Bab 9

Fanfiction Series 1842

Sinar matahari pagi membuatkan tidurnya terganggu. Bunyi burung berkicauan dan air mengalir membuatkan dia berfikir di manakah dia berada. Kenapa tempat yang dia tidur ada bunyi-bunyi seperti itu? Dia hairan namun masih lagi teragak-agak untuk membuka matanya kerana rasa sakit yang menyucuk seluruh tubuhnya.

Perlahan-lahan Kai membuka matanya. Dia memejam celikkan matanya beberapa kali apabila hamparan kanvas biru dengan tompokan awan putih terbentang di hadapan matanya. Kai meraba sebelah kiri dan kanannya. Tanah.

Dia perlahan-lahan bangun sambil menahan sakit pada pinggangnya. Benda pertama yang singgah di matanya ialah sebatang sungai. Kai pantas berdiri namun dia terduduk kembali kerana sakit pada kakinya. Dia cuba bangun sekali lagi dengan bantuan sebatang kayu yang dapat dia capai. Dengan langkah yang terhinjut-hinjut, dia menghampiri sungai tersebut. Dia membongkok dan melihat ke dalam air. Pantulan wajahnya dapat dilihat dengan jelas disebabkan air sungai yang jernih. Ada satu goresan pada pipi sebelah kirinya. Darah sudah mengering tetapi masih terasa pedih di kawasan tersebut apabila air singgah ke wajahnya.

Selesai mencuci wajahnya, Kai melihat sekeliling. Dia tidak tahu di mana dia berada sekarang tapi dia tahu pasti ramai yang sedang mencarinya dan pasti ramai yang tidak tahu yang dia masih terselamat daripada kemalangan ngeri tempoh hari.

Ia sebuah keajaiban yang dia sendiri tidak percaya yang ia berlaku ke atas dirinya. Apabila kereta yang dinaikinya berhenti di sebatang pokok, dia cepat-cepat keluar daripada kereta menggunakan segala kudrat yang dia ada. Dia berada lebih kurang sembilan puluh meter daripada keretanya sebelum dia menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri yang kereta itu meletup.

Kerana tidak tahu ke mana hendak dituju, Kai berjalan tanpa arah tujuan di dalam hutan itu sebelum dia jatuh terjelopok kerana rasa letih yang amat sangat. Akhirnya dia terlena di situ dan berharap tiada haiwan buas yang kelaparan lalu di kawasan itu ataupun menghidu baunya. Dia masih mahu membuka mata keesokan harinya.

Kai mencari satu kawasan yang dirasakan selesa untuk dia duduk dan merawat luka pada kaki dan lengannya. Kai duduk bersandar di pangkal sebatang pokok dan membuka kemejanya. Dengan kudratnya, dia mengoyak kemejanya untuk dijadikan kain pembalut. Dia tahu dia membeli baju itu dengan harga yang mahal tetapi apa pentingnya semua itu sekarang? Dia sudah tidak mempunyai apa-apa. Dia sebatang kara dan sehelai sepinggang. Telefon dan dompetnya hilang. Dia tiada sebarang wang sekarang. Jadi, apa yang penting buat masa ini, ialah dirinya selamat. Itu yang dia kisahkan.

"Dengan siapa aku nak mintak tolong?" soal Kai kepada dirinya sendiri. Kemudian, dia ketawa kerana ayat yang dilontarnya itu kedengaran  kelakar. Dengan siapa lagi dia patut meminta tolong selain dirinya sendiri. Ia mustahil yang dia akan menemui seseorang di dalam hutan ini. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia mencari jalan untuk keluar daripada sini jika dia tidak mahu mati kebuluran ataupun menjadi santapan binatang buas.

Dia tidak tahu sudah sejauh mana dia berjalan semasa dia berhenti untuk rehat dan ternampak sesuatu yang tidak sepatutnya dia nampak di situ. Ia sebuah rumah. Namun bukanlah sebuah rumah yang sempurna dan mewah tetapi masih boleh dipanggil sebuah rumah kerana mempunyai dinding, bumbung, pintu dan tingkap. Juga terdapat beberapa helai baju yang tersidai di tepi rumah. Jelas yang rumah itu dibina sendiri dan dia tertanya-tanya berapa lama masa yang diambil untuk membina rumah tersebut.

Kai memasuki kawasan rumah itu dengan perlahan-lahan. Dia tertanya-tanya jika rumah itu mempunyai pemilik. Sedang Kai berlegar-legar di hadapan rumah usang itu, dia terdengar satu bunyi di belakang rumah. Dia menuju ke arah bunyi yang seolah-olah memanggilnya untuk pergi ke situ.

Apabila sampai di belakang rumah, dia ternampak seorang lelaki tua sedang membelakanginya sambil menyanyi. Lelaki bertubuh kecil itu sedang mencangkul tanah. Di sekelilingnya, terdapat beberapa jenis tumbuhan yang subur seperti lobak putih, tomato, timun dan juga terung. Dia membuat kesimpulan yang semua tumbuhan itu ditanam sendiri oleh lelaki tua itu.

Kai masih belum bersedia untuk menyapa lelaki itu, memikirkan yang dia mungkin akan mengejutkan lelaki itu kerana muncul di situ secara tiba-tiba tetapi hakikatnya dia yang lebih terkejut kerana ada orang yang membina rumah dan tinggal di dalam tempat yang dihuni pelbagai binatang buas ini. Haiwan pertama yang terbayang di fikirannya ialah harimau dan ular sawa.

Kai terkaku di tempatnya buat beberapa saat apabila lelaki tua itu menoleh ke arahnya disebabkan bunyi ranting patah yang dipijaknya. Dia kelihatan terkejut kerana melihat ada seorang lelaki memakai baju T hitam dengan lengan yang berbalut dan luka di pipi kirinya. Dia menghentikan kerjanya dan menatap wajah Kai.

*

"Sakit lagi ke?"

"Tak," Kai menggelengkan kepalanya. Dia memeriksa luka pada lengan dan kakinya. Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Lee Sang Soon itu membantu merawat lukanya menggunakan beberapa jenis daun yang dia tidak tahu apa namanya. Daun itu ditumbuk sehingga lumat kemudian di tampal pada tempat lukanya. Ia mungkin kedengaran agak kuno tetapi anehnya daun ajaib itu berjaya mengurangkan rasa sakit yang dirasainya.

"Terima kasih," ujar Kai kepada Sang Soon yang sedang duduk di hadapannya. Lelaki itu sedang mengunyah sebatang lobak merah yang dipetik dari belakang rumah.

"Sama-sama."

"Ahjussi tinggal seorang diri ke?" soal Kai dengan perasaan ingin tahu. Jika dilihat daripada  keadaan rumah itu, tiada tanda-tanda ada penghuni lain. Ia sebuah rumah kecil dan usang yang cuma ada sebuah katil untuk seorang dan juga sebuah meja kecil. Tiada peti sejuk, tiada sofa, tiada pendingin hawa, dan tiada televisyen.

"Kenapa ahjussi tinggal di sini?" tanya Kai sekali lagi apabila Sang Soon mengangguk dengan soalannya yang pertama tadi.

"Saya hilang isteri dan anak perempuan saya dalam kemalangan. Ibu mertua saya salahkan saya di atas apa yang berlaku. Dia memang bencikan saya sejak dari dulu lagi. Apabila saya tinggal sebatang kara, dia halau saya daripada rumah itu.

Isteri saya mempunyai banyak hutang termasuk bil kad kredit. Saya tidak mempunyai kerja dan tidak mampu untuk membayar hutang-hutang tersebut. Pengutip hutang datang cari saya setiap hari. Tidak kiralah ke mana saya bersembunyi, mereka pasti dapat mencari saya. Akhirnya saya lari ke dalam hutan dan buat keputusan untuk tinggal di sini," cerita Sang Soon panjang lebar.

Kai memerhatikan wajah lelaki itu. Kemudian, dia ketawa menyebabkan lelaki itu hairan.

"Muka ahjussi macam pelawak Lee Soo Geun," ujar Kai membuatkan lelaki tua itu turut ketawa. Dia memegang wajahnya.

"Dah ramai yang cakap macam tu. Saya buat tak tahu aje. Kamu ni nama siapa? Macam mana boleh masuk ke dalam hutan yang tebal ni?" tanya Sang Soon.

"Saya Kim Jong In. Tapi guna nama Kai. Saya kemalangan. Kereta yang saya naiki terjatuh ke dalam gaung. Nasib baik saya sempat keluar sebelum kereta tu meletup," ujar Kai. Dia sendiri masih belum percaya yang dia terselamat dalam kemalangan itu.

"Pasti ramai yang tidak percaya kamu terselamat jika diketahui kereta yang kamu naiki tu meletup. Orang ramai mungkin fikir saya dah mati kerana sudah sepuluh tahun saya menghilangkan diri," ujar Sang Soon sebelum dia mengunyah ketulan lobak merah yang terakhir di tangannya.

Kai memikirkan soal dirinya selepas dia mendengar cerita Sang Soon. Orang ramai pasti memikirkan benda yang sama. Tidak mungkin mereka dapat mencarinya di situ. Kesnya mungkin akan ditutup begitu saja dan dia akan dilupakan. Wajah Krystal muncul di mindanya. Adakah Krystal juga akan melupakan dirinya?

Kai menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia tidak mahu memikirkan soal perempuan itu. Krystal bukan lagi masalahnya. Dia mahu melupakan perempuan itu.

Sang Soon perasan akan gerak-geri Kai.

"Kai, kamu okey ke tak ni? Kenapa?" jelas yang dia sedang risaukan lelaki muda itu.

"Tak ada apa. Saya okey," jawab Kai lalu dia menghadiahkan satu sengihan kepada Sang Soon.

"Kamu belum mandi kan? Ambil bekas ni dan pergi mandi," Sang Soon menghulurkan satu bekas usang yang kelihatan seperti tin makanan yang dipotong. Kai mengerutkan dahinya. Dia melihat sekeliling rumah itu. Tiada tanda-tanda bilik air dibina di dalam rumah itu. Di mana dia hendak mandi?

"Mandi?"

"Ya. Pergi dekat sungai di belakang rumah. Mandi dekat situ," ujar Sang Soon dengan selamba. Dia membelakangi Kai sambil menyelongkar satu kotak usang. Setelah menemui apa yang dicari, Sang Soon menghulurkan sehelai baju kepada Kai dan juga seluar pendek usang.

"Ini baju bersih. Baju kamu tu nanti sidai dekat ampaian," ujar Sang Soon lagak seorang bapa. Kai mengangguk faham.

Kai berjalan pergi ke arah sungai yang dimaksudkan oleh Sang Soon. Airnya sangat jernih dan tidaklah terlalu dalam. Cuma separas pahanya. Dia meletakkan ke tepi bekas yang diberikan oleh Sang Soon sebentar tadi.

"Buat apa bekas ni. Berenang lagi best," ujar Kai sebelum dia merebahkan dirinya di dalam air. Dia tidak pernah mandi di sungai walaupun rumah neneknya berhampiran dengan sebatang sungai. Neneknya tidak membenarkan dia mandi. Bimbang dirinya lemas memandangkan air sungai itu deras.

Jarak rumahnya dengan sungai tidaklah terlalu jauh. Jadi, dia boleh nampak Kai yang sedang mandi di sungai. Dia menggelengkan kepala melihat telatah Kai yang seolah-olah baru kenal dengan air. Tanpa menghiraukan lelaki itu, dia pantas memetik beberapa biji tomato dan membawanya masuk untuk dimasak sebelum Kai pulang. Dia pasti lelaki itu sangat lapar.

Air direbus. Kemudian, dia memasukkan lobak merah yang dipotong dadu. Bila hampir masak, tomato dimasukkan. Dia mengangkat periuk kecil itu dan meletakkannya ke atas meja bersama dua mangkuk dan sudu.

Setelah puas bermain air, Kai naik ke tebing. Tuala dililitkan ke pinggangnya lalu dia melorotkan seluar basah yang dipakainya. Bahagian atas badannya yang terdedah dibiarkan begitu saja. Dia tidak perlu merasa risau ataupun segan kerana tiada siapa di situ yang dapat melihatnya.

Selepas menyarung seluar dan baju yang bersih dan kering, Kai berjalan membawa pakaiannya yang basah dan menuju ke rumah Sang Soon. Baju disidai di ampaian seperti yang disuruh oleh Sang Soon.

Dengan perut yang berkeroncong, Kai masuk ke dalam rumah, memikirkan jika ada apa-apa makanan untuk dia makan ataupun sesuatu untuk dia lakukan agar tidak terlalu fokus kepada rasa laparnya.

"Kai, mari duduk. Kita makan sama-sama," pelawa Sang Soon. Tanpa menunggu lama, Kai terus duduk dan menerkam senduk di dalam periuk bubur itu.

"Dekat rumah ni tak ada daging. Jadi kita makan bubur sayur ajelah," ujar Sang Soon namun sepertinya Kai sudah tidak peduli dengan semua itu. Ada daging ataupun tidak, dia tidak kisah asalkan ada sesuatu yang boleh dia makan agar dirinya tidak mati kebuluran.

"Uhuk! Uhuk!" Kai tersedak. Dia cepat meneguk air. Sang Soon menggosok lembut belakangnya.

"Makan perlahan-lahan. Jangan gelojoh."

Setelah itu, Kai memperlahankan tempo makannya. Namun masih kelihatan seperti orang yang sudah berpuluh hari sesat di hutan dan langsung tidak menemui makanan.

"Kamu kerja apa?" tanya Sang Soon. Agak kekok jika mereka tidak bercakap langsung. Lagipun, apa salahnya dia tahu serba sedikit mengenai Kai.

"Penari," jawab Kai sepatah.

"Wah," hanya yang diucapkan kerana dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak memberi reaksi.

"Saya kerja dekat S.M. Entertainment. Ahjussi mesti kenal kan?"

"Saya tak kenal artis di situ tapi Lee Soo Man saya kenal," jawab Sang Soon.

"Sekarang Soo Man sajangnim dah tak jadi CEO. Dah ganti dengn orang lain," ujar Kai. Wajah bengis Kim Young Min muncul di mindanya.

"Wah, nampaknya dah lama saya duduk di sini. Banyak benda yang dah berubah," ujar Sang Soon kemudian mereka berdua ketawa. Makan tengah hari menjadi lebih bermakna apabila mereka makan bersama dan berborak. Waktu petang diisi dengan aktiviti bercucuk tanam. Sang Soon mengajar Kai cara-cara untuk menanam memandangkan lelaki itu hampir merosakkan kebun kecil itu apabila dia cuba memetik sayur yang belum matang.

Menjelang malam, mereka makan ditemani cahaya dari unggun api. Kemudian Kai terlena di sisi Sang Soon. Bermimpi yang dirinya sedang berdiri di atas satu pentas dan disimbahi cahaya lampu. Suara orang ramai bersorak memanggil namanya cukup membuatkan bulu romanya meremang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience