Bab 20

Drama Series 28574

Bekerja dengan Pak Cik bermaksud menjebakkan diri ke kancah risiko. Risiko tertangkap, risiko dibuang oleh emak, risiko mendapat nama hitam dan busuk sepanjang hayat dan yang paling teruk, risiko menjadi penghuni neraka di akhirat kelak.

“Ambik je. Tu upah kau untuk hari ni.”

Zainudin masih seperti tadi. Matanya bersilih ganti memandang duit dan Pak Ciknya. Wajahnya pucat lesi dan pernafasannya belum begitu teratur.

“Kalau kau rasa aku jahat, lepas ni kau tak payah ikut aku lagi. Tak payah datang sini. Tak payah tengok muka aku. Senang cerita.” Selamba Pak Cik berkata sambil mencapai sebatang rokok lalu disuakan ke mulutnya.

“Apesal kau pandang aku macam tu? Alah… dah tua nanti aku bertaubatlah. Sekarang time cari duit, carilah,” ujar Pak Cik lagi dengan yakin.

Dua saat selepas itu, asap rokok mula berkepul-kepul di udara. Senyuman bermain-main di wajahnya. Sebentar tadi dia baru sahaja selesai mengira duit-duit yang berada di dalam sampul surat. Wang sejumlah RM1,653 sudah berada di dalam tangan. Kemudian, RM200 sudah diserahkan kepada Zainudin. Zainudin yang masih menjual mahal. Saat ini, wang kertas itu masih berada di atas meja. Menunggu dijamah oleh tangan Zainuddin.

*****

Langkah kaki Suzana terhenti. Matanya terbeliak melihat tempat kerjanya. Satu keluhan berat keluar dari mulutnya. Matanya melingas memerhati sekeliling.

Di sebelah kanan, dengan jarak kira-kira 600 meter, gerai buah-buahan Mak Cik Bibah masih kosong. Kebiasaannya Mak Cik Bibah memulakan perniagaannya sekitar jam 11.00 pagi. Di sebelah kiri, pekerja-pekerja bengkel membaiki kereta kelihatan sibuk. Bengkel itu terletak kira-kira 400 meter dari kedai perabot tempat Suzana bekerja.

Dengan wajah yang muram, Suzana mengeluarkan kunci kedai dari dalam beg sandangnya.

“Haish… teruklah hari ni, mesti banyak kerja.”

Sambil membuka mangga dan kunci kedai, Suzana mengeluh lagi. Kakinya terjengket-jengket melangkah di dalam air yang sudah pun bertakung di hadapan kedai itu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu kakinya ditenggelami air. Nasib baiklah Suzana hanya memakai sandal ke tempat kerja.

“Aiya amoi… macam mana kedai lu boleh banjir?”

Suzana ketawa kecil lantas menjawab, “Tak tahulah apek. Paip pecah kot.”

“Basuh kedailah ini hari aa?”

Suzana tidak menjawab, sebalik dia terus membuat isyarat ‘peace’ dengan tangan kanannya. Sambil tersenyum yang sudah pastinya tidak berapa ikhlas, Suzana melangkah masuk ke kedai.

Sudah seminggu dia berada di situ. Suzana sudah mula mengenali jiran tetangganya yang tidak berapa ramai itu.

Selepas meletakkan beg di atas meja, Suzana memulakan rutin hariannya dengan membuka tingkap untuk membenarkan cahaya matahari masuk. Ketika tingkap kedua dibuka, Suzana terdengar bunyi enjin motosikal berhenti di hadapan kedai.

…bersambung
Bab akan datang:
Siapakah yang datang ke kedai pagi itu? Adakah perompak yang sama?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience