Bab 25

Drama Series 28574

Malah perbuatannya hanya menaikkan amarah lelaki itu membuatkannya mengetatkan lagi belitan lengannya di leher Haniza.
Suzana menjerit-jerit memanggil Haniza apabila dilihatnya rontaan Haniza sudah mula lemah. Tidak disedarinya air matanya mengalir melihat Haniza yang bagaikan sudah kehabisan udara di situ. Dan entah bila atau bagaimana, tiba-tiba sahaja tukul besi di tangan Suzana telah mengenai kepala si perompak.

Tahu-tahu sahaja perompak itu sedang mengaduh sambil menekup kepalanya yang terkena tukul besi tadi dengan kedua-dua belah tangannya. Semua orang terkejut. Haniza pula terus jatuh terjelepok di lantai sambil memegang lehernya dengan mata terbeliak.

Saat itu, Akim melangkah pantas lalu menangkap tangan Haniza. Dengan gagah, terus diheretnya Haniza menjauhi perompak itu.

“Kak! Akak okey ke?” tanya Suzana apabila Haniza sudah berada di sampingnya.

Haniza mengangguk sekali sambil menggosok-gosok punggungnya yang sakit diheret di lantai simen namun bibirnya sempat menguntumkan senyuman buat Suzana. Sesekali dia menggosok bahu kirinya. Tidak dinafikan, agak sakit juga diheret tadi tetapi kesyukuran kerana diselamatkan nampaknya lebih utama.

“Syukur akak selamat…” Suzana bertinggung di sebelah Haniza sambil memeluk wanita itu. kedua-duanya bertangisan tetapi tidak berlarutan kerana mereka tahu, bahaya masih ada selagi perompak itu masih di situ.

Dalam pada mereka berpelukan dan bertangisan itu, rupa-rupanya Apek, Nyonya dan Akim berhadapan dengan perompak. Dengan kakinya yang panjang, Akim menendang lutut si perompak ketika lelaki itu leka memegang kepalanya yang berdarah dibaling tukul besi tadi. Mungkin juga dia berasa pening kerana sebelum ditendang oleh Akim, dia menutup matanya sambil menekup kuat kepalanya.

Kemudian dengan gerakan yang perlahan namun bertenaga hasil daripada latihan senaman Tai-Chi, Apek melepaskan sebuah tumbukan ke bahu kiri si perompak membuatkannya terdorong ke belakang. Datang Akim pula membantu. Dengan tangan kanannya, dia menangkap tangan kiri perompak itu dan menyentak tubuh itu ke hadapan semula. Lalu menghenyak ke perut kanan perompak itu dengan lutut kanannya.

Serentak, Akim melepaskan pegangan tangannya dan memerhatikan sahaja si perompak terdorong ke sebelah kiri dan berlanggar dengan sebuah almari kaca.

Impak perlanggaran itu membuatkan almari kaca itu terjatuh dan membawa tubuh perompak itu untuk jatuh bersama-sama.
Namun nampaknya hal itu langsung tidak menjejaskan perompak yang bertubuh sasa itu. Biarpun pedangnya terlepas dari pegangannya, dia bingkas berdiri dan terus menerpa ke arah Akim dengan berang.

Nyonya menjerit ketakutan. Begitu juga dengan Suzana dan Haniza. Mereka bertiga berlari untuk menyelamatkan diri daripada perompak lalu berkumpul di pintu masuk kedai. Tinggallah Akim dan Apek berdua sahaja.

Melihat wajah perompak yang bengis, sedikit sebanyak telah membuatkan Akim kecut perut juga.

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah perompak itu akan menyerang dan menikan Akim dan Apek?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience