Bab 14

Drama Series 28574

“Tak payah nak tergagap-gagap dengan aku. Kau nak ikut aku tak?” soal Pak Cik sambil menghalakan pedang bersarung itu ke wajah Zainudin.

Tepat di antara kedua-dua matanya.

Zainudin menghela nafas lagi. Wajahnya pucat lesi. Dia tertanya-tanya macam mana bapa saudaranya itu boleh tahu tentang itu.

“Saya tak buat dah kerja-kerja macam tu.” Akhirnya dia berkata.

“Dah lama saya tinggalkan…” sambungnya.

“Suka hati kaulah! Aku tak paksa. Mak kau yang datang merayu-rayu cari aku. Mintak carikan kerja untuk kau.”

*****

Loceng pintu ditekan sekali. Bergema kedengaran bunyi deringan loceng di dalam rumah. Tetapi kenapa tiada siapa yang datang membuka pintu? Tidak ada orangkah di rumah sekarang ini?

Suzana menekan loceng lagi. Kali ini dia menekan sebanyak tiga kali. Kalau mama tertidur, tentu akan terkejut jaga, fikirnya.

Selepas beberapa ketika menunggu, akhirnya pintu dibuka.
“Oh, Along rupanya? Baru balik ke?”

“Assalamualaikum, mama,” sapa Along saat kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.

“Waalaikumussalam, dah dapat kerja lom?”

“Alah mama ni, tunggulah Along duduk dulu, letih ni. Naik bas turun bas…” keluh Suzana sambil melangkah ke arah sofa.

“Apalah, orang muda. Dok komplen letih. Zaman mama dulu, memang bas sajalah pengangkutan utama. Nak ke mana-mana, semua kena naik bas. Anak-anak zaman sekarang dah senang sikit. Dah ada motor, kereta,” ujar Mastura lalu mengambil tempat duduk di sebelah anaknya.

“Itu zaman mama dulu. Dah lama berlalu. Ni zaman sekarang,” jawab Suzana, tidak mahu kalah.

“Ada je jawabnya. Macam mana cari kerja tadi? Ada dapat tak?” Mastura merenung wajah anaknya. Dia mengharapkan suatu jawapan yang menggembirakan daripada Suzana.

Tekanan hidup zaman sekarang memang memeritkan. Kadar inflasi di Malaysia meningkat lagi. Nilai matawang menyusut. Harga barangan naik berlipat ganda jika hendak dibandingkan dengan tiga atau empat tahun yang lalu.

Anak-anak yang masih bersekolah dengan cerita mereka masing-masing. Keperluan sekolah datang silih berganti. Tidak masuk lagi keperluan peribadi, seperti top-up.

Ya, tidak habis-habis isu top-up. Inilah kehebatan zaman millennium ini. Orang ramai tidak perlu lagi mengeluarkan peluh ke rumah handai taulan untuk berbual, hanya perlu mengeluarkan wang sahaja.
Yang jauh, yang dekat, di sebelah rumah, mudah sahaja untuk dihubungi.

“Tak adalah, mama. Semua tempat Along pergi, semua suruh isi borang je. Lepas tu kata, tunggu kami panggil. Ada tu, borang pun tak ada. Suruh datang lagi esok sebab supervisor cutilah, manager masuk lambatlah, manager pergi kursuslah, bos demamlah. Menyampah. Itulah Along tak nak cari kerja, tapi mama tu asyik membebel je…” ujar Suzana sambil memandang wajah mamanya dengan riak seolah-olah sedih campur terkilan.

…bersambung
Bab akan datang:
Berjayakah Suzana mendapatkan pekerjaannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience