Bab 16

Drama Series 28574

Dia menjuih-juihkan bibirnya menandakan betapa besar keinginannya itu.

“Ish, tak naklah akak. Kalau bos bagi, kita enjoylah. Kalau tak bagi, sabar ajelah dik ooi…”

“Alah… apelah akak ni. Okeylah kak, saya pergi dulu ya.”

Azura berlalu pergi sambil mengangkat tangan kepada Robiah.

Sepeninggalan Azura, Robiah membuka majalah Nona yang baru dibelinya minggu lepas. Sudah berhari-hari majalah itu berada dalam beg serbaguna yang sering dibawanya ke sana ke sini. Sudah hampir lunyai kelihatannya namun Robiah baru sempat membaca hingga ke halaman lima sahaja. Jadi, tengah hari ini, sementara menunggu Azura selesai makan, dia ingin meneruskan pembacaannya.

Sebelum itu, Robiah sudah memastikan sampul surat cokelat berisi wang kutipan bayaran bulanan yang diterimanya daripada pelanggan untuk semalam dan hari ini sudah dimasukkan ke dalam tas tangannya. Tas tangan itu kemudiannya disimpan di dalam meja sisi yang terletak di bawah meja kerjanya. Selepas dikunci, kunci itu disimpan pula di dalam laci kecil tempat simpanan alat tulisnya.

Dengan tenang, kaki disilangkan. Robiah memulakan pembacaan. Kebiasaannya tidak ada orang akan mengunjungi kedai perabot itu pada jam 12.00 tengah hari hingga jam 1.00. Robiah sudah hafal situasi itu. Itu sebabnya dia tidak kisah berseorangan pada saat ini. Kadangkala dia akan ditemani oleh Hasrol, pemandu lori. Tetapi tidak hari ini, kerana Hasrol baru sahaja keluar ke Subang Permai, menghantar satu set bilik tidur ke sana.

Sesekali angin hangat yang bertiup dari luar menyapa Robiah. Agak menyenangkan walaupun kurang nyaman. Kipas angin berputar pada kelajuan maksima. Semuanya hanya membuatkan pelupuk matanya berat dan bertambah berat… bertambah berat.

“Assalamualaikum!”

Tiba-tiba Robiah dikejutkan oleh satu suara garau memberi salam. Dia terkejut jaga.

“Astaghfirullahalazhim.” Robiah mengurut dada.

Entah bila dia terlena dia sendiri tidak tahu. Tahu-tahu di hadapannya kini berdiri seorang lelaki berkulit cerah dengan wajah tanpa senyum. Robiah mengerdip-ngerdipkan matanya beberapa kali. Cuba menghalau kantuk yang masih bermaharajalela.

“Assalamualaikum,” ujar lelaki itu lagi.

Kali ini dengan nada yang agak lembut sedikit, disertai dengan sekilas senyuman yang maha singkat. Matanya tajam merenung Robiah. Kepalanya ditelengkan sedikit ke kanan mengikuti gerak Robiah yang sedang mencuba mengukir senyuman.

Robiah agak tersipu-sipu. Nasib baik bukan bosnya yang datang.

Meja Robiah terletak di hadapan sekali. Di hadapannya terletak satu set sofa dan sebuah meja konsol yang dihias dengan sebuah akuarium. Di belakang set sofa itu terdapat satu set meja makan dengan enam kerusi. Selepas itu, ruangan pameran itu dipenuhkan dengan dua set bilik tidur, almari kanak-kanak, meja tulis, meja computer, rak-rak buku dan rak-rak-rak kasut.

…bersambung
Bab akan datang:
Adakah lelaki itu datang untuk membeli perabot di situ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience