Bab 2

Fanfiction Series 1842

Selepas debut, Krystal semakin sibuk. Kumpulannya mendapat banyak jemputan daripada pelbagai pihak. Mahupun sebagai satu kumpulan ataupun individu.

Seiring dengan kesibukannya, Krystal merasakan yang dia semakin mengabaikan teman lelakinya.

Hari ini Kai berlepas ke Perancis untuk tiga hari tetapi dia tidak sempat pun bertemu sebelum penerbangan Kai. Kali terakhir mereka mendengar suara satu sama lain ialah melalui panggilan telefon yang dibuat oleh Kai kepada Krystal. Itu pun selepas beberapa kali mencuba kerana Krystal sedang berlatih dan tidak menghiraukan telefonnya.

Kai tiba di Perancis dan terus ke hotel. Dia merebahkan tubuhnya yang penat ke atas katil. Sang Min berbaring di atas katil di sebelahnya manakala Ryu Jin duduk di kerusi yang terletak di tepi dinding.

"Cantik lampu kristal ni," ujar Ryu Jin.

Kai hampir terlelap namun kata-kata Ryu Jin itu mengingatkan dirinya kepada teman wanitanya.

"Kristal memang cantik," tutur Kai. Telefon bimbitnya dicapai. Dia membuka galeri.

"Penatnya," rungut Sang Min sebelum dia terlelap.

Krystal tiada jadual pada hari kedua bengkel tarian Kai di Perancis. Kai tidak memberitahunya atur cara bengkel tersebut jadi dia menganggar yang Kai tidak sibuk pada waktu itu. Mungkin teman lelakinya itu berhenti untuk rehat dan makan malam.

Kai tidak menjangkakan yang Krystal akan menelefonnya kerana waktu di Korea ialah dua setengah minit pagi. Telefonnya yang berada di atas meja berdering semasa dia dan rakan-rakannya sedang sibuk menguruskan peserta yang hadir. Ramai yang menyertai bengkel kali ini jadi Kai dan rakan-rakannya sudah makan lima belas minit yang lepas dan menyambung sesi kedua pada jam tujuh setengah malam dan dijangka tamat pada pukul sebelas.

Sudah lima kali Krystal menelefon tetapi tetap tiada jawapan. Ke mana teman lelakinya itu menghilang? Adakah dia terlalu sibuk sehingga tidak dapat menjawab panggilannya? Krystal cuba mengusir jauh pelbagai tanggapan negatif yang bermain di fikirannya pada masa itu.

Hari kedua bengkel tarian itu sangat sibuk. Mereka selesai pada jam sebelas lima belas minit malam. Sedikit lewat daripada masa yang dirancang. Namun, Kai berpuas hati dengan sambutan yang diterima.

Kai memeriksa telefonnya semasa berjalan ke bilik hotelnya. Dia terkejut melihat ada tujuh panggilan tidak dijawab daripada Krystal. Dia terfikir adakah Krystal menelefonnya kerana ada sesuatu yang penting. Tetapi jika difikirkan balik, Krystal tidak perlukan sesuatu yang penting untuk menelefonnya kerana sudah pasti teman wanitanya itu merinduinya.

Kai tahu waktu di Korea sudah lewat jadi dia tidak mahu mengganggu Krystal dengan menelefonnya sekarang. Kai bersila di katilnya dan tersenyum apabila dia melihat ada satu pesanan peti suara daripada Krystal. Dia membuka pesanan tersebut tanpa teragak-agak kerana rasa ingin tahu dan teruja.

"Kai, kenapa tak angkat call? Maaflah sebab tak bagitahu awal-awal saya nak telefon awak. Sebenarnya saya nak bagitahu sesuatu yang penting. Saya harap awak faham. Kai, saya nak putuskan hubungan ni."

Sebaris ayat terakhir daripada Krystal itu umpama kilat yang menyambar tubuh Kai. Dia terkaku di tempatnya. Tidak mampu berkata apa-apa kerana terkejut dan tidak percaya. Dia belum bersedia untuk semua itu.

Kai cuba untuk menenangkan dirinya. Nafas ditarik dan dihembus perlahan. Dia mengulangi perbuatan itu beberapa kali.

"Aku tak bermimpi kan?" Kai menampar pipinya. Sakit.

Tiba-tiba sahaja kepalanya terasa berdenyut. Dia memicit kepalanya sambil berbaring di atas katil.

"Kai, tidurlah. Esok kita nak bermula awal," Sang Min baru selesai mencuci muka. Dia berbaring di sebelah Kai tanpa mengesyaki apa-apa. Ryu Jin baru sahaja hendak masuk ke dalam bilik air apabila dia mendengar suara Sang Min.

"Kai, kau menangis?"

*

Penerbangan dari Paris ke Seoul selamat mendarat awal pagi itu. Pengurus Kai datang mengambil mereka bertiga di lapangan terbang Gimpo dan terus ke bangunan S.M. Entertainment. Kai tidak sabar untuk bertemu dengan Krystal kerana dia terlalu rindu akan gadis itu dan juga ada perkara yang perlu dia bincangkan.

Kai tidak mahu masalah hubungan mereka itu mengganggu kerjanya jadi dia melupakan perkara itu untuk satu hari dan fokus kepada hari terakhir bengkel tariannya. Apabila semuanya selesai, perkara itu kembali menghantui fikirannya dan dia perlu selesaikannya dengan segera.

Dia masuk ke lobi utama dan menghantar pesanan untuk bertanyakan di mana Krystal berada. Dia terus bergerak ke lif apabila Krystal memberitahunya untuk datang ke bilik rehat di hujung laluan di tingkat empat.

Pelukan hangat menjadi permulaan pertemuan mereka. Kai memeluk erat Krystal seolah dia sudah tidak melihat gadis itu selama setahun. Kai menarik Krystal duduk. Raut wajahnya juga bertukar serius.

"Krystal..." Kai memulakan bicara. Krystal sudah tahu apa yang hendak dibincangkan oleh lelaki berkulit tan itu dan dia sudah bersedia untuk menghadapinya.

"Kenapa?" Satu soalan itu cukup membuatkan Krystal berdebar. Dia menarik nafas dan perlahan-lahan melepaskannya.

"Kai, jadual saya semakin hari semakin padat. Awak pun sibuk dengan kelas tarian, bengkel, comeback, trainee. Saya tak ada masa untuk diri saya sendiri apatah lagi untuk awak. Masing-masing sibuk dan tak ada masa untuk satu sama lain," Krystal mula memberikan penjelasan.

"Ini sebabnya? Masa?" tanya Kai.

"Kai, awak kena faham. Ini cita-cita saya sejak dari kecil lagi. Saya dah berjaya capainya. Bila saya dah mula melangkah, saya tak boleh menoleh ke belakang lagi," ujar Krystal. Inilah perkara yang paling dia takutkan. Dia tidak mahu lukakan hati lelaki itu tetapi ini juga mengenai masa depannya.

"Jadi awak nak berjalan pergi dan tinggalkan saya di belakang? Awak memang merancang semua ini daripada dulu lagi kan? Kenapa, Krystal? Kenapa awak buat macam ni pada saya?" Kai cuba untuk tidak meninggikan suaranya. Dia masih menahan perasaannya. Dia tidak faham dengan gadis di hadapannya itu. Apa motifnya?

"Bukan macam tu Kai! Awak kena faham-"

"Faham apa lagi? Apa lagi yang perlu saya faham?! Cukup penjelasan awak! Awak terima saya lepas tu bila dah terkenal, awak tinggalkan saya di belakang!"

Akhirnya amarah yang ditahan sedari tadi, terletus jua. Krystal terkejut kerana ditengking sebegitu rupa oleh Kai. Dia tidak pernah melihat lelaki itu marah selama ini. Kalau sekadar sedikit meninggikan suara semasa kelas tarian itu sudah biasa dia lihat. Tetapi kali ini Kai kelihatan betul-betul marah.

"Ini bukan soal terkenal, tapi saya nak fokus pada kerjaya saya. Saya tak nak abaikan awak, tapi dalam masa yang sama saya juga tak nak jejaskan kerjaya saya."

"Saya tak suruh pun awak abaikan kerja awak dan saya tak rasa terabai pun jadi apa motif awak membuat keputusan terburu-buru macam ni?" tanya Kai tidak puas hati.

"Ini bukan keputusan terburu-buru tetapi sudah lama saya fikirkan soal perkara ini," jawab Krystal membuatkan Kai terpana.

"Sudah lama? Awak fikir seorang diri? Kenapa tak bincang dengan saya? Awak cuma fikirkan soal diri awak, Krystal. Awak tak pernah fikirkan tentang perasaan saya kan. Saya kecewa dengan awak," Kai meraup wajahnya. Dia tidak menyangka Krystal sanggup buat begitu kepadanya. Krystal tidak serius dengan hubungan yang dijalin.

"Kai-"

Kai mengangkat tangannya tanda dia tidak mahu mendengar apa-apa daripada Krystal.

"Krystal, saya masih sayangkan awak. Saya tak sanggup kehilangan awak. Walau apapun alasan awak, saya takkan putuskan hubungan ini," tegas Kai. Tanpa menunggu lama, dia terus keluar sebelum hatinya menjadi lembut jika dia terus berlama-lama di situ dan mendengar tangisan Krystal.

*

Kai cuba melupakan masalah Krystal dan fokus kepada kerjanya kerana dia perlu mengajar koreografi baru kepada kumpulan Red Velvet. Dia datang ke bilik latihan keesokan paginya seawal jam lapan pagi dan memulakan sesi latihan pertama. Latihan selesai pada jam dua belas tengah hari. Kai turun ke kafe untuk makan. Selepas menghabiskan makanannya, dia naik semula ke tingkat tiga. Dia melepasi salah satu bilik latihan di tingkat tersebut dan mendengar suara esakan. Kai berhenti dan menjenguk ke dalam bilik latihan yang pintunya sedikit renggang. Dia menemui Yeri, ahli termuda Red Velvet, sedang menangis di situ.

Kai tidak mahu mengganggu gadis kecil itu tetapi dia perlu tahu apa yang berlaku jadi dia masuk dan menghampiri Yeri dengan berhati-hati.

"Yeri?" tegur Kai.

Yeri yang terkejut dengan kehadiran Kai di situ, cepat-cepat menyapu air matanya. Segaris senyuman dihadiahkan kepada Kai.

"Kenapa menangis?" soal Kai. Dia melabuhkan punggungnya di hadapan Yeri.

"Tak ada apalah. Cuma tertekan dengan tarian baru ni. Saya tak dapat nak ingat beberapa step yang susah," jawab Yeri dengan jujur. Kai tersenyum. Lega hatinya. Ingatkan masalah peribadi yang serius.

"Part mana?" tanya Kai.

Yeri bangun dan memberitahu kepada Kai bahagian tarian yang susah baginya. Kai dengan rela hati mahu membantu mengajarnya secara persendirian jadi dia menerimanya dengan hati yang terbuka.

Salah satu gerakan tarian itu ialah Yeri perlu memusingkan badannya. Entah bagaimana, dia tidak dapat mengimbangi tubuhnya dan hampir terjatuh. Kai yang melihat cepat-cepat mendapatkannya.

*

"Hello?" Krystal menjawab panggilan daripada pengurusnya itu.

"Ya?"

"..."

"Yeri? Okey, saya akan cari dia. Dekat kafe? Okey," Krystal mematikan talian. Matanya tertangkap satu susuk tubuh salah seorang ahli kumpulan Red Velvet yang berada di lobi. Dia terus menghampiri Seulgi.

"Seulgi-ah," tegur Krystal.

"Oh, sunbaenim," Seulgi membongkokkan badannya dan bersalaman dengan Krystal.

"Kamu seorang diri? Mana yang lain?"

"Ya. Saya dah nak balik. Yang lain saya tak tahu ada dekat mana. Mungkin masih lagi ada dekat sini. Kenapa?"

"Mana Yeri?" Krystal terus kepada tujuan utama dia berada di situ.

"Yeri? Tadi kami berlatih di bilik latihan hujung di tingkat tiga. Mungkin dia ada lagi dekat situ," jawab Seulgi. Dia segera meminta diri apabila ada panggilan telefon daripada pengurusnya.

Krystal terus menuju ke arah lif. Dia masuk ke dalam lif dan menekan nombor tiga. Sampai di sana, dia terus menuju ke bilik yang paling hujung. Pintu tidak tertutup.

Tujuan utama Krystal datang ke situ adalah untuk mencari Yeri kerana disuruh oleh pengurusnya. Dia tidak menjangkakan apa-apa, tetapi sebaik sahaja kakinya berhenti di hadapan pintu bilik yang terbuka itu, dia disajikan dengan satu pemandangan yang menyakitkan hati dan matanya. Kai sedang memeluk Yeri.

Sebentar tadi, Yeri tidak dapat mengimbangi tubuhnya dan hampir jatuh tetapi Kai lebih pantas bergerak dan menyambut gadis itu. Dia memeluk erat pinggang Yeri dan berjaya mengelakkan gadis itu daripada jatuh. Malangnya, belum sempat dia meleraikan pelukan, Krystal sudah melihat postur terakhir mereka itu dan sudah pasti tanggapan negatif bermain di fikiran gadis itu.

"Kai."

Kai dan Yeri terkejut mendengar satu suara dari arah pintu jadi Kai cepat-cepat membantu Yeri berdiri dengan betul.

Krystal cuba menahan dirinya untuk tidak mengamuk di situ.

"Krystal, ia bukan seperti yang awak lihat," Kai cuba menjelaskan perkara sebenar.

"Sunbaenim, saya tak bermaksud nak-"

Kata-kata Yeri terhenti di situ apabila Krystal menyuruhnya diam.

"Tak apa. Saya faham. Yeri, pengurus saya nak jumpa awak di kafe sekarang."

Sebaik sahaja habis berkata-kata, Krystal terus pergi dari situ. Dia turun ke tingkat dua dan terus masuk ke dalam bilik latihan di mana dia berada pagi tadi. Dia menangis sepuas-puasnya di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience