Bab 2

Drama Series 28574

Tetapi pekerjaan apa yang boleh dipohon tanpa didukung oleh sijil-sijil akademik yang mantap?

Melainkan jawatan pekerja am di pasar raya-pasar raya, kedai-kedai kecil seperti kedai cermin mata, kedai alat-alat mainan dan kedai barangan serbaneka. Tidak dinafikan ramai juga yang sudah berjaya dan kekal dengan pekerjaan mereka bertahun-tahun.

Tapi tidak tahulah apa yang boleh dikatakan dengan Suzana ini. Cakap dan minat dan kemahuan langsung tidak seiring. Bulan lepas dia bekerja di kedai serbaneka, tetapi cuma bertahan dua hari sahaja. Berhenti dengan alasan tidak larat berdiri.

Pekerjaan itu memerlukan dia berdiri sepanjang masa dari mula masuk kerja sehinggalah waktu tamat bekerja. Waktu untuk merehatkan kaki hanyalah di waktu rehat yang ditetapkan oleh majikan, iaitu satu jam pada pukul 1.00.

Memang agak mendera tapi itulah hakikat yang harus dipikul.

Hari ini, Suzana baru sahaja berhenti kerja lagi. Atau boleh juga dikatakan cabut lari lagi daripada pekerjaannya di sebuah pasar raya terkemuka di Malaysia.

Apa lagi kalau bukan Pasar Raya Besar Misko. Hendak menempatkan diri di Pasar Raya Besar Misko bukanlah semudah memohon pekerjaan di kedai serbaneka.

Tapisannya agak ketat juga. Banyak soalan ditanya ketika sesi temuduga. Apabila sudah dapat, pekerjaan yang diamanahkan bukanlah susah mana pun. Apa yang penting, menjalankan tugasan dengan sebaik mungkin.

Kadangkala Suzana disuruh menjadi promoter barangan. Kadangkala terpaksa menggantikan cashier lain yang bercuti. Cuma yang tidak berapa seronok ialah waktu bekerjanya yang ada shif.
Kalau kena shif pagi, kena keluar awal pagi untuk ke tempat kerja. Kalau kena shif petang, balik lewat malam.

Apa pun, dugaan tetap ada walau di mana kita berada. Hanya akal yang bijak dan fikiran yang tenang sahaja mampu mengatasinya.
Baru-baru ini Mastura memang geram terhadap Suzana. Dia berasa ralat. Suzana berhenti kerana sejenis barang yang tidak boleh dilupuskan secara semula jadi.

Kerana barang itu dan kekecohan yang ditimbulkan oleh barang itu, Suzana sudah tidak mahu lagi pergi bekerja di pasar raya tersebut.

“Apa Along ingat, senang sangat ke nak mencari pekerjaan sekarang? Graduan yang dilahirkan dari universiti-universiti terkemuka berbekalkan ijazah dan diploma pun sukar hendak memperolehi pekerjaan, inikan pulak kamu, Along. Seorang budak perempuan lepasan SPM yang hanya berbekalkan sijil berhenti sekolah.”

Walaupun agak pedih, namun itulah hakikat kehidupan. Kalau masih ada yang tidak melihat waima tidak mahu melihat hakikat tersebut, entahlah. Tepuk dada tanya selera. Dan tidaklah namanya seorang ibu kalau tidak membebel berhari-hari dengan kerenah seorang anak yang bermacam-macam. Disuruh mendaftar dengan JPA pun susah sangat hendak dilakukan. Aduh… Betullah kata orang, memelihara lembu sekandang lebih senang daripada memelihara anak perempuan seorang.

…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Suzana merancang sesuatu yang lain untuk masa hadapannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience