“Nama saya Irfan Dzafri Dato Mukhriz. Saya rasa awak tahu siapa saya,” ucap seorang Irfan Dzafri dengan nada tegas, memandang seorang Irlysa Dzulaika yang di hadapannya tanpa sekelumit senyuman.
Lysa menghela nafas pendek, cuba mengawal keresahannya.
“Saya Irlysa Dzulaika dari MEGA HOLDING. Encik Amri minta saya untuk menggantikan Paan berjumpa dengan Encik Dzafri kerana dia ada urusan lain.”
Dzafri hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa. Tingkahnya yang dingin itu mengesahkan firasat Lysa.Di dalam hati, Lysa sudah mula merasa bosan dengan pertemuan itu tetapi tugas tetap tugas.
“Ayah saya akan bertemu Encik Amri lusa nanti untuk berbincang mengenai projek kerjasama,” ujar Dzafri ringkas.
Lysa tersenyum tipis, walaupun hatinya sedikit terganggu dengan sikap Dzafri.
"Jangan risau, Encik Dzafri. Saya yakin semuanya akan berjalan lancar. Saya harap Encik Dzafri juga selesa bekerjasama dengan syarikat kami.”
Dzafri hanya menjawab dengan anggukan kecil sebelum bangkit dari kerusinya.
“Terima kasih kerana sudi datang,” katanya sambil melangkah pergi.
Lysa menggenggam tangannya, geram dengan sikap Dzafri yang tidak ramah itu.Setidaknya pelawalah dirinya yang kepenatan mengejar waktu demi sebuah kerjasama syarikat tapi boleh pula selesai sahaja pertemuan mereka Dzafri terus beredar dari situ tanpa sebarang kata.
“Kalau bukan sebab tugas, aku takkan buang masa untuk jumpa lelaki sombong macam dia,” gumamnya dalam hati sebelum melangkah pergi ke arah bertentangan.
Setibanya di rumah, Dzafri terlihat Stella berdiri di hadapan pintu rumahnya. Dzafri menatapnya seketika, rasa bersalah tergambar di wajahnya, sebelum dia melangkah masuk tanpa sepatah kata.
“Dzafri, kenapa you tak jemput I tadi? Kenapa suruh Amin yang ambil I?” Stella bersuara, jelas nada kecewa di setiap perkataan.
“I ada hal penting yang perlu diselesaikan. You duduk dulu, nanti I cerita,” jawab Dzafri, terus berlalu ke tingkat atas.
Setelah Dzafri turun, Stella tidak membuang masa untuk menuntut penjelasan. Dzafri akhirnya memberitahu bahawa dia diminta oleh ayahnya untuk bertemu klien yang sepatutnya dijumpa oleh Amin. Mendengar itu, Stella menghela nafas lega. Namun, dia meminta satu perkara jangan sesekali memberitahu Datin Masriza tentang kehadirannya.
Dzafri tidak tahu Stella ke situ bukanlah kerana dia marah Dzafri tidak menjemputnya namun kerana dia akan ditinggalkan Stella.Jenuh menunggu jawapan Stella memutuskan untuk meneruskan sahaja hasratnya.Bukan kerana tidak cinta kepada Dzafri tapi ada keinginan yang lebih dia ingin kecapi.Dan benar,itu adalah hari terakhir Dzafri bertemu Stella tunangnya.
Keesokannya, Dzafri bercadang untuk meluangkan masa bersama Stella.Dzafri memandu kereta menjemput Stella untuk mengajaknya keluar bersama pada hari ini.Namun setibanya dia di sana, pembantu Stella, Zetti, menyambutnya dengan wajah serba salah.
“Zetti, mana Stella? I ada perkara penting nak bincang dengan dia,” Dzafri bertanya dengan nada sedikit mendesak.
“Sebenarnya… Stella dah terbang ke London pagi tadi, Dzaf,” jawab Zetti dengan nada perlahan.
Dzafri terdiam. “Apa?! Kenapa I tak tahu apa-apa?”
“I pun baru tahu. Stella call tadi, dia tak beritahu you ke?”
Dzafri mendengus kesal, lalu melangkah keluar dari kedai itu. Zetti sempat menyerahkan sepucuk surat dari Stella sebelum dia pergi. Setibanya di rumah, Dzafri membuka surat itu dengan tangan yang sedikit menggigil.
“Dzafri, maafkan I kerana pergi tanpa memberitahu. I sayangkan you, tetapi I juga perlu kejar impian I. I janji, I akan kembali. Tunggu I, Dzaf.”
Dzafri meramas kertas surat itu. Hatinya terasa dikhianati, tetapi dia masih cuba untuk memahami keputusan Stella.
Di rumah Lysa, suasana berbeza. Setelah selesai menolong ibunya menyediakan sarapan, dia menghabiskan pagi itu dengan menyiram pokok bunga di halaman.Di saat dia termenung,Lysa mengarut pula tentang hidupnya.
"Macam mana lah kalau hidup aku jadi macam dalam drama tiba-tiba dipertemukan dengan lelaki misteri, dijodohkan tanpa cinta haha mengarut je kau ni Lysa,” gumam Lysa sambil tersenyum kecil.
Dalam pada itu Meira, sahabat baiknya yang baru saja mengirim mesej, sempat mengusik tentang Dzafri.
“Dia kacak, tapi membosankan,” kata Lysa sambil ketawa kecil, cuba melupakan pertemuan yang membuatkan dia berasa jengkel.
Namun siapa sangka, dunia yang kelihatan berbeza itu mungkin akan bersilang di masa depan. Dunia Dzafri yang kini dilanda kekeliruan dan duka, serta dunia Lysa yang penuh ketenangan. Takdir punya caranya sendiri untuk menemukan dua hati yang tidak pernah menyangka.
Share this novel