Bab 7

Fanfiction Series 1842

"Kai... saya nak balik ke Korea sekarang."

Kai menghampiri Krystal namun gadis itu berundur setapak ke belakang jadi Kai menghentikan langkahnya.

"Krystal, apa dah berlaku?" tanya Sehun.

"Aku nak balik ke Korea," Krystal masih mengulangi ayat yang sama. Kai fikir Krystal bertindak begitu kerana dirinya.

"Krystal, saya minta maaf. Okey, saya tak akan cakap soal ini lagi. Awak tolong bertenang. Kita akan balik malam nanti. Kita masih ada kerja dekat sini," Kai cuba untuk menenangkan Krystal walaupun gadis itu tidak mahu Kai menyentuhnya. Dia mula menangis.

Sehun menghampiri Krystal kerana dia risaukan gadis itu. "Krystal, bertenang. Apa dah berlaku ni?"

Krystal tidak menjawab tetapi dia menghulurkan telefonnya kepada Sehun.

Soojung, Jessica dimasukkan ke hospital kerana sesak nafas. Pembedahan perlu dilakukan dengan segera.

"Krystal, bertenang," Kai masih cuba menenangkan Krystal.

"Macam mana saya nak bertenang?! Kakak saya sedang bertarung nyawa dekat hospital sedangkan saya ada dekat sini buang masa dengan pertandingan bodoh ni!" jerkah Krystal. Nafasnya turun naik kerana menahan marah. Kai terkesima.

Sehun menarik Krystal untuk duduk agar perempuan itu dapat menenangkan dirinya.

"Kai, bagitahu Yunho hyung Krystal perlukan tiket ke Korea sekarang. Kau tolong jangan keruhkan keadaan," ujar Sehun. Kai hanya menurut. Dia mengeluarkan telefonnya lalu menghubungi Yunho. Sehun pula cuba mendapatkan teksi untuk mereka pulang semula ke hotel.

Dua jam kemudian, Krystal berlepas menaiki pesawat untuk ke Seoul dengan bantuan Yunho.

*

Krystal menunggu di luar bilik pembedahan. Ibu saudara dan teman lelaki kakaknya juga ada di situ. Dia tidak henti-henti berdoa agar pembedahan kakaknya berjalan dengan lancar. Tiba sahaja di Incheon, dia terus bergegas ke hospital. Selepas menandatangani borang pelepasan untuk pembedahan, kakaknya disorong masuk ke dalam bilik pembedahan.

Ibu saudaranya menggenggam erat tangannya. Seakan memberi kekuatan untuk gadis itu. Krystal cuba untuk tersenyum. Dia tidak mahu ibu saudaranya risau. Krystal memandang lelaki tinggi yang sedang bersandar pada dinding sambil memejamkan mata. Wajahnya kelihatan tenang sahaja. Krystal tertanya-tanya kenapa lelaki itu tidak kelihatan risau walaupun teman wanitanya sedang bertarung nyawa di dalam sana.

Dia bangun dan perlahan-lahan menghampiri bakal abang iparnya itu.

"Oppa," sapa Krystal.

Taecyeon terus membuka mata kerana terkejut disapa oleh adik teman wanitanya itu.

"Ya?"

"Oppa tak nampak gementar pun. Kenapa?" tanya Krystal.

"Krystal, boleh kita duduk dekat sana?" Pandangan Taecyeon dihalakan ke arah bangku yang berada sedikit jauh daripada tempat di mana mereka berada. Krystal menganggukkan kepala lalu mereka berdua berjalan ke bangku tersebut.

"Sebenarnya oppa dah lama tahu soal penyakit kakak kamu tu," ujar Taecyeon. Krystal seperti hendak berkata sesuatu namun tidak sempat apabila Taecyeon sekali lagi membuka mulut.

"Tapi, kakak kamu berkeras nak rahsiakan benda ni daripada pengetahuan kamu. Dia tak nak kamu kasihankan dia seperti mana oppa kasihankan dia."

"Jadi oppa terima dia sebab kasihankan dia?" suara Krystal sedikit tinggi.

"Tak. Dia yang fikir macam tu. Oppa kenal dia sebelum dia tahu dia ada penyakit jantung berlubang ni lagi. Satu hari, dia cakap dia sakit dada. Bila datang check dekat hospital, doktor cakap dia ada jantung berlubang. Mungkin diwarisi daripada mendiang ayah kamu.

Sejak hari tu, dia selalu suruh oppa tinggalkan dia. Dia tak mahu oppa sedih bila dia tak ada nanti. Dia juga tak nak kamu tahu sebab dia tak mahu nanti kamu tak dapat fokus dengan kerjaya kamu. Dia seperti sudah putus asa dan tidak mahu cuba merawat penyakitnya itu.

Hinggalah empat hari yang lepas, dia batalkan pertemuan kami sebab dia nak jumpa kamu sebelum kamu pergi ke Thailand. Lepas balik daripada jumpa dengan kamu, dia telefon oppa dan cakap dia nak segerakan tarikh perkahwinan kami. Dia nak oppa ada sentiasa di sisi dia. Oppa tahu dia seorang yang kuat."

Taecyeon menggenggam tangan Krystal. Krystal memandang Taecyeon kemudian pandangannya beralih ke arah tangannya yang digenggam itu.

"Sebab tu, oppa tak cemas. Oppa tau dia ada semangat yang kuat. Dia akan keluar dari bilik tu dengan selamat. Kamu pun kena yakin, Krystal. Kakak kamu akan selamat," Taecyeon mengemaskan genggaman tangannya.

Setitis air mata menitis di pipi Krystal. Dia tersenyum dan membalas genggaman tangan Taecyeon.

"Saya tahu kakak saya kuat."

*

"Kita akan teruskan dengan peringkat akhir pada hari ini. Sebelum tu, saya nak maklumkan yang Krystal tidak dapat sertai kita semua pada hari ini kerana ada hal kecemasan yang tidak dapat dielakkan," Sehun membuat pengumuman sebelum pertandingan bermula.

*

Krystal masuk ke dalam wad 2046. Jessica memandang ke arah pintu. Dia tersenyum melihat adik kesayangannya datang melawatnya. Pembedahan semalam berjalan dengan lancar dan dia berada dalam proses pemulihan.

Dia sudah meminta maaf kepada Krystal kerana merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan adiknya. Krystal juga sudah memaafkan kakaknya. Apa yang dia tahu, dia mahu kakaknya itu sembuh dan memulakan hidup yang baru bersama Taecyeon.

"Eonni dah bangun? Selamat pagi," sapa Krystal. Dia meletakkan sarapan pagi untuk kakaknya lalu dia mencium dahi Jessica.

"Selamat pagi. Kamu datang seorang diri?" tanya Jessica. Dia membetulkan bantal yang menyokong belakangnya.

"Saya datang dengan Taecyeon oppa. Dia ada dekat bawah. Jumpa kawan dia," jawab Krystal.

"Macam mana eonni rasa hari ni?" tanya Krystal. Dia duduk di kerusi di tepi katil Jessica.

"Okey. Dah makin baik. Terima kasih, Soojung-ah. Kamu dah banyak bagi semangat dekat eonni. Eonni tak rasa eonni boleh lakukan semua ni tanpa kamu.

"Eonni kena berterima kasih dekat Taecyeon oppa. Saya dah banyak hilang masa berharga bersama eonni sejak saya jadi trainee tapi Taecyeon oppa sentiasa ada di sisi eonni. Dia dah banyak berkorban untuk eonni. Sebab tu saya tak nak eonni kecewakan dia. Dia terlalu sayangkan eonni."

"Ya, memang dia dah banyak berkorban. Mungkin orang lain tidak sanggup ada teman wanita yang sakit macam eonni ni, tapi dia tak pernah tinggalkan eonni walau sesaat. Walaupun sudah berkali-kali eonni mahu putuskan hubungan kami sebab eonni risau eonni tak dapat nak bahagiakan dia."

Krystal tiba-tiba teringatkan Kai. Dia dapat rasa apa yang kakaknya rasa kerana dia juga melalui situasi yang sama. Dia tidak mahu Kai terluka, kerana lelaki itu sudah banyak berkorban untuk dirinya sedangkan dia tidak tahu ke mana hala tuju hubungan mereka. Dia hanya mahu fokus kepada kumpulannya. Dia masih sayangkan lelaki itu tetapi insiden yang berlaku tiga minggu yang lalu masih segar di ingatannya. Sedikit sebanyak ia memberi kesan dalam hidupnya. Dia merasakan yang makin sukar untuk mereka berbaik semula walaupun sebagai seorang kawan. Kai telah menolaknya jatuh sehingga dia terpaksa berehat selama hampir sebulan. Bukan berapa bulan dia terpaksa berehat yang dia kisahkan, tetapi tindakan Kai itu yang telah menggores hatinya. Lelaki yang selama ini cintakan dia, menyimpan perasaan kepadanya selama empat tahun., sanggup menolaknya jatuh sedangkan lelaki itu sudah tahu yang dia berada dalam kesakitan pada waktu itu. Saya dah hilang keyakinan pada awak, Kai...

"Soojung, kamu dengar tak?" suara Jessica mematikan lamunan Krystal. Dia memandang kakaknya dengan wajah yang bingung.

"Hah? Apa dia?" tanya Krystal. Jessica menggelengkan kepala.

"Penat eonni bercerita, boleh pulak dia termenung."

"Maaflah. Eonni cakap apa tadi?"

Jessica mengeluh. Dia mengambil plastik makanan yang dibawa oleh Krystal dan meletakkannya di atas meja yang boleh dilaras.

"Malaslah cakap dengan kamu. Baik eonni makan," Jessica berpura-pura merajuk. Krystal merenung kakaknya. Jessica faham akan reaksi adiknya itu. Adiknya tidak akan melayan rajuknya. Akhirnya Jessica mengalah.

"Eonni cakap bulan depan majlis perkahwinan eonni akan dilangsungkan."

Krystal menjadi teruja. "Betul ke ni?"

"Apa yang betul?" suara Taecyeon tiba-tiba menyapa mereka berdua. Dia masuk dan menghampiri Jessica. Satu ciuman singgah di dahi teman wanitanya.

"Oppa, eonni cakap... Ah, biar eonni sendirilah yang bagitahu."

Taecyeon memandang Jessica dengan pandangan inginkan penjelasan.

"Saya dah fikir masak-masak, bulan depan kita kahwin," ujar Jessica. Taecyeon menekup mulutnya. Dia hampir tidak percaya secepat itu Jessica mahu berkahwin dengannya.

"Tapi, awak kan belum sembuh sepenuhnya lagi," Kali ini raut wajah Taecyeon berubah. Dia menjadi risau pula.

"Sebab saya belum sembuh sepenuhnyalah saya nak kahwin dengan awak. Nanti awak boleh jaga saya," jawab Jessica lalu Taecyeon mencium pipi sebelah kirinya. Terjerit kecil gadis itu kerana terkejut. Kemudian mereka bertiga ketawa.

"Nakal," Jessica mencubit lembut lengan Taecyeon. Krystal hanya memandang gelagat pasangan yang sedang bahagia itu. Terselit sedikit rasa cemburu. Bilakah agaknya dia dapat merasai semua itu?

*

Luna termenung di tepi tingkap, menikmati pemandangan kota Seoul di waktu pagi yang dihiasi dengan tompokan pelbagai warna payung yang bergerak bebas ke sana dan sini. Hujan turun dengan lebat pada hari itu sejak daripada pagi lagi.

Mereka berempat tiada aktiviti pada hari itu jadi mereka hanya berehat di dorm.

"Luna, Krystal cakap dia balik pukul berapa?" tanya Amber yang melintasi ruang tamu untuk ke dapur.

"Dia tak cakap pun dia balik pukul berapa tapi dia cakap dia mungkin akan balik lambat jadi tak perlu tunggu dia untuk makan malam," Amber terus ke dapur selepas mendengar jawapan Luna.

Krystal keluar bersama Sehun. Mereka singgah di kedai bunga selepas makan tengah hari kerana Krystal mahu menghadiahkan bunga kepada kakaknya.

Sehun tidak berminat dengan bunga-bunga di situ. Jadi, dia berdiri di satu sudut dan memerhatikan pelanggan yang masuk dan keluar dari kedai itu.

Krystal melepasi rak bunga ros. Bau wangi menusuk ke hidungnya. Dia berhenti di tengah-tengah rak itu di mana terletaknya bunga ros putih. Sehun pada masa itu sedang memandang Krystal. Dia menghampiri gadis itu.

Krystal menyentuh ros putih itu. "Ros putih."

"Kau nak yang ni ke? Tapi bukan ke ros putih ni lambang-"

"Ros putih bunga kegemaran Kai. Dulu semasa dekat universiti aku selalu dapat ros putih. Tak sangka dia yang bagi," ujar Krystal tanpa dipinta. Sehun masih memandangnya.

"Krystal-" Sehun terkejut apabila Krystal mengaduh sakit. Jari gadis itu tercucuk duri pada batang ros itu. Jarinya luka. Sehun cepat-cepat mengeluarkan sapu tangannya dan membalut tempat luka.

"Kau ni cuailah," bebel Sehun.

"Kejap. Aku ada plaster," Krystal menggeledah beg tangannya dan mengeluarkan plaster. Dia membalut jari telunjuknya yang terluka.

"Kau cemas semacam ni kenapa?" tanya Krystal. Dia hampir ketawa melihat gelagat Sehun yang terlebih risau itu. Padahal cuma luka kecil sahaja.

"Aku risaukan kau. Kau tu kan kawan aku," balas Sehun.

"Cepatlah pilih kau nak bunga yang mana. Kita dah lambat ni," sambungnya lagi. Dia ternampak seorang perempuan memakai skirt paras paha memasuki kedai tersebut.

"Wow-"

Tidak semena-mena kepalanya diketuk oleh Krystal.

"Byuntae!"

*

"...kata dia memang tak pandai nak menipu. Aku pernah-"

Kai baru sahaja keluar dari lif sambil bercakap di telefon dengan rakannya. Kata-katanya terhenti di situ apabila dia ternampak Krystal dan Sehun memasuki bangunan itu. Sehun menghulurkan sejambak bunga ros merah kepada Krystal. Gadis itu kelihatan sangat gembira apabila menerima bunga itu.

Kai menukar arah. Dia memusingkan badannya dan berjalan ke arah kiri. Dia kembali menyambung perbualannya yang terhenti dan cuba melupakan apa yang baru sahaja dia lihat sebentar tadi.

Setengah jam kemudian, Kai berjalan ke arah lif untuk naik ke tingkat empat dan kali ini dia terserempak dengan Sehun dan Krystal di hadapan lif. Mereka berdua keluar tanpa menghiraukan dirinya yang berada di situ. Krystal turut membawa jambangan bunga ros merah yang diberikan oleh Sehun tadi. Ke mana mereka hendak pergi?

Dengan kepala yang penuh dengan tanda tanya, Kai masuk ke dalam lif. Semasa lif hampir tertutup, Sehun menoleh ke arah lif. Satu sengihan terbentuk di bibirnya.

*

Jam menunjukkan pukul sebelas empat puluh minit malam. Kai masih berlegar-legar di tingkat tiga bangunan S.M. Entertainment itu lagi. Dia tertanya-tanya di mana Krystal berada dan apa tujuan gadis itu keluar dengan Sehun membawa sejambak bunga petang tadi.

Kai melepasi satu bilik latihan. Lampu di situ masih terbuka bermakna ada orang di dalam bilik itu. Pada mulanya dia hanya berjalan pergi, tetapi Kai tergerak hati untuk menjenguk siapa yang berada di situ. Dia perlahan-lahan membuka pintu dan dia melihat ada seseorang sedang tidur di sofa. Kai menghampiri orang tersebut dengan berhati-hati.

Krystal? Kenapa dia tidur di sini?

Pendingin hawa dibuka dengan suhu yang tinggi. Gadis itu sudah mengerekot di atas sofa kerana kesejukan. Kai menurunkan sedikit suhu pendingin hawa. Dia duduk di sofa yang bertentangan dengan Krystal. Mengambil masa untuk menatap wajah manis yang dirinduinya itu.

Di mana silapnya hubungan mereka? Krystal mahu berpisah tetapi dia belum bersedia untuk melepaskan gadis itu. Tetapi akhirnya hubungan mereka itu tiba juga ke penghujung kerana sikap kedua-dua pihak yang tidak boleh mengawal perasaan marah.

Setitis air mata menitis di pipi Kai. Jauh di sudut hatinya dia masih sayangkan gadis itu. Bertahun dia menaruh perasaan terhadap gadis itu, akhirnya dia berjaya memiliki hati Krystal. Namun siapa sangka hubungan mereka terputus di tengah jalan.

Kai tidak sanggup lagi untuk berlama-lama di situ. Dia bangun dan menanggalkan jaketnya lalu menyelimuti Krystal kemudian dia berjalan ke pintu. Sampai di muka pintu, Kai berhenti dan memandang ke arah Krystal buat kali yang terakhir.

"Selamat malam, Krystal. Jaga diri. Semoga berbahagia. Selamat tinggal," ujar Kai perlahan lalu menutup lampu. Dia cepat-cepat pergi dari situ sebelum air matanya menitis lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience