Bab 8

Drama Series 28574

Suzana tergelak kecil. Selamat.

Nasib baik Mastura bukan jenis orang yang kuat melatah. Dia cuma terkejut sedikit sahaja tadi. Kalau tidak, Suzanalah yang akan menjadi mangsa ikan bilis terbang.

“Ha, pergilah kerja. Sapa larang. Elok sangatlah tu. Duduk di rumah pun menghabiskan beras je, membesarkan badan je buat apa. Kalau Along kerja, bolehlah Along tolong bayarkan bil elektrik ke air ke,” ujar Mastura sambil melabuhkan punggungnya di kerusi.

“Mas, dia kata nak cari kerja, bukan nak pergi kerja,” ujar Sidek selepas menelan nasi di dalam mulutnya untuk membetulkan tanggapan isterinya.

“Haa… itulah yang Mas nak cakap tadi,” balas Mastura sejurus sebelum menyuap nasi ke mulutnya.

“Alah, mama tu. Beranganlah tu,” ujar Suzana perlahan sambil menjuihkan bibirnya.

“Along serius ni. Hari ni Along nak pergi cari kerja,” ulangnya.

“Yalah. Elok sangatlah tu. Senang hati mama mendengarnya. Nak keluar pukul berapa? Nak pergi dengan siapa?”

“Mas, tolong tuang air kopi lagi. Along, bak sini air basuh tangan tu. Papa nak pergi kerja dah.”

Sidek menghulurkan cawan kepada Mastura sambil menunggu Suzana menghulurkan mangkuk berisi air bersih kepadanya.

“Dalam pukul 11.00. Along keluar dengan Dalila. Dia pun nak cari kerja.”

“Tak lambat sangat ke? Dah dekat nak waktu makan tu, nanti taukeh kedai tengah kelam-kabut, korang berdua pulak terhegeh-hegeh nak mintak borang,” komen Sidek sambil mengelap tangan dengan sehelai tuala kering yang baru dihulurkan oleh isterinya tadi.

“Tak delah papa, okeylah pukul 11.00. Kalau ikutkan Along, Along nak keluar cari kerja pukul 4.00 petang je.”

“Amboi… elok sangatlah tu. Apa tak kata tengah malam je?”
Suzana ketawa kecil mendengar cadangan ibunya yang lebih kepada kata-kata sindiran itu. Tidak berani pula hendak menjawab, takut main-main dan bergurau bertukar serius.

“Dahlah, cepat habiskan makan tu. Pergi siap cepat,” arah Mastura sambil menjegilkan mata kepada anaknya.

Selepas mengelap tangan, Sidek bangun lalu mengeluarkan dompet dari poket belakang seluarnya. Dia mengeluarkan beberapa keping wang kertas bernilai RM1 dan dua keping wang kertas bernilai RM5.

Duit itu dihulurkan kepada Suzana, dan anak gadis itu menerimanya dengan senyum lebar.

“Duit tambang. Kalau ada lebih, simpan.”

“Terima kasih, papa.”

“Yalah simpan, entah-entah simpan kat kedai top-up lagi. Nanti mama sorokkan handphone tu baru tau. Tu yang jadi malas nak kerja tu, asyik main telefon je.” Sempat juga Mastura merungut ala mengugut dengan perangai anaknya.

Suzana tidak membalas, dia hanya tersengih-sengih sambil menyuap french toast ke mulutnya.

“Nak mintak kerja kat mana?” soal Sidek sambil berlalu pergi dari dapur.

“Tengoklah. Kat Pizza Hut ke, KFC ke, Esso ke, CoolBlog pun baru bukak tu.”

…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Suzana sudah benar-benar bersedia untuk bekerja?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience