Bab 12

Drama Series 28574

Sambil melangkah ke luar, Zainudin bercakap sendirian. “Apa kerja Pak Cik ni agaknya? Entah-entah dia meragut beg tangan kat pasar tak?”

“Ehem.”

Zainudin terkejut mendengar suara seseorang berdehem. Lantas dia berpaling ke belakang.

Pak Cik sedang mengelap rambutnya dengan sehelai tuala berwarna biru laut.

“Apa kau kata? Meragut beg?” kata Pak Cik sambil mencampakkan tuala yang digunakannya ke atas sofa.

“Eh, Pak Cik. Minta maaf, Pak Cik. Saya tersalah cakap.” Zainudin tertunduk-tunduk kala berkata.

Dia cuak melihat air muka Pak Cik yang tampak tegas dan amat garang. Tanpa dihias senyuman.

“Aku tak pandanglah kerja-kerja bodoh macam tu. Aku tak minat nak ragut-ragut beg tangan orang perempuan. Kalau nasib baik, ada duit. Kalau dapat beg tangan orang perempuan yang penuh dengan sampah sarap, penuh dengan resit je, macam mana? Kan penat je tu. Tak berbaloi kau kena kejar,” katanya dengan lagak angkuh dan diakhiri dengan tawa terbahak-bahak.

Sambil ketawa, Pak Cik menghampiri rak televisyen. Dia membuka laci yang paling bawah dan mengeluarkan sesuatu dari dalam laci itu.
Panjang barang itu kira-kira sekaki, mungkin lebih sedikit. Dibalut dengan sehelai kain berwarna hitam. Diikat di salah satu hujungnya dengan secarik kain berwarna merah.

Pak Cik meletakkan barang itu di atas meja. Dengan penuh yakin, dia merungkaikan ikatan kain berwarna merah tadi.

Selepas itu dia membuka balutan kain hitam tadi dan selepas gulungan yang terakhir dibuka, terserlahlah sebilah pedang bersarung.

Sarungnya berukir cantik. Hulu pedang pula tampak biasa-biasa sahaja tanpa sebarang ukiran namun tetap kelihatan mengkagumkan. Mungkin kerana ia tampak berkilat. Langsung menghasilkan satu aura yang memukau.

Zainudin terlopong melihat pedang itu. Buat beberapa saat, matanya seolah-olah terpaku pada pedang itu.

Kemudian seperti baru tersedar daripada lamunan, dengan penuh tanda tanya, Zainudin memandang wajah Pak Cik. Dia mengharapkan ada jawapan di situ.

“Amacam? Hebat tak?”

“Uish, ni bukan setakat hebat Pak Cik. Sangat hebat!”

“Erm… Pak Cik, boleh saya pegang?” pintanya penuh teruja.

Siapa yang tidak teruja melihat pedang yang cantik itu. Apatah lagi bagi seorang anak muda yang berdarah panas dan sentiasa bergelora.
Selepas Pak Cik mengangguk membenarkan, Zainudin terus mencapai pedang itu. Dia mengeluarkan pedang itu dari sarungnya.

Lalu muncullah sebilah pedang yang berkilau dan tajam penuh kesombongan di hadapan mata Zainudin. Dia membelek-belek pedang itu buat beberapa ketika sebelum tersenyum penuh kepuasan.

Mulutnya tidak berhenti berdecit. Entah berapa kali dia menuturkan wow tanpa sesaat pun mengalihkan mata daripada memuja pedang yang kelihatan anggun itu.

Selepas beberapa ketika, dengan perasaan penuh teruja, dia menyerahkan pedang itu kepada Pak Cik.

…bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang ingin dilakukan dengan pedang itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience