Bab 20

Fanfiction Series 1842

Jam loceng yang nyaring berbunyi mengganggu tidur Kai. Dia menggeliat malas di atas tilamnya yang dirasakan sangat empuk itu. Rambut yang menggerbang hanya dibiarkan.

Kai mencapai alat kawalan yang terletak di atas meja kecil di sebelah katilnya. Dia menekan alat tersebut sambil tangannya dihalakan ke hadapan. Tidak sampai beberapa saat, cahaya matahari mula menerobos masuk ke dalam biliknya melalui tingkap kaca yang mengelilingi kamarnya itu.

Kakinya dipijak pada lantai berjubin putih yang menghiasi kamarnya. Sejuk. Kai mengangkat kembali kakinya dan duduk bersila di atas katil.

Dia memeriksa telefonnya dan menemui satu mesej daripada Shim Jaewon yang mengatakan dia perlu ada di bangunan S.M. Entertainment sebelum jam sepuluh pagi.

Kai merebahkan badannya ke belakang.

"Malasnya!"

Telefonnya berbunyi. Dia meletakkan telefonnya pada telinga sebelah kirinya. Fungsi automatik pada telefonnya memudahkan dia menjawab sebarang panggilan tanpa perlu menyapu skrin menggunakan tangannya.

"Hello?"

"Hei, Shin Hee."

Suara Sehun menyapa gegendang telinganya. Kai pantas duduk kembali.

"Ya?"

"Kau ada dekat mana? Baik kau datang sekarang sebab Krystal dah mengamuk kau tak ada untuk latihan akhir," ujar Sehun.

"Aku dekat rumahlah. Jaewon hyung cakap datang sebelum pukul sepuluh," jawab Kai.

"Yelah. Sekarang pukul berapa?" soal Sehun lagi.

"Tujuh setengah," ujar Kai sambil dia menjeling jam locengnya.

"Kalau macam tu, datanglah sekarang. Tolonglah, Krystal dah membebel cari kau," rayu Sehun. Suaranya seperti hendak menangis saja.

"Ikut jam aku, sebelum pukul sepuluh tu bermaksud sembilan setengah. Jadi aku akan ada dekat sana pukul sembilan setengah," balas Kai.

"Shin Hee boleh tak kau jangan nak buat hal? Kalau aku cakap datang sekarang, datang ajelah. Ini bukan konsert kau. Jangan nak rosakkan kerja orang boleh tak?"

Kai terkedu dengan kata-kata Sehun. Tidak sangka yang Sehun akan berkata begitu.

"Yelah, yelah. Aku datang sekarang," ujar Kai sebelum talian diputuskan.

Sementara itu, Sang Soon sedang menyediakan sarapan. Dia menyusun pinggan dan meletakkan dua keping roti bakar di atas setiap pinggan.

Pandangannya dihalakan ke tingkat atas. Dia dah bangun ke belum agaknya ya, desisnya di dalam hati. Sang Soon meletakkan bekas mentega yang dipegangnya. Dia berjalan ke arah tingkap kaca berhampiran sofa di ruang tamu itu. Bilik Kai dapat dilihat dari situ. Dia melihat langsir bilik itu telah diselak, bermakna Kai sudah pun bangun. Memandangkan Kai mungkin akan turun pada bila-bila masa sahaja lagi, dia segera menyiapkan sarapan.

*

Selesai mandi, Kai termenung di hadapan cermin sambil menilik wajahya. Parut pada mukanya semakin hilang. Perbualannya dengan Kasper semalam kembali bermain di fikirannya. Dia masih memikirkan kata-kata Kasper yang menyuruhnya menyelamatkan Sehun. Dia tahu maksud yang tersirat di sebaliknya. Malah, dia sudah lama tahu yang Sehun menaruh hati pada Krystal.

Dia langsung tidak terfikir yang dia akan menikmati hidupnya yang sekarang. Juga dia langsung tidak menyangka yang dia kembali bekerja di S.M. Entertainment.

Pelan asalnya adalah dia mahu menubuhkan sebuah studio tarian selepas memenangi pertandingan tarian tempoh hari. Tetapi, rancangannya musnah selepas dia dilamar oleh syarikat itu.

Sejak berada di hutan lagi dia sudah bertekad untuk melupakan Krystal memandangkan mereka sudah tiada apa-apa hubungan. Krystal pasti sedang bahagia bersama Sehun. Dirinya sudah dianggap mati oleh semua orang jadi mudah untuk Sehun memulaka langkahnya untuk mendapatkan Krystal.

Tetapi sangkaannya meleset apabila dia masuk kembali ke syarikat itu. Segalanya tidak seperti yang dia jangkakan. Dia tidak faham kenapa Krystal masih tidak mahu menerima Sehun. Krystal sendiri yang beritahu kepadanya yang dia sudah tidak percayakan Kai. Kai menjadi bingung.

Dia masih menaruh hati pada gadis itu. Malah, rasa yang masih sama. Jika Krystal belum dimiliki oleh sesiapa, dia akan dapatkan gadis itu kembali. Sehun sedang mengatur langkah jadi dia perlu pantas jika dia tidak mahu terlepas peluang untuk mendapatkan Krystal. Krystal akan kembali kepadanya. Itu tekadnya.

*

Krystal sedang berbincang sesuatu dengan kru pentas semasa Kai tiba di lokasi konsert itu. Dia naik ke pentas dan menghampiri Krystal dari belakang. Niatnya untuk mengejutkan gadis itu.

"Hah, Shadow dah sampai," ujar Kasper lalu Krystal menoleh dan melihatnya. Kai mengetap bibirnya dan menghadiahkan satu jelingan kepada Kasper.

"Hai," Kai menyapa Krystal.

"Jom mulakan," ujar Krystal dengan raut wajah yang serius. Langsung tiada senyuman yang terukir. Kai menggosok belakang kepalanya kerana kekok. Tidak menyangka yang Krystal menjadi begitu serius. Waktu telah mengubah segalanya.

Kai mengambil tempat untuk menari. Sehun juga sudah bersedia. Mereka bertiga berlatih sambil dipantau oleh Shim Jaewon dan Gooyoung.

Selepas selesai latihan, mereka bergerak ke bilik solekan untuk bersiap sedia kerana konsert akan membuka tirai dalam masa satu jam lagi.

Bilik solekan Kai dan Krystal terletak berasingan.

Kai masuk ke dalam bilik solekan dan duduk di hadapan cermin yang mana ia mengejutkan semua orang kerana dia tidak pernah duduk di situ untuk dirias. Kai selalunya datang ke situ untuk mendapatkan kostumnya. Solekannya dia buat sendiri di rumah kerana tidak mahu orang lain melihat wajahnya.

Jurusolek menjadi serba salah kerana tidak tahu apa hendak dilakukan. Ini adalah kali pertama untuk mereka. Dia berdiri kaku di belakang Kai. Kai memerhatikannya melalui cermin di hadapannya.

"Saya datang nak dapatkan solekan saya. Tunggu apa lagi?"

Jurusolek bernama Ji Hyun itu menjadi serba salah. Tangannya teragak-agak. Dia tidak tahu hendak mulakan dari mana. Semua orang di dalam ruangan itu tertumpu kepadanya.

"Err... macam mana... Err.. saya... Err... topeng..." Ji Hyun tergagap-gagap. Di tangannya ada berus solekan.

"Macam mana noona nak make-up kalau tak buka topeng?" soal Kai sambil tersenyum.

"Hah?" Ji Hyun terkejut. Dia memandang wajah Kai melalui pantulan cermin.

Tangannya terketar-ketar semasa hendak menyentuh topeng yang dipakai oleh Kai. Dia tidak menyangka yang hari itu dia akan membuka topeng yang selama ini menjadi pelindung kepada lelaki misteri di hadapannya itu. Ji Hyun menelan air liurnya. Dia cuba menenangkan dirinya.

"Noona ni lambatlah. Kita dah tak ada masa ni," ujar Kai. Dia memandang cermin. Dengan jantung yang berdebar-debar, dia memegang simpulan tali di belakang kepalanya. Semua orang terkejut. Ada yang sehingga menahan nafas kerana tidak percaya dengan apa yang mereka lihat.

Sambil memejamkan matanya, tangannya mula lincah membuka ikatan topeng itu. Dengan perlahan-lahan dia menanggalkan topengnya.

"Heol!" ujar seorang staf. Telefon yang berada di tangannya terjatuh ke lantai.

Kai membuka matanya dan menatap wajahnya di hadapan cermin. Ji Hyun hampir rebah. Dia cepat-cepat menyokong tubuhnya dengan memegang kerusi yang diduduki oleh Kai.

"Jom, mulakan," ujar Kai.

Ji Hyun menarik nafas dengan perlahan dan menghembusnya. Dia mengulangi langkah yang sama beberapa kali sehinggalah dirinya sedikit tenang.

"Okey, Ji Hyun. Kau boleh buat," ujar Ji Hyun kepada dirinya sendiri. Kai hanya ketawa melihat jurusolek yang sudah dikenalinya sejak dia masuk ke situ dulu.

Selesai make-up, Kai bangun dari kerusinya.

"Muka dia serius macam Kai," bisik seorang staf.

"Yelah. Langsung tak ada beza. Itu ke sebab dia sorokkan muka dia? Tapi dia ada parut," jawab seorang lagi staf.

Walaupun mereka berbisik, tetapi masih dapat didengari oleh Kai.

Ji Hyun masih lagi kelihatan terkejut. Sebelum meninggalkan bilik itu, Kai memakai kembali topengnya. Dia mencapai tangan Ji Hyun dan menggenggamnya. Matanya menikam pandangan Ji Hyun.

"Jangan takut. Saya bukannya hantu," Kai menghadiahkan satu senyuman yang manis lalu keluar dari situ.

*

Beberapa orang staf sedang merakam konsert yang berlangsung melalui skrin yang dipasang di belakang pentas. Kai berdiri di situ dan menyertai mereka untuk melihat Krystal membuat persembahan.

Selesai lagu pertama, seorang krew menyuruhnya bersedia untuk naik ke pentas. Kai mengangguk dan mengekori langkah krew untuk bersedia di platform injap yang akan menolaknya naik serentak bersama Sehun.

Kai berada di sebelah kiri pentas manakala Sehun berada di sebelah kanan.

Selepas kiraan sepuluh, platform itu menolak Kai naik. Dia dan Sehun mendarat dengan begitu bergaya seperti latihan yang telah mereka buat sebelum ini.

Tiba-tiba suasana menjadi kecoh. Penonton bersorak tanpa henti membuatkan Krystal dan Sehun hairan. Sehun memandang ke sebelah kiri dan terpana apabila dia melihat Shadow membuka topeng yang dipakainya. Kamera dihalakan kepadanya. Para krew juga tidak menjangka akan perkara itu.

Krystal memandang skrin kecil di tepi pentas dan terkejut. Dia pantas menoleh ke kiri di mana pandangannya jatuh kepada seraut wajah yang sangat dirinduinya. Mustahil itu Kai. Batinnya menjerit.

"Krystal, sila fokus," ujar seorang krew pentas kepadanya melalui in-ear. Krystal kembali fokus dan muzik mula dimainkan.

Semasa tamat persembahan, mereka bertiga berdiri dengan Krystal berada di tengah antara Kai dan Sehun. Tubuh Krystal menghadap ke arah Kai. Krystal sempat memandang wajah Kai dari dekat dan dia terkejut apabila lelaki itu mengenyitkan matanya. Pentas digelapkan dan mereka segera turun.

Krystal tiada masa untuk bercakap dengan Shin Hee kerana dia perlu menukar kostumnya. Kai masuk ke salah satu bilik rehat di belakang pentas. Ruangan itu kosong. Dia merebahkan tubuhnya di sofa. Matanya dipejamkan. Dia berasa agak selesa memandangkan dia berseorangan di situ. Gilirannya untuk muncul di pentas adalah empat puluh minit lagi jadi dia ada banyak masa lapang.

Sehun mundar-mandir di belakang pentas. Jelas yang dia sedang mencari seseorang. Kakinya baru sahaja hendak melangkah masuk ke salah satu bilik di situ. Tangannya sudah memegang tombol pintu, tetapi namanya dipanggil.

"Sehun, standby!"

Sehun berpatah balik dan bersedia di tepi tangga. Sebelum naik, dia sempat memandang ke arah bilik itu.

*

"Terima kasih atas kerjasama semua," Krystal turun dari pentas bersama Kai dan disambut dengan semua krew di belakang pentas dengan bertepuk tangan kerana konsert pada malam itu berjalan dengan lancar. Kai turun dari pentas dan ternampak Sehun. Lelaki itu tidak lepas pandang kepada dirinya. Sebenarnya bukan sahaja Sehun, tetapi semua orang tertumpu kepada dirinya. Ada yang tidak berani menegurnya.

Kai berjalan ke bilik di mana dia berada tadi.

Krystal tercari-cari kelibat Shadow. Kemudian matanya tertangkap susuk tubuh lelaki itu yang sedang berjalan pergi. Krystal segera mempercepatkan langkahnya untuk mendapatkan lelaki itu.

"Shin Hee," Krystal menarik tangan Kai sebelum lelaki itu sempat memulas tombol pintu. Kai terkejut dengan perbuatan Krystal itu.

Krystal menjadi kaku apabila lelaki yang menyerupai Kai itu memandangnya tanpa berkelip. Selepas menyedari yang dia masih memegang lengan lelaki itu, dia segera melepaskan tangannya.

"Boleh saya bercakap dengan awak sekejap?" tanya Krystal. Kai mengangguk dengan begitu yakin.

"Apa dia?"

"Kita masuk ke dalam dulu," ujar Krystal. Dia memulas tombol pintu dan masuk ke dalam diikuti Kai.

Selepas duduk di sofa dan mempersiapkan dirinya dengan apa sahaja yang bakal didengari dari mulut Shin Hee, Krystal memulakan sesi pertanyaannya.

"Saya nak tanya, apa tujuan awak masuk ke syarikat ini?" soalan Krystal tidak mengejutkan Kai memandangkan sudah ramai yang bertanyakan soalan tersebut kepada dirinya. Ia seolah soalan wajib buat dirinya.

"Sebab saya nak bekerjalah. Saya nak tonjolkan bakat yang saya ada," jawab Kai dengan tenang.

"Bukan sebab awak nak balas dendam?" tanya Krystal lagi. Wajahnya serius.

Kali ini Kai tidak dapat menahan ketawanya. Dia ketawa sepuasnya. Tidak menyangka yang gadis itu sanggup berfikir sedemikian.

"Apa awak merepek ni? Buat apa saya nak balas dendam? Saya bukannya kenal dengan sesiapa di sini," jawab Kai. Dia menyapu sisa air mata di tepi matanya. Perutnya terasa senak akibat terlalu kuat ketawa.

"Shin Hee, saya tengah serius ni," tegas nada suara Krystal.

"Ya, saya tahu awak serius. Serius lawak," Kai kembali ketawa tetapi tidak berlebihan memandangkan dia tahu Krystal cepat mengamuk.

"Saya tak tahu macam mana awak boleh terfikir benda macam tu. Tapi apa sahaja yang sedang bermain di fikiran awak, semuanya tidak betul," ujar Kai.

"Siapa awak sebenarnya?" tanya Krystal. Dia masih tidak mempercayai matanya yang melihat Kai sedang duduk di hadapannya.

"Awak bukan Kai, kan? Awak ni siapa? Mustahil awak ni Kai. Atau mungkin awak memang Kai, tapi awak hilang ingatan dan tak kenal saya. Bukan?" Krystal mula membuat kesimpulan sendiri. Dia sendiri tidak sedar apa yang dia sebut kerana otaknya sedang bercelaru.

"Apa awak cakap ni? Dari tadi lagi saya dengar orang sebut nama Kai. Siapa dia tu? Apa kaitan saya dengan dia?" tanya Kai. Dia memasang wajah yang sedang kebingungan.

"Kai tu..." Krystal berjeda. Dia cuba untuk mengawal perasaannya. Dadanya menjadi sebak apabila mengenangkan bekas kekasihnya itu.

"Kai salah seorang koreografer dekat sini. Dia... bekas kekasih saya," ujar Krystal. Dia sendiri tidak tahu dari mana dia mendapat keberanian untuk mengucapkan ayat terakhir itu.

"Bekas kekasih awak? Mesti kacak kan?" ujar Kai dengan nada yang ceria. Dia berpura-pura tidak menyedari kesedihan gadis itu.

"Muka dia, suara dia, sama macam awak. Sedikit pun tak berubah," jawab Krystal.

"Oh, memang tak boleh dinafikan lagi. Dia memang kacak," Kai cuba membuat lawak tetapi langsung tiada respons daripada Krystal.

"Dia tu macam hebat. Awak rindu dia, eh? Sebab tu awak selalu ikut saya. Kalau macam tu, biar saya tukar nama saya kepada Kai. Jadi, awak tak rindu lagi dekat dia. Tengok saya pun dah okey," sambung Kai lagi.

Niatnya untuk menggembirakan Krystal tetapi gadis itu menjadi bengang pula.

"Awak jangan nak main-main dengan nama tu," tegas Krystal. Dia merenung tajam mata Kai.

"Macam mana awak boleh putus dengan dia? Dia ada dekat mana sekarang?" tanya Kai. Kali ini dia juga serius. Dia berlagak seolah-olah tertarik untuk mengenali lelaki bernama Kai itu.

"Dia dah mati dalam kemalangan jalan raya dua tahun yang lepas. Sebab tu saya nak tahu siapa awak sebenarnya. Sebab saya tak boleh nak elak daripada teringatkan dia setiap kali saya tengok awak.

Walaupun sebelum ni awak pakai topeng, tapi gerak-geri dan rutin harian awak memang sama macam dia," jelas Krystal.

"Awak rindukan dia?" tanya Kai secara tiba-tiba.

Dia agak terkejut apabila Krystal perlahan-lahan mengangguk. Kai menarik Krystal ke dalam dakapannya. Akhirnya Krystal menangis di bahunya.

"Krystal?"

Kai dan Krystal berpaling serentak ke arah pintu apabila mendengar satu suara menegur mereka.

Pemilik suara yang berada di muka pintu terkaku apabila melihat pemandangan di hadapannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience