Bab 17

Fanfiction Series 1839

Kata-kata yang tidak enak didengar keluar dari mulutnya saat dia menutup pintu bilik latihan dari dalam. Krystal mengutuk dirinya kerana tidak dapat mengawal kemarahannya di hadapan Kai. Dia sepatutnya tahu yang lelaki itu sengaja mahu mencari pasal dengannya. Lelaki itu sengaja mahu menimbulkan kekecohan.

Gelas air diletakkan di atas meja. Tubuhnya direbahkan di atas sofa. Dia sangat kesal kerana mengenali lelaki bernama Lee Shin Hee.

Krystal fikir dia patut hubungi Sehun. Dia segera mengeluarkan telefonnya dan mendail nombor Sehun. Dia berasa lega kerana Sehun menjawab pada deringan pertama.

"Kalau kau nak cakap soal tadi, datang jumpa aku di bilik latihan di tingkat lima."

Tutt!

Krystal memandang telefonnya. Masih terkejut dengan apa yang berlaku. Semuanya berlaku dengan pantas. Dia tidak sempat berkata apa-apa tetapi Sehun sudah mematikan talian. Nampaknya Sehun betul-betul marah.

Dengan sebuah keluhan, dia bangun dan keluar dari situ untuk berjumpa Sehun.

*

Selepas selesai minum, Kai keluar dari pantri dan menuju kep arah lif. Dari jauh, dia sudah nampak susuk tubuh Krystal dari belakang yang sedang menunggu lif. Dia langsung tiada niat untuk berpatah balik ataupun mengelak walaupun dia punca pergaduhan antara Krystal dan Sehun.

Krystal cuba mengawal perasaannya apabila dia sedar yang Kai berdiri di sebelahnya. Mereka berdua masuk ke dalam lif dan Krystal segera menekan butang untuk ke tingkat lima.

"Pakai topeng. Macam bagus! Macam kacak sangat nak sorok muka tu. Entah muka tu buruk. Sebab tu nak sorok. Datang entah dari mana, nakkan perhatian dekat sini," pedas kata-kata Krystal menusuk masuk ke gegendang telinga Kai. Berdesing telinganya. Kai mendekati Krystal. Tangan kirinya diletakkan pada dinding sekaligus memerangkap Krystal di satu sudut. Matanya menikam anak mata Krystal. Krystal terkaku di tempatnya. Dia membalas renungan mata Kai tetapi dia tidak kuat. Krystal terkejut apabila Kai mencengkam dagunya dan memaksa Krystal memandangnya apabila gadis itu cuba melarikan pandangannya.

Ting!

Lif tiba di tingkat lima. Kai kembali berdiri dengan tegak. Dia menjauh daripada Krystal. Dia mempersilakan Krystal keluar saat pintu lif terbuka disertakan dengan sebuah senyuman seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku di antara mereka. Krystal membetulkan rambutnya sebelum dia keluar dari situ dengan wajah yang bengang.

*

"Kau terfikir tak apa yang aku tengah fikir sekarang?" tanya Sang Min kepada Ryu Jin. Ryu Jin yang sedang bermain dengan telefonnya, segera memandang kawan baiknya itu. Sang Min sedang memerhatikan seseorang dan orang itu ialah Shin Hee.

"Apa dia? Manalah aku tahu apa yang kau tengah fikir," jawab Ryu Jin.

"Shin Hee ingatkan aku dekat seseorang."

Mereka berdua memandang ke arah lelaki bertopeng yang sedang menari itu.

"Orang yang aku boleh bayangkan sekarang cuma seorang. Kai," ujar Ryu Jin.

"Itulah yang aku maksudkan. Kau tengok tarian dia. Sama macam Kai. Teknik yang dia gunakan. Tapi ada yang sedikit lain. Dia mahir dalam tarian bebas. Benda yang Kai jarang buat."

"Yelah. Ada bezanya. Tapi kau tak boleh nak bandingkan mereka berdua. Semalam aku tengok dia cuba mengayat staf di kafe. Lepas tu dia langsung tak mesra. Apa yang keluar dari mulut dia tu selalu aje nak menjatuhkan orang lain. Aku tak bolehlah bekerja dengan orang macam tu," ujar Ryu Jin apabila dia teringatkan peristiwa semalam. Lelaki bertopeng itu memuji pekerja di kafe dengan berlebihan membuatkan gadis itu tersipu malu. Memang sangat lain dengan perangai Kai.

"Dia mungkin mahir menari macam Kai. Tapi dia takkan jadi orang yang sama," ujar Sang Min.

*

Sehun meneguk air selepas penat menari. Dia masih melancarkan perang dingin ke atas Krystal selepas peristiwa di pantri semalam.

Pada masa itu, Krystal masuk ke situ secara tiba-tiba. Sehun tidak menjangkakan kemunculan gadis itu. Dia hampir tersedak air minumannya. Sehun cepat-cepat membelakangi Krystal dan berpura-pura sibuk dengan telefonnya.

"Sehun," sapa Krystal namun tidak dilayan.

Krystal duduk di hadapan Sehun. Sehun cuba untuk menampakkan seperti dia tidak selesa berhadapan dengan gadis itu. Dia mengambil topi dan berbaring di situ. Wajahnya ditutup dengan topi.

"Ah, penatnya," ujar Sehun sebelum dia berpura-pura tidur.

Krystal sangat kecewa dengan layanan Sehun dan sikap dingin lelaki itu terhadap dirinya. Pasti Sehun sangat marah kerana dia tidak pernah melihat Sehun bersikap sebegitu sepanjang perkenalan mereka.

"Sehun, aku sayangkan kau dan aku tak nak lukakan hati kau. Aku minta maaf kalau kau terguris dengan perbuatan aku," ujar Krystal perlahan sebelum dia bangun dan keluar.

Beberapa saat kemudian, Sehun membuka kembali topinya. Dia memandang pintu yang tertutup rapat. Satu keluhan yang berat dilepaskan. Kata-kata Krystal berjaya menyentuh hatinya.

"Maafkan aku, Krystal. Aku buat semua ni sebab aku terlalu sayangkan kau."

*

Satu hari, Krystal sedang makan berseorangan di kafe. Suasana kafe agak lenggang pada tengah hari itu. Mejanya terletak hampir dengan bar makanan. Jadi, sesiapa yang datang untuk mengambil makanan di situ, dia dapat melihat semuanya.

Sedang dia asyik makan, matanya dihalakan ke arah lif yang berhampiran. Kunyahannya terhenti apabila dia melihat Kai keluar dari pintu lif yang terbuka. Selera makannya terus mati.

Lelaki itu menuju ke arah kafe. Krystal makin meluat apabila Kai semakin hampir dengan bar makanan yang hampir dengan mejanya. Dia tidak pasti jika Kai sudah perasan akan dirinya atau tidak. Tetapi dia tidak rasa yang Kai tidak nampak akan dirinya yang duduk seorang diri di situ melainkan mata lelaki itu sememangnya rabun.

Walaupun menyampah, Krystal tetap menjenguk sedikit untuk melihat apa yang diambil oleh lelaki itu.

Kai mencedok sedikit salad, menyepit dua keping dada ayam, dan beberapa jenis buah. Dua keping buah kiwi, dua potong epal, dan beberapa biji buah anggur.

Krystal agak terkejut. Dia memandang wajah Kai. Tenang sahaja raut wajahnya. Selepas selesai mengambil apa yang hendak dia makan, Kai berjalan ke arah satu sudut yang duduk di situ. Dia perasan akan Krystal yang duduk di situ tetapi dia buat tidak tahu sahaja. Dia memakai earphone dan mula makan sambil bermain dengan telefonnya.

Krystal tidak lepas pandang ke arah lelaki itu.

Satu perkara bermain di fikirannya.

Dua tahun yang lepas...

"Kai, awak nak makan apa hari ni? Jom keluar makan dekat Hongdae," ajak Krystal semasa mereka keluar dari lif.

"Dua minggu lagi kan konsert, saya kena jaga badan. Makan dekat sini ajelah," jawab Kai. Mereka berjalan beriringan ke kafe.

Krystal terkejut apabila Kai meletakkan pinggan makanannya di atas meja. Dia melihat apa yang diambil oleh teman lelakinya.

"Dada ayam, salad, anggur, epal, kiwi. Ini aje?" tanya Krystal. Kai menganggukkan kepalanya.

"Hijau baik untuk kesihatan," jawab Kai membuatkan Krystal tersenyum.

Deringan telefonnya mengejutkan Krystal dari lamunan panjangnya.

"Hello?"

"Datang ke tingkat empat. Ada discussion untuk konsert minggu hadapan," ujar satu suara di hujung talian.

"Okey," jawab Krystal.

Dia bangun dan terus menuju ke arah lif.

*

Rasa curiga terhadap Shin Hee mula timbul di dalam hati Krystal selepas peristiwa di bilik latihan keesokan harinya. Krystal dan ahli kumpulannya tiba di bilik latihan seawal jam tujuh setengah pagi. Mereka disambut dengan satu susuk tubuh manusia sedang tidur dengan lenanya di atas sofa. Pendingin hawa sudah terpasang menunjukkan orang itu telah tidur di situ sejak dari malam lagi.

Dengan berhati-hati, mereka menghampiri orang tersebut. Amber bertindak berani dengan mencuit bahu orang itu dengan jari telunjuknya. Mereka tidak dapat mengecam siapakah orang tersebut kerana wajahnya ditutup dengan hood baju sejuknya yang dipakai secara terbalik.

Selepas beberapa kali bahunya dicuit, akhirnya lelaki itu terjaga. Dia membuka hoodnya dan terkejut melihat ada lima orang gadis sedang memandangnya serentak. Kai segera bangun. Lima orang ahli f(x) itu berundur beberapa tapak ke belakang untuk memberikan ruang kepada lelaki bertopeng itu.

Perasaan Krystal berbelah bahagi. Dia sememangnya menyampah melihat musuh utamanya itu rupanya yang tidur di situ, tetapi dalam masa yang sama dia hendak tahu kenapa lelaki aneh itu tidur di situ. Memandangkan perbualannya dengan Shin Hee mungkin boleh menimbulkan kekecohan kerana mereka tidak pernah sependapat, akhirnya Krystal hanya mendiamkan diri dan memerhatikan lelaki itu cuba untuk keluar dari situ.

Kai mencari di mana letaknya telefon bimbitnya. Selepas menemui alat canggih itu yang berada di bawah punggungnya, Kai tidak terus keluar walaupun lima pasang mata sedang melihatnya. Dia malah sempat memeriksa telefonnya jika ada sebarang mesej ataupun panggilan yang tidak dijawab.

Lagu Hall Of Fame berkumandang dari telefonnya memenuhi ruangan itu. Kelima-lima mereka tercengang dengan apa yang mereka sedang lihat. Shin Hee seolah-olah menganggap mereka berlima tidak wujud di situ. Kai memakai dengan betul baju sejuknya. Dia memasang earphone dan memasukkan telefonnya ke dalam poket seluar Adidasnya. Kaki seluar sebelah kirinya yang terangkat tidak dihiraukan. Dengan rambut yang masih menggerbang, dia keluar dari bilik itu untuk berjoging.

"Dia tu macam..." Sulli berjeda untuk memikirkan ayat yang sesuai untuk diucapkan.

"Gila," sambung Luna membuatkan Amber dan Sulli ketawa.

"Tak. Dia macam seseorang."

Semua orang memandang Krystal.

"Dia macam Kai," sambungnya. Mereka semua terkejut ditambah pula Krystal mengucapkannya dengan wajah yang dingin.

"Macam mana..." Amber kehilangan kata-kata.

"Semua yang dia buat ingatkan saya dekat Kai. Bukan saya yang nak fikir macam tu. Tapi semua yang dia buat seolah-olah satu refleksi daripada apa yang Kai pernah buat," ujar Krystal.

Dia cuba menafikan apa yang bermain di fikirannya, tetapi semakin dia kenal dengan Shin Hee, lelaki itu semakin mengingatkan dirinya kepada bekas kekasihnya.

Sejak Krystal kenal dengan Shin Hee, masanya banyak terbuang dengan bertengkar dengan Shin Hee. Mereka tidak boleh bersua muka. Perang mulut pasti akan tercetus. Shin Hee suka mengusik Krystal membuatkan gadis itu berang. Krystal pula jenis yang tidak boleh menahan marah. Jika dia sedang marah, habis semua perkataan keluar dari mulutnya. Kadang-kadang tanggapan orang terhadapnya ialah seorang yang tidak hormatkan orang lain kerana perwatakan kasarnya.

Tetapi dalam situasi itu, Sehun tidak ketinggalan terkena tempiasnya. Akibatnya, Krystal semakin mengabaikan dirinya. Dia berasa cemburu kerana Krystal sering berjumpa dengan lelaki itu walaupun secara tidak sengaja sedangkan dirinya, hendak terserempak pun jarang, inikan pula Krystal datang kepadanya secara rela hati. Memang jauh api dari panggang.

Setelah berkali-kali dipujuk, akhirnya Krystal bersetuju untuk keluar makan bersamanya. Mereka berdua berjalan beriringan ke arah lif. Sehun sempat mengadu kepada Krystal bahawa gadis itu sudah mengabaikan dirinya sekarang sejak kenal dengan Shin Hee. Dia tidak tahu hakikatnya, Shin Hee sedang berjalan di belakang mereka. Sehun hampir melompat akibat terkejut apabila Shin Hee meletakkan tangannya di atas bahu Sehun.

"Jangan risau. Krystal bukan taste aku pun."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience