Bab 8

Fanfiction Series 1842

Kai memandu keretanya menggunakan jalan yang jarang dia gunakan. Seingatnya dia pernah menggunakan jalan itu hanya dua kali kerana tergesa-gesa. Jalan tersebut merupakan jalan pintas untuk ke rumahnya. Jalan itu memendekkan masa perjalanannya dari dua puluh minit menjadi lima belas minit.

Jalan tersebut gelap dan tidak banyak kereta yang lalu di situ. Kai membuka radio untuk menghilangkan rasa bosan. Sepanjang perjalanan, hanya dua buah kereta yang dia jumpai. Lampu jalan tiada di kawasan tersebut membuatkan ia sangat berbahaya. Telefon Kai terus-terusan berbunyi menandakan ada pesanan masuk. Kerana merasa terganggu, Kai mematikan telefonnya.

Dia terus memandu. Jam dikerling. Pukul dua belas lima minit tengah malam. Kai memikirkan dia perlu tidur awal kerana pukul tujuh pagi esok dia perlu berada di bilik rakaman.

Minyak ditekan dan keretanya semakin laju membelah jalan raya. Semasa tiba di selekoh, tiba-tiba ada seekor haiwan melintasi jalan menyebabkan Kai membrek keretanya secara mengejut. Perbuatannya itu telah menyebabkan keretanya hilang kawalan dan berpusing beberapa kali sebelum merempuh pembahagi jalan. Keretanya jatuh ke dalam gaung dan meletup.

Kai tidak sempat menyelamatkan dirinya dan rentung di dalam kebakaran itu.

"KAI!"

Krystal terjaga. Dia melihat sekeliling. Gelap. Dia cuba mengenal pasti di mana dia berada. Akhirnya dia mengecam tempat itu. Dia masih lagi berada di dalam bilik latihan. Tetapi siapa yang menutup lampu? Dan siapa pula yang menyelimutkan dirinya?

Ting!

Krystal memeriksa telefonnya.

'Esok aku tak dapat nak ikut kau. Aku ada meeting untuk rakaman. Tadi nampak kau tidur. Tak sampai hati nak kejut.'

Krystal tersenyum apabila membaca pesanan yang dihantar oleh Sehun itu. Dia fikir Sehun yang datang menutup lampu dan menyelimutkan dia.

Mimpi ngeri tadi kembali bermain di fikirannya. Apa maksud mimpi itu? Jantung Krystal berdegup laju. Tiba-tiba dia berasa risau jika sesuatu berlaku kepada lelaki itu. Dia berkira-kira hendak mendail nombor Kai namun dia membatalkan niatnya itu. Macam mana kalau lelaki itu sedang tidur? Dia pasti hairan kenapa aku telefon dia waktu macam ni. Ah, tak ada apalah. Mimpi aje pun. Krystal membuat kesimpulan sendiri.

Dia kembali berbaring dan menyambung tidurnya kerana terlalu mengantuk.

*

Kai masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Dia memeriksa telefonnya. Ada pesanan dari Sehun.

Jangan lupa esok pukul lapan.

[Battery low! Connect to charger now]

Dia berdecit. Telefonnya dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Stereng diketuk seolah-olah dia sedang memikirkan sesuatu. Beberapa minit kemudian dia terasa satu getaran pada pahanya. Dia tahu getaran itu datang dari telefonnya yang mati akibat kehabisan bateri.

Selepas menukar gear, dia memandu keluar dari tempat parkir dan membelok ke kiri walaupun laluan untuk ke rumahnya terletak di sebelah kanan.

Keretanya berhenti di lampu isyarat. Kai melihat sekeliling. Jika dia membuat pusingan U, dia akan memasuki jalan untuk ke rumahnya yang mana ia mengambil masa hampir setengah jam. Dia melihat kereta yang datang datang dari arah kanan jalan. Cuma beberapa buah. Rasanya tidak sampai sepuluh buah kereta. Jalan tersebut merupakan jalan pintas untuk ke Anyang. Ia bukanlah jalan terbaik untuk dilalui tetapi jalan tersebut dapat memendekkan jarak perjalanannya.

Selepas lampu isyarat bertukar hijau, Kai membelok keretanya ke kanan. Dia memasuki jalan itu. Jalan tersebut gelap dan tiada lampu jalan. Tiada siapa tahu kenapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan yang drastik untuk memasang lampu jalan di situ walaupun sudah banyak kes kemalangan dilaporkan berlaku di jalan itu.

Hampir sepuluh minit Kai memandu, dia hanya berselisih dengan sebuah kereta dan sebuah lori. Sebenarnya jalan itu agak menyeramkan jadi Kai mencari stesen radio yang tidak memasang lagu yang mendayu-dayu selepas stesen yang dia dengar pada awalnya memutarkan lagu Ice Cream Cake. Permulaan lagu itu sahaja sudah cukup membuatkan bulu romanya meremang.

Kai sangat fokus semasa memandu. Dia tidak mahu sesuatu berlaku kerana dia tidak tahu apa yang akan terjadi jika dia tidak berhati-hati.

Semasa di satu selekoh yang agak tajam, Kai pasti dan yakin dengan matanya yang ada kereta di belakang keretanya. Selepas melepasi selekoh tajam itu, Kai melihat melalui cermin pandang belakang untuk memastikan apa yang dia lihat betul. Kai terkejut kerana kereta itu tiada pula di belakangnya. Kai asyik memandang ke belakang menyebabkan keretanya hilang kawalan kerana dia cemas apabila memasuki laluan yang bertentangan.

Kereta itu berpusing beberapa kali sebelum merempuh besi penghadang di tepi tebing. Kai hanya sempat membuka tali pinggang keledarnya semasa kereta itu jatuh menjunam ke dalam gaung. Kereta tersebut berpusing beberapa kali sebelum ia betul-betul berhenti kerana terhalang dengan sebatang pokok sebelum ia meletup dengan bunyi yang kuat.

*

Jam menunjukkan pukul tujuh lima puluh lima minit pagi, tetapi Kai masih belum tiba di bilik rakaman. Sehun menjadi cemas apabila dia langsung tidak dapat menghubungi nombor lelaki itu. Sudah berkali-berkali dia mendail nombor Kai tetapi hanya masuk ke peti pesanan suara.

Sehun berlegar-legar lobi dan melihat setiap orang yang masuk ke dalam bangunan itu, berharap yang dia dapat melihat Kai tetapi sudah sepuluh minit berlalu, Kai masih belum tiba.

Pintu hadapan sekali lagi dibuka. Sehun pantas memandang ke arah pintu. Namun dia sedikit hampa kerana yang muncul ialah Krystal, bukan Kai. Krystal ternampak Sehun sedang berdiri di satu sudut. Terus dia menghampiri lelaki itu.

Krystal memakai kemeja putih bersaiz besar bersama jeans hitam. Topi hitam menghiasi kepalanya. Topeng mukanya diletakkan pada pergelangan tangannya. Wajahnya tidak dihiasi sebarang solekan membuatkan Sehun hairan.

"Kau dari mana? Kenapa pakai baju semalam?" sapa Sehun sebaik sahaja Krystal berhenti di hadapannya sambil tersengih.

"Aku keluar sarapan," jawab Krystal. Dia masih lagi tersengih membuatkan Sehun hairan.

"Keluar?"

"Buat-buat tanya pulak. Terima kasih untuk semalam," Krystal menolak lembut bahu Sehun. Kali ini Sehun memang tidak tahu apa yang tidak kena dengan Krystal.

"Semalam? Apa dia? Apa kau cakap ni?" tanya Sehun hairan. Senyuman di wajah Krystal lenyap.

"Ini jaket kau kan? Kau cakap kau nampak aku tidur. Mesti kau yang selimutkan aku semalam kan? Kalau bukan kau, siapa lagi?"

"Bila masa pulak aku selimutkan kau? Memang aku nampak kau tidur dekat bilik latihan semalam. Tapi, aku blah macam tu aje. Aku ingatkan kau balik lepas tu. Rupanya kau tidur dekat situ terus."

"Habis kalau jaket ni bukan kau punya, ini jaket siapa?" soal Krystal hairan. Dia bermati-matian fikir yang jaket itu milik Sehun kerana Sehun seorang sahaja yang nampak dia tidur semalam.

"Ini jaket Kai."

Jawapan Sehun mengejutkan Krystal.

"Jaket siapa?"

"Jaket Kai. Dia beli masa dekat Thailand. Aku yang pilih untuk dia," jawab Sehun.

Pada masa yang sama, Kim Young Min merangkap CEO S.M. Entertainment masuk ke lobi utama dengan tergesa-gesa dan diekori oleh orang kanannya.

Telefon di kaunter utama berbunyi. Penyambut tetamu mengangkat untuk menjawabnya. Tetapi tidak sampai seminit, telefon lain pula yang berbunyi. Suasana tiba-tiba menjadi kalut.

"...pihak kami tak dapat apa-apa maklumat tambahan lagi."

"Maaf, ya. Tuan Kim tidak mahu diganggu buat masa sekarang. Sidang media telah diatur. Jadi, pihak kami akan jelaskan semuanya nanti."

Sehun dan Krystal hairan. Kenapa tiba-tiba semua orang menjadi cemas. Sepertinya sesuatu telah berlaku.

"Noona, sidang media akan dilangsungkan? Untuk apa?" Mereka berdua merapati kaunter dan Sehun menegur salah seorang staf yang paling tua di situ.

"Kamu berdua tak tengok berita ke?" tanya staf yang memakai tag nama Kim Yoo Jin.

"Belum. Kenapa?" jawab Sehun.

"Salah seorang staf kita kemalangan semalam. Pihak polis telah jalankan siasatan di tempat kejadian dan sidang media akan dilakukan sejam dari sekarang," jawab Yoojin.

Sehun dan Krystal memandang sesama sendiri. Mereka masih lagi hairan apa tujuannya sidang media dilakukan. Cuma kemalangan sahaja.

"Sekejap, cuma kemalangan kan? Kenapa sampai perlu buat sidang media?" Sehun mahukan kepastian. Entah kenapa perkara itu mengganggu dirinya dan dia mahukan jawapan yang jelas.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," jawab Yoojin. Telefon berdering menghalang Sehun daripada bertanya lebih lanjut.

Krystal dan Sehun agak terkejut dengan apa yang berlaku setelah mendapat informasi daripada staf. Mereka tertanya-tanya siapakah orang tersebut. Mungkinkah orang yang mereka rapat?

Mereka melepasi televisyen yang terpasang di lobi. Suara pembaca berita menghentikan langkah Sehun dan Krystal agar menontonnya dengan lebih lanjut.

"...kemalangan telah berlaku di sebuah jalan pintas menuju ke Anyang. Kereta mangsa, Kim Jong In, atau lebih dikenali dengan nama Kai, berusia dua puluh enam tahun, berpusing beberapa kali dipercayai akibat hilang kawalan, lalu merempuh penghadang jalan dan jatuh menjunam ke dalam gaung sedalam seratus meter. Pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mencari mayat mangsa kerana kereta yang dinaiki mangsa meletup. Bukti yang ditemui di tempat kejadian hanyalah dompet mangsa. Mangsa merupakan seorang penari di bawah.."

Krystal terjelopok jatuh apabila dia menonton berita terkini itu. Sehun memegang gadis itu. Dia bertinggung di belakang Krystal. Dia hanya sempat memanggil nama Krystal sekali sebelum gadis itu layu di pangkuannya.

Pada masa yang sama, Changmin datang ke situ. Sehun segera meminta bantuan Changmin untuk memapah Krystal dan membaringkannya di sofa.

Victoria dan Amber tiba lima belas minit kemudian apabila dimaklumkan oleh pengurus mereka yang Krystal pengsan.

"Semalam sekali lagi dia tak balik. Saya dah berkali-kali telefon, dia tak angkat. Risau dibuatnya," Victoria menyuarakan kerisauannya. Sudah pasti dia bimbang jika sesuatu terjadi kepada Krystal kerana dia ketua. Apa-apa yang berlaku di dalam kumpulannya, orang akan menuding jari kepadanya kerana ahli lain berada di bawah jagaannya. Itulah kesukaran yang terpaksa ditempuh sebagai seorang ketua kumpulan.

"Semalam dia tidur dekat bilik latihan," jawab Sehun. Matanya tidak lekang memandang Krystal yang terbaring itu.

"Dia demam," sambung Sehun lagi.

Amber memerhatikan cara Sehun memandang Krystal. Dia tahu lelaki itu menyimpan perasaan kepada sabahatnya itu. Dari cara Sehun melayan Krystal pun sudah dia tahu. Tapi perempuan itu mana kisah semua itu. Dia cuma anggap Sehun itu kawan baiknya dan semua yang Sehun lakukan itu adalah atas dasar persahabatan.

"Kamu berdua ada latihan, kan?" tanya Changmin. Victoria menganggukkan kepala.

"Pergilah. Sehun dan saya boleh jaga Krystal. Lagipun kami perlu hantar dia ke klinik," selaku artis yang paling senior di situ, Changmin merasakan yang dirinya bertanggungjawab menjaga artis-artis di bawahnya yang merupakan juniornya.

Victoria mengucapkan terima kasih sebelum dia dan Amber pergi dari situ.

"Hyung pun pergilah. Saya tahu hyung ada kerja. Tak apa. Saya boleh jaga Krystal. Semuanya masih terkawal," Sehun memandang Changmin.

"Sehun-ah..."

"Jangan risau. Saya okey," jawab Sehun. Dia sedaya upaya menyembunyikan perasaannya. Senyuman diukir untuk meyakinkan Changmin. Akhirnya lelaki itu mengangguk faham sebelum dia tergesa-gesa pergi. Sehun menghantar langkah Changmin lewat ekor matanya.

"Kai..." Sehun melutut di tepi sofa yang menempatkan Krystal. Akhirnya pecah jua tangisannya. Walaupun dia tidaklah rapat dengan Kai, tetapi dia sudah kenal lelaki itu sejak tahun pertama universiti lagi. Kai cinta pertama Krystal. Walaupun sudah hampir tujuh tahun dia menaruh hati kepada Krystal, tetapi dia tetap doakan yang terbaik buat gadis itu. Dia gembira bila Krystal akhirnya menemui cintanya walaupun orang itu bukan dirinya. Bagaimana Krystal hendak menerima semua ini? Dia tahu Krystal masih sayangkan Kai. Perpisahan ini bukan kehendak mereka tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak mengelak daripada semua ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience