Bab 17

Drama Series 28574

Di bahagian belakang diletak beberapa set almari makanan dan almari perhiasan dari pelbagai corak. Ada yang menggunakan material kayu semata-mata, ada yang menggunakan material kayu campur gelas.

“Waalaikumussalam. Encik nak beli barang atau nak buat bayaran?” Robiah memulakan bicara.

Wajahnya yang bulat dihiasi sekuntum senyuman selebar mungkin.

“Nak beli barang. Saya nak tengok-tengok almari kat belakang tu,” jawabnya sambil memuncungkan bibirnya arah ke belakang ruangan pameran.

“Oh! Boleh! Boleh! Encik pergilah tengok-tengok. Kalau ada yang berkenan nanti, beritahu saya. Saya check stock. Kalau ada, encik boleh terus bayar. Kalau nak buat kredit pun boleh. Encik boleh buat bayaran pendahuluan terus. Kalau dah bayar, saya boleh suruh budak saya terus hantar ke rumah encik. Petang ni jugak.” Dengan senang hati Robiah menerangkan tentang langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelanggan.

Sambil berkata, dia menutup semula majalah Nona. Nampaknya, hajatnya ingin membaca majalah itu, tertunda lagi.

“Okey. Awak temankanlah saya ke belakang tu. Saya ada banyak benda nak tanya ni,” balas lelaki itu dengan wajah yang sengaja dimaniskan.

“Oh… nak tanya. Boleh. Boleh. Jom.”

Lalu Robiah mengangkat punggung meninggalkan kerusinya. Sempat juga dia menyarung sandal sebelum melangkah meninggalkan mejanya. Lelaki tadi berjalan dahulu ke bahagian belakang ruang pameran dan Robiah mengekori perlahan.

Lelaki itu berjalan perlahan ke arah sebuah almari tiga pintu. Dia membuka pintu almari dan mengetuk-ngetuk dindingnya beberapa kali.

“Kuat tu, encik. Sekurang-kurangnya tahan untuk lima tahun,” terang Robiah tanpa ditanya.

Lelaki itu mengangguk. kemudian dia menutup pintu almari itu lalu berpindah pula ke arah almari yang terletak di bahagian belakang sekali. Almari empat pintu yang dihiasi dengan cermin pada pintu-pintunya. Memang sesuai untuk berdandan.

“Yang ni, macam mana? Berapa harganya?” tanyanya kepada Robiah.

Untuk menjawab pertanyaan itu, Robiah melangkah menghampiri lelaki tersebut.

“Saya kena check dulu tapi elok ni, encik. Ramai yang dah beli. Maklumlah, itu rekaan yang terbaharu,” beritahu Robiah sebaik sahaja dia berada di sisi lelaki itu.

Lelaki itu membuka pintu almari itu dan Robiah turut sama memegang pintu itu. Apabila berdiri bersebelahan begitu, tampak ketara ketinggian lelaki itu. Robiah kelihatan terlalu kecil.

Tidak semena-mena, lelaki itu membuka zip jaketnya yang sebelum ini dizip hingga ke atas. Perlahan, tangan kanannya diseluk ke dalam jaket. Matanya terus-terusan merenung Robiah. Robiah agak kehairanan namun dia masih mengeluarkan kata-kata manis berunsur pujukan supaya lelaki itu membeli almari berkenaan. Dalam pada itu, otaknya ligat memikirkan komisen yang akan masuk ke akaunnya andainya urusan jual beli ini berjaya.

“Sebenarnya aku datang bukan nak beli almari kau ni,” ujar lelaki itu sambil mengeluarkan tangan kanan dari jaketnya.

…bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang dimahukan lelaki itu sebenarnya? Adakah dia orang yang baik?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience