Bab 10

Drama Series 28574

Dia terus mengelap motosikalnya untuk mengeringkan motosikal itu. Peluh membasahi dahi dan belakangnya.

“La… ya ke?” Zainudin agak terkejut.

“Kalau macam tu, ada apa-apa yang Pak Cik nak suruh saya buat ke?” tanyanya lagi.

Kali ini, memang Zainudin bersungguh-sungguh mahu menimba ilmu perniagaan daripada bapa saudaranya.

Terdetik juga di hatinya perasaan belas saat melihat emaknya bangun pagi-pagi memasak pelbagai jenis kuih untuk dihantar ke gerai-gerai berhampiran. Kalau laku semua kuih-kuihnya, tersenyum gembiralah orang tua itu. Kalau ada berbaki, kuranglah seri di wajah orang tua itu.

Sedangkan dia pula hanya mengikut-ikut orang ke kebun, mengikut orang menjala, dapatlah menokok-tambah sedikit. Kebiasaannya hanya dapat menampung poketnya sendiri sahaja.

Untuk buat membeli rokok, membeli teh ais, membeli top-up. Mana cukup untuk diberikan kepada emaknya. Macam manalah orang tua itu tidak membebel saban hari. Tubuhnya penat, jiwanya juga penat.

“Oh. Kau dah nak mula kerja?”

Zainudin mengangguk. Terpapar jelas kesungguhan di wajahnya.

“Yalah. Hari pertama, kan. Semangat ni,” jawabnya sambil tersenyum lebar.

“Baguslah, kau pergi ambik nombor plat dengan pemutar skru kat tepi pintu tu.” Arahan pertama daripada Pak Cik buat pekerja baharunya, Zainudin.

Sambil itu jari telunjuk Pak Cik lurus menunjuk ke tempat yang dinyatakan tadi.

Zainudin melihat ke arah itu. Kemudian matanya beralih memandang Pak Cik semula. Pandangannya bertukar dua atau tiga kali di antara Pak Cik dan nombor plat di tepi pintu sebelum kakinya melangkah ke situ.

Agak tertanya-tanya, namun tangan Zainudin pantas mencapai barang-barang yang dikehendaki oleh Pak Cik.

“Pak Cik nak buat apa dengan barang-barang ni?” tanyanya sambil kakinya melangkah merapati Pak Cik yang masih berdiri di tepi motosikalnya.

“Untuk kerja akulah. Kau ingat aku nak buat apa? Jual nombor plat?” balas Pak Cik agak sinis.

“Ada kau nampak aku bukak payung kat sini?” tambah Pak Cik lagi tanpa memandang wajah Zainudin namun tangan tetap dihulurkan untuk menyambut nombor plat dan pemutar skru itu.

Zainudin diam. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Takut kalau tersalah cakap, Pak Cik akan mengamuk dan menukar fikiran pula.

Sudahlah selama ini dia hanya tahu makan tidur makan tidur sahaja. Kali ini, apabila peluang hendak mencari duit sudah ada di hadapan mata, sedikit pun dia tidak mahu merosakkannya.

Itulah janjinya kepada dirinya sebelum keluar dari rumah tadi.

“Nih. Tengok sini,” panggil Pak Cik sambil merenung wajah Zainudin.

“Kau tukar nombor plat motor aku ni dengan nombor plat ni,” katanya sambil mengangkat nombor plat yang baru Zainudin ambil tadi.

“Lepas tu nombor plat motor aku tu, kau letak dalam rumah. Letak je kat atas meja depan tv tu. Dah, aku nak pergi mandi kejap.”

…bersambung
Bab akan datang:
Mengapa pak cik meminta Din untuk menukar nombor plat motornya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience