Bab 5

Drama Series 28574

‘Bosanlah kalau kena ikut Pak Cik berniaga. Dengan orang macam tu, tentu tak boleh main-main.’ Hatinya berkata-kata.

‘Tapi kalau tak ikutkan, kepala otak ni dah jemu dengar mak membebel. Tak habis-habis membebel. Daripada kena bebel, baik ikut Pak Cik. Ada jugak duit,’ rungut hatinya lagi sambil berdiplomasi sendirian.

Memujuk hati. Memaksa diri.

“Ha. Elok sangatlah tu. Itulah yang mak nak dengar. Nanti mak pergi jumpa Pak Cik kamu tu. Nanti jangan pulak kamu tukar fikiran, Din. Kalau dah ikut Pak Cik kamu nanti, kerja elok-elok. Ikut cakap dia.” Hati Samiah berbunga riang. Akhirnya Zainudin mahu juga keluar bekerja.

Tidak kisahlah kalau cuma mengikut bapa saudaranya. Sebagai permulaan. Buat sementara ini, itu pun sudah mencukupi.

Sehingga dia ada pengalaman dan selepas itu, bolehlah dia mencari kerja di tempat lain pula, fikir Samiah.

Antara terpaksa mematuhi permintaan emaknya dan melayan kehendak sendiri, sesekali minda Zainudin mampu juga membuat keputusan yang bijak. Walaupun dia sudah berumur 22 tahun, tetapi kalau hendak dicongak-congak, dia sendiri tidak tahu di manakah sumbangannya kepada emak dan dua orang adiknya.

Sebagai anak sulung, emak memang berharap kepadanya. Tetapi Zainudin selalu berfikiran yang dia masih muda, masih mentah, masih tidak tahu apa-apa malah masih belum layak memikul tanggungjawab.

“Tambah lauk, Din. Biar bertenaga sikit badan kamu tu. Jangan nanti Pak Cik tengok kamu tu lembik je. Kalau tubuh kuat, bolehlah kerja kuat-kuat. Bersungguh-sungguh,” ujar Samiah sambil menyendukkan nasi ke pinggan anak bujangnya.

“Alah mak… orang dah kenyanglah.” Zainudin mencuba membantah.

Namun mulutnya sahaja yang membantah, tetapi tangannya terus mengambil seekor lagi ikan selar kuning lalu diletakkan di dalam pinggannya.

*****

Malam itu, selepas menunaikan solat Magrib, Samiah mengajak Zainudin untuk mengikutnya pergi ke rumah Pak Cik. Dalam erti kata lain, bukan mengajak, tetapi memaksa.

Kalau tidak dipaksa, Zainudin akan memberikan berjuta alasan untuk mengelak; walaupun dia sendiri yang sudah memberikan persetujuan siang tadi.

Itupun nasib baik Samiah terserempak dengan Rodzi di tepi jalan. Dia sempat berpesan kepada Rodzi, menyuruh Zainudin balik ke rumah secepat mungkin.

Isu Samiah memanggil Zainudin balik sudah dijadikan bahan lawak oleh budak-budak bujang, rakan lepak Zainudin. Seolah-olah bagi mereka, tercalarlah maruah mereka apabila seorang lelaki yang sudah melebihi usia 18 tahun tetapi masih berada di bawah kawalan ibu bapa.

Dalam keadaan fikiran yang tidak ceria kerana dimalukan oleh kawan-kawannya, Zainudin memilih untuk tidak banyak bercakap. Dia membiarkan sahaja ejekan kawan-kawannya.

Dia lebih risaukan hal Pak Cik. Pak Cik yang pendiam. Pak Cik yang tidak banyak cakap. Pak Cik yang selalu berwajah masam.

Pak Cik yang sentiasa kelihatan serius dan mungkin juga garang sebagai majikan.

Motosikal dibawa perlahan dan berhati-hati menyusuri jalan tanah merah yang akan membawa dia dan emaknya ke rumah Pak Cik. Apabila sudah sampai di hadapan rumah Pak Cik, Zainudin menekan brek dan menghentikan motosikalnya di hadapan pintu.

Samiah turun dan terus memberi salam sebaik sahaja kedua-dua kakinya memijak tanah.

Zainudin membawa motosikalnya ke tepi rumah, lalu memarkir motosikalnya di sebelah motosikal Pak Cik. Kemudian dia melangkah menghampiri emaknya.

Detik itu, Mak Cik sudah pun membuka pintu rumah sekaligus mempersilakan Samiah dan Zainudin masuk.

“Oh… Kak Samiah rupanya. Ada apa, kak? Malam-malam buta datang ke rumah saya ni. Din dah kerja lom?” Ramah Pak Cik menegur Samiah dan Zainudin.

Kebiasaannya tidak begitu. Namun dia ini ada anginnya. Datang angin baiknya, memang seronok diajak berbual. Tetapi apabila angin tidak baiknya datang melawat, jangankan hendak tersenyum, memandang kepadanya pun tidak berani.

Jangan kata memandang, kalau boleh, menjeling pun tidak usah. Muka kelat 24 jam. Patah selera dibuatnya.

“Itulah akak datang ni ha, nak suruh Din kerja dengan engkau.”

Samiah terus kepada maksud utamanya. Tiada bunga-bunga bahasa sebagai pemula bicara.

Zainudin teragak-agak. Tidak tahu apa yang harus dibuat atau apa yang harus dikata. Dia mencuba tersenyum tetapi tampak janggal.
Lantas dia menundukkan kepalanya namun sesekali ekor matanya memerhatikan Pak Cik yang sedang bersila di hadapannya.

“Nah, Din, rokok,” pelawa Pak Cik sambil menghulurkan sekotak rokok kepada Zainudin.

Dengan senang hati, Zainudin mencapai sebatang rokok dengan tangan kanannya. Dia mengucapkan terima kasih sementara tangan kirinya mencapai lighter yang terletak di sisi Pak Cik.

Dia terus menyalakan api lalu membakar hujung puntung rokoknya. Bagaikan sudah lama tidak mendapat rokok, dia menyedut rokok itu sedalam-dalamnya dan kemudian menghembuskan asapnya ke udara.

Pak Cik hanya tersenyum melihat gelagat Zainudin. Dia teringat semasa Zainudin masih kecil, masih bersekolah. Mungkin dalam lingkungan usia 12 tahun ke 14 tahun, pernah beberapa kali dia terserempak dengan Zainudin ketika dia menghisap rokok bersama kawan-kawannya di sebuah kedai.

Kebiasaannya kalau Zainudin ponteng sekolah, dia akan melepak dengan kawan-kawannya di sebuah kedai kosong yang hampir roboh. Memang kedai itu sentiasa menjadi pilihan pelajar-pelajar yang tidak mahu ke sekolah.

Port menarik, kata mereka.

“Boleh je, kak. Kalau akak nak sangat dia kerja dengan saya, esok pagi, suruh Din datang sini. Datanglah dalam pukul 11.00 ke. Tak payah awal sangat. Saya pun bukannya pergi kerja awal sangat.”

“Dah namanya kerja sendiri, tak kisahlah masuk kerja pukul berapa. Yang penting, duit tetap masuk,” ulas Samiah dengan penuh kekaguman.

…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Din bersetuju untuk bekerja dengan pak cik?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience