Bab 13

Fanfiction Series 1842

Sinar matahari pagi menyinari alam tanda hari baru telah bermula. Kai menggeliat di tempat pembaringannya. Dia menoleh ke kiri dan melihat Sang Soon tiada di tempat yang biasa dia tidur. Kai bingkas bangun.

Setelah membasuh muka, dia keluar dari rumah untuk merasai cahaya matahari pagi.

Kai menoleh ke tepi dan ternampak Sang Soon sedang mandi di sungai. Dia menarik tuala yang tersidai di tepi rumah dan berjalan ke arah sungai.

"Kai, dah bangun?" tegur Sang Soon.

Wajah Kai berkerut menahan sejuk apabila sebelah kakinya menecah permukaan air sungai.

"Awalnya ahjussi bangun hari ni. Biasanya saya yang bangun dulu."

Kai mencedok air dan mula membasahkan tubuhnya. Kai menatap pantulan wajahnya pada permukaan air. Parut pada pipinya masih kelihatan tetapi tidaklah seteruk masa mula-mula dia kemalangan dulu. Sang Soon merawatnya menggunakan pelbagai jenis herba yang ditemui di tempat itu.

"Hari ni biar saya yang buatkan sarapan," ujar Sang Soo membuatkan Kai berhenti daripada mencedok air. Dia memandang Sang Soon.

"Sarapan?"

"Ya. Selalu kamu aje yang bangun awal sebab nak siapkan sarapan. Hari ni biar saya yang buat."

"Tapi kenapa?"

Sang Soon tidak menjawab. Dia naik ke tebing dan terus menuju ke rumah. Kai menyambung mandi sambil memikirkan sikap Sang Soon yang kelihatan aneh pada hari itu.

*

Krystal tidak dapat melelapkan matanya. Dia mengiringkan badannya ke sebelah kiri. Beberapa saat kemudian, dia berpusing ke sebelah kanan pula.

Peristiwa di dalam bilik Sehun tadi masih terbayang di matanya.

Dengan kudrat yang ada, dia memapah Sehun masuk ke dalam biliknya. Sehun masih separa sedar tetapi dia tidak dapat mengawal tubuhnya sendiri. Dia hanya mengikut apa yang dilakukan kepadanya. Semasa menghampiri katil, Krystal tidak dapat mengimbangi tubuhnya. Dia terjatuh ke atas katil dan tubuh Sehun menimpanya. Krystal tidak sempat bangun tetapi nasib baik dia sempat menahan dada lelaki itu dengan kedua belah tangannya jadi bibir Sehun tidak sempat menjamah wajahnya.

Krystal menolak tubuh Sehun ke tepi. Dia cepat-cepat dan membetulkan bajunya yang sedikit terselak. Pipinya berona merah kerana malu walaupun mungkin dia seorang sahaja yang sedar akan kejadian yang memalukan itu.

Ting!

Pesanan masuk daripada Jessica mematikan lamunan Krystal. Kakaknya menghantar gambar dia dan Taecyeon berada di dalam butik pengantin. Mereka berdua sedang mencuba baju pengantin.

Krystal tersenyum melihat gambar tersebut. Pantas jarinya menari di atas papan kekunci.

'Tak sabarnya nak tunggu hari perkahwinan eonni.'

Tidak sampai seminit, pesanan masuk.

'Maaflah sebab ganggu kamu lewat malam macam ni. Eonni tak sabar nak share berita gembira ni dengan kamu.'

'Saya pun tak dapat nak tidur. Rindu dekat eonni.'

Krystal menggigit kukunya. Sekali lagi telefonnya berbunyi.

'Dah ada peneman pun masih rindukan eonni?'

Krystal mengerutkan dahinya.

'Apa maksud eonni?'

'Tak ada apalah. Eonni pergi dulu. Nanti kita borak lagi. Bye, sayang.'

Krystal melempar ke tepi telefonnya. Dia memikirkan pesanan daripada Jessica. Teman? Siapa?

Krystal memusingkan kepalanya ke sebelah kanan. Matanya tertangkap bunga ros putih yang berada di atas meja. Sehun? Tanpa disedari, bibirnya mengukirkan senyuman. Malam itu, Krystal tidur bertemankan mimpi indah, buat pertama kalinya sejak Kai pergi.

*

Kai memerhatikan Sang Soon yang sedang mengacau ramen di dalam periuk. Bau kuah berperisa makanan laut itu merebak ke seluruh rumah itu. Perut Kai berkeroncong. Nasib baiklah masih ada satu pek ramen yang dibawa pulang oleh Kai tempoh hari.

Sang Soon menyediakan dua mangkuk di atas meja. Dia meletakkan periuk yang panas itu ke atas meja di hadapan Kai. Kai menelan air liurnya.

"Jemput makan, Kai."

Kai mencedok ramen ke dalam mangkuknya.

"Sebenarnya, hari ni hari lahir saya," ujar Sang Soon secara tiba-tiba. Kai yang sedang mengunyah mee itu terhenti. Penyepit diletakkan kembali ke dalam mangkuk.

"Apa?!"

Sang Soon memasukkan ramen ke dalam mulutnya. Dia makan seperti biasa. Seolah-olah tiada apa yang berlaku pada hari itu.

"Jadi sebab nilah ahjussi buat semua ni?" tanya Kai sambil mengunyah sisa mee yang berada di dalam mulutnya.

"Lebih kurang macam tulah," jawab Sang Soon acuh tak acuh.

"Kenapa tahun lepas tak sambut pun?" tanya Kai lagi.

"Tahun ni kena sambut sebab ini kali terakhir kita sambut sama-sama," jawab Sang Soon membuatkan Kai pelik.

"Kali terakhir... maksudnya?"

Kali ini wajah Sang Soon bertukar serius. Dia memandang Kai.

"Kai, dengan duit yang kamu ada tu, kamu keluarlah dari sini dan cari kerja. Mulakan hidup yang baru. Cari wang, cari pendapatan. Tempat ni tak dapat memberikan kamu apa-apa. Saya tak dapat berikan apa yang kamu nak.

Saya tahu kamu mula sayangkan saya dan tempat ni. Tapi kamu nak tahu tak, tempat di luar sana jauh lebih baik dari sini. Kamu boleh dapatkan tempat tinggal yang lebih selamat dan selesa."

Kai menjadi serba salah. Memang dia berniat hendak keluar daripada tempat itu. Jalan keluar sudah dia temui. Wang sudah ada. Dia cuma berjalan pergi melalui lorong yang pernah dia lalui dan keluar daripada tempat itu. Tetapi bagaimana pula dengan Sang Soon. Dia tidak boleh biarkan lelaki itu berseorangan di hutan ini. Sang Soon sudah dia anggap seperti ayahnya.

"Tapi macam mana dengan ahjussi?"

"Tak perlu risaukan diri saya. Dah sepuluh tahun saya tinggal dekat sini, Kai. Tak ada apa yang akan berlaku. Jangan risau," jawab Sang Soon dengan tenang.

Puas dia memikirkan kata-kata Sang Soon itu, akhirnya dia bersetuju.

"Kalau macam tu, petang nanti saya hantar kamu ke lorong tu," ujar Sang Soon kemudian mereka kembali makan. Agak sukar untuk Kai menelan makanannya. Tekaknya terasa kering apabila memikirkan yang dia akan tinggalkan tempat usang ini.

*

"Kita tak perlu ambil keterangan daripada budak tu. Seramai dua ratus orang peminat EXO telah menghantar petisi mengenai komen tersebut. Pihak yang melakukan perkara ini tidak akan terlepas. Kita ada banyak bukti untuk menyaman mereka."

Kyuhyun masuk ke dalam lif bersama dengan Changmin. Butang nombor tiga ditekan.

"Bukti sudah dikumpul ke?" tanya Changmin.

"Ya, sunbae. Semuanya sudah tersedia. Cuma perlu tunggu tindakan daripada sajangnim. Saya ada jumpa Suho semalam," ujar Kyuhyun. Changmin pantas memandangnya.

"Dia cakap tak perlu buat semua ni."

Mereka berdua keluar ke tingkat tiga. "Jangan dengar cakap dia."

"Hah?" Kyuhyun terkaku di hadapan lif itu. Dia memandang Changmin yang berjalan pergi dan menghilang di selekoh ke kanan.

"Kyu oppa!"

Kyuhyun menoleh ke belakang apabila mendengar suara seseorang memanggil namanya. Taeyeon sedang menghampirinya bersama dengan satu kotak di tangannya. Kelihatannya seperti kotak kek.

"Apa tu?" tanya Kyuhyun.

Taeyeon pantas menarik tangannya membuatkan dia terkejut. "Jom ikut saya."

Taeyeon membawanya ke salah satu bilik latihan yang berada di situ.

"Ada apa ni?" tanya Kyuhyun sebaik sahaja dia masuk dan melihat ramai yang sudah ada di situ.

"Kami nak sambut hari lahir Chanyeol. Kita buat surprise party. Kejap lagi dia akan sampai bersama Jongdae," ujar Baekhyun yang sedang membantu D.O. menggantung belon. Semua ahli kumpulan SNSD, Red Velvet dan EXO sudah ada di situ. Cuma perlu menunggu empunya badan yang menyambut hari lahir tiba, baru mereka boleh memulakan acara tersebut.

"Kan aku dah cakap ikut aje jalan yang biasa kita guna. Yang kau pandai-pandai guna jalan lain tu kenapa? Kan dah lewat sampai," bebel Chen semasa mereka memasuki lobi bangunan itu.

"Bukannya satu masalah besar pun. Kenapa kau tiba-tiba nak marah ni? Lagipun hari ni latihan biasa aje. Tak perlulah nak ikut masa sangat," balas Chanyeol.

Chen tidak menjawab apa-apa. Dia sebenarnya risau kerana mereka sudah terlewat. Dia risaukan mereka semua yang sedang menunggu dia dan Chanyeol untuk parti kejutan hari lahir Chanyeol.

"Mereka dalam perjalanan ke sini. Semua sedia," ujar Suho selepas dia mendapat pesanan daripada Chen yang mereka berdua baru keluar daripada lif.

"Kenapa hari ni Suho-"

"Surprise!"

Chanyeol terkejut apabila dia membuka pintu dan disambut dengan bunyi sorakan dan kek.

"Saengil chukhahamnida~ Saengil chukhahamnida~ Saranghaneun Chanyeolie. Saengil chukhahamnida~"

Suara Baekhyun yang paling kuat di antara mereka semua. Chanyeol tidak menyangka yang semua orang akan meraikan hari lahirnya pada hari itu. Patutlah semua orang bersikap aneh pada hari itu. Suho menyuruhnya pergi ke bangunan S.M. secara berasingan dan Chen bersetuju untuk pergi bersamanya.

"Terima kasih semua," ujar Chanyeol selepas dia membuat permintaannya dan meniup lilin.

"Chanyeol, apa perasaan anda pada hari ini," Taeyeon tiba-tiba muncul di hadapan Chanyeol bersama dengan telefonnya. Gadis itu membuat rakaman video.

"Umm... terima kasih kepada semua yang terlibat untuk menganjurkan parti mengejut ini. Walaupun ringkas tetapi sangat bermakna bagi saya. Baekhyun bagitahu..."

Semua sedang bergembira bersama dengan kek hari lahir Chanyeol dan belon-belon, manakala Kyuhyun duduk di satu sudut sambil memerhatikan mereka semua.

Dia melihat Suho sedang bergelak ketawa bersama Baekhyun dan Chen. Dia tahu apa yang disimpan oleh ketua kelahiran 1991 itu. S.M. sedang menguruskan masalah komen negatif dan kecaman yang diterima oleh Suho dan kumpulannya di laman sosial.

Dia dan Changmin juga sedang membantu menguruskan masalah tersebut.

Yunho ternampak Kyuhyun sedang mengelamun jadi dia menghampiri ahli termuda Super Junior itu.

"Kyu," sapa Yunho.

"Ada masalah ke?" Yunho duduk di sebelah Kyuhyun.

"Tak adalah," jawab Kyuhyun.

"Macam mana dengan persiapan konsert?" Kyuhyun cuba mengubah topik.

"Sehunnie akan balik esok. Lusa akan bermula rehearsal. Hyung terkejut sebenarnya bila Amber cakap Krystal pergi ke Perancis bersama Sehun," ujar Yunho.

"Mereka berdua nampak sepadan. Lagipun dah lama kenal. Harap ada pengakhiran yang baik buat mereka berdua," ujar Kyuhyun. Satu keluhan dilepaskan.

"Hyung terkilan sebenarnya. Yelah hyung harap sangat dia dan Sehun jadi penari latar hyung untuk konsert ni tapi nak buat macam mana, kan?"

"Tak ada siapa boleh gantikan tempat dia. Walaupun dia cuma penari, tapi dia mesra dengan kita semua. Semua orang selesa berkawan dengan dia. Kita dah jadi macam satu keluarga besar."

Mereka berdua melayan perasaan masing-masing tanpa mempedulikan orang lain.

*

Krystal sudah bersiap untuk sarapan. Dia keluar dari biliknya dan mengetuk pintu bilik Sehun yang berada di sebelah biliknya.

Krystal masuk apabila Sehun membuka sedikit pintu biliknya. Tetapi apa yang tersaji di hadapan matanya sangat mengejutkan Krystal. Sehun hanya memakai seluar. Bahagian atas tubuhnya terdedah begitu saja.

"Sehun, pakai baju kau!" jerit Krystal. Dia berpusing dan menghadap pintu. Matanya dipejamkan.

"Macamlah kau tak pernah tengok aku buka baju," ujar Sehun dengan selamba. Dia sedang mengeringkan rambutnya.

"Tapi itu dekat konsert! Sekarang ni kita berdua aje ada dekat sini!" Krystal masih meninggikan suaranya.

"Kau ni pagi-pagi dah bising. Sekejap aku nak pakai baju," Sehun membuka almari dan mengambil kemeja berwarna putih. Selepas selesai membutang bajunya dia menghadap ke arah Krystal.

"Dah siap."

Krystal perlahan-lahan memusingkan badannya dan dia bernafas lega apabila Sehun sudah berpakaian lengkap.

Dia memerhatikan bilik Sehun. Masih sama seperti yang dia tinggalkan malam tadi kecuali baju Sehun yang bersepah di tepi katil. Jambangan bunga ros masih ada di tempatnya.

Dia tertanya-tanya adakah Sehun sedar apa yang berlaku malam tadi. Tetapi jika dilihat pada kelakuannya pada pagi ini, nampaknya Sehun tidak ingat apa-apa.

"Lepas makan, aku nak shopping sikit. Kawan aku kirim barang," Sehun memakai jam dan memasukkan dompetnya ke dalam poket seluarnya.

Mereka berdua keluar dari hotel dan makan di restoran yang berhampiran. Selepas puas membeli-belah, mereka berhenti di taman yang menghadap Menara Eiffel untuk menghilangkan penat.

"Kau tahu tak... pasal semalam... aku nak minta maaf. Aku tak sepatutnya tinggalkan kau macam tu aje," Krystal memulakan bicara. Dia meletakkan jarak yang selamat di antara mereka berdua kerana dia ingin berbicara mengenai apa yang terjadi kepada mereka berdua malam tadi. Dia perlu bersedia untuk apa jua kemungkinan kalau-kalau Sehun sedar semua itu berlaku. Lelaki itu pandai berlakon di hadapannya.

"Tak perlu minta maaf. Bukannya salah kau pun. Aku yang terburu-buru," jawab Sehun dengan suara yang sangat tenang membuatkan Krystal pula merasa kekok.

"Krystal, kalau aku tunggu sedikit masa lagi, kau akan terima aku atau tak?" tanya Sehun.

Krystal tidak menjawab soalannya membuatkan dia kecewa. Cincin yang berada di dalam poket seluarnya diusap dari luar poket. Niatnya terbatal untuk bertanya lebih lanjut kerana dia tidak yakin Krystal mampu memberikan jawapan yang dia mahukan buat masa sekarang.

"Maaf. Aku tak berniat nak ada apa-apa hubungan dengan sesiapa buat masa sekarang. Aku dah boleh terima Kai dah tak ada dalam hidup aku tapi, aku perlukan masa untuk hati aku betul-betul sedia untuk terima orang lain."

"Aku ingat kau dah tak cintakan dia masa kau minta putus dulu. Apa dah jadi sekarang?" ujar Sehun. Krystal memandangnya namun dia hanya beriak tenang. Air yang dipegang perlahan-lahan disedut.

Lidah Krystal menjadi kelu kerana Sehun telah memberikan dia satu persoalan yang tidak mampu dia jawab. Menyesalkah dia?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience