Bab 9

Drama Series 28574

“Eh, Along, cuba jalan jauh sikit, kat batu 10. Ada kedai perabut nak pakai orang. Cuba mintak kat situ. Manalah tau, kot-kot dapat.”

“Mama sukalah tu…” usik Suzana.

“Yalah. Bolehlah mama beli sofa baru. Nak tukar yang lama ni. Kan tak lama lagi nak raya,” cadang Mastura dengan mata yang bersinar-sinar penuh pengharapan.

“Amboi Mas, jauh lagi nak raya tu. Puasa pun belum lagi,” ujar Sidek disulami ketawa kecil.

Sidek kenal sangat dengan perangai isterinya, pantang ada perabut gaya terkini dipamerkan di kedai-kedai perabut, cepat sahaja dia membelinya.

Rumah mereka sekarang pun sudah hampir penuh. Hampir tiada ruangan lagi untuk diisi dengan sebarang aksesori tambahan.
Mastura tidak membantah kata-kata suaminya. Dia hanya ketawa riang sambil membayangkan jenis sofa bagaimanakah yang diingininya.

Dia sudah nampak perabut yang manakah yang mahu ditukar ganti. Tunggu masa yang sesuai sahaja.

“Alaaah… lagilah Along tak nak. Nanti nama mama saja yang ada kat buku hutang kedai tu. Tiap-tiap bulan nama mama yang naik. Nanti kalau lambat bayar, Along jugak yang malu.”

“Apa nak susah, anak-beranak. Lagi senang nak kutip hutang,” tokok Sidek pula bagaikan menyokong minat isterinya.

Mendengar kata-kata suaminya, lagi besarlah tawa Mastura.

Apa pun, suami mana yang tidak sayangkan isteri. Kalau berpatutan dan berkemampuan, tentu akan diturutinya. Asalkan isteri gembira.
Bukankah seorang isteri itu juga banyak menyenangkan suami.

“Ha… pergi cepat siap. Kalau Along kerja kat kedai perabut tu, mama restui.”

Dan Mastura menutup sesi sarapan pagi itu dengan ketawa besar lagi.

*****

Ketika sampai di rumah Pak Cik, dilihatnya lelaki yang dalam lingkungan usia pertengahan 30an itu sedang mencuci motosikal. Sambil mencuci motosikal, sambil bersiul-siul. Riang sungguh hatinya.

Yalah, sendiri menjadi bos. Sendiri menjadi pekerja. Sendiri yang menguruskan kerja sendiri. Tidak perlu mengikuti arahan sesiapa.
Siapa pun memang suka hendak bekerja sendiri, jikalau boleh. Tetapi bukan semua orang mendapat kelebihan seperti itu. Masing-masing dengan cara hidup masing-masing.

“Ha! Dah sampai pun. Menepati janji. Macam inilah yang Pak Cik suka.”

Zainudin tersengih-sengih dipuji sebegitu. Dia keluar seawal jam 10.30 pagi tadi. Dia hanya berjalan kaki sahaja. Sengaja tidak mahu membonceng motosikalnya ke situ.

Zainudin masih tidak ada sebarang gambaran tentang perniagaan atau perusahaan bapa saudaranya itu. Untuk itu, hari ini dia bercadang untuk menumpang motosikal Pak Ciknya sahaja untuk ke tempat kerja. Yang langsung tidak diketahuinya di manakah tempatnya.

“Kau dah makan?”

“Dah, Pak Cik. Ermm… Pak Cik kerja kat mana sebenarnya ni?” tanya Zainudin sambil melangkah menghampiri bapa saudaranya.

“Aku kerja kat sinilah,” jawab Pak Cik dengan tegas tanpa memandang Zainudin.

…bersambung
Bab akan datang:
Apakah pekerjaan pak cik itu sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience