Bab 4

Fanfiction Series 1839

Sehun sedang makan di BBQ Olive Chicken semasa dia ternampak Kai berjalan masuk seorang diri. Sehun pantas mengangkat tangannya ke arah Kai. Mujurlah lelaki itu perasan. Terus Sehun dihampiri dan dia menarik kerusi yang bertentangan dengan Sehun.

"Kau seorang aje?" tanya Kai. Sehun mengangguk.

Selepas pelayan yang mengambil pesanan Kai, Sehun terus membuka mulut.

"Kau join tak bengkel minggu hadapan?"

"Tak. Aku ada hal. Kenapa? Kau join ke?" tanya Kai pula. Sehun menggelengkan kepalanya.

"Tak. Sebab Krystal dah janji nak keluar dengan aku," jawab Sehun dengan selamba. Dia menanti reaksi daripada Kai namun lelaki itu hanya bereaksi biasa sahaja.

"Oh, macam tu. Baguslah. Korang berdua patut luangkan banyak masa bersama," ujar Kai. Sehun berdehem.

"Kai, aku nak tanya kau sesuatu ni. Aku harap kau jawab dengan jujur."

"Apa dia?"

"Kenapa kau putus dengan Krystal? Aku ingat kau cintakan dia," Sehun menyisip Americano miliknya.

"Sebab aku cintakan dialah aku lepaskan dia.

Sehun, kau ingat lagi tak apa yang kau cakap dekat aku dulu?" tanya Kai membuatkan Sehun bingung.

"Apa dia?"

"Kau pernah cakap dekat aku macam ni, Kai kau jaga elok kawan baik aku ni. Jangan lukakan hati dia. Ikut kehendak dia. Aku percayakan kau. Kau cakap macam tu dekat aku.

Krystal yang beria mintak putus dengan aku. Aku masih sayangkan dia. Tapi kalau itu yang dia nak, aku kena tunaikan sebab aku dah berjanji dengan kau," ujar Kai. Wajahnya kelihatan tenang sahaja. Seolah-olah dia bercakap mengenai orang lain, bukan dirinya.

Sehun terkedu. Dia tidak tahu hendak memberi reaksi yang bagaimana kepada lelaki di hadapannya itu.

"Kai..."

"Aku kecewa dengan dia. Hanya sebab aku tolong Yeri menari, dia cakap dia dah tak percayakan aku. Aku secara tak sengaja terpeluk Yeri semasa dia hampir terjatuh, dia terus cop aku sebagai lelaki tak guna," jelas Kai. Dia mula membuka ceritanya. Dia yakin Sehun pasti mahu mengetahui cerita sebenar daripada dirinya memandangkan Krystal tidak akan menceritakan perkara itu kepada kawan baiknya itu.

"Dia cakap macam tu? Mungkin dia masih terkejut dan cuba melepaskan rasa kecewanya kepada kau. Dia tak berfikir dengan baik pada masa tu. Perasaan marah menguasai diri dia. Ada juga kemungkinan yang dia tak maksudkannya," ujar Sehun.

"Dia dah lama fikirkannya tanpa berbincang dengan aku. Aku ni tak penting pun untuk dia. Mungkin dia anggap aku ni sekadar mahu menumpang populariti dia. Aku betul-betul kecewa, Sehun."

Kali ini wajah Kai berubah. Dia kelihatan sedih dan muram. Sehun tahu lelaki itu cuba berlakon kuat di hadapannya. Kai pastinya kecewa dengan apa yang berlaku.

"Aku pun terkejut bila Krystal bagitahu aku semalam yang kau dengan dia dah tak ada apa-apa. Aku tak boleh nak halang. Ini soal hati dan perasaan masing-masing. Cuma aku harap keputusan yang dibuat ni tidak akan memakan diri kau mahupun Krystal."

Kai termenung. Cuba memikirkan kata-kata Sehun. Betulkah dia tidak akan menyesal dengan keputusannya itu?

*

"Aku rasa betullah. Aku yakin."

"Macam mana kau yakin? Mana tahu mereka cuma kawan aje. Lelaki tu kan satu label dengan Krystal unnie."

"Aku pernah nampak lelaki tu suap makanan dekat Krystal unnie. Kalau kawan, takkan nak buat macam tu-"

"Aduh!"

Remaja perempuan itu mengaduh sakit apabila dia terlanggar seseorang. Kawannya itu memandang ke arah lelaki yang melanggar kawannya.

"Maaf, kamu okey?" tanya Kai penuh prihatin. Dua orang remaja perempuan itu terkejut.

"Wah, daebak! Ini kan..." ujar kawan kepada perempuan yang dilanggar oleh Kai.

"Tak apa. Sikit aje," ujar perempuan berbaju merah itu.

"Betul okey ni?" Sehun meminta kepastian. Perempuan itu mengangguk.

Baru sahaja mereka hendak berlalu pergi, perempuan itu menahan mereka berdua.

"Sekejap!"

Sehun dan Kai berpaling semula ke belakang.

"Saya nak tanya sesuatu."

"Apa dia?" tanya Kai.

"Oppa dengan Krystal unnie, bercinta ke?" tanya dengan penuh berhati-hati. Kai tersenyum.

"Tak adalah. Kami cuma kawan aje. Kami bertiga kawan," jawab Kai.

Perempuan yang seorang lagi terus menepuk lengan kawannya.

"Tengok, kan aku dah cakap, mereka kawan ajelah."

"Oh, kalau macam tu, kami pergi dulu. Selamat tinggal," ujar perempuan itu kepada Kai dan Sehun lalu terus pergi dari situ.

*

Mereka berdua memandu kereta masing-masing dan terus menuju ke bangunan S.M. Entertainment.

Mereka beriringan masuk ke dalam lif. Sehun berhenti di tingkat dua manakala Kai naik ke tingkat tiga. Kai perlu uruskan beberapa perkara bersama penari lain untuk showcase yang akan dibuat lusa. Sehun bertemu dengan Krystal kerana gadis itu mengajak Sehun untuk menemaninya berlatih.

Selepas selesai kerjanya, Kai turun ke tingkat dua. Semasa keluar daripada lif, dia bertembung dengan Krystal yang sedang rancak berborak dengan Sehun. Dari jauh lagi dia sudah mendengar suara dua orang sahabat itu.

Krystal terkejut melihat Kai. Dia tidak menyangka akan bertemu di situ. Krystal cuba mengawal riak wajahnya namun dia terkejut apabila Kai hanya berjalan melepasi dirinya dan Sehun seolah-olah mereka berdua tidak wujud. Kai langsung tidak memandangnya mahupun Sehun. Krystal dan Sehun memandang satu sama lain sebelum Sehun menarik lengan Krystal untuk pergi dari situ.

*

Krystal turun seorang diri ke kafe untuk makan tengah hari kerana empat lagi ahli kumpulannya keluar untuk makan di luar. Dia menolak untuk menyertai mereka.

Waktu itu tidak ramai yang berada di kafe. Artis yang dia nampak sedang makan di situ ialah Eunhyuk dan Shindong. Juga ada beberapa orang staf sedang menikmati makan tengah hari mereka.

Dia tiada selera untuk makan makanan yang berat jadi dia bercadang untuk makan roti sahaja. Selepas meletakkan satu hiris roti tuna, Krystal ternampak roti keju. Keju memang menjadi kegemarannya sejak dia kecil lagi. Tanpa berfikir panjang, dia terus menghulurkan tangannya untuk mencapai roti tersebut, namun tidak disangka-sangka tangannya berlanggar dengan tangan seseorang. Orang tersebut juga menyasarkan roti yang sama. Itu adalah roti yang terakhir, jadi Krystal tidak mahu kehilangannya sedangkan roti itu sudah berada di hadapan matanya.

Pandangan matanya dihalakan ke kiri untuk melihat siapa gerangan orang yang berkongsi selera yang sama dengan dirinya. Kai? Krystal terkejut. Dia segera menarik kembali tangannya. Dia menyangka Kai akan mengambil roti tersebut, tetapi lelaki itu juga menarik kembali tangannya apabila dia menyedari orang di sebelahnya itu adalah Krystal. Kai meninggalkan tempat itu dengan pinggan yang kosong.

Krystal masih statik di tempat dia berdiri. Masih terkejut dengan apa yang telah terjadi. Semuanya pantas baginya. Sedar-sedar sahaja, Sehun sudah berada di sebelahnya lalu menyepit roti keju itu dan meletakkannya ke atas pinggannya.

"Jom, duduk dekat sana," Sehun memuncungkan bibirnya ke arah satu meja kosong yang berada di sebelah meja Shindong. Krystal mengekori langkah Sehun dan hampir berlanggar dengan meja kerana matanya terlalu asyik memandang Kai yang sedang menekan butang lif itu. Lelaki itu tidak makan. Mungkinkah kerana dirinya?

*

Pada jam sembilan malam, semua penari yang terlibat dengan showcase yang akan diadakan pada lusa perlu berkumpul di bilik latihan di tingkat empat kerana tempat itu luas dan cukup untuk menampung semua peserta termasuklah Kai, Sehun dan Krystal.

Shim Jaewon, selaku ketua penganjur, memberikan ulasan ringkas sebelum mereka mula menentukan pasangan untuk menari.

"Baiklah, Kai, awak berpasangan dengan... Krystal," ujar Shim Jaewon.

"Hah?" Krystal lantas mengangkat wajahnya dan memandang Kai kemudian beralih kepada Shim Jaewon.

"Maaf, tapi saya dah pilih pasangan saya, Seulgi."

Kai terus berjalan ke arah Seulgi dan terus merangkul lengan gadis itu. Terus berona merah pipi penari Red Velvet itu. Tidak menyangka yang Kai akan memilih dirinya. Dia cuba meleraikan rangkulan tangan Kai pada lengannya kerana dia tidak selesa apabila menjadi tumpuan manusia di dalam bilik itu tetapi Kai malah menariknya lebih rapat dan mengetatkan rangkulannya. Akhirnya Seulgi hanya membiarkan perkara itu.

Semua pasangan telah ditentukan dan mereka mula berlatih.

"Jom," Sehun menghampiri Krystal dan menghulurkan tangannya kepada gadis itu. Krystal memandang tangannya. Dia teragak-agak untuk menyambutnya. Sempat lagi matanya melihat sekeliling dan ternampak Kai dan Irene yang sedang menari. Kai perasan lewat ekor matanya yang Krystal sedang memerhatikan dirinya. Seulgi terkejut apabila Kai secara tiba-tiba menariknya rapat dengan sebelah tangannya berada pada pinggang gadis itu. Jarak antara wajah mereka hanyalah beberapa inci malah hidung mereka hampir bersentuhan. Kai menikam pandangan mata Seulgi. Padahal langkah tersebut langsung tidak termasuk dalam koreografi mereka.

Hati Krystal seolah-olah ditikam dengan pisau yang tajam. Perlukah Kai melakukan semua itu? Tidak puaskah lelaki itu melukakan hatinya yang sudah sedia terluka?

Krystal terus menyambut huluran tangan Sehun kerana dia merasakan yang sudah lama lelaki itu menanti reaksinya. Sehun tersenyum apabila Krystal meletakkan tangan ke atas tangannya lalu dia mula menari dengan hati yang berbunga riang.

Dia melihat apa yang Krystal lihat sebentar tadi. Dia tidak tahu apa tujuan Kai melakukan semua itu. Juga perbuatannya sebelum ini yang tidak menghiraukan Krystal dan berpura-pura seperti gadis itu tidak wujud. Tapi apa yang dia tahu sekarang, dia tidak mahu melihat Krystal bersedih lagi. Kali terakhir dia melihat wajah muram Krystal adalah tujuh tahun yang lalu apabila ayahnya meninggal dunia. Krystal menjadi pendiam dan tidak bergaul dengan orang dan dia tidak mahu perkara itu berulang.

*

Dua minggu berlalu dan tibalah hari yang telah dinanti-nantikan oleh seluruh staf dan artis di S.M. Entertainment iaitu konsert jelajah SMTOWN di Jepun. Lokasi pada kali ini masih sama seperti tahun sebelumnya iaitu di Osaka.

Pada pagi hari Jumaat, ramai artis mula berlepas ke Jepun melalui lapangan terbang Incheon.

Krystal berlepas pada waktu tengah hari kerana ada perkara yang perlu dia dan kumpulannya selesaikan.

Latihan berjalan dengan sangat lancar malah semua artis sangat seronok. Pada hari konsert berlangsung, cuaca sangat baik dan peminat yang datang juga ramai. Suasana sangat meriah kerana semua tempat duduk dipenuhi oleh peminat. Tiada satu pun kerusi kosong. Sebelum F(x) selesai membuat persembahan, Taemin dan Hyoyeon sudah menunggu di belakang pentas untuk persembahan duet mereka. Leeteuk datang menghampiri Taemin.

"Taemin-ah."

"Hyung, meja yang saya perlukan dah sedia ke?" tanya Taemin. Dia tidak mahu ada masalah. Leeteuk mengangguk.

"Ada tiga puluh saat lagi sebelum persembahan F(x) tamat," ujar Leeteuk. Taemin dan Hyoyeon mengangguk faham. Mereka membetulkan mikrofon yang dipakai.

Tiba-tiba kedengaran penonton bersorak dan nyanyian kumpulan F(x) juga terhenti padahal sudah saat-saat akhir persembahan. Selepas muzik tamat, Amber segera turun dari pentas dan meminta bantuan daripada beberapa orang staf kerana Krystal terjatuh. Dia mengaduh kesakitan semasa Sulli dan Luna cuba membantunya untuk turun ke bawah pentas. Krystal diserahkan ke dalam jagaan staf kerana ahli lain perlu menukar pakaian untuk persembahan kolaborasi dengan SNSD selepas persembahan Taemin dan Hyoyeon.

Seorang staf menyuruh Krystal menunggu di tepi tangga kemudian staf perempuan tersebut menghilang entah ke mana. Suasana di situ agak kelam kabut kerana staf sedang menguruskan prop yang hendak dibawa naik ke pentas. Mereka perlu mengejar masa dan tidak boleh membuat penonton tertunggu-tunggu.

Kai dan seorang rakannya sedang mengangkat meja dan menuju ke arah tangga pentas. Malangnya Krystal berada di tepi tangga itu dan menyukarkan kerja yang dilakukan. Krystal cuba berjengket untuk memberi ruang kepada Kai. Namun, dengan kakinya yang sakit itu, selaju manakah dia dapat bergerak? Dia berjalan terhincut-hincut namun tidak semena-mena dia terasa tubuhnya melayang kemudian dia mendapati dirinya sudah terbaring di lantai. Kakinya berdenyut kuat. Air matanya hampir keluar kerana sakit yang teramat.

"Tepilah!" Itu suara Kai. Dia yakin.

Apabila dia menoleh ke belakang, Kai sedang memanjat tangga dan meninggalkan dirinya terduduk di situ tanpa rasa bersalah sedikit pun ataupun sekurang-kurangnya meminta maaf. Tapi untuk apa minta maaf jika sudah jelas yang lelaki itu sengaja melanggarnya.

Sehun sedang mencari Krystal selepas dia mengetahui yang gadis itu terjatuh. Dia terkejut melihat Krystal sedang duduk di lantai. Pantas dia mendapatkan kawan baiknya itu dan memapahnya ke bilik rawatan.

Di dalam kepalanya, masih tertanya-tanya kenapa gadis itu duduk di tepi tangga itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience