HARI yang terang dengan pemandangan memukau sepatutnya menjadi penyeri pagi, namun tidak bagi Irlysa Dzulaika. Baginya, keindahan itu hanya latar hampa yang tak mampu menutup realiti. Setiap pagi, jam penggera menjadi musuh setia, memaksanya bangun awal untuk memulakan rutin yang melelahkan. Sebagai seorang kerani, tugasnya menuntut kerajinan tanpa batas, ditambah pula dengan komitmen yang sering kali menyesakkan.
Ayah Lysa, Pak Hamid, adalah seorang pesakit jantung yang memerlukan pembedahan segera. Situasi itu bagaikan duri yang sentiasa menikam hati Lysa, memaksanya bekerja keras tanpa mengenal lelah. Setiap pagi, dia keluar rumah sebelum matahari sempat menyapa bumi, dan setiap malam dia pulang lewat, ditemani cahaya lampu jalan yang redup.
Demi ibu dan ayahnya, Lysa sanggup mengorbankan masa dan tenaganya, walaupun pendapatan yang diperolehi tidak pernah mencukupi. Kerja kerasnya berlanjutan setiap hari, dan hanya pada hujung minggu dia dapat melepaskan lelah.
Pagi itu, Lysa berdiri di hadapan cermin, bersiap untuk memulakan rutinnya seperti biasa.Kebiasaannya,walaupun jarum jam masih belum menunjukkan waktu puncak, Lysa sudah terbiasa meninggalkan rumah di awal pagi, selagi tiada hal penting yang menghalangnya. Kehidupannya di kota metropolitan ini penuh cabaran, namun dia bersyukur kerana dapat tinggal bersama kedua-dua orang tuanya di Kuala Lumpur. Pak Hamid dan Ibu Faz turut memilih untuk menetap di kota ini demi menemani Lysa yang bekerja di sini. Walaupun Kuala Lumpur penuh dengan hiruk-pikuk kehidupan, bagi Lysa, kehadiran ibu dan ayahnya adalah pelengkap yang menguatkan langkahnya setiap hari.
Pagi itu, setelah bersiap, Lysa turun ke dapur untuk bersarapan bersama Ibu Faz dan Pak Hamid. Aroma nasi goreng kampung kegemarannya memenuhi ruang dapur, tetapi hati Lysa terasa berat memikirkan tanggungjawab yang menantinya.
"Lysa, kamu balik pukul berapa hari ini? Kita kan nak teman ayah pergi jumpa doktor periksa jantung," tanya Ibu Faz sambil menuang kopi panas ke dalam cawan.
Lysa menghela nafas perlahan, matanya melirik pada jam dinding. "Lysa tak janji, ibu. Tapi insya-Allah, Lysa cuba balik awal."
Setiap bulan, Lysa perlu membawa Pak Hamid ke hospital untuk pemeriksaan susulan. Waktunya sering terkejar-kejar, berulang-alik dari pejabat ke hospital. Namun, sebagai anak, Lysa memikul tanggungjawab itu dengan penuh ikhlas. Ibu Faz pula setia menemani, menjadi kekuatan di sisi suaminya, meskipun hatinya risau melihat Lysa sering keletihan.
Selepas bersarapan, Lysa mencapai beg tangannya dan bersiap untuk berangkat ke pejabat. Hari ini dia keluar agak lewat kerana terlupa mengunci jam loceng malam tadi. Walaupun terlambat, dia tetap memandu dengan tenang, mengikut had laju seperti biasa. Namun, di dalam kereta, rasa bersalah mula menghantui. Lysa melihat jam di papan pemuka yang menunjukkan pukul lapan pagi.
"Lysa, kau ni… kenapa selalu lambat?" dia mengeluh sendiri, menyesali kecuaiannya.
Sebaik tiba di pejabat, dia memarkir keretanya di tempat biasa sebelum melangkah masuk ke dalam bangunan MEGA HOLDING. Lysa menyapa rakan sekerjanya, Meira, yang sudah tekun bekerja di mejanya.
"Hoi, kau buat apa tu? Fokus semacam je," usik Lysa sambil meletakkan beg tangannya di meja.
Meira menjeling sambil tersenyum sinis. "Aku buat kerja, bukan macam kau. Dah lah datang lambat!"
Lysa hanya ketawa kecil sebelum duduk di mejanya dan mula menyiapkan tugas-tugasnya. Meira, seperti biasa, tidak pernah gagal menceriakan suasana.
Di sisi lain kota, Dzafri, seorang CEO muda kepada syarikat ternama MDZAF HOLDING, bersiap di kediamannya yang mewah. Kehidupan Dzafri berbeza dengan Lysa dia bebas datang ke pejabat pada bila-bila masa tanpa perlu risau ditegur. Sebagai pewaris tunggal syarikat keluarganya, setiap langkah Dzafri mendapat perhatian, apatah lagi dia kini berstatus tunangan kepada seorang wanita cantik bernama Syatilla atau Stella.
Stella adalah pemilik butik mewah di Kuala Lumpur dan sering bertemu Dzafri untuk berbincang mengenai persiapan perkahwinan mereka. Pagi itu, Stella sudah menunggu Dzafri di pejabatnya, membuat lelaki itu tergesa-gesa menyudahkan sarapannya sebelum berangkat.
"Sayang, dah lama I tunggu tau. Kenapa lambat?" tegur Stella, senyumannya manis tetapi nadanya sedikit merajuk.
"Sorry, sayang. Mama tadi asyik tanya pasal you. Sampai lambatlah," Dzafri membalas sambil duduk di hadapannya.
Selepas berbual seketika, Stella kembali kedainya, manakala Dzafri mula menyelak fail-fail penting di mejanya.
Di pejabat MEGA HOLDING, Lysa sibuk menulis surat ketika rakan sekerjanya, Farhan, datang menawarkan bantuan.
"Kau nak aku tolong apa-apa tak? Aku tengah lapang ni," tanya Farhan tersenyum.
"Tak apa, aku boleh buat sendiri. Susah-susah je," balas Lysa sambil menggeleng.
Meski Farhan berlalu pergi, Meira yang duduk bersebelahan memerhati dengan simpati. Dia tahu Lysa sedang tertekan memikirkan kesihatan ayahnya, tetapi dia sendiri tidak dapat membantu kerana tanggungjawab kerjanya yang menimbun.
Di rumah, Ibu Faz sibuk menyediakan makan tengahari apabila telefon berbunyi. Suara Lysa di hujung talian memberitahu bahawa dia tidak dapat pulang untuk makan atau menemani ayahnya ke hospital.
"Tak apa, Lysa. Ibu faham. Ibu boleh temankan ayah kamu. Jangan risau, buat kerja kamu elok-elok," balas Ibu Faz dengan lembut, cuba menenangkan hati anaknya.
Lysa memutuskan panggilan dengan rasa bersalah yang membebani dada. Namun, dia tahu tanggungjawab di pejabat tidak boleh diabaikan.
Petang itu, Lysa memandu pulang dengan hati-hati, namun debaran di dadanya tidak surut. Ketika berhenti di lampu isyarat, sebuah kereta mewah tiba-tiba meluncur laju di hadapannya, hampir-hampir melanggar lampu merah. Lysa tergamam seketika, tetapi hanya mampu menggeleng perlahan sebelum meneruskan perjalanan.
Di dalam kereta itu, Dzafri sedang berbual dengan Stella, tidak menyedari pandangannya tadi hampir mencetuskan kemalangan kecil. Kehidupan mereka mungkin tidak pernah bersilang, namun di kota ini, apa saja boleh berlaku. Mungkin takdir sudah mula memainkan peranannya.
Share this novel