapi Kai terlebih dahulu memberikan signal ke sebelah kiri bahu jalan dan berhenti di hadapan sebuah apartment.

Krystal melihat sekeliling. "Macam mana awak tahu saya tinggal dekat sini?"

"Saya kan Shadow. Saya sentiasa ada dengan awak. Saya akan ikut ke mana sahaja awak pergi," jawab Kai bersama dengan satu sengihan di bibirnya. Krystal menggelengkan kepala. Malas dia hendak melayan perangai pelik lelaki itu.

"Macam bagus," ujarnya. Dia terus keluar daripada kereta.

Kai menurunkan cermin kereta.

"Sama-sama," sindir Kai kerana Krystal lupa hendak mengucapkan terima kasih kepadanya.

Krystal menghadiahkan satu jelingan yang cukup tajam kepada Kai lalu dia terus berjalan pergi.

*

"Selamat pagi," Sehun menyapa Kai yang sedang membancuh air di pantri.

Kai menoleh apabila mendengar ada orang menyapanya. Dia tersenyum.

"Awalnya datang," ujar Sehun. Dia mengambil air kosong dan meneguknya sambil bersandar pada peti sejuk.

"Banyak benda yang boleh dibuat pada awal pagi macam ni," jawab Kai.

"Contohnya?"

"Drama."

"Drama?" Kening Sehun bercantum.

Pada masa yang sama, seseorang menolak pintu pantri. Krystal terkejut melihat Kai dan Sehun ada di dalam ruangan itu. Kerana sebelah kakinya sudah berada di dalam, terpaksalah dia masuk walaupun dia malas hendak berhadapan dengan Kai. Dia masih marahkan lelaki itu kerana memaksanya untuk pulang bersama.

Krystal mengeluarkan gelas dari dalam kabinet. Dia tidak menghiraukan mereka berdua dan berharap yang tiada salah seorang daripada mereka terutamanya lelaki yang memakai baju hitam yang sedang bersandar pada kaunter sambil memerhatikan dirinya itu menegurnya.

"Tidur lena ke malam tadi?" tanya Kai. Sehun memandang Kai.

Krystal tercari-cari di mana letaknya gula sedangkan benda itu tersorok di sebalik tubuh Kai kerana dia menggunakannya untuk membancuh airnya sebentar tadi. Kai tahu apa yang dicari oleh Krystal jadi dia menghulurkan bekas gula tersebut.

"Terima kasih," jawab Krystal sambil dia mengambil bekas gula daripada Kai namun lelaki itu tidak melepaskan bekas itu daripada pegangannya.

"Satu lagi," ujar Kai membuatkan Krystal hairan.

"Apa dia?"

"Terima kasih. Awak berhutang dengan saya," ujar Kai membuatkan Krystal dan Sehun hairan.

"Awak berhutang dengan saya semalam. Ingat tak?" Kai menjongketkan kening sebelah kanannya. Krystal menghadiahkan satu jelingan yang tajam.

"Kejap, kejap. Hutang? Semalam? Apa ni? Apa yang jadi semalam?" Sehun mencelah. Jelas yang dia sedang cemburu.

"Tak, semalam aku-"

"Balik dengan aku," celah Kai.

"Dia hutang terima kasih dengan aku. Bukannya benda besar pun. Cuma nampak tak sopan bila dah tumpang kereta orang lepas tu pergi macam tu aje. Langsung tak ucap terima kasih," jawab Kai seolah menyindir Krystal.

"Krystal... balik dengan kau...?"

"Ya. Dia tumpang aku," jawab Kai. Sehun pantas memandang Krystal.

"Mana ada. Dia yang paksa aku naik kereta dia. Aku nak balik dengan bas," Krystal cuba mempertahankan dirinya.

"Semalam aku nak hantar kau balik, tapi kau tolak. Kau lagi sanggup balik dengan bas daripada naik kereta dengan aku. Tapi sekarang ni Kai bagitahu yang kau balik dengan dia. Kau memang tak suka aku ke?" Sehun berasa terkilan dengan layanan Krystal terhadap dirinya. Padahal dia baru mengenali Shadow tetapi sudah berani pulang bersamanya.

"Bukan macam tulah. Aku... aku," Krystal mulai cemas. Dia tahu Sehun sedang cemburu. Lelaki itu susah dipujuk. Di dalam hati dia sudah mengutuk Shadow kerana menimbulkan masalah sebegitu.

Sehun keluar dari situ meninggalkan Kai dan Krystal. Kai sudah mengagak apa yang akan berlaku seterusnya. Dia sudah bersedia.

"Awak ni memang suka cari pasal dengan saya, kan? Apa masalah awak sebenarnya? Saya tak fahamlah. Tak boleh ke awak biarkan saya hidup dengan tenang untuk sekali aje. Awak jangan nak rosakkan hubungan saya dengan Sehun," Krystal meluahkan kemarahannya terhadap Kai.

"Hubungan? Hubungan yang macam mana yang awak maksudkan?"

"Hubungan antara saya dengan Sehunlah. Awak tak perlu tahu semua tu. Ini hidup saya."

"Kalau awak maksudkan hubungan persahabatan, saya rasa awak tak perlu semarah ini. Tapi kalau hubungan yang awak maksudkan tu ialah hubungan cinta, saya kasihankan Sehun sebab cinta dia bertepuk sebelah tangan. Awak tak cintakan dia, Krystal. Saya betul, kan?" Kai mendekatkan wajahnya menghampiri wajah Krystal. Gadis itu cuba mengelak daripada menatap mata Kai.

"Saya..."

Krystal mengawal ekspresi wajahnya. Dia berlagak tenang.

"Saya sayangkan dia. Lebih dari seorang kawan."

"Buktikan," ujar Kai.

Krystal menjeling Kai tajam. Dia mengambil gelas airnya dan keluar dari situ. Kai ketawa sebaik sahaja Krystal keluar.

"Krystal... Krystal. Perangai degil tu tak pernah nak berubah."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience