Bab 23

Drama Series 28574

“Tengok tu, kawan awak tu. Jadi saya nasihatkan, jangan melawan. Bagi saja telefon awak tu.”

“Eh! Mana boleh suka-suka mintak telefon orang. Telefon ni ayah saya yang belikan. Senang-senang je awak nak mintak!” bentak Suzana dengan nafas yang sudah mula tidak teratur.

Jantungnya mula berdegup kencang, ‘Ya Allah, kami dirompak?’

Hatinya tertanya-tanya. Anak matanya sekejap mengerling ke dalam melihat Haniza, sekejap pula terarah kepada tangan dia dan tangan pemuda itu yang masih memegang telefon bimbitnya.

Tarik-menarik terjadi. Suzana bertekad tidak akan membiarkan pemuda itu mengambil telefon bimbitnya. Dalam pada itu, mulutnya menjerit-jerit meminta tolong malangnya Mak Cik Bibah tiada di situ. Mungkin balik untuk makan tengah hari, seperti selalu. Bengkel membaiki kereta yang terdekat pun kelihatan sunyi. Memang ini waktu rehat tengah hari. Nampaknya tiada siapa yang berhampiran untuk membantu Suzana dan Haniza.

“Jangan melawan! Bak telefon ni!” Pemuda itu menjerkah Suzana.

Suzana membuntangkan matanya, “Tak boleh!!!”

Lantas tanpa disedari, penumbuk sulung dari tangan kanan Suzana mengenai halkum pemuda itu.

Langsung membuatkan pemuda itu terkejut lalu terjatuh. Dia terbatuk-batuk sambil menekap halkumnya dengan tangan kanan namun cepat-cepat dia bingkas berdiri. Tidak percaya yang seorang perempuan kurus seperti dapat menyakitinya. Melihatkan itu, dengan cepat Suzana menyepak lutut pemuda itu pula membuatkan pemuda itu menyeringai kesakitan lalu terjatuh sekali lagi. Peluang yang timbul itu tidak Suzana biarkan begitu sahaja. Cepat-cepat dia berlari ke bengkel membaiki kereta.

“Apek! Tolong saya! Apek!”

Ayat itu diulang-ulang hinggalah dia berdiri di hadapan bengkel itu. mulutnya tidak henti-henti memanggil apek yang tidak diketahui nama penuhnya itu.

Selepas lebih kurang dua minit, isteri apek muncul dari sebalik pintu yang menghubungkan bengkel dan ruang istirehat di belakang.

“Aiya… apa bising-bising ni? Orang nak rehatlah. Datang kejap lagi. Apek nak makan,” ujarnya dengan wajah yang masam.

“Tolong, Nyonya! Tolong! Kitorang kena rompak!”

*****

“Laptop tak ada! Duit tak ada! Bagi rantai dan cincin kau tu!” arah si perompak.

“Suka-suki mak bapak kau nak mintak barang-barang kemas aku! Berambus kau dari sini sebelum laki aku datang!” gertak Haniza menahan marah hingga menggigil badannya.

Perkara itu tidak benar tetapi kepalanya terus memikirkan peluang untuk menyelamatkan diri. Matanya melingas ke kiri dan ke kanan mencari jika ada apa-apa barang yang boleh digunakan sebagai senjata. Apabila sudah terdesak, tuala pun jadilah. Malangnya dia tidak ada kemahiran untuk mempertahankan diri. Dan untuk menjerit meminta tolong pun agak mustahil. Kini, seorang pemuda sudah menyertai lelaki tadi dan Haniza betul-betul tersepit.

Sementara itu, “Pak Cik, kita kena pergi. Budak perempuan tadi lari mintak bantuan. Saya takut dia telefon polis je.”

…bersambung
Bab akan datang:
Adakah perompak itu akan ditangkap?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience