Bab 19

Drama Series 28574

“Kau jangan ingat kau boleh lawan aku…” gertak lelaki itu sambil menggoyang-goyangkan pedang di tangannya.

Robiah tertanya-tanya, macam mana pula si perompak keparat itu tahu apa yang bermain di fikirannya?

“Aku tak bergurau… kau boleh pilih nak aku radak perut kau dengan pedang ni atau aku potong hidung kau??”

Robiah terkejut. Takut. Terlalu takut. Tangan kanannya cepat-cepat menekup hidungnya.

‘Hidung? Hidung aku bukannya mancung macam hidung pelakon Bollywood,’ rungut hatinya. Sebal.

‘Sampai hati jantan keparat tak guna ni, nak menyusahkan hidup aku. Nak potong hidung aku,’ gerutunya lagi.

Pada masa yang sama, tangan kirinya berada di perut, seolah-olah bertindak sebagai perisai.

Sungguh. Pada saat itu, lidah Robiah terasa bagaikan ketulan ais yang membeku. Dia langsung tidak dapat meluahkan sebarang bicara. Semua kata-katanya hanya berlegar-legar di dalam dirinya sahaja.

Takut kalau tersalah cakap, bahana menimpa.

“Cepat!!!”

“Baik. Baik.”

Robiah cepat-cepat bergerak ke mejanya dan dengan mata yang merah dan tangan yang menggigil, dia mengambil kunci meja sisi.

‘Ya Allah, tolonglah aku. Anak-anak aku masih kecil.’ Hatinya merayu pilu.

Selepas kira-kira 30 saat, sampul surat berisi duit bertukar tangan.

Bagaikan berlari, lelaki tadi meluru keluar dan terus membonceng sebuah motosikal yang sedang menunggu di hadapan kedai itu.

“Cepat! Cepat!” arahnya kepada orang di hadapan.

“Ya Allah! Tolong! Tolong!” Tangan Robiah menggigil mencapai telefon bimbit di atas meja.

Biarpun terketar-ketar tetapi ibu jarinya lincah menekan butang scroll mencari nama suaminya. Ingin mengadukan kejadian malang yang baru berlaku tadi. Dalam pada itu, kakinya tetap melangkah ke kaki lima di hadapan kedai. Memandang motosikal yang ditunggang oleh perompak tadi, berlalu pergi.

Robiah mengecilkan matanya. Mencuba untuk menangkap nombor plat motosikal itu tetapi gagal. Hanya sebuah papan berwarna hitam yang kelihatan.

Putih matanya, keruh hatinya. Selepas ini, banyaklah pula yang harus dilakukan. Robiah sudah ternampak-nampak balai polis di hadapan matanya. Tetapi bayangan itu tidak sekerap kemunculan imej wajah bosnya, Encik Wong.

“Kau takkan boleh lepas!” pekiknya sambil menggenggam penumbuk.

*****

“Nah, RM200. Upah bawak motor dan jaga keliling masa aku buat kerja.”

Empat keping wang kertas bernilai RM200 dihulurkan. Namun memandangkan tiada sebarang respon, wang kertas itu diletakkan di atas meja kopi.

Zainudin melihat wang itu dengan mata terkebil-kebil. Hidungnya kembang-kempis menyedut oksigen. Mereka baru 10 minit sampai di rumah. Sepanjang tempoh itu, Zainudin tidak bercakap banyak, hanya mengangguk apabila Pak Cik bertanya sama ada dia mahukan air untuk membasahkan tekak ataupun tidak.

Fikiran Zainudin betul-betul kosong kini. Dia tidak tahu apakah yang patut dilakukannya. Barulah kini dia tahu apakah pekerjaan sebenar Pak Ciknya.

…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Din menerima wang yang dihulurkan pak ciknya selepas merompak tadi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience