Bab 7

Drama Series 28574

Lain pula bagi Mastura. Semenjak dirinya meningkat usia, Mastura lebih gemar mengambil sarapan yang agak ringan. French toast itu adalah untuk dirinya.

Namun kebiasaannya, perkataan ringan itu akan hanya tinggal impian sahaja sudahnya. Apa pun, Mastura tetap akan memakan apa sahaja makanan yang terletak di atas meja.

Tidak mahu membazir.

Adik Suzana iaitu Rusnita dan Juhaida sudah pergi ke sekolah. Mastura membekalkan nasi lemak buat mereka berdua.
Jadi bolehlah mereka menyimpan duit belanja yang memang diagihkan sebanyak RM3 setiap orang, pada setiap hari persekolahan.

Itupun kalau mereka berdua teringat untuk menyimpannya. Menyimpannya betul-betul, hatta menyimpan di bawah bantal pun tetap dikatakan disimpan.

Bukanlah sesuatu duit itu dinamakan disimpan seandainya digunakan untuk membeli top-up selang dua hari sekali.

Ya, inilah isu yang sering melanda ibu bapa di zaman millennium ini. Anak-anak yang masih bersekolah tidak menyimpan duit kerana duit pergi ke kedai top-up. Zaman sudah berubah.

Selepas Mastura menyendukkan nasi lemak ke pinggannya, Sidek mencapai seketul ayam goreng berempah dan dibawa ke pinggannya.

Suzana tidak ketinggalan, di dalam pinggannya bukan sahaja ada nasi lemak malah ada seketul french toast. Katanya, eloklah bersarapan seperti seorang raja.

Kalau bab pola pemakanan itu pandai pula. Tetapi kalau bab menyesuaikan diri dalam pekerjaan, ada-ada sahaja alasannya. Penatlah, letihlah, supervisor tak okeylah, jauhlah, dekatlah, customer loqlaqlah. Pendek kata, panjang sahaja akalnya berfikir untuk mencipta alasan demi alasan.

Mastura sudah puas memikirkan ke manakah hendak ditujukan anak sulungnya itu dalam hal mencari pekerjaan. Takut-takut kalau semua cadangan ditolaknya mentah-mentah. Kadangkala nasib juga tidak menyebelahi Suzana. Barangkali. Entah-entah, dia sengaja mengelak. Hanya Allah SWT yang tahu apakah rahsia di sebalik semua kegagalan itu.

“Mama, Along nak pergi cari kerja,” beritahu Along ketika mereka sedang bersarapan.

“Cari kerja?” Mastura terkejut.

Baru sahaja dia berfikir hendak menyuruh Suzana keluar ke pekan berdekatan untuk mencari kerja, Suzana sudah membuka mulut. Ini sudah bagus, fikirnya.

Entah-entah aku ada kuasa telepati, tebak hatinya lalu Mastura tersenyum kecil. Bukan tersenyum kerana senang dengan kata-kata anak sulungnya, tetapi senang andainya dia benar-benar ada kuasa telepati itu!

Bolehlah dia mengarahkan anak-anaknya dari dalam hati sahaja. Tidak perlu membuka mulut.

“Baguslah, Along,” balas Sidek sambil merenung isterinya.
Hairan, kenapa Mastura tersenyum-senyum saat itu.

“Mama! Dengar tak? Along kata Along nak cari kerja.” Suzana menegur mamanya sambil menyentuh tangan wanita itu.
Dia tidak berpuas hati apabila dilihatnya mamanya seolah-olah tidak mempedulikannya.

Apakah mama sudah tidak kisah lagi dengan dirinya? Suzana tertanya-tanya.

“Oo goreng ikan bilis!”

“Hish, Along ni. Kan dah terkejut mama dibuatnya! Nasib baik tak terbang ikan bilis ni,” gerutu Mastura.

…bersambung
Bab akan datang:
Dimanakah Suzana ingin mencari pekerjaan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience